Khamis, 24 Disember 2009

Pendaulatan bahasa Melayu perlu iltizam politik

KAMI yakin rintihan 'Ilham Syakima dari Yan, Kedah' mengenai 'Perjuangan Bahasa Melayu Bermusim' seperti disiarkan ruangan ini baru-baru ini, bukanlah tulisan terakhir kerana sesudah ini akan tertatap banyak lagi rintihan seumpamanya selagi bahasa Melayu belum terdaulat penuh sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi.

Faktor terkuat di sebalik kekecewaan ini ialah kuasa dan keazaman politik kita yang lemah dalam musim tertentu menyebabkan perjuangan pendaulatan bahasa Melayu nampaknya bermusim, bergantung kepada pucuk kepemimpinan negara.

Hal ini diperkukuhkan hakikat penerimaan masyarakat akan bahasa tanpa mengira bahasa apa juga di dunia sebagai unsur budaya cukup dinamis berbanding kandungan budaya lain yang merangkumi ekonomi, kepercayaan, politik, sains dan teknologi.

Betapa tidak, pada peringkat awal kemerdekaan, usaha pendaulatan bahasa Melayu rancak dijalankan oleh pejuang bahasa, tetapi lama kelamaan perjuangan itu lesu sehingga sedikit masa dulu baru disedari kepentingannya lalu terlancar Bulan Bahasa Kebangsaan, di tengah-tengah keterpinggiran bahasa Melayu dalam arus perdana globalisasi, rasionalisasi dan teknologi maklumat dan komunikasi.

Kelesuan demikian berlaku kerana keghairahan barisan pemimpin dan rakyat kalangan intelektual hendak mengejar kepesatan global, pastinya berteraskan bahasa Inggeris.

Harus diingat pendaulatan bahasa Melayu tidak setakat bertutur, berhujah, beretorik dan menulis bahan semata-mata, tetapi yang ditutur dan dihujahkan itu perlu memenuhi syarat kebakuan satu-satu bahasa moden yang mendukung pelbagai wacana ilmu pengetahuan.

Sebab itu, bahasa Melayu perlu terus tuntas unggul sebagai Bahasa Kebangsaan kerana seingat kami, belum ada sidang Parlimen meluluskan usul menukar bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia.

Memang kemerdekaan lebih 52 tahun rata-rata membahasa 'Malaysiakan rakyat', tetapi yang belum terlaksana dan tercapai semurni mungkin ialah penjiwaan bahasa Melayu itu sendiri. Ertinya yang paling wajar kini ialah membahasa-melayukan dulu jiwa, perasaan, dan semangat patriotisme mereka yang berkepentingan dan berpengaruh dalam sektor tertentu khusus undang-undang, perubatan dan kedoktoran, ekonomi dan perdagangan dan kefalsafahan.

Akan terdaulatlah bahasa Melayu jika isu paling pokok ini terlerai, insya-Allah. Jika tidak, perdaulatan bahasa Melayu tidak akan ada jalan hujungnya.

DR ILLIAS ZAIDI,
Kuala Lumpur.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

1 ulasan: