Selasa, 15 Disember 2009

HIJRAH, SAAT TERBAIK BERMUHASABAH DIRI!


Masa itu Emas! Begitulah ungkapan peribahasa Melayu yang sentiasa meniti di bibir kita yang merujuk kepada begitu pentingnya masa dalam kehidupan kita. Masa sememangnya suatu yang sangat bernilai, malah ia lebih mahal daripada emas dan harta benda. Kerana itulah kewujudan bangsa-bangsa dan tamadun-tamadun unggul dunia adalah didiami oleh mereka yang tahu menilai masa dan sangat mengambil berat soal masa dalam kehidupan seharian mereka.


Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-‘Asr ayat 1-3 yang bermaksud:


((Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka menyeru kepada kebenaran dan mereka menyeru dengan kesabaran)).


Tanpa kita sedari masa berlalu begitu pantas. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Kini kita berada di ambang tahun baru Hijrah 1432 dan tahun Masehi 2010. Pada hakikatnya fenomena kepantasan waktu adalah suatu petanda bahawa dunia sudah semakin di penghujung usianya.


Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW didalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, baginda telah bersabda:


"Tidak akan berlaku qiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api".

H.R.Termizi


Dengan beralihnya kita ke tahun baru, kerisauan sepatutnya dihadirkan dalam diri dengan seribu macam persoalan tentang masa depan kita. Bukan sahaja masa depan hidup di dunia ini tetapi masa depan di akhirat kelak kerana ia adalah destinasi terakhir kita sebagai manusia. Pelbagai soalan perlu diajukan. Apakah sudah cukup amalan kita? Apakah sudah tertebus dosa kita? Apakah layak kita menjadi penghuni syurga? Apakah mampu kita menahan malu di padang mahsyar apabila segala rahsia keburukan kita dipamerkan secara terperinci oleh Allah Taala dan apakah sanggup kita menahan seksaan azab api neraka-Nya?


Allah Taala berfirman di dalam Surah Al-Hasyr ayat 18-20 yang bermaksud:


((Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang Telah dilakukannya (sebagai persiapan) untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri , mereka Itulah orang-orang yang fasik. Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni syurga; penghuni-penghuni syurga itulah mereka yang benar-benar beruntung)).


Insaflah! Bahawa berlalunya masa bermakna semakin tualah usia kita. Lihatlah tubuh kita yang suatu masa dahulu begitu cergas tetapi kita pergerakan sudah menjadi lambat. Rambut kita, dahulunya hitam kini sudah ada kilauan warna putih beruban. Kulit kita, dulunya tegang tetapi kini sudah menampakkan kedutannya. Kerisauan tentang usia ini seharus dilayan dan dipupuk bukannya dimatikan dengan membuat pembedahan plastik bagi menegangkan kulit atau mewarna rambut bagi menyembunyikan uban kerana semua itu akan menghilangkan keinsafan di dalam diri seseorang dan menjauhkannya dari taubat.


Sedarlah! Bahawa bermulanya tahun baru bermakna semakin tualah usia dunia dan semakin hampirlah saat ketibaan hari Kiamat. Jika lahirnya Nabi Muhammad SAW adalah sebagai tanda bermulanya akhir zaman, kini baginda SAW. telah semakin lama meninggalkan kita yang memberi makna usia dunia pastinya benar-benar sangat lanjut. Ini lebih nyata lagi dengan berbagai-bagai siri perkara aneh yang berlaku dan berbagai bencana alam yang tidak terduga berlaku. Seluruh dunia dalam tahun 1430 Hijrah menyaksikan pelbagai kejadian bencana alam yang tidak terkawal. Begitu juga dengan kejadian jenayah, pembunuhan dan peperangan yang seolah-olah tiada noktahnya.


Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:


"Hari qiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku 'al-Harj'". Sahabat bertanya, "Apakah al-Harj itu hai Rasulallah"? Nabi saw. menjawab, "Peperangan demi peperangan demi peperangan".

Hadis Riwayat Ibnu Majah.


Masa yang menjadi semakin singkat ini tidak sewajarnya dibiarkan begitu sahaja dan hendaklah kita menggunakan sebaiknya. Kerana kepentingan masa inilah Allah SWT bersumpah dengan Wal Asri iaitu Demi masa!. Manusia akan sentiasa berada di dalam kerugian sekiranya tidak memanfaatkan masa dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat. Suasana umat Islam hari ini seolah-olah lebih cenderung kepada memenuhi kehidupan mereka dengan keseronokan dan hiburan sebaliknya tidak berminat dengan akitiviti lebih bermanfaat seperti beribadah di Masjid ataupun menuntut ilmu. Ini dapat dilihat apabila masjid-masjid sentiasa suram dengan penghuninya sebaliknya tempat-tempat hiburan sentiasa penuh dengan pengunjungnya.


Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:


((Dua nikmat yang selalu diabaikan oleh ramai manusia iaitu kesihatan dan masa lapang))

Hadis Riwayat Imam Bukhari.


Masa dalam kehidupan seorang muslim sangat penting. Ia lebih penting daripada wang ringgit. Oleh itu setiap waktu dalam kehidupan muslim sentiasa dikaitkan dengan ganjaran jika dilaksanakan amalan tertentu. Waktu fajar umpamanya dikaitkan dengan dua rakaat solat sunat yang lebih baik dari nilai dunia dan isinya. Waktu tengah malam pula ialah saat afdalnya munajat kepada Allah Taala. Bulan Ramadan pula ialah waktu diturunkan barakah dan keampunan Allah. Ini semua memberi erti bahawa seorang muslim tidak harus membiarkan waktunya berlalu begitu sahaja tanpa sebarang amalan yang boleh membahagiakannya di akhirat kelak. Bagi seorang muslim masa di dunia adalah waktu untuk bersusah payah dahulu mengumpul bekalan sebelum mengecapi kegembiraan di akhirat kelak!


Masa sepatutnya digunakan sebaiknya kerana ia sesuatu yang tidak dapat dikembalikan semula. Masa muda tidak dapat dikembalikan. Begitulah juga masa sihat dan masa lapang tiada siapa yang boleh mengembalikannya.


Nabi SAW bersabda yang bermaksud:


“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sempit dan masa senang sebelum susah”.


Hadis riwayat Al-Hakim.


Masa muda, ia adalah saat tubuh badan masih kuat dan fikiran masih segar, maka gunakanlah ia untuk melaksanakan ibadah dan menuntut ilmu. Bukannya digunakan untuk berseronok atau hanya berhibur seperti mana yang banyak berlaku hari ini. Kerana apabila sudah tua pastinya pergerakan semakin perlahan dan kebolehan menuntut ilmu semakin lemah dan kekuatan untuk melaksanakan ibadah semakin sedikit.


Diriwayatkan bahawa malaikat maut telah datang bertemu Nabi Yaakub a.s. Maka Nabi Yaakub bertanya: “Wahai malaikat maut apakah kamu datang kepadaku kerana ingin mencabut nyawa atau menziarahiku? Jawabnya: Untuk menziarahmu sahaja. Berkata Nabi Yaakub: Aku ada satu permintaan darimu. Bertanya malaikat maut: Apakah permintaanmu? Jawab Nabi Yaakub: Jika kamu datang untuk mencabut nyawaku maka hantarkanlah dahulu utusan untuk memaklumkanku terlebih dahulu. Kata malaikat maut: Ya!. Kemudian malaikat mautpun pergi. Setelah beberapa tahun malaikat maut datang kembali kepada Nabi Yaakub. Lalu Nabi Yaakub bertanya: Kamu datang untuk menziarah atau mencabut nyawaku? Kata malaikat maut: Aku datang untuk mencabut nyawamu. Lalu kata Nabi Yaakub: Bukankah aku telah katakan jika kamu ingin mencabut nyawaku hantarkan dahulu seorang utusan supaya dapat aku bersedia menambah ketaatan dan amal kebaikan. Jawab malaikat maut: Aku telah lakukannya. Kata Nabi Yaakub: Tiadapun utusan yang sampai kepadaku. Jawab malaikat maut: Sesungguhnya aku telah mengutuskan dua utusan iaitu uban di kepalamu dan belakangmu yang bongkok”.


Masa juga mestilah dipelihara ketika kita melaksanakan kerja dan tugas harian. Sebagai muslim menghargai masa dan menepatinya adalah satu kewajiban manakala tidak menepatinya adalah satu dosa kerana ia adalah tanda sifat munafik. Apa yang berlaku dewasa ini ialah meremehkan masa dan selalu lambat yang semakin menular di kalangan umat Islam. Pada masa ini orang Arab sering dikaitkan sikap lambat, suka bertangguh, tidak tepati janji dan begitu juga dengan masyarakat Melayu hingga munculnya ungkapan ‘janji Melayu’.


Penyakit lambat ini telah memberikan imej yang tidak baik kepada Islam itu sendiri kerana bangsa Arab dan bangsa Melayu adalah sinonim dengan Islam. Contohnya di tempat kerja, suasana lambat menghadiri mesyuarat, lambat memulakan sesuatu majlis dan lambat menyiapkan tugasan adalah menjadi lumrah. Budaya lambat ini adalah gambaran kemalasan dan kelembapan dan biasanya budaya inilah yang membantutkan kemajuan. Lihat sahaja apa yang berlaku di pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta. Amat susah untuk melihat sesuatu mesyuarat dimulakan tepat pada waktunya. Ada sahaja alasan yang diberikan untuk menghalalkan kelewatan. Dan ia amat malang sekali jika kelewatan itu berpunca daripada sikap ketua yang tidak prihatin. Malah ada sesetengah tempat, masa yang tercatat sengaja diawalkan kerana sudah sedia maklum pasti akan berlaku kelewatan dalam memulakan sesuatu majlis.


Masa dalam masyarakat yang maju sangat bernilai. Bangsa Jepun, Jerman dan Yahudi sudah terkenal dengan sikap ambil berat mereka terhadap masa. Di Jepun kelewatan beberapa saat sahaja menyebabkan seseorang tertinggal keretapi. Di Jerman para pelajar dan pensyarah universiti masuk ke dewan kuliah lebih awal dari waktunya. Manakala di Israel pula, bangsa Yahudi diajar mengejar masa agar matlamat mereka menakluki bumi Palestin tercapai. Meskipun mereka bukan Islam tetapi nilai yang diajar oleh Islam itu ada dalam diri mereka maka selayaknya mereka mengecapi hasil kesungguhan mereka menjaga masa dan menghargainya. Tetapi sikap kita umat Islam yang masih kurang menghargai masa menyebabkan kemajuan kita terbantut dan terhalang.


Biasanya pada setiap penghujung tahun setiap orang akan menilai prestasi mereka dan juga yang dinilai oleh majikan bagi melayakkan mereka mendapat kenaikan pangkat atau menerima anugerah tertentu. Namun apakah pernah kita turut sama membuat penialian kepada amal ibadah kita? Pernahkah ditanya, berapa kalikah aku meninggalkan solat pada tahun ini? Apakah puasaku cukup? Apakah aku pernah bangun malam menangisi dosaku di hadapan Allah? Apakah aku membaca al-Quran dan berapa kali aku membacanya dalam seminggu? Apakah aku benar-benar rasa nikmat menjadi Muslim? Apakah aku sudah bertaubat dari dosa-dosa besar yang telah aku lakukan?


Pernahkah juga kita bertanya diri sendiri tentang peningkatan ilmu dan kefahaman kita? Berapa buah buku ilmiah yang telah aku baca? Berapakah tulisan yang pernah aku hasilkan? Berapa kali aku menghadiri majlis ilmu? Apakah aku termasuk dalam golongan pencinta ilmu atau golongan pencinta hiburan?


Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:


“Barang siapa yang sama dua harinya maka ia adalah orang yang rugi, dan barang siapa yang semalamnya lebih baik dari hari ini maka ia adalah orang yang ternafi dari kebaikan, dan barang siapa yang tiada peningkatan maka ia akan sentiasa berkurang, maka barang siapa sentiasa berkurang maka perut bumi lebih baik baginya daripada permukaannya (lebih baik mati sahaja)”.


Dalam menyambut tahun baru sewajarnya kita tidak terjerumus di dalam aktiviti-aktiviti hiburan dan pesta-pesta maksiat yang seolah-olah sudah menjadi satu budaya di dalam masyarakat kita sedangkan ia adalah budaya masyarakat Barat yang sudah tenggelam dalam kegilaan berhibur.Kita juga tidak seharusny menjadi penganjur kepada aktiviti seumpama ini yang hanya akan menambahkan saham dosa kita sahaja.


Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:


"Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi saw. menjawab, "Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu-menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, (6) hasut-menghasut sehingga jadi zalim menzalim".

Hadis riwayat Al-Hakim.


Saat ketibaan tahun baru adalah waktu paling sesuai melakukan musahabah diri kerana ia akan menjadi garis panduan setiap langkah yang akan disusun buat memenuhi ruang sepanjang tahun yang akan datang.


Berkata Saidina Umar bin Al-Khattab r.a :


“Muhasabahlah dirimu sebelum dirimu dihisab dan timbanglah amalanmu sebelum ia ditimbang, sesungguhnya hari penghisaban di akhirat akan menjadi mudah jika kamu bermuhasabah pada hari ini. Berhiaslah (dengan amalan) untuk hari pameran terbesar (di akhirat kelak), pada hari tersebut semua amalan akan dipamerkan tanpa sebarang penyembunyian”.

Sumber : http://zuridanmdaud.blogspot.com/

PERPADUAN MELALUI BAHASA : FAKTOR KEJAYAAN SINGAPURA


DUA perkara amat penting telah ditimbulkan oleh Zainuddin Maidin (Zam) dalam kolumnya "Hari itu sudah berlalu" di Mingguan Malaysia, Ahad lalu.

Pertama, Zam menulis; "Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew terus tidak membenarkan bekas 'anak emasnya' yang pernah menjadi anggota PKM (Parti Komunis Malaya) untuk masuk ke Singapura hingga hari ini."

Keduanya, tindakan Kuan Yew yang berani menghapuskan sekolah-sekolah Cina yang menjadi pusat pengembangan cauvinisme Cina yang menjadi pangkalan kepada komunisme.

Ketika kebangkitan PKM di Singapura pada tahun 1950-an hingga awal tahun 1960-an, Kuan Yew selaku Perdana Menteri secara tegas memerangi pelampau Cina apabila beliau menukar pengantar bahasa Cina di sekolah Cina dengan bahasa Inggeris dan memaksa Universiti Nanyang dan Kolej Ngee Ann untuk bergabung dengan Universiti Nasional Singapura yang menggunakan pengantar bahasa Inggeris.

Beliau tidak mempedulikan tunjuk perasaan membantah tindakannya itu yang diterajui oleh pelampau Cina dan pelajar-pelajar kedua-dua institusi pengajian tinggi Cina yang dianggap sebagai simbol kebudayaan Cina di Singapura. Beliau menutup mulut mereka sekali dan selama-lamanya.

Kejayaannya yang cemerlang dapat dilihat hari ini dengan perasaan dan semangat "kekitaan" di kalangan rakyat Singapura berbilang kaum yang begitu tinggi dan mantap berbanding dengan rakyat Malaysia yang berada dalam perasaan kebanggaan kaum masing-masing.

Malaysia sekalipun telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara tetapi tidak mempunyai keazaman politik untuk mengambil tindakan yang tegas dari awal bagi melaksanakannya, sebaliknya lebih suka bermain politik untuk mengekalkan pengaruh dan akhirnya menghadapi malapetaka pada tahun 2008. Sekolah aliran pelbagai bahasa terus berkembang dan tidak dapat disekat lagi.

Usaha membangunkan semangat nasionalisme menerusi program bahasa Melayu nampaknya hanya didukung dan melibatkan semata-mata orang Melayu kerana bukan Melayu merasa terasing dari aliran perdana atau aliran nasional kecuali sekelompok kecil yang bersekolah kebangsaan dari peringkat awal.

Ini bukan sahaja kerana kesalahan mereka tetapi juga kerana pendekatan golongan fanatik bahasa yang memperjuangkan bahasa Melayu seolah-olah hanya bahasa untuk orang Melayu. Umpamanya mereka menolak istilah bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia seperti yang dicadangkan oleh Bapa Merdeka, Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Lebih teruk lagi setelah lebih 52 tahun merdeka, Dewan Bahasa dan Pustaka dan golongan fanatik bahasa ini masih menggunakan slogan gunakanlah bahasa Melayu untuk kempen bahasa yang mana mereka tidak sedar ia amat menyakitkan hati kebanyakan bukan Melayu yang telah pun menggunakan bahasa Malaysia terutama sekali di Parlimen dan mahkamah (dalam kehakiman dan guaman).

Dalam beberapa hal, pendekatan fanatik bahasa yang bersifat jingoisme atau nasionalisme sempit telah menyebabkan orang bukan Melayu merasa terasing dengan bahasa Melayu walaupun mereka menerimanya menerusi persekolahan. Dan generasi Melayu selepas merdeka menganggap bahasa Inggeris sebagai tidak penting.

Pokoknya, semua ini berlaku adalah kerana tidak ada ketegasan dan kebijaksanaan kerajaan dalam mengendalikan pengembangan bahasa dan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa untuk aliran perdana.

British telah melahirkan orang berjiwa Malaysia, berfikiran Malaysia dan bersemangat sejarah Malaysia seperti Prof Khoo Khay Kim tetapi berapa ramaikah manusia bukan Melayu seperti ini yang dilahirkan oleh Malaysia selepas kemerdekaan?

Tidakkah ini kerana cara pendekatan orang Melayu sendiri yang menyebabkan masyarakat merasakan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk Melayu sahaja.

Kita tidak lagi boleh membiarkan Dewan Bahasa dan Pustaka serta golongan fanatik bahasa mengendalikan pengembangan bahasa Malaysia di negara ini tetapi hendaklah menyerahkan tanggungjawab ini kepada golongan profesional yang berfikiran terbuka dan luas.

Jamil Ahmad

Kuala Lumpur

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Isnin, 14 Disember 2009

PERADABAN MELAYU MANTAP

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Bahasa, pemikiran maju sebelum kedatangan pengaruh luar di Nusantara

SARJANA tanah air diminta menekankan kemajuan peradaban Melayu secara endogenus, iaitu pertumbuhan dari dalam masyarakat berdasarkan kreativiti mereka, tanpa terperangkap kecenderungan melihat kemajuan secara eksogenus, iaitu suntikan daripada peradaban lain.

Cadangan yang dikemukakan tokoh ilmuwan dan budaya Melayu pada Seminar Peradaban Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini, bertujuan mengelakkan mereka daripada terperangkap dalam perbincangan yang lebih diberatkan kepada aspek eksogenus kerana semua peradaban dunia seperti Arab Islam, Eropah Islam, India Hindu dan Cina tidak terlepas daripada menerima pengaruh luar.

Felo Penyelidik Kanan, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar, berkata kecenderungan sarjana tanah air mengambil sikap eksogenus menyebabkan ia dimanfaatkan pihak tertentu bagi menafikan kewujudan peradaban Melayu.

“Saya pernah menerima kiriman petikan daripada buku yang diterbitkan di luar negara yang mengatakan unsur peradaban luar yang datang ke alam Melayu. Inilah yang menjadikan orang Melayu sebagai bangsa yang berperadaban dengan mengambil contoh perkataan daripada bahasa Sanskrit, Arab, Parsi, Inggeris, Portugis, Belanda dan Cina,” katanya ketika membahaskan Bahasa Sebagai DNA Peradaban pada seminar anjuran Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tanpa menafikan pengaruh luar memperkaya bahasa Melayu, Prof Emeritus Asmah mengingatkan khalayak untuk tidak menerima pandangan penulis blog terbabit yang berusaha merendah-rendahkan peradaban Melayu.

Ini kerana bahasa Melayu dan pemikiran Melayu sudah maju sebelum datangnya pengaruh dari luar atau dengan perkataan lain, bahasa Melayu sudah lengkap dengan sistem leksikal bahasa yang dapat memaujudkan konsep dalam minda penuturnya.

“Bukti bahasa Melayu bertulis paling awal ialah bahasa di batu bersurat Sumatera Selatan dan Pulau Bangka yang bertarikh abad ke-7 yang turut dikenali sebagai Inskripsi Melayu Sriwajaya yang sudah banyak diperkatakan sarjana Belanda, Perancis dan Inggeris,” jelasnya.

Pandangan Prof Asmah itu diperakukan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, yang menegaskan tamadun Melayu dibina orang Melayu yang pandai berfikir dalam bahasanya seperti digambarkan dalam Hikayat Hang Tuah.

“Orang Melayu pandai menggunakan bahasa dengan baik, betul dan indah walaupun tidak mempelajarinya secara formal. Ini menunjukkan cara berfikir dalam bahasa Melayu menyebabkan akal dapat ditajam serta dijernihkan sehingga menjadi alat pembinaan tamadun tinggi,” katanya ketika membahaskan Karya Agung Melayu: Cerminan Keunggulan akal budi bangsa Melayu Sepanjang Zaman.

Kekuatan akal Melayu tidak dikacau oleh bahasa asing sehingga pemantun dan pencetus pepatah serta peribahasa Melayu zaman dulu bebas untuk mengetahui atau menguasai bahasanya secara intuitif.

Pengarah APM, UM, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, menyarankan peradaban Melayu dimantapkan kembali dengan menjadikan kekuatan Islam dan ilmunya sebagai kekuatan rohani serta falsafah Melayu.

“Pendekatan ini membolehkan ia menjadi benteng pertahanan rohani Melayu daripada segi tauhid, takwa dan iman. Fungsi bahasa Melayu juga perlu dipertingkatkan daripada bahasa kebangsaan dan pengantar di sekolah kepada bahasa ilmu,” katanya.

Pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perlu diberi sokongan dan sarjana di semua universiti awam perlu bekerja keras untuk menulis makalah atau buku dalam bahasa Melayu dalam semua ilmu.

“Selain penciptaan ratusan ribu kosa kata dan istilah baru oleh ilmuwan, saintis dan teknologis Melayu, mereka juga perlu meneroka ke dalam alam teoritikal dan paradigma Melayu,” katanya ketika membincangkan Memantapkan Peradaban Melayu.

Zainal Abidin menegaskan tumpuan juga harus diberikan kepada penerokaan bidang baru yang belum diangkat kepada umum seperti falsafah, maritim dan ethnosains Melayu, selain mencipta dan merumus teori Melayu seperti dalam bidang kesusasteraan.

“Dalam usaha mempertingkatkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu perlu dijadikan sebagai bahasa kedua atau bahasa antarabangsa kepada pelajar antarabangsa yang difahamkan terdapat lebih 100 institusi pengajian Melayu di dunia,” tegasnya.

Dalam konteks perdagangan pula, bangsa Melayu perlu meramaikan individu yang datang daripada kelas masyarakat perusahaan, perdagangan dan perindustrian Melayu dengan mewajibkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan dalam bidang berkenaan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Malaysia Ke Final Selepas Tewaskan Laos 3-1

PEMAIN-pemain negara meraikan kejayaan layak ke perlawanan akhir bersama penyokong Malaysia selepas menewaskan Laos 3-1 pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos dekat Vientiane, semalam.

VIENTIANE, 14 Dis (Bernama) -- Malaysia berpeluang menamatkan kemarau emas selama 20 tahun apabila mara ke perlawanan akhir acara bola sepak lelaki pada Sukan SEA ke-25, selepas menewaskan Laos 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, di sini hari Isnin.

Lawan Malaysia pada pertemuan akhir pada Khamis ini ialah Vietnam yang sebelum ini menumpaskan Singapura 4-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Chaou Anouvong, dekat sini.

Dua gol Malaysia dijaringkan oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-13 dan 79 sementara gol ketiga dijaringkan oleh Safiq Rahim pada minit ke-84.

Biarpun stadium dipenuhi 23,000 penyokong tuan rumah, anak buah K.Rajagobal bermula dengan yakin dan melakukan beberapa percubaan berbahaya bagi menguji kekuatan lawan.

Kedua-dua pasukan tidak bertemu dalam saingan peringkat kumpulan. Malaysia ialah naib juara Kumpulan A sementara Laos mengungguli Kumpulan B.

Malaysia yang kali terakhir beraksi dalam saingan separuh akhir pada edisi 2005 di Filipina, membuka jaringan pada minit ke-13 menerusi jaringan Baddrol Bakhtiar.

Gol tersebut berpunca daripada umpanan lintang Abdul Manaf Mamat di depan gawang lawan dan sepakan lipatan gunting dari Baddrol mencecah jaring lawan.

Bagaikan selesa dengan gol awal tersebut, barisan pemain Malaysia kemudian memperlahankan rentak perlawanan.

Menyedari kerapuhan benteng, Rajagobal kemudian mengeluarkan tonggak pertahanan Mohd Sabree Mat Abu dan memasukkan Muhamad Azmi Muslim.

Namun tindakan tersebut agak terlambat apabila Laos mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-72 menerusi rembatan Kanlaya Sysomvang, selepas dia memperdayakan benteng Malaysia.

Tujuh minit kemudian, Baddrol menjadi wira Malaysia apabila rembatannya membolosi gawang Laos sekali lagi.

Gol tersebut berpunca dalam perebutan di depan gawang lawan apabila tendangan S.Kunalan terkena palang gol sebelum Baddrol menyambar bola tersebut dan melepaskan rembatan kencangnya tepat ke jaring Laos.

Safiq melengkapkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-84 selepas hantaran dari Norshahrul Idlan Talaha di depan gawang lawan ditampannya kemas ke jaring lawan.

Kali terakhir Malaysia mendapat emas dari acara bola sepak ialah pada edisi di Kuala Lumpur, 20 tahun lepas di bawah bimbingan jurulatih dari Britain, Trevor Hartley.

Sejak emas tahun 1989 (Kuala Lumpur) itu, Malaysia hanya mampu meraih perak pada edisi 2001 (Kuala Lumpur) apabila format pertandingan temasya dwi-tahunan ini diubah kepada pasukan Bawah 23 tahun dan kemudian memperoleh gangsa pada edisi 2003 (Vietnam) dan 2005 (Filipina).

Pada edisi 2007, Malaysia tersingkir awal, pada saingan peringkat kumpulan.

Sebagai rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada Sukan SEA ke-19 di Jakarta pada 1997 dan Laos menewaskan Malaysia 1-0.

Malaysia, naib juara Kumpulan A, memulakan cabaran peringkat kumpulan dengan membelasah Timor Leste 11-0, tumpas 1-3 kepada Vietnam, menang 4-0 ke atas Kemboja sebelum melakukan kejutan dengan mengalahkan juara bertahan sebanyak lapan edisi berturut-turut, Thailand, 2-1.

Sementara Laos, juara Kumpulan B, memulakan cabaran dengan keputusan seri 1-1 dengan naib juara dari edisi Korat, dua tahun lepas, Myanmar, sebelum menewaskan Indonesia 2-0 dan seri tanpa jaringan dengan naib juara Kumpulan B, Singapura.

MALAYSIA: Mohd Sharbinee Allawee, Mohd Sabree Mat Abu (Mohamad Azmi Muslim), Mohd Nasiq Baharom,Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Baddrol Bakhtiar, K.Gurusamy, S.Kunalan, Safiq Rahim, Mohamad Muslim Mohamad, Norshahrul Idlan Talaha, Abdul Manaf Mamat (Amar Rohidan).

LAOS: Souvanpheng Phanthavong, Kanlaya Sysomvang, Kaysone Soukhavong, Phattana Syvilay (Sayya Meuangmany), Keovisiane Keovilay (Dao Khotsaya), Kitsada, Saynakhonevieng Phommapanya, Keoviengphet Lithideth, Ketsada Souksavanh, Lamnao Singto, Khampheng Sayyavutthi.

PENGADIL: Saleem Ali (Maldives)

Sumber : http://www.bernama.com/

Nota Hujung:

Tahniah skuad negara atas kejayaan gemilang ini. Lebih manis lagi apabila mereka bukan sahaja mampu menewaskan pemain lawan malahan mengetepikan sokongan ribuan penonton tuan rumah. Selepas ini skuad negara harus meletakkan sasaran KPI (Key Performance Indicator) yang baru. 17 haribulan bakal menjadi penentu. Misi menewaskan pasukan Vietnam bukan misi yang mustahil, walaupun mungkin bukan mudah untuk direalisasikan. Tetapi, jika berdasarkan semangat yang ditunjukkan oleh pemain-pemain kita malam tadi, insya-Allah lagu Negaraku akan berkumandang dan jalur gemilang akan berkibar di Vientianne pada tarikh tersebut. Malaysia Boleh!!!


Pesanan kepada pemain:

"Pemain-pemain muda negara perlu bermain dengan komitmen 100 peratus dan memanfaatkan semua peluang yang ada sebaik mungkin kerana bukan senang untuk menjaringkan gol"

"Mereka juga perlu berjuang sehingga ke minit-minit terakhir perlawanan dan tidak mudah berputus asa " .

(Bekas Pemain Negara Ahmad Yusof)

Ahad, 13 Disember 2009

AGROPOLIS : KONSEP PERTANIAN FUTURISTIK


Apakah yang menjadi fokus pertanian menjelang beberapa dekad akan datang? Dengan pertambahan penduduk, makanan akan menjadi isu penting yang perlu ditangani, tidak terkecuali bagi Malaysia yang mana penduduknya akan bertambah.


Penduduk Malaysia kini 26.6 juta dan dijangka meningkat kepada 37 juta menjelang 2020 atau mencecah 70 juta pada 2050.

Ini merupakan satu cabaran untuk menghasilkan makanan dalam keadaan kawasan tanah pertanian yang terhad atau berkurangan dan ia bukan sahaja mengambil kira penduduk Malaysia tetapi juga penduduk dunia yang ketika ini mencecah 6.7 bilion dan dijangka meningkat melebihi sembilan bilion pada tahun 2050.

Justeru pertanian menjadi semakin penting menjelang beberapa dekad akan datang, apatah lagi proses urbanisasi akan berlaku yang mana 80 peratus penduduk dunia akan menetap di kawasan bandar menjelang 2050.

Menurut seorang pakar pertanian tempatan, Prof Datuk Makhdzir Mardan, dunia dan Malaysia akan berhadapan dengan krisis makanan jika isu pertanian tidak diberi perhatian segera. Beliau berkata, terdapat lima cabaran utama yang menjadi hambatan kepada pertumbuhan sektor pertanian masa kini.

Cabaran pertama ialah isu perubahan cuaca (climate change) yang menyebabkan berlakunya anjakan musim, banjir dan kemarau yang menyebabkan kurang penghasilan makanan (kemusnahan tanaman) dan perpindahan manusia dari satu tempat ke satu tempat untuk mencari perlindungan.

"Hasil tanaman seperti kelapa sawit, padi dan lain-lain juga dijangka berkurangan dalam anggaran 10 peratus daripada hasil dengan berlakunya pemanasan melampau bagi setiap peningkatan satu darjah selsius," katanya.

Isu lain mungkin menyebabkan penundaan musim bunga, lalu menjejaskan pengeluaran buah-buahan kerana berlakunya anjakan 10-15 hari musim monsun dan sebagainya. Pemanasan global juga menyebabkan berlakunya malapetaka seperti kenaikan paras laut dan kecairan bongkah ais yang memungkinkan penghasilan bahan makanan terganggu termasuk kemusnahan sumber seperti ikan dan kemasinan tanah pertanian di pinggiran pantai dan sebagainya.

Kini lebih dari 70 peratus penduduk dunia tinggal kurang dari 100 kilometer (km) dari tepian air laut atau sungai kerana air merupakan unsur utama bagi kehidupan di bumi, terutamanya perusahaan pertanian. Penggunaan air bersih yang terhad pada tempat dan masa mestilah direncanakan penggunaannya dalam perusahaan pertanian dengan imaginasi pengairan dan irigasi yang lebih efisien dan kreatif.

Cabaran kedua yang tidak kurang pentingnya ialah pergantungan kepada sumber petroleum atau bahan hidrokarbon. Masyarakat dunia kini sedang mempelbagaikan sumber tenaga supaya pergantungan terhadap petroleum dikurangkan dan diagihkan kepada sumber-sumber yang diperbaharui (renewable).

Penjanaan tenaga daripada sumber petroleum secara berterusan mengakibatkan kos pengangkutan dan baja serta racun makhluk perosak dan rumpai akan meningkat. Ini akan memberi kepada penggalakkan pertanian organik.

Cabaran ketiga ialah bagaimana tamadun manusia dapat memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta bioteknologi memainkan peranan dalam meningkatkan produktiviti sektor pertanian dan industri hiliran. Pertanian bioteknologi kini semakin diperkatakan kerana ia bukan sahaja mampu meningkatkan pengeluaran hasil tetapi lebih pantas, bersih dan mengurangkan kos.

Selain itu, isu organisme diubahsuai secara genetik (GMO) untuk memperoleh baka yang lebih baik akan menjadi isu tetapi pada akhirnya manusia perlu akur dengan tidak mengabaikan etika dan kemanusiaan, baka yang baik perlu dihasilkan.

Penggunaan ICT, terutamanya dalam teknologi penderiaan jarak jauh (remote-sensing), Identifikasi gelombang radio atau RFID (traceability)pula perlu dalam memasarkan hasil pertanian selain pemodelan teknologi pertanian. Ini menyentuh mengenai cabaran keempat iaitu bagaimana teknologi pertanian tepat memainkan peranan dalam era pertanian baru pada masa akan datang.

Justeru pelbagai gabungan sains dalam teknologi pertanian tepat seperti sensor, sistem maklumat geografi (GIS), satelit, ICT untuk meramal hasil pertanian akan menjadi semakin penting.

Ketidakcukupan kawasan pertanian oleh sebab segenap kawasan perlu dimanfaaatkan untuk bertani dan menternak, menjadikan sains pada masa akan datang sangat penting untuk membantu memodenkan sektor pertanian.

Cabaran kelima pula merujuk kepada masalah penghijrahan penduduk dari luar bandar ke kawasan bandar. Malaysia antara negara yang akan mengalami masalah tersebut yang mana satu ketika dahulu iaitu pada era 70-an, 60 peratus penduduk negara ini menetap di kawasan luar bandar. Bagaimanapun selepas tiga dekad, ia telah berubah kepada sebaliknya.

Menurut Makhdzir, berdasarkan pada satu kenyataan oleh Ambler-Edwards et al (2008) dalam Chatham House Report, beberapa dekad akan datang, sistemmakanan global akan dipengaruhi oleh tujuh faktor asas iaitu pertumbuhan penduduk, transisi pemakanan, tenaga, tanah, air, buruh dan perubahan cuaca.

Oleh itu, dalam berhadapan dengan semua situasi ini, pendekatan pelbagai disiplin atau konsep Mega Sains diperkenalkan bagi menjadikan sumber pengeluaran makanan diperhebatkan dengan mengambil kira kesemua faktoryang berkaitan secara serentak. Salah satu pendekatan yang kini diperkenalkan ialah Agropolis iaitu pengeluaran pertanian yang memanfaatkan semua teknologi berkaitan.

Konsep ini memerlukan teknologi pertanian tepat dan terkawal (controlled) suhu, cahaya, nutrien, air, dan lain-lain di kawasan hijau atau ruangan kosong dan pengeluaran yang banyak, bersih, selamat serta mengurangkan kos dan penggunaan semula (kitar semula) sumber-sumber pertanian yang terhad.

Kekurangan dan kekangan kawasan pertanian, serta penghijrahan penduduk ke bandar dan keprihatinan carbon foot-prints telah mengilhamkan Profesor Despommier untuk membangunkan rumah pertanian berkonsepkan pertanian vertikal membabitkan sebuah bangunan 32 tingkat, tertutup dan bersumberkan tenaga suria, mengitar semula air, baja dan menghindarkan racun perosak dan penyakit dan pelbagai lagi dijangka akan menyedia wadah kawasan ternakan (ikan & ayam) dan tanaman (tomato, salad dan sebagainya) bagi membekalkan makanan kepada 70,000 orang penduduk New York.

Hasil pertaniannya nanti adalah segar, kurang memerlukan tenaga untuk pengangkutan (carbon footprints), mudah dikesan (traceability) dan cepat dibekalkan untuk pengguna di metropolis yang penuh dengan penduduk melebihi lima juta. Idea ini kini sedang dipertimbangkan untuk dibangunkan di negeri China.

Pertanian Agropolis secara mudahnya dimaksudkan sebagai kawasan pertanian di kawasan bandar, mungkin di bumbung bangunan untuk mengeluarkan hasil yang tinggi.

Jika Jepun boleh berbangga dengan pertanian moden di atas bumbung bangunan, maka Agropolis kata Makhdzir adalah pertanian futuristik yang sepatutnya diberi perhatian pada masa ini.

Konsep Agropolis

#Memanfaatkan elemen-elemen penting seperti air, tenaga, tanaman bernilai tinggi dengan pertanian lestari dan presis (tepat).

#Konsep pertanian vertikal, kawasan optimum dan menggunakan air kitar semula

*Pelbagai jenis tanaman dalam satu-satu kawasan penanaman.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

PERUBAHAN IKLIM DUNIA SATU PERINGATAN


Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

KINI satu sidang kemuncak mengenai perubahan iklim sedang berlangsung di Copenhagen, Denmark yang menghimpunkan para pemimpin dari seluruh dunia. Persidangan tersebut merupakan satu usaha pada peringkat global bagi membincangkan isu perubahan iklim dunia serta penyelesaiannya melalui perjanjian permuafakatan.

Sebagai seorang Muslim kita boleh mengambil iktibar daripada isu semasa ini untuk merenung kembali akhlak kita terhadap alam sekitar dan bagaimanakah alam sekitar berubah lalu menimbulkan kesan terhadap kita kembali.

Dalam surah ar-Ruum, ayat 41, Allah mengingatkan kita bahawa bencana yang timbul di muka bumi ini adalah akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri. Fenomena cuaca ekstrem seperti kemarau, ribut taufan, banjir yang sering berlaku kini merupakan antara kesan aktiviti manusia selama ini, sebagaimana maksud ayat tersebut.

Malah, melalui kajian saintifik, sememangnya terdapat kaitan langsung antara aktiviti manusia dengan perubahan iklim dunia masa kini. Manusia dan alam sekitar membentuk ekosistem di muka bumi ini dan sebarang aktiviti manusia yang menjejaskan alam akan turut menjejaskan kualiti kehidupan manusia itu sendiri di kemudian hari.

Apabila manusia membuang sampah ke dalam sungai maka sungai yang tercemar tidak lagi dapat membekalkan air bersih kepada manusia. Air merupakan keperluan bagi manusia maka tanpa bekalan air bersih manusia juga yang bakal merana.

Kejadian hujan berterusan dan banjir di Jeddah yang julung-julung kali berlaku pada musim haji, baru-baru ini juga seharusnya menjadi cetusan dan peringatan buat umat Islam tentang dampak yang bakal tercetus akibat ketirisan akhlak terhadap alam sekitar.

Pedoman al-Quran dan hadis membentuk sistem nilai dan akhlak buat umat Islam itu sendiri dalam proses pembangunan umat. Berakhlak mulia tidak sahaja antara sesama manusia, tetapi juga terhadap alam sekitar.

Alam sekitar yang sejahtera bukan hanya untuk dinikmati oleh generasi hari ini, tetapi juga buat anak cucu kita serta generasi akan datang. Adakah kita suka untuk dipersalahkan oleh mereka kerana kebobrokan alam yang diwarisi sebagaimana kita tidak menyukai kerosakan alam oleh generasi terdahulu?

Bencana iklim melanda tidak kira siapa, sama ada umat Islam atau tidak, sama ada yang bersalah atau tidak. Pokok pangkalnya masing-masing perlu memainkan peranan. Andai kita menjaga alam sekitar, kita juga perlu mengajak dan mendidik insan lain melakukan perkara yang sama.

Pemantauan Melalui Teknologi

Ilmu sains dan teknologi dapat membantu menghasilkan kajian yang berguna ke arah pembangunan yang mampan. Kualiti alam sekitar dapat diukur melalui teknologi, begitu juga barangan pengguna yang mesra alam dapat dicipta melalui teknologi.

Teknologi juga boleh digunakan untuk melakukan pemantauan terhadap sebarang aktiviti manusia yang mengancam kesejahteraan alam. Umpamanya di Malaysia, aktiviti pembalakan haram di kawasan hutan simpan mungkin dapat dipantau secara lebih berkesan melalui teknologi pengesanan jarak jauh (remote sensing).

Melalui penggunaan teknologi sedemikian, perubahan warna pada peta kawasan hutan pada masa nyata dapat dikenal pasti. Kawasan hutan yang asalnya serba hijau mungkin berubah kepada tompok cerah disebabkan terdapatnya pepohon yang ditebang lalu mendedahkan kawasan tanah-tanih.

Di samping itu, akta, polisi dan juga piawaian yang lebih ketat boleh digubal dalam usaha menetapkan tahap kesejahteraan alam yang lebih baik. Namun perkara ini perlu diikuti dengan penguatkuasaan yang telus, berterusan dan meluas agar matlamat tersebut dapat benar-benar tercapai.

Apa Peranan Kita?

Kita mungkin bukan sebahagian daripada peserta persidangan iklim sedunia, kita juga mungkin bukan pembuat dasar, juga bukan pemaju atau pemantau. Justeru di mana peranan kita dalam usaha memelihara alam sekitar?

Guna dan buang. Ayat yang boleh kita ingati dan fikirkan maksudnya. Kita boleh mengaitkannya dengan setiap aktiviti harian kita. Setiap hari kita menggunakan sesuatu dan membuang sesuatu.

Tetapi perkataan 'buang' itulah yang perlu kita hayati lagi. Ke mana dibuang? Mengapa perlu dibuang? Membazirkah dibuang? Tidak bahayakah dibuang? Persoalan sedemikian perlu kita tanyakan kepada diri sendiri tatkala hendak berbuat demikian.

Sebagai contoh, penggunaan dan pembuangan plastik. Tidak bahayakah plastik dibuang? Plastik merupakan satu bahan polimer yang sukar mereput walaupun setelah bertahun-tahun lamanya. Mengapa perlu dibuang? Mungkin sahaja boleh dikitar semula, maka tidak perlulah ia dibuang.

Bahan pencuci juga boleh kita kaitkan dengan 'guna dan buang'. Setelah kita gunakan pelbagai sabun pencuci tentunya kita perlu membuangnya. Ke mana dibuang? Ke dalam longkang, parit dan terus ke sungai. Tidak bahayakah dibuang? Ikan-ikan di sungai mungkin tidak dapat bertahan untuk hidup bersama bahan-bahan tidak terurai itu.

Lalu di sini kita sedar tentang hal ini dan sekurang-kurangnya berusaha membeli dan menggunakan sabun pencuci yang mudah terurai atau terbiodegradasi. Begitu juga dengan aktiviti lain, jalan berfikir yang sama boleh kita selami untuk kita sama-sama berusaha memelihara alam sekitar menurut keupayaan diri kita.

Kesimpulan

Sekecil-kecil tindakan kita rupa-rupanya besar kesannya kepada alam sekitar. Ada pertimbangannya apabila kita membuang sesuatu barangan itu. Andai boleh dikitar semula maka ia satu pilihan yang lebih baik.

Sebagai permulaan langkah, kita boleh berkongsi mewujudkan kesedaran pada diri, keluarga dan masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Para ibu bapa boleh menerangkan kepada anak-anak dan menunjukkan teladan yang baik untuk diikuti berkenaan penjagaan alam sekitar.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/