SERUAN haji bergema lagi. Para tetamu Allah sedang bersiap sedia untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu. Di sebalik persiapan bersifat kebendaan seperti tambang pergi dan balik, pakaian ihram dan kelengkapan haji, persediaan lain juga patut diberi perhatian.
Misalnya persediaan ruhani dan mental bagi menghadapi pelbagai ragam dan kerenah kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia. Ketiadaan persiapan ruhani boleh menyebabkan falsafah pelaksanaan haji seperti bertolong-tolongan dalam melakukan ketaatan tidak tercapai.
Begitu juga semangat persaudaraan Islam yang tidak dibezakan oleh warna kulit dan tutur bahasa boleh bertukar menjadi perkelahian yang merosakkan ibadah haji.
Untuk itu, beberapa perkara perlu diberi perhatian yang sudah dan belum berangkat ke Tanah Suci Mekah. Antaranya ialah:
1. Murnikan niat sambil berharap keredaan-Nya. Dewasa ini terdapat segelintir masyarakat yang terpesong niat dan tujuan untuk ke Mekah. Ada yang pergi sekadar untuk melengkapkan gelaran haji dan hajah berikutan pelbagai gelaran lain yang telah diterima. Ada juga yang pergi berniaga dan tak kurang juga yang sekadar menunaikan kewajipan kerana malu disindir masyarakat setempat.
Hadis riwayat Anas ibn Malik ra, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang ertinya: Akan datang suatu zaman ketika itu orang kaya mengerjakan haji untuk melancong, orang yang sederhana pergi haji untuk berniaga, para ulama pergi haji kerana riak dan mendapat nama manakala orang fakir pula mengerjakan haji untuk meminta-minta.
Oleh itu, niat yang ikhlas perlu disemat di dalam hati sebelum memulakan langkah melakukan kerja-kerja haji yang lain. Malahan ia berpotensi mencorakkan pelaksanaan haji dengan sempurna dan diterima oleh Allah SWT.
2. Bersihkan jiwa dengan bertaubat. Mekah dan Madinah adalah dua kawasan tanah haram yang terpelihara kesuciannya, Untuk itu, bakal jemaah haji perlu membersihkah hati daripada sifat-sifat mazmumah. Penyakit hati seperti sombong, angkuh dan meninggi diri hendaklah dibuang jauh-jauh sebelum menjadi tetamu Allah. Ia sebaliknya diganti dengan sifat tawaduk, toleransi, sentiasa bersabar dan saling menerima kekurangan orang lain.
Di samping itu bertaubat dengan memohon keampunan daripada-Nya adalah perbuatan yang sangat dituntut. Tidak sepatutnya, peluang terpilih menjadi tetamu Allah SWT dicemari dengan pelbagai dosa silam yang kemungkinan mengagalkan cita-cita beroleh haji yang mabrur.
3. Berfikiran positif sambil memohon rahmat-Nya. Ada segelintir bakal haji yang khuatir dihukum oleh Allah setibanya di Mekah akibat perlakuan dosa-dosa lalu. Kebimbangan itu terserlah berikutan berbagai-bagai kisah balasan dan azab yang diceritakan.
Sebagai orang yang beriman kepada Allah dan Rasulnya, mereka dinasihatkan kembali kepada landasan akidah yang benar dengan sentiasa bersangka baik kepada Allah. Ini dapat dilakukan dengan memperbanyak solat taubat, beristighfar atas dosa silam sambil menaruh setinggi pengharapan agar diampunkan dosa dan dipelihara dengan rahmat-Nya daripada perkara buruk yang tidak diingini.
Nabi Muhammad SAW bersabda: Diampunkan dosa bagi orang yang mengerjakan haji, dan bagi mereka yang dimintakan ampun oleh orang yang menunaikan haji. (Hadis riwayat Thabarani dan al-Hakim)
Bakal haji juga hendaklah sentiasa berlapang dada dan reda dengan segala perbelanjaan yang telah dikeluarkan tanpa mengungkit-ungkit pengorbanan wang, masa dan tenaga yang telah disumbangkan untuk fi sabilillah.
4. Berazam untuk melestarikan tuntutan ibadah. Peluang terpilih menjadi tetamu istimewa perlu dimanfaatkan dengan bersungguh-sungguh melakukan pelbagai ibadah wajib mahupun sunat. Solat berjemaah di masjid setiap waktu, bersedekah, melakukan ibadah umrah, bertadarus al-Quran dan berzikir merupakan intipati daripada kesempurnaan ibadah haji.
Hindari daripada terlalu sibuk membeli-belah, menyebabkan tugas ibadat terabai. Kesempatan cuti daripada tugasan harian sebaik-baiknya diganti dengan memperbanyak amal kebajikan. Lebih-lebih lagi bonus pahala berlipat kali ganda disediakan kepada mereka yang sanggup berkorban masa dan tenaga semasa berada di tanah suci.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang ertinya: Dan solat yang dikerjakan di Masjidil-Aqsa diberi ganjaran sehingga lima puluh ribu solat. Solat yang dikerjakan di masjidku (Masjid al-Nabawiy) diganjarkan sehingga lima puluh ribu solat dan solat yang dikerjakan di Masjidil Haram diberi ganjaran sehingga seratus ribu solat. (Hadis riwayat Ibn Majah).
5. Berharap kurniaan haji yang mabrur. Ganjaran haji mabrur adalah cita-cita setiap bakal jamaah haji. Itulah antara balasan yang dikurniakan Allah kepada hambanya yang telah melakukan jihad haji. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya; Haji yang mabrur tidak punya balasan kecuali syurga. Dikatakan kepadanya; Ya Rasulullah apakah haji yang mabrur. Nabi SAW bersabda; perkataan yang baik dan memberikan makanan. (Hadis riwayat al-Hakim)
Selain itu, haji yang diterima Allah juga berupaya menghapuskan dosa-dosa. Seperti mana sabda Rasulullah daripada Abu Hurairah ra bermaksud, Barang siapa menunaikan haji untuk mendapatkan keredaan-Nya, dengan tidak menyebut perkataan buruk dan tidak melakukan perkara maksiat akan kembali bebas daripada dosa seperti hari di mana ibu melahirkannya.
Manakala, bagi yang belum menunaikan kewajipan haji, diseru untuk berazam sambil berdoa agar diberi kemudahan untuk pergi haji. Lakukan persediaan awal dengan menabung sedikit demi sedikit bagi tujuan itu. Bak kata pepatah sikit-sikit lama jadi bukit.
Ini kerana haji adalah ibadah yang difardukan kepada setiap orang Islam yang berkemampuan dan tidak sempurna iman seseorang jika gagal melaksanakannya. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang ada mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi tidak menunaikan haji maka tidak ada halangan baginya mati sebagai Yahudi dan Nasrani. (Hadis riwayat al-Tirmizi dan al-Baihaqi)
Alasan belum sampai seruan, adalah hujah lapuk yang tidak lagi relevan. Sejak dahulu lagi Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim as untuk menyeru seluruh manusia bagi menunaikan kewajipan haji dan seruan itu sampai ke seluruh pelosok alam.
Sebagai mana firman-Nya yang bermaksud: Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke Baitullah dengan berjalan kaki, dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datang daripada pelbagai jalan yang jauh. (Surah al-Haj:27)
Dalam tafsir ibn Kathir dinyatakan, bukit-bukau tunduk bagi memberi laluan kepada suara Nabi Ibrahim as sehingga seruan itu didengari oleh seluruh alam termasuk yang berada di alam rahim.
PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Johor Bahru
Sumber : http: //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan