Sabtu, 8 Jun 2013

ISU KENEGARAAN : Penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong perbuatan subversif


Oleh : Mohd Ayop Abd Razid
 
Di negara kita, sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan mula dilaksanakan sebaik saja negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sistem ini adalah hasil cadangan Jawatankuasa Lord Reid yang bertanggungjawab menyediakan draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Ini bermakna, kedudukan Raja yang sebelum itu bersifat mutlak telah melalui proses ‘legal-rasional’ seperti yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam perkara berkaitan kedudukan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Pada dasarnya, Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara berperanan sebagai ‘payung’ atau pelindung kepada seluruh rakyat Malaysia. Peranan sebagai Ketua Negara ini tidak boleh dipisahkan daripada persoalan mengenai keselamatan keseluruhan Persekutuan Malaysia. Oleh itu, Perlembagaan Persekutuan juga meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Angkatan Bersenjata bagi Malaysia.

Institusi Raja masih relevan

Kedudukan dan peranan ini membangkitkan ‘memori sentimental’ seperti ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’ yang menggambarkan pertautan erat antara Raja dan rakyat seperti berlaku ketika keagungan pemerintahan Raja-Raja Melayu dulu. Walaupun Raja yang ada pada hari ini tertakluk kepada Perlembagaan, institusi Raja masih dilihat penting dalam sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen di negara ini.

Perlembagaan negara memaktubkan dalam Perkara 32 bahawa Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Negara. Namun, kuasa pentadbiran ini dilaksanakan oleh barisan Kabinet kerajaan yang diketuai Perdana Menteri. Kepentingan kedudukan baginda juga dapat dilihat daripada struktur Parlimen itu sendiri yang terdiri daripada tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ini dinyatakan dengan jelas d bawah Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa untuk memanggil, memberhenti dan menangguh persidangan Parlimen. Justeru, cadangan pihak tertentu supaya Dewan Negara dibubar atau ditiadakan seolah-olah menghina, mencabar dan cuba memperkecilkan peranan baginda.

Oleh itu, sebarang cubaan untuk menghina atau membangkitkan perasaan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong adalah dianggap sebagai perbuatan subversif berdasarkan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Demikian juga memperlekehkan titah atau ucapan baginda dalam apa-apa bentuk sekalipun termasuk dalam media sosial adalah satu kebiadaban dan penghinaan terhadap institusi raja di negara ini.

Selain peranan utama yang disebutkan, Perkara 122B menjelaskan bahawa kuasa melantik semua hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi adalah di tangan baginda atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Baginda juga bertanggungjawab mempertahankan kedudukan hak istimewa orang Melayu serta kedudukan kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Peranan institusi Raja dalam memayungi agama Islam di negara ini juga membuktikan bahawa institusi Raja di negara ini adalah bersifat fungsional, bukannya bersifat lambang atau boneka semata-mata. Raja-Raja adalah Ketua Agama Islam di negeri-negeri baginda, manakala bagi Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua agama bagi negeri berkenaan.

Baginda akan dirujuk dalam apa-apa perkara berkaitan agama Islam serta baginda berhak untuk menegur dan membetulkan yang mana perlu serta memberikan cadangan mengenai apa-apa perkara berkaitan pelaksanaan Islam di negara ini.

Fungsi baginda itu adalah selari dengan Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Raja-raja adalah Ketua Agama Islam dalam negeri naungan baginda yang mempunyai kuasa atas hal ehwal Islam. Segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati oleh baginda sebagai ketua agama Islam tidak boleh dipersoal atau dipertikai.

Tidak bersifat politik

Oleh sebab pentingnya institusi Raja ini, maka satu badan yang bertanggungjawab memastikan institusi beraja di negara ini selari kedudukannya dengan Perlembagaan ditubuhkan. Badan tersebut dikenali sebagai Majlis Raja-Raja. Antara fungsinya ialah memilih, melantik dan memecat Yang di-Pertuan Agong. Ahli-ahli Majlis Raja-Raja dikehendaki menerima nasihat kerajaan.

Perlembagaan mengehendaki ahli Majlis Raja-Raja diiringi penasihat yang terdiri daripada Menteri Besar dan Ketua Menteri. Cuma dalam majlis membincangkan hal berhubung dengan institusi Raja termasuk pemilihan Yang di-Pertuan Agong, maka penasihat terbabit tidak perlu hadir.


Kesimpulan, institusi raja di negara ini mempunyai kedaulatan tersendiri mengikut kuasa yang ditetapkan Perlembagaan. Institusi Raja tidak bersifat politik kerana baginda adalah lambang perpaduan kepada semua rakyat. Rakyat seharusnya sedar bahawa taat setia kepada baginda adalah elemen kenegaraan yang sangat penting.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Lebih 10,000 Kematian Akibat Merokok


MACHANG - Tabiat merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian di negara ini setiap tahun, kata Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher.

Beliau berkata pada tahun 2011, sejumlah 11,056 kematian yang berpunca daripada penggunaan produk tembakau dicatat di hospital kerajaan.

Katanya Tinjauan Kesihatan Kebangsaan melalui Global Audit Tabacco Survey Malaysia 2011 menunjukkan kadar merokok dalam kalangan dewasa di negara ini adalah 23 peratus iaitu lebih empat juta perokok.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2013 peringkat Negeri Kelantan di Kampung Kemunchup Luar di sini hari ini.  

Dr Ahmad Razin berkata sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia adalah penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya tembakau dan perlu kepada pengawalan bagi mencegah tabiat merokok.

Katanya kempen berterusan perlu diadakan bagi menyedarkan masyarakat mengenai risiko merokok dan kepada perokok pasif. - Bernama

ISU KEMALANGAN DI JALAN RAYA : Pemandu langgar lari tidak hidup aman


Oleh : KASANABILAH KAMARUL ZAMAN

BETAPA gembiranya hati Alif setelah mendapat tawaran mengikuti rekrut pengambilan anggota oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Sejak zaman kanak-kanak, Alif yang enggan identitinya didedahkan, bercita-cita untuk menyarung uniform tentera.

Di samping dapat berbakti kepada negara, dia yakin masa depan dia dan keluarga akan terjamin memandangkan banyak manfaat yang diperoleh apabila menjadi seorang penjawat awam.

Namun, segala-galanya berubah setelah dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di ibu kota dua hari sebelum mendaftar diri untuk latihan ketenteraan itu.

Menurutnya, impian itu musnah selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada September 2011 sewaktu pulang dari masjid untuk ke tempat kerjanya di Cheras, Kuala Lumpur.

“Kejadian pada hari Jumaat itu tidak akan saya lupakan sepanjang hayat.

“Akibat kemalangan itu, saya terlantar di rumah selama hampir setahun kerana tulang kaki saya patah di beberapa bahagian,” jelasnya yang kini bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi.

Jelasnya, hasratnya untuk menjadi penjawat awam masih ada, namun keadaan fizikalnya yang mengalami kecederaan di bahagian tulang tidak membolehkan dia untuk menjadi anggota pasukan keselamatan negara.

“Semuanya kerana kemalangan yang disebabkan kecuaian orang lain. Saya menjadi mangsa keadaan,” luah anak jati Kelantan ini yang kini berusia 24 tahun.

Cerita Alif, kemalangan itu berpunca daripada sikap pemandu kereta di hadapannya yang tidak memberikan lampu isyarat membelok sebaliknya memasuki simpang secara tiba-tiba menyebabkan motosikal yang ditunggang Alif melanggar belakang kereta itu.

Kemalangan jalan raya akibat kecuaian orang lain sering dilaporkan termasuk yang mengakibatkan kematian. Lebih malang apabila pemandu terbabit melarikan diri selepas menyedari mereka menjadi punca nahas itu.

Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), sebanyak 1,057 kes langgar lari dilaporkan pada tahun 2011 dengan 312 kes melibatkan kematian. Sebanyak 198 kes lagi menyebabkan kecederaan parah manakala 547 kes cedera ringan.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Dr. Tam Weng Wah berkata, pemandu yang tidak bertanggungjawab punca kejadian langgar lari di negara ini.

Takut

“Pemandu berkenaan mungkin berasa takut ekoran kesalahan yang dilakukan. Mereka cemas dan panik sehingga tidak dapat membuat pertimbangan dan terus meninggalkan tempat kejadian,” jelasnya.

Tambahnya, pemandu langgar lari ini tidak akan hidup tenang kerana mereka akan dibelenggu rasa bersalah serta sentiasa diburu.

“Saya menasihatkan pemandu yang terlibat dalam kemalangan atau menjadi punca kemalangan supaya jangan lari.

“Sebaik-baiknya anda bertenang dan menghulurkan bantuan kepada mangsa. Bantuan anda mungkin dapat menyelamatkan nyawanya,” ujarnya.

Tegasnya, pesalah yang melarikan diri tidak akan bertahan lama kerana dengan teknologi terkini serta kecekapan penyiasatan oleh pihak polis, mereka pasti akan diberkas.

“Jadi, anda tidak perlu melarikan diri sebaliknya jadilah orang yang bertanggungjawab.

“Kalau anda harus dihukum sekali pun, terimalah dengan dada yang lapang. Yang penting anda dapat memulakan kehidupan selepas itu tanpa dihantui rasa bersalah,” katanya yang menyokong pemasangan kamera litar tertutup di lokasi yang kerap berlaku kemalangan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Memang lumrah manusia cenderung mengikut peraturan apabila merasakan dirinya diperhatikan atau lebih dikenali sebagai persepsi takut ditangkap,” ujarnya.

Mengulas tentang kes kemalangan jalan raya di negara ini, Ketua Pengarah Miros, Prof. Dr. Wong Shaw Voon berkata, motokar persendirian merupakan kenderaan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan, iaitu sebanyak 546,702 kes mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2011.

“Walau bagaimanapun, bilangan tertinggi pengguna jalan raya yang maut dalam tempoh dua tahun yang lepas adalah penunggang dan pembonceng motosikal yang mencatat kematian sebanyak 4,173 pada tahun 2011 dan 4,178 pada 2012,” ujarnya.

Jelas Shaw Voon, sebanyak 86 peratus daripada kes kemalangan maut adalah disebabkan kecuaian manusia.

“Analisis Miros ke atas kes kemalangan berprofil tinggi, iaitu kemalangan yang mengakibatkan tiga atau lebih mangsa terkorban menunjukkan corak pemanduan berisiko seperti memotong di garisan berkembar dan kawasan selekoh sebagai punca utama kemalangan.

“Memandu laju pula menjadi faktor kedua tertinggi iaitu sebanyak 21 peratus,” ujar Shaw Voon.

Sumber : http : //www.kosmo.com.my/

ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI : Menghukum pengguna internet primitif


Oleh : NORIZAN SHARIF

AKSES kepada internet adalah satu keistimewaan. Akses kepada internet bukanlah satu hak. Sama seperti keistimewaan lain, ia boleh ditarik balik apabila seseorang menyalahgunakannya.

Sebagai contoh, apabila seseorang gagal menggunakan keistimewaan yang diberikan sebagai pemandu, maka lesennya boleh digantung dan dia tidak boleh memandu lagi.

Begitu juga dengan keistimewaan untuk seseorang memasuki sesebuah negara. Apabila dia didapati melakukan sesuatu yang tidak dikehendaki oleh negara itu, maka keistimewaan memasuki negara tersebut ditarik balik. Dia mungkin tidak diberikan visa atau dihalang untuk masuk sewaktu tiba di sempadan.

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan un tuk mengawalselia ketenteraman dan kesejahteraan rakyat, dan salah satu mekanisme yang boleh digunakan ialah dengan membataskan keistimewaan kepada mereka yang gagal menggunakan sesuatu kemudahan dengan betul.

Akses kepada internet adalah satu keistimewaan.

Apabila ketua negara seperti Yang di-Pertuan Agong dihina melalui internet, maka tindakan itu sepatutnya dilihat sebagai penyalahgunaan internet dan hak keistimewaan itu ditarik balik.

Sebelum ini, kita juga melihat bagaimana simbol negara seperti Jalur Gemilang dan lagu Negaraku dipersendakan oleh rakyat Malaysia dan mereka bebas melakukan sedemikian di media sosial.

Bukan sekadar tonggak negara diperlekehkan, malah Allah SWT dan agama Islam juga dipermainkan di internet. Ini adalah satu bentuk penghinaan yang besar dan ia dilakukan secara wewenang, tanpa segan-silu.

Singapura cuba mengawal selia internet dengan memperkenalkan undang-undang. Mana-mana laman web berita yang mempunyai sekurang-kurangnya 50,000 pelawat unik diwajibkan mendaftar dengan Lembaga Pembangunan Media, membayar cagaran dan akur dengan arahan kerajaan untuk menarik balik mana-mana kandungan yang dibantah oleh lembaga tersebut.

Sementara kita boleh bersetuju dengan hasrat kerajaan Singapura, namun mekanisme sedemikian masih boleh dipertikaikan. Undang-undang sedia ada membolehkan kerajaan mengambil tindakan kepada penerbit laman berkenaan yang kebiasaannya merupakan sebuah organisasi perniagaan berdaftar.

Proses pendaftaran laman web seperti yang diperkenalkan di Singapura itu tidak banyak membantu melainkan ia mewujudkan satu senarai laman web untuk dipantau.

Apa yang lebih membimbangkan sekarang ialah penyalahgunaan yang dilakukan oleh orang perorangan. Individu ini berkomunikasi melalui media sosial seperti blog, Twitter dan Facebook.

Sebahagian besar rasa ketidaktenteraman ini diwujudkan oleh individu bukannya organisasi media, walaupun ia kritikan kepada sesebuah kerajaan.

Betul, negara kita mempunyai peruntukan yang cukup untuk mengambil tindakan kepada individu yang melanggar undang-undang negara. Namun ada juga perbuatan yang tidak melanggar undang-undang negara tetapi boleh mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan rakyat.

Maki-hamun, ugutan dan penggunaan bahasa kesat di internet telah menyebabkan tekanan di kalangan pengguna. Ada orang menganggap perbuataan ini sebagai sesuatu yang cool dan menghiburkan. Akibat perbuatan sebegini, internet sudah tidak lagi menjadi satu wadah yang harmoni.

Yayasan i-SAFE melaporkan separuh remaja mengatakan mereka pernah menjadi mangsa pembuli siber manakala hampir separuh lagi mengakui mereka pernah membuli di internet.

John C. LeBlanc, profesor di Dalhousie University, Kanada menemui 41 kes remaja membunuh diri akibat pembuli siber sejak tahun 2003 dan jumlah ini semakin meningkat. American Academy of Pediatrics pula mengatakan pembuli siber adalah sebahagian risiko remaja yang menggunakan media sosial.

Apa yang disebutkan sebagai "Red Bean Army" adalah contoh pembuli siber yang mensasarkan mereka yang tidak sehaluan politik. Hal yang hampir sama berlaku dalam lain-lain bidang termasuklah hiburan, sukan dan lain-lain.

Persoalannya sekarang ialah adakah kita akan membiarkan hal ini berlaku dengan tanggapan bahawa internet adalah bebas dan kerajaan tidak boleh mengawal selia?

Tanggapan mengatakan internet adalah bebas dan tidak boleh dikawal adalah naif dan dangkal.

Akses kepada internet bukanlah satu hak. Akses kepada internet adalah satu keistimewaan dan keistimewaan ini boleh ditarik balik.

Sesiapa sahaja yang melanggan perkhidmatan internet disyaratkan untuk bersetuju dengan "Terma Penggunaan" (Terms of Use). Terma ini menggariskan bagaimana internet seharusnya digunakan.

Bagi mengukuhkan lagi Terma Pengunaan, adalah dicadangkan agar ia disertakan dengan "Polisi Pengunaan Diterima" atau "Acceptable Use Policy" (AUP). AUP menggariskan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh seseorang yang mengakses penggunaan internet tersebut.

Apabila seseorang melanggar AUP, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sebagai pengawal selia internet di negara ini boleh mengarahkan pembekal perkhidmatan internet atau "internet service provider" (ISP) untuk membatalkan langganan perkhidmatan tersebut.

Bagi maksud ini, kerajaan boleh mewujudkan sebuah tribunal di Forum Pengguna (Consumers' Forum) yang sedia ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. Malah, Akta ini memberikan ruang yang besar untuk Forum Pengguna diberikan kuasa tambahan untuk memantau dan menerima aduan pengguna termasuklah dalam isu ini.

Apabila menerima aduan, tribunal ini boleh memanggil pengadu dan orang yang diadu untuk membela diri. Apabila terbukti wujud pelanggaran AUP, maka keistimewaan mengakses internet ditarik balik.

Selain individu, organisasi perniagaan atau entiti seumpamanya bertanggungjawab untuk menentukan akaun internet mereka digunakan secara yang menepati AUP. Mereka tidak boleh memberikan alasan "tidak tahu" apabila akaun internet mereka digunakan untuk tujuan yang salah.

Pendekatan ini bukan saja dilihat lebih efektif untuk mengawal selia internet tetapi juga mendidik pengguna dengan etika penggunaan yang baik.

Akhir sekali, kita tidak perlu mengikuti Singapura untuk melesenkan laman web. Kita ada cara kita untuk menyelesaikan isu yang unik di negara kita. Menarik balik keistimewaan akses internet sudah cukup untuk menghukum mereka yang primitif!


Penulis ialah penganalisis sosio-politik. 

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 7 Jun 2013

ISU PENDIDIKAN : Cerdas fikir dan emosi dalam amalan


Oleh : Prof Dr Sidek Baba

CERDAS fikir memberi makna disiplin akliah yang tinggi membolehkan penjanaan ilmu terjadi dan mampu membentuk pola fikir yang sihat dan sifatnya menyumbang. Ia sangat penting membangunkan fikrah. Cerdas fikir adalah suatu proses.

Binaan fikrah adalah suatu matlamat. Tanpa binaan fikrah berfikir menjadi kosong dan lompang.

Cerdas hati memberi makna ketangkasan hati menerima pedoman ilmu dan maklumat supaya sifat diri memiliki kekuatan rohaniah yang tinggi- berasaskan fikrah dan ilmu yang sifatnya menerangi menjadikan hati tangkas dan hidup, bukan sifatnya mati rasa atau menghadapi kematu rohaniah - menyebabkan sikap tertutup terjadi dan jalan taksub mengambil tempat.

Apabila kekuatan fikir bertaut dengan kekuatan hati, ia disebut oleh Pendeta Zaaba sebagai cernaan akal-budi. Ia penting supaya tautan ilmu yang memberi suluh serasi dengan hati dan membentuk amal yang baik. Hati yang dititipkan dengan kekuatan amanah, adil, bijaksana, telus dan tulus ialah hati yang sentiasa terhubung dengan ALLAH.

Jiwa tadabbur yang tinggi menyebabkan lahirnya petunjuk dan menjadikan manusia memiliki kekuatan amal yang tinggi.

Cerdas emosi menggambarkan emosi matang dan tidak mudah terpengaruh dengan natijah yang membawa keburukan. Emosi melulu umpamanya, merangsang rasa dan nafsu dan sekiranya ia tidak memiliki kualiti disiplin tinggi mudah memesongkan.

Cerdas emosi sangat penting bagi membantu kedewasaan berfikir dan kematangan beramal - menjadi pra-syarat penting menghasilkan sahsiah berkualiti tinggi.

Kehidupan kita sebagai orang Islam tidak berdepan dengan faktor homogenous iaitu sama dan serupa. Faktor kepelbagaian yang fitrah kewujudan manusia menuntut kebijaksanaan yang tinggi untuk memahami dan menyantuninya.

Para dai’ dan murabbi, pendakwah dan pendidik memerlukan kesabaran, ketabahan dan kebijaksanaan tinggi untuk menyantuni mad’u atau sasaran. Situasi zaman Nabi telah meletakkan status iman dan taqwa di kalangan penganut Islam sebagai tidak semua sama. Hal yang sama berlaku di kalangan para sahabat dan tabie at tabieen.

Tetapi peningkatannya berlaku. Lebih-lebih lagi zaman mutaakhhirin (akhir zaman) begini tentu cabaran penghayatan jauh lebih mencabar dan menuntut kecerdasan akliah, rohaniah dan amaliah terpadu supaya usaha dakwah dan tarbiah sentiasa diserapi kesabaran dan kebijaksanaan yang tinggi.

Terlihat pada hari ini ialah keterampilan golongan mustaqjiluun atau gopoh yang tidak mendalami teks apalagi memahami konteks atau waqi’.

Lalu lahir kalimah-kalimah seperti taghut (perosak), kafir, firaun, hisbussyaitan dan kalimah-kalimah negatif yang lain mempertajam hubungan sesama Islam, menghilangkan ukhuwah, merasakan diri sentiasa benar dan orang lain salah dan akhirnya menjadi anai-anai yang merosakkan binaan diri, keluarga, masyarakat dan ummah.

Cerdas fikir menuntut umpamanya warga umat menerima sesuatu perkhabaran dengan rasa teliti dan rapi. Upaya menapis dan menyaring perlu ada supaya terjadi ketelitian hatta menerima berita daripada golongan yang fasiq sekalipun. Ia adalah anjuran al-Quran.

Kecerdasan berfikir menghubungkan maklumat, data, fakta dan ilmu terhubung dengan ALLAH dan sumber-Nya al-Quran.

Bila musuh Islam menyediakan Facebook, blog, Website lantas kita gunakan itu sebagai saluran fitnah, maki-hamun, mehnah, tukang sampuk yang tidak memikir dosa pahala dan akhirnya memakan diri saudara seagama.

Tautan kecerdasan fikir dan hati terlalu amat penting supaya kualiti rabbaniah kita dengan ALLAH menjadikan pembangunan akal-budi sesuatu yang amat rapat dan erat.

Bila akliah disalut ilmu daripada ALLAH dan terhubung dengan binaan hati berasaskan iman dan takwa, ia memberi pencerahan kepada amal.

Akal yang terkandung ilmu yang benar dan hati yang sentiasa hidup dengan binaan takwa bakal membangun niat dan diterjemah dengan amal soleh serta akhlak karimah.

Ia menghasilkan perbuatan yang diredai ALLAH.

Perkara ini yang sedang hilang daripada warga umat menyebabkan orang yang dikatakan berfikir menjadi sombong dan tidak memiliki jiwa ketundukan tinggi.

Orang yang dikatakan mempunyai kecerdasan hati tapi disalut dengan nasfsul amarah bissuk hingga akhirnya menghasilkan amal yang tampak zahirnya menyerupai ibadah tetapi pada hakikatnya adalah amal toleh yang tidak membangun kualiti peribadi contoh yang boleh djadikan sumber ikutan.

Ia menyebabkan kekacauan dan kecelaruan yang parah dalam kalangan warga umat dan menghambat kemajuan dan perubahan yang Islami.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : 12,520 calon duduki SPM (ulangan) SPM 2013


KUALA LUMPUR - Seramai 12,520 calon akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)(Ulangan) 2013 di 232 pusat peperiksaan di seluruh negara Selasa dan Rabu ini (11 dan 12 Jun).

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan hari ini, daripada jumlah itu, 7,148 calon mendaftar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, 2,932 mata pelajaran Matematik dan 2,440 lagi bagi kedua-dua mata pelajaran.

"Seramai 1,207 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar dan keputusan dapat diumumkan seperti dijadualkan," jelas kenyataan itu.   

Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon agar merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan Borang Perakuan Calon Peperiksaan SPM (Ulangan) masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar.- Bernama

ISU ALAM SEKITAR : Pulihara ekosistem marin elak jejas kehidupan


Oleh : Rosmidzatul Azila Mat Yamin
 
“Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya; dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya; dan supaya kamu bersyukur” (Surah an-Nahl ayat 14).

Ayat ini sudah cukup memberi penjelasan kepada kita mengenai nikmat lautan yang tidak ternilai dalam memenuhi tuntutan hidup manusia di atas muka bumi.

Namun, sejauh manakah kita memahami dan menghayati bait ayat yang disampaikan kepada kita baik dari segi kepentingan kitaran semula jadi yang berlaku dalam persekitaran mahupun peranan kita sebagai satu-satunya makhluk yang berakal di atas muka bumi?

Segala yang tersurat dan tersirat dalam setiap ciptaan Allah perlu dikaji dan dirungkai supaya kita lebih menghargai nikmat alam dan mensyukuri setiap apa yang dibekalkan kepada kita.

Umpamanya, simbiosis unik yang berlaku dalam ekosistem marin yang terbentang luas itu sendiri seharusnya menyedarkan kita mengenai kebesaran dan kekuasaan Yang Maha Esa, selain mampu mendorong hati kita untuk menjadi insan yang patuh dan mensyukuri setiap nikmat kurniaan-Nya.

Keunikan ekosistem marin bukan saja digambarkan dari sudut keindahan fizikalnya semata-mata, malah juga dapat dilihat daripada jutaan bio pelbagai yang ada di dalamnya yang membentuk suatu rantaian lengkap makanan.

Dalam konteks ini, kitaran makanan dimulai oleh plankton tumbuhan yang menggunakan cahaya matahari ketika proses fotosintesis bagi menghasilkan makanan sendiri.

Rantaian makanan

Plankton haiwan pula akan memakan tumbuhan atau plankton haiwan lain. Seterusnya ikan, kerang-kerangan dan burung laut memakan plankton yang kemudian makhluk ini dimakan pula oleh haiwan lebih besar seperti anjing laut dan paus.

Begitu unik dan takjubnya kesinambungan hidupan dalam ekosistem marin yang setiap satu saling berhubung kait antara satu sama lain. Rantaian makanan ini penting untuk difahami dan dipelihara kerana kita (manusia) berada di aras terakhir rantai makanan.

Misalnya, kita memperoleh sumber bahan mentah seperti ikan yang menjadi sumber protein utama serta menghasilkan pelbagai produk daripada sumber laut untuk melengkapkan keperluan asas kita.

Justeru, jika berlaku kepincangan ke atas rantaian makanan ini maka kehidupan manusia juga akan turut terjejas.

Kelangsungan hayat bumi

Justeru, amat penting bagi kita untuk memahami setiap proses yang berlaku bukan saja dalam ekosistem marin bahkan juga dalam persekitaran fizikal yang lain agar kelangsungan hayat bumi dapat diteruskan.

Dalam menjaga khazanah lautan, peranan setiap individu adalah penting terutama bagi memastikan laut tidak dicemari dengan sewenang-wenangnya. Mungkin segelintir daripada kita berpendapat bahawa keluasan lautan amat besar dan tidak mungkin ia akan tercemar teruk.

Sebenarnya telahan itu tidak benar sama sekali. Air sungai yang mengalir akhirnya akan menghanyutkan segala bahan cemar ke dalam laut.

Pencemaran ini seterusnya akan membunuh atau menyingkirkan hidupan laut,  baik yang tinggal berhampiran muara sungai mahupun di pantai.

Situasi ini pastinya akan merencatkan kitaran makanan bagi hidupan laut, dan manusia tidak terkecuali menerima impak daripada kepincangan yang berlaku.

Oleh yang demikian, dalam memacu kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga dan melindungi ekosistem marin, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sama-sama menggembleng usaha bagi memastikan khazanah lautan ini dijaga dan dilindungi.

Melihat kepada sumbangan penting yang dimainkan oleh ekosistem marin, maka usaha pemuliharaan perlu menjadi keutamaan dan tiada kompromi kepada sebarang bentuk pencabulan ke atasnya.

Pengisytiharan Hari Laut Sedunia pada 8 Jun setiap tahun adalah satu langkah positif dalam usaha memacu dan memantapkan pemahaman serta kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan biologi pelbagai marin serta keseluruhan ekosistemnya.

Penulis ialah pegawai penyelidik, Pusat Kajian Sains dan dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/