Oleh MOHAMAD SOFEE RAZAK
LAUTAN pengunjung dan ulat buku yang hadir di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang dijangka mencecah sasaran 2.5 juta pelawat tahun ini. Dengan jumlah hampir 10 peratus daripada penduduk Malaysia, ia membuktikan rakyat negara ini sememangnya masyarakat yang cintakan buku.
Perkembangan ini mampu memberi impak positif kepada industri dan pasaran buku dalam memupuk minat membaca yang tinggi di samping menjadi momentum penting kepada tahap literasi negara pada masa hadapan.
Ini dikuatkan lagi dengan perangkaan terkini Jabatan Statistik Negara 2008 bahawa kadar literasi atau celik huruf rakyat Malaysia adalah tinggi berbanding negara Asia Tenggara lain.
Bagaimanapun usaha berterusan perlu ditingkatkan bagi meningkatkan kadar literasi rakyat agar setanding dengan negara maju lain di dunia.
Berdasarkan kepada statistik tersebut, ia menunjukkan kadar literasi rakyat negara ini yang berumur 15 tahun ke atas ialah 93.2 peratus. Ia merupakan satu kejayaan kepada negara.
Statistik ini berkemungkinan besar berkait rapat dengan transformasi sistem pendidikan negara yang sedang dilaksanakan. Di samping itu, kewujudan Dasar Buku Negara (DBN) turut meningkatkan amalan dan tabiat membaca rakyat Malaysia.
Ia merupakan perkembangan memberangsangkan berbanding laporan dan kajian akademik sebelum ini. Pada 2005, profil pembaca mendapati rakyat Malaysia berumur di bawah 40 tahun kurang membaca. Iaitu sekadar dua buah buku sahaja setahun.
Sementara itu, bagi kumpulan berumur 10 tahun dan ke atas pula, daripada 85 peratus rakyat yang membaca, 77 peratus hanya membaca akhbar. Tiga peratus membaca majalah dan buku manakala 1.6 peratus yang lain membaca komik.
Perkara ini jelas menunjukkan rakyat negara ini masih lagi cenderung membaca bahan bacaan ringan. Berbanding rakyat negara maju, mereka lebih gemar membaca bahan bacaan lebih berat dalam bentuk buku. Ia termasuk generasi muda yang seawal sekolah rendah lagi.
Oleh itu, tabiat ini perlu diperbaiki dari semasa ke semasa melalui dasar sedia ada yang lebih menyeluruh dan dipertingkatkan seiring dengan tahap literasi rakyat negara ini.
Ini kerana menurut Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, objektif pengembangan budaya membaca di kalangan rakyat wajar dilihat dari aspek memperkasa agenda nasional. Ia dilaksanakan secara bersepadu dengan proses pembinaan tamadun negara, bangsa dan pembangunan modal insan tanpa kompromi.
Kadar literasi yang tinggi di kalangan penduduk di negara ini juga menunjukkan lebih banyak bahan bacaan tradisional seperti buku dan lain-lain. Ia termasuk kerancakan aktiviti penterjemahan serta penerbitan diperlukan bagi menampung peningkatan indeks celik huruf di negara ini.
Usaha ini perlu digiatkan walaupun lambakan bahan bacaan digital secara percuma begitu meluas serta mudah diakses di internet.
Kehadiran aplikasi e-book, blog dan sebagainya tidak menggugat industri penerbitan bahan bacaan bercetak bahkan merancakkan lagi budaya membaca serta tradisi ilmu di negara kita.
Laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) 2007/2008 menunjukkan kadar literasi rakyat Malaysia berada di belakang negara maju seperti Jepun, Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Jerman yang mempunyai kadar literasi tinggi sehingga 99 peratus.
Lazimnya semakin negara menempah kemajuan, rakyatnya lebih banyak dan kuat membaca. Ini kerana budaya membaca menjadi trend dan tradisi masyarakat negara maju sejak dahulu lagi.
Tambahan pula kedudukan Malaysia dalam Indeks Pembangunan Pendidikan Untuk Semua meningkat ke tangga 45 daripada 129 negara yang terlibat dalam kaji selidik Laporan Pemantauan Global 2009 berbanding kedudukan 56 yang dicapai pada tahun 2008.
Ini menunjukkan bahawa kerajaan komited menuju negara maju tidak lama lagi dan pencapaian itu bermakna Malaysia sebagai antara penyokong kuat Agenda Pendidikan Untuk Semua (EFA) menjelang 2015 bagi merealisasikan misi buta huruf sifar.
Dipetik daripada Rencana Utusan Malaysia 21 April 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan