Sabtu, 11 April 2009

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (Siri 6)



JIKALAU ULAR MENYUSUR AKAR TIADA HILANG BISANYA


Apabila kita merujuk Kamus Istimewa Peribahasa, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, maka kita akan dapati terdapat tiga peribahasa yang terhasil daripada entri kata ular menyusur akar iaitu "jikalau ular menyusur akar, tiada hilang bisanya","tiada hilang bisa ular dek menyusur akar" dan "ular menyusur akar".Ketiga-tiga peribahasa ini membawa maksud tiada hilang martabat seorang yang mulia atau berpangkat sekiranya merendahkan diri dalam hubungannya dengan orang ramai.

Ular biasanya tidak suka menyusur atau menjalar di akar kerana agak sukar baginya untuk bergerak. Sekiranya terdapat ular yang menyusur akar, bererti ular tersebut melakukan sesuatu keganjilan bagi tabiat ular. Walau bagaimanapun, andai hal tersebut dilakukannya, tindakan tersebut tidak sedikitpun menghilangkan bisanya.

Peribahasa ini membayangkan keluhuran budi seseorang jika ia mengamalkan apa yang tersirat di sebalik maksud peribahasa ini. Sebagai contoh, apabila seorang yang sudah berpangkat atau berdarjat atau menjadi orang besar merendahkan diri dengan bercampur dengan orang ramai, baik dalam makan minum, duduk bersembang atau memakai pakaian berjenama biasa sebagaimana dipakai oleh orang kebanyakan, darjat atau pangkatnya tidak akan terjejas, malah ia akan lebih dihormati kerana sikapnya yang merendah diri, tidak besar diri dan tidak sombong itu.

Perintah agar manusia tidak berlagak sombong amat jelas dinyatakan dalam al-Qur'an menerusi firman-Nya yang bermaksud:


"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara kaldai".
Al-Quran ( Surah Luqman : 18 & 19)
Oleh yang demikian, pemimpin di semua peringkat terutama pemimpin politik sewajarnya mengamalkan falsafah peribahasa ini sewaktu menjalankan tanggungjawab mereka terhadap orang ramai. Hal ini kerana, sikap meninggi diri, sombong, dan takbur adalah sikap-sikap tercela baik dari segi adat mahupun agama. Sifat-sifat mulia dan berbudi, sewajarnya dijadikan amalan bagi setiap mereka yang menjadi pemimpin masyarakat dalam semua bidang. Mereka yang bersikap sedemikian dianggap orang-orang yang berhemah tinggi, berpekerti mulia dan berbudi luhur.

Tenas Effendy dalam bukunya "Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu" mengkategorikan pemimpin yang mengamalkan sikap "ular menyusur akar" ini sebagai pemimpin agung, yang besarnya tidak membawa sombong, mulianya tidak meminta sanjung. Beliau seterusnya mengungkapkan ciri pemimpin agung ini sebagaimana ungkapan berikut:

Menjadi pemimpin sifatnya agung
Syarak dipakai adat dijunjung
Negeri dijaga rakyat dilindung
Kasihnya panjang sayang bersambung

Kepada yang miskin tiada sombong
Kepada yang kaya tiada menyanjung

Dijadikan pemimpin sejahtera kampung
Bersama rakyatnya sekain tudung

Dijadikan tua membawa tuah
Hidup rukun rezeki melempah

Dijadikan induk membawa berkah
Wibawanya besar tuah bertambah
Umatnya tidak mengenal susah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan