Sabtu, 9 Mac 2013

ISU PENDIDIKAN : Sekolah aspirasi bangsa Malaysia patut diwujud


Oleh :  Dr Amir Hasan Dawi
 
Bangsa Malaysia ialah konsep yang menggambarkan perpaduan dalam negara kita yang mempunyai ciri  kepelbagaian  etnik. Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik memerlukan unsur persamaan dan memahami perbezaan antara satu sama lain. Pembentukan perpaduan adalah usaha berpanjangan sejak mencapai kemerdekaan. Pendidikan mempunyai peranan penting dalam usaha berkenaan.

Sekolah menjadi institusi asas pembinaan perpaduan dari peringkat awal. Di sekolah, kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang dapat bertemu dan bergaul. Persoalan kini adalah sama ada sekolah telah benar-benar dapat menyediakan ruang dan persekitaran untuk berlakunya interaksi antara etnik.

Kepelbagaian aliran

Sistem persekolahan Malaysia berbeza dengan negara lain kerana kewujudan sekolah pelbagai aliran. Banyak pihak mengaitkan sekolah pelbagai aliran pada peringkat rendah sebagai punca berlarutannya masalah perpaduan. Kepelbagaian aliran sekolah dianggap menjadi penghalang berlakunya proses interaksi antara etnik.

Memang tidak dapat dinafikan polarisasi dari segi pemilihan sekolah oleh etnik berbeza begitu ketara. Ibu bapa semakin cenderung menghantar anak ke sekolah beraliran bahasa ibunda. Data Kementerian Pelajaran menunjukkan setiap tahun bilangan mereka yang memilih sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil semakin meningkat. Pelbagai sebab diutarakan mengenai pemilihan sekolah berkenaan. Namun kajian menunjukkan sebab utama adalah kepentingan budaya dan bahasa ibunda yang ingin dikekalkan.

Fenomena memilih sekolah mengikut etnik tidak boleh dihalang. Perlu diakui bahawa kewujudan SJK adalah sebahagian daripada keperluan etnik yang terbabit. Dari segi sejarah, sekolah aliran ibunda telahpun wujud sebelum merdeka. Kini Akta Pendidikan secara jelas menyatakan SJK tidak boleh ditutup kecuali kumpulan etnik berkenaan sendiri yang mahu berbuat demikian. Dalam senario semasa, agak mustahil menutup SJK memandangkan permintaan terhadapnya bukan semata-mata daripada komuniti Cina dan India, tetapi juga Melayu.

Kritikan terhadap kewujudan SJK hanya akan menimbulkan polemik berpanjangan. Etnik berkenaan tentu akan terus mempertahankannya. Namun kita juga harus menyedari kesan pengelompokan di sekolah apabila dalam jangka panjang ia boleh menjejaskan perpaduan. Sikap prejudis dan prasangka akan tertanam dalam diri sekiranya pelajar tidak berpeluang mengenali etnik lain secara lebih rapat.

Jalan penyelesaian perlu dicari untuk mengatasi fenomena pengelompokan. Memandangkan sekolah rendah tidak dapat menyediakan ruang interaksi antara etnik dengan memuaskan, sekolah menengah adalah alternatifnya. Majoriti murid masih melanjutkan persekolahan peringkat menengah di sekolah kebangsaan. Walaupun terdapat permintaan terhadap sekolah pelbagai aliran dan persendirian pada peringkat menengah, bilangannya masih terkawal.

Isunya kebelakangan ini terdapat desakan yang mahukan penambahan bilangan sekolah menengah pelbagai aliran dan persendirian. Maka dikhuatiri matlamat perpaduan bangsa Malaysia tidak tercapai sekiranya pemilihan sekolah mengikut aliran berleluasa hingga ke peringkat menengah.

Sehingga kini diperhatikan kebanyakan sekolah begitu menumpukan kecemerlangan akademik melebihi aspirasi pembentukan bangsa Malaysia. Misalnya Sekolah Bestari, Sekolah Cemerlang, Sekolah Kluster, Sekolah Bitara dan sekolah berasrama penuh (SBP) adalah untuk kecemerlangan akademik. Belum ada sekolah yang benar-benar memberi fokus kepada interaksi etnik di samping kecemerlangan akademik.

Masukkan unsur etnisiti

Kajian menunjukkan terdapat ciri-ciri bersama sekolah menengah yang dikehendaki dalam memenuhi hasrat kumpulan etnik. Sekolah yang dikehendaki dalam konteks kepelbagaian adalah sekolah yang juga memasukkan unsur etnisiti ke dalam persekitarannya. Selain daripada kecemerlangan akademik, sekolah perlu mempunyai antaranya komposisi etnik berbeza, keterampilan bahasa ibunda, pengiktirafan budaya dan pentadbiran yang memahami. Oleh itu, perlu diwujudkan sekolah menengah sebagai model di mana ia mempunyai elemen kepelbagaian yang memberi ruang kepada kecemerlangan dan interaksi antara etnik.

Fokus sekolah menengah dimaksudkan adalah memupuk perpaduan yang dalam jangka panjang memberi kesan kepada pembentukan bangsa Malaysia. Sekolah Bangsa Malaysia memberi peluang kepada pelajar berinteraksi serta memahami etnik lain dan diberi ruang untuk meneruskan elemen budaya serta bahasa masing-masing. Sekolah menengah bercirikan bangsa Malaysia diharapkan menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan semua etnik bersama-sama mempunyai semangat kekitaan sebagai rakyat Malaysia.

Penulis ialah Prof Madya Sosiologi dan Pendidikan di Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 8 Mac 2013

ISU SOSIAL : Bahana khabar angin


PENCEROBOHAN yang berlaku di Lahad Datu, Sabah adalah sesuatu yang sangat asing dalam konteks masyarakat kita.

Pertumpahan darah yang berlaku membimbangkan kita semua. Walaupun kita sering menonton peristiwa seperti itu di kaca televisyen, tetapi kejadian-kejadian seperti itu biasanya berlaku di negara lain.

Apabila berlakunya krisis seperti ini, biasanya yang sering berlaku ialah tersebarnya khabar angin yang mungkin dimulakan oleh sesetengah pihak bagi tujuan suka-suka atau sememangnya disebarkan dengan tujuan tertentu.

Sebab itulah dalam keadaan seperti ini, semua pihak yang terlibat, khususnya orang awam, harus berhati-hati kerana biasanya khabar angin cenderung memberikan implikasi buruk.

Walaupun khabar angin lazimnya akan diabaikan setelah mengetahui bahawa ia adalah berita palsu, bagaimanapun kajian-kajian psikologi menunjukkan bahawa manusia cenderung untuk mempercayainya sebagai benar apabila ia diulang berkali-kali atau disebarkan oleh ramai orang.

Ini adalah kerana manusia akan cuba menterbalikkan persepsi maklumat tadi kepada kenyataan yang asal.

Misalnya, sekiranya dikatakan bahawa produk A adalah baik, walaupun orang ramai mengetahui bahawa ia adalah produk yang tidak baik, tetapi lama-kelamaan orang akan menganggapnya sebagai betul juga.

Suasana sukar

Bagaimanapun, dalam konteks masyarakat, khabar angin biasanya mencetuskan suasana yang sukar dijangkakan. Maklumat asal akan berubah beberapa kali sehinggalah ia sampai kepada penerima yang terakhir. Ini menjadikan khabar angin yang asalnya kecil telah berubah menjadi kian besar dan sukar untuk dikawal.

Pada tahun 1943, telah berlaku satu pergaduhan kecil di Detroit, Amerika Syarikat yang melibatkan remaja kulit putih dan hitam.

Walaupun pergaduhan itu asalnya kecil sahaja, tetapi berakhir dengan kekacauan yang mengakibatkan 34 orang mati, termasuk enam anggota polis, 75 polis cedera dan 1,800 orang telah ditahan.

Ia merebak apabila dua remaja kulit hitam menyebarkan berita bahawa kumpulan kulit putih telah mencampakkan seorang wanita kulit hitam dan anak kecilnya ke dalam sebuah sungai di tempat yang dinamakan Belle Isle Bridge.

Di kawasan kulit putih pula, berita mula tersebar bahawa sekumpulan kulit hitam telah merogol dan membunuh seorang wanita berkulit putih di tempat yang sama juga.

Sebenarnya inilah yang sentiasa berlaku apabila khabar angin mula merebak. Biasanya, khabar angin boleh berlaku dalam dua proses, pemindahan dan pengemaskinian.

Pemindahan berlaku apabila terdapat dua pihak berinteraksi dan pihak yang memberikan maklumat tadi mampu meyakinkan penerima dengan maklumatnya.

Penerima tadi pula akan menyebarkan kepada orang lain dan biasanya dengan pertambahan maklumat baharu bagi tujuan meyakinkan orang yang mendengarnya.

Tersebar pantas

Pada masa lalu, khabar angin hanya tersebar dari mulut ke mulut. Bagaimanapun, dengan wujudnya pelbagai medium teknologi hari ini, khabar angin akan tersebar dengan lebih cepat.

Dalam keadaan konflik dan ketidaktentuan, khabar angin akan lebih mudah dipercayai apabila ia ditandai pula oleh petunjuk-petunjuk lain, walaupun tidak ada kaitan dengan khabar angin tadi.

Misalnya, apabila tersebarnya khabar angin kemungkinan berlakunya rusuhan, ia akan dianggap sebagai benar apabila orang ramai mula melihat perpindahan keluar orang ramai dari satu kawasan ke kawasan lain.

Ia diperkuatkan pula dengan kejadian-kejadian tidak diingini lain, yang mungkin tidak ada kaitannya dengan berita asal yang disebarkan sekali gus menjadikan khabar angin yang disebarkan tadi seolah-olah maklumat yang sangat pasti.

Dalam keadaan orang ramai berasa bimbang dan tertekan, banyak daripada maklumat palsu ini akan lebih mudah dipercayai.

Sebab itu masyarakat perlu berhati-hati. Dalam konteks penyebaran khabar angin melalui internet dan media sosial misalnya, ia akan lebih cepat merebak kerana pembaca tidak berupaya untuk mengenal pasti siapa yang memulakannya.

Ia pula akan disebarkan daripada satu laman ke laman yang lain seolah-olah ia berita yang benar-benar berlaku.

Secara psikologikal, pembaca akhirnya cenderung untuk membuat penafsiran sendiri ke atas maklumat-maklumat yang mereka terima, tanpa meneliti ketulenannya kerana mereka tidak berupaya untuk menilai adakah penyebar maklumat tadi ialah seseorang yang ada kredibiliti atau tidak.

Perkara yang berlaku di Lahad Datu dan beberapa kawasan lain mungkin adalah sesuatu yang tidak kita harapkan.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, kita juga tidak boleh sewenang-wenangnya mempercayai apa sahaja yang kita baca dan dengar.

Mungkin, ada maklumat yang sengaja disebarkan oleh pihak tertentu untuk memerangkap masyarakat untuk bertingkah laku dengan cara yang tidak sewajarnya.

Bersabar dan sentiasa bersedia dengan makluman yang disampaikan oleh pihak berkuasa adalah satu cara yang mungkin dapat membantu kita semua dalam menghadapi krisis seperti ini.

Semoga, kita semua dapat menikmati hari indah seperti sebelumnya. Buat anggota keselamatan yang menjaga kestabilan dan keharmonian negara, kami rakyat Malaysia merakamkan jutaan terima kasih kepada anda semua.

Sumber : http://www.kosmo.com.my/ 

ISU SOSIAL : Had toleransi selagi tidak jejas akidah


Oleh : Lokman Ismail

Toleransi mampu mewujudkan hubungan baik dengan mana-mana pihak dalam urusan membabitkan kepentingan masing-masing. Toleransi dengan penganut agama lain disandarkan kepada hubungan baik membuktikan kebenaran ajaran Islam.

Perlu difahami, toleransi tidak bermakna berdiam diri dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama, maruah diri dan keselamatan. Kita tidak boleh berlembut atau menyokong perbuatan yang membawa kepada dosa dan memesongkan akidah.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu tolong- menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Keras dalam menjatuhkan hukuman.” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Mentafsir ayat ini, Ibnu Katsir menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan orang beriman untuk tolong- menolong dalam kebaikan, meninggalkan kemungkaran serta melarangnya untuk saling bantu membantu dalam kebatilan dan dosa.

Tolak fahaman pluralisme

Meniru atau terikut-ikut cara ibadat bukan Islam adalah batil dan dosa, hukumnya haram. Sikap toleransi sehingga menerima fahaman pluralisme agama yang menyamaratakan semua agama perlu ditolak. Fahaman ini turut didukung sekelompok umat Islam yang dikenali penganut ‘Islam Liberal’.

Aliran atau manhaj Islam Liberal menekankan ciri keterbukaan dan kebebasan dengan mengutamakan akal logik dalam mentafsir ajaran Islam. Aliran ini berusaha untuk keluar daripada kaedah pentafsiran ilmu tradisi serta apa yang sedia ada dalam syariat Islam yang asli dan tulen.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu campur-adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedangkan kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 42)

Islam mewajibkan umatnya berbuat baik kepada bukan Islam apalagi kepada sesama Islam. Ketika ada yang memerlukan bantuan, haruslah dibantu dengan termampu. Jika ada pihak lain membuat ancaman, maka hendaklah membantu mempertahankan hak yang sepatutnya dirasai.

Bangun sikap toleransi

Itulah adab umat Islam dalam membangun sikap toleransi. Rasulullah SAW malah mengancam umat Islam yang berbuat zalim kepada zimmi dengan ancaman tidak masuk syurga.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membunuh bukan Islam yang terikat perjanjian dengan umat Islam, maka ia tidak akan mencium keharuman syurga, meskipun keharumannya itu dapat dicium dari jarak empat puluh tahun perjalanan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Jika toleransi dituntut dalam ajaran Islam, maka perbuatan ekstrem yang berlawanan dengan toleransi sudah tentu amat ditegah atau dibenci. Sesungguhnya, Islam tidak pernah meletakkan tindakan ekstrem sebagai cara untuk mencapai apa-apa maksud atau tujuan.

Ajaran Islam tidak membenarkan umatnya mengamalkan perbuatan ekstrem, bahkan tidak menyokong sebarang bentuk penindasan dan ketidakadilan. Umat Islam ditegah mendatangkan sebarang bencana atau kesusahan kepada pihak lain.

Mana-mana individu Islam yang melakukan perbuatan ekstrem tidak patut mengaku melakukan perbuatan itu atas dasar memperjuangkan Islam.

Justeru, sebarang tuduhan yang dilemparkan kepada umat Islam sebagai pengganas, ekstrem, militan, radikal dan kejam adalah dakyah yang dilakukan oleh pihak berniat jahat terhadap umat Islam. Mereka sebenarnya tidak mengetahui mengenai ajaran Islam yang sebenar.

Media Barat sentiasa melancarkan propaganda untuk menggambarkan Islam sebagai paksi segala kejahatan. Berita membabitkan umat Islam yang digambarkan sebagai pengganas mendapat ruang utama di media massa Barat.

Gambaran itu menjadikan seluruh masyarakat dunia menjadi fobia terhadap umat Islam sedangkan hakikat sebenarnya Islam amat benci sebarang bentuk keganasan. Islam amat mencintai keamanan dan kesejahteraan untuk dinikmati seluruh penghuni dunia ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Memaknakan pendekatan wasatiyyah


Oleh :  Mohd. Yusof Din

KIRA-KIRA setahun lalu, ketika menjawab  soalan Ahli Parlimen Marang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menyatakan suatu perkara yang asas di dalam memberi makna dan rasional kepada usaha kerajaan memperjuangkan konsep kesederhanaan dan wasatiyyah.

Jelas Perdana Menteri: “Kerajaan  akan memperjuangkan konsep Wasatiyyah atau kesederhanaan sebagai pendekatan yang boleh membawa kepada keamanan sejagat dan bukan sahaja untuk membina negara bangsa yang harmoni dan bersatu padu.’’

Saya merasakan, ini adalah pernyataan tegas untuk mengisi iltizam Perdana Menteri dalam memastikan agenda dan pendekatan kesederhanaan ini menjadi suatu modul teras dalam agenda negara. Sebagai sebuah negara yang mempunyai kemajmukan dan kepelbagaian dalam banyak perkara, pendekatan ‘wasatiyyah’ dan kesederhanaan ini  adalah suatu yang sangat wajar dan perlu.

WASATIYYAH’DAN 1MALAYSIA

Hakikatnya, pendekatan kesederhanaan ini tidak terasing jauh daripada matlamat 1Malaysia yang menjadi haluan perdana kepada pembangunan di negara ini. Satu daripada lapan nilai penting 1Malaysia adalah konsep ‘penerimaan’ yang dirasakan lebih ikhlas dan menyeluruh berbanding prinsip ‘toleransi’ semata-mata.

Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik dan mendapat persetujuan secara bersama. Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.

Semua ini hanya mampu direalisasikan apabila kita meminggir fahaman ekstremisme yang boleh mengganggu gugat hubungan antara kaum di Malaysia. Pendirian yang terlalu rasis, pendekatan yang tidak mendahulukan keperluan menjaga keharmonian antara kaum adalah antitesis kepada usaha melahirkan masyarakat yang sederhana.

Memang benar, kita tidak boleh terlalu idealistik sehingga menganggap semuanya akan berlaku seperti yang kita rancang dan ikhtiar. Namun, dalam masa sama, kita tidak perlu mencari jalan untuk mewujudkan perpecahan yang boleh menatijahkan sesuatu yang sukar buat pembangunan negara-bangsa.

MODEL PEMBANGUNAN ‘WASATIYYAH

Kita perlu sama-sama melihat kemungkinan elemen ‘wasatiyyah’ ini digabungjalinkan dengan kaedah kita untuk menzahirkan pembangunan. Ia harus merujuk kepada model pendekatan wasatiyyah yang dibawa sendiri oleh Rasulullah SAW yang secara jelas menitikberatkan kepada usaha melahirkan umat Islam yang cemerlang dunia dan akhirat, seimbang dalam melaksanakan tuntutan dunia dan kejayaan di akhirat.

Oleh yang demikian, model ‘wasatiyyah’ akan memberikan satu fahaman pembangunan ekonomi yang lebih syumul dan holistik. Kita tidak sahaja bercakap mengenai soal pembangunan per kapita. Kita tidak sahaja memberi tumpuan kepada soal pelaburan antarabangsa. Kita tidak terlalu memberi tumpuan kepada soal ratings yang diberikan oleh ‘Big Three’ (Standard & Poors, Moody dan Fitch). Namun, kita membentuk satu model pembangunan yang lebih ‘murni’, bersesuaian dengan masa dan keadaan.

Dr. Umer Chupra, seorang ahli ekonomi yang terkenal menggariskan kriteria lain yang perlu dalam membicarakan soal kesejahteraan ekonomi dalam bentuk yang lebih menyeluruh. Antara kriteria yang lebih perlu diberikan perhatian.

i. Kesejahteraan Ekonomi (Economic Well-being)

ii. Ikatan ukhuwwah masyarakat serta keadilan (Universal brotherhood and justice)

iii.  Agihan pendapatan yang adil (Equitable Distribution of Income)

Nyata, kita tidak sahaja bercakap soal pembangunan ekonomi dalam bentuk fizikal. Namun turut mencerap keperluan membina semangat ekonomi yang memakmur rakyat dalam segenap segi dan cabang.

Kesemua ini tidak terpinggir daripada semangat '1Malaysia; Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan’ yang seringkali diungkap oleh pimpinan kerajaan.

Pembentangan belanjawan yang dilakukan beberapa tahun kebelakangan ini, secara jelas dan bersungguh-sungguh  memperlihat ‘elemen kasih sayang’ kepada rakyat, iltizam untuk membantu rakyat dalam berhadapan dengan kenaikan kos kehidupan dan sebagainya.

Apa yang nyata, model pembangunan yang ‘seimbang’, bukan sahaja dalam membina ruang pembangunan ekonomi baru, namun juga berbicara khusus mengenai soal ‘pengagihan semula’ (redistribution) kekayaan ekonomi dengan rakyat. Jauh sekali untuk menghina rakyat dengan kata-kata yang boleh menyebabkan rakyat nampak kecil dan terhina.

‘WASATIYYAH’DAN HUBUNGAN ANTARABANGSA

Dengan gabungan penduduk berjumlah 500 juta orang, negara ASEAN memiliki potensi yang besar dalam membentuk kerjasama ke arah keamanan dan kemakmuran. Ia mensyaratkan penolakan terhadap sebarang bentuk keganasan, jenayah, ekstremisme dan terorisme. Kejayaan masyarakat ASEAN menuntut sikap menghormati kedaulatan undang-undang, urus-tadbir yang baik, prinsip demokrasi dan kerajaan berperlembagaan.

Apa yang berlaku di Lahad Datu adalah suatu jelmaan kepada elemen ekstremisme dalam mencabar kedaulatan negara tetangga. Ia tidak wajar berlaku, sekiranya kelompok yang terlibat, membuat banyak usaha muhasabah - menilai prioriti dalam membuat keputusan.

ASEAN sewajarnyalah diangkat menjadi ‘oasis keilmuan dan kemakmuran ekonomi’ buat semua negara tetangga. Bersesuaian dengan maksud itu, sebagai sebahagian resolusi ‘Seminar Islam di Asia Tenggara-Cabaran & Harapan’ yang diadakan baru-baru ini, sebuah Sekretariat Kerjasama Nusantara (Sutera) akan diletakkan di bawah seliaan IWM.

Dengan terwujudnya Sutera, kita mengharapkan agar isu-isu Islam di peringkat ‘serantau’ dapat diselesaikan dengan pendekatan kesederhanaan dan wasatiyyah. Jika ini berlaku, kita akan dengan sendirinya dapat melihat rantau ASEAN yang lebih makmur dan progresif dalam berhadapan dengan dugaan globalisasi yang menduga.

IWM - PELENGKAP AGENDA MODERAT GLOBAL

Bagi memastikan Malaysia mampu tampil sebagai pendorong dan peneraju gerakan kesederhanaan di peringkat yang lebih tinggi dan global - IWM mempunyai peranan yang besar untuk memastikan wahana sama dapat difahami dan dihayati di halaman sendiri. Seboleh mungkin, pendekatan wasatiyyah’ ini tidak mahu hanya diletakkan di atas kertas penyelidikan semata.

Disebabkan itulah juga, IWM akan melaksanakan beberapa agenda teras seperti agenda latihan, konsep outreach,  penyelidikan dan penerbitan untuk membugar pendekatan wasatiyyah dengan lebih menyeluruh dan holistik. Untuk peringkat awal ini, penerbitan tiga makalah kecil dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab mengenai konsep wasatiyyah akan diterbitkan dan diedar kepada masyarakat.

Dalam masa sama, kerjasama strategik akan terus disusun untuk menampilkan IWM bukan sekadar institut  biasa - namun bergerak seiring dengan tuntutan masa dan keadaan, sesuai dengan kehendak islah yang sebenar. Untuk itu, ia memerlukan gandingan mantap umara’ dan ulama’ pada setiap masa.

PENULIS ialah Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM)

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Bahasa Inggeris Sebagai Subjek Wajib Lulus Boleh Dilaksana Seawal 2016


PORT DICKSON : Cadangan untuk menjadikan bahasa Inggeris subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh dilaksanakan seawal 2016, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat.

Pelajar yang gagal Bahasa Inggeris tidak akan menerima sijil penuh tetapi mempunyai peluang untuk menduduki semula kertas peperiksaan pada Julai tahun berikutnya, sejurus selepas keputusan SPM diumumkan.

Muhyiddin berkata dalam persediaan ke arah itu, Kementerian Pendidikan telah mula melatih 61,000 guru Bahasa Inggeris supaya mereka menjadi lebih mahir dalam bahasa ini.

Beliau berkata banyak pihak telah memberi maklum balas positif terhadap perkara ini apabila beliau mula mencetuskan idea ini beberapa tahun lalu.

"Saya tidak lihat mengapa ini tidak boleh dilakukan berdasarkan orang ramai, termasuk ibu bapa, yang menyokong cadangan itu.

"Saya juga telah membaca surat yang dihantar kepada akhbar-akhbar di mana ramai ibu bapa mengesahkan (cadangan) ini. Malah, ramai mahu perkara ini dilaksanakan dengan segera," katanya pada Majlis Perasmian Program Memperkukuh Bahasa Inggeris dan Literasi Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa dekat sini, Jumaat.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata latihan guru Bahasa Inggeris adalah di bawah gelombang pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Kebangsaan (2013-2025).

"Gelombang kedua akan bermula pada 2016 dan ia adalah apabila kita mencadangkan ketetapan lulus bahasa Inggeris," katanya, sambil menambah kementerian sekali lagi akan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan, seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru, sebelum melaksanakannya.

Muhyiddin berkata penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar juga bertambah baik sejak kerajaan mula menggalakkan penggunaannya beberapa tahun lalu.

"Saya diberitahu berdasarkan kurikulum SPM sedia ada, hanya 20 peratus pelajar gagal bahasa Inggeris setiap tahun.

"Dengan itu, kita yakin akan dapat mengurangkan angka ini," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata kerajaan komited menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah bagi memastikan rakyat mempunyai penguasaan yang lebih baik.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Khamis, 7 Mac 2013

ISU PENCEROBOHAN BERSENJATA DI SABAH : Citra sedih Lahad Datu & Semporna


Oleh : ISMAIL HASHIM YAHAYA

Bara perasaan, nurani dan kesedihan rakyat Malaysia ketika ini larut dalam duka, tangisan dan keprihatinan mendalam berikutan (sehingga rencana ini ditulis) enam anggota polis terkorban selepas mereka diserang hendap oleh kumpulan penceroboh di Kampung Srijaya, Simunul, Semporna.

Sebelum ini dua pegawai polis juga terkorban dalam pertempuran di Lahad Datu kerana mempertahankan negara daripada  pencerobohan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina.

Duka dan air mata itu tidak hanya dirasakan rakyat negara ini tetapi juga sudah menjadi sebahagian suasana jiwa bangsa ketika ini, khususnya visual yang dilihat daripada media elektronik, media sosial dan cetak.

Liputan media elektronik dengan berlatarkan tiupan trumpet The Last Post begitu mendayu-dayu meruntun perasaan dan sebak di dada mengenang pengorbanan anggota polis yang terkorban.

Citra dari keranda jenazah dilitupi bendera Malaysia, ibu-ibu yang kepiluan, anak-anak yang panik, tubuh-tubuh yang tersayat, tangisan ahli keluarga dengan menyayat hati, telah menjadi kepedihan seluruh negara.

Melalui teknologi pencitraan (atau imagologi) jarak jauh, realiti kedukaan di Lahad Datu dan Semporna menjadi imagologi kepedihan nasional dalam  imagologi kesedihan.

Imagologi adalah ilmu mengenai citra atau imej yang digunakan oleh media dalam masyarakat.

Berbagai media cetak, elektronik dan digital  telah mengangkat berbagai realiti konflik dan kematian ke dalam wujud kehadiran jarak jauh (tele-presence) sehingga pengalaman kepedihan ahli keluarga anggota polis yang terkorban menjadi kepiluan negara.

Pembunuhan anggota polis yang terkorban ini menciptakan ruang kesedaran bersama yang di dalamnya tiada lagi batasan individu, ego, agama, suku, kedaerahan, politik, dan kelas sosial. Semuanya terlarut dalam kebersamaan menghadapi duka, menyatu dalam keperihan dan bersama mencari jalan keluar.

Realiti anggota polis yang terkorban menjadi citra konflik di skrin televisyen, handphone, dan internet; realiti kesedihan menjelma menjadi imagologi penderitaan (imej kesedihan), iaitu berbagai citra tentang pengorbanan di media (televisyen, handphone, internet) yang datang dalam keberjarakan ruang-waktu, yang mampu mengetuk kesedaran dan perhatian manusia, meninggalkan jejak kesedihan mendalam, sekali gus membangkitkan rasa kebersamaan di sebaliknya.

Citra konflik Lahad Datu dan Semporna menjadikan setiap orang mengenali kembali wajah Tuhan yang sebelumnya samar, pudar, luntur ditelan kebosanan gaya hidup konsumerisme dan absurditi politik.

Konflik ini seakan memberikan kejutan untuk menyedarkan manusia bahawa ada dimensi kedalaman, kesedaran dan kemanusiaan di balik kebosanan politik, ekonomi dan kehidupan sehari-hari.

Namun dengan berlalunya waktu, kesedaran ke seharian yang dibangkitkan konflik (seperti di Lahad Datu) akan berlalu dan meredup. Setelah itu, manusia akan kembali ke banaliti ke seharian: kembali kepada amalan rasuah, politik kotor, saling curang dan membunuh serta hidup mewah. Solidariti sosial yang dibangun akibat konflik Lahad Datu dan Semporna akan hanya menjadi penyatuan dan kesedaran sementara.

Kedua, pelupaan horizontal, iaitu pelupaan yang bersifat sosial-teknologis. Setelah konflik, hampir setiap orang mengingatkan mengapa tidak ada peringatan awal, mengapa tidak dibangun teknologi pengesanan pencerobohan yang lebih canggih, mengapa tidak ada sistem maklumat konflik dan mengapa....

Namun, dengan berlalunya waktu, segala peringatan berlalu begitu saja. Tiada tindakan, tiada penelitian dan kesedaran.

Pengorbanan anggota polis begitu besar kepada agama, bangsa dan negara, pilu lagi menyedihkan. Korban yang besar ini menjadi tonggak peringatan. Seakan para “wira Lahad Datu dan Semporna" hendak mengingatkan seluruh warganegara Malaysia: hentikan pembohongan, pengkhianatan, kerakusan, kecurangan, ketamakan; berhentilah jadi “pemerintah dan rakyat pelupa": lupa sejarah, lupa bersyukur, lupa berdoa, lupa kesalahan, lupa dosa, lupa kejahatan, lupa syurga; jadilah warganegara insaf, beriman, bertakwa, humanis dan ikhlas dengan menuruti jalan lurus lagi benar. Alfatihah

*Penulis ialah Timbalan Dekan Fakulti Komunikasi dan Media, Unisel.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU BAHASA : Identiti nasional hanya pada bahasa Melayu


 Oleh : Prof Dr Teo Kok Seong

Kenyataan bahawa bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin adalah bahagian penting kepada identiti nasional kita, selain dapat memperkasanya, adalah tidak tepat. Ia dibuat berlandaskan kecekapan sebahagian rakyat Malaysia dalam tiga bahasa ini. Justeru, dengan cepat, kecekapan dalam pelbagai bahasa ini dimaklumkan sebagai sebahagian identiti nasional kita.

Berdasarkan landasan identiti nasionalisme, hanya bahasa pribumi yang boleh dijadikan identiti nasional. Justeru, bahasa Melayu  saja yang layak lagi sah menjadi identiti nasional rakyat dan negara Malaysia.

Tidak dapat dinafikan kebolehan linguistik ini adalah sesuatu yang baik. Namun, ia tidak boleh dikaitkan dengan persoalan identiti nasional, yang tidak boleh dengan sewenang-wenangnya dirumuskan tanpa mengambil kira unsur kepribumian yang juga prasyarat utamanya.

Keadaan linguistik yang memperlihat adanya rakyat Malaysia yang fasih dalam tiga bahasa ini, lebih cocok dikaitkan dengan profil linguistik nasional atau hal-hal seumpama ini. Lagipun, dengan tidak memasukkan bahasa Tamil pada identiti nasional seperti dimaklumkan itu, kaum India yang juga adalah bahagian penting dalam kependudukan Malaysia, pasti akan berasa kecil hati.

Memang benar bahasa Tamil tidak banyak diketahui oleh rakyat jika dibandingkan dengan bahasa Mandarin. Namun, kalaulah istilah identiti nasional itu ingin digunakan dari sudut kebahasaan atas dasar kewujudan kaum tertentu sebagai bahagian penting dalam kerakyatan Malaysia, bukan saja bahasa Tamil perlu ikut dimasukkan. Pelbagai bahasa lain, khususnya yang pribumi seperti bahasa Iban dan Kadazandusun pun perlu disertakan dalam identiti nasional kita.

Setia kepada tanah air

Konsep identiti nasional yang cuba merangsang perasaan kebersamaan dalam kalangan kita yang pelbagai kaum ini, agar memiliki kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air, berdasarkan satu bahasa pribumi saja, sebetulnya boleh dibahaskan, lebih-lebih lagi dalam konteks negara yang mempunyai kependudukan yang rencam. Perbahasan ini boleh menjadi sengit apabila gagasan tradisional tentang identiti nasional ingin terus diguna pakai, walhal dunia kini sedang mengalami perubahan pesat akibat proses globalisasi.

Namun, untuk negara kita, faktor kaum Melayu yang juga etnik dominan, baik dari segi sejarah mahupun perkembangan semasa, perlu diambil kira apabila identiti nasional disentuh dari apa-apa sudut juga, sama bahasa, budaya mahupun yang lain-lain. Sehubungan ini, etos kaum Melayu dalam beberapa hal, termasuk bahasa Melayu adalah sebahagian penting dalam Perjanjian Etnik atau Kontrak Sosial sewaktu kita mencapai kemerdekaan, dan kini dalam Perlembagaan Persekutuan.

Etos ini yang juga gagasan tradisional itu perlu terus dipertahan untuk menyatakan identiti nasional kita. Dengan ini, tidak harus timbul persoalan kalau bahasa Mandarin dan lain-lain bukan sebahagian identiti nasional. Apatah lagi bahasa Inggeris yang bukan bahasa etnik mana-mana puak signifikan di Malaysia.

Sesungguhnya, bahasa Melayu selaku bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam peranannya sebagai bahasa kebangsaan, adalah identiti nasional rakyat Malaysia. Ia bahasa pribumi selain bahasa etnik kaum majoriti lagi dominan di negara ini. Justeru, ia bukan saja lambang nasional dan indeks identiti setiap individu dan kelompok dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bahasa bezakan rakyat

Yang lebih penting, bahasa Melayu mempunyai keupayaan membezakan rakyat Malaysia dengan warga dunia lain. Perbezaan inilah yang dikatakan identiti nasional. Dalam hal ini, bahasa Melayu menjadi pemisah antara rakyat Malaysia dengan rakyat Korea misalnya. Ini kerana kita dikaitkan dengan bahasa Melayu, manakala mereka dengan bahasa Korea. Dengan ini, melalui bahasa Melayu, wujudlah politi Malaysia yang tidak sama dengan yang dimiliki orang Korea dan lain-lain, sama ada sebagai bangsa ataupun negara.

Pada masa sama, bahasa Melayu adalah penyatu dalam kalangan rakyat Malaysia. Menerusinya, kita berkongsi ciri dan sifat, selain kepentingan yang sama. Melalui semua ini pula, walaupun kita berasal daripada pelbagai kumpulan etnik, kita sebenarnya disatukan oleh penerimaan dan penggunaan bahasa Melayu yang dikongsi bersama.

Walaupun bahasa Melayu identiti nasional, bahasa lain tidak dihalang penggunaannya. Tetapi untuk nasionalisme kebangsaan, bahasa Melayu perlu ditonjolkan secara tunggal, agar etos Melayu terus unggul di tanah watannya sendiri.

Penulis Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/