Ahad, 4 Oktober 2009
Berjiwa Melayu selepas lima tahun
Oleh Mohd Aziz Ngah
azis@bharian.com.my
Gadis Russia cipta sejarah juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu
DUA tahun lalu, seorang gadis manis dari Moscow Russia, Olga Vadimovna Vasilevskaya, mencipta kejutan apabila diumumkan juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Walaupun ketika itu Olga berusia 19 tahun dan baru tiga tahun mempelajari Bahasa Melayu, pelajar dari Moscow State University, Russia itu berjaya menewaskan pemidato dari Malaysia dan peserta negara berbahasa Melayu yang lain.
Kepetahannya membicarakan tajuk 'Mampukah Dunia Melayu Mencorakkan Arah Pentadbiran Dunia pada Masa Hadapan?' secara tenang berserta hujah bernas membuktikan penguasaan bahasa Melayu tinggi yang baik, diselit dengan pepatah dan bidalan Melayu melayakkannya menerima anugerah itu.
Kini, gadis berusia 21 tahun itu baru saja menamatkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang Pelaburan Kewangan di Universiti Nottingham, cawangan Semenyih, Selangor. Tempoh setahun berada di Malaysia membuka peluang luas untuknya bergaul dengan masyarakat setempat.
"Semua bermula dengan minat. Dua tahun pertama mempelajari Bahasa Melayu memang sukar kerana kurang rakan untuk berkomunikasi, kurang buku rujukan dan masalah penterjemahan dalam Bahasa Russia.
"Kini selepas lima tahun, saya cukup seronok dan berasakan diri sebagai sebahagian daripada jiwa Melayu kerana saya juga belajar kebudayaan Melayu dan tarian Melayu," katanya.
Ketika berpeluang menemuinya, gadis manis tinggi lampai ini kelihatan cukup yakin dengan pertuturannya. Memang benar, jika kerap berkomunikasi terutama dengan pengamal bahasa kebangsaan ini, ia memberi kelebihan kepadanya untuk meningkatkan penguasaan bahasa.
Tanggapan awal yang mengatakan, gadis ini cuma mahir dalam aspek membaca dan menulis kerana mendapat pendidikan akademik secara formal jelas meleset kerana Olga sebenarnya juga dapat menguasai bahasa perbualan harian dan 'bahasa pasar'.
Bahkan, ketika menuntut di Moscow, beliau adalah pengasas kumpulan peminat bahasa Melayu dan banyak menganjurkan program seperti persembahan tarian zapin, tulisan jawi, menulis lirik lagu Melayu dan aktiviti seni serta sastera.
Beliau cukup beruntung kerana ketika minatnya memuncak untuk mempelajari Bahasa Melayu, beliau bertemu dan bergaul dengan pelajar Malaysia yang menuntut di universiti yang sama.
"Kami sama-sama bertukar idea bagaimana saya mahu menguasai bahasa dan kebudayaan Melayu dan sebaliknya. Kami mendapat faedah dan mampu meningkatkan penguasaan ilmu bahasa.
"Saya cukup kagum dengan dua pensyarah iaitu Dr Tatiana Dorofeeva dan Dr Evgeniya Kukuskina. Mereka dianggap pakar bahasa Melayu di Russia. Mereka pernah bekerja di Universiti Malaya (UM) selama setahun.
"Mereka banyak bercerita mengenai Malaysia dan menggambarkan negara ini seperti syurga. Itu membuatkan saya cukup tertarik untuk ke sini dan memahami budayanya, tetapi saya mesti menguasai Bahasa Melayu terlebih dulu jika mahu bergaul dengan masyarakat di sini," katanya.
Namun, jelasnya, ada juga rakannya yang cukup bagus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ketika menuntut di universiti, tetapi apabila datang ke sini, langsung tidak mampu bertutur kerana bahasa perbualan dan bahasa buku mempunyai perbezaan serta kurang melakukan latihan pertuturan.
Kini, apa yang ingin dilakukannya ialah memantapkan persatuan peminat Bahasa Melayu di Institute of Oriental Studies Moscow dengan memperbanyakkan bahan bacaan dan aktiviti kebudayaan.
"Kami bermasalah untuk menerbitkan kamus terjemahan bahasa Melayu ke dalam bahasa Russia. Bahan bacaan bercetak juga terhad, diharapkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta kementerian pelancongan atau Kedutaan Malaysia dapat membantu.
"Sebenarnya, kami cukup teringin mendengar pemimpin Malaysia dan pegawai kerajaan yang datang ke Russia berucap dalam Bahasa Melayu. Itu melambangkan budaya negara tetapi mereka lebih gemar berbahasa Inggeris jika datang ke sini.
"Di Russia, bahasa Inggeris tidak begitu diutamakan. Kenapa tidak berbahasa Melayu kerana Presiden Russia tidak pernah berucap dalam bahasa lain, selain bahasa Russia dalam upacara rasmi di mana saja.
"Sedangkan beliau menguasai banyak bahasa dunia lain tetapi hanya menggunakan dalam acara tidak rasmi," katanya.
Sumber : http: //www.bharian.com.my/
Nota hujung:
Kemampuan orang lain (gadis Russia) menguasai bahasa Melayu membuktikan bahawa bahasa rasmi negara kita itu bahasa yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mudah dikuasai. Yang pasti, kesungguhan gadis tersebut untuk belajar bahasa Melayu itulah kunci kejayaannya. Benarlah peribahasa belakang parang, kalau diasah lagikan tajam dan hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.
Ironisnya, dalam masa orang dari negara lain mahu mempelajari bahasa kita, pemimpin dan rakyat di negara kita sendiri pula tidak yakin akan kemampuan bahasa sendiri sebagai bahasa ilmu. Lebih malang dan menghairankan lagi, ramai kalangan anak Melayu; yang lahir dalam lingkungan keluarga Melayu, bertutur bahasa Melayu, dan mengamalkan budaya Melayu sejak kecil, gagal menguasai bahasa Melayu walaupun telah mempelajarinya secara formal berbelas-belas tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan