Rabu, 2 September 2009

ISU POLARISASI KAUM DALAM KALANGAN PELAJAR IPT


SAYA rasa telah agak lama kita membicarakan isu polarisasi kaum di kalangan para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara kita. Sejak sekian lama kita membicarakan isu ini, saya tidak tahu sejauh manakah hal ini berkembang, menjadi bertambah serius? Atau telah ada usaha untuk membaikinya, tetapi sejauh manakah kejayaannya?

Saya kembali ke universiti semula setelah meninggalkan kerja di universiti kerana berkhidmat dalam bidang lain, di dalam dan di luar negara, lebih daripada 15 tahun yang lalu. Setiap hari saya ke universiti pada masa kini, melewati kumpulan para pelajar yang sedang berkumpul menanti giliran untuk masuk ke bilik kuliah, atau setelah berehat dan sedang duduk-duduk berbual sesama sendiri selepas kuliah, malah kumpulan pelajar yang sedang makan minum di kantin.

Saya dapat melihat pandangan yang agak mengganggu perasaan saya sebagai seorang Malaysia, iaitu ketika melihat para pelajar berkumpul, berbual, berjenaka dan makan minum, atau lainnya, bersama-sama kaum masing-masing.

Saya masih ingat bahawa keadaan ini tidak begitu ketara semasa saya berkhidmat di universiti lebih satu atau dua dekad yang lalu. Pada masa itu keadaan agak berbeza, iaitu kalau diandaikan peratusan polarisasi kaum pada masa itu di kalangan pelajar universiti mungkin hanya antara 40 dan 50 peratus.

Tetapi pada masa kini pada umumnya, di sesetengah IPT, mungkin nisbah itu meningkat kepada lebih 90 peratus. Ini bererti bahawa semakin lama kita melangkah ke hadapan dalam membina satu bangsa Malaysia yang bersatu, maka nampaknya keadaan di IPT menunjukkan hasil yang bertentangan dari matlamat yang disasarkan itu jika diterjemahkan dari sudut perpaduan kaum para pelajarnya.

Pelajar-pelajar daripada pelbagai kaum, mungkin hanya bersama-sama menghadiri kuliah dan mengambil kursus yang sama tanpa mengira kaum. Mendengar syarahan pensyarah yang sama. Mungkin dalam perjumpaan formal anjuran universiti, mereka turut serta sebagai pelajar universiti yang sama. Tetapi ketika bergaul secara tidak formal, atau berbincang dan berdiskusi tentang pelajaran mereka, maka mereka akan memilih kaum sendiri. Apatah lagi dalam banyak keadaan, mereka masing-masing menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri.

Mungkin bagi sesetengah orang, hal ini merupakan perkara biasa sahaja, iaitu ketika pelajar merasa lebah mudah dan selesa berbual atau berbincang dengan rakan kaumnya sendiri, apa lagi bagi sesetengah pelajar Melayu sendiri.

Mereka nampaknya lebih mesra berkumpul dengan rakan-rakan Melayu yang berasal dari negeri yang sama, seperti dari Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah dan lain-lain. Jadi apakah nak dihairankan sekiranya dalam masa yang sama, pelajar-pelajar lebih suka bergaul hanya dengan kaum mereka sahaja.

Memanglah pada pandangan sepintas lalu, polarisasi kaum di IPT ini bukanlah satu isu besar. Tetapi sekiranya dikaji secara yang lebih mendalam, kita mungkin sedar bahawa bibit-bibit perpecahan dan kadang-kadang bibit-bibit permusuhan boleh berlaku akibat daripada polarisasi ini.

Tanpa pergaulan mesra di antara para pelajar pelbagai kaum dalam program formal dan tidak formal, dalam perbincangan sesama sendiri tentang pelajaran dan lain-lainnya, mereka tidak akan dapat menyelami hati budi kaum lain, tidak dapat merasakan cara berfikir dan pendekatan kepelbagaian kaum dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Malah tidak akan dapat memahami tradisi, budaya dan prinsip agama masing-masing dalam pergaulan, pembicaraan dan penyelesaian konflik ketika berlaku konflik umpamanya.

Mereka akan hanya memahami budaya mereka masing-masing, tradisi dan nilai moral sendiri, tanpa memahami hal itu bagi kaum yang lain, sedangkan mereka merupakan bangsa Malaysia, yang akan keluar ke tengah-tengah masyarakat sebagai pemimpin, peniaga dan orang biasa yang berada di dalam sebuah negara dengan mempunyai cita-cita yang sama dalam membangunkan bangsa dan negara yang sama.

Sehingga ke masa kini, ramai pengkaji mengambil kesimpulan bahawa dakwaan yang mengatakan bahawa rakyat kita dari pelbagai kaum telah memahami budaya dan adat serta prinsip-prinsip agama kaum lain dengan kefahaman yang mendalam adalah satu teori sahaja, bukan sebenarnya merupakan kenyataan yang hakiki.

Teori ini lebih merupakan satu penonjolan palsu kepada masyarakat dunia, dan lebih merupakan satu kosmetik yang menjadi perhiasan luaran sahaja, sedangkan dalamannya adalah kosong.

Pada masa kini, hal ini menjadi agak tepat, kerana segala isu yang timbul di dalam negara kita mutakhir ini sering merupakan isu yang ditafsir secara sentimen melulu berasaskan kepada kaum, agama dan individu. Rasa perkauman kembali agak menebal dalam masyarakat kita, dan sentimen ini dibesar-besarkan dalam semua aspek pembangunan negara kita, sama ada dalam pembangunan ekonomi, perundangan, bahasa, budaya, agama, politik, pentadbiran awam, ketenteraan, polis dan sebagainya.

Oleh itu isu polarisasi kaum di kalangan para pelajar universiti haruslah dibendung dan disalurkan kepada perpaduan yang lebih bermakna sekiranya kita mahu melihat bangsa Malaysia benar-benar dapat disatukan bagi mengendali negara kita pada masa yang akan datang untuk menjadi negara maju dan bermoral menjelang tahun 2020, kerana merekalah yang akan berperanan menerajui negara kita pada masa hadapan.

Gagasan 1 Malaysia merupakan satu jam loceng yang mengejutkan kita untuk segera sedar dan bangun memperbaiki keadaan, juga untuk memahami di manakah kita berada selama ini dalam perjalanan kita untuk membina bangsa dan negara kita yang bersatu padu, aman makmur dan terhindar dari semua jenis keganasan dan kekacauan yang menghancur-leburkan pembangunan sesuatu bangsa itu.

Semangat 1 Malaysia, roh patriotik dan rasa bangga dengan kemerdekaan negara yang menjangkau usia 52 tahun, dan kemampuan kita membangun begitu banyak IPT awam dan swasta, seharusnya kita manfaatkan sebagai titik awal untuk meninjau kembali kekuatan dan kelemahan kita, dan meningkatkan kualiti pembangunan bangsa kita, juga memperbaiki segala kelemahan kita selama ini, termasuk isu polarisasi kaum para pelajar IPT kita.

Datuk Dr. Ismail Ibrahim ialah ahli pemegang amanah Yayasan Satu Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan