Itu belum termasuk jadual pendidikan sampingan anak-anak, seperti kelas tuisyen, kelas agama dan mengaji al-Quran atau kegiatan kokurikulum.
Kehidupan seharian anak-anak yang diprogramkan sebegini rupa menunjukkan kepentingan budaya menimba ilmu. Ia penting dalam membentuk manusia yang seimbang nilai rohani, jasmani, emosi dan intelektualnya. Namun, ada anak-anak yang tidak melihatnya sebagai sesuatu yang memberikan makna yang besar, sekadar suatu rutin yang disusun atur oleh ibu bapa.
Pergi ke sekolah dan menuntut ilmu sepatutnya bukan sekadar rutin kepada persepsi anak-anak. Ia perlu dilihat sebagai kewajipan ke atas orang Islam. Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW iaitu "menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim."
Anak-anak perlu difahamkan bahawa menuntut ilmu juga diandaikan seperti berjihad ke jalan Allah seperti hadis: "Barang siapa keluar untuk mencari ilmu maka ia berada di jalan Allah sampailah ia kembali" (riwayat al-Tirmizi).
Sebagai ibu bapa pasti ada antara kita yang pernah diajukan persoalan oleh anak-anak seperti: "Ayah, kenapa saya perlu ke sekolah setiap hari?" atau "Ibu, apa perlunya saya belajar bersungguh-sungguh?"
Apa pula agaknya jawapan yang sesuai untuk diberikan? Adakah mencukupi atau tepat dengan mengatakan kepada anak-anak bahawa: "Kamu mesti belajar untuk lulus peperiksaan dengan cemerlang" atau "Kalau nak jadi orang yang ada kerja yang elok dan banyak duit, kenalah pergi ke sekolah dan belajar rajin-rajin."
Jawapan seperti ini ditafsir sesetengah orang sebagai kurang tepat. Ia menzahirkan trend dalam kalangan ibu bapa yang nampaknya bersungguh-sungguh mendidik anak-anak melangkahkan kakinya ke sekolah dengan hanya bermatlamatkan kecemerlangan dalam peperiksaan atau sebagai batu loncatan untuk mendapat kerja.
Bila anak-anak disemai dengan budaya terlalu mengejar kedudukan nombor satu dalam kelas atau deretan 'A' semaksimum mungkin, ia menjadikan mereka mengejar tanda aras (bench mark) tersebut dan tidak berfikir untuk meraih lebih jauh daripada itu.
Banyak impak negatif jika usaha mencari ilmu itu tidak diiringi dengan amalan. Antaranya, anak-anak akan terfokus untuk mengejar objektif yang ditetapkan oleh ibu bapa dan tertekan apabila ia tidak menjadi kenyataan.
Rasa takut dan rendah diri akan wujud jika nombor dalam kelas atau keputusan peperiksaan yang diidamkan oleh ibu bapa tidak dicapai. Akan wujud jugalah situasi di mana sesetengah anak yang "kurang berjaya daripada segi akademik" disisih dan dipandang rendah oleh ibu bapa, keluarga dan masyarakat.
Mereka kemudiannya mencari jalan singkat dalam memujuk diri yang dicap 'kurang bijak' dengan terbabit dalam gejala-gejala negatif seperti merokok, melepak, vandalisme, menagih dadah bahkan membunuh diri.
Hakikatnya, gagal dalam peperiksaan bukanlah bererti mereka sudah tewas dan tidak akan mampu mengharungi cabaran kehidupan di masa mendatang.
Bagi sesetengah anak yang berjaya pula, ilmu yang ditimba itu tidak diamalkan sebaiknya bahkan ia begitu rapuh hilang daripada ingatan selepas berakhirnya peperiksaan atau pengajian. Semudah hilangnya nota-nota atau buku-buku rujukan dari pandangan mata.
Mungkin juga gejala-gejala seperti merasuah dan pecah amanah berlaku disebabkan kedangkalan ilmu atau hanya kelihatan pandai tetapi tidak beramal dengan ilmunya.
Inilah antara senario yang biasa berlaku dalam masyarakat kita. Roh ilmu itu tidak benar-benar meresap di dalam diri sejak kecil, kerana ilmu pengetahuan dicari bersandarkan matlamat-matlamat yang orientasinya kurang tepat - tetapi tidak salah.
Ilmu itu sebenarnya perlu dicari, dipelajari dan dihayati secara istiqamah. Bak kata pujangga, "gersang bumi tanpa hujan, gersang minda tanpa ilmu, gersang jiwa tanpa amal, gersang hati tanpa iman".
Sejak kecil lagi, anak-anak perlu dididik bahawa ilmu pengetahuan bukan hanya untuk dicari dan dipelajari, bahkan ia diamal dan diniatkan kerana Allah SWT. Menurut perspektif Islam, dengan cara itu dapat meningkatkan darjat hidup manusia di dunia dan akhirat.
Ibu bapa sebagai role model yang paling rapat dengan anak-anak wajar memberikan misalan terbaik dalam mendasari kaedah mengamalkan ilmu.
Cara paling mudah adalah untuk menunjukkan minat dan sokongan padu terhadap anak-anak. Contohnya, mengambil berat keperluan dan perkembangan pelajaran mereka dengan meluangkan masa membantu atau bertanyakan kerja rumah yang diberikan guru. Selain itu, mereka juga boleh dinasihati agar memelihara kemurnian ilmu untuk kebaikan di dunia dan akhirat.
Dalam hal beramal misalnya, ibu bapa boleh mengajak anak-anak mengerjakan solat pada awal waktu, tidak culas melaksanakan puasa sunat serta bertadarus bersama-sama. Ini merupakan contoh kaedah pengamalan ilmu yang diperoleh secara hands-on atau praktis secara langsung. Barulah ilmu itu tepat dengan sasaran "dari mata turun ke hati, lalu kekal tersemat di dalam jiwa dan pemikiran."
Dalam hal moral dan tatasusila, ibu bapa wajar menunjukkan contoh pekerti mulia seperti tidak merokok, menjaga percakapan daripada mengumpat atau menutur kata-kata kesat, menjaga adab-adab berjiran, dan sebagainya.
Dengan cara ini, anak-anak akan lebih jelas bahawa ibu bapanya tidak menunjukkan tindak-tanduk yang kontra dengan apa yang dipelajari di sekolah.
Kaedah-kaedah yang dicadangkan sebenarnya tidak sesukar mana dan memerlukan komitmen yang berterusan daripada ibu bapa.
Pokok pangkalnya, sekelumit contoh yang diberikan penulis di atas adalah diyakini mampu menjadi pencetus yang signifikan dalam menceritakan kepentingan mengamalkan ilmu kepada anak-anak.
Ia mampu menjadi pencetus terbaik bagi mereka menjiwai bidang-bidang ilmu yang akan diterokainya kelak bahkan memberikan pulangan lebih lumayan dan terkesan dalam membangunkan martabat anak-anak, ibu bapa, masyarakat, agama dan negara.
PENULIS ialah Pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia
Sumber : http://www.utusan.com.my/