Jumaat, 17 Jun 2011

ISU AGAMA : Budaya salam kukuh organisasi

Oleh Sharifah Hayaati

bhnews@bharian.com.my

Mampu pererat silaturahim dengan pelanggan

Ucapan salam diucapkan sebelum percakapan seperti dinyatakan Rasulullah SAW, salam sebelum kalam (percakapan) mendapat pahala bagi yang mengucapkannya dan menjadi hak kepadanya menerima jawapan balas daripada orang menerima ucapan salam daripadanya.

Ulama bersetuju hukum menjawab salam adalah wajib berbanding hukum memberi salam yang sunat. Ini bererti setiap orang mengucapkannya dengan maksud doa kepada yang lain pasti mendapat hak untuk didoakan melalui jawapan salam itu.

Bahkan kita dianjurkan menjawab salam dengan lebih baik daripada apa yang diterima. Firman Allah bermaksud: “Apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung setiap sesuatu.” (Surah al-Nisa’, ayat 86)

Justeru, membudayakan salam memberi nilai tambah kepada diri serta sahabat. Seseorang yang mengucapkannya tidak rugi kerana salam bukan sekadar ucapan selamat, pembuka dan penutup bicara malah ia ucapan penghuni syurga yang saling berdoa memohon Allah menganugerahkan kesejahteraan, kerahmatan dan keberkatan.

Imam Abu Hurairah diriwayatkan mengucapkan salam kepada ibunya sebelum keluar rumah. Ia dilakukan untuk mendapat jawapan salam atau doa daripada ibunya supaya apa yang akan dilakukan sama ada berjihad, berniaga dan beribadat akan mendapat kesejahteraan, kerahmatan serta keberkatan Ilahi.

Kita biasanya memberi salam sebelum memasuki rumah dan amat jarang sekali semasa meninggalkannya. Adalah baik kita mencontohi Abu Hurairah dengan memberi salam kepada ahli keluarga sebelum keluar rumah.

Apabila membudayakan salam khasnya dalam organisasi, beberapa etika perlu difahami. Pertama, sebaik-baiknya ia dimulakan pemimpin atasan kepada stafnya sebagai teladan. Menjadi sunnah Rasulullah SAW mendahulukan memberi salam termasuklah kepada kanak-kanak.

Malah, Rasulullah SAW menganjurkan supaya yang berkenderaan memberi salam kepada pejalan kaki, berjalan kaki kepada yang duduk, kumpulan sedikit memberi salam kepada yang ramai dan muda kepada yang tua.

Kedua, hendaklah memberi salam sesama Islam tanpa mengira sama ada mengenalinya atau tidak. Daripada Abdullah bin Amru bin al-‘As, berkata: “Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Islam bagaimana yang terbaik? Jawab Baginda: Anda memberi makan dan salam kepada seseorang yang dikenali atau tidak dikenali.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketiga, mengucapkannya dengan ikhlas mendapat keredaan Allah dan mengamalkan sunnah Nabi SAW. Imam al-Ghazali dalam Ihya’nya berkata, lidah orang beriman itu di belakang hatinya, iaitu apa disebut lidah difahami hatinya. Sedangkan lidah orang munafik itu di hadapan hatinya. Apabila lidah menyebut, tidak difahami hatinya. Ertinya hati dan lidah tidak seiringan. Justeru, sampaikan salam dengan suci hati supaya meninggalkan kesan mendalam dalam perhubungan.

Dalam konteks pengurusan di tempat kerja, ucapan salam boleh dibudayakan ketika berurusan dengan pelanggan, ketika memulakan mesyuarat, ucapan dan taklimat, ketika bertemu, menjawab telefon dan mengetuk pintu pejabat.

Impak positif akan diperoleh oleh warga organisasi daripada budaya salam ini selain amalan pembuka bicara serta saling mendoakan, ia mengeratkan silaturahim.

Hubungan baik warga organisasi antara penentu keselesaan bekerja. Melalui ucapan salam, hati bersedia berbicara dan mampu mengikis penyakit hati seperti benci, prasangka dan hasad di samping memancarkan keselesaan rasa selain mendapat pahala.

Sangat menarik jika ucapan salam ini dihalusi supaya menjadi mudah dibudayakan dalam kehidupan termasuk dalam organisasi. Oleh itu, jadikan lidah sebagai modal perkhidmatan dan pengukuh silaturahim supaya keuntungan dunia dan akhirat dapat diraih melalui keunikan anugerah salam.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Mengimarahkan Sasterawan Negara

Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala)

Oleh Mohamed Nasser Mohamed

BARU-BARU ini, kerajaan mengumumkan Anugerah Sastera Negara yang dianugerahkan kepada Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau nama penanya Kemala. Sasterawan Negara ke sebelas ini telah diangkat dan diiktiraf sebagai penerima anugerah berprestij dalam bidang kesusasteraan.

Pengiktirafan seumpama ini sebenarnya lebih signifikan jika kerajaan dapat memanfaatkan ketokohan beliau untuk generasi muda. Tidak kiralah dalam apa jua bentuk program yang berkaitan dengan kesusasteraan tanah air.

Sejak Anugerah Sastera Negara yang pertama pada tahun 1981, seramai sebelas orang sasterawan telah diangkat dan diiktiraf sebagai Sasterawan Negara dimulai dengan Keris Mas. Kemudian disusuli oleh Shahnon Ahmad, Usman Awang, A. Samad Said, Arenawati, Muhammad Haji Salleh, Noordin Hassan, Abdullah Hussain, S. Othman Kelantan dan Anwar Ridhuan.

Ilham Anugerah Sastera Negara sebenarnya timbul daripada gesaan bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn yang menginginkan sebuah hadiah sastera yang berprestij demi mengangkat martabat sastera di negara kita.

Pada awal penganugerahannya, wang tunai sebanyak RM30,000 menjadi sebahagian daripada hadiah selain pelbagai kemudahan menjalani kehidupan dan berkarya. Sejak tahun 2003, nilai hadiah ini telah ditambah menjadi RM60,000 di samping kemudahan menerbitkan karya sehingga mencecah RM500,000.

Anugerah Sastera Negara dipilih oleh Urusetia Panel Anugerah Sastera Negara yang ditunjangi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, di bawah seliaan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Walaupun Anugerah Sastera Negara telah dianugerahkan kepada sebelas orang sasterawan, namun aspek pengimarahan mereka masih tidak memberangsangkan.

Pendedahan Sasterawan Negara kepada rakyat di negara ini khususnya kalangan generasi muda, pelajar sekolah, mahasiswa universiti masih tidak mencapai matlamat penganugerahan Sasterawan Negara.

Lebih malang lagi para Sasterawan Negara kurang dikenali di negara luar kerana tiada usaha yang berterusan dan teratur bagi memperkenalkan mereka dan karya kepada khalayak antarabangsa.

Sasterawan Negara sepatutnya dianggap sebagai aset negara. Mereka seharusnya dimanfaatkan dengan pelbagai program sebagai satu usaha pengimarahan. Usaha membawa Sasterawan Negara ke sekolah sama ada ke pelajar sekolah menengah mahupun sekolah rendah juga sangat kurang dilakukan.

Cuma dua tahun yang lepas pihak swasta (anak syarikat Kumpulan Utusan) melalui program Utusan Sukma: Sepagi Bersastera yang membawa Sasterawan Negara A. Samad Said menjelajah pelosok daerah di Negeri Sembilan. Usaha seumpama ini sewajarnya dijadikan contoh yang baik.

Usaha ini mampu memberikan inspirasi dan motivasi kepada warga sekolah untuk berkarya, seterusnya menerapkan nilai-nilai pengkaryaan setaraf Sasterawan Negara.

Berkala

Program penulisan secara berkala dengan kaedah bengkel yang bersesuaian dengan khalayak misalnya, boleh dimulakan dengan bimbingan kepada para guru yang mengajar subjek sastera di samping guru yang terlibat di dalam pengajaran Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (KOMSAS), sebagai satu usaha memperkasa pengajaran dan pembelajaran Sastera di sekolah.

Dalam pada itu, guru dan pelajar juga didedahkan kepada bimbingan Sasterawan Negara, bagi menghasilkan karya yang mampu mengangkat martabat sastera negara sebagai satu usaha berterusan.

Pengimarahan Sasterawan Negara tidak hanya setakat membawa dan mendedahkan Sasterawan Negara kepada warga sekolah dan masyarakat Malaysia, malah karya-karya Sasterawan Negara seharusnya mengisi rak-rak di Pusat Sumber Sekolah dan Perpustakaan Desa, Perpustakaan Awam dan Negeri, malah seharusnya dibincangkan secara lebih kerap.

Agensi-agensi Kerajaan khususnya yang terlibat secara langsung terhadap pengangkatan dan pengiktirafan Sasterawan Negara seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Pelajaran Malaysia, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) sepatutnya memainkan peranan yang lebih berkesan dan proaktif terhadap usaha pengimarahan ini.

Tidak dihormati

Seperti yang diungkapkan oleh Raja Ahmad Aminullah dalam Siasah (18-24 Mei) yang lalu: "Kalau seorang Sasterawan Negara sendiri tidak dihormati oleh orang yang dianggap berilmu atau berintelektual, siapa lagi yang dapat kita harapkan. Bagaimanakah kita akan mengatasi kelesuan dan kejumudan budaya kita. Apakah kita berghairah dalam soal-soal seperti Akademi Fantasia dan politik seperti pilihan raya sahaja, sementara hal-hal yang berkaitan ilmu dipandang sepi".

Usaha pihak swasta juga harus digembleng secara terancang, misalnya dengan dana yang diperolehi daripada Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), seperti Khazanah Nasional, para Sasterawan Negara boleh dihantar ke luar negara bagi memperkenalkan karya Sasterawan Negara ke khalayak antarabangsa. Seminar sastera bertaraf antarabangsa boleh menjadi medan mempromosi Malaysia, Sasterawan Negara dan karya-karya mereka di persada antarabangsa.

Jika agensi-agensi sedia ada semacam tidak berminat untuk mengimarahkan para Sasterawan Negara, atas apa jua alasan, seharusnya usaha ini dimandatkan kepada institusi mahupun organisasi lain yang lebih berminat ke arah usaha pengimarahan para Sasterawan Negara ini. Sejumlah dana boleh diuntukkan secara konsisten bagi menjamin usaha pengimarahan ini akan berterusan dan tidak terhenti di tengah jalan.

Usaha-usaha lain bagi mengimarahkan para Sasterawan Negara, misalnya boleh dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti promosi dan pendedahan secara hiliran, misalnya memperkenal setem kenangan para Sasterawan Negara, hal ini akan dapat secara tidak langsung menyuntik keghairahan untuk rakyat negara mengenali, memiliki, dan menghayati karya-karya para Sasterawan Negara.

Sikap masyarakat kita yang tidak begitu mengambil tahu atau mengambil berat mengenai kewujudan para seniman dan pengkarya khususnya di dalam bidang sastera bukanlah suatu perkara yang luar biasa. Pihak Kerajaan dengan kerjasama pihak swasta mahupun agensi kerajaan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh juga menamakan nama-nama taman, jalan, perpustakaan (sekadar contoh) dengan nama-nama para Sasterawan Negara sebagai satu cabang pengimarahan bawah sedar.

Harapan bahawa penganugerahan Sasterawan Negara tidak seperti projek-projek mega yang akhirnya sekadar menjadi 'gajah putih' serta tidak mempunyai sebarang signifikan kepada perkembangan dunia sastera tanah air malah tidak juga mampu menjadi katalis menyemarakkan dan menyuburkan institusi Sasterawan Negara yang akhirnya semacam momokan dan tidak dipedulikan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 16 Jun 2011

ISU SOSIAL : Gerak kempen didik rakyat berbudi bahasa

Oleh : Tan Sri Lee Lam Thye

DILIHAT daripada kelakuan dan sikap sebilangan besar rakyat Malaysia, saya mempunyai kesangsian tentang keberkesanan usaha yang diambil setakat ini untuk mempromosikan pengamalan kempen budi bahasa dalam kalangan rakyat.

Saya ingin menegaskan betapa pentingnya rakyat Malaysia berbilang kaum memperbaharui usaha menjayakan amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni.

Promosi dan pengamalan ini adalah dirasakan perlu berdasarkan kemerosotan nilai-nilai murni dan kurangnya budi bahasa di kalangan sebilangan besar rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda.

Kebanyakan pelajar sekolah hari ini tidak bersedia mengucapkan ungkapan terima kasih apabila menerima sesuatu. Bahkan ramai yang tidak menghargai apa yang kita lakukan untuk mereka.

Contohnya, saya pernah menghadiri beberapa majlis penyampaian sijil atau anugerah kepada para pelajar sebagai menghargai pencapaian akademik mereka. Mereka menerima anugerah dan pergi begitu sahaja tanpa mengucapkan terima kasih.

Sifat kebiadaban dan tidak berbudi bahasa dalam kalangan rakyat dapat dilihat daripada cara pemanduan dan cara meletak kereta di jalan raya, memandu ke dalam kawasan kotak kuning; membuang sampah di tempat awam; merosakkan harta awam dan tidak memohon maaf apabila melakukan kesilapan.

Isu-isu lain juga termasuk bercakap secara kasar dengan pelanggan; merokok di kawasan larangan merokok; meludah di tempat awam dan tidak memberikan tempat duduk untuk warga tua, kurang upaya dan juga wanita hamil.

Adalah tepat pada masanya bagi rakyat untuk menangani isu-isu ini dan bertanyakan pada diri sendiri sejauh mana mereka mengamalkan sikap berbudi bahasa dan nilai-nilai murni tersebut.

Menganjurkan kempen mempromosikan pengamalan budi bahasa dan nilai-nilai murni ini adalah penting tetapi apa yang lebih penting ialah untuk menjadikan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang dilancarkan itu sebagai suatu amalan harian.

Kempen peningkatan budi bahasa dan nilai murni dalam kalangan rakyat patut diberi keutamaan dan dijadikan agenda utama negara semasa kita melangkah ke hadapan untuk menjadi negara maju menjelang 2020.

Pembangunan negara tidak wajar hanya membabitkan bidang kemahiran dan kepakaran tertentu, tetapi perlu seiring dengan pembangunan moral, nilai murni dan budi pekerti tinggi.

Negara kita perlu memiliki rakyat yang berbudi bahasa, hormat-menghormati, beramanah, jujur serta integriti kerana sistem nilai itu menjadi pengukur sebenar sebuah negara maju.

Adalah tidak bermakna pembangunan dilaksanakan dengan pesat dan maju tanpa sistem nilai yang sewajarnya. Tidak guna infrastruktur bertaraf kelas pertama tetapi rakyatnya mempunyai mentaliti kelas ketiga sehingga gagal menjaga dan menghargai segala kemudahan disediakan.

Sebelum budaya masyarakat kita terus merosot, kita harus sedar dan mempraktikkan semula nilai murni dan budi bahasa.

Penulis ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 14 Jun 2011

ISU BAHASA : Bahasa Melayu pincang

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my

Alasan pemain industri iklan tidak munasabah

EDARAN akhbar harian di Malaysia mencatat jumlah empat juta naskhah sehari dengan dua juta naskhah membabitkan edaran akhbar berbahasa Melayu. Angka yang besar ini memberi kelebihan apabila akhbar berbahasa Melayu menguasai 40 peratus daripada jualan pengiklanan.
Hakikat ini disedari pemain industri pengiklanan seperti ditegaskan Persatuan Agensi Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4A) pada Dialog Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Pengiklanan antara 4A dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) minggu lalu.

Namun, apa yang menjadi persoalan adalah kesungguhan pemain industri pengiklanan dalam mempromosi iklan dalam akhbar berbahasa Melayu. Kerap kali, iklan dalam bahasa Melayu memiliki terlalu banyak kesalahan tatabahasa selain penggunaan bahasa slanga dan lisan yang keterlaluan.

Ada juga kes, iklan dalam bahasa Melayu diterjemah secara langsung daripada iklan berbahasa Inggeris yang kelihatan janggal.

Senario ini menyerlahkan keadaan menyedihkan - pemain industri pengiklanan hanya mahu mengaut keuntungan daripada komuniti pembaca berbahasa Melayu tanpa mahu memahami bahasa dan budaya komuniti itu. Persoalan itu yang berulang kali diperkatakan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz. Ini kerana, pemain iklan kerap kali berfikir dalam bahasa Inggeris apabila menulis iklan untuk bahasa Melayu. Justeru, keputusan yang terhasil sangat mengecewakan. “Bahasa Melayu sangat indah dan menunjukkan jati diri bangsa. Mungkin ada yang melihat bahasa Melayu tiada nilai komersial. Ini anggapan mereka yang masih terjajah daripada segi minda. Bahasa Melayu sudah menjadi lingua franca sejak kurun ke-13,” tegasnya.

Malah, sebaik saja sesi soal jawab dibuka, bertalu-talu soalan diajukan antaranya, bahasa Melayu disifatkan tidak cukup ‘cacthy’ untuk menarik perhatian pembaca, jumlah kosa kata terhad menyebabkan sukar menterjemah iklan berbahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu.

Kebanyakan soalan menghala kepada satu maksud, bahasa Melayu tidak cukup sempurna untuk digunakan sebagai wahana memasarkan barangan.

Soalan yang diajukan menunjukkan, orang Malaysia tidak pernah mahu memandang bahasanya mampu menjadi bahasa perdagangan yang baik. Justeru tidak hairan, banyak iklan sama ada di akhbar, majalah atau papan iklan menggunakan bahasa Melayu yang bercampur aduk.

Misalnya, iklan yang menggunakan campuran bahasa Melayu dan Inggeris, Super Power: Aku nak power, mesti power, relax la bro.., blogger selain penggunaan bahasa slanga seperti ciput. Atau penggunaan bahasa Inggeris seperti Prawn, If you don’t Eat is your loss, So Fresh so Less.

Mujurnya, dalam asakan soalan, Termuzi bijak mengawal keadaan dengan berkali-kali menegaskan apa pun alasan pemain industri pengiklanan, bahasa Melayu perlu diletakkan di tempatnya, sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152. “Penggunaan bahasa Melayu yang betul adalah wajib dan perlu diutamakan begitu juga dengan tulisan dan tatabahasanya. Bahasa Melayu tulisan dan lisan berbeza. Kebanyakan iklan mengutamakan bahasa lisan, selain lebih kepada terjemahan bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Ini menyebabkan, terjemahan menjadi kaku. Penggunaan bahasa lisan juga melanggar aturan bahasa Melayu, dengan kecenderungan menggunakan campuran bahasa bahasa Melayu dan Inggeris, bagai sekerat ular sekerat belut,” tegasnya.

Meskipun beliau mengakui bahawa tidak salah menggunakan bahasa lisan, tetapi bahasa Melayu yang digunakan mesti betul. Lalu ketika menulis iklan untuk media berbahasa Melayu, bahasa Melayu yang betul perlu digunakan dan bukan sebaliknya.

“Tak timbul bahasa Melayu tak cukup menarik. Kita ada 150 juta kosa kata, ada banyak perkataan dalam bahasa Melayu. Apa salah berkorban sedikit masa dan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu?

“Ramai memilih jalan mudah dengan menggunakan bahasa Inggeris. Sebenarnya mengusahakan iklan, mengapa kita perlu menterjemahkan iklan dalam media berbahasa Inggeris untuk media berbahasa Melayu? Mengapa tidak guna idea yang sama untuk kedua-dua iklan tetapi pembinaan iklan itu berbeza?” soalnya.

Baginya, persoalan bahasa Melayu memiliki kosa kata terhad terlalu remeh. Bahasa Melayu kekal relevan hingga kini adalah kerana keupayaannya mengadaptasi persekitaran. Bahasa Melayu meminjam banyak kosa kata asing untuk terus bertahan kerana tiada satu pun bahasa di dalam dunia ini mampu bertahan tanpa meminjam daripada bahasa lain. Malah, bahasa Inggeris pun, hampir 75 peratus kandungannya adalah kosa kata pinjaman daripada bahasa Latin dan Sanskrit.

“Dalam soal ini, kita sebagai warga Malaysia dan pemain industri pengiklanan perlu tahu tanggungjawab. Jangan guna alasan remeh-temeh, jangan kata dalam bahasa Melayu tidak banyak kosa kata, kita ada lebih 150 juta kosa kata. Misalnya dalam bahasa Inggeris ada perkataan ‘carry’ dalam bahasa kita boleh cakap bawa, angkut, jinjing, kelek dan junjung. Jadi apa masalahnya nak buat iklan dalam bahasa Melayu, melainkan orang itu yang tidak mahu berusaha?,”tegasnya.

Dari segi undang-undang, sudah terlalu banyak peraturan mengenai memartabatkan bahasa Melayu dikuatkuasakan. Misalnya, Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar yang dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 2009.

Antara lain, garis panduan ini menetapkan setiap papan iklan mesti menggunakan bahasa kebangsaan sama ada bahasa kebangsaan saja atau bahasa kebangsaan dengan bahasa lain. Perkataan bahasa Melayu juga mesti diutamakan dari segi saiz, warna dan kedudukan berbanding bahasa lain. Namun, sehingga kini berapa ramai yang sudah didenda kerana melanggar peraturan dan sejauh mana pula kesedaran warga Malaysia tentang tanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 13 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : Impak dinamik lahir modal insan berkualiti

Oleh Mohamed Khaled Nordin

Lima fokus baru dilaksana fasa kedua pelan strategik pendidikan tinggi

MUTAKHIR ini senario pengajian tinggi global berkembang dengan begitu pesat sekali. Arus dan ledakan globalisasi telah menghasilkan daya penggerak yang membentuk hala tuju baru pengajian tinggi dunia. Hala tuju ini juga melahirkan beberapa trend baru seperti antara lainnya, globalisasi, mobiliti, kolaborasi, evolusi dalam pembelajaran dan pengajaran serta penggunaan teknologi yang maksimum.

Tidak dinafikan, kedinamikan pengajian tinggi dan arus globalisasi ini akan berterusan khususnya sepanjang tempoh lima tahun (2011-2015) Fasa Dua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Ini bermakna, Malaysia dan sektor pengajian tinggi perlu memberi pertimbangan wajar terhadap impak dinamik ini kepada hala tuju strategik, sistem serta institusi pengajian tingginya.

Sehubungan itu, lima fokus baru sudah dikenal pasti dan perlu dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sepanjang tempoh itu lima fokus itu ialah pengukuhan usaha melahirkan modal insan, memperkayakan kreativiti dan inovasi, memaksimumkan ekosistem pengajian tinggi, memanfaatkan globalisasi dan kepemimpinan yang bertransformasi di kalangan peneraju institusi pengajian tinggi.

Dalam konteks pengukuhan usaha melahirkan modal insan, pelajar yang akan dilahirkan mestilah benar-benar berketrampilan dalam menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. Dalam erti kata lain, mereka tidak boleh lagi bersifat modal insan yang biasa iaitu hanya untuk memenuhi keperluan industri, sebaliknya mempunyai bakat untuk membantu negara menghadapi persaingan dan menyumbang penyelesaian cabaran semasa dan akan datang.

Justeru, pembangunan bakat dalam kalangan pelajar perlu memperlihatkan ciri-ciri yang disimpulkan melalui 5Cs iaitu Critical Thinking and Problem Solving (pemikiran kritikal dan penyelesai masalah), Effective Communication Skills (keberkesanan berkomunikasi), Collaboration and Team Building (boleh bekerja secara berkesan termasuk dengan kumpulan yang berbeza pandangan), Creative and Innovative (kreatif dan inovatif) dan Culturally Literate (celik budaya untuk bergerak dalam dunia yang kepelbagaian).

Selain itu, KPT juga berpandangan sudah tiba masa anjakan paradigma perlu dilakukan iaitu daripada semata-mata melahirkan modal insan kepada usaha meningkatkan modal intelektual demi menjana pembangunan negara yang lestari.

Dalam konteks penyelidikan dan inovasi, tumpuan banyak diberikan kepada pembangunan universiti penyelidikan, pusat kecemerlangan pengajian tinggi (HiCOE) dan Top Business School (TBS). Dalam pada itu, semua lima buah universiti berinsentifkan Penyelidikan (RU) diminta mempertingkatkan usaha untuk meneraju tujuh platform penyelidikan berimpak tinggi. KPT juga sedang berusaha membimbing IPT untuk membangunkan sebuah lagi universiti penyelidikan berasaskan Sains Sosial menjelang 2020 untuk sama-sama membantu dalam pembangunan penyelidikan negara.

Persaingan dalam pengajian tinggi tidak lagi relevan. Justeru, ekosistem pengajian tinggi akan dimaksimumkan sebaik mungkin dengan penyertaan yang lebih besar membabitkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Kolaborasi dan sinergi antara IPTA dan IPTS harus digiatkan. IPTA yang mempunyai ‘ramai bakat’ boleh digunakan untuk membantu pembangunan IPTA baru dan IPTS. ‘Cross-fertilization’ yang sudah diamalkan dalam sektor awam boleh dipanjangkan dari IPTA ke IPTS.

Sumbangan IPTS kepada pembangunan negara berdasarkan bilangan pelajar antarabangsanya semata-mata perlu dikaji semula. Justeru, pendapatan IPTS hendaklah distruktur semula dan dipelbagaikan. Pergantungan kepada yuran pengajian pelajar semata-mata sebagai punca pendapatan mestilah difikirkan semula. Punca pendapatan alternatif mestilah digiatkan melalui aktiviti R&D&C, program eksekutif dan perkhidmatan. Proses menyamakan taraf antara IPTA dan IPTS di Malaysia harus dijadikan satu model baru dunia dalam sektor pengajian tinggi. Keterbukaan pihak kerajaan adalah jelas selepas baru-baru ini mengumumkan bahawa IPTS juga akan menerima pelajar cemerlang negara dengan tajaan penuh untuk menyambung pengajian di IPTS. Ini adalah peluang terbaik kepada IPTS untuk sama-sama menjadi pemain yang seimbang bersama IPTA dalam pembangunan negara dan melahirkan modal insan minda kelas pertama.

Bagi memperkukuhkan lagi pelaksanaan Fasa Dua PSPTN dalam melangkaui globalisasi, bidang pengajian tinggi juga akan dijadikan sebagai satu instrumen dan pendekatan yang besar dalam konteks jalinan diplomatik dan hubungan antarabangsa. Pendekatan kuasa tambatan hati ini adalah strategi jangka panjang yang bermatlamat meraih keyakinan serantau dan global kepada jenama Malaysia dan Malaysia itu sendiri.

Dalam usaha memartabatkan lagi peranan IPT khususnya akademia, IPT perlu mengambil pendekatan agresif untuk mempamerkan diri. Kita didapati masih malu-malu untuk mengaku bahawa institusi di bawah kita adalah institusi terbaik negara. IPT juga tidak begitu berani atau tidak terkehadapan mengambil cabaran untuk mempamerkan diri mereka sebagai universiti yang terhebat dan tersohor dalam negara, serantau dan global dalam sesuatu bidang yang tertentu. Pensyarah dan profesor juga masih ramai yang hanya dikenali di kalangan rakan kesepakaran saja dan tidak dikenali oleh pembuat dasar negara sebagai rujukan dalam bidangnya untuk mendapat khidmat nasihat.

Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 12 Jun 2011

ISU PENDIDIKAN : Peranan PIBG dalam meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan antara mekanisme penting dalam mewujudkan pendidikan yang berkualiti di sekolah. Menerusi PIBG, banyak program dan langkah boleh diatur dalam mengatasi pelbagai kekangan yang boleh mencacatkan iklim pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah.

Salah satu peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai orang tengah antara guru dan ibu bapa. Banyak salah faham yang timbul antara kedua-dua belah pihak apabila berlakunya kejadian salah laku di kalangan pelajar. Kebanyakan ibu bapa lebih percaya akan kata-kata dan acuman anak-anak berbanding fakta sebenar daripada pihak guru. Bertolak dari situlah mereka mulai memandang serong kepada guru. Guru sering kali disalahkan untuk segala yang berlaku di sekolah. Ini termasuklah soal prestasi akademik dan masalah disiplin di kalangan pelajar. Ekoran itu, mereka mulai memulaukan sekolah dan mendendami guru tertentu. Namun dengan inisiatif PIBG, semua bentuk salah faham ini boleh diuraikan. Perbincangan yang lebih kerap, selain mesyuarat tahunan PIBG mampu menjernihkan suasana.. Hasilnya, situasi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.

Selain itu, PIBG sebagai sebuah organisasi yang berwibawa boleh menubuhkan tabung pendidikan untuk para pelajar di sesebuah sekolah. Tabung ini boleh diisi bukan sahaja menerusi sumbangan ahli persatuan bahkan juga oleh ahli korporat dan individu tertentu. Dana yang terkumpul ini boleh digunakan untuk kebajikan dan manfaat sekolah dan para pelajar. Ini termasuklah sumbangan kepada pelajar miskin, yatim dan ditimpa kemalangan. Dengan dana yang ada, prasarana pendidikan di sekolah dapat ditambah dan ditingkatkan. Hasilnya, para pelajar dan warga sekolah amnya dapat memaksimunkan tenaga ke arah kecemerlangan dalam pendidikan dan sekali gus merealisasikan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP) yang dicita-citakan.

Di samping itu, PIBG juga boleh mengadakan seminar dan kem motivasi untuk para pelajar di setiap sekolah. Program seperti ini penting demi memberi kesedaran dan semangat kepada pelajar untuk terus belajar dan berjaya. Pelajar yang bermasalah pula boleh disedarkan menerusi kem bina semangat dan kaunseling. Dengan langkah ini, mereka diharapkan akan berasa insaf dan kembali bersaing dengan rakan-rakan dalam pelajaran. Ekoran itu, kita bukan sahaja dapat mengurangkan gejala salah laku atau meningkatkan prestasi akademik pelajar, malahan sekolah akan dapat melahirkan generasi muda yang bersahsiah tinggi.

Peranan lain yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai pemantau dan penilai terhadap perjalanan sekolah. Dengan kata lain, ahli PIBG boleh berfungsi sebagai penilai terhadap prestasi sekolah sama ada dalam hal-hal akademik mahupun kokurikulum. Susulan daripada itu, perbincangan boleh diadakan dari semasa ke semasa dengan pihak sekolah demi mengatasi sebarang kelemahan dan masalah yang dihadapi. Di samping itu, pihak persatuan juga boleh berfungsi sebagai penjamin atau penyelamat kepada guru sewaktu menjalankan tugas di sekolah. Hal ini wajar dilakukan kerana ramai kalangan guru berasa tertekan dan terancam apabila menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.

Kejadian memukul, mengancam, memusnahkan kereta dan membakar rumah guru merupakan gejala yang boleh mematahkan semangat guru. Tindakan PIBG membela nasib guru yang menjulang amanah ini akan menjadikan mereka lebih bersemangat dan selesa ketika bertugas. Ini secara tidak langsung dapat membantu sekolah meningkatkan pencapaian dalam semua bidang.

Akhir sekali, PIBG boleh juga mengadakan beberapa sesi gotong-royong di sekolah, misalnya gotong-royong menyiapkan bangunan tambahan, membina Taman Sains sekolah dan sebagainya. Gotong-royong yang diadakan ini bukan sahaja akan dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa dan pelajar, malahan juga dengan guru di sekolah. Hubungan yang mesra ini mampu melenyapkan prasangka antara ibu bapa dengan guru. Hasilnya, akan wujud kerjasama lain antara mereka. Dengan itu, segala bentuk program yang dirancang oleh sekolah akan berjalan dengan lancar. Ini sudah pasti membantu sekolah melahirkan lebih ramai pelaj ar yang berkualiti pada masa hadapan.

Sesungguhnya PIBG dan sekolah ibarat ‘aur dengan tebing’ yang perlu saling membantu. Dengan kerjasama erat kedua-dua pihak sahaja kualiti pendidikan di sekolah dapat ditingkatkan.


Sumber : http : //mazlan66.wordpress.com

Sabtu, 11 Jun 2011

ISU ANTARABANGSA : Manusia terkejam

Oleh Hafizahril Hamid

KITA sering tertanya-tanya bagaimana seorang manusia yang cukup sifatnya, matang akalnya, dan sihat tubuh badannya mampu bertindak seumpama lebih hina dari haiwan membunuh ribuan nyawa tanpa sekelumit perasaan belas kasihan.

Bayangkan apakah perasaan seorang pemimpin yang mengarahkan pembunuhan ribuan manusia semata-mata kerana wujudnya perasaan benci dan dendam.

Apakah mereka ini seolah-olah tidak ada perasaan, tidak ada belas kasihan atau sifat pemaaf, sesuatu yang dianugerahkan Tuhan bagi melengkapkan kewujudan manusia.

Di manakah kewarasan mereka ini yang sanggup memilih bertindak di luar batasan kemanusiaan dan membunuh mereka yang tidak berdosa. Lebih menyedihkan semua ini dilakukan atas alasan dan perspektif yang terlalu sempit.

Malangnya kerana kuasa dan dendam semua pembunuhan itu “dihalalkan” tanpa mengira umur dan jantina.

Melihat kepada situasi ini, beberapa nama “besar” seperti Adolf Hitler, Pol Pot, Joseph Stalin serta Slobodan Milosevic, Radovan Karadzic dan Ratko Mladic yang bertanggungjawab menyembelih umat Islam di Bosnia akan terus dikenang kerana berkongsi satu perkara.

Mereka ini seperti hilang akal melakukan kekejaman di luar batasan kemanusiaan.

Populariti

Mereka ini berkongsi “populariti” sebagai manusia terkejam dalam sejarah moden manusia bukan terhadap orang lain tetapi di kalangan rakyat mereka sendiri.

Lebih menyedihkan askar-askar mereka ini pernah berjiran malah menjadi rakan rapat kepada mangsa kekejaman sebelum berubah menjadi perogol dan pembunuh yang kemudian mengkambus mayat mereka tanpa sebarang rasa bersalah.

Perkhabaran terbaru tentang penangkapan bekas jeneral Bosnia-Serb, Ratko Mladic, setelah melarikan diri sejak sekian lama atas dakwaan pembunuhan beramai-ramai semasa perang Serbia-Bosnia disambut dengan penuh kesyukuran oleh kaum keluarga yang terselamat.

Mladic, yang menjadi komander tentera Bosnia-Serb semasa perang Bosnia 1992-95, didakwa oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 1995 kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai lebih 8,000 umat Islam di Srebrenica dan melakukan pengepungan selama 48 bulan ke atas Sarajevo.

Dia telah ditahan di kampung Lazarevo, berhampiran bandar Zrenjanin kira-kira 100 kilometer dari ibu negara Belgrade pada 25 Mei lepas.

Mladic juga perlu dipersalahkan bersama Radovan Karadzic dan bekas Presiden Slobodan Milosevic kerana mengorbankan lebih 100,000 nyawa dan menjadikan sekitar 1.8 juta penduduk sebagai pelarian di seluruh dunia.

Bagaimanapun adalah sangat dikesalkan Mladic dilihat langsung tidak menyesal, sedih atau malu dengan apa yang telah dilakukan. Malah dia dengan selamba menyatakan seluruh dunia mengenali siapa dirinya dan berbangga dengan apa yang dilakukan.

Tidak menyesal

“Saya ialah Ratko Mladic. Saya mempertahankan bangsa saya, negara saya dan kini mempertahankan diri saya. Saya mahu hidup untuk melihat diri saya bebas,

Malah dia dilaporkan sempat berkata, rakyat Serbia patut menanggung sama kesalahan Perang Balkan itu kerana menyokong Milosevic.

Milosevic bagaimanapun meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa tahun lalu ketika dalam perbicaraan di The Hague.

Dunia juga pasti tidak akan melupakan bagaimana seorang pemimpin yang dilihat bijak dan pernah melanjutkan pelajaran ke Perancis, iaitu Saloth Sar atau Pol Pot yang akhirnya turut berperangai binatang dengan membunuh lebih dua juta penduduk Kemboja.

Malang bagi rakyatnya yang sememangnya hidup dalam kemiskinan terpaksa jatuh lebih melarat kerana dipaksa berundur ke belakang kerana penduduk telah dipaksa berpindah ke luar bandar untuk bercucuk tanam.

Penentangan

Ketika itu wang tidak ada nilainya lagi. Makanan dan pelajaran digerakkan secara berkelompok. Pihak yang menunjukkan penentangan akan dibunuh secara kejam. Kemunduran telah mencetuskan krisis kebuluran, namun mereka enggan menerima bantuan asing.

Bersandarkan kepada pegangan komunis, tidak ada sebarang amalan dan pegangan agama dibenarkan dan orang Islam di negara itu merupakan antara pihak yang paling teruk menerima kesannya dengan masjid dan al-Quran dibakar.

Namun kekejamannya berakhir setelah askar Vietnam berjaya memasuki Kemboja pada 1978 dan Pol Pot melarikan diri ke Thailand. Beliau menghabiskan 20 tahun tinggal di kem dalam hutan di sempadan Thailand-Kemboja sebelum meninggal dunia pada 1998.

Namun tidak ada yang boleh melupakan kekejaman Pol Pot yang hanya memerintah selama tiga tahun tetapi bernafsu buas seperti binatang walaupun mereka yang dibunuh itu adalah terdiri dari bangsanya sendiri.

Satu lagi nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi pastinya akan membuatkan kita sedar kesan apabila seorang pemimpin yang salah diberi peluang untuk berkuasa.

Adolf Hitler walaupun mencatat sejarahnya yang tersendiri terutama dalam pembunuhan yang dikenali sebagai holocaust terhadap kaum Yahudi, namun beliau juga dianggap sebagai seorang yang terlalu fanatik dengan peperangan dan kuasa serta terlalu mengagungkan bangsanya, yang turut menjadi antara punca kekalahannya.

Walaupun pada peringkat awal beliau diangkat sebagai hero dan nasionalis namun akibat kegilaan dan obsesi yang melampaui batas untuk kuasa membuatkan jutaan bangsa Yahudi dibunuh secara kejam serta jutaan lagi mati akibat peperangan.

Kini walaupun beliau sudah lama mati kerana membunuh diri bersama isterinya Ava Braum setelah kalah dalam Perang Dunia Kedua namun dunia akan tetap memandang serong terhadapnya kerana kekejaman yang berlaku ketika zamannya.

Begitu juga dengan seorang lagi pemimpin yang dianggap agung di Rusia, Joseph Stalin yang terkenal kerana membawa perubahan daripada ekonomi pertanian pembangunan industri dalam konteks komunisme.

Namun akibat yang terpaksa ditanggung rakyat adalah terlalu ketara sehingga mengakibatkan kebuluran yang maha dahsyat.

Dianggarkan antara empat hingga 10 juta orang terbunuh sepanjang pemerintahannya tidak termasuk mereka yang terkorban kerana kebuluran.

Kebuluran

Dikatakan seramai enam hingga lapan juta lagi rakyatnya mati kerana kebuluran teruk yang berlaku pada 1932 - 1933.

Jutaan mereka yang tidak sehaluan dengan Stalin telah dikerah dalam kem tahanan dan dibuang ke daerah pedalaman Rusia.

Beliau juga seperti pemerintah sebelumnya, Lenin percaya bahawa agama adalah satu halangan dalam membentuk sebuah negara komunis yang ideal dan bertanggungjawab membunuh ratusan ribu pengikut, paderi, imam dan mempromosi amalan atheism.

Dianggarkan seramai lebih 20 juta orang mati ketika era kekejaman Lenin sahaja.

Dalam era moden sekarang pembunuhan sebegini telah dilakukan secara terancang dan tidak dilihat sebagai kekejaman melalui peperangan yang dilakukan oleh pihak yang mendakwa diri sebagai polis dunia.

Inilah yang dilakukan oleh pemimpin seperti George W. Bush yang bertanggung jawab membunuh ribuan rakyat Iraq dan Afghanistan namun terlepas kerana ia “dihalalkan” dari sebarang hukuman.

Malah orang seperti Osama Ladin yang sekurang-kurangnya mempunyai pegangan perjuangan tersendiri dilihat sebagai pengganas yang melampau dan dilabel setaraf dengan Stalin dan Hitler tetapi tidak kepada orang seperti Bush.

Melihat kepada kekejaman yang dilakukan adalah sangat menyedihkan kerana yang melakukan segala kerosakan ini terdiri dari pemimpin yang sepatutnya membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Yang menjadi mangsa adalah rakyat yang tidak berdosa dan terpaksa dikorbankan tanpa sebarang nilai hanya kerana kegilaan kepada kuasa dan takhta sang pemimpin yang hilang kewarasannya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/