Sabtu, 12 Februari 2011

ISU PENDIDIKAN : Rejuvenasi budaya akademik

Oleh Meor Kamarul Shahid

Universiti perlu berani berubah dalam melahirkan pelajar mampu cetus teori baru

PERBINCANGAN bertajuk Perlunya Rejuvenasi Budaya Akademik pada Persidangan Akademik 2011, Menjuarai Kecemerlangan Universiti anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Jumaat lalu, mendedahkan betapa perlunya universiti di negara ini melakukan perubahan yang berteraskan kemajuan dunia hari ini dan menjangkaui masa akan datang.

Perbincangan juga menjurus kepada kemampuan universiti melahirkan ‘jutawan’ dalam pelbagai bidang yang dicetuskan daripada idea universiti. Sarjana dan mahasiswa universiti juga perlu melahirkan teori baru dan asli dalam pelbagai disiplin lengkap dengan kajian yang dijadikan rujukan sarjana dunia, sekali pun terpaksa menolak teori dihasilkan sarjana Barat sekiranya mendapati ia sudah jumud berikutan perubahan zaman.

Hari ini, kajian yang dijalankan dalam hampir semua bidang terpaksa merujuk kepada teori atau model Barat menyebabkan apa juga idea yang dicetuskan sarjana dan mahasiswa terikat kepada pemikiran Barat, terutama dalam bidang politik dan sains sosial. Inilah antara inti perbincangan mengenai maksud rejuvenasi budaya akademik yang diutarakan ahli panel.

Memang diakui, kejayaan yang dicapai universiti di negara ini hari ini, walaupun dalam usia yang singkat, sudah boleh dibanggakan dengan kualiti dan standard pembelajaran yang baik.

Suasana ini mendorong ramai pelajar asing memilih universiti di Malaysia sebagai tempat mereka melanjutkan pelajaran tinggi. Ini adalah pengiktirafan yang tinggi kepada Malaysia seperti pelajar dan negara kita mengiktiraf universiti di luar negara di mana ramai pelajar negara ini menuntut ilmu. Namun, untuk mencapai kecemerlangan masih banyak perubahan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar tidak ragu-ragu menyatakan bahawa untuk menjadikan sebuah universiti bertaraf dunia, ia adalah tugas yang amat mencabar. Sebagai contoh, beliau membandingkan UiTM dan Universiti Harvard di Amerika Syarikat yang diibaratkan mempunyai matlamat dan dimensi yang sangat berbeza.

Jika pelajar di Harvard adalah kalangan anak orang yang berpengaruh, bangsawan dan berwang yang sememangnya mempunyai segala kemudahan dan kemampuan, UiTM adalah tempat anak pelbagai latar belakang menimba ilmu.

Jika diperhalusi seorang demi seorang pelajar UiTM, mereka adalah anak petani dan nelayan, pengayuh beca, pemandu lori, buruh kasar, kerani dan sebagainya walaupun ada juga anak orang berada. Dengan sasaran angka 250,000 pelajar, UiTM sebenarnya pun menempah satu kejayaan yang sangat cemerlang. Dari konteks ini, tidak banyak universiti yang mampu menyaingi UiTM.

Selain daripada negara yang mempunyai bilangan penduduk ratusan juta seperti India, malah melebihi angka 1 billion seperti di China, sebutlah apa juga universiti di dunia ini, mereka tidak mempunyai matlamat seperti yang digariskan oleh UiTM untuk membantu rakyatnya. UiTM perlu diakui sebagai sebuah universiti yang mempunyai visi dan misi yang luar biasa.

Cabaran UiTM sangat besar kerana ia bukan saja perlu menghasilkan kuantiti pelajar, tetapi lebih penting ialah kualiti. Namun, tidak dinafikan juga setiap universiti di negara ini turut memainkan peranan mengikut ‘niche’ masing-masing untuk membangunkan bangsa dan negara.

Rejunevasi dalam konteks budaya akademik ini tidak bermakna untuk meremajakan budaya akademik. Rejunevasi lebih menunjuk jalan kepada keberanian untuk berubah dan mengamalkan kaedah dan pendekatan serta persekitaran ekosistem yang baru. Universiti perlu sedia mengubahsuai apa juga yang sudah ketinggalan zaman kepada sesuatu yang lebih bertenaga. Jika cara pembelajaran kuliah, umpamanya menggunakan power point sudah difikirkan ketinggalan zaman, sesuatu yang baru perlulah difikirkan seperti syarikat terkemuka dunia mencipta pelbagai gajet baru di pasaran hari ini.

Cara bertindak dan bentuk komunikasi pelajar hari ini, yang kebanyakannya mewakili generasi Y, sudah berbeza dari pelbagai segi. Sementara, pensyarah mereka terkial-kial dengan alat dan gajet komunikasi canggih sama ada telefon, Ipad, komputer dan sebagainya, pelajar mereka tidur dan makan bersama alat-alat itu. Malah, mereka lebih layak mengajar pensyarah mereka dalam penggunaan alat canggih. Bagi pelajar seperti ini, teknik pembelajaran sedia ada mengurangkan minat mereka belajar. Pelajar hari ini sudah kurang menulis, tetapi menaip pada papan kekunci komputer.

Mereka tidak boleh lagi menerima alasan pemberitahuan pembatalan kuliah ditampal di papan notis. Dalam sebuah dewan kuliah, tanyalah siapakah antara mereka yang tidak mempunyai telefon bimbit? Jika 100 orang dalam sebuah dewan, semuanya mempunyai alat itu.

Apa pun budaya akademik yang diamalkan di universiti, kualiti pelajar ditentukan oleh pasaran. Sekiranya mereka diterima pasaran pekerjaan dan memberi sumbangan besar kepada majikan mereka dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara, mereka adalah golongan yang berjaya. Dalam tempoh selepas negara merdeka, tidak siapa boleh menafikan bahawa kejayaan negara ini adalah hasil sokongan mahasiswa di universiti yang menggerakkan kemajuan ekonomi negara.

Sebenarnya, secara individu mereka yang berjaya dalam bidang dan profesion masing-masing di negara ini terutama mereka yang berada di puncak kejayaan, kebanyakannya adalah produk daripada universiti tempatan, seterusnya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Sebahagian besar mereka tidak akan dapat keluar negara jika asas pembelajaran awalnya tidak bermula di negara ini.

Di Malaysia, sebenarnya sudah ramai yang berjaya menjadi ahli korporat ternama, presiden dan ketua eksekutif institusi ternama dan sebagainya, walaupun pada asalnya mereka adalah benih daripada sebuah keluarga yang miskin. Mereka ini adalah aset negara kerana peranan yang mereka mainkan adalah besar dalam pembangunan negara.

Dalam menghadapi cabaran akan datang, sudah tentu universiti perlu melihat sumbangan yang lebih besar. Universiti perlu menjana idea yang jauh lebih inovatif berasaskan kemudahan dan budaya akademik yang segar.

Sumber : http : //www,bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Nilai komersial Hari Valentine

HARI Valentine menyumbang kepada keruntuhan moral kalangan remaja. – Gambar hiasan

Oleh Ku Seman Ku Hussain

Buku Consumer Rites: The Buying and Selling of American Holiday tulisan Leigh Eric Schmidt antara lain memperkatakan tentang hari-hari penting seperti Hari Krismas, Hari Ibu, Hari Valentine dan banyak lagi dari sudut budaya kepenggunaan.

Penulis yang juga seorang sarjana yang banyak mengkaji tentang agama ini melihat bagaimana Barat memperdagangkan hari-hari istimewa ini terutama berkaitan agama untuk mengaut keuntungan

Menurut buku ini, budaya kepenggunaan membentuk selain memperkukuhkan hari-hari tersebut dalam agenda kehidupan sejak abad ke 20. Para kapitalis memperhebatkan kerja-kerja pemasaran supaya hari-hari istimewa itu kononnya menjadi penanda aras dalam kehidupan moden. Hal ini telah berlaku di negara ini pada setiap kali sambutan Hari Valentine.

Esok 14 Februari adalah Hari Valentine. Sejak seminggu lalu pusat-pusat membeli belah besar dan ternama memperagakan barangan yang berkaitan Hari Valentine. Daripada sekecil-kecil barang hinggalah kepada yang besar dan mahal semuanya untuk perayaan yang senama dengan warna merah jambu ini.

Sebahagian besar remaja kita termasuk “bapa remaja” dan “emak remaja” turut menyibuk dengan hari yang diperkenalkan oleh Pope Gelasius I pada tahun 500 Sebelum Masihi. Mereka ini tidak tahu apa-apa tentang Hari Valentine serta tidak mempunyai sikap yang jelas terhadap sebarang pembudayaan dari luar.

Walaupun Hari Valentine mempunyai hubungan yang jelas dengan Kristian tetapi banyak pengagum dan pak turutnya adalah orang Melayu - Islam. Kepada golongan ini keghairahan menyambut Hari Valentine menenggelamkan Maulidul Rasul Selasa ini. Inilah kesan ledakan budaya kepenggunaan Barat untuk memasarkan Hari Valentine. Maka dalam kelompok manusia yang bingung itu muncullah yang sedikit cerdik lalu mencipta terjemahan dalam bahasa Melayu sebagai Hari Kekasih, ada juga menyebut Hari Kasih Sayang. Semua ini utuk memberi nilai setempat kepada satu nilai asing dari Barat. Hakikatnya Hari Valentine adalah Hari Valentine.

Tahun-tahun sebelum ini juga ada beberapa stesen televisyen termasuk yang diterajui oleh Melayu - Islam menyediakan rancangan khas Hari Valentine. Mereka juga mengambil peluang untuk menaikkan rating penonton yang akhirnya boleh menambah kemasukan iklan sebagai punca pendapatan. Sikap begini juga yang menyebarluaskan tentang “keperluan” Hari Valentine hingga di segenap ceruk desa dan pekan.

Banyak remaja Melayu - Islam tanpa segan silu turut mengambil bahagian dalam pesta Hari Valentine. Orang Melayu yang menyambut Hari Valentine adalah kalangan yang perasan menjadi manusia moden tetapi berada dalam kotak fikir yang mundur. Inilah yang menjadi kebimbangan banyak pihak seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang melancarkan Kempen Awas Jerat Hari Valentine. Sementara Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyarankan kepada semua Jabatan Agama Islam negeri mewartakan pengharaman Hari Valentine. Ini dari sudut agama Islam dan sewajarnya Jabatan Agama Islam negeri lebih awal melaksanakan perkara asas begini sebelum didesak oleh pihak lain.

Nilai-nilai Hari Valentine yang bertentangan sama sekali dengan Islam telah banyak diperkatakan sebelum ini. Rencana ini cuba melihat Hari Valentine juga menjadi musuh kepada semua orang, tidak kira bangsa, agama atau budaya apabila sambutan ini menjadi agenda budaya kepenggunaan. Orang bukan Islam atau bukan Melayu tidak terkecuali kerana mereka yang meraikannya menjadi mangsa puak yang mengambil peluang dalam kepesatan budaya kepenggunaan.

Budaya popular

Sanggupkah anda dikatakan kurang cerdik kerana membiarkan diri menjadi mangsa pengiklan, pembuat barangan, pemilik hotel, pusat hiburan waima penjual riben merah jambu? Apa pun jawapannya, elok kita lihat bagaimana Hari Valentine ini digempur sebagai budaya popular setaraf dengan kegilaan kepada muzik untuk tujuan perniagaan. Golongan kapitalis memasang bubu untuk memerangkap ikan-ikan yang terdiri daripada remaja dan golongan dewasa. Mereka inilah yang terpesona dengan terjemahan Hari Valentine sebagai Hari Kekasih atau Hari Kasih Sayang.

Dalam ledakan budaya kepenggunaan, kebijaksanaan mengambil peluang, memperagakan strategi pemasaran yang kreatif serta mampu membentuk sudut pandangan umum adalah syarat untuk berjaya. Kerana itu kalau diperhatikan di Kuala Lumpur khususnya, pusat membeli belah, hotel dan pusat hiburan telah lama merangka strategi pemasaran mereka. Mereka tidak peduli dengan punah-ranah moral dan akhlak remaja Islam, malah turut menyumbang kepada gejala sosial bukan Islam. Matlamat mereka adalah mengaut keuntungan.

Budaya kepenggunaan merangsang orang membeli, ikut serta dalam nilai-nilai popular tetapi akhirnya menyumbangkan kepada golongan peniaga. Persiapan yang seolah-olah tahun ini “Hari Valentine terakhir” bertujuan meningkatkan kecenderungan masyarakat untuk berbelanja. Mana ada nilai-nilai kasih sayang yang diterapkan dalam kempen pemasaran Hari Valentine. Ini membuktikan ia tidak ada kena mengena dengan kasih sayang.

Masyarakat kita yang baru dijengah budaya kepenggunaan dengan mudah menjadi mangsa kapitalis yang menjaja Hari Valentine, Hari Ibu dan segala macam hari lagi kecuali Hari Merdeka, Hari Maal Hijrah dan Hari Pahlawan. Mereka dibentuk supaya berfikir bahawa tanpa menyambut Hari Valentine tidak ada kasih sayang. Pembudayaan yang datang bersama barangan Hari Valentine telah berjaya dalam agendanya. Padahal Hari Valentine tidak lebih perangkap untuk memaksa masyarakat yang kurang cerdik berbelanja kepada suatu yang tidak perlu selain menerima nilai-nilai moral yang muflis dari Barat.

Orang tua-tua pernah berkata, yang bodoh adalah makanan yang cerdik. Inilah yang berlaku pada setiap kali menjelang 14 Februari, ketika langit senja berwarna jingga seolah-olah bertukar menjadi merah jambu. Kepada pengagum Hari Valentine, bersedialah untuk berubah menjadi lebih baik, jadilah orang yang cerdik dan esok tidak wujud Hari Valentine untuk disambut. Hiduplah seperti biasa kerana kasih sayang tidak ada hari-hari tertentu saja untuk dizahirkan. Hari Valentine bukan untuk mengeratkan kasih sayang. Semua itu mengarut.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 11 Februari 2011

Peletakan jawatan Mubarak: Reaksi pemimpin dunia

KAHERAH: Berikut reaksi pemimpin dunia sebaik peletakan jawatan Hosni Mubarak sebagai presiden Mesir, sekali gus mengakhiri demonstrasi besar-besaran rakyat negara itu selama 18 hari.

Amerika Syarikat
"Rakyat sudah menyatakan hasrat mereka...suara rakyat Mesir adalah jelas semestinya demokrasi perlu dilaksanakan mulai sekarang," kata Presiden Barack Obama. "Masih banyak kesulitan yang akan berlaku dan masih banyak persoalan belum terjawab. "Namun pihak tentera sudah menjalankan tugasnya dengan cukup patriotik dan bertanggungjawab sebagai pemerintahan sementara dan kini perlu memastikan peralihan kuasa dilakukan dengan berwibawa demi kehendak rakyat Mesir," katanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mahu proses peralihan kuasa di Mesir harus dilakukan dengan 'telus, lancar dan aman'. Beliau juga mahu melihat negara itu menjalankan proses pilihan raya yang 'bebas, adil dan berwibawa'.

Iran
"Saya mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir atas kemenangan mereka dan kami di Iran berkongsi kegembiraan," kata Menteri Luarnya, Ali Akbar Salehi. "Kami berharap pergerakan rakyat di Mesir akan berakhir dengan kejayaan menerusi semangat yang jitu agar mereka mencapai tuntutan dan harapan yang diingini."

Russia
"Kami berharap dengan perkembangan terkini ini, ia boleh mengembalikan semula keamanan dan kestabilan dengan kerjaaan Mesir kembali berfungsi. Kami juga berharap bukan saja kerajaan tetapi parti pembangkang menunjukkan keikhlasan untuk menstabilkan keadaan," kata Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov. - Reuters.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU ANTARABANGSA : Pemimpin Dunia Yang Berundur Akibat Desakan Popular

WARGA Mesir menunjukkan laporan muka depan akhbar Sabtu "Shorouk" bertulis 'Kemenangan rakyat. Kami mahu bina regim baru' ketika berarak meraikan peletakan jawatan Presiden Mesir, Hosni Mubarak di tengah bandar Kaherah, hari ini.

KAHERAH: Presiden Mesir, Hosni Mubarak bukanlah satu-satunya pemimpin dunia yang terpaksa mengundur diri akibat desakan popular rakyat.

Berikut disenaraikan nama-nama pemimpin yang lain yang terpaksa melepaskan kuasa kerana revolusi atau desakan rakyat bermula dari tahun 2000:

January 2000 - ECUADOR: Presiden Jamil Mahuad digulingkan berikutan demonstrasi terhadap polisi ekonominya.

Oktober 2000 - YUGOSLAVIA: Pemimpin Serbia Slobodan Milosevic meletak jawatan selepas demonstrasi besar-besaran di Belgrade menentang penipuan dalam pilihan raya. Dia kemudiannya dipindahkan ke mahkamah jenayah perang PBB di The Hague, tetapi mati sebelum dibicarakan.

Januari 2001 - FILIPINA: Presiden Joseph Estrada disingkirkan dalam satu pemberontakan bersenjata yang disokong pasukan ketenteraan selama 30 bulan dalam tahun keenam pemerintahannya atas tuduhan rasuah.

Disember 2001 - ARGENTINA: Presiden Fernando de la Rua meletakkan jawatan dan meninggalkan istananya dengan helikopter ekoran tindakan keras polis mengenai bantahan dan rusuhan atas langkah-langkah jimat cermat yang menyebabkan kematian 27 rakyat.

Oktober 2003 - BOLIVIA: Presiden Gonzalo Sanchez de Lozada berundur dan meninggalkan istana dengan helikopter menuju sempadan Amerika Syarikat ketika rusuhan di mana 65 orang mati ekoran perjanjian minyak yang dijalinnya dengan syarikat minyak asing. Dia digantikan oleh naib presiden, Carlos Mesa, yang kemudian meletakkan jawatan pada Jun 2005, seminggu selepas desakan rakyat.

November 2003 - GEORGIA: Presiden Eduard Shevardnadze, yang menguasai politik Georgia selama 30 tahun meletakkan jawatan setelah penunjuk perasaan diketuai Mikheil Saakashvili menggempur parlimen dan mengecam pilihan raya yang dimenangi sekutu-sekutu Shevardnadze. Pengusiran itu dikenali sebagai Revolusi Rose.

Februari 2004 - HAITI: Presiden Jean Bertrand Aristide dipaksa melepaskan jawatan dan meninggalkan negaranya dengan tekanan daripada rakyat yang menderita dan masyarakat antarabangsa. Dia akhirnya dibuang negeri. Lebih 100 orang terbunuh dalam pemberontakan selama empat minggu.

November-Disember 2004 - UKRAINE: Beribu rakyat Ukraine berhimpun di sepanjang jalan-jalan di Kiev membantah penipuan pemilihan presiden yang dimenangi oleh pemimpin pro Rusia- Viktor Yanukovych. Pilihan raya yang diadakan selepas itu yang dipanggil Orange Revolution, memberi kemenangan kepada calon pembangkang pro-Barat Viktor Yuschenko.

Mac 2005 - KYRGYZSTAN: Rejim Presiden Askar Akayev tumbang selepas menghadapi tekanan daripada beribu penunjuk perasaan menentang keputusan pilihan raya perundangan dan rasuah. Dia dibuang negeri ke Rusia.

April 2010 - KYRGYZSTAN: Pengganti Akayev, Kurmanbek Bakiyev melarikan diri ke Belarus selepas rusuhan berdarah selama berhari-hari yang mahu menumbangkan kerajaan pimpinannya. Rusuhan menyebabkan 87 orang mati.

Januari 2011 - TUNISIA: Presiden Tunisia Zine El Abidine Ben Ali, yang memerintah negara itu sejak 1987 meletakkan jawatan dan melarikan diri ke Arab Saudi selepas pemberontakan yang meragut 200 nyawa. Pemberontakan dikenali sebagai Revolusi Jasmine.

Februari 2011 - MESIR: Presiden Hosni Mubarak yang memerintah selama 30 tahun akhirnya akur dengan desakan dan tekanan rakyat agar beliau berundur dengan segera. Beliau mengumumkan peletakkan jawatannya menerusi Naib Presiden, Omar Suleiman pada Jumaat dan menyerahkan mandat mentadbir negara kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Perutusan Khas Menteri Pelajaran Malaysia : Bersama mendidik anak bangsa

Sebahagian warga Kementerian Pelajaran melafazkan ikrar di hadapan Muhyiddin Yassin di Putrajaya, semalam

SYUKUR dan tahmid ke hadrat Allah SWT serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kita bersyukur kerana pada pagi ini kita sekali lagi diberikan kesempatan untuk menghadiri perhimpunan yang amat bermakna buat kita semua. Perhimpunan ini bukan sahaja melambangkan kebersamaan kita dalam mendidik anak bangsa, malah mencerminkan kesatuan hati kita untuk melaksanakan amanah yang murni ini dengan sebaik mungkin.

Pertamanya, saya ingin mengucapkan selamat memulakan tugas kepada guru-guru yang baru melangkah ke alam perguruan pada tahun ini. Di sinilah bermulanya perjuangan anda untuk mendidik anak bangsa dan mencorak masa depan negara. Memang benar, amanah yang bakal digalas adalah besar dan tugas yang menanti anda semua amat mencabar. Namun saya yakin dengan segala latihan yang diberikan dan sokongan yang bakal diterima, anda mampu untuk melaksanakan tugas ini dengan baik.

Tidak lupa juga kepada guru-guru yang pernah mendidik kita. Marilah kita kalungkan setinggi-tinggi penghargaan di atas jasa dan bakti mereka yang terus terpahat di sanubari kita. Bak kata orang, sekali menjadi guru, selamanya dikenang sebagai guru. Bahkan, hingga ke akhirnya dipanggil cikgu, curahan budinya diingat selalu. Seperti nukilan Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Uthman Awang:

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulang ilmu

Panggilan keramat cikgu kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat

Berada bersama dengan guru-guru pada pagi ini mengingatkan saya kepada kata-kata seorang guru yang pernah saya dengar. Bahawa dalam dunia ini, terdapat dua insan yang benar-benar gembira melihat kita berjaya. Pertamanya, ibu bapa kita; keduanya, guru-guru kita.

Kita biasa melihat di kaca televisyen, di dada akhbar, atau mengalaminya sendiri di sekolah. Sebaik-baik sahaja keputusan peperiksaan diumumkan, yang menitiskan air mata gembira melihat seorang murid berjaya adalah guru.

Malah, banyak kisah kejayaan peribadi yang bermula dari sentuhan keramat seorang guru. Daripada anak seorang petani, menjadi Naib Canselor universiti. Daripada anak seorang buruh ladang, menjadi peguam yang terkenal. Daripada anak seorang penjaja, menjadi usahawan yang berjaya. Semua keajaiban ini tidak akan berlaku tanpa suluhan ilmu seorang guru. Maka, pastinya juga kejayaan anak-anak kita di hari esok bergantung kepada keikhlasan guru-guru hari ini memberikan pendidikan yang terbaik kepada mereka.

CABARAN BARU DUNIA PENDIDIKAN

Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, persaingan bukan lagi bersifat lokal tetapi global. Jika kita ingin menjadi sebuah negara maju, sebuah negara yang kompetitif di peringkat antarabangsa, modal insan yang kita lahirkan melalui institusi sekolah kita mestilah mampu untuk menjadi pesaing global.

Maka kualiti pendidikan kita juga mestilah dinilai berdasarkan penanda aras antarabangsa. Pencapaian murid kita dalam mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris mesti ditingkatkan sehingga mengatasi penanda aras antarabangsa. Begitu juga dengan pendidikan teknik dan vokasional yang seharusnya menjadi pemangkin kepada pembinaan modal insan berkemahiran tinggi. Perluasan pendidikan teknik dan vokasional harus berlaku secara drastik untuk menampung keperluan tenaga mahir negara yang semakin meningkat.

Semua ini adalah penting dalam usaha kita untuk melonjakkan kemajuan negara dalam suasana persaingan global yang semakin sengit. Pendek kata, sektor pendidikan berada di barisan hadapan dalam memastikan cita-cita Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi menjelang 2020 menjadi realiti.

Dalam upaya kita untuk menjadi sebuah negara maju, guru-guru berada di barisan paling hadapan dalam membina modal insan yang akan memacu kemajuan negara kita. Dalam hal ini, pendidikan merupakan landasan utama yang akan menentukan masa depan negara. Kukuh landasan ini, maka cerahlah peluang kita untuk mencipta masa depan yang lebih gemilang.

KOMITMEN GURU

Walaupun cabaran yang dihadapi oleh guru-guru hari ini adalah berbeza daripada apa yang ditempuhi oleh guru-guru dahulu, kunci kepada kemampuan kita untuk menjadi sebuah negara yang berjaya tetap sama. Kuncinya ialah keikhlasan guru, dedikasi guru dan kesungguhan guru untuk menggilap potensi setiap murid sehingga mereka menjadi insan yang berjaya.

Alhamdulillah, berkat semangat, usaha dan dedikasi guru-guru, kita telah berjaya mencatat peningkatan yang memberangsangkan dalam keputusan peperiksaan-peperiksaan awam pada tahun lalu. Keputusan UPSR 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun. Kita juga bersyukur di atas peningkatan yang dicapai dalam keputusan PMR. Peratusan pelajar yang memperolehi semua A meningkat dari 9.51 peratus pada tahun 2009 kepada 10.21 peratus pada tahun lalu.

Di sebalik angka-angka positif ini, tersirat seribu satu cerita pengorbanan dan ketabahan guru-guru. Misalnya, di Sekolah Kebangsaan Bebangan, sebuah sekolah kecil dalam daerah Kapit di Sarawak. Guru-guru, dengan bantuan pembantu murid dan warden asrama, memulakan kelas ulang kaji seawal jam 5 pagi pada setiap hari persekolahan. Walaupun jam 5 pagi adalah di luar waktu bertugas biasa, tetapi oleh kerana guru-guru percaya awal pagi adalah waktu yang terbaik untuk murid memahami dan mengingati apa yang dipelajari, mereka tetap hadir lebih awal ke sekolah untuk membimbing murid.

Bagi saya, ini adalah contoh pengorbanan guru yang luar biasa. Barangkali, tidak ramai yang sanggup melakukan pengorbanan seperti itu. Namun, hakikatnya ada di kalangan guru-guru kita yang sanggup melakukannya. Pengorbanannya luar biasa, hasilnya pun luar biasa. Sekolah Kebangsaan Bebangan telah berjaya melonjakkan kedudukannya daripada berada dalam Band 3 pada tahun 2009, kepada Band 2 pada tahun 2010. Lonjakan yang dihasilkan hanya dalam tempoh satu tahun bagi sebuah sekolah kecil di luar bandar ini adalah sesuatu yang memberangsangkan. Untuk itu, saya mengucapkan syabas kepada Cikgu Juan a/k Jugah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bebangan, dan semua guru serta kakitangan sekolah ini.

Saya percaya setiap sekolah mempunyai cerita pengorbanan dan kejayaan masing-masing. Di sebalik kejayaan setiap pelajar, terdapat sentuhan keramat wira dan serikandi kita yang tidak didendangkan (our unsung heroes). Sekiranya kisah-kisah pengorbanan dan kejayaan mereka dihimpunkan dan wira serta serikandi kita diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya, saya percaya seluruh warga guru akan mendapat suntikan semangat yang segar untuk melakukan yang terbaik demi memastikan kejayaan setiap murid.

TAWARAN BARU (BAI'AH)

Perkara ini bukanlah sesuatu yang di luar jangkauan. Tahun lalu saya umumkan Tawaran Baru (Bai'ah) untuk pengetua dan guru besar sebagai salah satu daripada inisiatif di bawah NKRA Pendidikan. Kita tetapkan mana-mana sekolah yang berjaya melepasi sasaran tertentu, guru besar dan guru-gurunya akan menerima ganjaran kewangan. Ganjaran kewangan berasaskan prestasi ini adalah satu perkara baru yang tidak pernah dilaksanakan dalam perkhidmatan awam di negara kita sebelum ini. Tetapi kita percaya, Tawaran Baru adalah satu idea berani yang sekiranya dilaksanakan secara telus dan adil akan menjadi dorongan paling berharga buat guru-guru untuk meningkatkan prestasi kerja masing-masing.

Pada awalnya, kita sasarkan dua peratus guru besar dan pengetua akan berjaya melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan. Ini adalah satu jangkaan konservatif yang dibuat dengan mengambil kira kelaziman dalam trend lonjakan prestasi sekolah.

Hendak seribu daya, Tawaran Baru yang kita umumkan telah memberi suntikan semangat dan dorongan yang kuat kepada guru-guru kita untuk meningkatkan prestasi sekolah masing-masing. Buktinya, setahun selepas Tawaran Baru diumumkan, kita dapati jumlah guru besar yang berjaya memimpin sekolah untuk melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan adalah di luar jangkaan. Bukan lagi dua peratus seperti yang disasarkan, tetapi 12.1 peratus, iaitu pertambahan sebanyak 600 peratus daripada jangkaan asal.

Jemaah Nazir sedang membuat pengesahan mengenai prestasi 924 orang guru besar yang telah disenarai pendek. Insya-Allah, saya akan umumkan senarai guru-guru besar yang layak menerima ganjaran dalam masa terdekat. Sebagai tanda penghargaan kita, guru-guru yang bersama-sama berusaha untuk melonjakkan prestasi sekolah juga akan turut menerima ganjaran seperti yang telah dijanjikan.

Setiap guru besar yang layak akan menerima RM7,500 seorang, lima peratus guru yang paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang. Senarai Pengetua dan guru-guru sekolah menengah yang layak menerima ganjaran di bawah Tawaran Baru ini akan saya umumkan pada pertengahan tahun ini.

Apakah maknanya ini kepada kita semua? Bagi saya, guru-guru kita, dengan adanya dorongan, pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya, mereka boleh melakukan yang terbaik. Telah pun terbukti, prestasi guru-guru terbaik kita bukan sahaja memberangsangkan, malah luar biasa. Syabas saya ucapkan!

SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI

Satu lagi inisiatif di bawah NKRA Pendidikan ialah mengenal pasti dan memberi pengiktirafan kepada Sekolah Berprestasi Tinggi.

Pada tahun lalu, kita telah umumkan 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi. Pada tahun ini, 30 buah sekolah lagi yang memenuhi kriteria yang ditetapkan akan diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi. Namun, dalam melaksanakan program SBT ini, apa yang penting bukan jumlah sekolah yang mendapat pengiktirafan. Tetapi apakah impak sekolah ke atas pembelajaran murid dan bagaimanakah sekolah-sekolah ini dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan sekolah-sekolah lain.

Hal ini tidak mustahil untuk dicapai. Sekolah Kebangsaan Brinchang, Cameron Highlands, hari ini telah menempa beberapa kejayaan hasil pelbagai usaha sama yang dijalin dengan Sekolah Kebangsaan Convent Kota Taiping yang merupakan salah sebuah sekolah berprestasi tinggi. Guru-guru kedua-dua sekolah terlibat secara bersama dalam panitia mata pelajaran yang dibentuk khusus untuk berkongsi idea tentang cara bagaimana untuk meningkatkan prestasi murid.

Hasilnya, dalam peperiksaan UPSR tahun lalu, pertama kali dalam sejarah Sekolah Kebangsaan Berinchang, semua murid lulus matapelajaran Sains dan 95.5 peratus murid lulus mata pelajaran Matematik. Ini adalah contoh satu usaha yang mudah, tetapi amat berkesan untuk meningkatkan pencapaian murid. Tahniah saya ucapkan kepada warga kedua-dua sekolah ini.

Melangkah ke hadapan, antara aspek yang perlu ditekankan oleh SBT ialah inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Autonomi yang diberikan kepada sekolah-sekolah ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menjana daya kreativiti guru dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang paling efektif. Kita ingin lihat idea-idea yang lebih berani dan segar untuk meningkatkan pencapaian murid muncul dari sekolah-sekolah berprestasi tinggi.

Dalam hubungan ini, jadikan sekolah berprestasi tinggi sebagai makmal idea-idea kreatif pengajaran dan pembelajaran yang boleh dilaksanakan di dalam bilik darjah. Ini kerana matlamat akhir SBT bukan sekadar memberi pengiktirafan terhadap kecemerlangan sekolah, tetapi memastikan kecemerlangan sekolah dapat memberi impak yang positif ke atas pencapaian setiap murid.

Di samping program SBT, Kementerian Pelajaran juga merintis kerjasama dengan Khazanah Nasional Bhd. melalui Yayasan Amir, iaitu sebuah badan bukan keuntungan, untuk menjayakan program Sekolah Amanah. Pada peringkat awal ini kita telah memilih 10 buah sekolah untuk dijadikan Sekolah Amanah, di mana pihak Khazanah Nasional telah memberi komitmen untuk membantu sekolah-sekolah ini meningkatkan pencapaian. Dengan adanya kerjasama awam-swasta ini, kita yakin tahap pencapaian sekolah-sekolah di negara kita akan dapat dilonjakkan lagi agar setanding dengan pencapaian sekolah-sekolah cemerlang di peringkat antarabangsa.

PROGRAM PEMBANGUNAN SEKOLAH

Dalam usaha kita untuk melonjakkan prestasi semua sekolah, kita sedar bahawa padang tidak selalunya rata. Ada sekolah yang sudah sedia cemerlang, tetapi banyak juga sekolah yang masih bergelumang dengan pelbagai kekangan untuk berjaya.

Pada masa yang sama kita sedar bahawa tugas kita ialah untuk memastikan setiap murid berjaya. Walau apa pun latar keturunan mereka, walau di mana mereka berada, kejayaan mereka adalah tanggungjawab kita. Pastinya, impian seorang anak kecil di Sekolah Kebangsaan Balar di Gua Musang, Kelantan adalah sama nilainya dengan cita-cita seorang murid di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara di Kuala Lumpur. Seorang nun jauh di pedalaman, seorang lagi di tengah-tengah ibu kota. Seorang dengan serba-serbi kekurangan, manakala seorang lagi dengan segala kemudahan.

Keutamaan kita pastinya ialah untuk memastikan impian kedua-dua anak kecil ini dapat dicapai. Dalam menghadapi realiti ketiadaan padang yang sama rata, pendekatan kita mestilah berbeza. Zaman menggunakan pendekatan yang sama untuk menyelesaikan permasalahan yang berbeza telah berakhir.

Untuk itu, kita telah memperkenalkan Program Pembangunan Sekolah. Di bawah program ini, lebih 160 orang jurulatih yang terdiri daripada pegawai Kementerian Pelajaran, pensyarah Institut Aminuddin Baki, pensyarah Institut Pendidikan Guru, Pengetua Cemerlang dan Guru Cemerlang telah dilantik untuk membimbing sekolah-sekolah berprestasi rendah. Sekolah-sekolah sasaran adalah yang berada dalam Band 6 dan Band 7, iaitu dua kumpulan terendah dalam senarai penarafan sekolah di negara kita.

Alhamdulillah, pendekatan secara bimbingan ini telah membuahkan hasil. Kita telah berjaya mengurangkan jumlah sekolah rendah yang berada dalam Band 6 dan Band 7 daripada 209 buah pada 2009 kepada 140 buah pada tahun 2010. Sebanyak 88 buah sekolah yang dahulunya berprestasi rendah kini telah berjaya meningkatkan prestasi masing-masing. Menariknya, 83 daripada 88 buah sekolah ini adalah sekolah-sekolah di luar bandar. Syabas saya ucapkan kepada Cikgu Jama a/k Rigong, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tampak di Sabah, Cikgu Subramaniam a/l Chellapan Guru Besar SJKT Ladang Dublin 7 di Kedah, Cikgu Ng Yong Liang, Guru Besar SJKC Kheng Chee di Pahang dan semua guru-guru besar yang berjaya meningkatkan prestasi sekolah masing-masing.

Jelasnya, Program Pembangunan Sekolah ini telah terbukti berjaya membantu sekolah-sekolah berprestasi rendah untuk meningkatkan pencapaian murid. Melalui proses bimbingan secara berterusan, kita telah berjaya mengatasi beberapa kekangan yang dihadapi oleh pihak sekolah. Misi kita ialah untuk memastikan setiap murid berjaya mencapai impian masing-masing.

PROGRAM LITERASI DAN NUMERASI

Kita juga menekankan tentang penguasaan literasi dan numerasi murid di peringkat awal persekolahan. Penguasaan kedua-dua kemahiran ini di peringkat awal adalah penting untuk memastikan murid tidak mengalami kesukaran mengikuti pelajaran apabila umur mereka semakin meningkat. Justeru, sebarang masalah berkaitan dengan penguasaan literasi dan numerasi perlu dikenal pasti dan diatasi segera.

Untuk itu kita telah memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) di bawah NKRA Pendidikan. Alhamdulillah, dengan pelaksanaan program ini, kita telah dapat mengenal pasti tahap kemahiran literasi dan numerasi murid dan melakukan usaha intervensi untuk membantu murid-murid yang gagal menguasainya. Berdasarkan keputusan saringan ketiga LINUS yang dilaksanakan pada bulan November 2010, 85 peratus murid Tahun 1 telah menguasai literasi dan 91 peratus menguasai numerasi. Kita percaya dengan usaha-usaha intervensi secara berterusan, tahap penguasaan literasi dan numerasi murid akan dapat dipertingkatkan.

PEMBIMBING INSAN, PEMBINA NEGARA

Dalam keghairahan kita untuk membina modal insan, jangan kita lupa tentang satu lagi matlamat utama pendidikan, iaitu untuk membangun jiwa insan. Guru-guru, seperti juga ibu bapa, adalah pembimbing dan pengasuh jiwa murid. Tugas guru bukan sekadar mencurahkan ilmu, tetapi menyuntik nilai dan makna yang murni ke dalam sanubari murid. Pastinya, pendidikan yang disulami dengan asuhan budi dan pekerti yang mulia adalah sesempurna pendidikan.

Guru juga adalah pembina negara bangsa. Dalam perlumbaan kita untuk menjadi sebuah negara maju, harus kita ingat bahawa masyarakat maju yang ingin kita cipta haruslah berakar kepada nilai, budaya dan jati diri yang utuh. Untuk itu, anak-anak kita perlu diasuh supaya memahami dan menghargai susur-galur sejarah pembinaan negara kita. Bagaimana generasi terdahulu melakukan pelbagai pengorbanan untuk membina sebuah negara yang bebas dan merdeka. Bagaimana masyarakat pelbagai kaum di negara kita telah menerima antara satu sama lain sebagai saudara sewarganegara. Ini adalah antara rekod pencapaian kita yang penting dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu.

Justeru, saya ingin menegaskan bahawa pengkisahan tentang sejarah pembinaan negara kita mesti disampaikan kepada murid secara jujur. Oleh sebab itu, kita telah menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Kurikulum Sejarah yang akan mengesyorkan kepada kerajaan cadangan-cadangan untuk menambahbaik kandungan kurikulum serta pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah. Tujuannya ialah supaya pembelajaran sejarah dapat melahirkan warganegara yang benar-benar memahami sejarah, bersifat patriotik dan mempunyai jatidiri yang kukuh.

Hakikatnya, guru-guru menggalas tanggungjawab yang amat besar. Di bahu guru terletak amanah membangun jiwa manusia dan membina negara bangsa. Bukan calang-calang insan yang sanggup memikul tugas berat ini.

Namun, saya percaya, guru-guru yang berada di hadapan saya pada hari ini memilih kerjaya guru kerana anda semua berjiwa guru. Sebagai seorang yang berjiwa guru, tugas ini sudah pasti akan digalas dengan penuh keikhlasan dan kesedaran. Jadikanlah keikhlasan guru dan keberkatan ilmu yang disampaikan sebagai sumber kekuatan kita untuk bersama-sama mencipta sebuah negara bangsa yang berjaya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 9 Februari 2011

ISU BAHASA : Apabila usaha martabat bahasa Melayu dipersoal

Oleh : Rejal Arbee

Kaji selidik rakyat tak faham bahasa kebangsaan perlu dibuat

NAMPAKNYA apa yang saya bangkitkan minggu lalu mengenai ada sesetengah rakyat negara ini yang masih tidak boleh bertutur bahasa Melayu dan terus memperlekehkannya sudah menyentuh saraf otak seorang blogger dan membuatkannya begitu marah hingga menghina saya secara peribadi.

Blogger ini bernama Khoo Kay Peng, memetik sesetengah daripada apa yang saya tulis itu ke dalam bahasa Inggeris dan membuat perhitungannya sendiri kononnya saya sudah mempersoalkan patriotisme semua bukan Melayu kerana tidak berusaha untuk menggunakan dan memahami serta boleh bertutur bahasa Melayu.

Dia juga sengaja tidak menghiraukan apa yang menjadi pokok persoalan saya, iaitu kenapa ada sesetengah pihak dalam negara ini tidak langsung menghormati bahasa Malaysia dengan menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin saja dalam iklan dan risalah yang mereka edarkan kepada orang ramai.

Persoalan yang saya bangkitkan kenapa tuan punya atau pengurusan syarikat itu sengaja tidak menghormati langsung bahasa negara mereka dengan mengabaikan penggunaannya tidak pula dinyatakannya.

Dia sedikit pun tidak menyentuh persoalan pokok yang saya timbulkan itu seperti juga kenapa masih ada warga negara ini yang beria-ia kononnya mereka menyanjungi negara ini, tetapi tidak berusaha untuk memahami bahasa Melayu, apa lagi menggunakannya.

Baik juga jawapan saya kepada tulisannya itu sudah dimuatkan dalam blognya, walaupun ditohmahkan pula kesangsian apakah saya sendiri yang memberikan jawapan itu. Kenapa hal ini pun mahu diragui? Siapa pula yang hendak menulis kepada blognya menyamar sebagai saya?

Mengulas jawapan saya itu, dia minta pula saya nyatakan statistik warga negara ini yang tidak faham atau boleh bertutur bahasa itu. Sememangnya statistik demikian ini tidak ada sebab kaji selidik mengenainya tidak pernah dijalankan.

Bagaimanapun, seorang rakan berbangsa Cina pernah menyatakan kepada saya bahawa ramai juga lulusan sekolah Cina yang tidak boleh bertutur bahasa Melayu, walaupun selepas menjalani peperiksaan mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Rakan saya itu menyatakan bahawa ada murid sekolah menengah Jenis Kebangsaan Cina mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu pun hanyalah kerana mahu lulus SPM saja.

Selesai persekolahan ada antara mereka tidak berusaha menggunakannya pun. Ini juga mungkin kerana tidak perlu kerana mereka hanya bergaul dengan sebangsa saja tidak dengan orang Melayu.

Apa pun lulus mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat SPM pun tidak semestinya membuktikan mereka boleh bertutur bahasa Melayu. Maka saya mengesyorkan Kementerian Pelajaran mensyaratkan semua murid perlu lulus lisan Bahasa Melayu untuk lulus mata pelajaran Bahasa Melayu.

Bagaimanapun, Khoo mendakwa kononnya semua murid sekolah rendah baik dari sekolah kebangsaan mahu pun sekolah jenis kebangsaan sudah belajar bahasa Melayu selama enam tahun dan tentunya boleh faham dan boleh bertutur bahasa Melayu.

Katanya, hari ini tidak mungkin ada rakyat Malaysia yang sudah menghabiskan pelajaran rendahnya selama enam tahun baik di sekolah kebangsaan mahu pun sekolah jenis kebangsaan yang tidak boleh memahami atau tidak boleh bertutur bahasa Melayu.

Tentunya kenyataannya itu juga tidak disandarkan kepada statistik. Ada baiknya Kementerian Pelajaran mengadakan satu kaji selidik untuk mengetahui jumlah atau kadar peratusan warga negara ini yang tidak faham atau boleh bertutur bahasa Melayu.

Tanpa statistik itu pun, kita tahu masih ada dalam kalangan rakyat negara ini yang tidak faham atau boleh bertutur bahasa Melayu. Itulah sebabnya hingga sekarang ini pun jurubahasa Cina dan Tamil masih diperlukan di mahkamah dalam negara ini kerana masih ada rakyat negara ini yang tidak faham pertuduhan terhadap mereka yang dibuat dalam bahasa Melayu apabila dihadapkan ke mahkamah.

Jika benar semua rakyat negara ini tahu bahasa Melayu kenapa perlu diadakan jurubahasa di mahkamah? Mungkin mahkamah perlu mengkaji semula kenapa perlu diadakan jurubahasa Cina dan Tamil untuk warga negara sendiri.

Tetapi ini pun mungkin boleh diterima jika tidak wujud puak ekstrem dalam kalangan sesetengah daripada mereka yang berterusan memperlekehkan bahasa Melayu. Kenapa hingga hari ini ada kopitiam tidak mahu langsung menggunakan bahasa Melayu dalam kedainya baik dalam menu mahupun di papan tanda terpampang dalam kedai memberikan harga hidangan yang disediakannya? Lihat saja dua kedainya di Seksyen 13 dan Seksyen 7 di Shah Alam.

Ada yang cuba mempertahankan kopitiam ini kononnya tidak dikunjungi orang Melayu kerana tidak mempunyai sijil halal. Sama ada kedai itu mempunyai sijil halal yang diiktiraf atau tidak bukanlah persoalannya.

Jika tidak dikunjungi Melayu, apakah mereka bukan beroperasi dalam negara ini? Bagaimana pun kopitiam itu sememangnya mempunyai ramai pelanggan Melayu. Ini boleh dilihat sendiri.

Dalam hal ini apakah yang dilakukan Majlis Bandar Raya Shah Alam? Tidakkah pihak berkuasa boleh membuat tinjauan dan bertindak terhadap pengurusan yang bersikap begini biadap?

Khoo ini juga menimbulkan suatu perkara yang saya tidak sentuh pun, iaitu perbualan bukan Melayu sesama sanak saudara mereka sendiri dalam bahasa ibunda. Siapa pula hendak menyekat mereka menggunakan bahasa ibunda sendiri bila bertutur sesama adik-beradik? Jadi kenapa hal ini mahu ditimbulkan? Inilah apabila ada pihak yang cuba mahu menegakkan benang basah dan tidak mahu menerima kenyataan.

Selagi bahasa Melayu ini tidak diberikan tempat sewajarnya dan masih ada pihak yang berterusan memperlekehkannya, selagi itulah akan wujud kesangsian oleh sesetengah pihak terhadap sanjungan mereka itu kepada negara mereka sendiri.

Penulis adalah Felo Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Candu video lucah

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

KECANGGIHAN gajet seperti kamera dan perakam video serta Internet yang lebih mudah diakses menyebabkan penyebaran imej dan klip video lucah di negara ini kian menular.

Walaupun kemudahan tersebut dicipta untuk perkara lebih baik, ada juga yang menjadikannya medium paling murah untuk merakam dan menonton aksi pornografi.

Ada pengguna yang sengaja merakam aksi intim sendiri untuk dijadikan koleksi peribadi.

Namun, ramai juga yang menggunakannya untuk mendapatkan wang, sama ada melalui jualan ataupun peras ugut.

Tidak hairanlah pada zaman dunia tanpa sempadan ini peratusan remaja yang terbabit dalam seks bebas menurut satu kajian dianggarkan lebih 27 peratus kerana peluang dan ruang semakin terbuka termasuk mendapat bahan lucah di telefon bimbit dan Internet.

Penyebaran melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan muat turun yang boleh dibeli pada harga murah memberi pengaruh negatif kepada kanak-kanak dan remaja.

Bersaing

Bermula dengan tengok sekadar suka-suka, ia boleh menjadi ketagihan sehingga timbul perasaan ingin mencuba.

Sebagai contoh, penyebaran meluas rakaman video membabitkan kanak-kanak yang juga adik-beradik berumur antara 11 hingga 14 tahun yang sedang melakukan hubungan seks akhir tahun lalu membuktikan pengaruh filem porno mengundang masalah yang lebih besar di negara ini.

Perlu diakui, zaman remaja adalah peringkat perkembangan individu mencari identiti diri.

Sekiranya tiada didikan daripada ibu bapa, mereka akan terpesong apatah lagi jika akrab dengan rakan sebaya yang sudah rosak akhlak.


PENYEBARAN video lucah semakin sukar diperangi.


Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mariani Md. Nor memberitahu, kanak-kanak dan remaja yang terdedah kepada perlakuan seks terutama secara langsung di depan mata mereka sendiri akan mempelajari dan menimba kemahiran tertentu, cuma belum sampai ke tahap mengamalkannya.

Beliau mempunyai pengalaman menjalankan satu kajian ke atas remaja perempuan berusia 12 tahun yang mengatakan melakukan seks tidak menjadi kesalahan, bahkan sering melakukannya dengan lebih daripada seorang pasangan.

“Itu kajian lima tahun dulu, remaja itu sudah sampai ke tahap begitu serius dalam seks bebas, apatah lagi pada peringkat usianya sekarang yang sudah 17 tahun,” katanya.

Kosmo! sebelum ini mendedahkan hasil satu kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2009 yang mendapati 60 peratus kes perzinaan berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja UKM, Dr. Khaizil Ismail berkata, Kajian Remaja Berisiko Tinggi yang dijalankan selama enam bulan di pusat-pusat pemulihan akhlak di seluruh negara itu merangkumi kira-kira 600 responden yang berumur antara 15 dan 20 tahun.

Khaizil juga menyokong kenyataan bahawa kes buang bayi yang semakin banyak berpunca daripada menonton bahan lucah.

Selain cenderung melakukan zina, penyelidik di Pusat Penyelidikan Seks, Kesihatan dan Masyarakat Australia, Universiti La Trobe di Melbourne, Australia, Michael Flood mendapati kanak-kanak yang sering menonton filem porno menganggap kekerasan dalam hubungan seksual adalah perkara biasa.

Nafsu


BERMULA dengan tengok sekadar suka-suka, ia boleh menjadi ketagihan sehingga timbul perasaan ingin mencuba. - Gambar hiasan


“Menonton filem lucah adalah sumber pembelajaran seks yang salah kerana secara realitinya, aksi yang ditunjukkan adalah aksi yang keterlaluan.

“Filem lucah tidak menunjukkan kasih sayang, keintiman dan keistimewaan hubungan antara pasangan, sebaliknya ia mempamerkan kekasaran dan kekerasan lelaki terhadap perempuan demi memuaskan nafsu,” jelasnya kepada USA Today.

Jelas Flood lagi, bukti dari seluruh dunia mendapati pornografi memberikan kesan negatif bukan sahaja kepada individu, tapi juga komuniti.

Bahkan, hasil daripada soal selidik yang dijalankan secara rambang, Flood merumuskan kanak-kanak yang suka menonton aksi lucah sering gagal dalam membina hubungan dengan pasangan dan kebanyakannya lebih gemar melakukan hubungan seks bebas.

Tahun lalu juga, akhbar-akhbar di Indonesia menyiarkan Komisi Perlindungan Anak Indonesia (KPAI) menerima laporan mengenai kes perkosa melibatkan 33 kanak-kanak.

Ia dikatakan berpunca daripada pengaruh video porno penyanyi Ariel Peterpan yang ditonton.

Di Amerika Syarikat pula, dianggarkan kanak-kanak dan remaja lelaki berumur 12 hingga 17 tahun adalah golongan terbesar yang menonton video lucah kategori ekstrem yang menayangkan aksi seks kasar.

Suruhanjaya Kajian Pornografi Kebangsaan di negara itu pada tahun 1970 dan 1986 mendapati seorang daripada lima kanak-kanak lelaki serta seorang daripada 10 kanak-kanak perempuan mendapat pendedahan pertama kepada filem lucah seawal usia 12 tahun.

Sumber : http://www.kosmo.com.my