KE MANA TUMPAHNYA KUAH, KALAU TIDAK KE NASI
Kita baru sahaja mendapat seorang Perdana Menteri yang baharu, yakni Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia keenam. Yang membezakan beliau dengan perdana-perdana menteri terdahulu ialah beliau mewarisi bakat kepimpinan daripada ayahanda beliau iaitu Tun Abdul Razak bin Husin, Perdana Menteri Malaysia kedua. Saya terpanggil untuk mengaitkan peristiwa ini dengan peribahasa Melayu yang dapat menggambarkan hal ini. Saya mendapati terdapat dua peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan situasi ini iaitu ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi dan ke mana tumpah hujan dari bumbungan , kalau tidak ke cucuran atap.
Kedua-dua peribahasa ini membawa maksud “ baik buruk perangai seseorang bapa itu sedikit sebanyak akan diwarisi atau turun kepada anaknya”.Peribahasa ini dikiaskan kepada seseorang anak yang mewarisi pekerjaan atau kepandaian bapanya. Misalnya, kalau bapanya menjadi doktor, anaknya turut menjadi doktor. Kalau bapanya menjadi guru, jurutera, dan seumpamanya, anaknya juga akan mengikut jejak langkah bapanya. Peribahasa ini biasa juga dikiaskan kepada seorang bapa yang petah bercakap, beradat, dan seumpamanya yang mahukan anaknya turut pandai seperti dirinya, justeru peribahasa ini turut boleh dikiaskan kepada sebarang bentuk pekerjaan dan kepandaian bagi seseorang anak yang mewarisi kebolehan bapanya. Dari sinilah lahirnya peribahasa ini.
Yang terlebih utama daripada itu, peribahasa ini seharusnya menginsafkan kita akan betapa besarnya tanggungjawab seorang bapa atau ketua keluarga dalam mencorakkan kehidupan anak-anak. Untuk mempertingkatkan potensi anak -anak , ibu bapa perlu mempunyai sikap dan amalan positif serta pengetahuan yang boleh membantu mempengaruhi perkembangan anak mereka dengan lebih mendalam lagi terutamanya dari segi kekuatan dan bakat semula jadi yang dimilikinya. Dengan ini , ciri -ciri positif yang dimiliki oleh anak mereka dapat di pupuk dan dirangsang untuk mencapai kecemerlangan.
Memanglah menjadi hasrat setiap pasangan ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam hidup. Mereka ingin melihat tiap seorang daripada anak mereka mencapai kesejahteraan dari segi fizikal, mental, sosial dan juga rohaniah. Mereka sentiasa memikirkan masa depan zuriat mereka. Ini adalah satu jihad.Dalam satu hadis , Rasulullah s.a.w bersabda , yang bermaksud : "seorang anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah dan ibu bapanyalah yang mencorakkan sama ada ia menjadi seorang Yahudi , Nasrani , atau Majusi ". Apabila membincangkan soal untuk mempertingkatkan potensi intelek seseorang kanak -kanak , aspek -aspek lain seperti perkembangan fizikal , sosialnya ,dan rohaniahnya tidak boleh diketepikan. Perkembangan dalam satu bidang akan mempengaruhi perkembangan dalam bidang yang lain. Umpamanya , perkembangan aspek komunikasi yanng optimum akan mempertingkatkan kemahiran sosial si anak.Hal ini kemudiannya akan mempengaruhi kemahiran inteleknya , meningkatkan daya kreatif dan menonjolkan bakat semulajadi yang diwarisi dari ibu bapa atau nenek moyangnya.
Peranan ibu bapa dalam usaha untuk mempertingkatkan potensi anak mereka boleh diwujudkan melalui konsep keibubapaan berkesan atau effective parenting. Konsep ini bertujuan untuk mencorakkan perwatakan atau personaliti si anak itu supaya ciri -ciri tingkah laku yang ditunjukkanya adalah baik dan sesuai dengan kehendak ibu bapa, keluarga , masyarakat dan negara .Ibu bapa merupakan sebaik -baik contoh kepada anak -anak. Mereka perlu sentiasa menarik perhatian anak mereka kepada perwatakan dan tingkah laku yang baik agar si anak dapat menjiwakannya. Dasar kependudukan baru negara menekankan kewujudkan satu generasi yang sihat , dinamik , produktif serta mempunyai nilai -nilai hidup dan moral yang tinggi. Negara memerlukan tenaga kerja yang mahir dan berfikiran positif. Ibu bapa mestilah mempunyai pengetahuan tentang perkembangan kanak -kanak , strategi pendidikan dan strategi pengubahsuaian tingkah laku supaya dapat mempengaruhi dan mencorakkan perkembangan anak mereka sepertimana yang di cita -citakan.
Faktor -faktor yang mempengaruhi perkembangan dan tingkah laku seseorang kanak -kanak itu bolehlah dibahagikan kepada dua , iaitu faktor persekitaran luar dan faktor dalam diri si anak itu sendiri. Persekitaran luar merangkumi suasana tempat si anak diasuh dan berkait rapat dengan faktor -faktor seperti taraf sosioekonomi , budaya serta hubungan dengan adik -beradik serta kawan -kawan di sekelilingnya , peralatan di rumah atau di sekolah dan media massa. Faktor dalam diri sendiri termasuklah taraf kesihatan , taraf pemakanan pengamatan atau persepsinya terhadap dunia luar , pengamatan terhadap diri sendiri (sama ada dia berasa rendah diri atau sebaliknya ) , dan ciri -ciri serta bakat semula jadinya yang sedikit sebanyak terdapat dalam baka yang diwarisinya .
Setiap komponen yang memain peranan dalam mempengaruhi perkembangan dan tingkah laku seseorang kanak -kanak itu perlu difahami oleh ibu bapa. Mereka perlulah bijak mengenal pasti ciri -ciri kekuatan yang ada pada anak mereka di samping menumpukan perhatian pada sebarang kelemahan yang ada pada seseorang kanak -kanak itu boleh diatasi atau sekurang -kurangnya diperbaiki dengan menggunakan strategi -strategi tertentu. Kekuatan atau bakat yang dikenal pasti boleh dipupuk dan dipertingkatkan lagi dengan memberi galakan serta peluang untuk si anak itu meningkatkan potensinya.Setiap pengalaman yang memberinya kepuasan dan kejayaan akan menambahkan lagi perasaan yakin pada diri sendiri dan ini pula akan memberinya lebih kekuatan untuk berhadapan dengan cabaran -cabaran baru yang bakal menguji daya inteleknya.
Keupayaan intelek (intellectual capacity ) seseorang itu adalah kurniaan Allah s.w.t yang tiada siapa boleh memahami. Kebiasaannya , kita hanya boleh menilai kebolehan atau prestasi seseorang itu pada sesuatu ketika sahaja. Manusia sentiasa berubah dari segi kebolehan , tingkah laku dan sikap. Perubahan - perubahan ini adalah akibat pengaruh -pengaruhi luar , pengaruh -pengaruh dalam dirinya atau perasaannya pada peringkat trimester kedua kehamilan sehingga dua tahun selepas kelahiran. Pertumbuhan otak berkembang pesat pada waktu ini. Bayi yang baru lahir hanya tidur , bangun untuk menyusu dan mula mengenal persekitarannya melalui deria-deria yang dimilikinya. Daya pemikirannya meningkat dengan peredaran masa dan pada usia tiga tahun dia sudah boleh berlari, melompat, bercakap menggunakan ayat yang penuh, bergaul mesra dengan rakan sebaya dan makan minum serta memakai baju tanpa pertolongan orang lain. Perasaan ingin tahu sangat ketara ini dan dia bertubi-tubi mengemukakan pelbagai soalan kepada ibu bapanya dan sesiapa sahaja yang rapat dengannya bagi memenuhi kehausan pengetahuan pada dirinya.
Jika hakikat ini disedari, maka mudahlah difahami mengapa penjagaan yang rapi dan perhatian yang secukupnya harus diberikan daripada peringkat janin lagi untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan bayi yang optimum. Kesihatan ibu yang hamil adalah suatu aspek penting yang perlu diberikan perhatian serius. Ibu hamil yang menghidap penyakit atau mengamalkan tabiat hidup yang moden mengancam kesihatan seperti merokok, meminum arak, mengambil dadah atau ubat-ubatan yang dicegah dan juga mereka yang terdedah kepada unsur sinar-X boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan janin yang didalam kandungan. Demikian juga halnya dengan bayi yang dilahirkan secara kecemasan. Kekurangan bekalan oksigen ke bahagian otak-nya atau serangan penyakit yang boleh merosakkan otaknya akan menjejaskan perkembangan dan pertumbuhannya. Amalan -amlan yang sihat yang boleh mempertingkatkan kesihatan ibu hamil perlu diberikan perhatian. Di negara kita , kadar kematian dalam kalangan bayi akibat keadaan -keadaan yang sepatutnya boleh dicegah masih lagi berada di tahap yang tinggi.Hal ini tidak seharusnya berlaku memandangkan teknologi untuk mencegah atau merawat penyakit -penyakit ini telah ada dan mudah pula di dapati.
Pengawasan terhadap perkembangan dan pertumbuhan bayi selepas lahir dari semasa ke semasa adalah penting kerana ini merupakan satu -satunya cara untuk mengenal pasti sebarang keadaan yang luar dari kebiasaan. Walaupun kerajaan telah menyediakan program - program bagi mengawasi perkembangan kanak -kanak , usaha -usaha ini tidak akan berjaya tanpa kesedaran pihak ibu bapa tentang peranan mereka dalam mengawasi perkembangan dan tumbesaran anak mereka. Kunci kepada perkembangan dan tumbesaran yang optimum seseorang kanak -kanak itu ialah taraf kesihatan yang tinggi tanpa sebarang kecacatan atau penyakit yang serius. Andainya seseorang anak itu pekak atau buta ibu bapa haruslah bijak mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sianak itu dan mengetahui strategi-strategi berkesan yang boleh digunakan untuk memaksimumkan potensi anak mereka.Anak yang menghidap penyakit perlulah mendapat rawatan segera agar doktor dapat mengenal pasti penyakit tersebut di peringkat awal serangannya dan mencarikan ubat yang sesuai. Usaha-usaha untuk mempertingkat ketahanan diri sianak supaya tidak selalu diserang penyakit juga perlu dijalankan.
Amalan, sikap dan nilai-nilai yang ada pada ibu bapa banyak dipengaruhi oleh orang tua mereka sendiri. Mereka harus memikirkan sama ada ciri-ciri ini sesuai dengan keadaan, masa dan juga sifat-sifat yang terdapat pada anak mereka. Umpamanya, mendisiplinkan anak dengan cara merotan mempunyai kesan yang negetif terhadap anak itu. Sebaliknya, banyak kaedah positif lain yang boleh meningkatkan daya pemikiran dan kematangan sosial sianak. Cara gaya keibubapaan sudah semestinyalah sedikit sebanyak akan mempengaruhi sikap atau perilaku seseorang anak apabila dewasa dan seterusnya menjadi ibu atau bapa pula. Kajian menunjukkan bahawa ramai ibu bapa yang sewaktu kecilnya menjadi mangsa penganiayaan orang tua mereka cenderung untuk menganiayai anak-anak mereka sendiri.
Keperluan dan cita rasa seorang kanak-kanak berubah dari semasa ke semasa. Umpamanya, jenis makanan yang digemarinya akan berubah-ubah mengikut seleranya. Corak pakaian, permainan dan cara berkomunikasi dengannya juga perlu diubahsuai mengikut kematangan fikirannya. Tingkah lakunya sering berubah-ubah.Tabiat yang dianggap lazim pada satu peringkat usia mungkin tidak manis atau tidak lagi sesuai apabila umur meningkat. Umpamanya, tabiat menghisap jari biasanya akan hilang dengan sendirinya bagi kebanyakan kanak-kanak tetapi jika ia berterusan sehingga usia enam tahun keatas, ini mungkin ada kaitannya dengan suasana yang kurang selesa baginya. Ibu bapa boleh menolong mengikis tabiat anak yang kurang manis jika mereka mengetahui asas kelakuan yang ditunjukkan serta kaedah modifikasi tingkah laku. Kanak-kanak yang baru memulakan persekolahan dalam tahun satu mempamerkan berbagai-bagai corak perwatakan. Seseorang guru yang cekap memerhatikan tingkah laku anak-anak muridnya boleh mengagak sama ada suasana tempat kanak-kanak itu dibesarkan merupakan suasana yang baik dengan segala keperluannya dipenuhi atau sama ada kanak-kanak itu datang daripada kalangan keluarga yang kurang sejahtera, serba kekurangan dan kerap tidak dapat memenuhi keperluannya.
Kesimpulannya, mendisiplinkan anak adalah satu proses yang berterusan. Setiap detik dalam kehidupan anak itu merupakan satu pengalaman. Oleh itu, perwatakannya dari semasa ke semasa akan terbentuk daripada setiap pengalaman yang bermula dari dalam rahim ibunya dan berterusan sehingga akhir hayatnya. Oleh itu , ibu bapa memainkan peranan untuk memastikan agar anak mereka sering didedahkan kepada pengalaman - pengalaman positif yang meninggalkan kenangan - kenangan manis kepadanya supaya dia dapat menyedari bakat yang ada padanya dan berbangga terhadap setiap pencapaiannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan