Jumaat, 5 November 2010

SELAMAT BERSARA TAN SRI KPPM : ALIMUDDIN TINGGALKAN LEGASI CEMERLANG

Oleh Azrul Affandi Sobry
bhnews@bharian.com.my

Rangka kejayaan memajukan pendidikan negara ke tahap baru dengan pelbagai transformasi


PENDIDIKAN adalah ejen terpenting dalam pembangunan sesebuah negara kerana melaluinya tamadun negara terbina dan kerananya juga lahir pelbagai lapisan masyarakat yang mampu merencana hala tuju Malaysia.

Justeru, bukan sesuatu yang janggal apabila setiap kali pembentangan belanjawan negara dan ketika Rancangan Malaysia dibacakan, sektor pendidikan sentiasa diberi keistimewaan dengan menerima peruntukan besar.

Pendidikan juga menjadi sektor kerjaya terbesar dengan memiliki kakitangan sama ada akademik atau sokongan demi memastikan ia dapat bergerak lancar bagi menyalurkan ilmu kepada jutaan pelajar seluruh negara.

Pernah juga kata-kata dilontarkan setiap masa, malah di sesetengah lokasi seperti sekolah mencatatkannya di dinding bangunan - ‘Lahirnya seorang menteri bermula dari sekolah dan orang yang bertanggungjawab mendidik mereka adalah guru’.

Ia sekali gus memberi gambaran betapa besarnya peranan sektor ini dan ia juga menandakan siapa saja yang ditugaskan memimpin Kementerian Pelajaran mempunyai tanggungjawab yang berat untuk dipikul.

Lantaran itu, selepas lebih tiga tahun mencurah keringat mengepalai jabatan di Kementerian Pelajaran, Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom secara rasminya bertugas untuk hari terakhir sebagai Ketua Pengarah kelmarin, wajar diiktiraf pejuang tulen dalam sektor pendidikan.

Bukan calang-calang cabaran yang dipikulnya sejak mula mengambil alih kerusi nombor satu dalam kalangan pegawai pendidikan itu daripada bekas Ketua Pengarah yang lama, Datuk Ahmad Sipon pada pertengahan 2007.

Cabaran paling besar dalam tempoh memegang jawatan itu pastinya untuk merealisasikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang diilhamkan Menteri Pelajaran terdahulu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana mengikut pelan itu, ia akan tamat pada 2010 yang mana turut menjadi tahun terakhir perkhidmatan beliau dalam Kementerian.

Justeru, pasti mata masyarakat, mereka mahu melihat sejauh mana beliau mampu memberikan impak besar kepada sektor berkenaan sekali gus turut mewujudkan satu penanda aras khusus kepada penggantinya selepas ini yang pastinya akan ‘tertekan’ untuk mempertahankannya.

Alimuddin bukan sekadar berjaya membina kerjaya cemerlang dalam sektor pelajaran dengan menyelesaikan banyak misi kementerian tetapi turut mampu mewujudkan hubungan baik dengan semua pihak termasuk pihak media, sekali gus membolehkan segala isu ditangani dengan berhemah, apatah lagi umum cukup maklum bahawa sangat banyak isu membabitkan pendidikan.

Ketika ditemubual Berita Harian mengenai pandangannya terhadap perkembangan sektor pendidikan selama perkhidmatan beliau, jelas PIPP menjadi antara topik utama yang diperkatakan kerana ia projek bernilai RM25.2 bilion dalam menjana masa depan negara.

“Dengan enam teras utama iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan, saya lihat ia berjaya secara keseluruhannya.

“Dalam rancangan itu, terutama dalam sasaran pelaksanaan 13,015 projek pembangunan luar bandar, Kementerian sudah melaksanakan pelbagai inisiatif pengantarabangsaan pendidikan dan hasilnya ialah kejayaan murid negara ini dalam pertandingan bercorak akademik dan kokurikulum pada peringkat antarabangsa.

“Antara kejayaan yang dapat dibanggakan ialah Kementerian sedang merintis pelaksanaan transformasi pendidikan di 500 sekolah rendah seluruh negara untuk mengubah pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran supaya lebih berpusatkan murid dan berorientasikan tema serta modular,” katanya.

Malah, sebenarnya ketika beliau bakal menamatkan khidmatnya selepas mula bertugas pada 30 Mei 1976 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Menteri, Changkat Jering, Perak, beliau masih sempat mengadakan persidangan kajian semula PIPP yang pada kali ini menekankan konsep ‘1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

Rasionalnya, kajian semula itu dibuat untuk menjadikan pendidikan di negara ini setara dengan negara lain yang lebih pesat dan pantas. Harapannya untuk melihat perluasan dalam bidang vokasional makin menjadi nyata dengan sasaran utama kementerian. Kali ini ialah menambah pengambilan pelajar jurusan teknik dan vokasional sebanyak 100 peratus pada 2015.

“Kursus di sekolah teknik dan vokasional akan ditambah baik kualitinya sebanyak 80 peratus, selain menambah lebih 95 peratus pelajar yang mendapat dua sijil dan semua itu akan dilaksanakan sebelum 2015,” katanya.

Apapun, dalam kalangan pemerhati pendidikan melihat antara kejayaan dan perubahan penting yang dibuat ketika perkhidmatannya ialah pemansuhan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik dan dijangka dijalankan secara berperingkat bermula dengan murid tahun satu seawal 2011.

Namun, perubahan itu tidak pula meminggirkan bahasa Inggeris yang turut diperkukuhkan dengan penambahan seramai 13,933 guru subjek itu termasuk 1,000 dari luar negara, 600 guru bersara dan selebihnya ialah guru keluaran Institusi Pendidikan Guru (IPGM) dan institusi pengajian tinggi lain.

“Masa yang diperuntukkan untuk bahasa Inggeris juga ditambah, semua itu adalah persiapan bagi menghadapi pelan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bermula 2012,” katanya.

Sebenarnya banyak lagi boleh diperkatakan mengenai pencapaian dan perubahan yang berlaku ketika zaman Alimuddin, termasuk pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan penubuhan sekolah kluster.

Menyorot perjalanan kariernya dalam bidang pendidikan, beliau sebenarnya banyak berkhidmat sebagai guru di sekitar Perak dengan beberapa kali berubah jawatan sebelum memegang jawatan pertama sebagai pengetua pada 1989 di SMK Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak. Bukan itu saja, beliau sudah berpengalaman menjadi pengetua di lima sekolah sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah pada 2003.

Nyata rezekinya begitu murah. Mungkin juga berkat sikap merendah dirinya yang menyaksikan beliau dilantik menjadi Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Swasta pada 2003, itupun tidak sampai setahun sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah di Sektor Pengurusan IPTS.

Setahun selepas itu, portfolionya berubah dan pada 2005, beliau diamanahkan memimpin Jemaah Nazir selama dua tahun dan dilantik pula sebagai Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Sekolah pada 2007 dan hanya untuk empat bulan sebelum secara rasmi menjadi Ketua Pengarah pada 16 Julai 2007.

Meskipun 4 November 2010 adalah hari terakhir beliau bertugas di Kementerian Pelajaran, pastinya sumbangan besar beliau dalam memastikan nasib guru terbela akan menjadi ingatan sampai bila-bila dan diyakini ideanya akan terus dituntut demi terus mengangkat martabat pendidikan negara.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 4 November 2010

ISU KEIBUBAPAAN : Terap kemahiran hidup kepada anak-anak

Oleh Suzalie Mohamad

SEANDAINYA wujud tiga keadaan di pejabat yang mana seorang pekerja itu memiliki kelulusan tinggi dan cemerlang, tetapi apabila dia bercakap atau mengeluarkan arahan, ia membuatkan orang lain sakit hati. Kedua, seorang pekerja berpendidikan dan kemahiran tinggi, dia hanya tahu melaksanakan tugasnya dengan baik dan sering mendapat pujian dan bonus daripada majikannya. Bagaimanapun, dia kurang kebolehan bersosial. Ketiga, seorang pekerja mempunyai pendidikan dan sikap yang amat baik. Dia memiliki kemahuan belajar dan mencuba yang begitu tinggi dan mesra dengan semua orang yang bekerja dengannya.

Di antara ketiga-tiga keadaan itu, yang mana satukah kita mahu wujudkan dalam pejabat atau masyarakat kita? Sudah tentu kita menginginkan keadaan ketiga iaitu seorang insan yang baik, berpandangan positif, mahu belajar, tidak sombong dan terbuka.

Kajian yang dibuat oleh sebuah universiti terkemuka dunia, Harvard Business School mendapati kepintaran ilmu dan kemahiran hanya menyumbang kepada 10 hingga 25 peratus kejayaan sebuah institusi perniagaan. Ini bermaksud sebanyak 80 peratus kejayaan syarikat atau institusi bergantung kepada sikap pekerja yang menganggotainya.

Apa yang membezakan diri kita dengan orang lain adalah sikap. Perbezaan ketara orang-orang yang berjaya bukan sepenuhnya datang daripada pendidikan tinggi yang dimilikinya, tetapi sikap yang ada pada dirinya. Cuba kita ambil contoh ahli perniagaan berjaya Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Tan Sri Datuk Loh Boon Siew. Mereka bukannya berpendidikan tinggi sehingga memperoleh ijazah Doktor Falsafah, tetapi kejayaan yang mereka capai amat sukar ditandingi.

Mengapa? Jawapannya adalah ‘sikap’. Sikap penentu segala-galanya kerana di dalam sikap yang mulia itu, wujud keyakinan dan kemahuan yang amat tinggi. Sikap inilah yang perlu dibentuk, bukannya kelulusan akademik semata-mata. Sekiranya hanya kelulusan akademik dan kemahiran diberi perhatian sepenuhnya dalam membentuk generasi baru, suatu hari nanti banyak penyakit sosial yang kronik akan timbul.

Maka akan lahirlah generasi pekerja yang hanya fizikalnya hadir di pejabat tetapi tidak hati nuraninya. Ini kerana hidupnya hanya semata-mata untuk keadaan dan suasana pekerjaan yang dipimpin oleh majikan atau orang-orang yang tidak memiliki sikap yang mulia.

Tidak dinafikan pendidikan itu penting kerana menerusi pendidikan, lahir kemahiran. Mauduk pendidikan subjektif sifatnya, manakala memperoleh ilmu itu sifatnya berterusan. Ini kerana proses menimba ilmu boleh berlaku melalui pembacaan, pemerhatian, perasaan, pemikiran dan sebagainya.

Bagaimanapun, penekanan terhadap pendidikan seperti di sekolah hari ini yang begitu kaku akan menyebabkan generasi masa depan hilang kemahiran hidup yang diperlukan. Kehidupan bertunjangkan ‘robot’ yang tidak ada perasaan menyebabkan perkara yang senang disusahkan dan perkara yang susah bertambah sukar sehingga timbul tekanan psikologi dan hidup.

Justeru, berlakulah satu keadaan yang pernah diutarakan oleh pemikir ulung, Jacque Rousseau bahawa ‘kemodenan membuat kehidupan kita bertambah mundur’.

San Francisco di California, Amerika Syarikat terkenal dengan The Golden Gate Bridge yang panjang dan tinggi. Namun dengan kemodenan hidup, jambatan ini jugalah menjadi tempat popular untuk orang-orang yang mengalami tekanan jiwa terjun membunuh diri. Mengapa ini berlaku dalam sebuah negara yang maju, moden dan masyarakatnya ‘terdidik’?

Hakikatnya, ramai yang menjadi mangsa tekanan hidup akibat kemodenan dan kekayaan yang menghimpit kehidupan. Corak kehidupan sebegini sudah menampakkan kelibatnya di negara-negara Asia seperti Jepun, Singapura dan China. Apakah kita mahu rakyat Malaysia berhadapan dengan corak hidup sebegini? Inilah akibatnya jika umat manusia diukur atau dibentuk berlandaskan pencapaian merit akademik semata-mata sehingga menyebabkan mereka bergantung pada satu kemahiran dan kebolehan sahaja.

Media arus perdana juga ada peranan yang perlu dimainkan. Setiap kali keputusan peperiksaan utama negara seperti SPM dan STPM, pihak media membuat liputan meluas mengenai pencapaian akademik yang cemerlang. Ini menyebabkan masyarakat terpengaruh dengan budaya menekan anak-anak untuk mendapat keputusan A dalam setiap pelajaran sehingga meminggirkan fakta bahawa aspek kemahiran hidup juga penting.

Kemahiran hidup seperti kemampuan bersosial dengan sopan dan penuh tatasusila, memiliki disiplin kendiri dan sikap yang baik dipinggirkan sehingga anak-anak hanya pandai dalam kaedah atas kertas semata-mata.

Kemahiran hidup sangat penting kerana di dalamnya ada elemen tambah nilai yang boleh digunakan dan bermanfaat untuk mengimbangi kehidupan biasa seorang insan dalam hidup bermasyarakat. Maka, pendidikan nasional wajar mengimbangi pendidikan berorientasikan peperiksaan dan pemarkahan dengan pendidikan berorientasikan kebolehan dan kemahiran individu.

Kerangka pendidikan dan pengajaran ini perlu bermula sewaktu sekolah rendah lagi kerana pada masa inilah, anak-anak begitu aktif dan suka mencuba perkara baru. Pembelajaran anak-anak di sekolah rendah perlu diselitkan dengan kaedah dan bahan pengajaran yang boleh membuat mereka gembira. Lawatan sambil belajar adalah satu pendekatan yang sangat baik dengan syarat adanya tempat-tempat yang sesuai untuk proses pembentukan pembelajaran ini.

Sudah tentu aktiviti-aktiviti pembelajaran yang menyelitkan latihan amali sukar dibuat. Ia memerlukan penglibatan sepenuhnya oleh guru. Maka guru harus menggunakan kreativiti mereka untuk mengadakan aktiviti-aktiviti sebegini. Pihak sekolah dan kerajaan perlu memberi dorongan yang kuat kepada guru bukan setakat motivasi diri dan pelbagai kursus peningkatan diri, tetapi juga dana atau peruntukan bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti-aktiviti kelas yang mendatangkan manfaat kepada anak-anak.

Sekiranya, elaun seperti elaun keraian, pengubahsuaian bilik pejabat, elaun kritikal dan sebagainya yang menelan belanja besar boleh diperuntukkan kepada kakitangan kerajaan yang lain, mengapa tidak diberikan peruntukan kepada guru-guru yang bergelumang hidup dengan susah senang mengajar anak-anak kita, pelapis masa hadapan?

Ibu bapa juga wajar memahami bahawa selain pihak sekolah menyediakan prasarana untuk anak-anak menimba ilmu yang jelas condong ke arah pencapaian akademik, ibu bapa perlu mendedahkan sebanyak mungkin aktiviti-aktiviti amali yang dapat membantu anak-anak membina kemahiran hidup. Anak-anak perlu didedahkan dengan kesusahan dan berdikari menerusi penglibatan dalam aktiviti-aktiviti sosial hujung minggu seperti gotong-royong kejiranan. Suasana kehidupan kampung sudah tentu dapat membantu proses ini.

Kemahiran hidup merupakan aspek penting bagi mengimbangi kehidupan pelajar. Melalui pembinaan aspek ini sahajalah maka terbentuknya keyakinan diri, kesungguhan, fokus, budi pekerti, hormat, dan kegembiraan. Dengan pendedahan kepada asas kemahiran hidup di peringkat awal pembesaran, anak-anak akan cerdas dan seronok menimba ilmu, bukan setakat pada apa yang ada dalam buku teks atau kelas semata-mata, malah mereka akan mampu menggunakan kebolehan berfikir, memerhati dan merasa apabila melakukan aktiviti luar darjah.

Dengan ini, bakat mereka akan terserlah mengikut keunikan diri masing-masing. Semoga apabila mereka dewasa, mereka tidak menyesal dengan apa yang mereka telah lalui dan peroleh di sekolah. Mereka inilah yang akan mampu mengharung tekanan hidup. Mereka jugalah yang akan sentiasa menambahbaik sistem pembelajaran sedia ada agar sesuai dengan zaman mereka.

Suzalie Mohamad

Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 3 November 2010

KEPENTINGAN BAHASA DALAM KEHIDUPAN

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

BAHASA merupakan suatu elemen yang penting dalam kehidupan. Manusia menggunakan bahasa sebagai medium untuk berkomunikasi, sama ada secara langsung atau bertulis.

Percakapan atau tulisan yang menggunakan bahasa yang baik dan teratur akan memberi makna mendalam dan juga mampu menyentuh perasaan.

Justeru, Islam menggalakkan umatnya menggunakan bahasa yang indah dan baik-baik apabila bertutur.

Rasulullah SAW sendiri berdakwah menggunakan bahasa yang paling baik dan halus dan tidak pernah menggunakan bahasa yang kesat dan kasar dalam pengucapan baginda.

Sifat ini seharusnya dicontohi terutama sekali para remaja supaya dapat menggunakan bahasa yang baik dan teratur dalam percakapan seharian.

Luqman Al-Hakim juga berpesan dengan anaknya, menggunakan istilah ‘wahai anakku’ yang menggambarkan kelembutan seorang ayah dalam menasihati anaknya sehingga termaktub dalam al-Quran (Luqman:12-19).

Penulis buku motivasi terkenal, La Tahzan (Jangan Bersedih), Dr. Aidh Abdullah al-Qarni juga ada berkata dalam suatu temuramah, “Islamlah yang mengajak orang untuk memiliki kebebasan berekspresi. Tapi ada dua syarat dalam hal ini. Jangan sampai menghina suatu agama dan, kedua, jangan sampai merosak dan memfitnah orang lain.”

Ini menunjukkan bahawa bersuara tidak mengehadkan batas pemikiran manusia, tetapi harus dilakukan dengan batas lingkungan yang benar dan beretika.

Namun dapat diperhatikan senario pada hari ini, ialah penggunaan bahasa yang semakin kasar dan kadangkala juga boleh menggugat keimanan.

Ia terserlah dalam penggunaan bahasa di kalangan muda-mudi termasuk remaja, dalam blog penulisan, bait lagu dan puisi, serta dalam rancangan di televisyen atau radio.

Penggunaan bahasa pasar dan bahasa kasar sememangnya kurang enak didengar, namun itulah realiti yang terpaksa ditelan hari ini.

Persoalannya, adakah rancangan-rancangan tidak akan laku sekiranya tidak menggunakan bahasa yang indah dan teratur?

Adakah setiap program memerlukan jenaka yang kadangkala berlebihan dan kurang sedap didengar untuk menarik perhatian penonton?

Adakah bahasa yang digunakan dalam lagu misalnya tidak melambangkan sikap dan jiwa sebenar seseorang itu?

Oleh itu, remaja perlu berfikir secara mendalam akan penggunaan bahasa agar ia tidak menyinggung perasaan orang lain sekali sekalipun untuk menyatakan kebenaran.

Antara gurauan dan igauan

Dalam menggunakan bahasa, perkara-perkara seperti sebutan, ejaan, kosa kata, tanda baca dan sebagainya dipanggil tatabahasa dan ia merujuk kepada struktur dan binaan ayat.

Manakala peraturan-peraturan bagi memilih bentuk sapaan, ganti nama, bentuk hormat, dan perbuatan menyentuh orang, mengiktiraf taraf sosial, taraf pendidikan, usia orang dan lain-lain pula boleh dipanggil sebagai budi bahasa.

Budi bahasa adalah sesuatu yang penting apabila bertutur dan berkomunikasi, walaupun sedang berjenaka dan bergurau.

Yang menjadi masalahnya ialah apabila ramai antara kita yang cuba bergurau tetapi menggunakan bahasa yang kurang enak didengar dan kadangkala mengaibkan orang lain.

Islam tidak melarang berjenaka dan bergurau, tetapi tidak harus berlebih-lebihan. Menghiburkan diri dengan jenaka atau kata-kata gurauan boleh menghilangkan kerisauan hati tetapi dalam masa yang sama ia kadangkala mengundang sensitiviti kepada orang yang terlibat dan mendengar.

Oleh itu, remaja harus sentiasa berhati-hati agar tidak menyinggung perasaan sesiapa dan pastinya kita mengharapkan perbuatan yang serupa daripada orang lain juga.

Allah mencipta manusia dengan akal dan hati, yang saling berbeza tabiat dalam memberikan reaksi kepada perkataan. Akal memproses logik dan hati memproses emosi.

Apabila seseorang memberi tindakbalas yang positif, secara automatik emosi akan berasa ceria dan bersemangat dan begitulah sebaliknya.

Apatah lagi sekiranya berjenaka tentang agama yang bermaksud untuk memperlekehkan agama.

Ia mungkin berlaku tanpa disedari, sebagai misalnya berlawak mengenai hukum-hakam yang sudah sedia maklum wajib dilakukan seperti bersolat, berpuasa, dan asas-asas rukun Islam dan rukun Iman yang lain.

Ada juga yang tanpa sedar berjenaka mengenai tuntutan yang wajib dilakukan seperti menutup aurat, menjaga kewajipan dengan jiran dan guru, poligami dan sebagainya.

Paling tidak pun, bergurau dengan memendekkan istilah-istilah yang baik seperti astaga, La’ilah, dan sebagainya dengan tujuan menimbulkan rasa geli hati kepada pendengar. Semua ini akan menjejaskan keimanan walaupun dilakukan tanpa sedar dan niat.

Adalah menjadi suatu kebiasaan pula di masa kini untuk menyelitkan lawak jenaka dalam majlis-majlis ilmu.

Sesetengah orang berpendapat bahawa tanpa jenaka sesebuah ceramah akan menjadi bosan dan tidak menarik.

Mungkin ada benar. Dan mungkin juga ia kurang tepat. Bagaimana ilmu boleh disampaikan secara berkesan sekiranya disampaikan dengan lawak dan terlalu santai? Apakah matlamat sebenar apabila berceramah? Memastikan matlamat seminar tercapai atau membuat orang ketawa?

Justeru, penggunaan bahasa dalam bergurau dan jenaka mesti digunakan sebaik-baiknya kerana dibimbangi boleh membawa interpretasi yang salah yang menyinggung manusia dan hukum-hukum Allah.

Sekiranya ia dilafazkan untuk meredakan ketegangan minda dan sekadar menaikkan suasana ceria, bolehlah dilakukan sekadarnya.

Apa yang penting, gurauan dan jenaka bukanlah jalan untuk mengalih dan menutup pintu kebenaran. Kerana apabila manusia sudah terlalu gembira, kadangkala mereka terlupa akan isu pangkal dan fokus sebenar.

Syirik tanpa sedar

Selain itu kita juga sering disajikan dengan lagu-lagu, sajak, drama atau filem yang menggunakan bahasa-bahasa yang menggambarkan cinta manusia lebih unggul daripada cinta kepada Allah SWT.

Lambakan lagu yang menggunakan istilah seperti ‘tidak boleh hidup tanpamu’, ‘hidup matiku hanya untukmu’ dan sebagainya menggambarkan bahawa manusia seolah-olah telah menjadi hamba kepada cinta dan manusia bergantung kepada manusia yang lain sedangkan Allah telah menjadikan manusia dengan kemampuan dan kelebihan yang tersendiri.

Terdapat juga lagu-lagu yang tanpa kita sedari menyalahkan takdir atas musibah yang berlaku, sedangkan dalam Islam kita harus percaya kepada ketentuan qadar dan qada yang Allah tentukan. Lagu digambarkan seolah-olah hidup akan hancur selepas kehilangan sesuatu atau seseorang, ataupun sedangkan kita dituntut untuk bersabar, percaya dan bertawakal kepada Allah.

Begitu juga dengan nyanyian, iaitu pada dasarnya ia tidak sepatutnya melekakan apatah lagi memuja-muja sesuatu selain Nya yang boleh membawa ke arah syirik.

Menggunakan perkataan seperti dewa, dewi, idola dan lain-lain sebagai manifestasi kepada orang yang dicintai adalah sesuatu yang salah.

Sungguhpun ia digunakan untuk menggambarkan betapa agungnya kecintaan terhadap seseorang, ia menyalahi konsep bahawa yang perlu diagungkan adalah Tuhan yang kekal abadi, dan bukan manusia dan dunia yang fana ini.

Harus diingat bahawa pengucapan kepada manusia tidak boleh melebihi tingginya kuasa Allah. Malang sekali apabila radio dan stesen TV juga menyiarkan lagu ini sewenangnya tanpa berfikir akan implikasinya apabila ia menjadi siulan ramai.

Memang tidak salah para remaja menjadi orang-orang yang dinamik dalam menggunakan istilah dan konsep. Tetapi setiap istilah terkandung makna dan makna dalam istilah agama berkait rapat dengan al-Quran dan hadis.

Seperti juga orang-orang Barat mengemukakan istilah-istilah tertentu untuk dipopularkan, tetapi ia terkandung maksud yang bercanggah atau tidak serasi dengan tradisi dan budaya orang Islam.

Orang Barat mengguna pakai sesuatu istilah, kadang-kadang berkait rapat dengan tradisi, budaya dan pancaran daripada sistem kepercayaan atau agamanya.

Para remaja yang hidup dalam negara merdeka amat mustahak menjaga kepentingan jati diri. Memelihara jati diri tidak semestinya menyebabkan para remaja menjadi tertutup terhadap pengaruh baik daripada budaya dan tradisi orang lain.

Budi bahasa yang baik sememangnya menyenangkan hati semua orang dan lebih baik disertakan dengan perbuatan yang yang baik. Bak kata pepatah Melayu, ‘Orang berbudi kita berbahasa, Orang memberi kita merasa’.

Kesimpulan

Penggunaan bahasa dalam komunikasi seharian bukan kecil fungsinya. Penggunaan bahasa yang tepat dan benar memberikan makna mendalam dan struktur yang kukuh dalam menyampaikan sesuatu maksud.

Untuk bercakap mengenai kebenaran, tidak semestinya dalam nada yang keras dan kasar. Ia boleh disampaikan dengan nada yang lembut, tetapi tegas dan berprinsip.

Untuk berbeza pendapat juga tidak semestinya meninggi suara atau melukakan, tetapi harus dibalas dengan ilmu, fakta dan berbudi bahasa. Oleh itu, remaja harus berupaya membezakan antara yang baik dan buruk, serta tidak hanya terikut-ikut sesuatu perkataan atau perbuatan hanya dikatakan untuk mengikut peredaran zaman.

Sumber : http://epondok.wordpress.com/

Selasa, 2 November 2010

Persembahan puisi bukan Melayu


RAJA RAJESWARI menyampaikan puisi yang berjudul Bicara Sukma Bahasa.

ENTAH mengapa bait-bait puisi nukilan bapanya itu meresap jauh ke hati Lim Fheng Fheng, 26. Baris-baris puisi berjudul Tuhan, Kepada-Mu Kami Memohon Perlindungan itu dibaca Fheng Fheng dengan penuh perasaan.

Walaupun berketurunan Cina, ia bukan penghalang kepada anak penggiat sastera negara, Profesor Madya Dr. Lim Swee Tin untuk tampil bersemangat mengungkapkan patah-patah kata dalam bahasa Melayu.

Bahasa kebangsaan sudah sebati dengan jiwanya. Apatah lagi, menurut bekas wartawan penyiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) tersebut, beliau akan bertutur bahasa Melayu ketika berkomunikasi bersama keluarganya di rumah.

“Ayah saya berasal dari Kelantan. Masyarakat Cina yang berasal dari negeri itu mempunyai jati diri Melayu yang sangat tinggi. Jadi kami selesa menuturkan bahasa Melayu,” katanya ketika ditemui pada majlis sepetang di Permodalan Nasional Berhad (PNB) sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan baru-baru ini.

Menurut pelajar ijazah sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan yang menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, beliau sering mengikut bapanya menghadiri majlis-majlis persembahan puisi sejak umurnya 11 tahun.

Daripada situ, Fheng Fheng belajar menghayati baris-baris puisi yang dilontarkan bapanya dan perasaan cinta pada puisi Melayu cukup sebati di jiwanya.

“Di mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Saya akan menjadi pewaris kepada semangat bapa terhadap bahasa kebangsaan kita,” ungkap Fheng Fheng penuh bermakna kepada Kosmo!.


FHENG-FHENG mempersembahkan puisi hasil nukilan bapanya, Lim Swee Tin.

Anak kepada pensyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM itu bukanlah berseorangan sebagai kaum bukan Melayu yang lancar menuturkan bait-bait puisi. Sebaliknya, Pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Bahasa Melayu, Raja Rajeswari Seetha Raman, 49, turut menunjukkan kecintaan yang sama.

Anak kelahiran Kuala Kurau, Perak itu mendapat pendedahan mengenai bahasa Melayu sejak kecil. Memandangkan beliau menetap di kuarters guru, dan dibesarkan di Bagan Serai, Perak, pergaulan Raja Rajeswari dengan pelbagai kaum menyebabkannya banyak menggunakan bahasa Melayu.

Puisi untuk Tun Mahathir

“Ketika di kuarters, saya bergaul dengan rakan-rakan daripada kaum Melayu. Ia secara tidak langsung menyebabkan saya fasih berbahasa Melayu.

“Fasih berbahasa Melayu tidak bermakna saya melupakan bahasa nenek moyang iaitu bahasa Tamil. Sebaliknya sebagai rakyat Malaysia kita patut mengutamakan bahasa kebangsaan,” katanya yang telah menghasilkan lebih 50 buah puisi etologi.

Menganggap bahawa bahasa kebangsaan penting untuk dihayati oleh setiap warga Malaysia, beliau yang pernah menyumbangkan puisi kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru agar rakyat Malaysia tidak menjadikan bulan Oktober sahaja untuk menghayati bahasa kebangsaan sebaliknya mengamalkannya setiap hari.

Fheng Fheng dan Raja Rajeswari adalah antara anak seni yang mempersembahkan puisi masing-masing pada majlis yang berlangsung sempena meraikan Bulan Bahasa Kebangsaan di Menara PNB, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini. Pada petang itu Raja Rajeswari mempersembahkan puisi berjudul Bicara Sukma Bahasa Kepada Warga Nusa.


DARI kiri: Karam Singh, Fheng Fheng dan Raja Rajeswari terhibur dengan telatah lucu pengacara majlis Bulan Bahasa Kebangsaan di Menara PNB baru-baru ini.

Tetamu lain yang mempersembahkan puisi pada majlis yang bertemakan Tiada Kata Secantik Bahasa itu ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi A. Aziz; Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaaffar; Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said; wartawan TV3, Karam Singh Walia dan penggiat sastera, Zaen Kasturi. Masjid tersebut turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat seperti Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan isteri serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan isteri.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

DOA SUPAYA DIPERMUDAHKAN SEGALA URUSAN DAN HAJAT


Ulasan :

Tarikh peperiksaan semakin hampir, justeru, marilah kita sama-sama mengamalkan doa ini. Semoga Allah S.W.T mempermudahkan urusan kita, insya-Allah.

Ahad, 31 Oktober 2010

ISU PENDIDIKAN : Mengapa generasi muda tidak celik sejarah?

Terima atau tidak isu generasi muda buta sejarah adalah berpunca daripada "kecuaian" kita selama ini. Sebahagian daripada mereka buta sejarah lantaran golongan dewasa yang memiliki kuasa telah mengabaikan sejarah.

Pepatah lama telah mengingatkan kita bagaimana acuan begitulah hasilnya. Hakikat ini perlu diterima meski pun pahit untuk ditelan.

Hasil soal selidik oleh Unit Khas Utusan Malaysia baru-baru ini terhadap 200 responden berusia dari 16 hingga 51 tahun perlu dijadikan momentum untuk kita kembali menyemak sejauh mana keberkesanan mata pelajaran Sejarah yang diajar selama ini di sekolah.

Menyalahkan golongan yang dilabel sebagai buta sejarah iaitu kelompok usia di bawah 30 tahun iaitu antara 16 dan 20 tahun seperti yang didedahkan dalam hasil soal selidik tersebut adalah ibarat meludah ke langit kena ke muka kita sendiri.

Walhal, penekanan kita terhadap sejarah tokoh, hari, tempat, peristiwa dan negara selepas bangku sekolah begitu kurang diberi perhatian. Jadi, bagaimana proses sosialisasi masyarakat terhadap sejarah dan jati diri tanah air dapat mengakar umbi dalam akal budi bangsa Malaysia?

Jika di negara luar seperti di Thailand, lagu kebangsaan dinyanyikan di dalam pawagam sebelum filem diputarkan. Mengapa di negara ini tidak?

Barangkali isu ada antara rakyat kita terutama generasi muda tidak tahu nama lagu kebangsaan dan nama bendera seperti yang diperoleh dalam soal selidik tersebut sudah tidak timbul lagi pada masa akan datang jika kita telah lama mengikut jejak Thailand.

Ini kerana kita pun tahu kelompok yang ramai mengunjungi pawagam terdiri daripada golongan muda.

Jika nama Perdana Menteri Malaysia dan cogan kata negara pun tidak tahu, apatah lagi agaknya tahap penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Walaupun soal selidik tidak bertanyakan secara langsung tentang tahap penguasaan bahasa kebangsaan tetapi kita sedia maklum akan parahnya rakyat Malaysia hari ini yang tidak fasih dalam bahasa kebangsaan.

Usah kita lupa asas dan jati diri sesebuah bangsa yang maju terletak pada keperkasaan bahasanya. Persoalannya, adilkah untuk generasi muda dipersalahkan dan dilabel buta sejarah jika persekitarannya tidak memperlihatkan keperkasaan bahasa kebangsaan itu sendiri?

Sepanjang bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan pun, penggunaan bahasa milik semua kaum di negara ini disepak ke tepi. Berbeza di negara lain Jepun misalnya begitu mengutamakan bahasa kebangsaan negara mereka terlebih dahulu walaupun dalam program bertaraf dunia seperti yang dapat kita perhatikan dalam Kejohanan Tenis Antarabangsa ATP World Tour di negara Matahari Terbit itu baru-baru ini.

Lain pula halnya di Malaysia. Buku tentang sejarah negara pun dalam bahasa Inggeris. Malah, seminar atau ucapan pun sewenang-wenangnya menggunakan bahasa Inggeris meskipun sebahagian besar adalah rakyat negara ini.

Jadi, jika golongan dewasa termasuk kalangan ahli politik, perniagaan dan ahli akademik pun tidak menghormati asas sejarah jatuh bangun sesebuah bangsa, apakah yang kita hendak harapkan pada generasi muda untuk celik sejarah ?

MOHD ARIF ATAN

Bandar Baru Bukit Beruntung, Selangor.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : SEJARAH BANTU KITA FAHAMI AKAR UMBI TAMADUN BANGSA

Oleh Mohd Ayob Abd Razid
ayop_60@yahoo.com


Langkah jadi subjek wajib lulus pada 2013 bantu generasi muda nilai kemanusiaan, tingkat penghayatan patriotisme


SEJARAH adalah satu cabang ilmu yang berasal dari Yunani pada abad ke-5 Sebelum Masihi (SM). Karya yang mula-mula dianggap sebagai penulisan sejarah ialah Histories, ditulis oleh Herodotus yang dianggap sebagai 'bapa sejarah'.

Karya Herodotus ini membawa maksud penyelidikan atau penyiasatan. Ia diterjemahkan oleh G Rawlinson dengan judul The Persians Wars. Buku terjemahan ini diterbitkan oleh The Modern Library, New York pada 1942.

Dalam bahasa lain, sejarah dikenali seperti berikut iaitu historia di negara Latin, history (Inggeris); storia (Itali), historie (Perancis), geschichte (Jerman), gescheiedenis (Belanda), shih (Cina), itihasa dan purana (Hindu) dan tarikh (Arab). Dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia disebut sejarah (syajarah) yang diambil daripada perkataan Arab ‘syajaratun’ yang bererti pohon, keturunan atau asal-usul.

Sejarah adalah berkaitan dengan perkara atau peristiwa yang sebenar sudah berlaku (Sir John Seely). Ia merakamkan pengalaman kehidupan manusia dalam masyarakat yang bertamadun (G Renier). R G Collingwood menganggap semua sejarah ialah sejarah pemikiran (idea manusia). Lewis Namier pula menyebut bahan atau mauduk yang menjadi perhatian sejarah ialah mengenai tindakan manusia sehingga mencetuskan peristiwa mengikut keadaan dan masa.

Islam sangat memberi perhatian terhadap sejarah. Misri A Muchsin dalam Filsafat Sejarah Islam (Ar-Ruzz Press, Jogjakarta, 2002) menyebut sekitar dua pertiga daripada keseluruhan ayat al-Quran memiliki nilai atau norma sejarah yang mana al-Quran berbicara mengenai perubahan dalam masyarakat yang sangat ditentukan oleh kebaikan dan kejahatan yang dilakukan oleh manusia. Dalam konteks ini, al-Quran berbicara sebab khusus terjadinya perpecahan sosial bangsa yang sudah terlalu jauh menyimpang daripada sendi kebenaran hakiki.

Sejarah sebagai satu ilmu memerlukan kepada penyiasatan dan penyelidikan mengenai peristiwa masa lampau berdasarkan bukti yang ditemui. Daripada bukti atau sumber itu, maka pentafsiran sejarah akan dilakukan oleh sejarawan. Jacob Burchharht menyebut bahawa sejarah ialah pentafsiran berdasarkan kepada sumber. Ini bermakna sejarah ialah pencarian untuk mendapatkan kebenaran, hakikat dan penujuan manusia (Arnold Toynbee).

Dalam konteks ini, Edward Carr menyebut bahawa sejarawan mempunyai dua tugas utama iaitu menyingkap fakta penting dan menyingkirkan fakta historis (bukan fakta sejarah). Sejarawan harus dapat membezakan antara kebenaran dan kepalsuan (pembohongan) sumber sejarah. Ibnu Khaldun sangat tegas dalam perkara mengenai fakta sejarah. Beliau menegaskan sejarawan perlu melakukan dua perkara penting, iaitu memberi pemikiran mendalam terhadap berita mengenai sesuatu peristiwa dan membuat kajian terhadap kebenaran dan kejujuran penutur (pencerita) dan penulis berita itu.

Ilmu sejarah adalah ilmu yang menggunakan pendekatan ilmu sosial. Hasil daripada metodologi kajian sejarah itu membolehkan ahli sejarah melakukan interpretasi sejarah terhadap peristiwa yang dikaji. Interpretasi itu pula bergantung kepada dari segi mana sejarawan itu melihatnya, dimensi mana yang diperhatikan serta undur mana yang diungkapkannya. Misalnya, jika ia menggunakan pendekatan politikologis sudah pasti sejarawan itu akan meneliti atau menyoroti pertentangan kekuasaan, ideologi politik, struktur politik dan jenis pemerintahan serta kepemimpinan.

Yang pasti, dalam apa jua pendekatan yang digunakannya, pengkaji sejarah memerlukan pengetahuan mengenai konsep dan teori ilmu sosial seperti antropologi, sosiologi, geografi, politik, ekonomi, bahasa, kesusasteraan, falsafah dan ilmu sosial yang lain. Malah, dalam keadaan tertentu pengkaji sejarah memerlukan bantuan ilmu fizik dan kimia untuk membuat penilaian mengenai bahan berkaitan fosil, batu bata, bahan purba dan dokumen lama yang dikajinya itu.

Pada sekitar 1920-an, ahli sejarah Perancis yang terdiri daripada aliran ‘Annales’ dianggap berjaya meletakkan ilmu sejarah sebagai ilmu bersifat saintifik dengan sempurna apabila berjaya menggunakan kaedah kuantitatif serta menghuraikan secara sahih peranan pelbagai faktor penyebab seperti geografi, struktur sosial dan pemikiran. Justeru, penulisan sejarah yang dihasilkan oleh ahli sejarah Annales telah memberikan satu nafas baru kepada pengajian ilmu sejarah dengan memperluaskan sudut pandangan ahli sejarah, baik dari segi ruang lingkup mahupun perkaedahan (R Suntharalingam, 1987).

Sebenarnya, bagi mereka yang membuat pengkhususan dalam pengajian sejarah, terlalu banyak cakupan ilmu sejarah yang perlu dikuasainya. Misalnya, seseorang penuntut atau pengkaji dalam pengkajian falsafah sejarah perlu memahami mengenai dasar dan persoalan falsafah sejarah, perkembangan pensejarahan (Timur dan Barat), perkembangan falsafah sejarah mengikut periodisasi, epistemologi sejarah, ontologi sejarah, teleologi sejarah, kosmologi sejarah, eskatologi sejarah, nomologi sejarah dan aksiologi sejarah.

Apakah fungsi sejarah? Apakah sejarah itu hanya dilihat sebagai satu nostalgia ataupun romantisisme yang digunakan sebagai satu pelarian seperti yang ditanggapi oleh orang yang bukan ahlinya. Ibnu Khaldun menyatakan bahawa ilmu sejarah adalah ilmu yang dikaji oleh pelbagai bangsa dan generasi untuk mengetahui mengenai kerajaan dan negara serta perubahan yang terjadi dalam sesuatu masyarakat itu.

Melalui sejarah, sesuatu bangsa itu dapat mengenali mengenai akar umbi serta jatuh bangunnya bangsa itu. Daripada peristiwa sejarah itu jugalah kita dapat memahami dan mengenali hukum sebab akibat daripada sesuatu peristiwa supaya boleh diambil pengajaran daripadanya. Nouruzzaman Shiddiqie dalam pengantar Sejarah Muslim (Nurcahaya, Yogyakarta, 1983) menyebut sejarah sebagai peristiwa masa lampau bukan sekadar memberi maklumat mengenai terjadinya peristiwa itu, tetapi juga memberi interpretasi atas peristiwa yang berlaku dengan melihat kepada hukum sebab akibat untuk dijadikan pengajaran.

Sejarah mampu memperteguhkan semangat dan ketahanan sesuatu bangsa dalam menghadapi krisis atau kekacauan dalam kehidupan semasa. Melalui pengalaman sejarah, ia dapat menyediakan arah garis tertentu serta membina keyakinan dan harapan masa depan yang lebih menyakinkan. Misalnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dihasilkan di negara kita adalah didorong oleh pengalaman sejarah bangsa Melayu yang mengalami keterbelakangan dalam penyertaan ekonomi moden kesan daripada dasar yang diamalkan penjajah. Ia adalah berkaitan dengan kesan dan akibat daripada perjalanan sejarah kolonial di negara kita.

Bagi bangsa yang tidak memberikan perhatian kepada sejarahnya, ia akan kehilangan arah dan identiti kerana perilaku, pemikiran dan tindak tanduknya sudah tersasar dan terputus daripada sejarah akar umbi bangsanya. Hakikatnya, apabila kita meneliti negara dan masyarakat kita, maka kita dapati bahawa negara dan masyarakat kita yang wujud hari ini banyak dikenali melalui pelbagai simbol dan lembaga kenegaraan yang ada hubungannya dengan pensejarahan negara. Justeru, sejarah nasional wajib menjadi sebahagian daripada unit sejarah dalam pengajian sejarah tanah air.

Pada hemat saya, sejarah tradisional tanah air mampu membawa kita mengenal akar umbi ketamadunan bangsa, manakala sejarah moden tanah air yang berkembang pada abad ke-19 dan 20 pula mampu memupuk semangat kita untuk meneruskan pembinaan negara bangsa yang mempunyai identiti dan jati diri yang kukuh.

Kita juga perlu memahami bahawa proses dan perjalanan sejarah tanah air tidak dapat dipisahkan daripada proses sejarah makro antarabangsa yang dalam keadaan, masa dan ruang tertentu turut mempengaruhi banyak aspek pensejarahan tanah air seperti aliran ideologi, politik, nasionalisme, perdagangan, kemasukan teknologi baru dan migrasi bangsa dari negara luar. Proses sejarah itu telah meninggalkan kesan yang cukup besar dalam proses pensejarahan negara.

Kesimpulan, pengajian sejarah akan menjadikan generasi kita memahami proses pembinaan negara bangsa, membangun intelektual, menghargai usaha dan sumbangan tokoh tanah air, membina nilai kemanusiaan serta membentuk warga negara yang patriotik. Melalui penghayatan terhadap pengalaman sejarah tanah air akan meningkatkan kesedaran, kepekaan dan semangat ingin membabitkan diri dalam proses pembinaan negara bangsa secara aktif dan produktif di atas penghayatan patriotisme yang tinggi terhadap tanah air.

Justeru, keputusan kerajaan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan Sejarah sebagai subjek teras di sekolah rendah mulai 2014 sangat dialu-alukan.

Penulis ialah Ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/