WALAUPUN sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-52 hari ini tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya kerana jatuh pada bulan puasa serta ancaman wabak selesema babi (H1N1), ia tidak seharusnya menghalang kita daripada merenung sejenak erti sebenar kemerdekaan.
Malah, ketiadaan acara berbentuk hiburan dan pesta, yang digantikan dengan majlis tahlil dan doa selamat di masjid serta upacara kesyukuran di tokong, kuil dan gereja menjelang ketibaan ambang kemerdekaan malam tadi, dilihat lebih bermakna kerana ia menterjemahkan sambutan itu dalam bentuk kesedaran, penghayatan dan kesyukuran.
Cuti umum dan laungan merdeka semata-mata tentu tidak membawa sebarang makna jika rakyat, terutama generasi muda gagal menghayati nilai kemerdekaan yang diperjuangkan dengan darah dan air mata oleh nenek moyang kita dulu.
Dari segi usia, 52 tahun adalah angka yang melepasi tempoh kematangan dan kepada sesetengah orang sudah mencapai tahap kebijaksanaan. Bagaimanapun, sebagai sebuah negara yang rakyatnya pelbagai kaum dan agama, apakah kita sudah benar-benar matang selepas 52 tahun merdeka?
Jawapannya tentulah tidak jika pelbagai perkembangan, terutama dalam bidang politik, sejak beberapa tahun kebelakangan ini dijadikan ukuran. Insiden bantahan pembinaan kuil di Shah Alam adalah contoh terbaru betapa masih jauhnya kita, sebagai rakyat negara yang sudah 52 tahun merdeka, mencapai kematangan.
Wawasan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, untuk melihat Malaysia sebagai model sebuah negara demokrasi yang rakyatnya pelbagai kaum hidup dengan penuh harmoni, masih jauh untuk dicapai. Kerana itulah, antara langkah pertama Datuk Seri Najib Razak lakukan apabila menjadi Perdana Menteri ialah memperkenalkan konsep 1Malaysia.
Melihat sejarah tamadun bangsa yang maju, perjalanan kita sebagai satu bangsa merdeka dalam erti kata sebenar, masih jauh. Kita hanya merdeka daripada penjajahan dan penaklukan secara fizikal, tetapi penjajahan bentuk baru berlaku tanpa disedari.
Penjajahan minda, budaya dan ekonomi semakin berleluasa kerana globalisasi menjadikan dunia lebih sempit dan negara-negara merdeka semakin terhimpit. Rakyat yang kurang semangat patriotisme mudah dipengaruhi untuk melakukan perkara yang boleh mengancam semangat kemerdekaan dan perpaduan rakyat.
Kita belum merdeka sepenuhnya dari segi psikologi kerana ramai antara kita yang tidak memiliki daya saing dan daya tahan untuk berjuang serta cepat mengalah. Sebaliknya, ramai yang suka mencari jalan mudah sehingga sanggup menggadaikan maruah dan harga diri untuk mencapai sesuatu matlamat, baik di alam pekerjaan, perniagaan atau pun politik, fitnah, tuduh - menuduh dan saling jatuh-menjatuh tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara, pastinya bukan mencerminkan budaya satu bangsa yang merdeka dalam erti sebenar.
Hakikatnya, ramai daripada kita belum merdeka dari segi nafsu sehingga terlupa tanggungjawab kepada keluarga, bangsa, agama dan negara. Kerana dijajah nafsulah, ramai yang mempunyai kuasa, menyalahgunakannya untuk memenuhi kepentingan diri dan kelompok.
Mereka yang belum ada kuasa tetapi bernafsu untuk berkuasa pula menggunakan pelbagai taktik kotor, tanpa mengira kesannya kepada perpaduan rakyat dan kedaulatan negara. Begitu juga dengan mereka yang sudah kehilangan kuasa, tetapi masih bernafsu untuk berkuasa.
Jika pemimpin politik bebas daripada penjajahan nafsu ini, tentunya krisis terbaru dalam MCA sekarang dan kemelut tanpa berkesudahan politik Terengganu yang muncul lagi minggu lalu, tidak berlaku. Begitu juga dengan pelbagai kemelut politik yang berlaku sejak pilihan raya umum lalu.
Sambutan ulang tahun kemerdekaan kali ini yang jatuh pada Ramadan, bulan bagi umat Islam menentang nafsu, adalah peluang terbaik kepada kita untuk membuat ikrar baru perjuangan membebaskan diri daripada penjajahan nafsu. Sama seperti penjajahan minda dan budaya, penjajahan nafsu juga boleh memusnahkan kemerdekaan negara yang dicapai 52 tahun dulu.
Sumber : http: //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan