Khamis, 1 November 2012

ISU SOSIAL : Wujudkan dunia selamat untuk kanak-kanak


Oleh : Mohamed Maliki Mohamad Rapiee
 
Pada 1952, Kesatuan Kebajikan Kanak-Kanak Antarabangsa membawa satu usul penting ke Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu yang mendesak agar setiap negara anggota badan dunia itu mengiktiraf Hari Kanak-Kanak Sedunia sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib serta kebajikan kanak-kanak seluruh dunia.

Akhirnya mulai 1953, setiap negara anggota PBB menjadikan hari Sabtu terakhir Oktober pada setiap tahun sebagai Hari Kanak-Kanak peringkat kebangsaan di negara masing-masing.

Ketetapan ini satu langkah penting warga dunia untuk mengambil peduli terhadap nasib kanak-kanak sejagat yang sewaktu itu menjadi mangsa keadaan dunia yang baru menamatkan Perang Dunia Kedua. Sejak tarikh itu banyak usaha dilakukan agar tahap kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa meningkat dari setahun ke setahun.

Namun, usaha mewujudkan dunia yang selamat dan sejahtera kepada kanak-kanak bukan suatu usaha mudah yang mampu dijayakan segelintir individu atau kumpulan atau juga sebuah negara.

UNICEF atau United Nation Children’s Fund iaitu organisasi di bawah PBB yang bertanggungjawab mengawal selia isu pembangunan, pemeliharaan dan pembelaan kanak-kanak seluruh dunia menyatakan bahawa tahap kesihatan dan kesinambungan kehidupan kanak-kanak terletak di tengah kemajuan manusia. Ini bermakna, maju mundur golongan kanak-kanak ada kaitan langsung dengan cara pemikiran, keputusan serta tindakan golongan dewasa. Walaupun kesedaran mengenai perlunya membela nasib kanak-kanak telah muncul sejak awal 1946, namun ia masih gagal menghalang ancaman terhadap golongan yang lemah ini.

40,000 mati setiap tahun

Pada 1986, UNICEF menyatakan ada 40,000 kanak-kanak yang mati pada setiap tahun. Maknanya, sejumlah besar kanak-kanak yang sepatutnya menyambung kehidupan generasi masa depan lenyap sekelip mata akibat kejadian kebuluran, kekurangan zat makanan, serangan penyakit, dan konflik peperangan akibat perbezaan ideologi dan perseteruan kaum.

Kini, walaupun UNICEF kelihatan begitu serius untuk memastikan pembangunan manusia khasnya kanak-kanak dapat dipertahankan untuk jangka masa panjang namun ia masih gagal menyekat kejadian peperangan dan konflik terbaru sehingga menyebabkan kematian kebuluran dan kematian kanak-kanak berterusan.

Dalam situasi kemelesetan ekonomi kini, dikhabarkan ada satu bilion umat manusia yang jatuh miskin dan sudah pasti kanak-kanak juga menjadi mangsa yang terburuk. Hakikatnya, dalam dunia peperangan dan kelaparan ketika setiap orang mengejar waktu untuk hidup, maka kanak-kanak sering terkebelakang dari segi keutamaan atau hak.

Kanak-kanak dipaksa menggalas senjata

Malah lebih buruk lagi, bukti menunjukkan terdapat kanak-kanak yang dipaksa menggalas senjata untuk menjadi pembunuh atas kepercayaan untuk mempertahankan maruah dan kepentingan.

Sesetengah pemimpin dan orang berpengaruh di rantau yang bergolak menipu kanak-kanak dengan menghulur sebuku roti yang berlapikkan pisau di tangan kanan dan memaksa kanak-kanak ini pergi ke ‘medan perang’ atas nama perjuangan, sedangkan di tangan kirinya telah terhunus sepucuk pistol yang akan memecahkan kepala kanak-kanak ini sekiranya mereka enggan menurut perintah.

Kanak-kanak ini membesar dengan kepercayaan palsu bahawa mereka adalah pejuang tulen yang sama taraf seperti watak ‘Rambo’ dalam paparan perang Amerika melawan Vietnam. Istilah kemanusiaan, kasih sayang, simpati dan kesakitan dalam diri kanak-kanak malang ini amat jauh sekali maknanya dengan piagam PBB terhadap kanak-kanak seperti yang dipersetujui oleh keseluruhan negara anggotanya.

Kanak-kanak di Malaysia lebih baik

Suasana dan persekitaran yang wujud untuk kanak-kanak di Malaysia pastinya jauh lebih baik berbanding paparan yang dinyatakan di atas. Sebahagian besar kanak-kanak di Malaysia dilahirkan dalam suasana yang menggembirakan. Kekuatan institusi sosial yang berasaskan nilai kekeluargaan dan ditambah lagi dengan sokongan prasarana kesihatan yang baik menjadikan kelahiran bayi yang selamat serta sihat amat tinggi di negara ini.

Namun, kita tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian yang ada ini. Memahami bahawa negara masih menghadapi cabaran pembangunan yang masih belum sekata dengan pelbagai aspek perbezaan sosioekonomi serta demografi, maka adalah penting buat kita semua menjadikan aspek pemeliharaan, perlindungan serta pemulihan kanak-kanak sebagai keutamaan kita. Perlu lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diwujudkan untuk memantau dan memperjuangkan isu ini pada setiap sudut kehidupan.

Masih ramai kanak-kanak yang yang terpaksa berpisah dengan induk keluarga atas masalah yang ditimbulkan oleh orang dewasa. Perceraian ibu bapa sering menjadikan kanak-kanak mangsa keadaan yang menjejaskan keseluruhan kualiti hidup. Masih ramai kanak-kanak (khasnya anak-anak yatim) kita yang terkeliru di antara paksaan untuk mencari dana pengajian agama di madrasah dengan makna tanggungjawab memenuhi tuntutan sebagai penganut yang taat.

Amatlah malang seorang anak yatim yang ditetapkan haknya sebagai asnaf sepatutnya dilindungi umat Islam terpaksa menghabiskan sebahagian usia remaja dengan menjadi peminta sedekah.

Penulis ialah ialah Presiden Majlis Belia Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 31 Oktober 2012

JADILAH SEORANG LELAKI


Jadilah seorang lelaki beriman, yang mengerti erti taqwa dan menghayati kehidupan beragama ini. Kelak dalam hidupmu menggarap ilmu daripada setiap taman-taman Syurga lalu meraih makrifah.

Jadilah seorang lelaki yang bertaqwa lalu meniti kehidupan dengan hati yang berpaut kepada Allah. Tegar solatlah sekhusyuknya di sejadah cintamu sebagai hamba

Jadilah seorang lelaki yang sopan berakhlak, penyayang dan pemurah kerana kau dijadikan Allah untuk memberi kudrat dan jiwamu untuk berkorban. Pancarkan maruahmu dengan amal yang mampu diteladani.

Jadilah seorang lelaki yang santun kepada orang tuamu, seorang lelaki yang teguh menyayangi anak isteri dan saudara-saudaramu. Mereka mengagumimu sebagai pahlawan dengan pembawaan muliamu itu.

Jadilah seorang lelaki yang memegang al-Quran di tangan kanan dan sunnah di tangan kirimu, menggenggam Islam tanpa tiris dan bocor dan menggigit iman sekukuhnya di gerahammu. Kautitilah jalan-jalan perjuangan dengan ketabahan hati sekental hati Nabi s.a.w.

Jadilah seorang lelaki yang berani berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.

HASANUDDIN MD ISA

Institut Aminudin Baki
Sri Layang

25.9.2012

ISU BAHASA : Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 fokus sektor pendidikan


KUALA LUMPUR 31 Okt. - Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2012 yang memberi fokus kepada sektor pendidikan dilihat mampu memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran 1, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, proses memartabatkan bahasa Melayu menjadi lebih mudah dengan menggunakan pendidikan sebagai pendekatan dan bukan secara paksaan.

Tambah beliau, program berkenaan dapat memupuk rasa cinta akan bahasa kebangsaan di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingannya.

"Sambutan ini juga dapat memantapkan lagi jati diri dan citra kita sebagai bangsa Malaysia.

"Kita perlu sedar bahawa penggunaan bahasa kebangsaan oleh pelbagai kaum mampu mengeratkan perpaduan bangsa dan menyemarakkan peranan bahasa sebagai tonggak pembinaan negara," katanya ketika melancarkan program berkenaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Way hari ini.

BBK 2012 bertemakan "1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara". - UTUSAN

ISU BAHASA : Martabatkah bahasa Melayu?


MARTABATKANLAH bahasa kita. Bahasa adalah perpaduan. Bahasa adalah penyatuan. Di negara yang mempunyai masyarakat majmuk, bahasa memainkan peranan yang amat penting.

Dengan menggunakan bahasa yang sama barulah dapat kita memahami hati budi, saling kenal mengenali antara satu sama lain dan seterusnya akan timbul perasaan saling hormat menghormati.

Dengan itu juga akan terputik rasa kasih sayang yang dari sini akan terjalinlah hubungan baik lagi akrab.

Justeru penyatuan yang padu di kalangan masyarakat akan wujud. Masyarakat akan bersatu dalam apa-apa jua yang melibatkan kepentingan bersama apatah lagi kepentingan negara. Ini satu nilai murni yang amat penting.

Nilai murni yang harus dipupuk dan terus dibaja agar sentiasa segar kerana jika tidak ia akan perlahan-lahan hilang. Oleh itu hal yang kelihatannya begitu kecil mempunyai erti yang sangat besar dan mendalam. Jangan kita pandang sebelah mata kerana impaknya adalah besar.

Masyarakat bersatu padu dan mempunyai sifat kenegaraan yang tinggi, itulah masyarakat yang negara kita amat perlukan. Inilah yang dikatakan 1Negara, 1Bangsa. Bangsa Malaysia. Bangsa yang mempunyai sifat kenegaraan yang sangat kuat. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Oleh itu penggunaan bahasa Melayu haruslah meluas dan meliputi segala aspek kehidupan. Walaupun bukan mudah tetapi mesti dilakukan.

Penggunaan bahasa Melayu ini di semua jabatan kerajaan misalnya memang harus diteruskan dan ditingkatkan. Apa yang penting di sini jangan dibiarkan bahasa Melayu itu dianaktirikan.

Satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian adalah kita harus menghormati bahasa itu sendiri dengan penggunaan perkataan dan tatabahasa yang tepat dan betul walau di mana jua.

Sebagai contoh, papan-papan tanda yang ada di serata kawasan, haruslah dipantau.

Penguatkuasaan daripada pihak kerajaan tempatan adalah amat penting dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga atau mengambil sikap acuh tak acuh. Penggunaan bahasanya haruslah betul dan ejaannya mestilah tepat.

DR. DAHLIA DAHNIL
Bandar Baru Selayang

Selasa, 30 Oktober 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Gagasan pendidikan tinggi percuma nasional


Oleh : ABDUL HADI JUSOH & HASHIM AHMAD SHIYUTI

PENDIDIKAN diiktiraf sebagai sesuatu yang amat signifikan dalam Islam yang akan mencorak seluruh perjalanan kehidupan insan di dunia ini. Juga, yang akan menentukan nasib dan tahap pencapaian mereka di akhirat kelak, sama ada berakhir dengan kesudahan yang baik ataupun sebaliknya. Sebab itulah, permulaan intipati wahyu yang pertama yang diturunkan di Gua Hira’ kepada penyudah (khatimu) Nabi dan Rasul, Muhammad SAW bermula dengan terma ‘iqra’ yang membawa maksud ‘bacalah’.

Lantaran itu, ruang dan manafaat pendidikan baik di peringkat rendah, menengah dan tinggi tidak wajar hanya terbatas kepada kelompok-kelompok tertentu semata-mata, atas faktor kekangan kewangan yang ada. Apatah lagi dengan menjadikan ianya sebagai orientasi keuntungan yang sewajarnya perlu diminimakan dengan sebaiknya. Dalam hal ini, kerajaan sebagai pemegang amanah rakyat, perlu menggalasnya sebagai tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan telus.

Wajarnya, adalah mustahil untuk meyediakan ruang dan manfaat pendidikan secara percuma dengan hanya pelaksanaan ataupun penghapusan mekanisme dan sistem yang sedia ada seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tanpa wujud satu gagasan dan pendekatan yang lebih inkulsif dan komprehensif agar tidak menimbulkan masalah yang lebih besar dikemudian hari. Ibarat nukilan pepatah Melayu, "yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula keciciran."

Dengan ini, Daya Fikir telah mengambil inisiatif untuk merumuskan beberapa pendekatan yang dianggap wajar dilaksanakan, dan bukan setakat ‘cakap-cakap politik’ yang sekadar ingin meraih sokongan semata-mata, khususnya ketika musim pilihanraya yang semakin hampir. Hasratnya agar ruang dan manafaat pendidikan peringkat tinggi dapat disediakan secara percuma sepenuhnya dan pada masa yang sama masih mengekalkan keupayaan kewangan serta tidak mengorbankan prestasi pelbagai pihak yang terlibat.

Pertama, Daya Fikir mencadangkan penubuhan Kumpulan Wang Simpanan Pendidikan Tinggi Negara (KWSPTN) yang akan berfungsi sebagai pemodal utama kepada keperluan kewangan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Untuk peringkat permulaan, pihak kerajaan perlu menyediakan sejumlah tertentu geran asas bagi lonjatan permulaan kepada usaha ini. Kemudian, meregulasi potongan pendidikan tinggi kepada setiap pekerja dan majikan awam dan swasta yang akan menjadi sumber kewangan utama kepada KWSPTN. Ini dapat dilakukan, dengan menetapkan kadar potongan tertentu yang mesti disumbangkan oleh setiap majikan dan pekerja. Dan, sumbangan ini mestilah menerima pengecualian cukai seratus peratus daripada kerajaan.

Hasil sumbangan daripada potongan yang diterima oleh KWSPTN akan dilaburkan semula ke dalam pelbagai portfolio pelaburan yang dikawal selia secara telus oleh jawatankuasa yang dianggotai oleh pakar-pakar yang berkaitan yang dilantik oleh pihak kerajaan. Pulangan keuntungan yang diperolehi akan digunakan sepenuhnya untuk menampung pelbagai kos diperingkat institusi pendidikan tinggi seperti yuran pelajar, gaji pensyarah dan pentadbir, fasiliti dan sebagainya. Manakala, pulangan dalam bentuk dividen diagihkan semula secara tahunan kepada pekerja dengan pengkhususan untuk tujuan pendidikan rendah dan menengah semata-mata. Di akhir umur persaraan, bagi pekerja yang tidak mempunyai anak yang berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi diberikan dua pilihan samada untuk mengeluarkan sepenuhnya jumlah sumbangan pokoknya ataupun menukarkan statusnya kepada waqf atau derma.

Kedua, selain daripada sumbangan wajib oleh rakyat Malaysia, terdapat juga beberapa dana lain yang disumbangkan oleh badan korporat, institusi berwajib, kerajaan dan juga individu-individu yang dibuat secara sukarela. Dana-dana ini boleh dikumpulkan di bawah satu ‘pool of fund’  yang dikenali sebagai  dana ‘waqf’. Bagi tujuan perkembangan dan pemantapan pengurusan dana ini, Daya Fikir mencadangankan ianya dibuat berdasarkan konsep Waqf Korporat. Waqf korporat khusus bagi pendidikan boleh diperkenalkan sebagai sokongan penting di dalam menjayakan perancangan pendidikan percuma. Waqf korporat yang dimaksudkan ini akan berfungsi sebagai salah satu punca suntikan kewangan yang diperlukan. Sumber kewangan ini dipercayai dapat melancarkan proses pendidikan yang mana pada kebiasannya ia akan menjadi halangan dan keterbatasan.

Dalam institusi waqf, pemilikan harta telah diserahkan kembali kepada ALLAh SWT manakala urusan pengendalian harta tersebut diserahkan kepada ‘pemegang amanah’ di mana mereka adalah bertanggungjawab di dalam mentadbir urus harta yang diwaqafkan berdasarkan peruntukan yang telah disediakan oleh agama dan juga orang yang mewaqafkan harta tersebut. Pemegang amanah adalah bertanggungjawab untuk memastikan kesinambungan harta yang diwakafkan dan adalah lebih baik sekiranya harta tersebut dapat dikembangkan dan menghasilkan lebih banyak perolehan. Justeru itu, Daya Fikir mencadangkan agar perlaksanaan waqf korporat perlu diperkasakan terutama di dalam melengkapkan dan menjayakan sistem pendidikan percuma.

Pelaksanaan waqf korporat secara profesional yang diuruskan berdasarkan tata-urus korporat yang cemerlang dijangka dapat menghasilkan perolehan yang lumayan. Waqf korporat ini adalah selari dengan tanggungjawab pemegang amanah untuk memastikan kesinambungan dan kesuburan harta waqf yang mana ianya dapat memanjangkan dan meluaskan manfaah harta tersebut. Memandangkan mereka yang memiliki kepentingan di dalam harta waqf adalah terdiri daripada penerima manfaah, lantas perolehan tersebut adalah dikhususkan untuk mereka. Justeru itu, dengan berkembangnya harta waqf dengan jumlah yang besar dijangka dapat menampung keperluan kewangan institusi pendidikan secara khususnya dan sistem pendidikan secara keseluruhannya.

Satu waqf khas pendidikan dicadangkan untuk diwujudkan. Ini bagi memastikan manfaah waqf dapat disalurkan untuk tujuan yang dimaksudkan. Kaedah pengwujudan waqf khas ini boleh dilaksanakan dengan dua cara iaitu pertama pengwujudan waqf yang baru dan kedua dengan menggunakan kaedah 'istibdal' atau penukaran ke atas harta-harta waqf sedia ada (terutama harta-harta waqf yang terbiar) kepada harta yang baru (yang aktif dan sesuai untuk dikorporatkan. Transformasi waqf baru ini dijangka dapat meligatkan lagi pusingan harta dan menggalakkan lagi peningkatan keluaran dalam negara kasar.

Akhirnya, perolehan daripada aktiviti waqf korporat ini akan disalurkan kepada penerima faedah di mana di dalam kes ini adalah institusi pendidikan, guru-guru, pelajar-pelajar  dan perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan.

Ketiganya, pemerkasaan pengagihan zakat dibawah ‘asnaf fisabillah’ yang digunakan untuk membiyai yuran pengajian kepada pelajar cemerlang yang datang dari latar belakang yang amat memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan pengajian, walaupun ibubapa mereka tidak membuat potongan dalam KSWPTN. Untuk mengelakkan pertindihan kewangan, potongan KSWPTN lebihan dikembalikan semula kepada penyumbang atau mereka diberi pilihan untuk menukar statusnya kepada waqf ataupun derma.

Keempat, peranan dan fungsi PTPTN mesti dikekalkan khusus untuk golongan pelajar yang kurang cemerlang yang tidak mendapat tempat di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), oleh sebab mereka terpaksa meneruskan pengajian di institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), yang secara umumnya kos pendidikan adalah lebih tinggi berbanding IPTA. Ini adalah wajar, sebagai stimulasi untuk pelajar meningkatkan dan mengekalkan kecemerlangan mereka, jika mahu menikmati pendidikan secara percuma sepenuhnya.

Untuk terus mengekalkan keberkesanan pencapaian dan produktiviti pihak-pihak yang terlibat dalam institusi pendidikan tinggi ini, Daya Fikir mencadangkan:

Pertama, penggabungan mana-mana IPTA/IPTS yang dilihat fungsi dan matlamatnya bertindih antara satu sama lain. Ini bertujuan untuk mengurangkan elemen kos pentadbiran dan pengurusan secara keseluruhan dan meningkatkan daya kualiti dan kecekapannya. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2010 secara keseluruhannya terdapat 21 buah IPTA, 23 buah IPTS yang bertaraf universiti, lim buah IPTS yang bertaraf universiti cawangan luar negara dan 21 IPTS yang bertaraf kolej universiti.

Kedua, kemasukan ke IPTA mestilah berdasarkan kepada sistem merit sepenuhnya dan mana-mana pelajar yang tidak mengekalkan pencapaian mereka perlu menukarkan statusnya ke IPTS dengan sebahagian kos mestilah ditanggung oleh mereka sendiri, dan sebahagian yang lain akan ditanggung oleh KWSPTN.

Ketiga, bayaran balik PTPTN mestilah berdasarkan nilai CGPA yang diperoleh setelah tamat pengajian dan setelah enam bulan berada di alam pekerjaan. Sungguhpun begitu, berdasarkan merit-merit khas yang lain seperti CGPA yang cemerlang dan sumbangan yang signifikan dari sudut sosial dan praktikal, pembayaran balik PTPTN boleh dibuat secara langsung dari dana KWSPTN bagi pihak peminjam PTPTN yang mana ianya perlu diperolehi dari ‘reserve’ keuntungan pelaburan dana KWSPTN tersebut. Cadangan ini dibuat bagi membolehkan mereka yang tidak mempunyai kecemerlangan pendidikan semasa peringkat menengah terus diberi peluang semasa di universiti atau kolej untuk mendapatkan pendidikan percuma.

Akhir sekali, Daya Fikir merumuskan bahawa perlaksanaan pendidikan tinggi secara percuma secara signifikannya memerlukan kerjasama dan pengorbanan daripada pelbagai pihak, iaitu rakyat dan kerajaan. Ia tidak semudah menuturkannya di bibir, tanpa ada perancangan dan perlaksanaan yang teliti dan telus.

Walau bagaimanapun, ia tidak mustahil untuk dilaksanakan, dan pada masa yang sama tidak menyebabkan bebanan kewangan khususnya kepada rakyat dan kerajaan. Ibarat kata pepatah Melayu, ‘ nak seribu daya, tak nak seribu dalih’.

* Abdul Hadi Jusoh dan Hashim Ahmad Shiyuti merupakan pengasas dan pengasas bersama Daya Fikir Solutions

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Cemerlang Tapi Sukar Dapat Kerja



Graduan perlu buka minda

Oleh Ruhaiza Rusmin

JIKA dulu graduan dengan keputusan cemerlang sering menjadi pilihan majikan, senario alaf baru menyaksikan graduan bertahap sederhana pula laku seperti goreng pisang panas.

Meskipun dengan keputusan cemerlang, bukan semua bernasib baik malah ada juga terpaksa berhempas pulas bersaing dengan ribuan graduan lain mencari pekerjaan.

Sebaliknya, mereka hanya memiliki sijil kemahiran serta kelayakan lebih rendah mudah pula memancing hati majikan hingga menimbulkan pertanyaan, apakah kecemerlangan graduan ini tidak bermakna.

Adakah senario ini isyarat bahawa keputusan cemerlang bukan lagi jaminan graduan itu tidak akan bergelar ‘penganggur terhormat’?

Atau adakah dunia pendidikan dan kerjaya hari ini sebulat suara tidak mementingkan lagi keputusan cemerlang sebagai syarat utama menawarkan pekerjaan sebaliknya perlu diseimbangkan dengan kehendak semasa?

Ketua Program Komunikasi dan Pengarah Kewartawanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Siti Suriani Othman, berkata trend majikan kini lebih mengkhusus kepada mereka yang berkemahiran serta memiliki personaliti positif menjadikan graduan biarpun mempunyai keputusan cemerlang sebagai pilihan kedua.

Beliau berkata, keputusan atau ijazah bukan lagi jaminan mereka mudah diterima bekerja andai kata tidak memiliki kriteria dikehendaki seperti pandai berkomunikasi, berani dan penuh idea.

“Jika memiliki ijazah dengan keputusan cemerlang, ia masih belum mencukupi untuk menambat hati majikan yang hari ini begitu selektif memilih pekerja.

“Dulu, golongan ini memang menjadi pilihan dan larisnya seperti goreng pisang panas. Kini, keadaan berbeza kerana dunia pekerjaan juga sudah semakin mencabar dan kompetitif.

“Majikan bukan lagi mencari seorang pekerja yang hanya tahu menurut perintah semata-mata namun lebih kepada mereka yang mempunyai jiwa perjuangan supaya sama-sama boleh memajukan syarikat,” katanya.

Justeru, tidak usah hairan jika graduan yang memiliki keputusan cemerlang sukar bersaing mendapatkan pekerjaan berbanding mereka yang hanya mempunyai kelayakan sederhana seperti sijil atau diploma.

“Sekeping ijazah dan keputusan cemerlang bukan lagi penanda aras graduan itu berkebolehan melaksanakan tugasan sebaliknya majikan mencari sesuatu yang ‘istimewa’.

“Contohnya, personaliti calon pekerja yang sentiasa optimis, pandai berkomunikasi dengan baik serta peka cabaran sekeliling. Dengan kata lain, bukan seperti robot yang diprogramkan.

“Diakui, bukan semua graduan cemerlang seperti itu tapi kebanyakan memang begitu kerana dunia mereka dihabiskan untuk pencapaian akademik tanpa mengimbangi dengan keperluan sosial dan kemahiran,” katanya.

Katanya, hari ini kita jarang mendengar kesukaran graduan diploma atau sijil memperoleh pekerjaan sedangkan lambakan graduan berijazah sentiasa berlaku.

“Hakikatnya, kita perlu melihat senario ini sebagai satu isyarat tegas dari dunia pekerjaan bahawa ada kriteria lain ditetapkan sebelum seseorang itu ditawarkan kerja. Dan, syarat itu perlu diikuti tanpa kompromi.

“Justeru, graduan perlu membuka minda supaya tidak lagi menganggap akademik sebagai nyawa kejayaan sebaliknya kemahiran lain juga asas pemilihan,” katanya.

Biarpun bukan semua graduan cemerlang berdepan risiko itu terutama daripada bidang kritikal, peningkatan jumlah graduan berijazah saban tahun dikhuatiri mampu menimbulkan masalah berpanjangan.

Berbanding graduan sijil atau diploma atau mereka yang berkelayakan sederhana namun aktif, peluang untuk meneroka pasaran kerjaya lebih luas hasil daripada kemahiran dimiliki.

Kemahiran itu, katanya, banyak membantu mereka merencanakan masa depan dengan baik dan menjadi bonus menampilkan keyakinan diri sekali gus menjadi aset menarik mata majikan.

“Sebab itu, di institusi sangat ditekankan pelbagai aktiviti yang lari daripada konsep akademik dan peperiksaan seperti khidmat komuniti dan kelab.

“Penubuhannya bukan sekadar suka-suka sebaliknya membantu mahasiswa meneroka potensi diri juga sebagai persediaan sebelum menempuh alam pekerjaan.

“Malangnya, bukan semua mahasiswa tahu kepentingan kemudahan itu sebaliknya menganggap buku dan peperiksaan lebih penting manakala kemahiran jatuh nombor dua,” katanya.

“Bukan kata tidak penting tapi perlu diselarikan dengan kemahiran sebab sekarang majikan memang mencari calon berkemahiran demi memenuhi tuntutan kerjaya globalisasi.

“Kemahiran adalah aset paling mahal bagi majikan hari ini dan sudah tentu mereka mengkehendaki dan akan menjaganya dengan baik,” katanya.

Ditanya mengapa tiada masalah bagi graduan sijil dan diploma, katanya, golongan terbabit memang sudah disediakan bagi tujuan pasaran pekerjaan.

“Sebab itu, permintaan keduanya lebih laris. Tapi tidak bermakna mereka juga tidak berdepan cabaran mencari pekerjaan tapi jarang mendengar mereka menganggur.

“Ubahlah stigma bahawa dengan sekeping ijazah dan keputusan cemerlang, anda akan menjadi pilihan. Kini semuanya mempunyai peluang sama rata.

“Yang penting, bagaimana kita menampilkan diri untuk memikat hati majikan dengan kemahiran sedia ada. Justeru, masih belum terlewat mengubah stigma sedia ada,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SOSIAL : Rakyat Malaysia mudah ditipu?


Oleh : ROHAMI SHAFIE

SABAN hari ada sahaja kisah rakyat kita ditipu. Penipuan ini terpampang di dada akhbar-akhbar tempatan. Seolah-olah rakyat kita begitu mudah untuk ditipu. Tidak kiralah sama ada ditipu oleh warganegara Malaysia sendiri mahupun warga asing.

Kisah seperti ditipu oleh pemaju hartanah sering kali kedengaran. Rumah-rumah yang dijanjikan tidak siap sepenuhnya. Jadilah projek perumahan tersebut sebagai projek gajah putih. Terbengkalai begitu sahaja. Yang rugi, pembeli yang terpaksa membayar hutang bank manakala, pemaju-pemaju hartanah projek terbengkalai tidak langsung dikenakan tindakan. Mereka ini masih hidup bersenang lenang.

Bahkan ada antara mereka boleh menjalankan perniagaan seperti biasa. Tidak ada langsung rasa bersalah terhadap pembeli-pembeli projek perumahan mereka.

Itu bab ditipu oleh pemaju hartanah. Ditipu oleh skim cepat kaya usah cakaplah. Sejak skim cepat kaya Pak Man Telo diketahui ramai, tidak ada tanda-tanda rakyat Malaysia mengambil iktibar ke atasnya. Masih ramai yang ditipu menggunakan modus operandi skim cepat kaya.

Amat menghairankan kerana rakyat Malaysia sekarang ini ramai yang berpendidikan tinggi sehingga memperoleh ijazah kedoktoran. Tetapi semakin tinggi pelajaran, semakin mudah pula ditipu. Terbaharu, skim cepat kaya yang menggunakan modus operandi emas sebagai umpan.

Ramai yang terjebak dengan skim cepat kaya ini. Kasihan juga kepada mereka yang terlibat kerana tindakan segera telah dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Namun, bak kata pepatah, nasi sudah menjadi bubur. Menyesal sudah tiada gunanya.

Sememangnya, emas semakin digilai oleh rakyat Malaysia. Malangnya, ramai yang tidak mengetahui selok belok dalam pelaburan emas, yang akhirnya kesempatan ini diambil oleh segelintir golongan untuk menipu pelabur. Emas akhirnya melemaskan rakyat Malaysia. Hak pengguna tidak dilindungi. Pembeli rumah mahupun pelabur emas mengalami kerugian besar. Di manakah penguat kuasa undang-undang?

Kita masih tidak belajar sebagaimana negara jiran kita yang amat serius menguatkuasakan undang-undang. Inilah kelemahan utama negara kita. Dasar dan polisi sungguh hebat di atas kertas, tetapi apabila dilaksanakan atau dikuatkuasakan, ia hanya indah khabar daripada rupa.

Dek kerana mudah ditipu dan kurang penguatkuasaan, ada juga rakyat Malaysia terutamanya yang terlalu tamak mengejar gaji lumayan tertipu dengan umpan gaji lumayan oleh orang yang tidak diketahui latar belakangnya.

Sampaikan ramai yang sanggup menghadiri temuduga di bilik hotel. Bukannya gaji lumayan yang diperoleh, sebaliknya dirogol dan dirompak pula. Ada pula yang ditipu menjadi keldai dadah. Bagaimana mudahnya wanita Malaysia terpedaya dengan cara penipuan sebegini.

Itu belum lagi melibatkan penipuan di jalan raya. Di jalan raya terdapat pelbagai cara penjenayah menipu. Tujuan tidak lebih daripada untuk merompak. Dilanggar kereta mangsa dan mangsa pula dalam keadaan marah memberhentikan kereta untuk menuntut ganti rugi. Kesempatan ini digunakan penjenayah untuk merompak mangsa. Ada juga penjenayah berlagak seolah-olah berlaku kemalangan di jalan raya. Memberhentikan kereta dan motosikal dan sanggup "tidur" di tengah jalan raya supaya mangsa memberhentikan kenderaan.

Taktik menipu ini memperdayakan sesiapa sahaja yang jujur untuk membantu "mangsa" kemalangan yang tertiarap di jalan raya. Malangnya, mereka tidak menyedari kejujuran mereka inilah menyebabkan mereka bakal dirompak.

Tidak kurang juga ramai rakyat Malaysia yang ditipu oleh warga asing. Dianggarkan berbilion ringgit kerugian yang telah dialami oleh rakyat Malaysia yang kebanyakannya ditipu melalui jenayah siber. Sungguh menghairankanlah, rakyat Malaysia senang percaya dengan warga asing. Penjenayah siber ini menggunakan segala kepakaran teknologi maklumat untuk menggodam maklumat rakyat Malaysia sama ada melalui e-mail palsu mahupun melalui laman sosial seperti Facebook.

Rakyat Malaysia terutamanya wanita mudah pula "cair" dengan ayat-ayat indah mempersonakan hati dan perasaan yang sememangnya itulah kehebatan warga asing seperti Awang Hitam. Sanggup memberi wang mereka sampaikan ada mangsa mengeluarkan wang untuk dana persaraan mereka yang berjumlah berjuta-juta ringgit semata-mata untuk "membantu" si penipu ini yang tidak pernah langsung mereka bersemuka antara satu sama lain. Apabila menyedari ditipu, barulah segala kisah cinta dan kasih sayang hilang begitu sahaja. Menangis sudah tiada gunanya.

Agaknya, si penipu warga asing ini sudah memahami kelemahan rakyat Malaysia. Sebelum mereka datang ke Malaysia, mereka sudah membuat kajian di antara negara-negara di Asia Tenggara ini, negara kita yang paling mudah untuk "berurusan". Rakyatnya mudah ditipu, manakala undang-undang pula amat lemah dek kerana penguatkuasa yang tidak menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin.

Cuba kita lihat si penipu pendatang asing ini tidak berani menipu di negara-negara jiran kita. Kalau tidak sudah lama kita dengar pelbagai kisah penipuan melibatkan pendatang asing yang tinggal di negara jiran. Mereka ini tidak gemar duduk di negara-negara jiran kita, tetapi amat gembira tinggal di Malaysia.

Faktornya adalah Malaysia syurga "pelaburan" mereka. Yang kaya sudah semestinya mereka, manakala yang "kayap" rakyat Malaysia itu sendiri. Sampai bilakah ia akan berakhir?

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik, Institut Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/