BAGAI ENAU DI DALAM BELUKAR, MELEPASKAN PUCUK MASING-MASING
Peribahasa ini bermaksud kelompok masyarakat yang tinggal berdekatan tetapi mementingkan diri sendiri tanpa mempeduli atau menghiraukan jiran-jiran sebelah, masing-masing dengan hal sendiri.
Enau adalah sejenis pokok yang biasanya tumbuh di dalam belukar dan kampung-kampung yang semak. Pokok enau tidak subur jika hidup di tengah padang. Enau atau kabung mengeluarkan mayang seperti mayang kelapa. Dari mayang ini, orang-orang kampung dapat menghasilkan gula yang dipanggil gula enau atau gula kabung seperti juga gula Melaka yang disadap airnya dari mayang-mayang kelapa.
Oleh sebab pokok ini tumbuh dalam belukar yang penuh dengan semak-samun, biasanya pucuk enau ini akan melepaskan dirinya daripada dahan-dahan dan daun-daun kayu yang mengelilinginya. Jika dipandang dari jauh, akan kelihatanlah beberapa batang enau ini yang berpucuk dan melepaskan dirinya dari semak-samun yang mengelilinginya.
Sikap mementingkan diri sendiri yang digambarkan melalui maksud peribahasa ini merupakan satu sifat yang buruk dan wajar dihindari. Amalan hidup bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing amat bertentangan dengan rukun hidup berjiran yang menitikberatkan saling mengenal sesama jiran, hubungan silaturahim, dan muhibah. Masyarakat yang mengamalkan sikap ini sukar untuk bekerjasama antara satu sama lain. Sekiranya hal ini berlanjutan, sudah pasti apa-apa juga program kemasyarakatan yang dirancang tidak akan dapat dijayakan dengan berkesan .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan