RAMADAN bakal menjengah dalam masa terdekat. Namun berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, Ramadan kali ini disertai dengan ujian getir untuk kita.
Ketika ini kita berdepan dengan ancaman virus berbahaya H1N1. Pandemik ini telah mencetuskan pelbagai reaksi sama ada di peringkat penyedia perkhidmatan kesihatan mahupun masyarakat global.
Kementerian Kesihatan telah pun mengingatkan masyarakat agar mengelak daripada berada di kawasan yang padat dan sesak. Masyarakat juga dididik mengenai kepentingan menjaga kebersihan tangan khasnya dan diri secara amnya.
Dalam keadaan ini, kita harus mengelak daripada sering mengunjungi bazar-bazar Ramadan. Ia memang terkenal sebagai tempat tumpuan ramai bagi mendapatkan juadah untuk berbuka puasa.
Pilihlah lokasi yang kurang padat dan jika boleh belilah pada masa kawasan itu kurang dikunjungi orang ramai.
Sebaik-baiknya kita membeli lebih awal atau meminimumkan masa di tempat tersebut. Rancang dahulu juadah apa yang mahu dibeli untuk mengelak daripada membuang terlalu banyak masa di kawasan yang sesak. Elakkan daripada terlalu meninjau dari satu gerai ke satu gerai sebelum membuat pilihan.
Jika kita berbuka puasa di luar atau menghadiri majlis berbuka puasa, jangan lupa membasuh tangan sebersih-bersihnya. Jangan membiasakan diri untuk terus mememegang makanan dan minuman tanpa membasuh tangan.
Bagi penyedia hidangan pula, bekas membasuh tangan yang disediakan harus menepati spesifikasi tujuan tangan itu dibasuh.
Umpamanya, bekas membasuh tangan yang menggunakan kaedah mencelup seperti mana diamalkan di kampung-kampung merupakan cara yang kurang tepat dalam kaedah membersihkan tangan.
Bahkan, kaedah mencelup tangan dari seorang ke seorang yang lain merupakan kaedah paling mudah untuk berkongsi dan memindahkan organisma berbahaya dari seorang ke seorang yang lain.
Justeru, carilah paip yang airnya mengalir dan jika boleh dapatkan sabun sebagai kaedah membasuh tangan.
Sementara itu, membeli kelengkapan hari raya merupakan aktiviti lazim yang berlaku di sepanjang Ramadan terutamanya menjelang 10 malam terakhir sewaktu lailatul qadar menghampiri kita.
Pada waktu inilah juga manusia berpusu-pusu mengerumuni pusat-pusat membeli belah bagi membeli keperluan. Dalam keadaan ini, jika boleh, hindarilah waktu-waktu puncak seperti waktu malam atau cuti hujung minggu.
Buatlah sedikit persiapan bagi merancang masa yang sesuai. Cuti tahunan boleh digunakan pada waktu ini bagi mengelakkan tumpuan manusia yang terlalu ramai pada waktu puncak.
Kita perlu ingat bahawa cuti tahunan bukanlah hanya perlu disimpan dan digunakan untuk bercuti semata-mata bahkan penggunaan secara bijak yang boleh membantu kita dalam ikhtiar menjaga kesihatan adalah suatu pelaburan jangka panjang yang jauh lebih menguntungkan demi kesihatan diri.
Mengambil kesempatan bulan yang penuh kemuliaan dan doa dimakbulkan ini juga masyarakat sewajarnya meningkat kuantiti dan kualiti doa bagi memohon agar dijauhkan bahaya virus H1N1 ini. Ia penting kerana sekuat mana ikhtiar kita sekalipun, jika virus ini ditakdirkan menghampiri, maka ia tetap akan singgah pada tubuh kita. Pada waktu ini hanya doa dan tawakal sahajalah yang mampu mengubah segala-galanya.
PENULIS ialah Pensyarah Perubatan ORL, Universiti Sains Malaysia, Kelantan.
Sumber : http://www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan