Rabu, 29 Julai 2009

NAFAS BARU PENERBIT BUKU MELAYU


Kira-kira pada awal tahun 1980-an, tidak kedengaran ada penerbit buku Melayu yang dikira berwibawa. Malah sehingga pertengahan 1980-an, penerbit-penerbit buku Melayu dianggap penerbit ikan bilis yang dipandang sebelah mata oleh penerbit-penerbit buku yang besar. Daifnya penerbit buku milik Melayu pada waktu tersebut sehingga mereka tidak kenal sesama mereka.

Pada ketika itu juga, sebuah penerbit, Karya Bistari muncul lalu memecahkan monopoli penerbitan buku ulang kaji sekolah. Bermula daripada buku untuk pelajar, Karya Bistari melalui Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd telah memasuki pasaran majalah. Dengan hanya dua majalah, Karangkraf hari ini merupakan kumpulan penerbit majalah yang terbesar di Malaysia. Karangkraf umpama 'pasar raya' penerbitan yang menerbitkan pelbagai buku dan majalah dan memberikan pelbagai khidmat percetakan.

Penulis ingin menyingkap sejarah Karangkraf kerana dua hal. Pertamanya, penulis merasakan bahawa orang Melayu boleh banyak belajar daripada Datuk Hussamuddin Yaacub, bagaimana anak Muda yang baru keluar dari universiti, mampu membangunkan sebuah konglomerat Melayu dalam bidang penerbitan dan percetakan.

Keduanya, tanpa lupa kepada sumbangan dalam penerbitan majalah, sumbangan yang turut amat besar adalah penerokaan penerbitan buku-buku Melayu oleh Karangkraf melalui anak syarikatnya Alaf21. Pada waktu buku-buku Melayu agak lesu, Alaf21 telah menerbitkan pelbagai buku Melayu khususnya dalam penerbitan novel.

Alaf21 menjadikan novel Melayu pilihan nombor satu pembaca, sehingga novel-novel Alaf21 mampu terjual sehingga 50,000 naskhah malah ada kalanya lebih daripada itu. Kemampuan Alaf21 dalam penerbitan novel ini memberikan impak positif terhadap pasaran novel. Penulis novel Melayu telah mula merasa royalti yang besar malah dilaporkan ada yang menerima sehingga RM100,000 setahun. Ini telah mendorong lebih banyak penulis baru berkarya lalu Alaf21 berjaya mengetengahkan ramai bakat baru. Kesan yang lebih positif adalah terhadap pasaran buku secara umum.

Berjayanya Alaf21 telah membina semangat kepada lebih banyak penerbit malah penulis untuk menjadi menerbitkan novel. Kini sudah bertambah ramai penulis novel, bertambah banyak penerbit novel dan bertambah berkembang perusahaan buku Melayu.

Jika Karangkraf sinonim dengan Hussamuddin, seorang lagi tokoh buku yang wajar diberikan penghargaan adalah Ainon Muhammad dan PTS Publications. Hari ini apabila bercakap mengenai buku, tidak sah jika tidak bercakap pasal PTS. Bermula sebagai pegawai penyelidik di DBP dan seterusnya penceramah motivasi dan penulis, Ainon telah berjaya membangunkan sebuah penerbit buku Melayu yang amat disegani di Malaysia.

Pantasnya PTS menerbitkan buku sehingga dapat memintas DBP dalam menerbitkan buku Melayu. Kini dalam masa sebulan kumpulan PTS menerbitkan tidak kurang 50 judul baharu dan ulang cetak dalam pelbagai kategori buku.

Kemampuan PTS menerbitkan pelbagai buku bukan sekadar telah membina kerjaya kepada kumpulan pekerja penerbitan, malah telah turut juga melahirkan ramai penulis buku dalam banyak genre buku yang tidak terfikir oleh pembaca sebelumnya. Kemampuan ini juga telah menyebabkan ruang pameran buku-buku Melayu di rangkaian kedai buku semakin terisi. Keupayaan membuka pasaran ini turut menjadikan orang Melayu semakin mengunjungi kedai buku dan semakin membaca buku.

Satu lagi hal yang menarik ialah apabila PTS telah membuka lalu lintas buku antara Malaysia dan Indonesia. Pada waktu penerbit lain mendapati sukar untuk menembusi pasaran Indonesia, tidak kurang daripada 50 judul buku PTS telah diterbitkan di Indonesia melalui kerjasama dengan penerbit di Indonesia. Kini PTS adalah satu nama besar di kalangan penerbit buku di Indonesia.

Hari ini perusahaan buku di Malaysia semakin segar, tetapi bukan semata-mata kerana dukungan pemerintah. Antara sebab yang merancakkan perusahaan buku Melayu adalah kerana orang Melayu semakin mula membaca. Antara sebab perusahaan buku Melayu ini turut rancak adalah kerana sumbangan dua tokoh yang berani mengubah wajah perusahaan buku itu sendiri iaitu Hussamuddin dan Ainon.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan