TUGAS PENUNTUT ILMU
Secara Umum, dapat digariskan empat tugas seorang penuntut ilmu:
1) Membetulkan niat
Perkara pertama yang perlu diambil perhatian oleh penuntut ilmu, ialah mempunyai keikhlasan niat demi untuk mencapai keredhaan Allah. Bukan untuk berbangga apabila digelarkan sebagai orang allim, atau tujuan mengumpulkan harta, pangkat atau yang seumpamanya.
Sabda Rasulullah SAW
Sesiapa yang mempelajari ilmu kerana Allah, tidak mempelajari ilmu kerana inginkan harta dunia, tidak akan dia temui kecuali Syurga pada hari akhirat kelak.. (Riwayat Abu Daud)
Cuma perlu di ingat bahawa, jika harta, pangkat dan yang seumpamanya datang kepada seorang alim, maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menerima dan memanafaatkannya.
2)Berterusan dalam menuntut ilmu
Ilmu adalah lautan yang tidak mempunyai pantai dan tepian. Maka usaha menuntut dan menambahkan ilmu hendaklah berlaku secara berterusan, tidak didalangi oleh peringkat-peringkat ijazah tertentu.
Firman Allah SWT.
"Katakanlah (wahai muhammad) tambahkan aku ilmu" (Surah Toha ayat 114)
3) Sabar
Penuntut ilmu hendaklah sentiasa sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran yang merintangi perjalanannya di dalam menuntut ilmu sama ada yang bersiafat fizikal mahupun spritual.
Tidak perlulah diceritakan di sini sejarah para sahabat dan ulama yang menempuh segala cabaran demi untuk menuntut ilmu.
4) Memuliakan Guru
Sabda Rasulullah SAW
Bukan dari umatku orang yang tidak memuliakan orang tua dan mengasihi anak-anak muda kami dan tidak mempelajari daripada orang-orang alim- (Riwayat Abu Daud)
Saya tidak bertujuan untuk menghuraikan hak seorang alim/guru yang perlu ditunaikan oleh muridnya di dalam artikel ini cuma dicadangkan agar kita mengambil sedikit dari masa kita untuk melihat kembali perkara ini, semoga segala ilmu yang kita tuntut mendapat keredhaan Allah SWT
AKHLAK PENUNTUT ILMU
1) Merasakan Tanggungjawab ilmu
Diriwayatkan Daripada Muaz bin Jabal die berkata Rasulullah SAW bersabda. Tidak akan mara seseorang hamba di hari Akhirat melainkan telah ditanya mengenai 4 perkara: Berkenaan Umurnya ke mana yang telah dia habiskan. Berkenaan dengan Waktu mudanya apa yang telah dia lakukan. Berkenaan dengan hartanya dari mana diperolehinya dan ke mana dia belanjakan. Dan berkenaan dengan ilmu apa yang telah perbuat dengannya.-Riwayat oleh Attabarani dengan isnad yang sohih-
2) Menjaga amanah ilmiah
Sabda Rasulullah SAW :
Berilah nasihat pada ilmu, Sesungguhnya khianat seseorang daripada kamu terhadap ilmu adalah lebih dahsyat daripada khianatnya terhadap hartanya, Dan sesungguhnya Allah akan bertanya kepada kamu pada hari kiamat – (Riwayat Attabarani)
Antara yang termasuk dalam daerah amanah ilmu adalah beberapa perkara berikut.
i. Menasabkan atau menyandarkan pendapat dan fikrah (buah fikiran) kepada Tuannya.
ii. Menyampaikan ilmu yang diketahui, dan tidak malu untuk mengatakan"tidak tahu" jika dia tidak mengetahuinya.
3)Tawadduk
Para Ilmuan yang menyedari bahawa ilmu adalah lautan yang tidak bertepi tidak akan merasa sombong dan bangga dengan apa yang ada pada mereka. Bahkan selagi bertambah ilmu di dada, semakin bertambah sifat tawadduk.
Firman Allah SWT: "Tidak diberi kepada kamu ilmu kecuali sedikit sahaja" (Surah al-Isra' ayat)
4)Mulia diri (Al-Izzah)
Para ilmuan hendaklah merasa mulia diri tidak merendahkan diri apabila berhadapan dengan pemerintah, golongan bangsawan, golongan kaya-raya dan yang seumpamanya,
Firman Allah SWT: "kekuatan itu hanyalah kepada Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui" (Surah al-Munafikun ayat 8)
"Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allahlah kemuliaan itu semuanya" (Surah Fathiir ayat 10)
5)Beramal dengan apa yang dipelajari
Firman Allah taala ; "Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu sendiri melupakan diri (kewajiban)mu sendiri padahal kamu mambaca Al-Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?" (Surah al-Baqarah ayat 44 )
6) Sentiasa berusaha untuk menyampaikan ilmu
Firman Allah taala: "Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu):"Hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia, dan janganlah kamu menyembunyikannya", lalu mereka melemparkan janji itu )ke belakang punggung mereka dan mereka menukarkannya dengan harga yang sedikit, Amatlah buruk tukaran yang mereka terima" (surah Ali Imran ayat 187)
Oleh: Azmi Hashim
Suara Persatuan Ulamak Online
Sumber : http://www.geocities.com