Selasa, 21 Julai 2009

Apollo 11 dan penerokaan angkasa negara

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

EMPAT puluh tahun telah berlalu sejak Neil Armstrong menjadi manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan pada 20 Julai 1969. Misi menggunakan pesawat angkasa lepas Apollo 11 itu turut membawa dua lagi angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA).

Mereka ialah Michael Collins sebagai juruterbang modul dan Edwin "Buzz" Aldrin Jr. iaitu juruterbang modul lunar. Aldrin menjadi manusia kedua menjejakkan kaki ke bulan iaitu lewat kira-kira 20 minit berbanding Armstrong.

Kejayaan Apollo 11 sebenarnya dirintis lebih awal oleh sekumpulan angkasawan iaitu Frank Borman, Jim Lovell dan William Anders. Mereka berjaya memasuki orbit bulan menggunakan pesawat angkasa lepas Apollo 8 pada 21 Disember 1968 itu.

Kejayaan Apollo 8 itu sebenarnya lebih bersejarah kerana ia membuka pintu kepada manusia untuk menyingkap rahsia alam. Ia juga membawa perlumbaan manusia ke angkasa pada tahap yang baru.

Pelbagai misi kajian dilakukan termasuk mengkaji mekanik tanah, meteoroid, gempa di Bumi, aliran haba, julat Bulan, medan magnet dan angin suria.

Di peringkat antarabangsa pula, kejayaan NASA mendorong beberapa negara lain meningkatkan kemampuan penerokaan angkasa mereka. Meskipun perlumbaan itu lebih kepada kepentingan politik dan pertahanan, namun ia membawa bersama manfaat lain.

Bidang komunikasi misalnya berkembang pantas apabila lebih banyak satelit dilancar dan mengorbit bumi. Teknologi seperti pemetaan digital, pengemudian satelit, teleperubatan dan banyak lagi berkembang pesat dengan sokongan satelit.

Malaysia sendiri memiliki lima buah satelit termasuk yang baru dilancarkan pada 22 Jun lalu iaitu Measat-3a. Satelit itu menyertai satelit Measat-1 dan Measat-2 yang sudah berada di orbit sejak 1996 serta Measat-3 pada 12 Disember 2006.

Satelit itu antara lain berkemampuan menyediakan perkhidmatan komunikasi C-band di seluruh benua Asia, Asia Barat dan Afrika. Dengan 17 ruang orbit yang diperuntukkan kepada Malaysia, adalah pasti untuk menyaksikan lebih banyak satelit yang dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan menjelajah angkasa pada masa depan.

Di atas peta astronomi dunia pula, Malaysia turut tercatat sebagai sebuah negara yang berjaya melahirkan angkasawan. Dr. Sheikh Muzaffar Shukor menjalankan kajian di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama 10 hari bermula 10 Oktober dan pulang ke bumi pada 21 Oktober 2007.

Kejayaan Sheikh Muzaffar itu melakar sejarah yang baru kepada pembinaan tamadun bangsa dan negara Malaysia. Ia juga merupakan kemuncak kepada penguasaan bidang ilmu sains dan teknologi di kalangan rakyat tempatan.

Ekoran kejayaan Sheikh Muzaffar itu juga, Malaysia meletakkan sasaran untuk menyaksikan anak tempatan pertama mendarat di bulan pada 2020. Mungkin impian ini kedengaran terlalu optimistik.

Tetapi ia bukanlah angan-angan kosong sebaliknya boleh dicapai dengan kesungguhan semua pihak. Misi menghantar angkasawan seterusnya termasuk ke bulan ini adalah misi yang sangat bermakna dan tidak boleh dianggap satu pembaziran.

Ia sebaliknya bakal memberi impak yang sangat besar terhadap pembangunan kepakaran tempatan dan kapasiti bidang biologi graviti serta penyelidikan angkasa. Kita sudah pun membuktikan kemampuan dengan kelahiran angkasawan pertama hanya selepas 50 tahun kemerdekaan negara.

Maka, tidak mustahil dalam tempoh seperti itu atau mungkin lebih awal lagi, seorang rakyat Malaysia akan menjejakkan kaki di tempat sama Armstrong meninggalkan jejaknya 40 tahun lalu.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan