Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai Dasar Pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.
OBJEKTIF-OBJEKTIF HARI GURU
Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.
Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu boleh berkesan.
ANUGERAH PERTAMA TOKOH GURU (1975)
Puan Hajah Zainun bte Munshi Sulaiman (Allahyarhamah)
Encik Mohd. Nor bin Ahmad
Encik Ting Pin Sung
Encik A.V. Perumal
Encik Tan Chong Bee
IKRAR HARI GURU
Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.
Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.
TEMA-TEMA HARI GURU KEBANGSAAN
2009 Guru Pembina Negara Bangsa 2008Guru Cemerlang Negara Terbilang 2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975 Guru dan Pembangunan Negara
1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara
Bazar Baca, program komuniti setempat yang julung-julung kalinya diadakan, merupakan program jualan buku anjuran bersama Sekolah Menengah Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad dan Edaran Bestari Enterprise, Kuantan.
Program dua hari ini akan diadakan bermula dari 9-10 Mei 2009, bertempat di Dewan Panglima, SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad. Tema "Semarak Membaca, Kecemerlangan Panglima Terjana" dipilih sebagai tema program tersebut. Pelbagai penerbit terkenal akan turut serta dalam program kali ini. Antaranya termasuklah Sasbadi, Karangkraf, Sinar, Buku Prima, dan Alaf 21.
Program ini menawarkan diskaun hebat sehingga 70 peratus dan cabutan bertuah kepada pengunjung yang bernasib baik. Pengunjung turut ditawarkan baucar diskaun bernilai RM 100.00 untuk pembelian Kamus Eleksis Pro(edisi khas). Walaupun mungkin tidak sehebat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, yang telah berlangsung baru-baru ini, namun peluang untuk mendapatkan buku-buku terbaru, terbitan penerbit terkenal dengan harga murah, tidak harus dilepaskan terutama bagi pelajar-pelajar serta warga pendidik yang tinggal di Kuantan dan bandar-bandar berdekatan. Ayuh, mari membaca!
A = Asah Bakat Dan Potensi Anda B = Bayangkan Cita-Cita Besar C = Ciptalah Kehidupan Yang Baik D = Doronglah Diri Anda Ke Puncak Jaya E = Empati Sesama Manusia F = Fikir Masa Depan Anda G = Gambarkan Kemenangan H = Hiburkan Diri Anda Dan Orang Lain I = Impikan Apa Yang Boleh Anda Jadi J = Jimat Cermat Dalam Segala Hal K = Kesihatan Diri, Akal Dan Jiwa Harus Diutamakan L = Lawan Nafsu Jahat Anda M = Maafkan Kesalahan Orang Lain N = Nekad Menangani Masalah O = Orang Lain Sumber Pengalaman Anda P = Percaya Pada Ketentuan Illahi Q = Qiamullail Mendekatkan Diri Kepada Allah R = Restu Ibu Bapa Membawa Barakah S = Sentiasa Mempunyai Semangat Ingin Mencuba T = Tolonglah Orang Yang Memerlukan U = Usaha Bersungguh-Sungguh V = Visi Dan Misi Perlu Jelas W = Waktu Sangat Berharga X = X-Ray Dan Muhasabah Diri Selalu Y = Yakin Kemampuan Dan Kebolehan Diri Z = Zaman Muda Hanya Sekali, Jangan Sia-siakan
Pascakemerdekaan negara Malaysia menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang rancak. Kemajuan yang dicapai oleh Malaysia begitu dikagumi oleh masyarakat antarabangsa kerana siapa sangka, negara cili padi ini mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Jika kita menelusuri liku-liku sejarah, pasti kita dapat menemui catatan tentang kegiatan pertanian yang dijalankan pada zaman nenek moyang kita. Industri pertanian bagaikan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas kerana mampu bertahan untuk berabad- abad lamanya. Walaupun begitu, untuk memajukan lagi industri ini, pelbagai pihak perlulah memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Persoalannya, apakah peranan pelbagai pihak dalam memajukan industri pertanian negara kita?
Peranan pusat-pusat penyelidikandalam memajukan industri pertanian tidak dapat diperkecil.Penyelidikan terhadap tanaman wajar dilaksanakan untuk menghasilkan baka yang berkualiti . Baka yang dihasilkan ini mempunyai ketahanan terhadap serangan serangga perosak dan cepat tumbuh. Sebagai contohnya, benih padi seperti Bahagia dan Malinja yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) dapat mencapai kematangan dalam tempoh yang singkat. Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) pula berjaya membiakbakakan Klon 600 yang bermutu tinggi. Minyak sawit yang tulen dan berkualiti merupakan hasil usaha Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia (PORIM). Selain itu, pihak penyelidik juga berjaya mencipta teknik pengklonan. Melalui cara ini, tanaman dapat dibiakkan dengan jumlah yang besar dalam masa yang singkat. Pusat-pusat penyelidikan di Malaysia juga harus mengadakan usaha sama dengan negara-negara jiran agar faedah yang diperoleh dapat dikongsi bersama. Sikap tolong-menolong bagaikan aur dengan tebing wajar dipraktikkan untuk mendapatkan baka yang terbaik. Malahan, saintis persendirian juga harus ditawarkan ganjaran yang lumayan oleh kerajaan jika berjaya menemukan cara penanaman tanaman yang paling berkesan. Tuntasnya, pusat-pusat penyelidikan harus bersikap seperti genggam bara api, biar sampai jadi arang dalam menemukan teknik mencipta klon yang bermutu.
Di samping itu, kerajaan perlu mengambil langkah meningkatkan pendapatan para petani. Antara punca utama ramai belia dan beliawanis pada era moden ini tidak berminat menceburi industri ini adalah kerana mereka beranggapan bahawa sektor pertanian tidak menyajikan pulangan yang lumayan. Oleh sebab sesetengah tanaman seperti getah mengambil masa bertahun-tahun untuk membesar, hasilnya hanya dapat dinikmati setelah menanti dalam tempoh yang panjang. Penglibatan dalam sektor pertanian juga mewajibkan kegigihan dan komitmen secara berterusan untuk memelihara tanaman dengan baik. Justeru, untuk menarik minat muda-mudi menceburi bidang ini, langkah segera perlu diatur untuk meningkatkan pendapatan petani. Sebagai contohnya, para petani harus diberikan bantuan subsidi dan pelbagai insentif. RISDA memberikan pekebun-pekebun kecil getah bantuan teknikal dan khidmat nasihat tentang kaedah penanaman yang baik. Sementara, Bank Pertanian pula menawarkan pinjaman kewangan kepada golongan petani untuk mendapatkan modal asas. Industri pertanian yang baru berkembang harus dikecualikan daripada pembayaran cukai agar hasilnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh pengusaha untuk beberapa tahun. Usaha memberikan pengiktirafan dalam bentuk Anugerah Peladang Jaya dan hadiah wang tunai kepada petani yang berjaya haruslah dipuji. Strategi seperti ini turut menyumbang perkembangan ekonomi negara melalui pengeksportan tanaman dalam jumlah yang besar. Langkah ini akan menyebabkan petani lain mempunyai aspirasi untuk berjaya, sekali gus mengambil langkah membesarkan ladang masing-masing. Jelaslah, peningkatan pendapatan golongan petani untuk mengelakkan mereka daripada hidup bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang adalah perlu untuk mengembangkan sektor pertanian.
Para petani juga memikul tanggungjawab untuk mempelbagaikan hasil ekonomi mereka. Tanaman selingan perlu diusahakan untuk mengurangkan pergantungan kepada sumber utama. Hal ini demikian adalah untuk mengelakkan risiko menanggung kerugian yang besar seperti yang terjadi apabila Amerika Syarikat melancarkan kempen antiminyak kelapa sawit pada masa minyak kelapa sawit menjadi eksport utama negara. Antara langkah yang dapat diambil oleh pihak petani ialah menanam tanaman koko sebagai tanaman selingan di samping tanaman kelapa sawit sebagai tanaman utama . Tindakan ini ibarat peribahasa sambil menyelam minum air. Hal ini disebabkan penanaman koko bukan sahaja menambahkan pendapatan para petani malah membantu mengembalikan garam mineral. Selain itu, walaupun tembakau Malaysia tidak mendapat permintaan luas, para petani hendaklah mengusahakannya sebagai langkah berjaga-jaga. Khidmat nasihat dapat diperoleh daripada Lembaga Tembakau Negara. Para petani yang tinggal di kawasan pantai dan memiliki kawasan tanah terbiar yang berpasir dan bersaliran baik dapat menanamnya dengan tebu. Tindakan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan pengimportan gula, kerana gula tempatan hanya mencukupi untuk memenuhi sebanyak 10 peratus daripada keperluan penduduk. Nyatalah langkah mempelbagaikan tanaman dapat menghasilkan variasi dan dijadikan sebagai persediaan sekiranya harga tanaman utama jatuh merudum, bak kata peribahasa sediakan payung sebelum hujan.
Selain itu, golongan petani dan kerajaan perlulah menggembleng tenaga untuk merangka strategi pemasaran hasil pertanian yang berkesan. Hal ini disebabkan tiada gunanya kita mendabik dada memiliki hasil tanaman yang banyak sedangkan kita tidak tahu cara memasarkannya.Sebagai contohnya, para petani dapat memperoleh panduan penting daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) tentang teknik pemasaran yang berkesan. Kerajaan dapat menganjurkan pasar tani dengan mengumpulkan para petani dari desa-desa di seluruh negara untuk menjual hasil tanaman di bandar-bandar besar. Tindakan ini pasti menguntungkan kerana warga kota yang memerlukan tanaman segar dan berkualiti pasti membeli hasil pertanian yang dijual secara borong. Selain itu, kerajaan dapat mengeksport hasil tanaman ke negara-negara lain , terutama negara yang ekonominya bukan berasaskan pertanian. Rakyat di negara tersebut pasti sanggup berbelanja lebih untuk mendapatkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar. Namun begitu, para petani tidak bolehlah lupa diri dan mengenakan harga yang terlalu tinggi seperti menahan lukah di pergentingan kerana tindakan ini akan memusnahkan kepercayaan pelanggan. Jelaslah, strategi pemasaran yang baik dan harga hasil tani yang munasabah penting untuk memartabatkan sektor pertanian.
Di samping itu, agensi pelancongan dan para petani perlulah bekerjasama untuk merealisasikan kegiatan ekopelancongan. Para petani perlulah memastikan kawasan ladang mereka bersih, bebas daripada pencemaran dan penuh dengan pohon-pohon yang menghijau. Chalet-chalet kecil dapat dibina di kawasan berhampiran tanpa mengubah landskap asal. Agensi pelancongan perlu menawarkan pakej ekopelancongan kepada pengunjung dari luar negara. Pelancong asing, terutamanya golongan yang berasal dari bandar pasti berminat untuk melawat kawasan ekopelancongan untuk membebaskan diri daripada kesesakan hidup di kota. Di sini, mereka dapat menikmati keindahan semula jadi dan menimba pengalaman yang tidak ternilai harganya. Kehadiran mereka langsung tidak akan menimbulkan sebarang kesulitan terhadap golongan petani. Mereka menjalankan tugas harian seperti biasa dan hanya perlu memberikan sedikit penerangan kepada para pelancong yang datang. Pelancong bebas menikmati buah-buahan tempatan yang begitu lazat dan manis, di samping menghirup udara yang segar. Apabila pulang ke negara asal, para pelancong akan menguar-uarkan pengalaman dan layanan baik yang diperoleh. Langkah ini merupakan bentuk pengiklanan secara tidak langsung kerana hal tersebut akan mendorong pelancong lain untuk datang. Kesannya, pendapatan para petani akan terus meningkat dan keenakan hasil tani Malaysia tersohor di seluruh dunia.
Lantaran itu, semua pihak berwajib perlulah memikul dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan sempurna. Hal ini kerana usaha daripada satu pihak sahaja tidak akan mendatangkan apa-apa hasil, seperti kata pepatah bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Kerjasama dan usaha bersungguh-sungguh perlulah dilakukan secara berterusan, tidak seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja. Kita sebagai rakyat Malaysia, wajar melestarikan dan mengembangkan kegiatan pertanian yang telah dijalankan di negara kita sejak Zaman Neolitik lagi. Industri pertanian mempunyai potensi yang besar untuk menjadi antara punca utama ekonomi negara. Oleh itu, kita perlulah memasang iltizam untuk memartabatkannya ke peringkat antarabangsa. Sesungguhnya, kita mampu untuk melakukannya kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Terima kasih, Tuan Pengerusi Majlis. Yang Arif lagi bijaksana, panel penilai dan rakan-rakan yang dihormati. Assalamualaikum dan selamat pagi.
Tajuk syarahan yang menjadi pilihan saya pada pagi ini ialah “Ke Arah Memupuk Minat Membaca dalam Kalangan Masyarakat”. Mengapakah saya memilih tajuk ini dan apakah yang ingin saya kupas daripada tajuk ini? Sebenarnya, beberapa hari yang lepas, saya baru selesai mengikuti jerayawara ke lima buah daerah di Johor untuk mengajar pelajar mengaplikaskan maklumat dalam karangan. Daerah terakhir yang saya kunjungi ialah daerah Pasir Gudang iaitu pada 3 Julai yang lalu. Di setiap daerah, saya akan bertanya kepada pelajar-pelajar, siapakah yang membaca surat khabar pada setiap hari? Tuan-tuan dan puan-puan tahu apakah jawapannya? Jawapannya amat mendukacitakan. Daripada lebih 100 orang peserta di setiap daerah, tidak sampai 10 orang yang membaca surat khabar pada setiap hari! Kalaupun ada yang membaca, mereka akan hanya membaca ruangan tertentu seperti ruangan sukan atau hiburan. Mereka juga tidak mengetahui nama-nama pemimpin negara apalagi isu semasa yang melanda negara. Inilah gambaran budaya membaca masyarakat kita yang sebenar. Oleh itu, tidak hairanlah jika, Perpustakaan Negara Malaysia mengumumkan bahawa purata membaca setiap rakyat Malaysia hanyalah dua buah buku setahun. Keadaan ini amat menyedihkan, tetapi itulah hakikatnya! Oleh sebab remaja hari ini merupakan pemimpin masa depan, maka usaha-usaha untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat perlu dilakukan oleh semua pihak. Jadi, tuan-tuan dan puan-puan, pada hari ini saya ingin mencadangkan beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh semua pihak untuk memupuk budaya membaca dalam masyarakat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pada pendapat saya, pihak kerajaan perlu lebih agresif dalam menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Sebelum ini, banyak usaha dijalankan namun tahap pembacaan masyarakat masih rendah. Malahan, Kampung Buku di Langkawi yang diharapkan dapat menjadi daya tarikan untuk memupuk budaya membaca, dilaporkan terbiar dan tidak dimanfaatkan walaupun jutaan ringgit telah dibelanjakan untuk membinanya. Oleh itu, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lepas, yang mahu menjadikan Malaysia sebagai “Negara Pembaca” perlulah disambut baik oleh semua pihak. “Negara Pembaca” yang dihasratkan ialah negara yang bukan sahaja memiliki rakyat yang suka membaca dan berasaskan ilmu pengetahuan, malahan diharapkan agar rakyat mempunyai kemampuan berterusan untuk belajar, membuat penyelidikan dan melakukan penemuan baru. Tuan-tuan dan puan-puan, dengan terealisasinya hasrat ini, maka terealisasilah juga “Dasar Buku Negara” yang berhasrat untuk menjadikan masyarakat Malaysia, bukan sahaja suka membaca malah berupaya untuk menghasilkan dan menerbitkan banyak buku yang sesuai dan berkualiti.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Selain dasar dan polisi kerajaan, prasarana yang sesuai dan mesra pengguna hendaklah dibangunkan. Kerajaan boleh membangunkan perpustakaan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai dan mudah dikunjungi. Selain itu, perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak juga perlu diperbanyak supaya gerakan ini dapat sampai ke seluruh ceruk rantau. Selain kerajaan, pihak swasta dan orang persendirian juga boleh membangunkan perpustakaan. Di Amerika Syarikat, lending library atau circulating library ini dibangunkan dan dijadikan sumber perniagaan, iaitu dengan menjadikannya sebagai perpustakaan pinjaman berbayar. Usaha ini telah pelopori oleh William Rind sejak tahun 1762 dan telah mendatangkan impak yang amat besar terhadap pembudayaan membaca dalam kalangan rakyat Amerika selepas itu. Oleh itu, jelas bahawa pembinaan prasarana yang banyak dan meluas, membantu masyarakat kita membudayakan membaca.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pihak swasta juga perlu memainkan peranan untuk memupuk masyarakat membaca. Selain syarikat penerbitan menerbitkan banyak judul menarik dan mengusahakan penterjemahan buku-buku yang berkualiti dari negara, media massa turut memainkan peranan yang penting. United Kingdom, merupakan sebuah negara yang sememangnya berbudaya membaca dan keadaan itu bukanlah sesuatu yang terbina dalam sekelip mata. Pada tahun 2004, mereka telah mengadakan program BigRead yang merupakan satu program untuk mencari 100 buah buku paling popular di United Kingdom. Yang terpenting ialah program ini telah dilakukan secara bersepadu oleh pihak-pihak media, seperti TV, radio, Internet dan juga usaha sama dengan beberapa buah kedai buku. Caranya mudah sahaja. TV UK, misalnya BBC 1, telah menyiarkan program yang mengulas 100 buah buku yang tersenarai pada setiap minggu. Pada masa yang sama, orang ramai akan mengundi buku-buku kegemaran mereka menerusi Internet. Toko-toko buku pula akan menjual buku yang tersenarai itu dengan melabel dan meletakkannya pada rak-rak khas yang tercetak BigRead di muka depannya. Cara ini umpama carta muzik di kaca TV kita. Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan, jika kita boleh menciplak banyak program tv realiti berbentuk hiburan dari negara Barat, apalah salahnya jika kita menciplak idea yang sangat membina ini? Jika semua pihak swasta menggembleng tenaga, saya yakin dan percaya, di samping mendapat keuntungan, akan terlunaslah satu daripada tanggungjawab sosial mereka kepada negara iaitu memupuk budaya membaca. Inilah yang dikatakan situasi menang-menang, tuan-tuan dan puan-puan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Erasmus Mundus, seorang tokoh akademik terkenal pernah berkata, ‘‘When I have money, I buy books. If any is left, I buy food.’’. Apakah maknanya kata-kata itu, tuan-tuan dan puan-puan? Maknanya, Erasmus melebihutamakan buku, sedangkan kepentingan makanan datang kemudian. Pada Erasmus dan juga sebilangan besar masyarakat negara maju yang lain, membaca itu amat penting buat santapan minda. Oleh itu, sebagai langkah yang ke-4, kita perlulah memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli bahan bacaan. Masyarakat kita bukannya tidak mempunyai wang, mereka ada wang. Hampir setiap rumah, mempunyai radio dan televisyen, malah melanggan Astro. Bagi yang berkemampuan sedikit, mereka tidak lokek untuk berbelanja bagi memiliki produk penjagaan diri dan kesihatan, dan sebagainya. Cuma mereka tidak terbudaya untuk memperuntukkan sejumlah wang bagi membeli buku. Oleh itu, suatu gerakan besar-besaran perlulah dilakukan supaya, masyarakat kita, terbudaya untuk merancang perbelanjaan dengan lebih bijak dengan memperuntukkan sejumlah wang untuk pembelian buku. Diharapkan dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan masyarakat yang walaupun tidak kaya tetapi berminda kelas pertama. Sebenarnya, inilah modalnya untuk kita menjadi negara yang maju dan kaya menjelang tahun 2020 ataupun 2058 sebagaimana yang disasarkan oleh mantan Perdana Menteri kita, Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Akhirnya, ialah peranan ibu bapa. Bagaimana acuan begitulah kuihnya manakala melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, penyuburan sikap suka membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi. Sebelum kanak-kanak boleh membaca, seharusnya mereka sudah dibiasakan dengan buku sama ada memegang, melihat atau menikmati buku secara bercerita. Berdasarkan kajian, 80 hingga 88% ibu bapa dapat mempengaruhi anak-anak untuk membaca. Ibu bapa bukan sahaja menjadi penggalak, malah perlu menjadi suri teladan. Mereka mestilah terlebih dahulu menunjukkan teladan yang baik dengan mengamalkan tabiat membaca. Sebagai permulaan, anak-anak boleh dibacakan “bed time story” sebelum mereka tidur. Apabila usia bertambah, belikan buku-buku cerita yang menarik dan berwarna-warni untuk menarik perhatian mereka. Menjelang usia remaja pula, ajaklah anak-anak berbincang tentang bahan bacaan yang dibaca oleh mereka atau yang dibaca oleh ibu bapa. Jika ini dilaksanakan, saya yakin dan percaya, anak-anak ini akan terus menghargai buku dan ilmu seterusnya merealisasikan gagasan pembelajaran sepanjang hayat. Keadaan ini sudah pasti akan menjadi pemangkin kepada hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat berminda kelas pertama yang mampu menggegarkan dunia dengan tahap keilmuan yang tinggi.
Tuan-tuan dan puan-puan.
Tahukah anda berapa judul buku yang menyaksikan matahari setiap hari? Setiap 30 saat, setiap hari, sekitar 4000 buku baru diterbitkan di seluruh dunia. Ini bermakna, pada setiap tahun, sekitar 1.5 juta judul baru menemui pembaca. Sejak mesin Gutenberg dicipta pada 1450, sebanyak 50 juta judul buku telah diterbitkan di planet bumi. Oleh itu, jika anda berhasrat untuk membaca semua buku itu, anda perlu hidup 250,000 tahun! Malah, kalau pun anda hanya membaca judulnya sahaja, anda memerlukan masa selama 15 tahun! Bermakna, setiap hari, begitu banyak ilmu yang ditemukan lantaran ilmu tersebut semakin berkembang dari hari ke hari. Oleh itu, jika tidak disemaikan budaya membaca dalam kalangan masyarakat kita, kita akan ketinggalan dan menjadi masyarakat seperti katak di bawah tempurung. Bertepatan dengan bulan Julai iaitu Bulan Membaca Negara, marilah sama-sama kita menyemai budaya membaca supaya cabaran Wawasan 2020 yang ke-6 iaitu ”mewujudkan masyarakat yang maju dan progresif..” bukan fatamorgana semata-mata.