Selasa, 26 Mac 2013

Teks Ucapan PM Sempena Sambutan Hari Polis Ke-206 : Perjalanan panjang organisasi terbilang


PERTAMA-tamanya, marilah kita bersama-sama mengangkat setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat bersama-sama dalam Upacara Perbarisan dan Perarakan Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-206 pada pagi ini.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan rasa penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana sudi menjemput saya dan isteri bagi turut serta dalam upacara yang gilang-gemilang, lagi penuh bermakna ini.

Sesungguhnya negara tercinta Malaysia tidak mungkin berada pada kedudukan hari ini iaitu sebagai sebuah negara yang semakin hari semakin berjaya, sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi tanpa keamanan dan kestabilan yang dimungkinkan oleh pengorbanan mulia para patriot dari PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia. Bermula dari zaman darurat, membawa kepada era konfrantasi, Tragedi 13 Mei, era insurgensi dan terkini perang terhadap keganasan, tuan-tuan dan puan-puan serta pendahulu telah dengan setia dan tanpa ragu-ragu menyambut panggilan pertiwi tercinta.

Kita menyanjung tinggi 10 orang pahlawan negara, di mana lapan orang darinya adalah anggota PDRM yang telah membuat pengorbanan mutlak, atau ‘the ultimate sacrificekepada negara. Jadikanlah pengorbanan mereka sebagai contoh teladan dan inspirasi kepada kita semua.

Sesungguhnya, khidmat bakti tuan-tuan dan puan-puan tidak sia-sia. Walaupun ada pihak-pihak yang cuba memomok dan memperlekehkan PDRM dan ATM, pihak kerajaan dan rakyat teramai terhutang budi dengan perjuangan anda. Kerajaan juga memberi jaminan untuk terus membela maruah PDRM.

Komitmen kerajaan yang ada pada hari ini terhadap kebajikan para pegawai dan anggota PDRM tidak dapat dinafikan. Kerajaan hari ini sentiasa menepati janji.

PENAMBAHBAIKAN SKIM PERKHIDMATAN ANGGOTA POLIS DIRAJA MALAYSIA

Sebagaimana yang diumumkan di dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam atau MAPPA baru-baru ini, berkuatkuasa mulai 1 Januari 2013, kerajaan bersetuju bahawa, pangkat-pangkat dalam perkhidmatan PDRM kini disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan-lapisan gred jawatan atau gred gaji. Perkara ini saya masih ingat lagi, telah diperuntukkan kepada saya sewaktu lawatan saya di Pulapol ini. Perubahan ini mencakupi perubahan skop fungsi tugas, struktur pangkat juga kelayakan bagi skim perkhidmatan PDRM.

Sebagai contoh, bagi jawatan Penolong Pesuruhjaya Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 48, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 52 Perkhidmatan Awam Am manakala bagi Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 41, kini diletakkan dengan gred jawatan atau gred gaji 48.

Bagi penyetaraan anggota lain-lain pangkat, sebagai contoh, pertama: Koperal PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam Am. Kedua: Lans Koperal PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17, kini disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 20 Perkhidmatan Awam Am.

Kerajaan juga telah melaksanakan pelarasan kadar elaun-elaun seperti Imbuhan Tetap Perumahan, Imbuhan Tetap Keraian dan Imbuhan Tetap Khidmat Polis bagi anggota PDRM.

Di samping itu, bagi mereka yang berjawatan konstabel hingga koperal, kerajaan telah melaksanakan kaedah kenaikan pangkat berdasarkan ‘time-based’, di mana setiap anggota berjawatan konstabel akan mencecah dan akan mengisi jawatan koperal dalam tempoh masa lapan tahun sahaja, jika tiada masalah.

Ini merupakan satu pakej yang cukup bermakna kepada anggota-anggota PDRM. Kita berharap ia akan merangsang setiap anggota PDRM untuk bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai apa juga yang telah kita tetapkan sebagai objektif yang perlu dilaksanakan.

Hari ini dalam rangka terus mempertingkatkan kebajikan pegawai dan anggota PDRM suka saya mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan pelaksanaan skim insurans berkelompok, yang mana akan memanfaatkan seramai 112,145 pegawai dan anggota polis ketika ini.

NKRA MENGURANGKAN JENAYAH

Kerajaan juga ingin mengucapkan tahniah kepada PDRM kerana telah berjaya mengurangkan kadar jenayah sehingga 27 peratus dalam tempoh tiga tahun pelaksanaan NKRA. Justeru, kerajaan akan memastikan PDRM di tingkat upaya dan di struktur sesuai dengan keperluan memerangi jenayah.

Sesungguhnya, kita tidak boleh berasa selesa, malah perlu terus meningkatkan usaha dan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan kadar jenayah di negara ini dapat dikurangkan kepada tahap yang paling minimum, menjelang tahun 2020.

Untuk ini pasukan polis akan ditransformasi daripada sebuah pasukan keselamatan kepada sebuah perkhidmatan kepolisan yang berorientasikan masyarakat. Ini kerana, perkhidmatan polis tidak akan berjaya tanpa sokongan dan keyakinan rakyat. Era baru ini, menuntut supaya PDRM berganjak dan berubah kepada sebuah ‘community based policing service’ di mana di bawah konsep ini, PDRM akan tampil ke hadapan sebagai sebuah pasukan polis yang berwibawa dalam era moden.

Era ini sungguh mencabar, ia menuntut setiap daripada kita untuk mempertingkatkan kemampuan profesionalisme, kemahiran kita, dan di samping itu mengukuhkan nilai-nilai integriti. Saya amat berharap setiap aspek dalam kerja-kerja dan penugasan PDRM akan diberi perhatian yang cukup. Daripada penyiasatan yang cukup rapi, sehingga bukti-bukti yang dibawa ke mahkamah tidak boleh disangkal, kepada menjaga hak asasi manusia dan juga untuk diingatkan melakukan apa sahaja agar masyarakat kita merasakan mereka hidup dalam sebuah negara yang selamat.

Maka, saya ingin menggesa seluruh rakyat untuk berganding bahu dengan pihak polis dan pihak berkuasa yang berkenaan kerana keselamatan dan keamanan negara merupakan tanggungjawab bersama.

Kerajaan juga akan sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada PDRM di dalam memastikan kewujudan kedaulatan undang-undang dan pengekalan keamanan serta ketenteraman awam.

PENGISYTIHARAN ZON SELAMAT SABAH TIMUR (ESSZONE)

Sebagai memberi asas perundangan kepada pengisytiharan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan bagi memelihara hak demokratik serta proses demokrasi untuk penduduk Sabah serta mengukuhkan keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan di kawasan timur Sabah, saya dengan ini ingin mengumumkan, saya telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang diperuntukkan di bawah Ordinan Pemeliharaan Keselamatan Awam 1962, mengisytiharkan pewujudan Zon Selamat Sabah Timur, atau Eastern Sabah Safety Zone(ESSZONE) di Kawasan Timur Sabah yang merangkumi sepuluh daerah, iaitu: Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau berkuat kuasa hari ini.

Pengisytiharan yang hanya melibatkan kawasan yang merangkumi 10 daerah di atas ini akan ditadbir oleh suatu Jawatankuasa yang ditubuhkan menurut Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 yang digubal oleh Menteri Dalam Negeri. Di bawah Jawatankuasa ini, yang akan dikenali sebagai Jawatankuasa Zon Selamat Sabah Timur akan dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah dan dibantu oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif (Chief Executive Officer) serta ahli-ahli yang akan diumumkan sedikit masa lagi. Ketua Pegawai Eksekutif seorang awam akan bertanggungjawab untuk menyelaras dan mengawal selia fungsi dan aktiviti pasukan keselamatan dan juga jabatan serta agensi awam dalam melaksanakan semua prakarsa di ESSZONE. Jawatankuasa ini yang akan beribu pejabat di Lahad Datu, akan bertanggungjawab kepada suatu Jawatankuasa Pemantau yang dipengerusikan sendiri oleh saya, selaku ketua.

Saya suka juga memaklumkan bahawa pada hari ini juga, tiga buah kabin yang akan menjadi asas kepada kewujudan ESSCOMM telahpun sampai di Lahad Datu. Ini bererti ESSCOMM boleh berfungsi dalam masa beberapa hari lagi. Di samping itu, tujuh buah balai polis tambahan akan diwujudkan di kawasan Sabah Timur. Perkara-perkara ini telah disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara, di mana telah saya rundingkan perkara-perkara ini dengan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara. Tujuh balai itu adalah di Lahad Datu iaitu, Tambisan, Tanjung Labian dan Cenderawasih di Felda Sahabat; di Samporna pula ialah Pulau Bum-Bum, Pulau Mabul dan daerah-daerah lain di Pulau Banggi dan Pulau Gaya.

Adalah dijangkakan, kawasan-kawasan tersebut akan menerima kabin-kabin tersebut pada awal April ini. Ini membawa kepada perkara pelaksanaan yang begitu pantas menggunakan kaedah-kaedah yang begitu pragmatik.

Dengan penubuhan Jawatankuasa ESSZONE ini kerajaan mengambil pendekatan holistik dan bukan pendekatan ketenteraan semata-mata bagi melindungi kawasan Timur dan seterusnya mencari penyelesaian kepada punca pencerobohan tersebut.

Ingin saya tegaskan bahawa pengisytiharan ini bukannya, bukannya pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Ini perlu saya ulangi, bukan perisytiharan darurat. Kedua, ia tidak sekali-kali akan menghalang proses pilihan raya yang bebas, telus dan demokratik. Oleh itu, rakyat kawasan Sabah timur jangan risau untuk keluar mengundi dan menggunakan hak mereka mengikut undang-undang. Ketiga, Peraturan-peraturan yang diwujudkan di bawah ordinan ini juga tidak memberikan sebarang kuasa tambahan kepada pihak polis. Kuasa polis sedia ada sudah pun mencukupi untuk menangani situasi ini. Keempat, mana-mana orang yang berpendapat haknya terjejas boleh membawa kerajaan ke mahkamah melalui proses perundangan, dan kelima, bahawa kehidupan akan berjalan seperti biasa di kawasan berkenaan tetapi dengan peningkatan kawalan keselamatan bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Sehubungan itu juga saya ingin menjelaskan di sini bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digunakan untuk menjalankan penyiasatan dan tangkapan dalam semua kes yang melibatkan pengganas di Sabah ketika ini ialah suatu akta yang melibatkan prosedur semata-mata. Ia tidak digubal sebagai akta yang memberikan kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960. Bagi setiap tangkapan yang dibuat di bawah SOSMA, pertuduhan akan dibuat dengan menggunakan undang-undang biasa dan dibicarakan di mahkamah sebagaimana kes-kes jenayah lain.

Peguam Negara akan mengadakan sidang akhbar pada hari ini untuk menjawab segala persoalan yang berkaitan dengan aspek perundangan.

PENEMPATAN SEMULA

Menyedari bahawa punca utama kejadian pencerobohan pengganas yang berlaku di Lahad Datu dan kawasan timur lain di Sabah adalah disebabkan oleh kewujudan beberapa penempatan yang boleh dianggap sebagai mudah terdedah kepada bahaya penyusupan masuk pendatang asing tanpa izin dan orang yang tidak bernegara, maka saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan akan mengadakan inisiatif penempatan semula penduduk yang tinggal di beberapa lokasi di kawasan Timur Sabah itu bagi maksud pemeliharaan keselamatan awam.

Inisiatif yang dibuat di bawah Bahagian III Peraturan-Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013 ini, membolehkan kerajaan menempatkan semula mana-mana orang atau kumpulan orang, khususnya mana-mana orang atau kumpulan orang yang merupakan pendatang tanpa izin atau orang tidak bernegara, ke suatu kawasan yang selamat dan sesuai yang akan ditentukan oleh kerajaan haruslah ditekankan di sini bahawa keputusan untuk menempatkan semula orang atau mana-mana kumpulan orang adalah bagi maksud pemeliharaan keselamatan awam.

Dengan melaksanakan penempatan semula ini, kerajaan akan mengambil pertimbangan bukan sahaja keselamatan dan kesejahteraan orang yang ditempatkan semula ini tetapi juga penduduk sedia ada yang tinggal di kawasan penempatan semula. Selain itu, kerajaan akan mempertimbangkan segala aspek mengenai penempatan semula itu, termasuk mata pencarian orang yang hendak ditempatkan semula di kawasan penempatan semula, dan berunding dengan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri atau Ketua Kampung, mengikut mana-mana yang berkenaan, komuniti sedia ada yang tinggal di kawasan penempatan semula itu. Keperluan untuk berunding Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri atau Ketua Kampung adalah bagi memastikan kepentingan penduduk sedia ada di kawasan penempatan semula terpelihara.

Seperti yang telah saya nyatakan tadi, adalah menjadi matlamat kerajaan bahawa hak asasi rakyat dan kedaulatan undang-undang (rule of law) akan terus dipelihara dan dilindungi, maka kerajaan akan terus memastikan bahawa penempatan semula ini:

(a) tidak akan menghalang mana-mana warganegara di sesuatu kawasan penempatan semula yang terkilan dengan keputusan kerajaan mengenai penempatan semula daripada mencabar keputusan Kerajaan; dan

(b) tidak akan menghalang mana-mana warganegara daripada menjalankan haknya sebagai seorang pemilih dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Menyedari bahawa penempatan semula ini akan melibatkan juga warganegara Malaysia sama ada, sebagai orang yang akan ditempatkan atau sebagai orang yang menetap di tempat penempatan semula, maka kerajaan akan membantu mana-mana warganegara yang haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan telah terjejas secara yang memudaratkan oleh penempatan semula.

Di bawah inisiatif penempatan semula ini juga, kerajaan akan menyediakan tempat tinggal yang sempurna dan memastikan keselamatan bagi orang yang ditempatkan semula. Ini adalah kerana kerajaan sedar bahawa keputusan untuk menempatkan semula memberikan impak yang besar kepada kehidupan masa depan mereka yang terlibat. Penghijrahan ke suatu tempat baharu melibatkan penyesuaian masyarakat terhadap suasana tempat tinggal.

Atas dasar kemanusiaan dan bagi memastikan orang yang terlibat dalam penempatan semula mendapat manfaat daripada inisiatif penempatan semula ini, kerajaan akan memastikan bahawa aspek-aspek seperti kesihatan awam, perkhidmatan perubatan dan sanitasi akan disediakan bagi orang yang tinggal di kawasan penempatan semula, selain peluang pendidikan seperti pendidikan asas dan peluang pekerjaan diperluas kepada orang yang tinggal di kawasan penempatan semula.

Kerajaan juga akan menyediakan latihan dan kelengkapan jika perlu untuk membolehkan orang yang tinggal di kawasan penempatan semula untuk memulakan hidup baru. Bagi maksud ini, kerajaan akan mendapatkan kerjasama, bantuan dan nasihat dan meminta apa-apa bentuk sumbangan daripada mana-mana organisasi atau badan di dalam, mahupun di luar.

Suka saya maklumkan bahawa inisiatif penempatan semula ini, bukan sahaja akan memanfaatkan mereka yang akan ditempatkan di kawasan penempatan semula yang baru, malah ia akan turut memanfaatkan mereka yang tinggal di sekitar kawasan penempatan semula kerana kerajaan akan menjalankan program-program yang perlu bagi kesejahteraan dan kebajikan mereka.

Walaupun inisiatif penempatan semula ini hanya tertumpu kepada kawasan Timur Sabah, tetapi, ia bukan bermakna bahawa kawasan Pantai Barat Sabah dilupakan. Buat masa ini keperluan keselamatan yang lebih mendesak tertumpu ke Kawasan Timur. Inisiatif ini akan diperluaskan ke seluruh Sabah jika diperlukan.

Dalam segala-galanya, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah meragui kesetiaan warganegara Malaysia yang berketurunan Suluk. Mereka warganegara yang mempunyai hak-hak seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara dan kerajaan akan terus melindungi hak mereka dan di samping itu, kerajaan akan terus membela kebajikan mereka.

Saya memuji keberanian dan pengorbanan penduduk Kampung Senalang, Semporna, Sabah pada 3 Mac 2013 yang telah berjaya menundukkan seorang pengganas. Dalam usaha penduduk itu mempertahankan diri dan negara, pengganas tersebut telah terbunuh. Jasa dan keberanian mereka amatlah dihargai.

Sekali lagi, saya ucapkan tahniah kepada pasukan Polis Diraja Malaysia atas sambutan ulang tahun ke-206. Satu perjalanan yang panjang bagi sebuah organisasi terbilang.

Marilah kita bersama-sama melakar masa depan yang lebih baik untuk kita dan anak cucu kita. Saya dan rakyat Malaysia mengimpikan sebuah perkhidmatan kepolisan yang profesional, berkesan dan terbaik. Sebuah perkhidmatan yang mempunyai pegawai dan anggota yang terbaik, peralatan yang mencukupi dan terkini, latihan serta kemahiran yang terbaik di dunia untuk melaksanakan perkhidmatan kepolisan abad ke-21.

Kita impikan sebuah negara maju berpendapatan tinggi di mana jalan raya -jalan raya, taman-taman perumahannya dan kawasan awamnya bebas daripada jenayah agar rakyat Malaysia boleh bersama-sama keluarga di seluruh pelosok Malaysia tanpa rasa bimbang mahupun takut terhadap keselamatan diri dan keluarga mereka. Ayuhlah bersama-sama kita jadikan impian ini sebuah realiti.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KEPENGGUNAAN : Cara mudah membudayakan penjimatan elektrik


PENGGUNA yang terasa beban kos kehidupan sebenarnya, mempunyai dua pilihan untuk mengatasi keadaan itu iaitu berusaha mendapatkan lebih wang atau kurangkan perbelanjaan.

Kekangan masa, bagaimanapun, menjadikan pilihan kedua sebagai lebih mudah dan praktikal untuk dilakukan.

Ini boleh dimulakan dari rumah, antaranya dengan memastikan penggunaan elektrik secara berhemah yang seterusnya mampu mengurangkan perbelanjaan bil elektrik dengan nyata.

Kemampuan mengurangkan bil elektrik dengan penggunaan berhemah misalnya dibuktikan melalui satu projek pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Marudi, Baram, Sarawak.

Projek ini berjaya memenangi pertandingan kecekapan tenaga anjuran Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam), sekaligus membuktikan kadar penggunaan elektrik dapat dikurangkan sehingga 70 peratus dalam tempoh dua bulan.  
  
Melindungi kepentingan semua pihak
    
Ia dianggap sebagai satu penjimatan wang yang ketara, malah Setiausaha Agung Wecam, Foon Weng Lian amat teruja menyaksikan kejayaan penjimatan yang sebenarnya lebih tinggi berbanding 50 peratus sasaran penjimatan.

Kesatuan Wecam ditubuh oleh Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan penggerak lain industri air dan tenaga bagi melindungi kepentingan setiap lapisan pengguna berhubung kitar air dan tenaga negara.

Menariknya, projek pelajar SMK Marudi hanya mengubah beberapa tabiat biasa tetapi amat praktikal termasuk meninggikan suhu penyaman udara di bilik guru dan sebagainya kepada 24 darjah Celsius.

"Banyak pejabat tidak melaraskan suhu penyaman udara mengikut keperluan sebaliknya ditetapkan kepada 16 darjah Celsius sepanjang masa sedangkan tabiat itulah yang banyak merugikan tenaga," tegas Foon.

Terkini, kerajaan juga mengambil inisiatif mengeluarkan pekeliling yang mewajibkan pejabat kerajaan menaikkan suhu penyaman udara sekitar 23-24 darjah Celsius.
  
Contohi SMK Marudi

Beliau mengajak orang ramai mencontohi projek pelajar berkenaan termasuk mematikan penyaman udara dan sebaliknya menghidupkan kipas pada hari hujan, serta kerap membuka tingkap untuk meningkatkan peredaran udara.

Lampu juga jarang digunakan pada waktu siang sebaliknya sekolah itu memilih untuk menghias bilik menggunakan warna terang yang membenarkan pantulan cahaya semulajadi menerangi bilik.

Foon mengakui kagum dengan komitmen pelajar yang berjaya membuktikan bil elektrik boleh dijimatkan dengan banyak melalui transformasi tingkah laku dan tabiat harian.

Justeru Foon menyeru agar pengguna khususnya ibu bapa dapat belajar daripada pengalaman pelajar sekolah itu dan dapat mengubah beberapa tabiat dalam kehidupan seharian bagi membantu mengurangkan perbelanjaan.

Beliau memberi contoh satu tabiat pembaziran universal iaitu tidak mematikan suis televisyen dan dekoder tv kabel apabila tidak digunakan.

"Dekoder yang berada pada mod bersedia sebenarnya masih menggunakan sekitar 85 hingga 90 peratus tenaga elektrik, bayangkanlah berapa banyak tenaga elektrik yang dibazirkan sekiranya ia tidak ditutup sepanjang malam atau 24 jam sehari," tanya Foon.

Arus pendam masih mengalir
  
Selain menutup suis perkakas elektrik yang tidak digunakan, pengguna juga digesa menanggalkan terus palam perkakas daripada punca kuasa elektrik.

Tegas Foon, masih terdapat arus tenaga pendam yang mengalir merentasi palam ke peralatan elektrik berkenaan jika tidak dicabut meskipun suis telah dimatikan.

Malahan, amalan menanggalkan plak sebenarnya menyelamatkan perkakas elektrik, apabila berlakunya arus limpah ekoran ribut petir yang boleh menyambar litar elektrik dan merosakkan perkakas.

Antara tip mudah yang boleh menjadi amalan sekeluarga di rumah adalah memastikan lampu dan kipas dipadam jika tidak digunakan, jangan sesekali meninggalkan komputer dan alatan elektrik lain selama lebih 30 minit tanpa dimatikan dan palamnya ditanggal daripada punca kuasa.

Pilih dengan teliti barangan elektrik yang lebih menjimatkan tenaga seperti TV yang menggunakan monitor LCD, pemanas air segera berbanding pemanas air dalam tong dan lampu kalimantang berbanding lampu mentol bulat. 

Budaya penjimatan elektrik

Apapun amalan penggunaan tenaga secara cekap itu perlu dijadikan budaya walau di mana kita berada termasuk di pejabat, tempat awam atau semasa bercuti di resort.

Bayangkanlah jika setiap daripada kita membudayakan amalan ini, sudah tentu kadar penjanaan tenaga elektrik negara dapat dikurang atau sekurang-kurangnya kekal pada satu paras mendatar. Ini seterusnya akan mengurangkan pembebasan gas rumah hijau ke atmosfera dan membantu mengatasi pencemaran alam sekitar.

Ini juga dapat mengurangkan kos perbelanjaan keseluruhan penjanaan dan penghantaran elektrik negara, lantas mengawal kebarangkalian kenaikan tarif elektrik yang mendadak.

Lagipun sampai bila Petronas mampu membayar bebanan subsidi gas asli sebanyak 66 peratus berbanding harga pasaran, untuk menanggung kos penjanaan tenaga elektrik.

Sedangkan kita sebagai pengguna mahu terus menikmati subsidi dan kita mengeluh apabila tarif elektrik terpaksa dinaikkan bagi menanggung kos penghasilan tenaga yang sentiasa meningkat.

Beli alat elektrik selamat 

Kerajaan sebenarnya menjalankan banyak kajian dan insentif bagi menggalakkan pengguna menggunakan tenaga elektrik secara cekap.

Malah, Suruhanjaya Tenaga yang mewujudkan label jaminan kecekapan tenaga untuk ditampal pada perkakas dan alatan elektrik yang memenuhi piawai keselamatan dan kecekapan penggunaan elektrik.

"Malangnya terlalu ramai pengguna yang tidak membaca apatah lagi memahami label jaminan itu termasuklah jurujual kedai elektrik," keluh Foon.

Selain itu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyediakan baucer program Mencapai Kelestarian Menerusi Kecekapan Tenaga (SAVE) iaitu RM200 bagi peti sejuk dan RM100 bagi penyaman udara yang menepati piawai kecekapan tenaga.

Layari laman web www.switch.org.my serta www.saveenergy.gov.my untuk memahami lebih banyak cara menjimatkan tenaga elektrik serta aplikasi kalkulator untuk mengira sendiri penggunaan elektrik harian anda. - Bernama

ISU PENDIDIKAN : 1,000 pelajar cemerlang STPM Negeri Pahang 2012 dirai

Antara  pelajar cemerlang yang menerima sijil.
Wajah ceria penerima Anugerah Kecemerlangan Khas Pelajar STPM 2012.
KUANTAN : Seramai 1,000 pelajar yang cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 terpilih menyertai Majlis Konvokesyen Prauniversiti Negeri Pahang buat julung kalinya diadakan pada tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakub merangkap Canselor berkata, majlis yang diadakan ini merupakan platform pertama pelajar  untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurutnya, majlis bertujuan memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada pelajar yang berjaya setelah mereka melepasi tahap pendidikan peringkat STPM.

“Majlis ini diharap dapat memberi motivasi kepada pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah dengan prestasi lebih cemerlang dan mengiktiraf bahawa mereka layak untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.

“Secara tidak langsung ia dapat menghidupkan semangat persaingan dalam persahabatan dalam kalangan pelajar ini. Masing-masing akan rasa tercabar untuk memperoleh kejayan,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan pendidikan penting untuk diterapkan dalam jiwa golongan muda yang bertanggungjawab sebagai pelapis pemimpin untuk membangunkan negara pada masa depan.

Adnan berkata, kerajaan sangat menitikberatkan soal pendidikan anak-anak kerana kemajuan sesebuah negara terletak di tangan rakyat.

“Sejak merdeka sehingga hari ini, negara kita masih kekal aman damai dengan kestabilan ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Oleh itu, saya harap agar pelajar yang cemerlang hari ini menjadi contoh teladan yang baik kepada pelajar-pelajar lain,” katanya.

Sementara itu, bagi Anugerah Kecemerlangan Khas kategori pelajar di terima Che Liyana ‘Izzati Che Rozali dari SMK  Jengka 2, Maran dan Mohamad Shamsul Amin Md Yusof dari SMK Agama Pahang, Muadzam Shah yang mendapat keputusan 5 A (4.0).

Menurut Che Liyana, dia berasa bertuah diraikan dalam majlis itu yang sekali gus menaikkan semangat untuknya membuktikan kejayaan pada peringkat yang seterusnya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/.

Isnin, 25 Mac 2013

MELAYU


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!

Sasterawan Negara Usman Awang

ISU PENGAJIAN TINGGI : Gagal kuasai BI punca penuntut IPT tempatan gagal sesi temu duga

Aktiviti debat mampu meningkatkan kemahiran komunikasi  pelajar
Oleh : MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

KOTA BHARU 24 Mac - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang didapati masih lemah menyebabkan mereka sering kali gagal dalam sesi temu duga.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor berkata, selain lemah bahasa Inggeris, siswazah IPT tempatan juga dikatakan memiliki tahap berkomunikasi yang rendah dan perkara tersebut diakui serta sering kali dibangkitkan oleh pihak industri.

"Atas kegagalan itu mereka akhirnya gagal mendapat pekerjaan walaupun berulang kali menghadiri temu duga.

"Pelajar kita ini dari segi peperiksaan mereka bagus, dari segi penguasaan dan komunikasi mereka lemah. Mereka boleh menjawab soalan, tetapi  apabila bercakap, menghadiri temuduga, atau menyampaikan ceramah tidak sampai tahap yang memuaskan. Kita akan memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kebolehpasaran Graduan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kampus Kota,  universiti berkenaan di sini hari ini. - UTUSAN

ISU BAHASA : Frasa di mana tidak boleh jadi penghubung ayat


PERKATAAN mana ialah kata ganti nama diri tanya. Selain perkataan mana, apa dan siapa juga tergolong dalam kata ganti nama diri tanya.

Mana ialah kata ganti nama yang merujuk benda atau orang. Apa merujuk benda dan perkara, dan siapa merujuk orang. Penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut:

1. Apakah yang di dalam kotak itu?

2. Mana buah keranji yang saya bawa tadi?

3. Siapakah yang memenangi acara 100 meter lelaki?

Ketiga-tiga perkataan ini boleh mengalami proses penggandaan untuk membawa rujukan tidak tentu atau penegasan. Misalnya: Apa menjadi apa-apa, mana menjadi mana-mana, dan siapa menjadi siapa-siapa (sesiapa).

Perhatikan perbezaan makna dalam ayat-ayat contoh berikut:

4. Tidak dibenarkan siapa-siapa pun masuk ke dalam dewan ini.

5. Pilihlah mana-mana buah delima yang kamu hendak.

6. Apa-apa yang baik, jadikanlah teladan.

Perkataan mana, apabila didepani oleh kata depan di menerbitkan frasa sendi nama yang merujuk tempat. Misalnya:

7. Di mana kita akan bermalam nanti?

Frasa di mana dalam ayat (7) merujuk tempat kita hendak bermalam.

Namun begitu, wujud pula kekerapan yang tinggi penggunaan frasa di mana ini sebagai kata hubung dalam ayat.

Dalam penulisan, dua ayat atau lebih dihubungkan antara satu sama lain dengan menggunakan kata hubung sebagai ikatan; dan ayat gabungan yang terhasil ini dikenal sebagai ayat majmuk.

Dalam binaan ayat majmuk, kita perlu menggunakan kata hubung yang sesuai dengan maksud yang terkandung dalam ayat supaya ayat yang terbina itu gramatis.

Ayat yang dibina akan menjadi salah tatabahasanya jikalau kata hubung yang tidak sesuai digunakan.

Nampaknya, sudah menjadi satu kecenderungan pengguna bahasa, menggunakan frasa di mana sebagai penghubung antara dua ayat dalam penulisan dan pertuturan.

Dengan berdasarkan fungsi penggunaannya, jelaslah frasa di mana tidak boleh digunakan sebagai penghubung ayat kerana ayat yang terbentuk begitu janggal rasanya, malah ayat yang demikian bersifat keinggerisan.

Perhatikan ayat contoh berikut:

8. Wasiat merupakan satu-satunya cara di mana seseorang itu boleh memberikan hartanya kepada sesiapa yang dikehendakinya.

9. Sesuatu perindustrian di mana barang-barang dikeluarkan mungkin beratus-ratus kilometer jauhnya daripada pengguna.

Ayat (8) boleh dibina tanpa menggunakan perkataan di mana. Malah, tanpa perkataan di mana, ayat itu sudah sempurna maksudnya. Ayat berkenaan boleh ditulis semula sebagai :

8a. Wasiat merupakan satu-satunya cara seseorang itu boleh memberikan hartanya kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Kata di mana dalam ayat (9) pula kelihatan diada-adakan, sedang frasa tersebut dapat digantikan dengan perkataan "tempat" yang lebih jelas dan tepat kepada makna ayat tersebut. Oleh itu, ayat (9) boleh ditulis semula sebagai:

9a. Sesuatu perindustrian tempat barang-barang dikeluarkan mungkin beratus-ratus kilometer jauhnya daripada pengguna.

Demikian huraian ringkas tentang kesalahan penggunaan frasa di mana yang tidak mengikut aturan bahasa. Oleh itu, kuasailah aturan bahasa ini yang telah ditetapkan supaya kesalahan berbahasa dapat dielakkan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Menjadi spesies terbaik di dunia


TAHUKAH anda berapa banyak spesies terkandung dalam lautan sedunia?

Menurut angka terbaru yang tersiar dalam jurnal Current Biology dalam talian, jumlahnya hinggakan sejuta - daripada krustasia terkecil kepada paus terbesar.

Anggaran itu disokong World Register of Marine Species, satu pangkalan dalam talian mengenai spesies marin di seluruh dunia.

Daripada angka sejuta itu, cuba teka berapa banyak spesies ditemui dan dikaji sejauh ini?

Cuma 226,000 atau kurang suku.

Memang spesies baru sering ditemui tanpa henti. Bagi ketam saja, misalnya, 50 sehingga 60 spesies baru ditemui setiap tahun.

Maksudnya, jika anda ada hati menemui spesies baru dan menamakannya dengan nama anda, peluang masih terbuka luas! Bayangkan ketam bernama 'Al-Ketam Rahman Basrun'!

Masalahnya, banyak bahagian dunia belum dapat diteroka, misalnya di dasar laut yang begitu gelap dan besar tekanannya.

Nak sampai ke sana saja memerlukan kepakaran tinggi dan peralatan yang begitu mahal dan istimewa.

Itu baru jumlah hidupan dalam lautan. Bagaimana pula jumlah hidupan di seluruh dunia, baik di darat mahupun di udara?

Alahai, sukar menelaahnya.

Anggaran saintis berbeza-beza.

Namun, satu laporan dalam jurnal PLoS Biology menyatakan jumlah spesies sedunia kira-kira 8.7 juta.

Angka itu berdasarkan kaedah yang dikatakan paling tepat setakat ini oleh para saintis.

Itu pun tidak termasuk bakteria dan beberapa jenis mikrorganisme.

Yang menarik, daripada 8.7 juta spesies itu, hanya kurang 2 juta spesies telah dinamakan dan digolongkan dalam masa dua setengah abad yang lalu.

Nak menggolongkan kesemuanya - satu bidang digelar taksonomi - akan mengambil masa lebih 1,000 tahun lagi jika menggunakan kaedah sedia ada!

Ia sejajar ayat 109 Surah Al-Kahfi - bahawa jka seluruh air lautan menjadi dakwat pun tidak cukup untuk menuliskan ayat-ayat atau ilmu Maha Pencipta.

Secara kasar, terdapat kira-kira 80,500 spesies haiwan jenis vertebrat (ada tulang belakang) - reptilia berjumlah 10,000 spesies, mamalia 5,500, unggas 10,000, amfibia 15,000 dan ikan 40,000.

Bagi haiwan invertebrat (tanpa tulang belakang) pula, serangga 5 juta spesies, araknik 600,000, moluska 200,000, krustasia 150,000, ekinoderma 14,000 dan lain-lain 791,830 - kesemuanya berjumlah 6,755,830.

Tumbuh-tumbuhan pula berjumlah 390,800 spesies - tumbuh-tumbuhan berbunga (angiosperma) 352,000, konifer (gimnosperma) 1,050, tumbuhan tidak berbunga (fern) 15,000 dan lumut (mosses) 22,750.

Sistem taksonomi yang rata-rata masih digunakan hari ini telah dibangunkan oleh ahli biologi Sweden, Carl Linnaeus, pada 1758.

Sistemnya itu menggolongkan spesies ke dalam genus, kemudian family (keluarga), kemudian order, kemudian class (kelas), kemudian phylum dan akhirnya kingdom.

Cendekiawan Islam Al-Jahiz dalam abad kesembilan pula telah secara saintifik menggolongkan haiwan secara teratur - bermula dengan yang paling mudah kepada yang paling rumit - dalam karyanya, Kitab Al-Hayawan, yang turut mengandungi bibit-bibit teori tentang evolusi sebelum Darwin lagi.

Begitulah ketelitian Allah swt dalam mencipta makhluk-Nya, bukan secara rambang, tetapi menurut struktur dan susunan yang pasti.

Bak firman-Nya dalam ayat 38 Surah Al-An'am:

"Tidak seekor binatang yang melata di bumi dan tidak seekor burung yang terbang dengan kedua-dua sayapnya, melainkan (ia juga) umat seperti kamu."

Tiada satu pun diciptakan-Nya secara sia-sia; kesemuanya untuk manfaat manusia - termasuk sebagai sumber makanan, ubat, pengangkutan (kuda) dan riadah (kucing).

Yang mengagumkan, setiap jenis hidupan dalam alam ini berzikir kepada-Nya (ayat 44 Surah Al-Isra).

Dalam hadis riwayat Imam Bukhari, Abu Hurairah ra menukil sabda Nabi Muhammad saw:

"Ada seekor semut pernah menggigit seorang nabi, maka dia memerintahkan agar didatangi sarang semut, lalu dibakarlah sarang itu. Allah menurunkan wahyu kepada nabi itu: "Apakah kerana seekor semut menggigitmu, kamu membinasakan salah satu umat yang sentiasa bertasbih kepada Allah?"

Bezanya, manusia memiliki akal dan mampu membuat keputusan sendiri, sementara haiwan pula mengikuti rasa naluri mereka.

Lantaran itulah, haiwan terlepas daripada perhitungan di akhirat nanti dari segi dimasukkan ke syurga atau neraka.

Persoalannya, kita dijadikan sebagai spesies yang sebaik-baiknya (ayat 4 Surah At-Tin).

Namun, adakah kita menggunakan kelebihan akal kita itu dengan sebaik-baiknya - atau bertindak setakat menuruti naluri binatang?

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/