Khamis, 14 Februari 2013

ISU KEPENGGUNAAN : Menentukan makanan halal



Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor menyerbu sebuah pusat penyembelihan ayam yang mencurigakan.

Pusat penyembelihan itu didapati menggunakan kejutan elektrik yang tinggi terhadap ayam yang hendak disembelih. Kejutan elektrik menyebabkan ayam berkenaan mati sebelum disembelih.

Begitu juga pendedahan mengenai ayam yang diimport dari China yang didapati meragukan dari segi halalnya. Pembungkus ayam yang dipotong kecil itu tidak mempunyai tanda halal.

Justeru, bagaimana pengguna mahu menentukan sama ada sesuatu makanan itu halal atau tidak?


Makanan halal boleh diertikan seperti berikut:

Tidak mengandungi sebarang bahagian atau benda daripada binatang yang dilarang kepada orang Islam memakannya atau tidak disembelih mengikut hukum syarak.

Tidak mengandungi najis mengikut hukum syarak.

Tidak disedia, diproses atau dikilang menggunakan peralatan yang tidak bebas daripada najis.

Semasa dalam penyediaan, pemprosesan dan penyimpanannya, benda terbabit tidak bersentuhan atau berdekatan dengan sebarang makanan yang haram atau dihukumkan sebagai najis mengikut hukum syarak.

Isu makanan halal amat sensitif bagi umat Islam.


Terdapat beberapa bentuk penipuan yang berkaitan dengan isu halal ini iaitu:

Meletakkan tanda halal atau ditanggung halal sewenang-wenangnya di kedai makan oleh pengusaha bukan Islam.

Mendaftarkan syarikat perniagaan dengan nama atau lambang yang menggambarkan keislaman seperti masjid atau bulan.

Syarikat bukan Islam menggunakan nama syarikat pengedar kepunyaan orang Islam pada label pembungkusan, sehingga menunjukkan seolah-olah ia adalah pengeluar barangan terbabit.

Syarikat mengambil lang­kah mudah dengan menciplak logo yang diiktiraf halal dan diletakkan pada premis dan produk.


Terdapat beberapa aspek yang perlu diberikan pertimbangan dalam menentukan halalnya sesuatu produk iaitu:

Penyembelihan

Sembelihan hendaklah dilakukan orang Islam dan memenuhi syarat ditetapkan.

Haiwan yang disembelih mestilah jenis halal dimakan.

Haiwan itu masih hidup ketika disembelih.

Memutuskan halkum (saluran penafasan) dan urat marih (saluran makanan, minuman dan pendarahan) haiwan.

Alat penyembelihan mestilah tajam dan tidak terdiri daripada tulang, kuku atau gigi.


Hidangan dan penyembelihan

Semua bahan halal hendaklah disimpan, dipamer dan dihidang secara berasingan dalam setiap keadaan dengan bahan tidak halal.


Pemprosesan makanan dan masakan

Tidak mengandungi bahagian atau benda daripada haiwan yang dilarang orang Islam memakannya atau tidak disembelih mengikut hukum syarak.

Tidak mengandungi apa-apa benda yang dianggap najis mengikut hukum syarak seperti minyak babi, lemak daripada bangkai dan arak.

Tidak disediakan, diproses atau dikilang menggunakan sebarang peralatan yang mengandungi benda najis seperti tempat pemotong, kuali, sudu dan periuk.

Semasa penyediaan, pemprosesan dan penyimpanan makanan tidak bersentuhan atau berdekatan dengan sebarang makanan yang dianggap najis.


Kebersihan

Premis pembuatan, penyediaan dan penjualan makanan dan minuman hendaklah bersih serta bebas daripada gejala yang memudaratkan seperti lalat, tikus, lipas dan cicak.

Peralatan yang digunakan hendaklah dibasuh dan dicuci dengan bersih.

Tandas dan bilik air mestilah dibersihkan dari semasa ke semasa.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SOSIAL : BERUK DAN BUNGA


Hari Kekasih, hari eksploitasi dan manupulasi rasa cinta untuk menderhaka kepada Pencipta Cinta (Allah).

Atas dorongan untuk meraikan cinta kononnya, batas akidah, syariat dan akhlak dilanggar semahu-mahunya. Cinta yang dicipta indah oleh Allah yang Maha Indah, menjadi punah. Dikotori oleh pemujanya seperti kera yang merosakkan bunga.

Cinta yang suci untuk tujuan yang suci telah dicemari. Cinta yang berfokuskan seks – yakni cinta yang diilhamkan oleh Tuhan kepada haiwan itulah yang dipuja oleh manusia yang bertamadun!

Mengapa terjadi demikian? Ini kerana masih ramai manusia yang sedang mengalami kekosongan jiwa (emptines). Hidup hanya untuk memenuhi kehendak nafsu yang inginkan kepuasan material dan fizikal, urat, daging dan tulang. Apabila persoalan paling ‘basic’ (asas) dalam hidup tidak terjawab dengan tuntas… Itulah akibatnya.

Apakah persoalan itu? Ya, mengapa kita dihidupkan? Orang Islam yakin bahawa Allah tidak mencipta manusia sia-sia. Manusia punya tugasan dan peranan yang sangat besar. Al Quran menegaskan Allah ciptakan manusia dengan tujuan menjadi hamba-Nya dan khalifah di muka bumi.

Selagi kita berpegang kepada tujuan hidup ini dan melaksanakannya, hidup kita akan dipenuhi ketenangan. Kekosongan jiwa, minda dan masa kita akan terisi dengan sepenuhnya. Kita boleh melaksanakan apa jua aktiviti yang tidak terkeluar daripada kerangka tujuan hidup yang telah ditentukan Allah itu. Selagi manusia bertindak selaras dengan tujuan penciptaannya, maka selagi itulah ia akan tenang, selamat dan bahagia.

Sebaliknya jika tujuan hidup ini diabaikan, maka kekosongan jiwa pun berlaku. Pada waktu itu jiwa meronta-ronta bagaikan ikan tanpa air. Akibatnya, manusia terus mencari. Pencarian ini bukan menambah ketenangan, tetapi tambah mengusutkan.  Apabila panduan Islam diabaikan, maka jalan atau kaedah yang salah telah dipilih.

Pada waktu inilah budaya hidup Barat mencelah. Remaja menyangka budaya Barat itu penawar yang akan memberi hiburan dan ketenangan. Padahal ia adalah racun yang sangat bisa. Bukan sahaja masalah yang sedia ada tidak akan selesai, malah masalah yang sedia ada pun akan semakin membesar. Itulah bahana budaya Barat yang menawarkan kepada remaja kita produk yang bernama “Hari Valentine”.

Malangnya, produk itulah yang sentiasa dipromosikan dan diiklankan sehingga menjadi budaya secara langsung ataupun tidak. Apabila sudah menjadi budaya, yang palsu nampak benar, yang salah nampak indah dan hebat. Remaja, yang masih membina kematangan akan terpengaruh untuk menerima. Dirasanyakan yang datang dari Barat itu semuanya baik, hebat dan agung belaka. Apatah lagi yang menjadi figur mempromosikan budaya buruk ini adalah artis atau selebriti yang menjadi pujaan para remaja itu selama ini. Maka mudah mereka terikut.

Lagipun ada sesetengah berpandangan tidak ada implikasi agama dalam soal ini. Apa salahnya, cuma hiburan, cuma suka-suka… Sedangkan mereka tidak sedar semua ini ada kesan dari segi mempengaruhi fikiran, hati, perasaan dan sikap seseorang.  Sesuatu yang dilarang oleh Islam, pasti ada kesan buruk pada hati, jiwa dan perasaan samada disedari atau tidak, sama ada jangka panjang atau jangka pendek.

Kesan yang paling cepat ialah remaja kita akan ikut menyerupai mereka dari segi cara berfikir, emosi dan jiwa. Akhirnya, ini akan mempengaruhi tingkah laku dan kelakuan. Rasulullah  SAW bersabda: “ Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum ia akan menjadi kaum itu.”

Sebenarnya, perayaan Hari kekasih bukan semata-mata perayaan luaran sahaja. Ia datang dalam bentuk pakej yang yang ‘menyerang’ remaja secara multi dimensi.  Ia datang dengan idea kebebasan tanpa batas seperti pendedahan aurat, pergaulan lelaki-wanita  secara bebas, tarian, lagu dan unsur-unsur hedonisme yang cukup membahayakan. Perayaan itu bukan setakat pemberian hadiah, kad atau bertukar-tukar ucapan, tetapi diiringi pertemuan, sentuhan dan lain-lain yang jika tidak diawasi dan dibatasi syariat pasti mencecah batas-batas ‘menghampiri zina’.

Apabila hari kekasih diuar-uarkan dengan segala bentuk dan elemennya, dan ia diterima sebagai satu budaya yang biasa… Para remaja akan menerima itu sebagai satu isyarat  ‘menghalalkan’ sesuatu yang dilarang oleh Islam sebelum ini.  Tanpa disedari, remaja yang terpengaruh dengan sambutan Hari kekasih ini akhirnya, menjadi lali dan akhirnya ketagih dengan apa sahaja yang datang dari barat, yang kononnya agung dan canggih. Pada ketika itu generasi kita sebenarnya sudah dijajah kembali dari segi minda dan akan terus menjadi bangsa pengguna (konsumer) bukan pencipta dalam arus globalisasi kini.

Apabila Islam melarang sesuatu, pasti ada rasional di sebalik larangan itu. Cuma sebagai manusia, kita kekadang belum nampak apa rasionalnya pada peringkat awal. Ilmu manusia yang terbatas tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha luas. Inilah yang dikatakan suruh atau larang dalam Islam adalah berasaskan iman kepada Allah. Kita beriman kepada Allah dalam ertikata kita yakini Allah SWT Maha Bijaksana, Maha  Penyayang, Maha Belas Kasihan untuk tidak menganiayai hamba-hamba-Nya dalam apa jua perintah suruh dan larang-Nya.

Mengapa Hari Kekasih dilarang untuk disambut oleh orang Islam? Sebab sejarah sambutan hari itu sendiri sudah dikaitkan dengan sesuatu yang bertentangan dengan akidah. Apabila kita turut merayakannya, seolah-olah kita juga turut merelai atau meredhai kebenaran akidah mereka. Seperkara lagi, apakah Islam yang kita anuti, malah agama yang paling unggul di dunia, sudah ketandusan cara untuk menghargai rasa kasih sesama manusia?

Islam punya kaedah sendiri yang lebih benar dan tepat untuk meraikan rasa kasih dikalangan manusia. Namun Islam hanya membenarkan rasa kasih itu dijalinkan dalam bentuk ikatan yang sah agar rasa cinta dibina atas asas-asas yang kukuh, mulia dan terhormat.

Cinta dalam Islam mesti diasaskan kepada tanggungjawab, pembelaan, pendidikan, penjagaan dan perlindungan atas nama Allah. Cinta mertabat tinggi ini lebih sejati dan hakiki berbanding cinta di atas kad ucapan, kotak hadiah, lagu, pakaian, cincin dan elemen-elemen lain Hari kekasih. Hari pertunangan,  pernikahan, ulang tahun perkahwinan, hari mendapat cahaya mata… adalah hari-hari kekasih yang sepatutnya disambut meriah dengan erti dan makna yang lebih mendalam dan ikhlas. Bukan seperti Hari Valentine yang bersifat luaran, gimik dan penuh kepura-puraan yang acap kali untuk mewajarkan sahaja pelempiasan hawa nafsu seks atas nama cinta suci!

Ingatlah, tidak akan ada kebahagiaan yang sejati dengan melanggar hukum Allah. Ini sepatutnya diterima dengan hati yang terbuka, dengan penuh kesedaran bahawa Tuhan yang mencipta manusia maka Dialah yang paling arif menentukan apakah yang diperlukan oleh manusia untuk tenang dan bahagia. Jika kita mencintai Allah yang Maha Pengasih, kita akan mampu mengasihi sesama manusia pada setiap masa, keadaan dan ketika. Bagi orang Islam setiap hari adalah Hari Kekasih!

Sumber : http://genta-rasa.com/

ISU BAHASA : Jangan biarkan seni budaya berkubur


Oleh :  Johan Jaaffar
 
Seniman Negara Rahman B berhak berasa kecewa. Beliau ingin menghidupkan semula seni bangsawan. Tidak mudah sebenarnya untuk berbuat demikian. Sebagai tokoh terakhir seni persembahan itu, beliau sedar sekiranya sesuatu tidak dilakukan segera, seni itu akan pupus. Memang terdapat beberapa kumpulan yang cuba menghidupkan bangsawan. Malangnya banyak kumpulan ini tidak memahami seni itu. Bagi purist seperti beliau, usaha itu kadang kala lebih banyak merosakkan.

Rahman B sudah menjangkau usia 80-an. Beliau terkenal sebagai anak muda atau pelakon yang memainkan peranan wira dalam kumpulan bangsawan. Sewaktu kumpulan Bintang Timur Opera yang dimiliki oleh ayahnya Bakar M, Rahman B, adiknya Rahim B dan Rohani B serta isterinya Rohaya B adalah antara nama-nama besar di pentas bangsawan. Zaman kegemilangan bangsawan mulai berakhir dengan populariti filem Melayu. Banyak pelakon bangsawan yang terbabit dalam dunia filem di Singapura.

Kekecewaan Rahman B memang dapat kita fahami. Banyak lagi tokoh lain dalam pelbagai bidang yang cuba menghidupkan seni warisan. Banyak faktor yang menyebabkan hal ini terjadi. Selain daripada kurangnya minat di kalangan generasi muda dan tarikan filem, drama TV dan muzik semasa, faktor sikap dan toleransi terhadap seni persembahan ini juga harus diambil kira. Apabila kerajaan Negeri Kelantan tidak membenarkan seni persembahan setempat seperti wayang kulit, dikir barat, menora dan makyung dipertontonkan kerana alasan agama, maka matilah seni itu di negeri tersebut. Kuda kepang, wayang wong dan ketoprak menghadapi masalahnya sendiri di Johor. Banyak lagi persembahan setempat yang kini hilang pengamalnya.

Wali Songo guna seni untuk dakwah

Seni persembahan merupakan sebahagian daripada cerminan masyarakat. Seni seperti ini mencorakkan minda, nilai dan psyche kumpulan yang melahirkannya. Seperti juga tradisi lisan atau oral yang kuat pada zaman sebelum radio, TV dan filem, seni persembahan ini menjadi sebahagian daripada proses sosiolisasi yang penting.

Kita sepatutnya belajar bagaimana Wali Songo, ulama dan mubaligh Islam tersohor di Indonesia menggunakan seni bagi menawan hati penganut agama Hindu di Pulau Jawa. Perihal mereka menggunakan kuda kepang dan wayang kulit untuk tujuan dakwah bukan rahsia lagi. Ini satu elemen pendakwahan yang selalunya dilupakan.

Dalam pertemuan saya dengan teman-teman pengamal seni budaya di Indonesia, mereka juga menyuarakan keresahan soal penolakan. Malah di sekitar kawasan yang dianggap nadi seni budaya Jawa di Jog-jakarta dan Solo (atau Surakarta) banyak seni persembahan setempat yang semakin menghilang. Namun demikian ada usaha yang sungguh-sungguh untuk menghidupkan semula muzik dan tarian asli Jawa serta seni persembahan seperti reog (di sini dikenal sebagai ketoprak) dan wayang wong atau wayang orang.

Seni budaya dinaungi istana

Seni budaya memang sejak sekian lama dinaungi oleh istana. Ini tradisi yang nampaknya berterusan di Istana Solo. Dokongan istana melahirkan Akademi Seni Mangkunagaran (ASGA) yang tujuannya menghidupkan seni muzik dan tarian Jawa. Pada setiap hari Rabu, mulai jam 11.00 pagi, di balai utama Istana Solo diadakan latihan tarian yang diiringi oleh kumpulan gamelan istana, Langenpraja Pura Mangkunagaran. Salah sebuah tarian yang dipersembahankan namanya srimpi pandhelori yang amat unik kerana lembut dan halusnya. Selalunya ASGA akan berkerjasama dengan Institut Seni Indonesia (ISI) cabang Solo.

Di Solo juga saya berkesempatan menyaksikan wayang wong berjudul Seta Kerma yang dipentaskan dengan dokongan Dinas Kebudayaan dan Pariwisata. Tempatnya di Kebun Raja. Saya hanya membayar R3,000 atau kurang dari RM1 untuk sebuah persembahan berkualiti tinggi. Wayang wong adalah salah satu daripada 100 jenis wayang dalam masyarakat Jawa di Indonesia. Wayang wong dipercayai bermula sejak pemerintahan Prabu Airlingga pada awal Tahun Masehi.

Wayang wong amat popular satu ketika dulu, malah pada tahun 1911 lagi sudah wujud kumpulan profesional yang dikenal sebagai Wayang Sriwedari. Kumpulan ini dihidupkan semula dan bertahan sehingga hari ini. Tiga kali seminggu, Sriwedari akan memilih sama ada Petruk Dadi Jenaka, Petruk Kembar, Pancasila Banjut, Begawan Trisula, Drona Kridha atau cerita lain untuk dipentaskan.

Seni budaya memerlukan naungan. Zapin bertahan di Johor kerana sokongan kerajaan negeri. Bangsawan akan pupus sekiranya Rahman B tidak dibantu. Demikian juga pelbagai jenis seni persembahan tempatan yang lain. Tanyalah bagaimana sukarnya penggiat kuda kepang yang bernama Wak Naim Marjani di Sungai Nibung, Batu Pahat mahu menghidupkan seni itu. Nasib beliau tidak jauh bezanya dengan Rahman B.

Jangan biarkan seni persembahan ini berkubur. Mungkin istana kita boleh mencontohi usaha yang dibuat oleh istana Solo dan Jokjakarta bagi menaungi seni budaya. Seni budaya warisan bangga bangsa kita.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 13 Februari 2013

ISU KEPENGGUNAAN : Masalah Ubat Tiruan Di Asia Semakin Meningkat


OLEH : PHILIP STEVENS

Mungkin banyak pengguna yang tidak terlalu kisah jika mereka terbeli beg tangan atau kasut tiruan. Lain halnya kalau ubat yang mereka beli ternyata adalah ubat tiruan. Kalau bernasib baik, ubat tiruan cuma akan membuatkan orang yang menelannya tidak sembuh; kalau bernasib buruk, ubat tiruan boleh membunuh, terutama jika ia mengandungi bahan beracun seperti arsenik atau bahan anti-sejuk beku.

Di seluruh dunia, perdagangan ubat tiruan semakin menguntungkan. Pengeluar-pengeluar ubatan tiruan mengembangkan operasi mereka dari bentuk pengeluaran kecil-kecilan dalam rumah kedai kepada pengeluaran berskala perindustrian. Ubat-ubatan tiruan berjaya menembusi rangkaian pembekalan farmasi di Asia, membawa kepada peningkatan masalah kemerosotan daya penerimaan penghidap batu kering dan malaria terhadap ubat untuk kedua-dua penyakit berkenaan, kerugian dari segi ekonomi bagi para pesakit dan juga sistem penjagaan kesihatan secara amnya, serta peningkatan kadar kematian kerana pesakit tidak mendapat penawar yang tepat.

Masalah ubat tiruan semakin besar. Menurut International Medical Products Counterfeiting Taskforce, sekitar 10 hingga 30 peratus ubat-ubatan yang terdapat dalam negara-negara membangun adalah tiruan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula, 50% ubat-ubatan yang dibeli melalui internet (daripada laman-laman web tidak sah yang tidak mendedahkan alamat surat-menyurat mereka) adalah tiruan.

Asia paling terdedah kepada ubat tiruan. Menurut Pharmaceutical Security Institute, Asia memiliki angka jenayah farmaseutikal tertinggi untuk tahun 2011. Masalah utama bagi benua Asia Tenggara ialah meluasnya pengedaran ubat pencegah malaria tiruan, di mana 50% daripada sampel yang diteliti mengandungi kadar ramuan aktif yang tidak tepat.

Malah, Malaysia yang telah mempunyai peraturan dan sistem perundangan yang agak baik tidak terlepas daripada masalah ini apabila sekitar 3–5% daripada ubat-ubatan yang beredar dalam pasaran negara ini adalah tiruan.

Peratusan ubat tiruan yang beredar di negara-negara jirannya yang lebih miskin adalah lebih tinggi. Sebagai contoh, International Pharmaceutical Manufacturers Group (IPMG) di Indonesia menganggarkan ubat tiruan meliputi 25% daripada ubat-ubatan yang terdapat dalam pasaran farmaseutikal di Indonesia yang nilainya mencecah US$2 bilion. Angka ini menunjukkan adanya krisis besar dalam sistem penjagaan kesihatan di negara itu.

Ubat-ubat generik paling banyak menjadi sasaran peniruan di negara-negara Asia yang miskin: lima daripada ubat yang paling banyak ditiru di Indonesia dan Filipina adalah ubat-ubatan biasa dan murah yang telah luput tempoh hak dagangnya, seperti ubat penahan sakit dan anti-lelah.

Ini menunjukkan bahawa para pengeluar ubat tiruan yang menjadikan negara-negara Asia sebagai sasaran lebih gemar mengeluarkan jenis-jenis ubat yang besar pasarannya, berbanding jenis-jenis ubat yang lebih mahal, iaitu ubat-ubat yang hak dagangnya masih sah (dan biasanya mempunyai pasaran lebih kecil). Bagaimanapun ada juga pengecualian bagi hal ini, misalnya apabila sebuah kajian yang dibuat pada tahun 2005 di Malaysia menunjukkan bahawa 8.5% ubat mati pucuk di Malaysia adalah tiruan.

Walaupun kadar pengedaran ubat tiruan di Malaysia adalah lebih rendah berbanding di negara-negara ASEAN yang lain, beberapa pihak menimbulkan kebimbangan tentang mutu dan integriti banyak ubat-ubatan tradisional yang dijual secara meluas dalam negara ini. Pada tahun 2012, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan telah menasihatkan orang ramai agar berhenti membeli produk tradisional Mymen Plus setelah ia didapati mengandungi bahan yang disenaraikan sebagai racun, manakala pada tahun 2005 sebanyak 14% daripada produk Akarbanar yang diuji mengandungi tahap merkuri melebihi had yang dibenarkan.

Jadi, apa yang boleh dibuat untuk mengekang masalah yang sedang merebak ini? Memandangkan perdagangan ubat tiruan berkembang menerusi globalisasi rangkaian pembekalan farmaseutikal, banyak pakar dasar penjagaan kesihatan dan pakar perundangan mendesak agar diwujudkan satu perjanjian baru di peringkat antarabangsa untuk menyelaraskan usaha membasmi ubat-ubatan tiruan.

Menurut kalangan yang menyokong usaha ini, tanpa perjanjian antarabangsa kita tidak dapat menentukan secara sepakat dan jelas ubat mana yang tidak sah. Selain itu, tanpa perjanjian antarabangsa polis tidak akan bekerjasama dengan rakan sejawat mereka di negara lain untuk menjalankan penyiasatan di peringkat antarabangsa, manakala para pendakwaraya pula tidak dapat diwajibkan untuk berkongsi bukti atau memberi respons terhadap tuntutan ekstradisi untuk menghadapkan pihak yang disyaki terlibat ke mahkamah.

Perjanjian antarabangsa dapat membuka jalan penyelesaian terhadap masalah-masalah sedemikian dengan menyediakan bagi negara-negara penandatangan definisi antarabangsa yang dipersetujui untuk pelbagai jenis ubat tiruan; menjelaskan jenayah jenis baru ke atas kesihatan orang awam menurut undang-undang antarabangsa berkaitan pengeluaran dan perdagangan ubat tiruan; dan menyediakan sumber-sumber baru untuk menguatkan keupayaan keperaturan di negara-negara yang memiliki peraturan-peraturan yang longgar.

Perjanjian berkaitan ubat tiruan akan membantu usaha memerangi perdagangan ubat-ubatan tiruan antarabangsa secara perundangan. Bagaimanapun, masa yang panjang diperlukan untuk mengatasi masalah ini kerana ia melibatkan kepentingan pelbagai pihak dalam negara-negara yang sektor perindustriannya sedang berkembang.

Pada masa yang sama, kerajaan di setiap negara dan sektor swasta perlu meneruskan usaha mereka untuk mengatasi masalah ubat tiruan. Kerajaan Malaysia misalnya telah melangkah lebih maju dalam hal ini dengan memperkenalkan skim Meditag, manakala syarikat-syarikat farmaseutikal telah mula meneroka teknologi baru untuk melindungi mereka daripada kegiatan peniruan, misalnya menerusi penggunaan kod bar jenis 3D dan nombor bersiri jenis mass serialization.

Lebih penting, orang awam perlu sentiasa berjaga-jaga dan memastikan ubat-ubatan dibeli hanya daripada pembekal-pembekal yang mempunyai nama baik.

Penulis ialah pengarah eksekutif Emerging Markets Health Network,  Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Kuala Lumpur.

ISU KENEGARAAN : Menjejaki perpaduan Malaysia sehingga saat ini


Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

SEBAIK pulang dari lawatan ke Gaza, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa - ''Tunjang kepada segalanya adalah perpaduan. Perpaduan itu amat penting, pengajaran kepada kita di Malaysia '.

"Inilah mesej yang telah saya sampaikan kepada mereka (pemimpin) bahawa rakyat Malaysia merupakan pejuang yang akan sentiasa berdiri teguh dengan kerajaan dan rakyat sesama sendiri dalam perjuangan mereka. Saya beritahu kepada dia (Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh) 'ini mesti dilakukan'. Apabila saya berjumpa dengan Presiden Morsi saya kata tolong bantu mereka (Hamas-Fatah) untuk berunding sehingga kerajaan perpaduan ini menjadi kenyataan. Palestin memerlukan langkah perpaduan walau diberikan dana dan sokongan moral dari luar.''

Di Malaysia, selepas 55 tahun merdeka kita masih bercakap mengenai perpaduan kerana demografi dan alam Malaysia adalah sedemikian rupa. Masyarakat yang rencam dengan kepelbagaian nilai budaya, agama, etnik, keturunan yang diwarisi turun-temurun menyebabkan ia asas kepada pengisian dan kesinambungan pentadbiran.

Menjejaki perpaduan di Malaysia, hakikatnya bermula dengan persetujuan bersama ke atas nilai pengorbanan dan kompromi antara semua etnik agar kemerdekaan daripada pihak penjajah dapat diperoleh  tanpa pertumpahan darah dan pengisian kemerdekaan dilakukan dengan teras kerjasama dalam kalangan yang menjunjung kepelbagaian yang sudah dipersetujui.

Hatta, Perlembagaan yang dirangka memastikan roh yang berasaskan kepada kesederhanaan, kompromi dan menang-menang dirangka. Maka, lahir beberapa Perkara termasuk Perkara 3 (agama bagi Persekutuan) yakni Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan; Perkara 11 (kebebasan agama) iaitu tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agama dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agama. Perkara 14 (Kewarganegaraan dengan cara kuatkuasa undang-undang) memberi peruntukan kepada yang lahir sebelum dan selepas hari Malaysia.

Perkara 32 (Kepala Utama Negara bagi Persekutuan dan Permaisurinya) memerihalkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong manakala Perkara 38 (Majlis Raja-raja) ditubuhkan mengikut Jadual Kelima. Perkara 152 (Bahasa kebangsaan) menyentuh kedudukan Bahasa Malaysia yang hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen dan kedudukan bahasa lain turut diiktiraf dari praktisnya.

Perkara 153 (Perezapan kuota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk orang Melayu) yang memperincikan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri Borneo dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan ini.

Begitu juga dengan Perkara 181 (Pengecualian bagi kedaulatan Raja-raja, dan sebagainya) yang tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini mengenai kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa Raja-raja dan hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa pembesar memerintah Negeri Sembilan dalam wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga sekarang adalah tetap tidak tersentuh.

Kesemua ini adalah antara elemen yang mempertahankan nilai kesepaduan kerana ia menjamin apa yang boleh dilakukan oleh seseorang warga Malaysia yang mengetahui haknya. Dalam mahu hak dihormati, setiap individu juga mesti tahu menghormati hak orang lain. Bilamana isu sensitif tersebar luas kebelakangan ini, maka ia harus kembali semua kepada Perlembagaan agar sensitiviti masyarakat dipelihara.

Jika isu sensitif terus dipolitikkan, maka keputusan berdasarkan percaturan politik tidak akan mencerminkan kemuliaan agama bilamana agama itu sendiri tinggi kedudukannya yang tidak layak disoal oleh manusia. Begitu juga dengan usaha berterusan menyemarakkan perasaan benci dan syak wasangka kerana jika emosi ini berpanjangan, kesannya sudah pasti ke atas apa yang sudah diterima oleh kesemua selama ini.

Ini juga adalah susulan daripada anasir yang bertindak songsang dengan fahaman agama dan kepercayaan masing-masing. Yang melakukan kesemua ini harus merujuk semula Perlembagaan dan memahami batasan emosi seseorang kerana bila datang kepada isu agama, semua penganutnya pasti ada hadnya. Sensitiviti perlu difahami dan dihormati supaya ia tidak menjadi penghalang kepada apa yang sudah dilalui sehingga hari ini.

Tiga nilai besar yang wajar dijadikan pegangan adalah untuk bertoleransi, hormat-menghormati dan faham-memahami jika mahu terus menjejaki kekuatan perpaduan dalam konteks negara kita.

Benar kita sudah melalui peristiwa rusuhan perkauman pada 13 Mei 1969 yang membawa kepada pelancaran Rukunegara pada 1970; dan kemudian di Kampung Rawa pada 1998 dan Kampung Medan pada 2001 tetapi kesemuanya masih dapat dikawal atas wadah pengorbanan dan kompromi walaupun hari ini sudah timbul persoalan siapakah yang perlu berkorban dan berkompromi.

Negara luar memberikan pengiktirafan ke atas hubungan antara etnik negara ini walaupun ada dalam kalangan pemimpin sendiri yang memberikan perspektif buruk mengenai Malaysia apabila berada di luar untuk meraih sokongan. Agak mudah untuk meruntuhkan sesuatu tanpa menyedari betapa ia memakan masa untuk membangunkan semula apa yang dinikmati kini.

Yang dibangunkan sejak kemerdekaan sandarannya adalah kepada perpaduan; tunjang proses pembangunan, modenisasi dan transformasi hari ini. Nilai kepunyaan inilah yang membawa sinar kepada pencapaian negara secara umumnya termasuk amalan politik muafakat.

Pada 2020, yang mahu dilihat adalah masyarakat kelas satu di negara kelas pertama; negara yang bukan membangun dengan infrastruktur dan prasarana tetapi juga melihat kehadiran masyarakat yang memiliki kemahiran, kebolehan dan ilmu serta diselaputi dengan nilai karakter bermoral, berhemah, mempunyai semangat patriotik yang tinggi serta bangga menjadi warga Malaysia dengan mempertahankan apa yang termaktub dalam Perlembagaannya.

Tahun 2020 juga melihat Malaysia bukan lagi negara berpendapatan sederhana. Ia merupakan proses yang memerlukan komitmen kesemua warga baik masyarakat kelas atasan, pertengahan mahupun 30 peratus yang masih bergelut dengan kualiti kehidupan dan kemiskinan.

Hari ini, Malaysia sudah menjadi antara 21 negara paling kompetitif ekonomi di dunia, mengikut Laporan 2012 World Economic Forum. Ia juga merupakan yang ke-18 dalam paling mudah memulakan perniagaan lebih baik dari Jepun, Jerman, Taiwan dan Perancis. Malaysia berada pada kedudukan 10 teratas dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing (FDI) 2012.

Pendapatan per kapita negara kini adalah AS$9,700 berbanding AS$6,700 dua tahun lalu. Angka KDNK mencecah RM852.7 bilion manakala PNK adalah RM830.7 bilion; tertinggi sejak 55 tahun lalu.

Usaha untuk merealisasikan pendapatan per kapita AS$15,000 pada 2020 bergantung kepada sejauhmana kita mahu menjejaki perpaduan sebagai asas yang perlu ada kesinambungan dari segi pemetaan kestabilan dan bersifat menentu. Peningkatan 12.3% dalam FDI kepada RM 33 bilion dan pelaburan swasta sebanyak 19% kepada RM 94 bilion adalah kerana wujudnya usaha memastikan perpaduan diurus dengan pentadbiran yang memberikan keutamaan untuk mendampingi nilai-nilai positif dari melihat dari arah negatif sahaja. Jangkaan RM 129 bilion pendapatan negara kasar pada tahun 2020 juga bergantung kepada keampuhan nilai politik, ekonomi dan sosial negara.

Jika pelan transformasi dilihat sebagai satu perjalanan oleh Perdana Menteri yang tiada titik nokhtahnya, yang akan menjejaki perjalanan itu adalah kemuafakatan, keharmonian, perpaduan dan keserasian yang sudah kita lewati selama ini. Junjung tunjang kepelbagaian ini sebagai aset kerana walau berbeza agama, keturunan, kepercayaan, gender dan fahaman politik; yang mesti terus dipertahankan adalah kesejahteraan hidup berukun di negara ini.

Penulis ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : Peranan ibu bapa memelihara kesihatan mental anak-anak


KESIHATAN mental kanak-kanak dan remaja merupakan aspek penting dan perlu diberi perhatian sewajarnya daripada seluruh anggota masyarakat.

Namun, kesedaran untuk memiliki dan mencapai tahap kesihatan mental yang baik adalah bermula daripada ibu bapa dan keluarga. Segala usaha dan kesedaran ini pula tidak terhenti di peringkat keluarga sahaja.

Malah, proses untuk mendapatkan tahap kesihatan mental yang baik ini adalah berterusan, iaitu apabila anak-anak memasuki alam persekolahan, di peringkat kolej dan universiti, sehinggalah apabila mereka menjadi dewasa dan bekerja dengan organisasi, bersara, memasuki alam usia emas dan lain-lain.

Walaupun wujud pelbagai tahap perkembangan individu dengan konteksnya yang berbeza, namun ia adalah satu proses yang seiring dan berkait rapat dengan perkembangan individu dan persekitaran mereka.

Peranan ibu bapa dalam konteks ini ialah memahami apakah ruang lingkup kesihatan mental anak-anak dan keperluannya, di samping mengenalpasti segala faktor yang membantu atau menggagalkan tercapainya proses dan matlamat kesihatan mental yang sempurna untuk mereka.

Aspek kesihatan mental sebenarnya tidak mampu terhasil tanpa sokongan daripada pelbagai aspek lain dalam kehidupan seorang kanak-kanak. Memandangkan kesihatan mental yang baik hanya akan diperolehi apabila ibu bapa itu dapat menunjukkan sikap prihatin dengan segala keperluan anak-anak, maka ibu bapa perlu memahami apakah segala keperluan tersebut.

Ibu bapa perlu memahami bahawa kesihatan mental adalah berkait rapat dengan kesejahteraan. Kesejahteraan itu pula turut merangkumi kesejahteraan fizikal, emosi dan spiritual atau kerohanian. Kesejahteraan fizikal dapat dicapai apabila ibu bapa mampu memberikan keperluan fizikal yang mencukupi kepada anak-anak mereka. Ini termasuklah keperluan makan dan minum serta tempat tinggal yang selesa.

Sementara itu, kesejahteraan emosi dapat diwujudkan apabila mereka mampu memberikan kasih sayang dan perasaan selamat kepada anak-anak. Adalah menjadi satu tanggungjawab kepada semua ibu bapa untuk mewujudkan suasana kehidupan dan persekitaran yang selamat kepada anak- anak mereka.

Suasana selamat itu bukanlah pula semata-mata tertumpu kepada terselamat dari ancaman binatang buas atau bebas daripada ancaman pengganas sahaja, tetapi juga ialah apabila anak-anak berasa selamat daripada pengabaian dan kelalaian oleh ibu bapa sendiri.

Banyak kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa kelalaian dan pengabaian ibu bapa menjadi punca kepada jiwa anak-anak yang memberontak, hilang belaian dan kasih sayang, lari dari rumah, ponteng sekolah, terlibat dengan gejala dadah, kes penderaan anak, masalah sahsiah dan personaliti, gangguan mental serta gangguan fungsi neuro kognitif dan lain-lain.

Sementara itu, kesejahteraan spiritual pula dapat dikecapi oleh anak-anak apabila mereka mampu mengenali Tuhan Pencipta mereka, memahami matlamat mengapa mereka hidup di dunia ini, serta memiliki hubungan kerohanian yang baik dengan seluruh alam semesta. Kesemua aspek ini saling berkaitan dengan kesihatan mental dan inilah tugas dan tanggungjawab para ibu bapa yang perlu mereka laksanakan dalam membimbing anak-anak untuk menjalani kehidupan yang baik.

Inilah antara perkara asas yang perlu difahami ibu bapa dalam usaha mereka untuk memelihara kesihatan mental yang baik untuk anak-anak mereka.

Oleh sebab usaha untuk mencapai matlamat kesihatan mental yang baik itu adalah satu proses, maka tidak mustahil ia akan berdepan dengan pelbagai rintangan dan risiko masing-masing yang tersendiri ketika melalui proses perkembangan tersebut. Lantaran itu, bukan sesuatu yang mustahil apabila dalam menjalani proses itu, wujud mereka yang kecundang dan tewas. Namun ramai juga yang berjaya menempuhinya dan seterusnya hidup dalam suasana yang menjamin kesihatan mental yang sempurna.

Oleh itu, peranan ibu bapa juga ialah memahami bagaimana ketika mengharungi proses ini, seseorang anak itu adakalanya tertewas, dan pada masa lain mampu bertahan dan berjaya menempuhi semua rintangan. Perkara yang menjadi keutamaan dalam memahami atau mengendalikan sesuatu proses ke arah mencapai kesihatan mental yang baik ialah mengenalpasti segala faktor yang berlaku dan apakah kesan yang dialami, sama ada baik atau buruk, ketika dalam proses untuk mencapai matlamat tersebut.

Ibu bapa juga perlu menyedari bahawa semua isu berkaitan kesihatan mental seperti gangguan emosi dan tekanan mental serta masalah tingkahlaku itu boleh berpunca dari pelbagai faktor, termasuklah faktor dalam diri anak atau dari keluarga anak-anak itu sendiri. Faktor ini termasuklah seperti ibu bapa yang ada sejarah gangguan mental dan emosi, masalah keluarga, faktor kemiskinan dan tekanan ekonomi serta lain-lain.

Faktor-faktor ini akan meningkatkan lagi risiko dalam kalangan anak-anak untuk menghidapi gangguan kesihatan mental. Namun, ibu bapa juga perlu tahu bahawa terdapat faktor lain yang dapat menjauh atau mengurangkan risiko anak-anak dari terlibat dengan masalah mental dan tekanan emosi yang kronik. Contohnya, mewujudkan hubungan kasih sayang yang erat dan mesra dengan anak-anak.

Hubungan dan kasih sayang akan menjadi satu sumber sokongan yang amat berkesan dalam mengurangkan tekanan mental dan emosi si anak. Setiap anak-anak yang dilahirkan amat memerlukan belaian dan kasih sayang dalam proses menjalani kehidupan untuk menjadi dewasa. Belaian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh ibu bapa kepada anak-anak akan meningkatkan lagi keyakinan diri dan kematangan si anak di samping dapat membimbing mereka untuk menggunakan beberapa kaedah dan cara terbaik daripada ibu bapa ketika menghadapi tekanan.

Di samping itu, kekuatan aspek spiritual juga perlu diamalkan kerana banyak perkara dan kaedah yang diajarkan dalam agama juga dapat memberi kesan positif kepada perkembangan diri dan kesihatan individu anak. Walau apa pun kaedah yang digunakan, semua itu bergantung kepada kemahiran dan tahap kreativiti ibu bapa dalam mengendalikan masalah dan isu berkaitan. Peranan ibu bapa adalah amat besar dalam mencorakkan diri dan sahsiah anak-anak.

Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud “Setiap anak yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani.”

PENULIS ialah Fellow di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pengajian Tinggi pemacu daya saing


Oleh : DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN

BARU-BARU ini, saya menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2013 kepada seluruh warga Kementerian Pengajian Tinggi. Amanat kali ini memberikan tumpuan kepada sumbangan pengajian tinggi dalam memacu daya saing negara.

Tema ini dipilih kerana pengajian tinggi kini bukan sahaja memenuhi tuntutan dan kepentingan dalaman negara semata-mata, tetapi menentukan apakah Malaysia mampu mengekalkan daya saingnya dalam pentas global.

Bagi memenuhi tujuan ini, amanat telah memilih lapan agenda iaitu kajian semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), merekayasa Institusi Pengajian Tinggi, menjana ekonomi berinovasi, menjamin kualiti Institusi Pengajian Tinggi (IPT), memperkukuhkan kebolehpasaran graduan, pemetaan baharu pengantarabangsaan, pendidikan untuk semua dan budaya kerja berinovatif.

Hasrat Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi telah banyak mengubah pendekatan kerajaan untuk melaksanakan transformasi dalam semua bidang. Ini kerana negara tidak boleh lagi mengambil langkah berdikit-dikit, tetapi bersikap transformatif yang menghasilkan impak yang lebih besar.

Pelan transformasi kerajaan termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baharu Ekonomi (MBE) memerlukan peranan kritikal sektor pengajian tinggi. Ini bermakna, polisi dan perancangan strategik berkaitan pengajian tinggi juga perlu selari dan benar-benar menyokong agenda transformasi negara. Sehubungan itu juga, kementerian akan mengkaji semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

Kajian terhadap pelan yang dilancarkan pada 2007 ini diharap akan dapat mengemukakan inisiatif baharu yang boleh melonjakkan lagi mutu dan kualiti pengajian tinggi ke tahap kecemerlangan sekali gus membantu negara khususnya melalui penghasilan modal insan kelas pertama dan pengwujudan IPT yang cemerlang.

Pada masa sama, pembangunan, kemajuan dan transformasi negara memerlukan sumbangan yang maksimum daripada IPT. Mereka tidak boleh lagi menjadi menara gading dan bersifat eksklusif, sebaliknya menara ilmu yang dapat memanfaatkan perkembangan dan penerokaan ilmu untuk mentransformasikan komuniti.

Dalam hal ini, selain pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan, IPT disarankan supaya memberi fokus kepada kepentingan polisi awam selari dengan peranan ketiganya, perkhidmatan kepada masyarakat. Kementerian percaya, hanya melalui pendekatan ini, IPT akan benar-benar dapat dirasai kewujudannya oleh komuniti.

Apabila menyentuh hasrat Malaysia untuk meligatkan pertumbuhan ekonominya, ia bergantung kepada usaha menjana ekonomi berinovasi. Sebagai hab inovasi negara, IPT mempunyai peranan penting dalam menjana pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negara melalui aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan dengan menghasilkan paten, penerbitan berimpak tinggi dan mengeluarkan graduan pascasiswazah.

Dalam hal ini, IPT harus melangkah kehadapan menentukan idea-idea baharu dan dinamik yang dapat memperkukuhkan lagi rantaian penyelidikan dan menggembleng seluruh kekuatan IPT di negara bagi mempertingkatkan lagi keberhasilan penyelidikan dan inovasi. Pada masa sama, kualiti pengajian pascasiswazah di IPT perlu diperkukuhkan kerana di sinilah aktiviti penyelidikan giat dijalankan.

Seperti sedia maklum, kualiti adalah penentu kecemerlangan dan kewibawaan IPT. Agenda memperkukuhkan kualiti IPT perlu dipergiatkan lagi dalam semua aspek meliputi pengurusan institusi, program akademik dan penyelidikan, tenaga akademik, pelajar baharu dan graduan yang dihasilkan.

Pada tahun ini, tumpuan kementerian banyak diberikan kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) agar mereka benar-benar bersedia menawarkan pengajian tinggi yang terbaik. Ini termasuk menyemak kelestarian mana-mana IPTS yang berisiko agar dapat memberi peluang kepada mereka mengambil tindakan susulan dan menentukan langkah-langkah penambahbaikan.

Kementerian juga menganugerahkan autonomi kepada Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan kini terdapat tujuh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang berstatus autonomi. Kementerian percaya, melalui autonomi, IPTA berkenaan kini tidak mempunyai alasan untuk tidak cemerlang.

Mahasiswa merupakan sumber bakat terbesar kepada negara. Setiap tahun, kira-kira 180,000 graduan menamatkan pengajian di pelbagai peringkat sama ada di peringkat sarjana muda dan diploma. Dalam hal ini, graduan yang dihasilkan oleh IPT mestilah benar-benar bersedia menempuh alam pekerjaan selepas mereka menamatkan pengajian masing-masing.

Persediaan ini bukan semata-mata berbekalkan pencapaian cemerlang akademik, sebaliknya kemahiran yang diperlukan oleh majikan dan industri agar mereka mudah diterima di pasaran pekerjaan kelak.

Pelbagai inisiatif yang dikenalpasti oleh kementerian antaranya memperkenalkan Pusat Kecemerlangan Industri atau ICoE sebagai satu mekanisme yang menghubungkan pengajian dengan pekerjaan, di mana industri bekerjasama dengan penyedia pendidikan agar pelajar diterap dengan kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan.

Bakat dan kepimpinan mahasiswa terus dicungkil melalui pelaksanaan program IM4U sebagai satu pendekatan baharu pembelajaran. Kementerian menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan IM4U kerana melalui penggabungan khidmat komuniti dan kurikulum, IM4U dapat menambah pengalaman belajar pelajar dan memperteguhkan tanggungjawab sivik kepada masyarakat melalui keupayaan menyelesaikan masalah sebenar masyarakat sekali gus menjadikan mereka sebagai rakyat yang menyumbang kepada pembangunan Malaysia.

Bertepatan dengan tema amanat iaitu Pengajian Tinggi Pemacu Daya Saing Malaysia, negara harus menerima hakikat bahawa Malaysia tiada pilihan selain memperkukuhkan kemampuannya dalam pentas global. Malaysia perlu menentukan strategi pengantarabangsaan yang lebih berkesan dalam menonjolkan kedudukannya sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi yang dihormati.

Dalam hal ini, pengantarabangsaan tidak lagi terhad kepada faktor jumlah pelajar antarabangsa atau bilangan kampus cawangan luar negara tetapi penekanan kepada kesepaduan kecemerlangan dalam semua aspek perkhidmatan pengajian tinggi. Ini termasuk kecemerlangan akademik, kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, kecemerlangan pembangunan, penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan dan kecemerlangan kepimpinan pengajian tinggi. Hanya dengan strategi ini, Malaysia boleh gah menerajui kecemerlangan pengajian tinggi secara komprehensif dan berwibawa.

Menjayakan hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 memerlukan sumbangan dan potensi seluruh rakyatnya sama ada yang berpengetahuan tinggi atau berkemahiran tinggi. Sehubungan itu, usaha untuk meningkatkan minat belajar tanpa henti dan pendidikan untuk semua di kalangan rakyat hendaklah dipertingkatkan lagi.

Kementerian akan terus memperkasakan usaha membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat. Misalnya, kini sesiapa sahaja boleh melanjutkan pengajian di Kolej Komuniti hanya dengan kelulusan minimum satu kredit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bukan itu sahaja, golongan pekerja boleh menyambung pengajian di peringkat sijil dan diploma apabila pengalaman bekerja mereka diambil kira sebagai syarat kemasukan. Pendek kata, kini tiada sesiapa yang boleh memberi alasan untuk berhenti belajar.

Tidak dinafikan, kecemerlangan pengajian tinggi turut dibantu oleh sistem penyampaian dan budaya kerja yang inovatif lagi berkesan. Dalam hal ini, fungsi kementerian perlu beralih daripada memberikan penekanan terhadap kawal selia undang-undang (regulator) kepada fungsi pemudahcara (facilitator). Selain itu, aspek nilai untuk wang dalam pengurusan kewangan universiti sebagai sebuah badan berkanun juga perlu dipertingkatkan.

Sesungguhnya, globalisasi telah menjadikan persaingan semakin kompetitif dan negara perlu meningkatkan daya saingnya agar tidak ketinggalan. Masa depan pengajian tinggi Malaysia bukan lagi tentang retorik nasionalisme tetapi mendukung daya saing Malaysia dalam mendepani impak globalisasi.

Kesimpulannya, Malaysia yang maju dan progresif adalah Malaysia yang berupaya menjadikan sistem pengajian tingginya sebagai instrumen dan sumber utama untuk membolehkan ia membina, mengukuh dan melonjakkan daya saing bangsa dan negara di peringkat global. Ini kerana sistem pengajian tinggi yang berupaya melonjakkan kebolehsaingan Malaysia akan menjadikan negara dan bangsa kita lebih kuat dan kental menghadapi cabaran.

Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/