Selasa, 13 April 2010

Hukuman tegas mampu capai sasaran sifar beg plastik

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

PENGGUNAAN beg plastik dalam pelbagai aktiviti khusus untuk memuatkan barangan yang dibeli di gedung beli-belah, pasar raya dan kedai sudah menjadi amalan biasa sejak berkurun lamanya. Kesedaran masyarakat terhadap sifar penggunaan beg plastik masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan negara maju untuk memastikan planet ini bebas daripada sebarang pencemaran alam sekitar.

Hakikatnya, apa saja bahan berunsur plastik bukan saja mengambil masa berpuluh-puluh tahun untuk dilupuskan, malah boleh menjejaskan kesihatan, selain memerlukan kos yang tinggi bagi tujuan pelupusan.

Kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ di beberapa negeri sudah dilancarkan dan ia masih terlalu jauh untuk mencapai sasaran sifar terhadap penggunaannya. Pada masa sama, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sudah menggiatkan kempen kesedaran kepada masyarakat supaya mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan plastik dalam usaha melindungi alam sekitar.

Kementerian juga akan menggunakan peruntukan mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 untuk diwajibkan supaya bahan boleh dikitar semula seperti plastik diasingkan daripada sisa pepejal lain.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukim ketika ditemui baru-baru ini, menjelaskan kementerian sedang menumpukan perhatian serius isu berhubung penggunaan beg plastik dengan meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta bagi menangani masalah penggunaan beg plastik yang berleluasa.

Katanya, pada masa ini kementerian juga mengambil pendekatan untuk memastikan beg plastik diguna atau dikitar semula.

“Bagaimanapun, kita sedang menunggu penguatkuasaan Akta 672 diwartakan. Mengikut akta itu, ada peruntukan tertentu untuk menangani masalah beg plastik seperti memastikan isi rumah dan pihak berkaitan mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula daripada sisa pepejal lain.

“Di samping itu, peruntukan seperti sistem terima balik dan sistem bayaran balik deposit yang ada dalam akta itu boleh digunakan pada masa akan datang untuk menangani isu beg plastik,” katanya.

Beberapa peruntukan di bawah Akta 672 untuk pelbagai kesalahan berkaitan dengan aspek pengurusan sisa pepejal, juga akan menjadikan masyarakat lebih berhati-hati untuk menggunakan bahan berunsurkan plastik.

Sebenarnya, ada peruntukan mewajibkan orang awam mengasingkan sisa pepejal. Sebagai contoh mengikut perenggan 101(1)(a), menteri menghendaki mana-mana penghasil sisa pepejal mengurangkan penghasilan pepejal terkawal mengikut apa-apa cara atau kaedah. Mereka yang gagal mematuhi peraturan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Taklimat sudah diberikan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Jemaah Menteri baru-baru ini berhubung pelaksanaan penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam seluruh negara serta penguatkuasaan Akta 672.

Seterusnya, kementerian akan membentangkan perkara ini di dalam mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) pada Jun ini sebelum keputusan daripada MNKT akan dibawa ke Jemaah Menteri.

Lajim begitu optimis menangani isu sisa pepejal itu, termasuk mengurangkan penggunaan beg plastik kerana menerusi akta berkenaan ada klausa tindakan dikenakan terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan.

“Selepas akta itu dikuatkuasakan ia akan memberikan impak besar terhadap misi kita. Saya lihat tahap kesedaran masyarakat masih rendah khususnya di luar bandar berbanding di bandar,” katanya.

Oleh itu, kementerian bercadang melancarkan Hari Tanpa Plastik peringkat kebangsaan bagi menggalakkan orang ramai tidak menggunakan beg plastik.

Bagaimanapun, kementerian menggalakkan penggunaan semula beg plastik dan pengurangan penggunaan beg plastik dengan menggunakan beg yang boleh diguna pakai semula contohnya beg kanvas.

Pada masa yang sama, kerajaan sedang meneliti dan mengkaji beberapa pendekatan menangani masalah penggunaan dan pelupusan bahan berunsurkan plastik.

Antara pendekatan kementerian untuk mencapai sasaran sifar beg plastik ialah menjalankan kempen mengurangkan penggunaannya dan mengitar semula sisa plastik supaya ia tidak berakhir di tapak pelupusan sisa pepejal.

“Peraturan bagi mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula seperti plastik daripada sisa pepejal lain akan diwujudkan supaya plastik boleh dikutip untuk kitar semula.

“Bagaimanapun, usaha itu tidak akan membuahkan hasil yang baik sekiranya orang ramai tidak menjalankan tanggungjawab untuk tidak membuang beg plastik di merata tempat dan mengurangkan penggunaan beg plastik disediakan di kedai dan pasar raya,”katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Prasyarat Seorang Guru : Munsyi Abdullah


Pertama-tama, hendaklah ada pengetahuan.


Kedua, hendaklah jangan ia (dia) membesarkan dirinya sebab pengetahuannya itu.


Ketiga, hendaklah ada ia (dia) sabar daripada kesalahan dan kebodohan orang lain, serta menanggung kesusahan.


Keempat, hendaklah diketahuinya tiap-tiap perkataan yang diajarkannya itu dari mana asalnya, dan bagaimana memakai dia (-nya).


Kelima, hendaklah ia (dia) rajin serta usaha.


(Hikayat Abdullah, 1997 (cetakan ketujuh): Pustaka Antara, Kuala Lumpur)

Isnin, 12 April 2010

Pengertian undang-undang

Undang-undang diadakan untuk faedah masyarakat. Dengan perkataan lain, adanya undang-undang dapat menjamin ketertiban masyarakat; ia bererti orang dapat hidup dengan lebih bahagia. Tujuan utama undang-undang bukan untuk menghukum walaupun biasanya bila orang melanggar undang-undang, mereka harus dihukum.

Dalam masyarakat moden sekarang, undang-undang mempunyai pengertian yang semakin kompleks kerana fahaman undangundang memang tidak statik.

Undang-undang di Malaysia sekarang ini berdasarkan undang-undang British yang buat kali pertama dikuatkuasakan waktu pihak British menguasai Pulau Pinang pada tahun 1786. Kemudian dengan beransur-ansur sistem itu diperkenalkan Semenanjung Tanah Melayu, di antara tahun 1874 bila Perjanjian Pangkor ditandatangani di Perak dengan tahun 1919 bila kerajaan Terengganu menerima seorang Penasihat British. Terengganu memang kerajaan yang terakhir di Semenanjung Tanah Melayu yang terpaksa membenarkan pihak British campur tangan dalam sistem pentadbirannya.

Perlu dijelaskan di sini bahawa sehingga Perang Dunia Kedua, pihak Britain tidak menjajah kerajaan Melayu; ia hanya menjajah Negeri-negeri Selat yang sejak 1867 secara rasmi disebutkan sebagai 'Tanah Jajahan Mahkota British' pada hal kerajaan-kerajaan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu (jumlahnya sembilan sejak 1895) mempunyai status 'Negeri-negeri Melayu Naungan'. Orang yang menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat menjadi Pesuruhjaya Tinggi British kepada Negeri-negeri Melayu Naungan.

Sistem pentadbiran dan pemerintahan British memang berbeza dengan apa yang sudah lama wujud di kerajaan-kerajaan Melayu tradisional. Sistem British mengutamakan 'kedaulatan undang-undang (bertulis)'. Menurut tradisi di Barat secara umum, sistem pentadbiran terbahagi kepada tiga bahagian: (1) yang meluluskan undang-undang (Perundangan), (2) yang melaksanakan undang-undang (Eksekutif) dan, (3) yang mentafsirkan undang-undang (Kehakiman). Itu disifatkan sebagai 'pengasingan kuasa' - peranan ketiga-tiga tidak sepatutnya bertindih.

Menurut sistem itu juga, bila seseorang individu ditahan dan dituduh melanggar undang-undang misalnya oleh pihak polis, dia belum lagi boleh dikatakan bersalah atau tidak bersalah. Itu juga bererti yang dituduh semestinya diberi peluang untuk mempertahankan diri, biasanya melalui seorang peguam. Seterusnya, kalau dia didapati bersalah oleh mahkamah rendah, dia berhak merayu kepada mahkmah yang lebih tinggi.

Dalam setiap masyarakat yang berpegang kepada konsep 'kedaulatan undang-undang', prosedur untuk melakukan sesuatu mengikut undang-undang sememangnya dinyatakan dan pihak eksekutif tidak boleh mengambil tindakan dengan sewenang-wenang kerana ia jug perlu patuh kepada undang-undang.

Konsep 'kedaulatan undang-undang' tidak selalunya jelas kepada orang ramai di Malaysia, terutamanya mereka yang kurang terdedah kepada masyarakat Barat. Dalam sistem pendidikan, ia tidak diberi keutamaan. Oleh yang demikian prosedur amatlah penting untuk menjamin supaya pelaksanaan undang-undang atau pun peraturan akan berjalan dengan licin dan saksama kerana hanya dengan wujudnya keadaan seperti itu barulah huru-hara dapat dielakkan. Keadaan di mana setiap orang mempunyai kuasa yang tersendiri dan tiada orang yang terpaksa patuh kepada pihak yang tertentu sudah pasti akan menimbulkan keadaan kucar-kacir dan akibatnya kepentingan dan kebahagian setiap orang dalam masyarakat akan terjejas.

Perlu ditegaskan juga, konsep 'kedaulatan undang-undang' bukan bererti pihak yang menguatkuasakan atau mentafsirkan undang-undang tidak perlu menggunakan budi bicara. Manusia bukan jentera sama ada dia seorang polis atau pun hakim. Walaupun kelonggaran yang ada padanya berbeza-beza - ia bergantung kepada keadaan - sebagai manusia yang mempunyai akal, seseorang itu seharusnya sentiasa menimbangkan tindakan yang akan diambilnya dengan teliti dan seboleh-bolehnya tanpa emosi.

Undang-undang wujud untuk faedah orang ramai. Tetapi ada kalanya undang-undang yang wujud boleh mengganggu orang ramai. Polis yang bersembunyi untuk memerangkap pemandu kereta dengan tidak membezakan di antara mereka yang membuat kesilapan tidak sengaja dengan mereka yang memandu dengan cara yang bukan hanya berbahaya tetapi tidak bersopan adalah pegawai yang tidak mengutamakan keselesaan majoriti pemandu terutamanya polis yang menegaskan bahawa mereka "hanya menjalankan arahan".

Polis yang menurut arahan pun sepatutnya berfikir sama ada tindakannya akan menolong atau mengganggu orang ramai. Dalam keadaan tertentu mungkin amaran sudah memadai. Bukan semua orang yang melanggar undang-undang adalah penjenayah. Kadang-kadang mereka hanya cuai; kadang-kadang mereka memang kurang jelas tentang undang-undang walaupun secara umum, kejahilan tentang undang-undang tidak dapat diterima sebagai alasan. Tetapi di Malaysia memang ramai tidak diberi pendidikan yang cukup sempurna di sekolah.

Tidak dapat dinafikan tugas seorang polis sangatlah berat. Bagaimana pun ia seharusnya meyakinkan orang ramai bukan mengugut mereka. Maksudnya polis perlu sentiasa memberi penjelasan tentang undang-undang dengan cara yang rasional, bukan hanya dengan memberi jawapan: "Saya menurut perintah." Kalau polis sendiri kurang jelas tentang kebijaksanaan undang-undang yang perlu dikuatkuasakan, tindakan yang diambilnya sudah tentu tidak membawa makna kepadanya sendirinya apa lagi kepada orang yang kononnya sudah melanggar undang-undang.

Orang Timur telah banyak meminjam institusi Barat tetapi fahaman orang Timur di peringkat akar umbi perihal institusi-institusi itu tidaklah mendalam kerana tidak ramai orang Timur yang terdedah kepada budaya Barat. Tambahan pula, institusi-institusi sosial Barat, begitu juga undang-undang Barat, sudah banyak mengalami perubahan sejak satu atau dua abad kebelakangan ini. Misalnya, di England sendiri, suatu undang-undang yang telah dipinda untuk menyesuaikannya dengan perubahan persepsi masyarakat ialah hukuman terhdap pencurian.

Lebih kurang 150 tahun dahulu, sesiapa yang mencuri di England akan digantung sampai mati. Sekarang mencuri boleh menjadi jenayah yang agak ringan. Mereka yang mencuri untuk memberi makanan kepada kanak-kanaknya yang menghadapi kebuluran tidak mungkin akan dihukum oleh mahkamah.

Ternyata niat sangat penting. Seseorang yang melanggar undang-undang tanpa niat yang jahat mungkin akan diampun tetapi sesiapa yang melanggar undang-undang dengan niat untuk menguntungkan diri sendiri, di samping itu membawa kesedihan kepada orang lain pasti dihukum. Tetapi individu tidak dibenarkan bertindak sendiri untuk menghukum seseorang penjenayah. Seseorang itu boleh membunuh kalau nyawanya dalam keadaan bahaya apabila dia diserang oleh seorang perompak.

Undang-undang yang dikuatkuasakan tanpa budi bicara boleh dianggap kejam kerana ia lebih menganiaya daripada memberi manfaat kerana biasanya undang-undang diluluskan berasaskan andaian bahawa ia akan menolong mewujudkan ketertiban dan keselamatan dalam masyarakat. Tetapi sejauh mana ia berkesan bergantung kepada mereka yang menguakuasakan dan mentafsirkan undang-undang.

Akhir-akhir ini Malaysia juga telah mengambil berat tentang hak asasi kemanusiaan sehingga telah ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) lebih kurang 10 tahun dahulu. Tetapi kewibawaan yang diserahkan kepada Suhakam adalah terbatas. Tugas utamanya adalah untuk memantau dan membuat laporan bukan untuk bertindak.

Masyarakat umum di Malaysia tidak dididik agar mereka benar-benar faham bahawa, walau pun setiap orang dikatakan mempunyai hak asasi kemanusiaan, itu bukan bererti mereka boleh bertindak dengan sesuka hati. Pelaksanaan hak perlu disertai dengan tanggungjawab. Kerana manusia hidup dalam masyarakat, tindakan setiap orang boleh memberi kesan kepada orang lain maka dengan melaksanakan hak diri sendiri, seseorang individu seharusnya sentiasa menjamin agar dia tidak melanggar hak asasi orang lain.

Suatu kemusykilan lagi yang mulai timbul sekarang ialah kuasa yang dipegang oleh pihak eksekutif. Kadang kala ia terkeluar daripada tugas yang dihadkan kepada mereka, iaitu mereka bukan hanya menjalankan tugas sesudah bahagian perundangan meluluskan undang-undang yang berkenaan malah kadang-kadang mereka juga menentukan hukuman dan bukan badan kehakiman.

Masyarakat Malaysia memang perlu dididik dengan lebih sempurna terutama sekali golongan muda. Kerana generasi ibu bapa sekarang bukanlah mereka yang telah diberi pendidikan yang lebih bulat maka sikap mereka tentang anak-anak sendiri bukan terpengaruh oleh keprihatian kepada masyarakat dan negara tetapi oleh agenda peribadi. Maksudnya pengorbanan untuk faedah masyarakat tidak dititikberatkan sama ada di rumah atau di sekolah. Kerana itu penguatkuasaan undang-undang pun dari semasa ke semasa menjadi masalah kerana keadilan tidak kelihatan jelas bila tindakan diambil oleh sama ada badan eksekutif atau kehakiman.

Apa yang ternyata tidak diutamakan oleh mereka yang menjalankan tugas sama ada di sektor awam atau swasta ialah integriti. Undang-undang yang bagaimana sempurna pun tidak akan membawa kebahagiaan kepada masyarakat kalau mereka yang diberi tanggungjawab menguatkuasakannya tidak menjalankan tugas dengan penuh kesedaran bahawa tindakan mereka dalam jangka masa panjang akan menstabilkan atau menghapuskan masyarakat.

Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim Jabatan Sejarah Universiti Malaya

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 11 April 2010

Pilih IPTS yang diiktiraf

Usah buang masa, wang

Oleh Suliati Asri

suliati@hmetro.com.my

INSTITUSI pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini tumbuh bagai cendawan selepas hujan dan menawarkan pelbagai program kepada pelajar.

Peningkatan jumlah IPTS sesuatu yang baik kerana ia memberi peluang pendidikan tinggi kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang gagal memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Dengan pelbagai program yang ditawarkan, pelajar mempunyai pelbagai pilihan program pengajian yang boleh diikuti mengikut kelayakan dan minat masing-masing.

Bagaimanapun, pelajar yang mahu mengikuti program pengajian di IPTS perlu bijak memilih kerana ada sesetengah program ditawarkan tidak memperoleh perakuan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Daripada 1,087 program pengajian di IPTS yang menjalani penilaian MQA, sebanyak 1,065 program mendapat perakuan akreditasi, manakala 22 permohonan ditolak sehingga Februari lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program pengajian yang gagal mendapat perakuan akreditasi disebabkan kemudahan pembelajaran tidak memuaskan, kurikulum program gagal mematuhi standard, tenaga pengajar tidak menepati kriteria dan pengendalian subjek wajib tidak memuaskan.

Kegagalan IPTS mendapat perakuan MQA dalam program mereka memberi impak negatif kepada pelajar. Bayangkan, pelaburan wang ringgit dan masa selama dua atau tiga tahun untuk memperoleh sijil, diploma atau ijazah tetapi berakhir dengan kekecewaan.

Justeru, di mana silapnya dan siapa harus dipersalahkan? Timbul tanggapan apakah kebanjiran IPTS di negara ini sekadar mengaut keuntungan atau memberi pendidikan tinggi kepada pelajar? Timbalan Presiden, Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPSM), Rosdi Amir, berkata dalam konteks pendidikan, kita perlu melihat kepada dua aspek iaitu nilai ilmu dan pengiktirafan sesuatu program pengajian itu.

Beliau berkata, untuk maju ke hadapan, kita harus mendapatkan ilmu sebanyak mungkin tetapi nilai ilmu itu tidak perlu pengiktirafan.

"Ilmu yang kita cari adalah untuk bekalan di masa depan, cuma mungkin untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai," katanya.

Dari segi pengiktirafan program pengajian itu, katanya ia perlu melihat kepada IPTS dan kewujudannya.

"IPTS tidak boleh beroperasi tanpa kelulusan kerajaan atau Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Dalam hal ini, KPT perlu meneliti kembali peraturan penubuhan IPTS dan pemantauan perlu dibuat selepas kelulusan diberikan terutama membabitkan program pengajian," katanya.

Bagi mengelak pelajar menjadi mangsa terhadap permasalahan ini, KPT perlu mewujudkan peraturan yang seragam sebelum memberi kelulusan terhadap penubuhan sesuatu IPTS itu.

"IPTS sendiri perlu mendapatkan pengiktirafan terhadap program pengajian yang ditawarkan sebelum diberikan kebenaran menubuhkan pusat pengajian.

"Daripada maklum balas yang kami terima, lepasan IPTA juga mempunyai masalah yang mana kumpulan pertama program pengajian yang baru ditawarkan tidak mempunyai pengiktirafan," katanya.

Justeru, dalam hal ini GPSM mencadangkan KPT meneliti dan mewujudkan peraturan seragam bagi memastikan program pengajian yang ditawarkan itu diiktiraf.

"Jika ada halangan memperoleh pengiktirafan, program pengajian itu mungkin boleh diberikan pra pengiktirafan atau jaminan.

"Ia penting supaya pelajar tidak membuang masa dan rugi wang ringgit mengikuti program pengajian yang tidak diiktiraf," katanya.

Mungkin dalam hal ini, kewangan bukan satu isu tetapi bagi pelajar dari keluarga berkemampuan tetapi bagaimana dengan mereka yang berpendapatan rendah, "Sekarang ini, jumlah pelajar yang layak memasuki IPTA melebihi jumlah kekosongan yang ada. Oleh itu, mereka terpaksa memohon ke IPTS. "Jika KPT tidak berbuat apa-apa dalam soal pengiktirafan program pengajian, ramai pelajar IPTS akan menjadi mangsa," katanya.

Dalam masa terdekat ini, GPSM akan berjumpa Menteri Pengajian Tinggi bagi mengemukakan permasalahan ini dan mencari jalan penyelesaian.

Mengulas mengenai langkah yang harus diambil oleh pelajar yang menamatkan pelajaran tetapi program pengajian itu tidak diiktiraf, Rosdi mencadangkan mereka menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

"Cuba bidang keusahawanan secara kecil-kecilan yang ada kaitan dengan pengajian yang dipelajari.

"Bidang keusahawanan satu langkah yang perlu direbut pelajar demi masa depan mereka.

"Pelajar perlu ingat, peniaga yang mempunyai ilmu adalah berbeza dengan peniaga yang tidak mempunyai ilmu," katanya. Selain itu, bagi mengelak perkara ini, pelajar perlu bijak memilih program pengajian atau tempat melanjutkan pelajaran.

"Selidik dulu sama ada IPTS itu dijalankan oleh badan yang memang terbabit dengan bidang pendidikan atau sebaliknya. Berikan keutamaan kepada IPTS yang dikendalikan oleh kerajaan.

"Jika tidak pasti, pelajar boleh bertanya kepada KPT dan Jabatan Perkhidmatan Awam atau MQA sendiri," katanya.

Katanya, satu perkara yang perlu pelajar ingat ialah, jangan pilih program pengajian itu mengikut apa yang diminati sebaliknya pilih mengikut permintaan pasaran.

Seterusnya, yang perlu dititikberatkan pelajar ketika mencari program pengajian di IPTS adalah implikasi kewangan.

"Lihat nilai jumlah atau bayaran program pengajian yang dipilih di beberapa IPTS sebelum membuat keputusan. "Setiap IPTS mempunyai jumlah bayaran yang berbeza walaupun program pengajian sama.

"Selepas memilih program pengajian dan IPTS, pelajar perlu membuat persediaan membabitkan pinjaman pendidikan.

"Memohon pinjaman pendidikan seharusnya dilakukan sebelum pembelajaran dan bukan selepas itu," katanya

Sumber : //www.hmetro.com.my/

Sabtu, 10 April 2010

2,600 pelajar kemahiran dibenar menduduki SPM

Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my

Pengetua tak berhak sekat murid ambil periksa: Mohd Puad

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran membenarkan kira-kira 2,600 pelajar aliran kemahiran mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini walaupun pihak sekolah sebelum ini tidak mahu mendaftarkan mereka bagi menduduki peperiksaan itu.
Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengetua tidak berhak menyekat pelajar terbabit daripada menduduki peperiksaan itu dan mulai tahun depan pelajar aliran kemahiran dibenarkan mengambil SPM, hanya untuk subjek Bahasa Melayu sebagai syarat melanjutkan pengajian ke peringkat sijil tahap lima.

Beliau berkata, tarikh pendaftaran bagi menduduki peperiksaan SPM untuk tahun ini sudah ditutup pada 31 Mac lalu, tetapi kementerian membuat keputusan membenarkan pendaftaran pelajar terbabit walaupun sedar ia akan memberi kesan kepada peratusan sekolah dan juga negeri terbabit.

"Pelajar aliran kemahiran ini minatnya adalah kemahiran dan kurang berminat terhadap akademik... mereka ini lebih berminat hendak mengambil sijil kemahiran, sekarang ini pada tahap tiga.

“Apa yang menjadi isu ialah jika mereka ingin mengambil sijil tahap lima di sesetengah institusi seperti Kementerian Sumber Manusia yang mensyaratkan mereka mesti lulus Bahasa Melayu.

"Jadi jika hendak ambil SPM, mereka kena ambil enam mata pelajaran sekurang-kurangnya. Tidak boleh ambil Bahasa Melayu saja, sedangkan pelajar ini tidak minat akademik. Jadi mereka akan datang periksa untuk satu kertas itu saja, lima lagi tidak akan datang dan menyebabkan prestasi sekolah menurun," katanya.

Bercakap kepada Berita Minggu, semalam, beliau berkata, situasi itu menyebabkan sesetengah sekolah tidak membenarkan pelajarnya mengambil peperiksaan itu dan mereka yang mahu berbuat demikian dikehendaki mendaftar sebagai calon persendirian yang tidak akan menjejaskan prestasi sekolah itu.

Katanya, tindakan itu menyebabkan segelintir ibu bapa tidak berpuas hati dan meluahkan perkara itu melalui laman sosial peribadinya sebelum menghantar surat membantah tindakan terbabit.

"Kementerian mencadangkan mulai tahun depan dengan persetujuan Lembaga Peperiksaan, kita akan benarkan pelajar aliran kemahiran untuk ambil satu mata pelajaran saja, jadi untuk tahun terakhir ini masih ada bantahan daripada orang ramai kerana ada sekolah tidak mahu mendaftarkan pelajarnya.

"Oleh kerana syarat yang ditetapkan oleh sesetengah institusi untuk mereka melanjutkan pengajian ke peringkat sijil tahap lima perlu lulus Bahasa Melayu, jadi kita melaksanakan perkara ini dengan membenarkan pelajar aliran kemahiran ambil peperiksaan SPM bagi satu mata pelajaran saja", katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ulama bukan pak turut

Oleh Harussani Zakaria

Kerajaan pada 31 Mac yang lalu memutuskan lokasi sambutan Hari Pahlawan yang sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.

Saya gembira apabila mendengar keputusan kerajaan itu. Ini merupakan satu kemenangan pihak institusi agama dalam menegakkan kebenaran syarak, walaupun tradisi sambutan Hari Pahlawan di tugu negara seolah-oleh terlalu suci untuk diubah. Namun pengumuman terbaru itu menunjukkan bahawa tradisi boleh diubah jika kita serius dan mahu menjunjung perintah Allah SWT dan Rasulullah melebihi tradisi dan peraturan yang kita adakan sendiri. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Ahmad Zahid Hamidi yang kebetulan dulunya adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama. Begitu juga dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang dulunya orang kuat Angkatan Tentera Malaysia.

Sebenarnya fatwa ini bukannya baharu, tapi telah diputuskan oleh AJK Fatwa Kebangsaan pada 6 Oktober 1987 dalam Muzakarah Kali Ke-19 yang telah menetapkan bahawa :

(a) Amalan-amalan seperti tiupan Last Post bertafakur dengan menundukkan kepala selama 20 saat, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan Rouse yang dilakukan di hadapan Tugu Negara dalam upacara menyambut Hari Kenangan Rakan Seperjuangan olah Angkatan Tentera Malaysia bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

(b) Bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat-tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak.

Kemudian pada 21 September 1995, Muzakarah Kali Ke-39 pula memutuskan bahawa :

'' Meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara sempena sambutan Hari Pahlawan adalah sama dengan keputusan yang telah diambil dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 7 Oktober 1987 iaitu bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik."

Apa yang saya ingin nyatakan di sini bagaimana pendekatan dakwah pada hari ini perlu diteruskan bersama dengan kekuatan kekuasaan. Fatwa berkaitan dengan Hari Pahlawan bukannya baru, malah sudah 13 tahun diputuskan, namun hanya pada 31 Mac 2010 fatwa itu diterima untuk dipatuhi.

AJK Fatwa Kebangsaan dan para mufti seluruh negeri umumnya bertindak sebagai penasihat dalam hukum syarak. Namun sejauh mana nasihat ini boleh diterima dan dipatuhi, semuanya bergantung kepada pemegang kuasa, pemerintah atau Umara. Saya melihat inilah cabaran utama para ulama hari ini.

Pengalaman

Golongan ulama banyak bertugas sebagai penasihat, ada yang menjadi Mufti, ada yang menjadi Panel Syariah di perbankan atau di syarikat-syarikat. Sedikit pengalaman saya sebagai Kadi Besar dan hari ini sebagai Mufti menunjukkan bagaimana para ulama perlu bijak mendekati para Umara. Di tangan merekalah kuasa untuk merubah polisi dan undang-undang.

Bukan saya kata mendekati di sini dengan maksud membodek atau sanggup menjadi pak turut, seperti tuan penasihat Sadiq Segaraga dalam cerita tiga Abdul. Asal saja dapat 25 peratus semuanya boleh. Maksud saya bagaimana hari ini kita berperanan menunjukkan 'permata' itu adalah permata dan bukan dipandang orang ia 'kaca'. Cuma mungkin gaya pendekatan, penghujahan dan metod dakwah yang perlu kita titik berat hari ini. Dengan itulah nanti setiap nasihat ulama akan berupaya membentuk dan dijadikan panduan oleh para umara dan masyarakat. Ulama perlu tegas namun berhikmah dalam menyampaikan dakwah mereka.

Perkembangan terbaru ini sudah nampak baiknya. Namun saya akan terus berjuang moga segala fatwa dan nasihat yang telah diputuskan akan terus dipatuhi oleh pemerintah dan masyarakat. Masih banyak keputusan atau fatwa tinggal terlipat dalam fail-fail muzakarah.

Saya juga mengharapkan institusi fatwa nanti akan kebal daripada tekanan politik serta mempunyai kekuatan untuk ditaati oleh semua pihak sama ada rakyat mahupun pemerintah. Keimanan kita terhadap Islam yang tinggi (Islamuya'lu wala yu'la alaih) dan sokongan Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 3 perlu diterjemahkan dalam realiti negara pada hari ini, jika kita terus mahu melihat Islam dihormati. Saya mengharapkan ia menjadi realiti sebelum saya dipanggil Allah SWT satu hari nanti.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 9 April 2010

BAHASA JUNJUNGAN

Telah pun bertaut
bibir pantai-pantai Nusantara
di peta laut bahasa
gah di wadah sejarah
rimbun di perkebunan tamadun.

Telah pun bersambung
tangkai tahun ke gagang kurun
dengan akar bahasa
menyimpul hormat di umbi bangsa
mengikat pekerti di pohon budaya.

Telah pun sempurna
indah mekar wacana sastera
bangsa dijulang di watan terbilang
dicoretkan kemilau warna bahasa
merumpun prosa rakaman kehidupan.

Telah kejap ungkapan persefahaman
disangkar perpaduan
mempertaut perselisihan
bahasa merdeka membentang ruang
bersama melaungkan slogan pembangunan
meletak watan di persada cemerlang
mengapa petualang masih berkeliaran?

Telah pun jitu
keyakinan dan keimanan erat tersirat
lewat bahasa di lidah hikmah
tawakal pun bermusim di kalbu syahdu
terluah di bibir ukhwah tertugu
di hamparan taqwa ummah bermusyawarah.

Telah kujunjung keilmuan sains
telah kauusung canggih teknologi
dikulum basah di lidah bestari
di atas rel globalisasi
meluncur ke depan
mendukung wawasan.

Bahasaku kau bahasa junjungan
menjahit cedera sejarah
dengan jarum tabah
mencantum cebisan-cebisan maruah
dengan benang-benang kesedaran
walau sekurun mendung seabad kelam
walau selaut ranjau karang menghalang
ayuh!
majulah bahasaku bahasa junjungan.

ADNAN AM
Rumah Rakyat Padang Lebar, Batu Kikir,
N.Sembilan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/