Khamis, 25 Mac 2010

Kekeluargaan renggang punca masalah sosial

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Pendidikan gender, seksualiti dan agama perlu didedah elak remaja terjebak gejala negatif


APABILA cabaran kemodenan global semakin meruncing, moral manusia turut menerima tempias. Pendidikan akhlak yang diterima mungkin tidak setara pengaruh sosial yang tiada sempadan. Malah dunia yang kini boleh dikunjungi dengan hujung jari tidak semuanya menjadi manfaat kepada setiap manusia.

Justeru, golongan muda yang baru mencari identiti perlu dibekalkan ilmu supaya mampu menahan pengaruh kebejatan akhlak dan akidah yang mudah meresap ke minda mereka melalui pelbagai saluran yang sukar dipantau. Gejala arak, dadah, bunuh, buli, merokok, meragut, pecah rumah dan sebagainya adalah antara perlakuan golongan muda bermasalah masa ini. Cara hidup zaman jahiliah kembali menjadi norma dalam masyarakat sekali gus ancaman kepada kemakmuran negara. Kelonggaran ikatan kekeluargaan menjadi antara sebab utama ramai individu bermasalah. Pendidikan agama pula tidak dianggap satu kewajipan dari pemimpin keluarga terhadap anak. Untuk mendepani dunia hari ini, bukan saja dua perkara itu menjadi tunjang mengukuhkan identiti diri malah pendidikan gender dan seksualiti bertujuan membina semula sosial serta budaya setiap individu mengikut acuan agama.

Hari ini, menonton video lucah, kahwin lari, zina serta buang bayi di kalangan remaja sudah melampaui batas kesabaran manusia normal yang inginkan kehidupan berteraskan moral dan agama. Pendidikan seks yang dulunya dianggap remeh bukan lagi usul yang boleh dipandang sebelah mata. Ia sebaliknya perlu dirangka supaya menjadi panduan setiap pelajar di peringkat menengah memahami perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan, keluarga, kemahiran kendiri, kesihatan, tingkah laku seksual, masyarakat dan budaya.

Adalah mengejutkan apabila remaja awal belasan tahun lari mengikut lelaki berkahwin di negara lain, mengamalkan seks bebas serta hamil pada usia kanak-kanak. Walaupun tidak semuanya dengan kerelaan sendiri, ia tetap berpunca daripada kedangkalan ilmu dan longgarnya pemantauan keluarga.

Remaja seperti ini mungkin dapat diselamatkan jika diajar mengenai faktor luaran dan dalaman yang boleh mengancam maruah serta harga diri di samping had batasan agama dalam pergaulan berlainan jantina. Remaja juga perlu diberitahu implikasi hubungan sosial dan seks tanpa nikah serta hukumnya menurut agama serta undang-undang negara. Sikap ingin mencuba sesuatu yang baru serta membuktikan kehandalan sesama rakan sebaya adalah sifat remaja.
Ini adalah sifat yang boleh membawa kecemerlangan kepada remaja jika dilakukan untuk mencapai sesuatu yang baik tetapi jika sebaliknya, mereka akan menghancurkan diri sendiri hanya kerana tidak cukup ilmu menerajui diri.

Banyaknya kes zina dan rogol di kalangan pelajar seawal belasan tahun sungguh mengaibkan dan menjatuhkan maruah golongan dewasa lantaran kegagalan menghalang mereka daripada berkelakuan sedemikian. Mereka mungkin ingin mencuba atau tidak arif dosa dan pahala, malah mungkin kurang memahami ilmu kekeluargaan kerana tiada yang mendidik sehingga tidak sedar wanita dicipta untuk menjadi isteri dan ibu yang melahirkan generasi rabbani, menyenangkan suami, bukan pemuas nafsu tidak halal pada awal usia remaja dan belia.

Hari ini, pembelajaran formal dan khusus penting dalam membentuk peribadi lebih harmoni kepada setiap generasi. Asuhan ibu bapa mungkin tidak mencukupi kerana faktor komitmen terhadap kerjaya yang memaksa seisi rumah tangga memberi keutamaan terhadap perkara lain, bukan lagi mengasuh dan membimbing anak.

Ilmu kekeluargaan yang boleh diterapkan dalam silibus pendidikan gender dan seks perlu menekankan aspek pembinaan keluarga mengikut lunas agama, asas membina sebuah keluarga harmoni, ciri perlu ada dalam mempertahankan kebahagiaan keluarga. Tidak lupa, tanggungjawab setiap ahli keluarga menjamin keseimbangan toleransi dan kepercayaan menjurus kepada kepentingan institusi keluarga, perkahwinan dan komitmen sepanjang hayat serta keibubapaan.

Kes perceraian semakin meningkat. Ia rentetan daripada jalan pintas diambil pasangan suami isteri menyelesaikan konflik keluarga. Segala rasional dan diplomasi dianggap remeh tambahan pula kebergantungan hidup kepada suami semakin berkurangan. Masalah rumah tangga mungkin boleh diselesaikan dengan perceraian, tetapi masalah pembesaran dan masa depan anak, kesan psikologi lantaran perebutan kuasa pemilikan di samping proses pertumbuhan minda kurang sihat akan menzalimi kehidupan anak itu sendiri.

Mengenai ilmu perkahwinan pula, masyarakat mempunyai pengetahuan sangat cetek berkenaan hukum perkahwinan, memelihara dan pembubarannya. Ekoran itu, mungkin ada suami sudah menceraikan isteri tetapi urusan pendaftaran cerai tidak dilakukan mengikut peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam, mereka tetap meneruskan kehidupan sebagai suami isteri walaupun tiada niat dan keinginan untuk rujuk.

Tidak boleh dinafikan, ilmu kekeluargaan harus disebatikan dalam diri setiap individu dan ia mudah diamalkan setiap pelajar yang mempunyai keluarga. Melalui pendidikan gender dan seks, setiap individu boleh diberi bimbingan mengenai amalan kehidupan, hak, tanggungjawab yang tergalas di bahu mereka sebagai individu mengikut jantina, ahli keluarga dan masyarakat yang baik.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang , Universiti Sains Islam Malaysia kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 24 Mac 2010

Kesan beg sekolah berat kepada murid


Oleh Mohd Zhafran Mat Jusoh

Siapa tidak bimbang melihatkan anak-anak kecil membawa beg-beg sekolah yang kadang-kadang lebih besar dan berat dari saiz tubuh mereka sendiri? Sedarkah kita kesan-kesan buruk yang mungkin dihadapi anak-anak kecil ini?

Mungkin ada di antara kita sedar mengenai perkara ini dan sudah menukar beg galas kepada beg beroda yang mudah ditarik. Namun demikian, tidak semua anak-anak kecil ini mendapat keselesaan yang diidamkan.

Dalam satu edisi jurnal saintifik Spine, editornya James N Weinstein cuba mendedahkan kesan-kesan buruk beg berat kepada murid sekolah dan bagaimana ia menyumbang kepada transformasi tidak diingini terhadap tulang belakang mereka.

Penyelidikan ini dijalankan dengan bantuan Resonance Magnetic Imaging (MRI) yang membenarkan pengimejan tulang belakang (lumbar) dalam keadaan berdiri. Tiga kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan sukarelawan berumur sembilan hingga 13 tahun dengan berat antara 35 hingga 52 kilogram juga telah membantu menjalankan kajian ini. Mereka diminta berbaring lurus di atas katil, berdiri tanpa membawa sebarang beg, dan kemudiannya berdiri dengan menggalas beg seberat empat kilogram, lapan kilogram, dan 12 kilogram.

Berat beg-beg tersebut sebenarnya bersesuaian dengan anggaran 10 peratus, 20 peratus dan 30 peratus purata berat badan kanak-kanak normal. Beg-beg itu digalas setiap satu selama 10 hingga 15 minit menggunakan kedua-dua bahu secara seimbang. Keputusannya: Beg-beg itu telah menyebabkan cakera-cakera intervertebrata bertindihan antara satu sama lain secara paksaan, terutamanya pada bahagian tengah dan bawah tulang belakang. Ia juga telah menyebabkan ketidakseimbangan simetri kepada tulang belakang, dengan purata lima kali kesan berat diedarkan kepada bahagian kanan, sementara tiga kali kesan berat diedarkan ke bahagian kiri tulang belakang.

Agak mengejutkan, tidak terdapat kesan-kesan ketara terhadap bentuk tulang belakang. Ini disebabkan oleh kaedah adaptasi automatik oleh badan-badan kanak-kanak tersebut terhadap berat-berat beg yang mereka galas dengan membongkokkan badan. Namun demikian, kaedah-kaedah adaptasi ini telah menyebabkan kesakitan kepada bahagian belakang badan mereka, yang mana kadar kesakitan adalah berdasarkan jumlah berat yang digalas. (Menggalas 12 kilogram lebih menyakitkan tulang belakang berbanding lapan kilogram)

Untuk kesan jangka masa panjang, kemungkinan besar kanak-kanak ini akan menghadapi masalah kesakitan kronik pada tulang belakang mereka. Lebih buruk, mereka mungkin menghadapi masalah tulang belakang bongkok sebelum hari tua mereka! Menurut saintis-saintis yang menjalankan ujian-ujian ini, ia membuktikan bahawa menggalas beg-beg berat memberi kesan buruk kepada tulang belakang kanak-kanak, walaupun hanya berat empat kilogram (10 peratus dari purata berat badan kanak-kanak) sahaja yang digalas.

Oleh yang demikian, bagaimanakah cara untuk mengurangkan beban anak-anak kecil ini?

Pertamanya, pilih beg sekolah yang beroda dan ditarik, daripada beg sekolah yang digalas. Namun demikian, postur badan hendaklah diajar kepada kanak-kanak, iaitu menarik dengan badan yang lurus, bukan membengkokkan badan ke kiri atau ke kanan.

Keduanya, memperkenalkan laci di sekolah untuk memuatkan buku-buku teks yang berat.

Ketiga, memisahkan buku-buku latihan yang perlu dibawa ke rumah dengan buku-buku teks mengandungi pembelajaran. Seterusnya, menggantikan buku-buku teks dengan CD atau DVD interaktif yang boleh dimainkan oleh pemain-pemain DVD atau komputer.

Kelima, memperkenalkan kaedah komputer untuk pelajar di sekolah. Semua latihan dan pembelajaran boleh disimpan dalam kunci-kunci USB yang boleh dibawa ke rumah.

Keenam, setiap subjek diajar secara dua jam persubjek, dari satu jam persubjek. Justeru bilangan subjek yang dipelajari setiap hari akan kurang, tanpa mempengaruhi bilangan jam final untuk setiap subjek.

Kesimpulannya, semua pihak harus berusaha untuk menyelesaikan masalah beg berat kepada kanak-kanak ini. Peranan yang dimainkan ibu bapa adalah sama penting dengan peranan Kementerian Pelajaran. Bersama-samalah menjamin masa depan anak-anak kita.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Selasa, 23 Mac 2010

BELASUNGKAWA TAN SRI SULAIMAN DAUD

Pernah terajui sembilan kementerian


ALLAHYARHAM Tan Sri Sulaiman Daud yang meninggal dunia semalam merupakan seorang menteri Kabinet berpengalaman luas yang pernah menerajui sembilan buah kementerian di antara 1981 sehingga 1999.

Jawatan menteri yang pernah disandang Allahyarham adalah Menteri Wilayah Persekutuan (Mac 1981 - Julai 1981); Menteri Pelajaran (1981-1984); Menteri Kebudayaan; Belia dan Sukan (1984-1985); Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah (1986-1989); Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kehakiman (1989-1990); Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1990-1991); Menteri Pendidikan (1991-1995) dan Menteri Pertanian (1995-1999).

Allahyarham merupakan bekas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak apabila memenangi jawatan tersebut tanpa bertanding pada tahun 2002. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya dari 1995 hingga 2004.

Ketika menjadi Menteri Pendidikan, Allahyarham pada tahun 1994 bertanggungjawab membawa kemudahan Internet di sekolah tempatan. Pelaksanaannya bermula melalui projek percubaan pertukaran maklumat dengan 70 buah negara melalui Internet yang diperkenalkan di 50 buah sekolah terpilih.

Projek berkenaan dikenali sebagai Jaringan Pendidikan Kebangsaan (JPK). Sulaiman ketika mengulas mengenai projek percubaan berkenaan berkata, Internet ketika itu sudah digunakan oleh beratus ribu pelajar di negara-negara maju sebagai satu sumber maklumat yang mudah dan terkini.

Semasa menyandang tugas yang sama, Allahyarham juga merupakan penggerak utama bagi penubuhan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Antara isu-isu yang beliau tangani ketika menjadi Menteri Pendidikan adalah menghantar pegawai dari Kementerian Pendidikan dan Pusat Islam bagi memberikan penerangan secukupnya kepada para pelajar Malaysia di luar negara mengenai tindakan kerajaan mengharamkan pergerakan al-Arqam pada tahun 1994.

Langkah berkenaan diambil selepas Sulaiman mendapati laporan Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) menunjukkan para pelajar Malaysia di luar negara ingin mengetahui faktor- faktor penyelewengan al-Arqam dan perkembangan terbaru mengenai pertubuhan itu.

Pada masa itu, beliau menganggap sesi penerangan adalah amat penting supaya tidak timbul rasa simpati oleh para pelajar ekoran pengharaman pergerakan tersebut.

Selain isu al-Arqam, Allahyarham turut bertanggungjawab menangani masalah gejala sosial bohsia di kalangan para pelajar sekolah.

Dalam menangani masalah tersebut, beliau meminta semua pihak termasuk ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan masing-masing memandangkan aktiviti bohsia berlaku di luar waktu persekolahan.

Pada tahun 1995, Allahyarham mengarahkan kesemua universiti di negara ini mewujudkan Program Jarak Jauh (PJJ) masing-masing bagi membolehkan rakyat memperoleh pendidikan tinggi di institusi pengajian tinggi.

Ketika mengumumkan perkara berkenaan, beliau berkata, langkah mewujudkan PJJ adalah penting kerana tidak semua negara mampu menyediakan tenaga pengajar dan institusi pengajian tinggi di bandar-bandar kecil.

Semasa menjadi Menteri Pertanian pula, Allahyarham terlibat dalam langkah penyeragaman harga beras dan menjadikannya barangan terkawal pada tahun 1998. Allahyarham juga antara pemimpin yang bertanggungjawab dalam meneroka peluang untuk menceburi sektor pasaran makanan halal.

Langkah tersebut bertujuan menjadikan Malaysia sebagai pusat makanan halal dunia berdasarkan permintaan makanan halal yang tinggi dari Amerika Syarikat (AS).

Beliau turut menggalakkan Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) menggiatkan lagi usaha promosi hasil-hasil pertanian Malaysia di luar negara.

Berdasarkan laporan sebelum ini, pada penghujung 1999 Allahyarham meminta Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad supaya namanya digugurkan daripada senarai Kabinet alaf baru.

Sulaiman dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada konvokesyen ke-25 universiti berkenaan di Skudai, Johor Bahru pada tahun 2000. Allahyarham turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Dalam Bidang Sains Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada tahun yang sama.

Pada penghujung 2000, Allahyarham dilantik sebagai pro-canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk tempoh lima tahun. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004 pula, Sulaiman mengumumkan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Petra Jaya di Sarawak.

Allahyarham kemudiannya mengundurkan diri dari mempertahankan jawatan naib Presiden pada persidangan agung PBB yang ke-11 pada 2007 bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.

Allahyarham akan terus dikenang sebagai seorang bekas anggota Kabinet dan pemimpin masyarakat yang berpengalaman luas dan banyak berjasa serta menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai bidang. Al-Fatihah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 22 Mac 2010

Insentif khas martabat semula vokasional

Kemahiran, minat pelajar perlu dicungkil peringkat awal agar dapat penuhi pasaran kerja

KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyediakan insentif khas kepada kelompok pelajar yang tercicir amat bertepatan dengan hasrat untuk meningkat modal insan negara.

Insentif khas ini ditujukan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang dan gagal untuk menyambung pelajaran, berkemampuan untuk menguasai salah satu kemahiran bagi membuka peluang kerjaya kepada mereka. Menurut statistik pencapaian keputusan SPM 2009, seramai 4,626 daripada 465,853 calon yang menduduki peperiksaan, gagal atau memperoleh gred G.

Dua tahun lalu, pihak kerajaan turut melahirkan rasa bimbang dengan lebih 83,000 pelajar sekolah rendah hingga Tingkatan Lima yang mengalami keciciran daripada sistem persekolahan negara. Ini bermakna, setiap tahun seramai 7,545 pelajar tercicir daripada arus pendidikan. Walaupun nampak kecil peratusannya, yang pasti, ia tidak seharusnya berlaku jika semua pihak mengambil langkah pemulihan awal setiap tahun. Justeru, cadangan kerajaan untuk menyediakan insentif khas itu amat baik.

Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap masa depan pelajar terbabit dan tidak hanya kepada kelompok yang cemerlang akademik semata-mata. Apatah lagi dalam realiti masyarakat yang terlalu memberi tumpuan kepada kelompok pelajar cemerlang akademiknya. Adalah suatu yang mendukacitakan jika kita masih beranggapan bahawa, hanya pencapaian cemerlang dalam akademik saja sebagai penentu kepada kejayaan dalam kehidupan.

Begitu juga, adalah suatu yang amat tidak tepat sekiranya hanya kumpulan yang cemerlang dalam akademik saja mampu menjadi warga berguna. Jika persepsi ini tidak berubah, usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan modal insan berjalan dengan sempurna tidak mungkin akan tercapai. Seterusnya, bilangan keciciran setiap tahun tidak akan mempunyai jalan penyelesaian.

Untuk itu, insentif khas berupa laluan pendidikan menitikberatkan latihan kemahiran vokasional difikirkan mampu untuk membentuk individu agar berdikari dalam menempuh kehidupan tanpa mengambil kira pencapaian akademik.

Bagaimanapun, dicadangkan insentif khas itu perlu dimulakan lebih awal lagi dan tidak menunggu sehingga mereka menamatkan Tingkatan Lima. Menunggu sehingga tamat Tingkatan Lima dikhuatiri terlalu lewat untuk kelompok pelajar lemah akademik ini dihalakan minat ke arah kemahiran vokasional. Ini kerana keciciran pelajar berlaku lebih awal lagi seperti dilaporkan sebelum ini.

Justeru, berikut dikemukakan cadangan untuk pihak pelaksana dasar dalam merangka bentuk insentif khas berkenaan. Apa yang penting ialah insentif khas mestilah mampu memastikan setiap insan mendapat pembelaan sewajarnya untuk kepentingan negara di masa depan.

Insentif khas itu perlulah dimulakan pada peringkat lebih awal lagi bagi mengimbangi tumpuan pendidikan pada peringkat sekolah agar tidak menjurus kepada kecemerlangan akademik semata-mata. Untuk itu, sistem pendidikan perlu menjurus kepada eksplorasi minat pelajar. Guru, di samping memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, harus juga berusaha mengenal pasti kecenderungan dan minat pelajar. Jika perlu, kad minat pelajar perlu diwujudkan untuk setiap pelajar.

Setiap pelajar hendaklah dipastikan tidak harus berasa tersisih atau disisihkan hanya disebabkan pencapaian akademik tidak memuaskan. Oleh itu, insentif khas juga harus diberi setiap tahun di hari penyampaian hadiah kepada mana-mana pelajar yang didapati mempunyai kelebihan, bakat dan kreativiti dalam bidang kemahiran yang dikenal pasti.

Mata pelajaran kerjaya harus diperkenalkan seawal Tingkatan Satu dengan memperkenalkan bentuk pekerjaan dan kepentingannya berdasarkan keperluan negara. Ini akan memberi gambaran awal bahawa keperluan tenaga kerja negara tidak hanya tertumpu kepada tahap pencapaian akademik yang cemerlang.

Dalam tempoh tiga tahun iaitu dari Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Tiga, pihak sekolah harus mengenal pasti kumpulan yang benar-benar tidak berkemampuan dalam akademik. Kumpulan ini harus dibimbing dan didorong untuk mengenal pasti pilihan bidang kemahiran yang diminati berdasarkan kepada corak keperluan tenaga kerja negara di masa depan mengikut sektor.

Laluan kerjaya setiap bidang kemahiran harus diberi gambaran dengan jelas dalam mata pelajaran kerjaya yang diperkenalkan dalam tempoh tingkatan satu hingga tingkatan tiga itu. Ini bertujuan memberi harapan kepada pelajar yang memilih bidang kemahiran tertentu bahawa, di sana masih ada peluang luas untuk meningkatkan tahap kerjaya dari semasa ke semasa.

Guru kaunseling hendaklah bukan sekadar menyediakan maklumat kerjaya ke institusi pengajian tinggi kepada mereka yang cemerlang akademik, tetapi perlu dilengkapkan diri dengan maklumat berkaitan peluang latihan di Institusi Latihan Kemahiran Awam seperti Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara dan Pusat Giat Mara. Institusi ini bakal menjadi pilihan pelajar mempunyai pencapaian akademik sederhana.

Bagi menarik minat pelajar, seterusnya meyakinkan masyarakat keseluruhannya untuk memilih pendidikan vokasional, tiada jalan lain melainkan berusaha memperkasakan dan memartabatkan kembali pendidikan vokasional ini. Kerajaan sedaya upaya perlu memastikan pendidikan vokasional ini tidak menjadi bentuk pendidikan kelas dua.

Untuk itu, kerajaan disarankan untuk mempertimbangkan langkah seperti mewujudkan pelan pendidikan kemahiran vokasional komprehensif; meningkatkan keupayaan pendidikan vokasional dan jika perlu, melakukan penjenamaan semula ke atas institusi latihan kemahiran vokasional tertentu.

Bagi memastikan kemahiran vokasional yang dimiliki diguna pakai sepenuhnya, kerajaan perlu memastikan lulusan vokasional tempatan tidak hilang. Ini boleh dilakukan dengan menggubal polisi tertentu yang mewajibkan setiap sektor mengutamakan pekerja mahir lulusan vokasional tempatan serta, pada waktu sama mengehadkan penggunaan pekerja asing di setiap sektor secara berperingkat.

Bagi memberi keyakinan kepada pelajar supaya memilih pendidikan vokasional, kerangka kerjaya yang jelas khusus untuk lulusan kemahiran vokasional wajar diwujudkan, meliputi skim perkhidmatan menyeluruh dalam perkhidmatan awam.

Insentif juga harus difikirkan kepada guru vokasional atau guru yang bertanggungjawab terhadap mata pelajaran vokasional. Elaun kritikal serta dipermudahkan urusan kenaikan pangkat patut diberi keutamaan dalam perancangan pendidikan, dan institusi perguruan yang menjadikan pendidikan vokasional sebagai keutamaan perlu diwujudkan segera.

Institusi ini akan menjadi medan untuk melatih guru vokasional yang bukan saja untuk sekolah, bahkan juga untuk meningkatkan kualiti tenaga pengajar di institusi latihan kemahiran. Wujudkan panel pendidikan vokasional yang terdiri daripada wakil di setiap kementerian yang mempunyai pusat latihan kemahiran vokasional mengikut sektor.

Ini akan mengeratkan lagi hubungan di antara pihak sekolah dengan institusi latihan kemahiran berkaitan, seterusnya melicinkan lagi proses kemasukan di setiap institusi latihan kemahiran ini.

Kita harus menerima hakikat bahawa latar belakang akademik tidak seharusnya dijadikan kayu ukur dalam usaha pembinaan modal insan. Pembinaan modal insan hendaklah meliputi setiap individu, dan ini harus difahami semua. Hanya pendekatan, corak pendidikan serta penghayatan semua pihak yang menjadi strategi penentu untuk merealisasi misi.

Dengan bilangan yang menamatkan tingkatan lima setiap tahun melebihi 450,000, sudah pasti kita tidak ketandusan insan sebagai penggerak negara masa depan. Justeru, perancangan untuk memulakan langkah pendidikan vokasional lebih awal adalah suatu yang amat bertepatan dan memantapkan lagi kemasukan ke puluhan institusi latihan kemahiran yang sedia wujud dalam negara.

Kita mengharapkan tiada lagi keciciran selepas latihan kemahiran vokasional diperoleh. Moga usaha mengelakkan keciciran dalam pendidikan akan disusuli dengan usaha untuk memastikan tidak berlakunya keciciran kemahiran pula selepas itu.

Penulis ialah Pensyarah, Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Kajian untuk wajibkan pelajar asing belajar Bahasa Melayu

NILAI: Kementerian Pengajian Tinggi sedang membuat kajian untuk mewajibkan subjek Bahasa Melayu kepada pelajar asing bagi membina hubungan yang lebih baik antara pelajar itu dengan masyarakat setempat, kata Menterinya, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin.

"Mereka akan mengambil Bahasa Melayu untuk tujuan komunikasi, supaya mereka faham apa yang orang cakap. Bila dia keluar, dia nak beli barang kat kedai, dia boleh cakap. Kita bukan wajibkan mereka ambil Bahasa Melayu ilmiah," katanya selepas merasmikan Majlis Penubuhan Kolej Universiti Linton dalam kawasan Kolej Lagenda di Mantin dekat sini, hari ini.

Kolej Linton hari ini mendapat pengiktirafan daripada kementerian bagi membolehkan kolej yang berasal dari Ipoh itu dinaikkan ke taraf kolej universiti. Mohd Khaled berkata, sekurang-kurangnya mereka boleh bercakap Bahasa Melayu dan ini boleh membantu mereka memberi penjelasan kepada anggota keselamatan jika timbul masalah apabila ditahan akibat masalah komunikasi dengan orang tempatan.

Sementara itu, beliau meminta masyarakat negara ini mengubah persepsi buruk mereka terhadap pelajar asing kerana sumbangan mereka terhadap pembangunan negara ini cukup banyak.

Mohd Khaled berkata, masyarakat negara ini sudah salah sangka apabila menyangka kebanyakan pelajar ini yang rata-rata datang dari Afrika serta Timur Tengah menyumbang kepada kadar jenayah sedangkan peratus mereka yang terbabit adalah sangat kecil.

Katanya, kebanyakan mereka datang dari negara yang kurang membangun dan mahu belajar sesuatu daripada institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Beliau berkata, masyarakat harus ingat semasa mula-mula merdeka, kerajaan terpaksa menghantar ramai anak watan belajar di luar negara dan bayangkan jika mereka ini dilayan dengan buruk sudah tentu Malaysia akan terus ketinggalan.

"Kita sudah lalui pada masa itu dan sekarang ini untuk masa orang lain, keduanya kita harus faham bahawa mereka datang, mereka memberi sumbangan yang besar pada ekonomi negara.

"Kita perlu bangunkan persepsi yang kita menerima apa saja pelajar dari benua mana sekalipun, mereka datang sebagai satu pengiktirafan betapa kukuhnya dan kuatnya penyediaan ilmu yang kita dapat sediakan," katanya.


Sumber : http : //www.bernama.com/

Ahad, 21 Mac 2010

Cemerlang akademik, terbilang akhlak

HABIBAH Hanan Mat Yusoff dari Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi (P), Kota Bharu dijulang rakan selepas mendapat 15A dalam SPM 2009. Beliau adalah pelajar terbaik sekolah itu selepas Nik Nur Madihah memperoleh 20A pada 2008

Oleh Dr Aminudin Mansor


Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 membuktikan pencapaian yang membanggakan. Seramai 7,987 atau 1.99 peratus calon SPM tahun lalu memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) bagi semua mata pelajaran diambil, berbanding 6,277 atau 1.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Pencapaian keseluruhan tahun ini membanggakan. Pencapaian Gred Purata Nasional SPM juga lebih baik. Seramai 255 mendapat A+ dalam beberapa mata pelajaran iaitu gred cemerlang tertinggi mengikut penggredan baru yang mula diperkenalkan tahun ini. Sebanyak 364,046 calon mendapat sijil SPM kali ini, berbanding 347,433 pada 2008.

Sesungguhnya, tahniah diucapkan kepada guru-guru yang telah bertungkus-lumus mengajar dan mendidik pelajar ke arah kecemerlangan. Tahniah juga kepada pelajar yang telah belajar bersungguh-sungguh hingga mencapai kejayaan cemerlang. Tahniah juga kepada ibu bapa yang turut bersengkang mata dan tidak putus-putus memberi semangat kepada anak-anak sehingga mendapat kejayaan cemerlang.

Walau bagaimanapun, wajar diingat cemerlang dalam bidang akademik, mestilah juga cemerlang dalam akhlak. Tidak sempurna seseorang pelajar yang hanya cemerlang akademik tetapi akhlaknya tidak cemerlang. Kita semua mengharapkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik ini, cemerlang juga dalam bidang akhlak.

Pelajar yang keluar sekolah, iaitu lepasan SPM tentunya akan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Kelulusan SPM pada masa kini tidak menjanjikan apa-apa pekerjaan yang baik dengan gaji yang lumayan sama ada di sektor swasta atau di jabatan kerajaan. Jika tiga puluh tahun lalu sijil SPM Gred 1 sangat hebat kini pelajar yang mendapat 15A setaraf dengan mereka. Nik Nur Madihah memperoleh 20A pada 2008.

Begitulah perubahan masa dan putaran kehidupan. Segala-galanya cepat berubah demi untuk kebaikan dan kecemerlangan hidup. Bagaimanapun, pangkat dan gred tidak dapat diberikan kepada pelajar yang cemerlang akhlaknya. Penilaian akhlak sangat subjektif sifatnya. Sesiapapun tidak boleh menilainya hanya Allah yang dapat menilainya.

Ada pelajar pada peringkat sekolah rendah sangat cemerlang dalam akademik dan akhlaknya, namun apabila meningkat ke sekolah menengah mereka tidak lagi cemerlang dalam akademik dan baik akhlaknya. Begitulah juga ada yang cemerlang dalam SPM dan juga cemerlang dalam akhlaknya. Namun apabila bekerja mereka terjebak dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Falsafah Pendidikan Negara (FPK) jelas ingin melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Begitu juga usaha ini bertujuan melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Falsafah ini sewajarnya menjadi pegangan hidup kepada setiap pelajar lepasan SPM. Kita mahu pelajar yang cemerlang akademik dan juga cemerlang dalam akhlak, iaitu seimbang dalam kehidupan mereka.

Tokoh Pendidik, Dr Hassan Langgulung, menegaskan bahawa aspek dalam pendidikan Islam yang lebih penting adalah akhlak. Aspek akhlak termasuk dalam domain afektif dan terbukti dalam bentuk tingkah laku. Aspek tingkah laku ini tidak boleh diajar sama separti aspek fakta.

Sebaliknya, aspek tingkah laku ini lebih kepada bentuk menyuruh pelajar memainkan peranan yang tertentu, sama ada melalui pentas atau menerusi pertubuhan dan persatuan di sekolah. Tingkah laku pelajar yang baik dapat dilihat oleh guru-guru sepanjang masa persekolahan tersebut. Tingkah laku dan akhlak ini tidak wajar diberikan gred A atau B dan seterusnya. Ia wajar diberikan sebagai terpuji, terbaik, sederhana dan sebagainya.

Sesungguhnya, ibu bapa dan guru-guru wajar memainkan peranan yang penting ke arah mendidik, membimbing dan membentuk tingkah laku anak dan para pelajar ke arah kebaikan. Tingkah laku yang baik dapat dibentuk melalui kefahaman terhadap al-Quran, akidah dan ibadah selanjutnya memancarkan akhlak yang baik.

Penulis ialah penyair, mantan pendidik. PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Memahami profil pendera kanak-kanak

Bersama Dr Mohamed Fadzil Che Din

Usaha bersama secara terancang, teliti mampu tangani gejala sosial

BELUM sempat kita mencecah 100 hari bagi 2010, dada kita sudah digoncang, fikiran kita sudah dikusut, perasaan kita sudah digelora dan jari-jemari kita sudah terketar dek pelbagai peristiwa yang berlaku dalam sistem nilai dan sosial kehidupan seharian. Kita digemparkan dengan pelbagai kisah kehidupan yang tidak tahu menghayati apakah itu nilai nyawa seorang insan dan kegagalan manusia itu untuk berfungsi secara normal dalam masyarakat manusia itu sendiri.

Di sebalik pendedahan media, peringatan pemimpin masyarakat, nasihat orang tua dan teguran ahli agama berkaitan salah laku sosial dan jenayah seperti pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, pembunuhan insan yang tidak berdosa, mencabul serta merogol, ia memperlihatkan satu amalan ketidakpedulian yang amat ketara oleh si pelaku atau penjenayah ini.

Apakah tabiat memberi peringatan, teguran dan nasihat tidak lagi menjadi kaedah berkesan dalam masyarakat, atau adakah sistem pendidikan keluarga dan komuniti sudah tidak berfungsi, atau adakah kerana kepincangan sosial yang semakin menjerut masyarakat, atau apakah kerana masyarakat itu sendiri memilih untuk belajar menjadi semakin rakus, tamak, penting diri, agresif dan gundah-gulana, lantaran menjana tingkah laku antisosial yang merobek segala keharmonian keluarga dan kesejahteraan masyarakat hari ini. Agak sukar kita membuat kesimpulan untuk menyalah atau mencari punca isu sosial dengan hanya menjuruskan kepada satu faktor sosial seperti individu, keluarga, komuniti, masyarakat, perundangan negara, penguatkuasaan, perlindungan mangsa dan sebagainya. Bagi sesetengah pakar sosial kes berkaitan gejala sosial ini dikatakan masih belum serius atau terkawal. Ia sering dilihat secara meluas dengan mengambil kira jumlah ahli masyarakat yang besar dan semakin bertambah saban tahun.

Namun, bagi sesetengah ahli sosial yang menggunakan kanta (magnifying glass) setiap kes adalah penting dan perlu dikaji secara serius dan mendalam. Perbincangan sama ada kes atau gejala sosial sebegini menjadi semakin serius atau penting untuk diperdebatkan perlu ditangguhkan untuk seketika oleh semua ahli masyarakat.

Adalah lebih utama jika kita menggunakan ruang dan peluang yang ada ini untuk memahami profil asas berkaitan kes gejala sosial ini. Memang banyak jenis jenayah terhadap kanak-kanak, gadis dan wanita dilaporkan setiap tahun, namun untuk perkongsian kali ini kita fokuskan kepada kes penderaan kanak-kanak yang merangkumi jenayah pembuangan bayi, pengabaian kanak-kanak, penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan emosi-psikologikal dan sumbang mahram.

Kebanyakan pakar psiko-sosial percaya dengan memahami profil kes penderaan kanak-kanak, maka usaha untuk membantu mengatasi, membendung dan menanganinya adalah lebih cerah dan berkesan. Apabila kita berjaya mengenali dan memahami profil jenayah seperti jenis kes, rujukan kes, etnik pelaku atau penjenayah, profil pelaku/penjenayah dan punca berlakunya kes penderaan dalam komuniti atau sekitar kita, maka usaha bagi menanganinya boleh dirancang dengan lebih teliti dan bermakna.

Melihat kepada statistik kes penderaan dan keganasan kanak-kanak yang berlaku di Malaysia mengikut Laporan Statistik 2008, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, ia berjaya memberi serba sedikit gambaran dan profil berkaitan kes penderaan berkenaan.

Secara umum pada 2008, kes penderaan kanak-kanak meningkat 501 kes atau 21 peratus daripada 2,279 (2007) kepada 2,780 (2008) kes. Paling banyak kes (56 peratus daripada keseluruhan 2,780 kes) berlaku di kawasan padat penduduk iaitu Lembah Klang (949 kes di Selangor dan 595 kes di Wilayah Persekutuan).

Jenis penderaan paling banyak ialah penderaan seksual (863 kes), diikuti kes pengabaian kanak-kanak (833 kes), dan penderaan fizikal (733 kes). Lebih ramai kanak-kanak lelaki yang didera secara fizikal, manakala amat ketara 95 peratus kanak-kanak perempuan adalah mangsa kepada penderaan seksual (698 kes berbanding 35 kes).

Kes pembuangan bayi bagi 2008 pula menurun lima kes kepada 58 berbanding 63 pada 2007. Kadar ini bersamaan 1.2 kes pembuangan bayi setiap minggu atau 4.8 kes bayi dibuang setiap bulan. Lebih 70 peratus daripada kanak-kanak yang didera adalah berketurunan Melayu (1962 kes), diikuti kanak-kanak India (441 kes) dan kanak-kanak (Cina 299 kes). Hampir dua pertiga (64.6 peratus) kanak-kanak yang didera ialah kanak-kanak perempuan (1,795 kes) berbanding kanak-kanak lelaki (985 kes). Kebanyakan kanak-kanak perempuan yang didera ialah dalam lingkungan umur 7 hingga 12 tahun (345 kes) dan bawah 3 tahun (276 kes). Kebanyakan kanak-kanak lelaki yang didera pula ialah sekitar umur 13 hingga 18 tahun (866 kes) dan 7-12 tahun (411 kes).

Pendera atau orang yang bertanggungjawab ke atas jenayah dera ini amat penting untuk diketahui. Maklumat ini amat penting untuk kita mengenal pasti tempat paling sering wujudnya kes penderaan. Merujuk kepada kes penderaan 2008, data memperlihatkan orang yang paling hampir dengan mangsa adalah pendera yang berpotensi. Ibu (772 kes) dan bapa (494 kes) adalah pendera paling ramai iaitu 45.6 peratus berbanding pelaku yang lain. Selain itu, kekasih kanak-kanak juga adalah pendera yang agak signifikan iaitu sebanyak 378 kes.

Dengan memahami profil dan ‘baseline’ kes berkaitan penderaan kanak-kanak ini, sudah pasti pakar perawat sosial akan mampu untuk meneroka senario kes dengan lebih meluas dan mendalam serta mampu mencari perhubungan makna antara pelbagai angkubah individu, keluarga, komuniti dan masyarakat. Atas kefahaman ini, diharapkan strategi menangani isu sosial ini akan menjadi lebih berkesan, bermakna dan berbaloi. Sesungguhnya kita semua mampu untuk membantu pelbagai pihak dalam menangani gejala sosial yang boleh dikawal jika kita dapat melakukannya secara bersama.

Penulis ialah Pengarah Institut Sosial Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/