Isnin, 23 November 2009
Alza, MPV pertama Perodua dilancar
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 23 Nov. – Selepas 15 tahun beroperasi, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mencatat sejarah tersendiri hari ini apabila melancarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) pertamanya – Alza.
Alza yang bermaksud kebangkitan dalam bahasa Sepanyol itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.
Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dalam ucapannya berkata, Alza merupakan satu pencapaian bermakna kepada Perodua dan vendornya kerana dibina menggunakan 90 peratus komponen tempatan.
Katanya, kadar itu adalah yang paling tinggi berbanding model-model dikeluarkan sebelum ini.
“Alza menggambarkan kematangan vendor automotif Malaysia dalam menghasilkan kelengkapan bermutu tinggi.
“Keseluruhannya kita mempunyai 100 vendor dalam projek Alza dan daripada jumlah itu, sebanyak 94 adalah syarikat tempatan,” katanya.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Presiden Daihatsu Motor Co. Ltd, Teruyuki Minoura, Pengarah Urusan Perodua, Datuk Syed Abdul Hafiz Syed Abu Bakar dan bakal pengganti beliau, Aminar Rashid Salleh.
Sementara itu, Asmat berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk menjual antara 3,500 hingga 4,000 unit MPV berkenaan setiap bulan.
Beliau percaya reka bentuk, ciri-ciri serbaguna dan harga berpatutan akan menjana minat yang tinggi di kalangan masyarakat.
“Saya telah mendapat reaksi balas yang amat baik daripada pihak yang telah memandu uji Alza dan dimaklumkan bahawa tempahan awalnya amat menggalakkan.
“Kita telah menerima 3,500 pesanan dalam masa 10 hari ia dibuka untuk tempahan, saya diberitahu tempoh menunggu pula adalah tiga bulan,” katanya.
Alza yang membabitkan pelaburan RM300 juta untuk direalisasikan, ditawarkan dalam enam jenis iaitu masing-masing dua standard, dua premium dan dua versi yang dipertingkatkan (advance).
Jenis standard dan premium dijual pada harga di antara RM56,000 dan RM64,000 seunit, manakala jenis advance yang akan memasuki pasaran bermula Mac 2010 dijual pada harga antara RM67,000 hingga RM70,000.
Alza didatangkan dalam enam pilihan warna yang menarik iaitu Classy Purple, Ebony Black, Ivory White, Pearl White, Medallion Grey dan Glittering Silver.
Sumber : http: //www.utusan.com.my/
Nota hujung :
Syabas kepada Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) atas pengeluaran kenderaan pelbagai guna baru ini. Cuma, sebagai anak Malaysia yang menuturkan bahasa Melayu dan mengajarkan bahasa Melayu di sekolah, penulis agak terkilan sedikit kerana istilah bahasa asing (SEPANYOL) dipilih sebagai jenama kenderaan pelbagai guna ini. Nampaknya, era penjenamaan kereta menggunakan bahasa Melayu tinggal sejarah. Kalau dahulu, Perodua mengutamakan bahasa Melayu apabila memilih jenama kereta, buktinya, kita berbangga dengan kereta berjenama KANCIL, KELISA, RUSA dan KEMBARA. Namun, mengapakah kecenderungan ini seakan-akan berakhir? Tidak wujudkan istilah atau kosa kata bahasa Melayu yang boleh kita pilih untuk dijadikan jenama kereta? Atau kita memandang bahasa Melayu tidak memiliki nilai komersial? Kalau begitu, bagaimanakah kita dapat menyumbang untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia? Fikir-fikirkan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan