Ahad, 9 Februari 2014

ISU BAHASA : Dilarang pakai tudung di sekolah?


Oleh : MUHAMMAD DAUD

SEORANG jiran menghantar satu maklumat yang mengejutkan melalui WhatsApp kepada saya dengan mempersoalkan tindakan pihak sekolah melarang murid-muridnya memakai tudung.

Setelah membaca hingga akhir, barulah saya tahu bahawa tudung yang terlarang ialah tudung saji, tudung periuk, tudung botol dan tudung cat.

Gurauan tadi membuatkan saya berfikir untuk menulis isu yang berkaitan contoh di atas iaitu perluasan makna.

Perluasan makna didefinisikan oleh Abdul Chaer dalam bukunya Linguistik Umum ialah suatu gejala yang terjadi pada sesuatu perkataan yang pada mulanya hanya memiliki satu makna, tetapi kemudian kerana beberapa faktor perkataan itu memiliki makna-makna yang lain.

Selain tudung, banyak lagi contoh lain yang membuktikan konsep perluasan makna dalam bahasa Melayu.

Perkataan abang misalnya, pada mulanya hanya digunakan untuk merujuk adik-beradik lelaki yang lebih tua tetapi turut digunakan oleh sesetengah isteri untuk memanggil suaminya.

Hal ini demikian kerana telah berlaku perubahan dari segi sosial budaya masyarakat. Pasangan yang dikahwinkan atas pilihan keluarga ini malu-malu apabila berbahasa dengan pasangannya.

Jika anak sulungnya bernama Nariza, suami dan isteri hanya memanggil “emak Nariza” atau “ayah Nariza” kepada pasangannya.

Masyarakat tradisional Kelantan juga lebih tebal perasaan malunya apabila hanya memanggil “emakmu” dan “ayahmu” kepada pasangannya.

Masyarakat sekarang telah berubah sosial dan budayanya kerana perkahwinan berlaku selepas percintaan yang agak lama sehingga mereka tidak kekok untuk menggunakan perkataan abang bagi memanggil suaminya walaupun pada asalnya abang hanya untuk adik-beradik yang lebih tua.

Perkataan belayar yang pada mulanya digunakan untuk menunjukkan perbuatan meredah lautan dengan menggunakan kapal yang ada layar tetapi kini telah digunakan untuk sebarang perbuatan meredah lautan tidak kira dengan menggunakan layar atau tidak.

Perkembangan teknologi menyebabkan terciptanya pengangkutan laut yang lebih canggih untuk meredah lautan. Istilah belayar tetap  digunakan walaupun konsepnya sudah berubah.

Contoh-contoh lain perluasan makna ialah bapa, saudara, putera, puteri, awak, pantau, kawat, kepala, kemudi dan sebagainya.

Kita selalu mendengar ada orang memesan maggi goreng atau maggi rebus, tetapi mi segera yang dihidangkan tidak semestinya berjenama Maggi.

Maggi pada asalnya digunakan untuk mi segera berjenama Maggi tetapi kini semua mi segera difahami sebagai maggi.

Begitu juga dengan ikan sardin yang merujuk sejenis ikan, tetapi kini semua jenis ikan termasuk ikan mackerel diistilahkan sebagai ikan sardin asalkan ditinkan.

Milo pula merujuk jenama sejenis minuman susu yang ditambahkan dengan coklat dan malt.

Nama Milo diambil daripada seorang atlet Yunani yang terkenal dengan kekuatannya iaitu Milo tetapi kebanyakan orang mengistilahkan milo untuk semua jenis minuman susu yang ditambahkan dengan coklat dan malt walaupun bukan daripada jenama Milo.

Ada juga dalam kalangan orang kita yang mengistilahkan colgate untuk semua jenis ubat gigi walaupun pada asalnya hanya digunakan untuk ubat gigi berjenama Colgate.

Perluasan makna juga berlaku kerana perubahan tanggapan dalam masyarakat apabila mempunyai tanggapan bahawa seseorang yang lebih tua daripada kita perlu dipanggil bapa sebagai tanda penghormatan manakala saudara boleh digunakan kepada seseorang yang tidak mempunyai pertalian darah kerana masyarakat percaya bahawa umat Islam itu bersaudara.

Sebagai penutup bicara, dapatlah dikatakan bahawa aspek penggunaan bahasa Melayu amat menarik jikalau dibincangkan secara mendalam.

Namun pengguna bahasa Melayu perlu berhati-hati dalam menggunakannya agar tidak melakukan kesilapan dalam berbahasa.

Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

Sumber  : http : //www.sinarharian.com.my/

Sabtu, 8 Februari 2014

ISU UMUM : Jadilah pemimpin kepada diri sendiri


Oleh : PROF. DR. MUHAYA MOHAMAD

KONSEP pemikiran ‘Reset Minda’ menekankan, betapa dalam hidup ini perlu menjaga atau mengawal akal dan hati. Hal ini adalah kerana hati akan berkait dengan emosi dan akal pula berkait dengan fikiran. Antara akal dengan hati, kedua-duanya saling berkait, yang bermaksud emosi menentukan keadaan fizikal dan fizikal pula menentukan keadaan emosi.

Contohnya jika emosi kita baik/positif (bahagia, berbaik sangka dengan orang, suka bantu tolong orang, mempermudah urusan orang dan seumpamanya) fizikal kita akan turut baik/positif (sihat, cergas, pintar, cekap, bertenaga dan seumpamanya). Demikianlah sebaliknya, jika hati kita buruk/negatif, emosi akan menjadi buruk/negatif dan akhirnya memberikan kesan kepada fizikal/tubuh badan kita.

Analoginya, ambil sebatang besi yang berkarat dan genggam besi itu sekuat-kuatnya. Tentu tangan kita berasa sakit! Adakah kita akan terus menggenggam besi berkarat itu sampai bila-bila atau kita segera melepaskannya? Dalam situasi ini adalah lebih baik jika kita membalingnya sejauh mungkin dari diri kita, agar besi itu tidak mencederakan kita lagi dan mencederakan orang sekeliling kita, terutama orang yang kita sayangi.

Begitulah dalam keadaan menempuh kehidupan ini, sesuatu yang menyakitkan hati kita, yang akan memberikan kesan negatif kepada emosi dan memeningkan akal kita mestilah kita hindarkan jauh-jauh dan sesegera mungkin. Hal ini adalah kerana apa-apa yang kita fikir dan percaya akan menjadi tindakan dan hasil kehidupan (dari segi bahagia, tenang, sihat dan kewangan kita) yang akhirnya memberikan kesan kepada fizikal.

Jika kita diumpat atau dihina orang, adakah kita akan marah dan menyimpan dendam? Patutkah kita menyimpan perasaan negatif itu hingga berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan atau bertahun-tahun? Sedangkan orang yang mengumpat, mengata, dan mengutuk kita itu, mungkin hanya menggunakan masanya lima minit sahaja untuk memuaskan hati negatifnya dan melunaskan tabiat negatifnya itu.

Akhirnya akibat memendam rasa, kita mengalami tekanan perasaan/stres dan mudah diserang pelbagai jenis penyakit. Jangan menyalahi nasib diri, berasa rendah diri, tidak yakin kepada kemampuan dan kebolehan diri sendiri. Ingatlah bahawa kita hamba Allah, kita sama sahaja ada lebih dan kurangnya. Kelebihan kita melengkapkan kekurangan orang, dan kekurangan kita dilengkapkan oleh kelebihan orang lain." Yang hebat hanyalah Allah SWT.

Tip hidup bahagia

Tip untuk menjadikan kehidupan ini bahagia, ceria dan bermakna. Pertama, belajar untuk tenang dan rehat-rehatkan minda.

Kedua, masuk ke dalam bilik dan duduk bersendirian, untuk renungkan diri dan bermuhasabah diri atau melihat ke dalam diri kita. Cari di mana kekurangan diri kita yang perlu diperbaiki dan di mana kebaikan yang perlu dipertingkatkan. Ingat, orang yang tidak suka hidup bersendirian bermakna dirinya berada dalam kategori orang yang tidak menyayangi dirinya. Orang yang tidak sayang akan dirinya ialah orang yang tidak sayang Allah dan tidak bersyukur kepada-Nya.

Ketiga, gunakan kaedah ‘senaman cermin minda’. Gunakan otak atau minda untuk membuat keputusan hidup kita. Bayangkan apa yang kita hendak jadi atau fokuskan pada masa akan datang, dengan tengok kekuatan dan kebolehan kita (refleksi diri). Gambaran dalam fikiran kita itulah kehidupan kita.

Keempat, cakap yang baik-baik sahaja dan fikir yang baik-baik sahaja tentang diri kita. Kerana kata-kata kita adalah doa dan tindakan Allah berdasarkan apa yang ada dalam fikiran kita. Jika kita bersangka baik maka baiklah jadinya, sebaliknya jika bersangka buruk maka buruklah jadinya.

Semoga sifat positif menjadi amalan kita dan niat untuk bahagia dan membahagiakan sentiasa ada. Ingatlah yang paling berharga dalam hidup ini ada dua. Pertama, masa. Iaitu masa lalu menjadi sempadan kehidupan kita dan masa hadapan menjadi perjuangan hidup kita. Masa yang berlalu tidak boleh ditebus, dibeli atau diganti, maka itu hargailah setiap detik waktu dengan perkara yang berharga. Kurangkan bercakap tetapi lebihkan tindakan yang cekap. Kata Profesor Hamka, “Orang yang bijaksana itu dikenali daripada ringkasnya kata-kata dan indahnya pergaulan".

Janganlah jadi orang yang hidup dalam kesedaran keegoan yang tinggi dan sangat menjaga reputasi berdasarkan tanggapan orang lain atau terlalu memikir apa yang orang lain kata. Tetapi jadilah, manusia yang kesedaran ketuhanannya sangat tinggi yang hanya fikirkan apakah pandangan Allah. Jadilah orang yang menjaga hubungannya dengan Allah dan sesama manusia serta bebas daripada penghargaan atau cemuhan manusia. Jadilah orang yang berilmu, yang menggunakan ilmunya untuk memberi ilmu yang bermanfaat kepada orang lain. Dan jadilah orang kaya yang menggunakan harta kekayaannya pada jalan Allah.

Kitalah yang memimpin diri kita, sama ada untuk mencorakkan hidup kita dengan warna-warni ceria atau warna-warni suram dalam sepanjang kehidupan kita. Bagaimana kita melihat dunia ini, ibarat kita memakai cermin mata. Jika cermin mata pilihan kita berwarna hitam, kita akan melihat dunia ini dengan warna kehitaman. Jika memakai cermin mata berwarna coklat, dunia yang kita pandang akan berwarna coklat.

Andainya kita memilih cermin mata berkaca cerah, akan cerahlah dunia yang kita pandang. Sesungguhnya tangan kitalah yang menentukan ‘cermin mata kehidupan’ pilihan kita. Maksudnya, kita yang memimpin diri kita jalan yang menjadi laluan hidup kita. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

Penulis ialah Profesor Oftalmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili dan Felo Dakwah Yadim.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 6 Februari 2014

ISU EKONOMI : Kenaikan harga perlu penyelesaian lestari


Oleh :  PROF. FATIMAH MOHAMED ARSHAD

TURUN naik harga makanan adalah norma pasaran. Rata-rata hakikat ini diterima oleh rakyat jelata. Malahan pasaran perlukan harga turun dan naik untuk membolehkan masalah lebihan atau kekurangan produk diatasi. Apabila berlaku lambakan, hanya melalui harga yang rendah, stok berlebihan boleh dijual, begitu juga sebaliknya. Ini adalah fungsi asas harga.

Tetapi, apabila kenaikan harga melebihi paras normal, atau harga meningkat berlebihan, gejala ini sukar diterima oleh pengguna terutama yang berpendapatan rendah. Kegelisahan mereka ini sebenarnya berasas.

Ini kerana sejak kebelakangan ini, harga makanan menampilkan peningkatan lebih daripada biasa atau berlebihan. Peratus peningkatan lebih tinggi daripada yang ditunjukkan sebelum ini.

Persoalan yang timbul adalah: Adakah peningkatan ini disebabkan oleh ketidakseimbangan penawaran dan permintaan atau disebabkan oleh orang tengah atau peniaga yang sengaja mahu menangguk keuntungan di dalam situasi pasaran yang menunjukkan trend harga menaik?

Menuding kepada orang tengah sudah menjadi jalan mudah untuk mencari jawapan. Hanya data boleh menjawab persoalan ini, iaitu dengan membandingkan kos pengeluaran dan keuntungan. Semudah itu. Tetapi nampaknya data bukan prioriti utama setakat ini.

Namun, penelitian ke atas dinamik perseki¬taran semasa merumuskan kenaikan harga disebabkan oleh gabungan faktor fundamental dan teknikal. Faktor fundamental merujuk kepada interaksi penawaran dan permintaan. Faktor teknikal merujuk kepada persepsi pengeluar, peniaga dan pengguna mengenai trend pasaran dan yang lebih penting, tindakan yang mereka ambil.

Apabila permintaan mengejar pena¬waran, harga akan meningkat. Dan apabila penawaran melebihi permintaan, harga akan jatuh. Ini hukum pasaran bebas. Peningkatan taraf hidup, penduduk yang bertambah (di mana dua juta lebih ialah pendatang), gaya hidup yang berbeza dan pola pemakanan yang berubah telah meningkatkan permintaan semua produk dan komoditi makanan.

Dalam kalangan pengguna berpendapatan rendah, permintaan ke atas beras meningkat dan makanan harian yang lain seperti sayur, buah, ikan dan ayam daging. Dalam kalangan pengguna berpendapatan tinggi pula, permintaan ke atas makanan ‘berkualiti’, ‘berkhasiat’ dan ‘segera’ telah meningkat. Ini termasuk ayam daging, produk tenusu, sayur segar dan buah-buahan temperate, daging lembu dan kambing import serta makanan proses.

Tetapi pengeluaran makanan dalam negeri tidak serancak permintaan.

Data menunjukkan bahawa pengeluaran makanan di Malaysia masih bergerak dalam kadar perlahan dan pergantungan kepada import masih lagi serius. Sektor pengeluaran masih di takuk lama terutama dari segi teknologi (pengeluaran dan lepas tuai) sehingga bekalannya sering tidak stabil. Ini kerana tanpa teknologi yang sesuai, pengeluar tidak dapat mengawal penyakit atau produktiviti rendah, kerugian lepas tuai tinggi dan tidak dapat menangani masalah cabaran cuaca.

Pensijilan dan pengawalan kualiti masih jauh di bawah apa yang diamalkan oleh Thailand. Produktiviti buah-buahan dan sayur-sayuran di Malaysia terendah di rantau ASEAN. Kemajuan dalam pengeluaran daging lembu dan kambing masih belum boleh dimegahkan.

Apabila pengeluaran masih di tahap tradisional, kecil-kecilan, sebarang kejutan seperti penyakit dan cuaca buruk menyebabkan penawaran menjadi tidak menentu dari segi kuantiti dan kualiti. Sering kita dengar, bila berlaku lambakan durian, buah dokong dan rambutan, harga sangat rendah kerana tiada laluan untuk diproses. Kegunaan untuk diproses adalah sangat-sangat minimum.

Pengeluaran komoditi makanan yang tidak menentu berdepan dengan permintaan makanan yang tidak anjal ataupun tidak berubah dengan pantas apabila paras harga berubah. Maka tidak menghairankan apabila harga meningkat dengan mendadak apabila berlaku kejutan seperti banjir, wabak penyakit dan cabaran lain.

Dalam kata ringkas, pengeluaran makanan di Malaysia tidak memiliki kapasiti bertahan kerana sangat sensitif kepada gejala alam dan perubahan pasaran. Inovasi yang ada tidak mencukupi untuk mem¬bendung masalah ini.

Import makanan nampaknya mewah, iaitu bekalannya terjamin dan boleh disumber dari banyak negara pengeluar. Ketersediaan import secara tidak langsung tidak mendorong sektor makanan negara untuk menjana pembaharuan.

Malaysia memilih untuk mengimport buruh murah dari luar negara bekerja dalam kebun sayur atau ladang daripada meningkatkan kecekapan dan produktiviti tanah, buruh dan modal. Ia mengatasi masa lah kekurangan buruh dalam jangka pendek tetapi tidak meningkatkan produktiviti dalam jangka masa panjang.

Kenaikan harga makanan juga didorong oleh kenaikan dalam harga input seperti baja, bahan kimia, tanah, buruh dan mesin. Walaupun kerajaan melindungi harga petrol dan diesel, namun harga baja telah meningkat 70% dalam dua tahun lepas dan tahap upah juga meningkat.

Dalam pasaran makanan yang tidak menentu dan berisiko tinggi, persepsi adalah pertimbangan utama kepada pengeluar, peniaga dan pengguna dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan.

Peserta industri membaca dan membentuk persepsi ke atas pengumuman mengenai pelaksanaan GST, penarikan subsidi gula, kenaikan kos input dan upah serta rancangan untuk menarik pelbagai subsidi terutama petrol secara berperingkat-peringkat. Besar kemungkinan peniaga mengambil langkah berjaga-jaga dengan meningkatkan paras harga untuk memi¬nimumkan impak perubahan semua ini ke atas perniagaan mereka.

Faktor di atas adalah yang mudah dipertahankan untuk menerangkan gejala kenaikan harga. Namun, faktor serius yang tidak disedari ramai adalah faktor sistemik yang menular sekian lama, iaitu peminggiran sektor makanan kerana penekanan kepada perindustrian mulai 1980-an. Seperti yang terbukti pada 2008, kejutan krisis mendedahkan daya tahan sektor makanan negara yang tipis sehingga menggugat sekuriti ma¬kanan.

Apakah opsyen kepada Malaysia untuk membendung kenaikan harga ini? Seperti biasa, penyelesaian jangka pendek mudah dilaksanakan. Tetapi penyelesaian yang lestari memerlukan perancangan dan komitmen politik yang jitu.

Strategi jangka masa pendek termasuk mengimport produk dan komoditi makanan. Penawaran boleh dianggap stabil kerana kebangkitan negara pengeksport seperti China, India, Vietnam, Myanmar selain pasaran yang telah bertapak lama seperti Thailand.

Memantau dan mengawal harga makanan memang strategi yang baik, tetapi  ia memerlukan sokongan seperti pasaran yang kompetitif, sistem maklumat pasaran yang cekap dan kesedaran dan keprihatinan dalam kalangan pengguna.

Dalam jangka masa panjang, apa yang lestari dan berkekalan adalah struktur industri makanan yang dinamik dan bertumbuh. Masalah struktur dan sis¬temik yang membatasi kemajuan sektor ini dalam dekad-dekad yang lepas perlu diperbaiki.

Pengalaman di Taiwan, Korea dan Thailand dan di negara Barat menunjukkan pendorong utama kepada pertumbuhan adalah teknologi. Teknologi boleh membantu dari segi kecekapan kos, produktiviti, nilai tambah yang tinggi.

Cabaran seperti tarikan sumber yang kuat daripada sektor industri dan bukan makanan, perlu perlu ditangani dengan lebih banyak suntikan pelaburan infrastruktur, insentif, sokongan institusi dan R&D. Semua ini telah tercatat dalam polisi pertanian negara, tetapi memerlukan penekanan yang lebih serius dan pendekatan baru.

PENULIS ialah Pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (Infoport), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 5 Februari 2014

ISU BAHASA : Corak berbahasa pengaruhi komunikasi


Oleh : Teo Kok Seong

Cadangan supaya jemaah menteri diberi kursus untuk berhadapan dengan media adalah baik. Sesetengah menteri tidak memiliki kemahiran berkomunikasi yang baik semasa berhadapan dengan media. Mereka juga didapati tidak menguasai asas proses komunikasi untuk menyampaikan maklumat dengan jayanya.

Secara umumnya, komunikasi membabitkan penyampaian maklumat yang kemudian boleh membawa kepada penyebarannya.

Oleh itu, adalah penting untuk seseorang itu mempunyai pengetahuan baik tentang proses penyampaian dan penyebaran ini.

Ini untuk memastikan sesuatu maklumat itu difahami dengan baik untuk disebarkan kelak.

Komunikasi berkesan, yakni kebolehan menyampaikan maklumat dengan baik, lebih-lebih lagi secara lisan, adalah antara syarat penting dalam perkembangan kerjaya banyak pihak. Ia memberi tumpuan kepada pelbagai unsur komunikasi yang berjaya, termasuklah kebolehan bercakap dengan pihak yang mempunyai sikap permusuhan.

Kebolehan begini sudah tentu amat bernilai kepada seseorang menteri dalam memberi tindak balas kepada pelbagai isu negara sewaktu berhadapan dengan media dalam komunikasi kelompok kecil. Ia juga penting apabila menghadapi khalayak dalam komunikasi awam.

Selain ini, bahasa ikut memainkan peranan penting dalam komunikasi. Melalui penggunaan bahasa yang jelas dan tepat, seseorang itu dapat menyatakan pendapat dan pemikirannya bukan saja dengan mudah, tetapi baik pula.
Perkataan dan susunannya dalam pelbagai gaya, tentu boleh menghasilkan pelbagai kesan.

Sebagai contoh, dalam kebanyakan keadaan, penggunaan perkataan dan ayat konkrit yang lebih langsung sifatnya dan tepat pula mesejnya, didapati lebih berkesan daripada penggunaan gaya abstrak.

Penggunaan perkataan dan ayat abstrak boleh membawa kepada pelbagai pengertian dan salah faham.

Aspek bahasa

Perkataan adalah aspek bahasa yang penting dalam komunikasi. Melalui pemilihannya yang tepat, seseorang itu bukan saja mampu menghuraikan isu rumit. Dia juga dapat berkomunikasi dengan kumpulan sasar lebih lancar yang dapat memahami maklumat yang disampaikan itu dengan jelas.

Untuk menyampai dan menyebarluaskan dasar kerajaan, seorang menteri itu perlu antaranya menggunakan corak bujukan semasa berkomunikasi, baik dengan media mahupun khalayak.

Corak berbahasa ini mempunyai dampak penting ke atas rakyat, untuk membuat keputusan positif terhadap maklumat yang disampaikan.

Bahasa bujukan

Tujuan bahasa bujukan adalah untuk membangkitkan kepercayaan dan mewujudkan keyakinan pada pihak yang disasarkan. Dengan ini, pihak yang disasar dapat dipengaruhi untuk menukar sikap mereka daripada yang negatif kepada yang sebaliknya.

Sebagai contoh, ini boleh berlaku apabila rakyat mula menerima gagasan untuk berkongsi kenderaan semasa berulang-alik ke tempat bertugas, setelah diusulkan oleh kerajaan.

Untuk diterima rakyat, usul kerajaan ini perlu dilakukan berlandaskan logik. Ini bermakna ia menggunakan pertimbangan rasional yang boleh mengambil bentuk paparan dalil.

Untuk ini, pelbagai bukti  daripada beberapa sumber digunakan untuk memperlihat kearifan tindakan berkongsi kenderaan itu.

Selain dalil digunakan, kredibiliti pihak bercakap adalah syarat lain yang penting dalam komunikasi, khususnya corak bujukan.

Sehubungan ini, beberapa aspek, antaranya kecekapan, amanah dan orientasi pada pihak bercakap penting.

Seorang menteri berkebolehan, boleh dipercayai dan berprinsip, sewaktu menyampaikan maklumat mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), didapati lebih berjaya memujuk rakyat menerima gagasan baharu ini. Beliau dilihat seorang yang berwibawa.

Kewibawaan ini yang ikut diperlihat melalui pengetahuan beliau yang luas, setelah memahaminya dengan baik daripada taklimat yang diberikan dan pembacaan sendiri, sudah tentu dapat meyakinkan rakyat segala apa yang disampaikan mengenai GST itu adalah rasional, dan perlu disokong.

Dalam pada itu, bahasa bujukan itu yang digunakan oleh menteri itu hendaklah juga kuat dan mantap daripada beberapa segi lain. Antaranya penghujahan, pembuktian dan penyangkalan.

Secara umumnya, penghujahan adalah usaha mengetengahkan saranan GST dan pewajarannya.

Pembuktian pula merujuk kepada usaha mengemukakan maklumat mengenai GST. Manakala penyangkalan adalah usaha membantah hujah dikemukakan pihak yang menentang GST.

Sebenarnya bahasa bujukan ini tidak wujud begitu saja. Ia perlu dirancang untuk disampaikan dengan hemat kepada rakyat.

Penulis ialah Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 3 Februari 2014

ISU KEIBUBAPAAN : Didik anak angkat secara berkesan


Oleh : NORSALEHA MOHD SALLEH

APAKAH kasih sayang dan pendidikan agama yang disemai si ibu boleh mengubah perangai buruk anak angkat yang diwarisi daripada genetik keturunannya? Persoalan itu dilontarkan kepada penulis oleh seorang ibu yang memelihara dua anak angkat. Penulis percaya, kerisauan ini dikongsi semua ibu, sama ada anak itu anak angkat atau anak kandungnya sendiri.

Setiap ibu mengimpikan kesempurnaan anak - cantik, kacak, pintar, disayangi ramai. Begitulah harapan dan impian seorang ibu.

Kata orang,  impian semalam kenyataan hari ini. Impian hari ini kenyataan hari esok. Sepanjang pemerhatian dan kajian penulis, setiap anak boleh memiliki sikap dan akhlak mulia tanpa mengira latar belakang ibu bapa mereka. Yang penting si ibu sentiasa berusaha mendidik dan menyemai nilai agama dalam jiwa anak.

Menurut Imam al-Ghazali, sikap dan tingkah laku seseorang dipengaruhi hati dan jiwanya. Seandainya dia memiliki hati bersih dan jiwa damai, tingkah laku yang ditunjukkan pun baik.

Ini menunjukkan pentingnya peranan hati dan jiwa seseorang dalam membentuk tingkah laku.

Ibu yang mahu anaknya berkeperibadian mulia hendaklah berusaha memelihara hati dan jiwa anak daripada dikotori pelbagai faktor yang negatif. Sebenarnya banyak faktor negatif boleh mengotorkan hati anak dan mempengaruhi sikap dan tingkah lakunya ke arah keburukan. 

Televisyen, gajet, telefon pintar, komputer, internet dan rakan sebaya adalah faktor negatif yang boleh mengubah sikap dan tingkah laku anak jika tidak dikawal dengan baik.

Sebenarnya kesibukan ibu bapa serta pengabaian ke atas anak adalah antara faktor utama yang menyebabkan tingkah laku anak menjadi buruk. Kita tidak boleh meletakkan kesalahan dan alasan kepada keturunan dan genetik di atas sikap buruk yang ditunjukkan anak.

Mungkin ya, sikap panas baran itu diwarisi daripada bapanya. Tetapi sikap ini boleh diasuh dan dibimbing menjadi baik sekiranya si anak mendapat perhatian dan kasih sayang daripada kedua orang tua angkatnya atau orang tua kandungnya.

Hari ini, kebanyakan ibu bapa lebih melayan rakan dalam WhatsApp, Facebook, Twitter dan lain-lain saluran daripada melayani karenah anak seperti luahan perasaan, aduan dan perkongsian cerita.

WhatsApp, Facebook, Twitter adalah fitnah yang boleh merosakkan hubungan kita dengan anak. Apa salahnya kita tunaikan dahulu hajat dan keperluan mereka. Dengar dahulu keluhan dan cerita suka duka mereka. Sikap prihatin dan kasih sayang yang ditunjukkan ibu bapa boleh mengubah sikap dan tingkah laku mereka.

Mengubah tingkah laku dan mendidik anak tidak semudah membaca abc. Ia memerlukan keikhlasan, kesungguhan dan kesabaran ketika melayani karenah mereka. Perasaan ibu mesti kuat apabila berhadapan dengan perangai anak yang menyakitkan hati. Mungkin sikap buruk ditunjukkan si anak itu adalah reaksi kepada sikap kita sendiri.

Mahu tidak mahu, si ibu perlu berkomunikasi dan berinteraksi dengan jiwa anak seperti memahami kehendak dan keperluan mereka, berbincang, mendengar pandangan dan cadangan yang diutarakan. Sama-sama membuat keputusan selepas berbincang dengan mereka. Tindakan ini boleh menimbulkan keyakinan diri yang tinggi dalam jiwa anak. Mereka akan berasa dihargai, dikasihi dan disayangi.

Amalan kerohanian memainkan peranan penting dalam melembutkan hati anak. Ia dapat membersihkan dan memelihara jiwa daripada dicemari dengan unsur negatif. Mengabaikan amalan keagamaan dalam kehidupan seharian, mendedahkan anak kepada pengaruh negatif.

Oleh itu, kita perlu menghidupkan amalan solat berjemaah dalam keluarga. Berzikir menyebut nama ALLAH dan membaca al-Quran bersama. Amalan ini boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menimbulkan ketenangan dalam kehidupan berkeluarga. Malah keberkatan dan rahmat ALLAH SWT memayungi mereka yang melakukan amalan secara jemaah dan kolektif ini.

Imam al-Ghazali menegaskan akhlak buruk boleh diubah menjadi baik dengan sentiasa membiasakannya melakukan kebaikan, lantas mengulang-ulang kebaikan itu sehingga menjadi tabiat dan kebiasaannya.

Kembali kepada soalan di atas, sebenarnya jawapan itu ada dalam diri si ibu itu sendiri.

Penulis ialah Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan

Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) 

Oleh  : DR. JESSICA ONG HAI LIAW

KEHARMONIAN etnik selari dengan perayaan-perayaan di Malaysia boleh diamalkan dengan kunjung- mengunjung sesama kita. Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, kita dapat mengamati wajah-wajah 1Malaysia di media-media sosial dan di mana sahaja terpancar senyuman kegembiraan ketika berkunjung ke rumah rakan-rakan berbangsa Tionghua. Kita sama-sama merayakannya tanpa mengira pangkat, darjat, bangsa dan agama.

Menariknya lagi, kita juga berpeluang lebih mengenali budaya satu sama lain dan merasai juadah serta adat yang berbeza. Seronok apabila menerima kad ucapan raya, kiriman e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada rakan-rakan berlainan bangsa yang amat dihargai kerana situasi sebegini nampak ringkas tetapi amat bermakna dan boleh mengeratkan perpaduan.

Hari ini begitu banyak cerita berkaitan perkauman yang kita dengar di media sosial namun kita tidak sepatutnya terus mempercayainya dan jangan cepat terpengaruh dengan hasutan untuk memecah-belahkan kaum. Kita perlu menilai sendiri erti semangat muhibah dan kerharmonian yang telah kita capai kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk.

Menurut J.S.Furnivall, masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri. Walaupun mereka berganding bahu di bawah sistem politik yang sama tetapi kehidupan mereka adalah berasingan, interaksi sosial dalam kalangan mereka amat kurang dan hubungan antar mereka amat terbatas dan pembahagian tugas dilakukan atas garis-garis ras.

Maka, sudah menjadi perkara biasa ada sesetengah perkara yang membuatkan kita tidak gembira namun setiap perkara ada penyelesaian jika pemimpin menjadi pendengar yang baik dan mendengar luahan rasa hati rakyat sehingga ke peringat akar umbi.

Justeru, penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang dilancarkan pada 25 November 2013 menggantikan Panel Penasihat Perpaduan Negara diharapkan dapat membawa sinar dalam menilai erti perpaduan. Anggota MKPN dibarisi oleh 30 tokoh masyarakat, ahli akademik, pemikir, wakil pertubuhan bukan kerajaan selain ahli politik daripada Barisan Nasional dan pembangkang yang diharap dapat memperkasa keharmonian ke arah penyatuan nasional negara ini.

Melaluinya, peluang suara akar umbi untuk melontarkan apa sahaja yang terbuku selama ini adalah jalan terbaik untuk kita berdialog dan berbincang mencari penyelesaian.

Panel tersebut memainkan peranan dalam mengesyorkan cadangan penyatuan nasional kepada kerajaan sebelum dibincangkan di peringkat Kabinet. Dialog Perpaduan iaitu aktiviti turun padang pula akan diadakan mengikut zon mulai bulan ini. Ini adalah antara usaha murni kerajaan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di mana laporan interim dalam masa enam bulan sebelum ia dibawa ke peringkat Kabinet.

Bercakap tentang perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan, tiga perkataan dengan satu kata akar 'padu' dan tiga perkataan keramat ini menjadi tunjang perpaduan negara diperkenalkan kepada saya semasa menghadiri bengkel tugasan sebagai pelapor untuk Dialog Perpaduan, Tiga Perkataan yang mempunyai makna tersendiri dalam mencari nilai perpaduan.

Pengarah Institut Kajian Etnik Malaysia (KITA) Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, kita sering bercakap tentang perpaduan yang lebih berbentuk "Moment of Unity" kerana perpaduan sebenarnya sukar dicapai sehingga kini.

Di Malaysia, kita berada di peringkat kesepaduan iaitu masih mencari nilai perpaduan yang sering dicabar dengan kontradiksi dan untuk mencapai penyatupaduan pula, usaha yang lebih giat diperlukan dengan kerjasama semua rakyat iaitu suara akar umbi untuk merealisasikannya.

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan tujuh panduan dalam usaha menjayakan perpaduan nasional dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Panduan itu antara lain menterjemahkan komitmen kerajaan dalam memastikan perpaduan nasional kekal selain melaksanakan sebarang dasar berlandaskan Perlembagaan Negara.

Selain itu, tujuh panduan itu juga mengambil kira Model Ekonomi Baharu dan menjaga sensitiviti pelbagai kaum dengan Rukun Negara sebagai panduan. Usaha mengukuhkan perpaduan nasional merupakan proses yang panjang.

Konsep 1Malaysia diharap dapat menyatupadukan rakyat tanpa mengenal etnik, agama dan bangsa. Sebagai rakyat yang hidup dalam masyarakat majmuk, kita harus peka dan faham dengan keperluan dan kehendak rakyat kumpulan majoriti dan jangan kita lupa kepentingan suara hati kumpulan minoriti yang sama pentingnya dalam pembangunan negara.

Isu-isu sensitif perlu dibincang dari hati ke hati dengan sebaiknya terutama yang melibatkan isu-isu sensitif iaitu agama dan pantang larang.

Saya berharap golongan belia kini turun padang dan didedahkan secara serius adat resam dan budaya berlainan bangsa supaya tidak wujud salah faham yang boleh mengguris hati dan perasaan kaum. Kepelbagaian etnik dalam Malaysia memerlukan tolak ansur, faham-memahami, hormat-menghormati, setiakawan, tolong-menolong sama ada pada waktu negara dalam keadaan senang ataupun susah.

Sama-sama kita merealisasikan tiga kata keramat iaitu perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan menjadi realiti. Salam 1Hati.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Universiti PertahananNasional Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 30 Januari 2014

ISU KENEGARAAN : Memahami makna sebenar perpaduan


Oleh : Johan Jaafar

Pada hari Jumaat ini kaum Cina di negara kita akan merayakan Tahun Baru Cina. Menurut kalendar Cina, tahun ini adalah tahun Kuda Kayu. Menurut kepercayaan mereka bagi tahun ini elemen api memainkan peranan yang penting, mengatasi air. Api juga melambangkan kemarahan, rasa tidak sabar dan keresahan.

Sekiranya zodiak Cina boleh anda percayai, tahun ini juga menampakkan keadaan di mana emosi dan ketakutan akan lebih banyak menguasai ketenangan dan kewarasan. Banyak keputusan akan dibuat tanpa pertimbangan akal, kajian mendalam, kebijaksanaan dan kecerdikan. Maka itu ada tanda-tanda bahawa akan lebih banyak berlaku pergolakan dan krisis di dunia tahun ini.

Itu bukan bermakna tahun Kuda Kayu merupakan tahun yang malap atau menggerunkan. Tahun ini juga menjanjikan banyak harapan. Kuda merupakan haiwan liar sekiranya tidak dikendalikan dengan betul. Kuda membantu manusia memenangi perang. Kuda juga menjanjikan banyak peluang yang baik dalam bidang perniagaan dan dalam pembinaan kerjaya. Demikianlah ramalan tahun Kuda Kayu bagi kaum Cina.

Beraya bersama-sama

Bagi sebahagian besar daripada kita, Tahun Baru Cina merupakan salah satu daripada beberapa perayaan penting negara. Banyak daripada kita yang mengambil cuti dan menggunakannya untuk melancong atau sekadar berehat di rumah. Bagi yang lain, ini merupakan peluang untuk merayakan bersama-sama teman-teman kaum Cina.

Perayaan kaum untuk sekian lama tidak pernah dilihat daripada kaca mata keagamaan semata-mata. Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai, Tadau Keamatan dan lain-lain lagi merupakan perayaan yang dirayakan oleh semua kaum. Suku kaum di Sabah dan Sarawak memberikan makna yang sebenar konsep 1Malaysia dengan menjadikan perayaan suku kaum sebagai acara bersama sejak sekian lama.

Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali juga menjadi perayaan yang dikongsi oleh semua kaum. Perayaan seperti inilah yang memberikan kesempatan rakyat Malaysia mendekati satu sama lain. Inilah bukti integrasi yang sebenar. Pemahaman terhadap budaya satu sama lain menjadi teras perpaduan negara.
Sayang sekali soal perpaduan kini perlu dilihat semula secara jujur. Pelbagai isu yang berbangkit merenggangkan perpaduan kaum di negara ini. Soal politik, bahasa, agama – semuanya menjauhkan kita. Sistem pendidikan vernakular menjadikan anak-anak kita tidak berinteraksi seperti yang sepatutnya pada peringkat awal lagi. Isu keagamaan menjadi semakin sensitif hari ini.

Penubuhan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN) menunjukkan betapa perlu isu perpaduan ini ditangani secara jujur dan terbuka. Sebenarnya kerajaan tidak ada pilihan. Majlis ini diminta membuat cadangan langkah-langkah praktikal ke arah perpaduan sebenar.

Tuntut tindakan serius

Ini isu serius yang menuntut tindakan serius. Sudah pastilah ada pihak yang mencurigai keberkesanan majlis ini. Malang juga kerana mesyuaratnya yang pertama pada 6 Januari lalu ditenggelami oleh kontroversi tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Persatuan Bible Malaysia (PBM).

Memang majlis ini tidak mempunyai Lampu Aladdin untuk menyelesaikan semua masalah perpaduan. Perpaduan kaum di negara ini merupakan isu panjang yang berdaki dengan tradisi dan sejarah juga prasangka dan keraguan. Hari ini isu perpaduan merupakan isu nasional yang kritikal.

Selepas Peristiwa 13 Mei 1969, isu perpaduan dianggap amat penting. Maka itu pelbagai program dan kempen disediakan. Rukun negara diwujudkan sebagai tiang seri dan prinsip kerukunan bersama. Kempen muhibah dan perpaduan dilaksanakan secara berterusan menggunakan semua media yang ada ketika itu.

Mungkin kaedah lama yang cuba menggandingkan suntikan elemen patriotisme, jingoisme dan propaganda tidak sesuai lagi untuk rakyat Malaysia hari ini. Tetapi semangat kempen itu masih penting. Mahu tidak mahu kita harus menerima hakikat bahawa isu kerenggangan kaum perlu diatasi segera.

Mungkin sudah terlalu lama kita mengabaikan soal perpaduan. Atau mengambil mudah hal itu. Bila terhantuk baru tengadah, demikianlah peribahasa Melayu. Ini soal masa depan negara kita. Dalam negara pelbagai kaum, kita tidak ada pilihan melainkan memastikan wujudnya keharmonian kaum.

Indonesia memberikan tumpuan pada pembinaan negara bangsa menggunakan bahasa sebagai paksinya. Namun demikian mereka juga berdepan dengan masalah perpaduan untuk jangka panjang. Kita mungkin menghabiskan terlalu banyak masa mencorakkan kemajuan ekonomi lalu mengabaikan aspek pembinaan negara bangsa yang sebenar. Inilah masa untuk membuat perubahan.

Masanya belum terlambat. Dalam kita menghormati perayaan Tahun Baru Cina kali ini, elok juga direnungkan makna persefahaman dan kerukunan bagi kita semua. Demi masa depan bersama. Kepada semua pembaca Cina: Gong Xi Fa Cai.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/