Ahad, 28 Jun 2009

GANGGUAN DENGKUR

ADAKAH anda selalu tidur berdengkur atau pasangan selalu membuat anda tidak nyenyak dengan dengkurannya saban malam?

Bagi anda yang menghadapi masalah ini, jangan mudah putus asa kerana ada banyak cara mengatasinya.

Dengkuran adalah bunyi tisu mulut dan tenggorok yang bergetar dan berlanggar apabila udara bergerak melalui saluran pernafasan yang sempit ketika seseorang itu tidur.

Apabila anda tidur, otot di mulut dan tenggorok akan berehat. Ini akan mengecilkan saluran pernafasan (saluran dari hidung ke kotak suara).
Masalah bermula apabila ada sesuatu menghalang aliran udara melalui saluran yang sudah sempit ini.

Antara perkara yang boleh mendatangkan halangan itu ialah:
• radang di hidung dan tekak
• tonsil yang besar
• rahang yang berubah kedudukan
• lemak di sekeliling saluran pernafasan
• lidah yang besar
• langit-langit yang lembut
• anak tekak yang lembut

Justeru, apabila menghadapi masalah itu, jangan biarkan ia mengganggu hubungan anda suami isteri. Cubalah rawatan mudah ini untuk mengurangkan dengkuran.

• Hilangkan lemak berlebihan dalam badan dengan cara bersenam, kurangkan makanan terutama yang berlemak. Apabila lemak berkurangan di bahagian tekak, ia dapat meluaskan saluran pernafasan dan menghindari dengkuran.

• Jauhkan diri daripada pencetus dengkuran iaitu alkohol, pil tidur atau ubat-ubatan yang berkaitan. Dadah seperti itu menambah kadar kerehatan otot di hidung dan tekak. Menjauhkan bahan itu dapat menghalang ia daripada mengecilkan saluran pernafasan.

• Biasakan tidur mengiring dan elak daripada terlentang. Cara tidur begini dapat menjauhkan lidah dari tekak lantas memberi ruang yang lebih luas di bahagian tekak untuk mengalir udara.

• Atasi masalah alahan. Jika anda atau pasangan alah kepada habuk atau bau tertentu, hapuskan habuk dan bau itu daripada persekitaran rumah anda. Alahan akan mengganggu tisu di hidung dan tekak. Jika dapat diatasi, tisu ini tidak akan mengganggu.

• Tinggikan kedudukan kepala dengan bantal ketika tidur. Ini dapat memberi ruang yang lebih besar di saluran pernafasan.

• Tetapkan jadual tidur dan bangun pada waktu yang tetap setiap hari. Ini dapat menetapkan kadar pernafasan dan mengurangkan dengkuran.

• Jauhi rokok. Mengurangkan asap rokok dapat meminimumkan lelehan dan bengkak pada tidu hidung dan tenggorok.

• Lekatkan pelekat di hidung. Sebelum tidur, lekatkan dengan cara yang boleh menarik hidung anda keluar dan ke atas. Pelekat ini dapat menarik hidung anda keluar. Ini akan membuka saluran pernafasan hidung dengan lebih besar.

Sumber : http:// www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan