Rabu, 9 September 2009

ISU HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA - INDONESIA

tarian Pendet

Indonesia, Malaysia wajib elak sengketa, pertengkaran

Ahmad A Talib

TINDAKAN sebilangan rakyat Indonesia mengugut keselamatan rakyat Malaysia yang berada di negara itu tidak boleh dipandang ringan. Jika dibiarkan, ia boleh mengundang padah.

Malah, jika tidak ditangani dengan waras, dalam sekelip mata keadaan boleh menjadi lebih buruk dan rumit. Macam-macam boleh jadi jika ada antara mereka yang panas baran, dan bertindak ganas dan liar. Kita amat khuatir dan bimbang.

Dalam hal yang sama, kita juga khuatir jika ada pula rakyat negara ini yang bertindak balas dengan cara kasar melampaui batasan undang-undang. Jika kewarasan diganti dengan dendam, nyawa dan harta jadi taruhan. Ini wajib dihindar dengan apa cara sekalipun.

Hubungan dua hala negara berjiran yang sering mendapat jolokan negara serumpun ini pasti terjejas jika insiden tahan-menahan dan ugut-mengugut ini berterusan. Tidak ada menang-kalah dalam isu ini. Yang ada cuma kekecohan yang merosakkan nama, kewibawaan dan hubungan keluarga yang wujud zaman berzaman.

Melihat gambar pemuda Indonesia mengadakan tunjuk perasaan dalam satu gerakan yang digelar Sapu Malaysia di Jakarta, sesiapa pun di kalangan kita akan tertanya apakah tujuan mereka berbuat demikian.

Apakah sebenarnya punca kekecohan ini? Betulkah tarian Pendet itu yang menjadi punca ketegangan yang dirasa akhir-akhir ini? Atau apakah lagu Terang Bulan yang menyebabkan segolongan rakyat Indonesia mahu “berperang” dengan kita?

Kita diberitahu oleh Pengerusi Kumpulan Tokoh Terkemuka (Eminent Persons Group) di Indonesia, Try Sutrisno, seorang bekas pemimpin kanan tentera Indonesia, bahawa keselamatan anak-anak kita dan rakyat Malaysia di tanah seberang adalah terjamin.


Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Dai Bachtiar, juga menyuarakan perkara yang sama. Jangan khuatir, katanya. Segala langkah memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia sudah diambil, katanya lagi.

Tetapi, maklum sajalah, bapa mana dan ibu mana yang boleh tidur nyenyak melihat lelaki Indonesia meronda di jalanan bersenjatakan buluh runcing dan mengadakan sekatan haram mengancam keselamatan orang awam, terutama rakyat Malaysia.

Kita yakin bahawa pemerintah Indonesia tidak akan berdiam diri melihat ada segolongan rakyatnya yang mengancam bertindak di luar batasan undang-undang.

Jika tarian Pendet dan lagu Terang Bulan menjadi angkara, bukankah lebih baik kita duduk semeja berbincang dan mencari penyelesaian. Kita semua tahu pertalian darah, agama dan budaya antara Indonesia dan Malaysia menjadikan kedua-dua negara wujud seperti saudara kandung.

Malah, keakraban ini jelas terbukti dari setahun ke setahun. Tak payahlah kita sebut satu persatu, tetapi memadailah jika kita katakan sikap tolong-menolong dan bantu-membantu itu memang wujud secara automatik di sanubari setiap yang melihat kesengsaraan sahabat dan saudaranya.

Kita percaya bahawa tindakan mengancam keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia tidak mencerminkan silaturahim yang sedia ada di majoriti rakyat Negara itu. Ini jelas dilihat dan dirasa.

Umpamanya, rombongan kemanusiaan Malaysia yang tidak putus-putus mengunjung Aceh, termasuk yang terbaru dalam Ramadan ini mendapat sambutan dan layanan cukup mesra. Pertalian ini begitu kuat sekali dan tidak ada sebarang sungutan atau rasa tidak senang hati di kedua-dua pihak.

Kita tidak mahu melihat saudara serumpun ini bertegang leher atas perkara-perkara yang seharusnya menjadikan pertalian itu lebih mantap dan bermakna. Apa ada pada Terang Bulan jika keluarga serumpun hidup dalam gerhana dan curiga-mencurigai.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan