Rabu, 13 Jun 2012

ISU SUKAN : Pesona bintang bola sepak negara


Oleh Hafizahril Hamid

SUKAN bola sepak adalah sukan nombor satu bukan sahaja di Malaysia tetapi di kebanyakan negara di dunia. Ia bukan sahaja menjadi pilihan kebanyakan anak muda yang mahu mencipta nama sebagai pemain terkenal malah mencipta fenomenanya yang tersendiri setiap kali sukan berkaitan bola sepak dianjurkan.

Kini tiba musim Euro 2012 yang pada pandangan penulis lebih menarik daripada Piala Dunia kerana hampir kesemua pasukan yang bertanding mempunyai kualiti dan skill yang hampir sama.

Namun di sebalik keghairahan peminat sukan bolasepak tempatan tidak tidur malam menanti masa pasukan pilihan mereka bermain, hakikatnya sukan bola sepak di negara ini sama ada dari segi kualiti mahupun kemahiran masih jauh ketinggalan.

Namun ini tidak bermakna kita tidak mempunyai pemain yang berbakat dan bersemangat tinggi cumanya masih banyak yang perlu dilakukan dalam membentuk mahupun menggilap bakat-bakat muda ini.

Persatuan-persatuan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan bola sepak di negara ini perlu menerima hakikat satu langkah drastik perlu dilakukan apatah lagi dengan ranking terbaru Malaysia yang jatuh satu anak tangga berbanding sebelumnya.

Malaysia turun ke kedudukan 154 dunia dalam ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini.

Hakikatnya negara ini tidak pernah 'kering' daripada melahirkan pemain-pemain berbakat yang turut mencipta nama di kelab-kelab luar negara.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa bakat-bakat bola sepak negara ini telah mula 'diimport' oleh negara luar sejak dari tahun 1970-an lagi.

Sejak itu beberapa pemain tempatan mula mencipta nama dan sekaligus memasyhurkan nama negara apabila terpilih mewakili kelab di luar negara.

Walaupun kebanyakan kelab yang diwakili tidaklah segah dan sehebat kelab-kelab ternama seperti Liverpool, AC Milan, Chelsea, Real Madrid dan banyak lagi namun kehadiran mereka di kelab yang diwakili mencetuskan ilham dan pesona yang tersendiri.

Ia sekali gus membuktikan bahawa Malaysia tidak kering bakat dalam sukan nombor satu di negara ini.

Cumanya adalah diharapkan pembangunan sukan ini dapat dikembangkan seperti dilakukan oleh negara-negara Korea Selatan dan Jepun yang satu ketika dahulu jauh ketinggalan berbanding kita.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Demam bola, ponteng kerja dan judi



Oleh Fauziah Arof

TIDUR bola, makan bola, mandi bola, apa pun bola. Bermulanya Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012 pada Sabtu lalu, juga menandakan bermulanya demam bola kepada jutaan peminat sukan berkenaan di seluruh negara.

Pada ketika ini, sembang dan cakap-cakap mengenai bola boleh didengar dan dibaca di mana-mana saja. Tidak cukup di tempat kerja, di kedai-kedai kopi, malah di laman- laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Euro 2012 meredakan dan menenggelamkan sedikit cerita-cerita dan ‘perang komen’ mengenai isu-isu politik tanah air di laman-laman sosial. Kini mereka bertindak sebagai pengulas sukan pula.

Jika sebelum ini mereka asyik mengutuk atau mengata parti politik itu atau ini semuanya tidak betul, tidak habis-habis temberang atau auta, kini mereka bersatu menyokong pasukan bola sepak pujaan mereka.

Begitulah bola sepak yang merupakan sukan nombor satu di kebanyakan negara di dunia, dapat menyatukan semua rakyat, tidak mengira bangsa, kaum, agama dan fahaman politik. Semangat seperti ini memang amat baik sekali. Dan kalaulah ia dapat dikekalkan dalam apa jua keadaan, alangkah baik dan amannya Malaysia ini.

Sudah pastinya dalam tempoh hampir tiga minggu inilah ‘kaki-kaki bola’ ini akan bersengkang mata untuk menyaksikan perlawanan pasukan pilihan mereka yang kebanyakannya berlangsung pada awal pagi. Restoran-restoran mamak pula sesak yang luar biasa, memang meriah sungguh.

Pun begitu dalam suasana full house itu hakikatnya, tauke-tauke restoran mamak ini tidaklah seuntung mana. Restoran memang penuh, yang tak penuh adalah peti duitnya.

‘‘Mana ada untung, tak adalah. Duduk lama, berjam-jam tapi minum satu atau dua gelas air sahaja, pelanggan lain yang mahu makan pun tak ada tempat duduk, lari tempat lain," itu kata seorang pekerja di Restoran Pelita, Seksyen 9, Shah Alam kepada saya semasa saya menonton perlawanan pembukaan Euro 2012 antara Poland dan Greece bersama beberapa orang kawan di situ.

Berbalik kepada bersengkang mata menonton perlawanan bola sepak, sudah tentunya pada sebelah siangnya kaki-kaki bola ini merasa mengantuk dan letih. Tumpuan terhadap kerja atau urusan-urusan penting yang lainnya boleh terganggu.

Kita sudah biasa mendengar apabila tiba sahaja demam bola, tidak kira Piala Dunia atau kejohanan liga Inggeris, ramai yang ponteng bekerja dengan mengambil sijil sakit (MC) atau saja ‘mereka-reka’ cerita cemas untuk mendapatkan cuti kecemasan. Datang ke pejabat pun dengan muka yang layu dan mata yang kuyu. Tidak kurang juga yang hilang, tidur di mana-mana. Ini sudah tentu menjejaskan produktiviti kerja.

Jadi tidak hairanlah apabila Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) baru-baru ini mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan kejatuhan produktiviti pekerja sepanjang kejohanan Euro 2012 ini.

Berdasarkan siri-siri demam bola yang lalu, majikan perlu bersedia untuk menghadapi dan menangani masalah ponteng kerja atau cuti sakit pada tempoh kejohanan sukan yang berprestij ini.

Penyakit ponteng ini juga tidak terkecuali kepada pelajar-pelajar sekolah menengah dan institut pengajian tinggi. Golongan ini juga, liat untuk ke kelas dengan mencipta macam- macam alasan setelah berjaga sampai ke pagi menonton bola.

Jadi kepada pelajar sekolah, menjadi tanggungjawab ibu bapa masing-masing untuk memastikan anak mereka ke sekolah terutamanya yang bakal menghadapi peperiksaan utama iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang hanya tinggal beberapa bulan lagi, supaya mereka tidak ketinggalan pelajaran yang diajar di kelas.

Yang tidak sedapnya, apabila tiba musim bola, timbul semula aktiviti perjudian secara online.

Polis memberitahu, biarpun pernah ditangkap dan dikenakan tindakan tegas kerana mendalangi sindiket perjudian bola sepak semasa kejohanan Piala Dunia dua tahun lalu, namun ramai bookie yang sama tidak serik untuk menjadi penaja aktiviti haram itu pada Euro 2012.

Bukan setakat judi besar-besaran, ada juga yang bertaruh sesama rakan-rakan di tempat kerja dalam perlawanan kejohanan ini. Ini kerja salah. Bukan sahaja salah di sisi undang-undang tetapi agama.

Jadi kepada peminat-peminat bola sepak, bola, bola juga! Kerja tetap kerja. Dan jangan menjadikan kejohanan Euro ini, kononnya untuk mendapat duit lebih, tapi akhirnya kocek hanya tinggal habuk, dek kerana kalah berjudi.


Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Mahasiswa Melayu leka dalam zon selesa



Ditimpa penyakit rasa bagus
Oleh Ruhaiza Rusmin (ruhaizarusmin@hmetro.com.my)

KISAH mahasiswa Melayu yang sering dikategori kelas kedua bukan isu baru malah menimbulkan pelbagai polemik di kalangan masyarakat.

Malah, senarai panjang mahasiswa Melayu yang hanya mampu mendapat keputusan sederhana menyebabkan masyarakat tiada pilihan selain memberi tanggapan serupa.

Mendominasi sebahagian besar tempat di menara gading, kecemerlangan mahasiswa Melayu masih boleh dibilang jari hingga menimbulkan persoalan, mengapa mereka sukar mencipta kejayaan membanggakan?

Apa bezanya antara mahasiswa Melayu dan bangsa asing, sedangkan mereka belajar di kampus yang sama?

Pengarah Pusat Akreditasi Pembelajaran Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Khaidzir Ismail, berkata soal tidak pandai bukan pokok persoalan namun bagaimana mentransformasikan minda mereka supaya keluar dari zon selesa.

Beliau berkata, pengukuhan terhadap zon itu menyebabkan minda mahasiswa Melayu tidak mampu menjana informasi lain menyebabkan mereka mudah tergelincir daripada matlamat asal di menara gading.

“Sebahagian besar mahasiswa kita berada dalam zon selesa. Mereka kumpulan majoriti yang menjadikan menara gading sebagai transit ilmu yang penuh kebebasan.

“Pentafsiran salah akhirnya akan memakan diri kerana kebebasan itu diolah dengan cara dan makna tidak tepat.

“Sepatutnya, menara gading tempat cabaran sebenar dan bakal menentukan mereka menjadi manusia berguna atau tidak,” katanya.

Sangat klise mengaitkan pencapaian mahasiswa Melayu di institusi pengajian tinggi negara namun itulah terpaksa ditelan apabila keputusan peperiksaan sebahagian besarnya hanya bertahap sederhana atau cukup makan.

Keputusan itu cukup mendukacitakan selain tidak setimpal keputusan cemerlang diperoleh dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Masyarakat akan mempertikaikan adakah universiti memang membuat pilihan calon yang betul mengikut kriteria?

“Mereka layakkah? Kalau ya, mengapa hasilnya menghampakan?” soalnya.

Enggan menafikan, beliau berkata kebanyakan mahasiswa Melayu mudah terleka dengan sogokan janji manis hingga mereka tersungkur.

“Pendirian mereka rapuh. Awalnya memang berkobar-kobar dan berjanji belajar bersungguh-sungguh.

“Namun, apabila khayal dengan sogokan tertentu, janji yang dipahat dulu hilang sekelip mata. Mahasiswa hari ini tampak cukup hebat fizikalnya namun rapuh dalaman menyebabkan mereka mudah ‘tumbang,” katanya.

Mereka pandai namun menyalurkan kepandaian itu pada tempat tidak sepatutnya.

“Definisi pandai sangat subjektif. Memperoleh keputusan semua A, memang bijak tapi adakah mereka juga pandai membawa diri?

“Pandaikah mereka bergaul dengan rakan lain, membahagikan masa atau menepis godaan yang datang?

“Minta maaf kerana pemerhatian saya mendapati kebanyakan kepandaian mereka disalurkan pada kegiatan kurang berfaedah,” katanya.

Katanya, mahasiswa Melayu perlu disedarkan bahawa tiada lagi jaminan menanti jika hanya mampu memperoleh keputusan sederhana.

“Dulu mungkin boleh tetapi kini keadaan sudah berubah. Masing-masing berusaha ‘memintas’ antara satu sama lain menjadikan peluang semakin mengecil.

“Tidak boleh lagi berangan-angan dan bersikap tunggu dan lihat. Alasan tertentu bagi menyedapkan hati juga sudah tidak berguna kerana yang penting bangkit mengejar peluang.

“Malangnya, sebahagian besar mereka masih terlena dan berpegang pada kepercayaan, mahasiswa Melayu ada jaminan dan keistimewaan. Ini silap,” katanya.

Beliau berharap mahasiswa mengikis sikap tinggi diri yang menjulang hanya kerana kejayaan pencapaian sebelumnya.

“Bukan menuduh tapi kebanyakan mahasiswa kita selalu ‘ditimpa’ penyakit perasaan bagus dan bangga diri hanya kerana diterima masuk universiti.

“Di universiti, mereka belajar secara tidak konsisten, pasif, malu bertanya, melaksanakan tugasan di saat akhir serta sentiasa mengharapkan bantuan pensyarah.

“Asalkan mampu menamatkan pengajian, itu sudah memadai. Budaya yang perlu dikikis daripada minda mahasiswa Melayu,” katanya.

Begitupun, beliau tetap optimis, mahasiswa Melayu boleh cemerlang sekali gus menutup mulut masyarakat yang memperlekehkan pencapaian mereka,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU BAHASA : Kerajaan harus teliti penggunaan bahasa Malaysia di mahkamah



KUALA LUMPUR : Kerajaan harus meneliti penggunaan bahasa Malaysia di mahkamah kerana penggunaan bahasa bercampur aduk dalam sistem perundangan negara menyebabkan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan, tidak dihormati.

Berhujah mengenainya, Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron berkata, pihak terbabit dalam sistem perundangan di mahkamah dikesan menggunakan bahasa Malaysia yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, sekali gus menyebabkan fungsi berkenaan seolah-olah tidak dihormati.

Katanya, ada pengamal undang-undang tidak memahami perkataan dalam bahasa Malaysia, sebaliknya lebih memahami perkataan dalam bahasa Inggeris.

“Lebih menyedihkan, ada perkataan bahasa Inggeris ‘diMelayukan’ tanpa mematuhi sistem mengadaptasi bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia yang ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), katanya.

Keadaan itu menyebabkan pengamal undang-undang tidak mampu menggunakan bahasa dengan betul, sama ada bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris.

“Ini macam teratai. Pucuk tidak sampai ke langit, akar tidak sampai ke dasar,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Akta Kerjaya Undang-undang 1976 (Pindaan 2012) pada sidang Dewan Rakyat, di sini semalam.

Rang undang-undang itu dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew, kelmarin.

Idris yang mengakui tidak mempunyai pendidikan dalam bidang perundangan kerana beliau adalah seorang jurutera, berkata kerajaan melaksanakan kempen menggunakan bahasa Malaysia di mahkamah pada 1980-an tetapi sekarang keadaan itu seolah-oleh tidak wujud lagi.

“Di mana kesudahannya? Oleh itu, saya mencadangkan supaya perkara ini diteliti semula,” katanya.

Beliau berkata, peguam di Sabah dan Sarawak harus dibenarkan menjadi ahli Majlis Peguam dan begitu juga sebaliknya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 12 Jun 2012

ISU SUKAN : Perlawanan persahabatan: Rekod tanpa kalah Singapura lebur


MOHD ZULFADLI SHARIFUDIN

SKUAD Harimau Malaya akhirnya mempamerkan taring sebenar apabila meleburkan rekod tanpa kalah selama lapan tahun apabila menewaskan Singapura 2-0 pada aksi perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Harimau Malaya yang beraksi di hadapan 25,000  penyokong mempamerkan aksi mantap namun beberapa percubaan mereka gagal menembusi sasaran.

Penyerang Negeri Sembilan yang sedang meningkat naik, Ahmad Shakir Ali berjaya memecah kebuntuan dengan menanduk masuk bola hantaran Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-18.

Malaysia dilihat banyak mendominasi babak pertama perlawanan dan melancarkan serangan berbahaya ke gawang Singapura.

Serangan skuad Singapura pula berjaya dipatahkan oleh gandingan pertahanan, Aidil Zafuan dan Amiridzwan Taj Tajudin serta ketangkasan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Pada aksi babak kedua, Harimau Malaya mempamerkan aksi yang serupa untuk menambah gol.

Jentera tengah yang diketuai Safiq Rahim juga banyak mendominasi berbanding Singapura.

Malaysia banyak membuat serangan melalui pemain sayap.

Gerakan menarik menerusi pemain sayap, S. Kunalan dan Azamuddin Akil juga berjaya mengucar-kacirkan benteng Singapura.

Kapten pasukan, Safiq Rahim berjaya menambah gol kedua pasukan selepas membuat sepakan percuma cantik menewaskan penjaga gol, Hyrulnizam Juma'at pada minit ke-61.

Selang empat minit kemudian, penyerang sensasi, Safee Sali dibawa masuk untuk menguatkan lagi jentera serangan dengan menggantikan penjaring gol pertama, Shakir Ali.

Pada minit ke-67, insiden kekasaran berlaku apabila pemain Singapura, Mustafic Fahrudin dilayangkan kad merah selepas mengasari Norshahrul Idlan.

Malaysia mengawal tempo permainan dengan baik sehingga tambahan masa empat minit pada waktu kecederaan dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Pada pertemuan di Stadium Jalan Besar Jumaat lalu, pasukan Harimau Malaya mencatat keputusan seri 2-2, walaupun berjaya mendahului dengan kelebihan dua gol.

Sebelum ini, Malaysia tewas di tangan Singapura menerusi agregat 4-2 pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 Julai lepas.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menang ialah pada 12 Julai 2004, ketika itu dikendalikan oleh Allan Harris. Skuad Harimau menang 2-0 pada perlawanan persahabatan.


Senarai kesebelasan utama:

Malaysia:

22. Khairul Fahmi Che Mat
5. Bunyamin Omar
7. Aidil Zafuan
11. Amiridzawan Taj Tajudin
27. Fadhli Shas
15. K.Gurusamy
8. Safiq Rahim (k)
6. Azamuddin Akil
16. S.Kunalan
20. Shakir Ali
9. Norshahrul Idlan Talaha

Jurulatih : Datuk K.Rajagobal


Singapura:

18. Hyrulnizam Juma'at
4. Isa Abdul Halim
5. Baihakki Khaizan (k)
15. Mustafic Fahrudin
13. Raihan Rahman
8. Shahdan Sulaiman
19. Irwan Shah Arismail
16. Bennett Daniel Mark
10. Firdaus Kasman
25. Qiu Li
9. Alexander Duric

Jurulatih : Radojko Avramovic

Sumber : http : //www.soinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Ibu tidak pernah jemu 'menuai' kasih


Oleh Imam Muda Hizbur Rahman
bhagama@bharian.com.my

Laksana amanah didik anak sejak dalam kandungan hingga dewasa

WAHAI anakku, jauh sebelum dirimu hadir dalam kehidupan ayah dan ibu, kami sentiasa bermohon kepada Allah SWT supaya dikurniakan keturunan yang soleh dan solehah, taat kepada Allah, berbakti kepada orang tua, rajin beribadah, belajar, serta dapat menjadi penerus dakwah Islam.

Banyak rencana yang kami rancang supaya kelak bila kau hadir, kami sudah siap menjadi orang tua yang baik dan mampu mendidikmu dengan didikan sesuai agama Islam, tuntunan kita seperti dicontohkan Rasulullah SAW kepada kita.

Ayah dan ibu ingin kelak apabila Allah mengamanahkan kepada kami seorang puteri, maka dia akan berakhlak seperti akhlak Fatimah, puteri Rasulullah SAW, dan apabila Allah mengamanahkan seorang putera, maka dia akan seperti Saidina Ali.

Setelah tanda kehadiranmu mulai jelas, ibu sering mual, muntah-muntah, sakit kepala dan mahu pengsan. Ibu dan ayah bersyukur kepada Allah atas kurniaan-Nya, kami menjagamu sepenuh hati, serta sentiasa berharap, kelak dirimu lahir sebagai anak yang sihat, sempurna dan menyenangkan.

Sejak dalam rahim, kami cuba menanamkan kalimat tauhid kepadamu dan berupaya mengenalkanmu kepada Sang Pencipta, dengan bacaan ayat suci-Nya, senandung selawat Nabi, nasyid membangkitkan semangat dakwah dan rasa keimanan kepada Allah yang Esa.

Saat kau akan lahir, ibu merasakan sakit amat sangat, seolah-olah berada antara hidup dan mati, namun ibu tidak mengeluh dan putus asa, kerana bayangan kehadiranmu, lebih ibu rindukan dibanding sakit yang dirasakan.

Ibu tak henti-henti berdoa, memohon ampunan dan kekuatan kepada Allah. Ayah pun tidak tidur beberapa malam untuk memastikan kehadiranmu, menemani dan menguatkan ibu, supaya sanggup melahirkanmu dengan sempurna. Bacaan zikir dan istighfar, mengiringi kelahiranmu.

Begitu kau lahir, rasa sakit dilupakan begitu saja. Setelah tangismu terdengar, seolah kebahagiaan hari itu hanya milik ibu dan ayah. Air mata yang tadinya hampir tak henti mengalir kerana menahan sakit, berganti menjadi senyum bahagia menyambut kelahiranmu.

Ibu dan ayah bersyukur kepada Allah SWT, kemudian ayah melantunkan bacaan azan dan iqamah di telingamu, supaya kalimat pertama kau dengar adalah kalimat tauhid yang harus dirimu yakini dan taati selama hidupmu.

Ibu berasakan kebahagiaan menyusukanmu, memastikan anaknya tidak lapar dan membesar sihat. Ibu selalu bersedia memberikan air syurga kurniaan Ilahi kepadamu.

Ibu berusaha menjagamu walau dalam keadaan apapun. Saat malam sedang tidur lelap, ibu akan terjaga bila kau tiba-tiba menangis kerana lampinmu basah atau lapar. Saat sedang makan dan dikau buang air besar, ibu dengan rela menghentikan makan dan mengganti pakaianmu dulu. Semuanya ibu lakukan dengan senang hati, tanpa rasa susah dan jijik.

Sejak dirimu masih dalam buaian, ibu membacakan doa dalam setiap kegiatan kau lakukan. Ibu bacakan doa hendak makan ketika dikau hendak makan, doa hendak tidur ketika dirimu hendak tidur, dan doa apa saja yang harus dikau tahu serta amalkan dalam kehidupan seharianmu.

Ibu bacakan selalu ayat Kursi dan surah pendek satu persatu setiap malam, di kala menghantarmu tidur, ayat demi ayat dan ibu ulang berkali-kali hingga dirimu dapat mengingatinya dengan baik, dengan harapan dirimu besar nanti menjadi penghafaz al-Quran.

Ketika dikau sudah mampu berbicara, Subhanallah, tanpa kami duga dirimu telah menghafal pelbagai macam doa dan beberapa surah pendek. Ibu bersyukur dan bangga kepadamu. Muncul harapan dalam hati ini, kelak dikau tumbuh menjadi anak yang pintar dan rajin belajar.

Tatkala dirimu mulai belajar solat, walau dengan bacaan yang masih belum sempurna, bercucuran air mata ibu kerana kau telah mampu melafazkan doa itu.

Timbul harapan di hati yang paling dalam, kelak hingga ketika ibu dan ayah tiada, dikau tetap melantunkan doa itu, kerana doamu akan memberikan kepada ibu dan ayah pahala tak henti-henti di hari akhirat. Kaulah aset masa depan bagi ibu dan ayah.

Saat dikau memasuki usia sekolah, kami carikan sekolah yang baik untukmu. Sekolah yang memiliki visi pendidikan seperti yang ibu dan ayah inginkan. Alhamdulillah, saat dirimu mulai bersekolah, telah banyak didirikan sekolah Islam.

Apabila ibu dan ayah tidak mahu melayanimu untuk hal yang sudah dapat dirimu lakukan sendiri, itu bukan bererti kami tidak menyayangimu. Ibu dan ayah sayang sekali padamu, dikau tidak boleh terlalu dimanjakan hingga saat dirimu besar nanti, dikau jadi anak yang berdikari dan serba boleh.

Maafkan ibu dan ayah apabila sesekali atau sering memarahimu ketika dikau membuat kesalahan yang berulang. Sebenarnya ibu dan ayah tidak ingin memarahimu, namun kami sedar dikau perlu tahu dan dapat membezakan mana yang benar, mana yang salah.

Inilah harapan ibu dan ayah kepadamu, sangat banyak dan sangat ideal. Oleh kerana itu, kami sentiasa memohon petunjuk dan bimbingan dari Allah Yang Esa, yang Berkuasa dan Maha Agung, supaya tidak salah langkah dalam mendidikmu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Perokok belanja hampir RM 180 sebulan beli rokok


PETALING JAYA - Secara purata, seorang perokok di Malaysia membelanjakan  hampir RM180 sebulan, demikian menurut kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2011.

Penemuan kajian yang melibatkan 4,250 responden dewasa berumur 15 tahun dan ke atas itu didedahkan pada Persidangan GATS Malaysia 2011 di sini hari ini.

"Secara purata, seorang perokok membelanjakan sebanyak RM178.80 sebulan hanya untuk membeli rokok yang dikilangkan," kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hassan Abdul Rahman selepas merasmikan persidangan itu.

Beliau berkata kajian itu juga menunjukkan sebanyak 45.8 peratus perokok terfikir untuk berhenti disebabkan amaran kesihatan bergambar.

"Kesedaran itu timbul disebabkan 87.1 peratus perokok sedar tentang maklumat mengenai antimerokok di televiyen atau radio," katanya.

Dr Hassan berkata berdasarkan kajian itu, 92.2 peratus responden percaya merokok boleh menyebabkan penyakit serius manakala 85.8 peratus responden pula percaya menghidu asap rokok orang lain akan menyebabkan penyakit serius.

Beliau berkata kajian itu juga menunjukkan responden menyokong peningkatan cukai produk tembakau serta kesedaran mereka tentang larangan merokok di restoran.

"Sebanyak 70.6 peratus responden menyokong peningkatan cukai ke atas produk tembakau manakala 83.5 peratus responden pula percaya aktiviti merokok perlu dilarang di dalam restoran," katanya.

Kajian GATS 2011 itu melibatkan kerjasama antara Kementerian Kesihatan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Atlanta, AS.

Dr Hassan berkata hasil kajian GATS Malaysia 2011 akan menjadi sumber utama dalam menyediakan Pelan Tindakan Kawalan Tembakau Negara pada masa depan. - Bernama