Khamis, 3 Mac 2011

ISU SOSIAL : 1,086 penjawat awam muflis

Oleh Azrina Ahzan

bhnews@bharian.com.my

Kakitangan diisytihar bankrap tak boleh terima pencen, ganjaran

PUTRAJAYA: Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis pada 2009 dan 72.74 peratus atau 790 adalah lelaki.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata masalah itu perlu diatasi segera kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi mereka sehingga memaksa tindakan tatatertib dikenakan terhadap kakitangan terbabit.

"Penjawat awam nadi penggerak dalam memastikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020 dapat dicapai.

“Saya harap taklimat mengenai muflis oleh jabatan terbabit mampu memberi pendedahan kepada kakitangan awam mengenai kaedah terbaik untuk menangani pelbagai isu berkaitan hutang dan muflis," katanya ketika merasmikan taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Kebankrapan 1967 dan Akta Bantuan 1971 guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, semalam.

Taklimat berkenaan anjuran bersama CUEPACS dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman meminta penjawat awam memantau perbelanjaan bulanan masing-masing, selain memastikan tidak membuat pinjaman keterlaluan, bagi mengelak dikenakan perintah muflis oleh mahkamah.
Katanya, perintah muflis boleh menyebabkan mereka kehilangan hak untuk menikmati faedah pencen dan ganjaran lain, sehinggalah perintah itu ditarik balik oleh mahkamah terbabit.

“Kes penjawat awam diisytiharkan muflis boleh dielakkan jika mereka bijak menguruskan kewangan masing-masing.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan status bankrap itu diberikan atas kapasiti penjawat awam sebagai penjamin kerana jika peminjam gagal menjelaskan pinjaman, penjawat awam yang memang `laku' sebagai penjamin akan dikenakan perintah bankrap oleh mahkamah," katanya.

Mengikut Akta Pencen 1980, mana-mana penjawat awam tidak boleh menerima pencen, ganjaran dan lain-lain faedah pada tarikh ia bersara daripada perkhidmatan awam jika dihukum bankrap atau diisytiharkan tidak berkemampuan oleh mahkamah sama ada di Malaysia atau lain-lain negara, sehinggalah mereka mendapat pelepasan daripada hukuman itu.

Akta berkenaan juga menetapkan pencen, ganjaran dan lain-lain faedah yang dinikmati selepas bersara juga akan terhenti jika mereka dihukum bankrap oleh mahkamah Malaysia atau lain-lain negara.

Mengulas mengenai taklimat itu, Omar berkata, ia bertujuan memberi pendedahan kepada pemimpin CUEPACS mengenai ketiga-tiga akta berkenaan berikutan pihaknya ada menerima pertanyaan pelbagai isu membabitkan akta terbabit.

“Taklimat hari ini adalah bagi pemimpin CUEPACS di sekitar Lembah Klang dan sesi yang sama akan diadakan secara berperingkat di setiap zon iaitu utara, selatan dan pantai timur tidak lama lagi, " katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

BUNGA RAYA BUNGA KEBANGSAAN MALAYSIA


Bunga raya, juga dikenali sebagai bunga sepatu dan kembang sepatu(Hibiscus rosasinensis) ialah sejenis tumbuhan berbunga sepanjang tahun dalam genus Hibiscus yang sering ditanam sebagai pokok hiasan.
Bunga raya ialah bunga kebangsaan Malaysia. Selepas mencapai kemerdekaan, Kementerian Pertanian telah diarah untuk mencadangkan bunga yang sesuai untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan. Pada akhir tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mencadangkan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu, iaitu Bunga Kenanga, Bunga Raya, Bunga Melur, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung.
Selepas perbincangan pada 28 Julai 1960, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan Malaysia, Bunga Raya terus diguna sebagai Bunga Kebangsaan.
Bunga ini ditanam secara meluas sebagai hiasan di seluruh kawasan tropika dan separa tropika. Bunganya besar, merah, keras, tetapi tidak berbau.
Pelbagai kultivar, varieti, dan hibrid telah dihasilkan, dengan warna bunga pelbagai dari putih kepada kuning dan kuning bata dan merah jambu lembut, dengan kelopak set tunggal dan berganda. Bunga ini digunakan bagi mengilat kasut di sebahagian India.
Sumber : wikipedia.org

ISU BAHASA : Iklan dalam bahasa asing

Oleh Shuhaniza Said

bhsastera@bharian.com.my

Wajarkah pendekatan itu menjadi amalan pengiklan di Malaysia?

LIRIK 'Gunakanlah bahasa kebangsaan kita, marilah amalkan ramai-ramai ...' saban hari kedengaran di corong radio dan televisyen negara ini sehingga kini meskipun ia sudah diperkenalkan ketika Kempen Bahasa Kebangsaan pada 1960-an.

Lagu Bahasa Jiwa bangsa ciptaan Dol Ramli lebih kerap kedengaran pada sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada Oktober setiap tahun sebagai perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di negara ini agar diutamakan baik dalam sektor awam mahupun swasta. Biarpun lagu dan lirik terbabit begitu bersemangat dalam membakar kesedaran rakyat Malaysia dalam mendaulatkan bahasa Melayu, tetapi ia ibarat mencurah air di daun keladi apabila semakin banyak iklan di media elektronik menggunakan selain bahasa kebangsaan.

Pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Othman, melihat kecenderungan menggunakan lebih daripada satu bahasa selain bahasa Melayu sebagai tidak wajar.

“Lebih-lebih lagi jika ia dilakukan oleh syarikat gergasi milik negara kerana perbuatan terbabit memperlihatkan betapa tidak yakinnya mereka terhadap bahasa Melayu bagi mewakili produk masing-masing dan boleh disamakan dengan menjual maruah negara sendiri.

“Malaysia sudah mengakui Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan iklan untuk paparan rakyat negara ini, sewajarnya menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya. Tidak perlu menggunakan pelbagai bahasa untuk menjelaskan apa yang ingin disampaikan berhubung sesuatu produk,” katanya pada pertemuan dengan Sastera.

Pendekatan iklan pelbagai bahasa dengan rakyat negara ini sebagai sasaran juga dilihat tidak mendokong konsep 1Malaysia yang menekankan konsep saling penerimaan dan keharmonian semua bangsa yang memperakui dan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa berkomunikasi.

Justeru, tidak timbul persoalan untuk menggunakan bahasa lain bagi mewakili sesuatu bangsa di negara ini kerana pendekatan terbabit akan menjadi punca kegagalan pencapaian matlamat gagasan 1Malaysia,

Selain itu, iklan dengan rakyat negara ini sebagai sasarannya juga tidak sepatutnya dibuat dalam bahasa ‘rojak’ atas alasan yang sama dan iklan dalam bahasa Melayu berserta Inggeris hanya boleh diterbitkan sekiranya kumpulan sasarannya di tempat yang membabitkan khalayak antarabangsa.

“Kewajaran menggunakan papan tanda dalam bahasa Melayu dan Inggeris hanya wajar dilakukan di tempat seperti lapangan terbang, pelabuhan, terminal utama bas dan teksi serta pintu sempadan negara,” ujarnya.

Pandangan beliau dipersetujui Pensyarah Pelawat, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Dr Sudarsono yang melihat isu penggunaan lebih daripada satu bahasa dalam iklan elektronik di negara ini sebagai suatu ketidakwajaran.

“Bahasa adalah salah satu daripada komponen yang memperlihatkan jati diri sesebuah negara dan Malaysia sebagai negara yang sudah memperakukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tidak sepatutnya menggunakan empat bahasa,” katanya.

Justeru, bukan semua rakyat Malaysia mampu menguasai bahasa Melayu dan kebimbangan maksud yang ingin disampaikan pengusaha atau penerbit iklan tidak sampai kepada kelompok sasaran serta tidak menghargai sesuatu bangsa tidak boleh dijadikan sebagai alasan.

“Pokok pangkalnya, hal ini berbalik kepada sikap terhadap bahasa. Kecenderungan menggunakan Bahasa Melayu memperlihatkan penghargaan dan kebanggaan terhadap bahasa tersebut. Ditambah pula sifat bahasa itu yang sudah mencakupi semua aspek yang sesuai untuk kesatuan bangsa.

“Alangkah indahnya sekiranya rakyat di negara ini diikat dengan hanya satu bahasa saja yang sudah perakukan kedudukan dalam undang-undang negara seperti mana Indonesia yang hanya menggunakan bahasa Indonesia,” jelasnya.

Bagaimanapun, Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (PPBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Zubir Idris, melihat isu penggunaan pelbagai bahasa dalam iklan elektronik daripada perspektif sebaliknya.

“Isu penggunaan pelbagai bahasa dalam iklan perlu dilihat secara positif. Ia dapat menggambarkan semangat majmuk dan kesepaduan dalam masyarakat di negara ini. Dalam masa sama, khalayak diberi pendedahan untuk turut memahami bahasa, malahan budaya masyarakat pelbagai bangsa,” ujarnya.

Beliau melihat kebimbangan kelompok yang tidak bersetuju dengan penggunaan pelbagai bahasa dalam iklan kerana kelompok berkenaan tidak mahu fungsi Bahasa Melayu diperkecil dan dipandang ringan.

Apatah lagi bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Perkara 152 (Fasal 1) serta ditambah pula dengan pelbagai isu lain berhubung kedaulatan bahasa Melayu yang sentiasa menjadi topik perbincangan hangat.

“Namun, hal ini perlu ditangani sewajarnya dan kewajaran penggunaannya dilihat secara positif. Jika ia membawa banyak kesan positif khususnya bersangkutan dengan isu perpaduan dan konsep 1Malaysia, mengapa tidak?” soalnya.

Secara peribadi, Dr Zubir lebih senang jika Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa utama dalam media pengiklanan tetapi jika pelbagai bahasa yang digunakan, maka ia perlu ada pengawalan dan pemantauan ketat daripada pihak berkenaan.

“Ini bagi memastikan matlamat penggunaan bahasa yang pelbagai itu tidak menimbulkan rasa kurang senang terhadap sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di negara kita. Bagaimanapun, bahasa Melayu mesti diberi keutamaan bersesuaian dengan fungsinya sebagai bahasa rasmi negara,” katanya.

Apa yang dapat disimpulkan, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu berbangga dengan bahasa Melayu yang sememangnya diakui sebagai bahasa yang menyatukan semua bangsa di negara ini kerana ia mencerminkan budaya dan jati diri negara.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pendidik pikul amanah pewaris nabi

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Guru perlu ikut cara Rasulullah laksana tanggungjawab didik generasi pelapis negara

SEORANG bergelar guru amat dipandang tinggi, malah panggilan 'cikgu' tidak akan lekang di bibir setiap murid yang pernah mewarisi ilmu daripadanya. Hatta, bekas guru yang bertukar profesion pun tetap dipanggil cikgu.

Tidak dinafikan peranan guru amat besar dalam masyarakat. Tanya setiap orang yang berjaya dalam hidupnya, tiada yang cemerlang tanpa didikan seorang guru.

Betapa berpengaruhnya seorang yang bergelar guru, penulis masih ingat sehingga hari ini setiap guru yang pernah mengajar sejak di tadika sehingga sekolah menengah. Cuma masih belum ada kelapangan untuk menziarahi mereka.

Masih terkenang beberapa guru yang sudah meninggal dunia, walaupun sudah tiada, suara mereka masih berulang-ulang memberi ilmu dan nasihat. Sebab itulah ada kala terlupa yang mereka sudah berhijrah ke alam baka. Yang mampu dikirim hanyalah ingatan dan doa.

Hari ini, peranan guru tetap sama. Mereka menyampaikan ilmu. Tidak cukup dengan itu, mereka juga membimbing akhlak pelajar supaya seiring dengan kebolehan akademik yang menjadi objektif hakiki pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Cuma, ada segelintir guru yang cuba mengambil kesempatan atas kepercayaan ibu bapa yang meminta mendidik anak mereka menjadi orang bijak dan terhormat. Laporan murid dicabul, diliwat dan diperkosa oleh guru menyentak banyak hati.

Ada juga guru menjadi pembekal rokok dan dadah kepada pelajar, seperti pernah tersiar di akhbar sedikit masa dulu. Siapa tidak terkilan jika mengetahui guru yang sepatutnya menunjukkan peribadi terbaik terhadap pelajar mencuri peluang melampiaskan nafsu kepada murid cilik.

Sedangkan setiap guru adalah orang yang sedia berilmu dan mereka yang berilmu adalah pewaris para anbiya’. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sesungguhnya orang yang berilmu (ulama) itu adalah pewaris nabi-nabi.” (Hadis riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)

Sebagai pendidik, guru wajib mempunyai pekerti mulia yang bukan saja menjamin kecemerlangan pendidikan, juga sebagai modal mentarbiahkan insan. Tiada siapa mahu mendengar kata orang yang alpa, taat kepada pelaku maksiat, apatah lagi menadah ilmu daripada seseorang tidak berakhlak.

Kualiti seorang guru sangat penting dalam membina sahsiah pelajar, sebab itu mereka harus ikhlas, berdedikasi, jujur dan bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikul, seperti mana Rasulullah SAW sebagai guru setiap umat Islam kerana Baginda mencukupi ciri contoh ikutan yang baik.

Firman Allah SWT bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.” (Surah Al Ahzab, ayat 21)

Sebagai penggerak utama yang menyumbang kepada kemajuan sesuatu bangsa melalui pendidikan rasmi, guru perlu menjaga nama baik profesion mulia ini. Sikap sebahagian kecil guru menggunakan peluang bersama pelajar untuk berbuat sesuatu tidak baik amatlah dikesali.

Guru harus memaksimumkan ruang yang ada bersama generasi pelapis negara untuk memastikan anak harapan negara dan agama terdidik sempurna dengan ilmu pendidikan formal, juga adab dan nilai murni.

Jangan pula guru yang menjadi orang harapan ibu bapa membantu membina sahsiah anak menjadi ‘pagar yang makan padi’. Bayangkan apa akan berlaku jika guru menjadi ancaman kepada pelajar.

Dengan perubahan masa, profesion guru ada kala bukan pilihan utama, tetapi terpaksa memikulnya kerana tidak berpeluang meneroka kerjaya lain. Kerana itulah bukan semua guru ikhlas menggalas tanggungjawab mendidik.

Walaupun pelbagai kejadian buruk berlaku akibat salah laku guru terhadap pelajar adalah kes terpencil, ia tidak bermakna perkara ini harus dipandang enteng. Ia juga tidak bermakna senario ini akan berakhir dan hilang dengan sendirinya.

Kesedaran perlu dipupuk melalui tarbiah mental dan rohani supaya setiap yang bergelar guru tahu menggalas tanggungjawab sebagai model insan yang meneraju pusat penyebaran ilmu dan amal, tidak seperti kerjaya lain.


Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 2 Mac 2011

ISU PENDIDIKAN : Langkah bijak sekolah satu sesi

PENGUMUMAN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia yang juga Timbalan Perdana Menteri mengenai pendekatan sekolah satu sesi adalah sesuatu yang memberangsangkan.

Masanya sudah sampai supaya konsep sekolah satu sesi dibahaskan dengan bijaksana dan strategik supaya ia menjadi satu wadah membangun potensi generasi anak-anak secara seimbang.

Konsep sekolah satu sesi yang direncana oleh Kementerian Pelajaran merupakan satu hal yang amat menarik untuk diteliti dan dikaji. Realiti pendidikan di Malaysia tidak saja berjalan di arus perdana, dikendalikan oleh pihak kerajaan tetapi juga dikendalikan oleh lembaga pendidikan negeri dan swasta.

Uniknya pendidikan di Malaysia, ia tidak saja menawarkan pendidikan yang berasaskan ilmu-ilmu kemanusiaan, sains dan teknologi tetapi juga membenarkan pendidikan agama. Inilah acuan yang menarik dalam memartabatkan pembangunan modal insan di Malaysia.

Sejak sebelum merdeka, pendidikan Islam yang berjalan di bawah seliaan individu, swasta dan lembaga-lembaga negeri khususnya Jabatan Agama Negeri-Negeri berkisar sekitar institusi pondok, sekolah fardu ain, sekolah Quran, Sekolah Agama Rakyat, Maahad Tahfiz dan juga madrasah. Ia menekankan pendidikan asas Islam seperti akidah, ibadah, tilawah, loghat, fikah dan seumpamanya. Asas ini amat penting bagi memberi kefahaman mengenai Islam, di samping pentingnya pembangunan diri dan kemuliaan akhlak.

Dalam masa yang sama, Kementerian Pelajaran sejak tahun 1961 telah memperkenalkan subjek Agama Islam dalam pendidikan arus perdana. Ia berkembang sehingga menghasilkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi yang menawarkan lebih banyak subjek-subjek mengenai Islam kepada pelajar.

Ia menjadi saluran yang terbukti baik bagi melahirkan ahli agama dan profesional yang dapat berperanan dalam membangunkan negara dan ummah. Usaha pihak lembaga swasta dan negeri juga bergerak seiring menghasilkan pendekatan integratif dalam proses keilmuan dan pendidikan. Darinya lahir pendidikan tahfiz integratif, pendidikan Islam integratif dan lain-lain.

Pendidikan agama masa kini amat memerlukan pendekatan integratif sama ada dari segi kurikulum mahupun metodologi pengajaran dan pembelajaran. Modal Insan yang ingin kita lahirkan tidak saja menuntut penguasaan ilmu Mengurus Diri (Fardu Ain) tetapi juga menuntut penguasaan ilmu Mengurus Sistem (Fardu Kifayah). Jenis cabaran dalam kehidupan masa kini tidak saja berputar sekitar isu-isu Fardu Ain tetapi menuntut penguasaan ilmu-ilmu sains dan teknologi, kemahiran dan ilmu-ilmu kemanusiaan.

Apakah dengan memperkenalkan konsep satu sesi ini, ia mampu menampung keperluan membangun modal insan holistik. Malaysia tidak akan mampu menghasilkan modal insan berkualiti sekiranya pendidikan agama berjalan dalam sifatnya yang terbatas atau pendidikan sains dan teknologi dengan pemahaman terhadap agama yang terhad. Pendekatan integratif menjadi asas yang sangat penting dan fundamental bagi menghasilkan pendidikan negara berasaskan Acuan Sendiri.

Memperkenalkan konsep satu sesi dalam pendidikan negara bakal memberi kesan terhadap pendidikan agama di waktu pagi atau petang. Pendidikan agama yang diajar di sekolah agama pagi atau petang diajar juga di sekolah-sekolah arus perdana.

Apakah perulangan subjek yang sama membawa kesan baik atau sebaliknya bagi pelajar. Satu aspek yang harus dikaji ialah setakat mana kesan penghayatan terhadap murid-murid dalam menghadapi cabaran sekitar kini. Ia memerlukan kajian dan penelitian supaya masa yang digunakan untuk belajar agama di sekolah agama pagi atau petang orientasinya membawa kepada pengukuhan terhadap pembinaan peribadi anak-anak.

Sekolah satu sesi mengambil masa belajar yang panjang. Orientasi sekolah asrama penuh pada masa kini mengambil pendekatan sekolah satu sesi dan kesannya dari segi akademik amat baik. Bagi sekolah-sekolah yang bukan asrama penuh, beberapa pertimbangan perlu diberi supaya pelaksanaan konsep satu sesi diatur dengan bijaksana supaya kesan pendidikannya adalah holistik.

Sesetengah sekolah terutama di bandar masih memerlukan sekolah dua sesi pagi dan petang akibat prasarana tidak cukup. Sesetengah sekolah agama pagi dan petang mungkin ditutup kerana sekolah satu sesi melampaui masa yang biasanya membolehkan pelajar belajar agama. Masa yang terlalu lama bagi pelajar di sekolah menyebabkan hubungan dengan ibu yang tidak bekerja menjadi terbatas.

Aspek positif yang boleh diunjurkan terhadap sekolah satu sesi ialah supaya ia tidak mengurangi komponen pendidikan Islam. Para pelajar beragama Islam boleh menunaikan solat Zohor dan Asar berjemaah bersama-sama dengan guru. Ruang untuk tilawah al-Quran disediakan. Makanan yang berkhasiat dapat diberikan kepada semua pelajar. Kegiatan kokurikulum dan permainan dapat berjalan dengan baik dan proses ulang kaji dan menyudahkan kerja-kerja rumah dapat berlaku di sekolah.

Apakah di tahap ini, Kementerian Pelajaran sudah mempunyai keupayaan untuk melaksanakannya. Banyak aspek yang harus diambil kira seperti penjadualan subjek yang seimbang dalam jadual pengajaran-pembelajaran. Orientasi dan latihan perguruan mengendalikan konsep satu sesi.

Penyediaan makanan yang seimbang dan bermutu pastinya memerlukan peruntukan yang besar. Selain itu, peranan ibu bapa dalam proses pendidikan, pengawasan terhadap pelajar dalam tempoh yang panjang, kemudahan fasiliti kokurikulum, permainan dan sukan yang seimbang, kesemuanya perlu diberi perhatian. Begitu juga, latihan amali agama Islam dan sebagainya.

Pendidikan yang berkesan dalam membentuk watak anak-anak semestinya melibatkan peranan ibu bapa. Persekolahan satu sesi harus melibatkan ibu bapa secara aktif dalam hal-hal yang terizin.

Tanpa pengaruh ibu bapa terhadap anak-anak, proses pendidikan akan mengalami ketempangan. Guru-guru merupakan tenaga pendidik yang penting. Sekiranya hal-hal ini dapat diatur dengan baik, maka sekolah satu sesi akan dilihat sebagai jawapan yang memberi harapan terhadap keperluan pendidikan di zaman ini.

Pendidikan dalam erti kata yang luas bukan sekadar proses memantapkan akliah atau daya kognitif dengan melalui peperiksaan semata-mata. Tetapi potensi insan yang harus digilap termasuk potensi insaniah supaya terlihat akhlak dan pekerti yang mulia. Ketangkasan jasmani yang membawa kepada disiplin yang tinggi perlu dibina supaya ia menepati maksud Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu membangun insan seimbang dan harmonis.

Pendidikan di Malaysia memerlukan asas kukuh supaya pembangunan kurikulumnya menjadikan anak-anak kita pintar dan artikulatif. Dalam masa yang sama, asas integrasi harus menjadi matlamat unggul supaya perbezaan yang ada daripada latar etnik, agama dan budaya menjadi titik temu bagi pembangunan etika yang tinggi, di samping nilai-nilai murni yang membawa kesan penghayatan.

Globalisasi yang datang memerlukan binaan generasi yang transformatif. Pendidikan tidak sekadar menghasilkan guna tenaga yang memiliki kepakaran dan keahlian dalam sesuatu bidang tetapi tetapi juga nilai-nilai insaniah yang akhirnya menjadikan manusia lebih manusiawi.

Justeru, pengukuran mengenai kejayaan dan kecemerlangan tidak hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan semata-mata tetapi generasi muda harus dibangunkan dengan bakat kepimpinan dan kepengikutan yang baik menerusi kegiatan kokurikulum, bakat kesukanan dan ketangkasan menerusi kegiatan ekstra kurikulum, corak penilaian yang merangkum supaya peribadi yang baik dihasilkan mampu menghadapi cabaran dan kerenah zaman.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 1 Mac 2011

ISU BAHASA : Bahasa ibunda medium warisan budaya bangsa

Oleh Prof Teo Kok Seong
teokok@ukm.my

Identiti komuniti akan berubah jika tidak disebar kepada generasi muda

SEJAK tahun 2000, tanggal 21 Februari diisytiharkan sebagai Hari Bahasa Ibunda Sedunia oleh UNESCO, sebuah badan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal pendidikan, sains dan budaya. Hari ini diperkenal untuk memperingati selain menegaskan betapa pentingnya peranan bahasa sebagai warisan bangsa.
Bahasa ibunda antaranya adalah istilah yang merujuk kepada bahasa leluhur sesuatu kelompok etnik. Sama ada ia bahasa besar atau sebaliknya, bahasa ibunda penting dalam kehidupan sesuatu kelompok itu, khususnya dalam konteks budaya diamalkan. Dalam konteks ini, ia adalah salah satu daripada beberapa kaedah utama, yang membolehkan kelompok berkenaan menyebar serta mewariskan budayanya kepada generasi muda.

Sehubungan ini, dialek Melayu Kelantan adalah penanda identifikasi kepada budaya kelompok Melayu di Kelantan. Identifikasi ini antaranya boleh wujud dalam kata, makna, idiom dan nahu dialek Melayu itu, serta amalan bahasa dipraktikkan oleh Orang Melayu Kelantan.

Cara menyebar dan mewariskan budaya melalui bahasa, boleh mengambil pelbagai bentuk. Antaranya termasuk lagu, puisi, cerita, dan seni. Penyebar dan pewarisnya pula boleh terdiri daripada orang perseorangan, kumpulan, pertubuhan kebudayaan dan kesenian, dan institusi rasmi, seperti yayasan. Dalam hal ini, bahasa ibunda sebenarnya adalah wahana penting, untuk memastikan elemen budaya, seperti sejarah, sistem nilai, kepercayaan dan sosial, terus tersebar dan diwarisi.

Untuk Malaysia, dalam menyambut Hari Ibunda Sedunia ini, kita boleh antaranya meraikan kepelbagaian bahasa ibunda dan budaya kaum yang ada dalam negara ini. Sambutan sebegini sudah tentu dapat mempromosikan peranan dan kepentingan bahasa dalam pembangunan dan kewujudan budaya mapan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang etnik. Pendekatan begini juga bertepatan dengan keadaan sosiobudaya yang pelbagai di negara ini.

Apabila berbicara mengenai budaya mapan, dan dalam kes Malaysia sebagai pelbagai budaya yang terus mantap dan kekal, selain tidak akan pupus, dalam konteks peranan bahasa untuk menjamin pelestariannya, kita sebetulnya perlu memastikan bahasa ibunda kita, terus dituturkan, khususnya oleh generasi muda.

Sehubungan ini, ramai antara kita selalu beranggapan bahawa bahasa ibunda kita, sama ada dialek Melayu Kelantan, bahasa Cina suku Hokkien, ataupun bahasa Orang Asli Semai, tidak mempunyai banyak nilai, jika dibandingkan dengan bahasa besar, seperti bahasa Melayu Standard, bahasa Mandarin, dan bahasa antarabangsa seperti bahasa Inggeris. Justeru, ramai ibu bapa tidak lagi mewariskan bahasa leluhur kepada anak mereka.

Sesungguhnya pandangan begini adalah salah sama sekali. Ia antaranya dilihat dari segi peranan bahasa Cina suku Hokkien misalnya, yang didapati tidak mempunyai banyak sumbangan terhadap kehidupan dunia moden, khususnya dalam memperoleh ganjaran kebendaan.

Dalam konteks bahasa leluhur, kehilangan walaupun satu daripadanya di muka bumi ini, misalnya bahasa Temuan dalam kalangan Orang Asli, bukan saja menjadi musibah kepada komuniti bahasa berkenaan. Tetapi ia adalah juga kerugian besar kepada kita di Malaysia khasnya, selaku rakyat Malaysia, dan juga kepada dunia amnya, yakni kita semua sebagai umat dunia.

Setiap bahasa itu didapati berkait rapat dengan objek, nilai, kebijaksanaan, hubungan kekeluargaan, pertalian interpersonal, dan sifat persekitaran yang merangkumi sumber asli, flora dan fauna. Semua ini dikenal pasti dan dibentuk oleh penutur natifnya sebagai tradisi serta keunikan budaya mereka.

Hubung kait antara bahasa dan cara hidup harian inilah yang menjadi satu ciri kehidupan yang akan hilang apabila bahasa hilang. Apabila ini berlaku, komuniti bahasa berkenaan akan menjadi kelompok yang kehilangan arah bahasa. Ini antaranya bermakna mereka tidak lagi mengetahui kata yang sepatutnya digunakan, untuk mengungkapkan sesuatu yang ingin dan perlu diperkata.

Dengan kata lain, bahasa lain yang dikuasai untuk menggantikan bahasa ibunda yang hilang itu, akan menjadikan komuniti bahasa berkenaan satu kelompok yang tidak mempunyai hala tuju, dari segi identiti kebahasaan, untuk seketika waktu. Apabila dan selepas bahasa lain dipelajari dan dikuasai, budaya asal komuniti berkenaan akan berubah. Ia tidak lagi diamal dalam bentuk dan cara asalnya.

Dengan ini, kata dan istilah yang lazim digunakan tidak diguna pakai lagi. Banyak kata, rangkai kata, dan kalimat daripada bahasa lama menjadi ganjil dan tidak sesuai digunakan dalam latar dan konteks baharu yang menggunakan bahasa lain itu. Dalam keadaan begini, banyak kata dan istilah baharu akan menggantikan yang lama.

Sebenarnya kata dan istilah baharu itu hanya pandangan yang hampir saja, justeru tidak pun tepat maksudnya. Makna tepat serta pengertian sepunya, tidak akan dikongsi dan difahami bersama-sama lagi oleh seluruh komuniti berkenaan, seperti yang berlaku pada kata dan istilah lama dalam bahasa ibunda yang hilang itu.

Satu masa yang agak lama diperlukan bagi komuniti berkenaan, untuk berkongsi dan memahami kata dan istilah baharu itu, secara bersama-sama sebagai satu komuniti bahasa. Walaupun, pada akhirnya ia dapat dilakukan selepas mengambil beberapa waktu, budaya asal itu tidak terungkap lagi, yakni tidak mampu dinyatakan lagi dalam bahasa lain, dengan menggunakan konteks bahasa lama.

Atas kesedaran inilah, Malaysia perlu memperingati Hari Bahasa Ibunda ini. Tujuannya adalah untuk menyedarkan rakyat Malaysia, mengenai peri pentingnya bahasa ibunda kita, yang pada lazimnya adalah bahasa kecil. Sesungguhnya bahasa kecil ini perlu senantiasa dipelihara dan dipupuk, agar sejarah kita dapat selalu dikenang oleh generasi muda.

Sehubungan ini, kita tidak boleh sama sekali membiarkan walaupun satu bahasa leluhur di Malaysia ini hilang. Sambutan ini akan bukan saja memperlihatkan, tetapi memperkasakan hubung kait antara bahasa dan budaya, dalam konteks kepelbagaian bahasa dan budaya rakyat Malaysia.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Utamakan penyelenggaraan elak musibah

Oleh AZMY MOHAMEDpendidikan@utusan.com.my

Penyelenggaraan secara berkala amat penting untuk memastikan bangunan sekolah dan kuarters kediaman guru sentiasa selamat untuk diduduki.

Lazimnya, aspek penyelenggaraan dan baik pulih hanya dilakukan apabila pentadbir sekolah atau penghuni kuarters mengesan kerosakan fizikal yang mencolok mata seperti pintu atau tingkap pecah, tandas tersumbat dan rekahan pada bangunan.

Malangnya ada juga kerosakan yang terbiar tidak diselenggara walaupun kerosakan telah dilaporkan. Salah siapa?

Menuding jari memang mudah tetapi sebaiknya adalah mencari jalan penyelesaian untuk keselamatan dan keselesaan bersama.

Sebagai contoh, tangki air bocor atau lantai marmar pecah di kuarters guru tidak dibaik pulih kerana berlaku tarik-tali antara penghuni dan pemilik premis.

Kedua-dua pihak tidak mahu bertanggungjawab untuk memperbaikinya. Sepatutnya Kementerian Pelajaran selaku pemilik perlu bertanggungjawab dengan mengarahkan kontraktor yang diberi tender membina bangunan itu untuk membaiki segala kerosakan sekiranya ia masih dalam tempoh jaminan.

Jika tempoh itu telah tamat, maka satu mekanisme lain perlu dilaksanakan. Apa pun penghuni kuarters iaitu guru tidak boleh dibebankan untuk membaikinya kerana mereka adalah penyewa. Secara teknikalnya, mereka membayar sewa melalui potongan elaun perumahan dan sebahagian daripada elaun COLA.

Selain itu, aspek penyelenggaraan yang lebih penting dan perlu diberi perhatian ialah pendawaian wayar elektrik dan kawalan serangga perosak.

Mengikut piawaian standard antarabangsa, pendawaian dalam bangunan yang melebihi 15 tahun perlu diperiksa atau dibuat semula.

Hal ini kerana ia berisiko tinggi untuk berlaku lintar pintas yang boleh mengakibatkan kebakaran. Pastinya bila ini terjadi, nasi sudah menjadi bubur.

Begitu juga dalam bab mengawal ancaman serangga perosak khususnya anai-anai. Perkara ini tidak boleh diambil mudah kerana natijahnya parah.

Serangga kecil ini boleh menyebabkan bumbung dan siling runtuh. Bayangkan jika ia berlaku ketika anak-anak kita sedang tekun mengikuti pelajaran di dalam bilik darjah. Aduh, sungguh memilukan!

Sebelum musibah ini berlaku, Kementerian Pelajaran perlu proaktif untuk membuat langkah-langkah pencegahan.

Bagaimanapun, keutamaan harus diberi kepada 600 buah sekolah yang berada dalam keadaan amat daif dan hampir sujud ke bumi seperti yang didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sarawak, baru-baru ini.

Semua sekolah ini telah dalam pengetahuan Kementerian Pelajaran dan tindakan untuk membaik pulih atau membina semula sedang dirancang serta akan segera dilaksanakan termasuk dengan menggunakan pembiayaan pihak swasta jika perlu.

Apa yang membimbangkan adalah keadaan di sekolah-sekolah lain yang telah berusia lebih 15 tahun. Walaupun nampak kukuh fizikalnya, dikhuatiri tanpa penyelenggaraan yang sempurna akan menyebabkan kejadian tidak diingini.

Kebimbangan ini berasas. Sedikit masa dahulu, ada bangunan makmal komputer sekolah runtuh sebelum sempat digunakan.

Malah baru-baru ini, dilaporkan ada sekolah baru yang dibina melibatkan kos jutaan ringgit dan belum pun satu dekad usianya telah berlaku keretakan pada struktur bangunannya.

Keadaan ini amat mendukacitakan dan perlu perhatian serius. Sewajarnya satu kajian dibuat agar penambahbaikan dapat dilakukan untuk pembinaan sekolah dan kuarters guru dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Dalam konteks ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyarankan supaya bangunan sekolah dibuat secara lebih teliti dengan mengutamakan ciri-ciri keselamatan bagi mengelak berlakunya masalah seperti retakan kepada struktur bangunan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/