Sabtu, 27 November 2010

PELUDAH BAHASA

Ketika lahir jeritnya amat mesra––hening suara bayi pertama.
Neneknya pengagum hikayat Tuah membisik iktibar ke telinganya.
Datuknya pencinta Siti Zubaidah bersyair merdu ke qalbunya pula.
Doa dan janji di sanubari inilah cucunya kebanggaan desa––
insan harapan kerdip permata yang bakal bersinar sebagai pendakwah.


Ketika bertatih di sisi buaian gelincirnya cepat disantunkan.
Ayah dan ibunya cekal berazam anak termanis di hemah Ramadan.
Diasuh ia menjadi wira dan tidakpun dikira ke bidang mana.
Pada hembusan angin di bukit amat merdu terdengar ia menjerit:
Penyegar budi pilihan pertama, penyemai bakti di qalbu desanya.

Ranum di dalam dan di luar negara menjalar akar benih ilmunya;
pergaulannya alam tak berbatas bertingkat cepat dirinya ke atas.
Pada kempen “bersih-cekap-amanah” terhantar ia ke tampuk kuasa;
masih diingat pesan nenek tentang Tuah; saran datuk tentang Zubaidah.
Sebaik menyingsing Satu Malaysia mula terbelah percik mimpinya.

Tapi, kuasa tersangat nikmatnya––darjat dan harta sebuah buana.
Lalu, dalam lagu gema ternyaring giginya berubah menjadi taring.
Leluhurnya kini damai di kubur, dan sayang, dirinya meruncing takbur.
Terakhir, dengar kisah lupanya––semua dangkal kecuali dirinya.
Terakhir, merebaklah bongkaknya sebagai peludah bahasa Ibunda.

Tak lagi dirinya budayawan desa, pembela bahasa tidak juga.
Kini dia niagawan haloba pemburu kuasa paling selesa.
Memang bukan lagi cucu desawan; segebu dirinya kuasawan.
Dilupa Syair Siti Zubaidah dan tidak dikenal Hikayat Hang Tuah.
Sangatlah selesa dan bangga––dirinya tulen peludah bahasa.

A.SAMAD SAID

Khamis, 25 November 2010

ISU BAHASA : Bahasa Melayu diperkasa elak terus berkecamuk

Oleh Azman Zakaria dan S Anand Kumar

Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan ditubuh

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan ke arah mencari kaedah terbaik bagi memantau dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu meliputi pelbagai skop serta menjamin kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, serentak dengan penubuhannya, jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat pertamanya 30 November ini, dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Dengan adanya mekanisme (jawatankuasa) ini, apa juga masalah dari segi penggunaan bahasa akan dapat dirumus dan dicari formula (penyelesaian)... kita memang bertungkus lumus untuk membetulkan apa yang tidak betul, katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu adalah satu daripada komitmen kerajaan untuk membetulkan masalah penyalahgunaan bahasa Melayu, termasuk penggunaan bahasa rojak oleh penyampai radio, iklan di radio dan televisyen serta di papan tanda.

“Penggunaan bahasa Melayu sebelum ini memang berkecamuk... seperti istilah infotainment, tetapi sudah diganti dengan inforia,” katanya.

Wee berkata, kerajaan juga sedang menimbang untuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 yang akan memberi kuasa penguatkuasaan kepada badan itu dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu serta menangani masalah bahasa rojak.

Katanya, pindaan itu sudah disyorkan tetapi belum dimuktamadkan Kabinet. Beliau juga berkata, ada desakan supaya tindakan diambil terhadap pihak yang tidak menggunakan bahasa Melayu dengan baik tetapi kerajaan berpendapat adalah lebih elok mereka ini dibimbing terutama yang membabitkan pemegang kepentingan dalam institusi kewangan dan bank.

Ketika menjawab soalan tambahan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mengenai penggunaan bahasa rojak oleh pengulas sukan, Wee berkata, perkataan digunakan seperti 'drop shot' adalah jargon atau istilah yang biasa digunakan dan sudah diterima serta difahami pendengar serta peminat sukan.

Sebelum itu ketika menjawab soalan asal Ismail, beliau berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dengan baik dan betul melalui perundangan sedia ada dan menerbitkan buku pedoman dan panduan bahasa, memberikan kursus penataran bahasa, melakukan pemantauan serta teguran.

Katanya, kerajaan berharap dapat memberikan pendidikan secukupnya agar rakyat dapat menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam semua urusan harian.

“Secara tidak langsung, langkah ini akan dapat mengawal penyalahgunaan bahasa Melayu seperti penggunaan bahasa rojak oleh penyampai radio, iklan di radio atau televisyen atau papan tanda,” katanya.

Katanya, peruntukan mengenai penggunaan bahasa ada dalam undang-undang serta pelbagai peraturan khusus dalam bidang dan sektor, selain Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 iaitu undang-undang induk.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 24 November 2010

ISU BAHASA : Sikap tidak peduli akan Bahasa Kebangsaan kian ketara

Oleh ROHANI IBRAHIM

DALAM mendaulatkan Bahasa Kebangsaan, semua pihak tidak kira pemimpin masyarakat, ahli korporat, para peniaga, pihak media, ahli sukan, orang ramai dan golongan pelajar perlu memainkan peranan proaktif demi merealisasikan matlamat berkenaan.

Namun, kebelakangan ini sikap tidak mempedulikan penggunaan Bahasa Kebangsaan dilihat semakin ketara dan ini dikhuatiri akan menjejaskan usaha mendaulatkan bahasa tersebut.

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad yang ditemui di ibu pejabat Utusan Melayu di Kuala Lumpur semalam melahirkan rasa kesal dengan kurangnya inisiatif untuk memartabatkan bahasa Melayu oleh pelbagai golongan sejak akhir-akhir ini.

Bagi beliau, ini menggambarkan sikap pandang ringan dan tidak endah golongan terbabit terhadap Bahasa Kebangsaan.

''Stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar nasional juga perlu memastikan hanya visual dan audio pemimpin masyarakat yang menggunakan bahasa Melayu sahaja disiarkan dalam saluran mereka.

''Jika individu yang ditemu ramah tidak boleh langsung berbahasa Melayu maka perlulah disiarkan sarikata atau terjemahan dalam bahasa Melayu sahaja. Ini tidak, visual kenyataan menteri-menteri dalam bahasa Inggeris sering disiarkan dalam saluran nasional," katanya sambil menambah langkah ini menyukarkan usaha mendaulatkan bahasa Melayu.

Hussein berkata, beliau turut kesal apabila ada warga Malaysia bukan Melayu berusia lebih 60 tahun yang mendakwa mereka tidak boleh berbahasa Melayu.

''Macam mana jadi warganegara kalau cakap Bahasa Kebangsaan pun tidak tahu. Begitu juga dengan murid-murid yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini. Apabila berikan reaksi kepada pihak media cakap bahasa Inggeris. Mereka mampu dapat 5A, cakap bahasa Melayu sajalah," jelasnya.

Hussein turut mempersoalkan kurangnya penggunaan bahasa Melayu di kalangan atlet Malaysia yang ditemu ramah pihak media di Sukan Asia yang sedang berlangsung di Guangzhou, China pada masa ini.

''Tidak bolehkah atlet-atlet berkenaan cakap Bahasa Kebangsaan? Orang Malaysia mestilah gunakan Bahasa Kebangsaan kerana ia merupakan bahasa perpaduan.

''Ratu Squasy Negara, Datuk Nicol Ann David tidak pernah langsung bercakap dalam bahasa Melayu. Bila ditemu bual media biarlah bunyi Melayu sedikit supaya semua boleh rasa lebih bangga," jelasnya.

Tambah beliau, penggunaan Bahasa Kebangsaan perlu diterapkan dalam semua sudut tidak kiralah majlis rasmi dan tidak rasmi, temu bual bersama pihak media dan urusan surat-menyurat.

''Namun apa yang menyedihkan ialah saya sendiri pernah menerima surat dari agensi kerajaan dalam bahasa Inggeris," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr. Firdaus Abdullah yang turut ditemui bersama Hussein berkata, beliau sedih dengan sikap orang ramai yang jelas meminggirkan dan mengabaikan Bahasa Kebangsaan.

''Sebagai contoh di kawasan Bangsar terdapat premis yang dinamakan Bangsar Shopping Complex, Bangsar Village Satu dan Dua, pusat membeli-belah Midvalley dengan bahagian yang dinamakan Gardens. Kini terdapat kawasan pembangunan baru dengan nama Bangsar South tidak jauh dari kawasan kediaman yang dinamakan Pantai Hillpark.

''Semua kawasan kediaman dan pusat membeli-belah ini mengabaikan Bahasa Kebangsaan. Saya juga hairan bagaimana pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh meluluskan pembangunan yang menggunakan nama-nama seperti itu. Ini tidak langsung menghargai bahasa Melayu," jelasnya.

Firdaus menambah, kalau hendak menamakan sesebuah projek dalam Bahasa Inggeris sekalipun perlulah ada imbangan dengan bahasa Melayu.

''Adakah mereka yang bertanggungjawab sengaja khianat atau ada perkara lain yang berlaku? Semua ini perlu diselidik. Sebagai orang lama saya turut sedih dengan sikap biadap dalam penggunaan Bahasa Kebangsaan.

''Ada orang muda yang memanggil orang lebih tua darinya dengan panggilan kamu. Ini adalah kegagalan pengajaran, penyebaran dan pemasyarakatan Bahasa Kebangsaan. Kamu merupakan panggilan yang patut digunakan oleh seorang yang lebih tua kepada mereka yang lebih muda," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 23 November 2010

'Perlu tegas pertahan bahasa Melayu'

Oleh Azrul Affandi Sobry

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta lebih tegas dalam memastikan Bahasa Melayu digunakan secara meluas dan tidak dicemari secara sewenang-wenangnya dengan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) melaksanakan akta khusus melalui penubuhan Jawatankuasa Kabinet Pelaksanaan Bahasa Melayu.

Ia dilihat sebagai satu elemen penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan itu, sekali gus meningkatkan jati diri rakyat Malaysia ke arah merealisasikan gagasan 1Malaysia melalui bahasa dan budaya.

Cadangan itu adalah rumusan daripada Forum Jati Diri kali keempat anjuran bersama Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Persatuan Sarjana Komunikasi dan Media Malaysia (PERSKOM) serta Jabatan Penerangan di Dewan Bestari, Jabatan Penerangan, di sini semalam.

Forum itu menampilkan dua tokoh bahasa iaitu bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Aziz Deraman serta pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Lim Swee Tin.

Forum yang dipengerusikan Pengerusi Gapena, Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar, turut memfokuskan dua isu lain ke arah menjadikan bahasa sebagai agen penting 1Malaysia.

Aziz berkata, Kementerian Pelajaran wajar melihat secara mendalam kepentingan memperkenalkan subjek Kesusasteraan Melayu di peringkat sekolah rendah.

Katanya, langkah itu bukan sekadar untuk memenuhi keperluan akademik semata-mata, tetapi lebih kepada diskusi mengenai maksud tersirat dalam peradaban budaya Melayu.

Sebenarnya orang Melayu begitu kaya dengan peribahasa dan pelbagai lagi aspek budaya lain. Sebagai contoh, pantun kita cukup dikagumi masyarakat luar, tetapi kita sendiri mengabaikannya, katanya.

Pendapatnya dipersetujui Swee Tin yang melihat kurangnya pendedahan kepada budaya dan bahasa Melayu pada peringkat sekolah melahirkan masyarakat Malaysia yang semakin hilang nilai jati diri, selain semakin tipis rasa hormat dengan orang sekeliling.

Gelombang kemajuan dan perubahan teknologi begitu pantas. Anak kita boleh berbicara pelbagai topik dengan rakan di Tokyo dan pada masa sama boleh bersahabat dengan orang di Moscow serta Australia tetapi tidak kenal jiran sebelah rumah.

Dalam konteks 1Malaysia, kita perlu menjadikan budaya Melayu sebagai tonggak untuk semua kaum. Mereka bebas mengamalkan budaya sendiri tetapi perlu diberi penekanan terhadap bahasa dan budaya Melayu supaya semua kaum di negara ini lebih mudah disatukan, katanya.

Forum itu turut bersetuju supaya kerajaan memperkenal Anugerah Khas 1Malaysia bagi mengangkat individu yang mampu dijadikan model konsep sebenar gagasan itu untuk rujukan semua kaum di negara ini.

Hadir sama pada forum itu ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengarang Eksekutif Rencana, Zainor Said.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

TIP MENJAWAB BM STPM

BAHAGIAN A : PENULISAN KARANGAN

01. Pilih soalan yang senang untuk mendapat markah. Misalnya, soalan yang menggunakan kata kunci "Pada pendapat anda", "Bincangkan", atau "Berikan pandangan anda". Elakkan daripada menjawab soalan yang menanya "sejauh manakah anda bersetuju" atau "Bersetujukah anda".

02. Berikan isi karangan antara 5 hingga 6 isi. Huraikan dengan baik. Ingat 1 isi 1 perenggan. Cuba elakkan memberikan dua isi dalam satu perenggan. Jika isi 1 ialah tentang ibu bapa maka huraian haruslah berkisar tentang ibu bapa sahaja. Isi seterusnya ialah rakan sebaya. Begitulah seterusnya.

03. Jangan menulis kurang daripada 650 patah perkataan. Jangan pula menulis melebihi 700 patah perkataan. Arahan ini wajib dipatuhi oleh calon. Kegagalan memahami arahan ini menyebabkan markah akan ditolak dan ada bahagian karangan anda yang tidak disemak.

04. Jangan terlalu taksub dengan soalan ramalan. Yang penting ialah teknik mengarang yang betul. Jawapan jangan terpesong. Huraikan karangan dengan baik, maka anda akan mendapat markah yang baik juga.

05. Bahagian A hendaklah dijawab dengan teliti dari pendahuluan hingga penutup. Bahagian ini penting kerana markah yang diperuntukan ialah 50%.

06. Jangan lakukan terlalu banyak kesalahan ayat atau kesalahan sintaksis. Pastikan anda tidak memulakan ayat dengan "Hal ini kerana", :"Justeru itu", "Oleh kerana itu", "Malahan", "Maka", "Tetapi", "Pada masa kini" dan sebagainya.

07. Buat rangka dahulu sebelum menulis untuk memastikan tidak ada pengulangan isi dan huraian. Jangan terus menulis tanpa berpandukan rangka karangan.

BAHAGIAN B : RUMUSAN KARANGAN

01. Tulis rumusan anda dalam tiga perenggan dan mengikut jumlah perkataan yang diminta dalam arahan. Jumlah patah perkataan hendaklah ditulis di akhir jawapan anda.

02. Bacaan kali pertama ialah untuk memahami petikan secara keseluruhan.

03. Bacaan kali kedua barulah untuk mengenal isi utama, isi sampingan, dan isi penutup dalam petikan tersebut.

04. Tulis isi yang telah diperoleh menggunakan ayat sendiri tanpa ada penambahan isi oleh calon. Anda tidak boleh menulis isi tersirat yang tidak dinyatakan dalam petikan.

05. Isi rumusan hendaklah ditulis mengikut urutan dari A hingga Z dengan ayat yang gramatis dan tatabahasa yang betul.

06. Elakkan daripada memasukkan contoh, statistik, komen, ulasan, laporan, peribahasa dalam rumusan anda. Anda cuma perlu memasukkan isi-isi penting dalam petikan sahaja.

07. Buat rumusan dengan teliti kerana anda boleh mendapat markah yang banyak dalam bahagian ini jika dibandingkan dengan bahagian-bahagian yang lain.

BAHAGIAN C : ALIH BENTUK TEKS

01. Jawapan anda hendaklah dalam ayat aktif atau ayat penyata sahaja.

02. Alihkan petikan mengikut urutan sehingga habis dengan menggunakan bahasa yang betul.

03. Ayat anda hendaklah gramatis.

04. Jangan masukkan frasa yang berupa laporan atau komen kerana jawapan sebegini adalah bersifat ulasan calon tersebut.

05. Kalau boleh baca petikan sebanyak 2 kali. Bacaan pertama untuk memahami maksud keseluruhan. Bacaan kedua barulah anda boleh mula menjawab.

06. Jangan sesekali menggunakan penanda wacana yang menjurus kepada penyataan memberi pendapat sendiri seperti "pada pendapat saya" dan sebagainya.

07. Jangan menyalin petikan secara bulat-bulat. Anda hendaklah membuat alih bentuk teks tersebut.

BAHAGIAN D : ANALISIS KESALAHAN BAHASA

01. Kesan dahulu kesalahan kata sendi nama dalam petikan tersebut.

02. Pastikan anda mengesan sekurang-kurangnya 5 kesalahan bahasa dalam petikan. Jika lebih pun tidak mengapa.

03. Apabila anda tahu kesalahan maknanya anda tahu memberikan sebab kesalahan dan membetulkan kesalahan tersebut. Buat kerja dengan teliti, jangan dibiarkan kosong pada ruangan sebab kesalahan.

(Sumber : http://farihinzul1974.blogspot.com/)

Ahad, 21 November 2010

ISU KEKELUARGAAN : Anak daripada keluarga pincang mudah terjerumus masalah sosial

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

KELUARGA seumpama satu blok yang tersusun menjadi bangunan dalam masyarakat. Keluarga adalah tempat hidup kita bermula dan kita terikat kepadanya. Jika perasaan sayang dan rasa terikat antara ahli keluarga utuh, semakin tenang serta bahagia sesebuah keluarga.

Malaysia sekarang menyaksikan perubahan nilai terhadap institusi perkahwinan dan kekeluargaan. Bilangan perceraian semakin meningkat. Rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menunjukkan perceraian dalam kalangan orang Islam sepanjang 2008 adalah 22,289 kes. Perceraian kini menjadi perkara biasa, diterima umum dan dianggap lumrah. Ia berlaku dalam semua kelompok masyarakat sehingga tanpa sedar memberi nilai rendah kepada satu akad nikah yang perlu dipertahankan.

Dalam satu kajian yang dijalankan di Amerika, The Social Scientific Data on the Impact of Marriage and Divorce on Children, Dr Patrick F Fagan menyatakan bahawa apabila wujud rasa terbuang antara pasangan suami isteri sehingga membawa kepada pertengkaran, bergaduh, apatah lagi bercerai, maka seluruh isi keluarga terutama anak berasa sangat sengsara.

Kajian beliau turut disokong oleh pakar sosiologi keluarga membuktikan bahawa graf tertinggi sikap positif adalah terhasil daripada keluarga yang mana ahli keluarganya berhubungan baik, saling terikat dengan perasaan kasih sayang. Anak daripada keluarga sebegini lebih mendapat gred yang tinggi, mempunyai sikap yang baik, lebih ceria dan bagus dalam hubungan sosial. Mereka juga kurang terbabit dengan penyakit kejiwaan seperti kemurungan, kecewa keterlaluan dan sebagainya.

Apabila ayah dan ibu tidak lagi mempunyai rasa terikat dan saling ‘membuang’ salah satu seperti ayah meninggalkan ibunya kerana wanita lain, atau ibu meminta cerai kerana lelaki lain, atau anak diberitahu dia adalah anak zina dan sebagainya, Dr Fagan dapati, anak ini mempunyai kesamaan dalam urusan kejiwaan mereka.

Kekuatan dalaman anak ini tidak terbentuk dengan baik. Banyak perkara negatif memenuhi jiwa dan memberi kesan langsung dengan tumbesaran mereka. Mereka kecewa dengan hidup, murung, suka membuli, melakukan keganasan, gagal dalam akademik dan juga gagal dalam hidup. Anak ini juga mengalami tekanan emosi yang teruk, kesihatan badan tidak kuat, kemurungan, bimbang dengan hidup, bahkan lebih pendek jangka hayat mereka, ramai yang berhenti belajar awal, tidak berminat dengan ilmu dan kerjaya, sedikit yang berusaha ke menara gading, bahkan ramai yang menghisap dadah dan kaki arak. Mereka menjadi seumpama bunga yang tidak disiram, layu, kekeringan dan akhirnya mati kerana tanahnya kering kontang dan tidak dibaja.

Kaitan langsung apabila anak ini membesar dan membina rumah tangga pula, ramai yang menjadi pembuli, suka keganasan, berlaku ganas dan mendera pasangan dan anak, malas bekerja, tidak suka menerima tanggungjawab, suka keganasan seperti mencuri, memukul dan banyak lagi kesan negatif.

Apabila bilangan perceraian semakin bertambah dan anak mangsa cerai yang mengalami ‘tekanan kejiwaan’ bertambah ramai, mereka membesar dan berkahwin, mengulangi kesilapan ibu bapa mereka, maka masyarakat umum akan turut menerima kesan negatif daripada perkara itu.

Semakin banyak rumah tangga hancur, maka semakin banyak peruntukan kewangan dan program sosial yang perlu diadakan.

Kajian beliau walaupun membabitkan masyarakat di Amerika, tetap menjadi iktibar kepada kita di Malaysia terutama mengenai keutuhan ikatan kekeluargaan. Jika Malaysia ingin maju pada masa depan, blok terpenting yang perlu dijaga adalah keluarga dan anak-anak yang terhasil dalam keluarga berkenaan.

Kita perlu menanam dan menyuburkan rasa ‘keterikatan’ antara pasangan suami isteri sehingga perceraian dilihat sebagai jalan terakhir selepas semua usaha sudah gagal. Kepatuhan kepada agama, taat kepada Allah, memegang tanggungjawab sebagai pasangan dan ibu bapa kerana perintah agama perlu diterapkan. Apabila ibu dan ayah saling berkasih sayang, rasa ‘terikat’ sesama mereka, sering berdekatan dan saling sokong menyokong atas nama Allah, semakin kuat blok kekeluargaan kita dan semakin kurang masalah yang timbul ke atas anak-anak.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam dan sedang melanjutkan pengajian di Australia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

BANJIR DAN KEBANJIRAN

Banjir - lampu suluh sebuah kehidupan
di persada maya
merentasi desa dan kota
merakam sejarah suka duka
menenggelami, jalanan, leladang,
ternakan
rumahtangga dan kampung halaman.

Banjir - situasi alam
menyubur waktu dan peristiwa
petanda kegelojohan mendakap
kemewahan
pun sebuah hikmah
merimin imej kesamarataan
hutan batu dan hutan kayu
tenggelam separas lutut dan pinggang
maka tersadailah permaidani, sofa antik
dan tikar mengkuang
bahawa perencah kehidupan
mewarnai adegan suka duka
segar sengsara, bahagia derita.

Banjir - kebanjiran GRO
kembara wanita jalang luar negara
melanda kehidupan anak-anak watan
mengancam sosial-budaya bangsa
menumbuhkan bibit-bibit penularan
HIV, dadah dan jenayah
provokasi generasi muda
terjebak ke lembah maksiat dan noda.

Banjir - kebanjiran PATI tanpa batasan
sengeleng para andeka negara
mengaut kehalobaan - memacu
kemewahan
terjebak keimanan dan ketakwaan
penularan jenayah
membebani ekonomi negara.

Di sinilah peranan para andeka
selaku nakhoda - khalifah Allah S.W.T
pengemudi bahtera negara
berbekalkan keimanan dan ketakwaan
ketelusan dan ketulusan
keluhuran dan keikhlasan.

Membendung penipuan dan
penyelewengan
membina ketamadunan sahsiah
melakar ketulenan sahsiah
terbendunglah kerukunan negara - bangsa.

- REJAB F. I.
Kangar, Perlis.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/