Jumaat, 17 Julai 2009

TUGAS & AKHLAK PENUNTUT ILMU

Rasanya agak janggal jika kita membincangkan masalah ilmu tanpa diketengahkan apakah tugas yang perlu kita tunaikan di dalam misi menuntut ilmu, dan apakah akhlak yang perlu ada dan tanggungjawab yang perlu kita pikul terhadap ilmu yang kita pelajari.


TUGAS PENUNTUT ILMU

Secara Umum, dapat digariskan empat tugas seorang penuntut ilmu:

1) Membetulkan niat

Perkara pertama yang perlu diambil perhatian oleh penuntut ilmu, ialah mempunyai keikhlasan niat demi untuk mencapai keredhaan Allah. Bukan untuk berbangga apabila digelarkan sebagai orang allim, atau tujuan mengumpulkan harta, pangkat atau yang seumpamanya.

Sabda Rasulullah SAW
Sesiapa yang mempelajari ilmu kerana Allah, tidak mempelajari ilmu kerana inginkan harta dunia, tidak akan dia temui kecuali Syurga pada hari akhirat kelak.. (Riwayat Abu Daud)

Cuma perlu di ingat bahawa, jika harta, pangkat dan yang seumpamanya datang kepada seorang alim, maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menerima dan memanafaatkannya.

2)Berterusan dalam menuntut ilmu

Ilmu adalah lautan yang tidak mempunyai pantai dan tepian. Maka usaha menuntut dan menambahkan ilmu hendaklah berlaku secara berterusan, tidak didalangi oleh peringkat-peringkat ijazah tertentu.


Firman Allah SWT.
"Katakanlah (wahai muhammad) tambahkan aku ilmu" (Surah Toha ayat 114)

3) Sabar

Penuntut ilmu hendaklah sentiasa sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran yang merintangi perjalanannya di dalam menuntut ilmu sama ada yang bersiafat fizikal mahupun spritual.
Tidak perlulah diceritakan di sini sejarah para sahabat dan ulama yang menempuh segala cabaran demi untuk menuntut ilmu.

4) Memuliakan Guru

Sabda Rasulullah SAW

Bukan dari umatku orang yang tidak memuliakan orang tua dan mengasihi anak-anak muda kami dan tidak mempelajari daripada orang-orang alim- (Riwayat Abu Daud)


Saya tidak bertujuan untuk menghuraikan hak seorang alim/guru yang perlu ditunaikan oleh muridnya di dalam artikel ini cuma dicadangkan agar kita mengambil sedikit dari masa kita untuk melihat kembali perkara ini, semoga segala ilmu yang kita tuntut mendapat keredhaan Allah SWT

AKHLAK PENUNTUT ILMU

1) Merasakan Tanggungjawab ilmu

Diriwayatkan Daripada Muaz bin Jabal die berkata Rasulullah SAW bersabda. Tidak akan mara seseorang hamba di hari Akhirat melainkan telah ditanya mengenai 4 perkara: Berkenaan Umurnya ke mana yang telah dia habiskan. Berkenaan dengan Waktu mudanya apa yang telah dia lakukan. Berkenaan dengan hartanya dari mana diperolehinya dan ke mana dia belanjakan. Dan berkenaan dengan ilmu apa yang telah perbuat dengannya.-Riwayat oleh Attabarani dengan isnad yang sohih-


2) Menjaga amanah ilmiah


Sabda Rasulullah SAW :


Berilah nasihat pada ilmu, Sesungguhnya khianat seseorang daripada kamu terhadap ilmu adalah lebih dahsyat daripada khianatnya terhadap hartanya, Dan sesungguhnya Allah akan bertanya kepada kamu pada hari kiamat – (Riwayat Attabarani)

Antara yang termasuk dalam daerah amanah ilmu adalah beberapa perkara berikut.

i. Menasabkan atau menyandarkan pendapat dan fikrah (buah fikiran) kepada Tuannya.


ii. Menyampaikan ilmu yang diketahui, dan tidak malu untuk mengatakan"tidak tahu" jika dia tidak mengetahuinya.

3)Tawadduk

Para Ilmuan yang menyedari bahawa ilmu adalah lautan yang tidak bertepi tidak akan merasa sombong dan bangga dengan apa yang ada pada mereka. Bahkan selagi bertambah ilmu di dada, semakin bertambah sifat tawadduk.

Firman Allah SWT: "Tidak diberi kepada kamu ilmu kecuali sedikit sahaja" (Surah al-Isra' ayat)

4)Mulia diri (Al-Izzah)

Para ilmuan hendaklah merasa mulia diri tidak merendahkan diri apabila berhadapan dengan pemerintah, golongan bangsawan, golongan kaya-raya dan yang seumpamanya,

Firman Allah SWT: "kekuatan itu hanyalah kepada Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui" (Surah al-Munafikun ayat 8)

"Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allahlah kemuliaan itu semuanya" (Surah Fathiir ayat 10)

5)Beramal dengan apa yang dipelajari

Firman Allah taala ; "Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu sendiri melupakan diri (kewajiban)mu sendiri padahal kamu mambaca Al-Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?" (Surah al-Baqarah ayat 44 )

6) Sentiasa berusaha untuk menyampaikan ilmu

Firman Allah taala: "Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu):"Hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia, dan janganlah kamu menyembunyikannya", lalu mereka melemparkan janji itu )ke belakang punggung mereka dan mereka menukarkannya dengan harga yang sedikit, Amatlah buruk tukaran yang mereka terima" (surah Ali Imran ayat 187)

Oleh: Azmi Hashim
Suara Persatuan Ulamak Online


Sumber : http://www.geocities.com

Satelit pemangkin sistem komunikasi

Oleh Afiq Hanif
afiq@hmetro.com.my




KALAU pengguna menonton filem Transformer: Revenge of the Fallen pasti boleh mengingati robot dari Decepticon yang cuba mengawal komunikasi bumi dengan menggodam satelit ketika awal babak filem terbabit.

Kenapa ia dilakukan?

Jelas, satelit memainkan peranan penting dalam sistem komunikasi dan boleh dikatakan nyawa penduduk di bumi yang bergantung kepada penggunaannya sama ada untuk tujuan komunikasi, keselamatan, hiburan dan sebagainya.

Secara umumnya, satelit adalah objek berputar di angkasa mengelilingi objek lain yang lebih besar seterusnya mengekalkan posisi dalam graviti objek tersebut.

Ia berdasarkan konsep astronomi dengan merujuk keadaan bulan dan matahari yang mengelilingi bumi sebagai ‘satelit’ asli sedia ada.

Konsep astronomi terbabit yang mendatangkan idea penciptaan satelit buatan manusia yang mengelilingi bumi bagi tujuan komunikasi seterusnya menempa satu lagi pembaharuan dalam perkembangan ketamadunan manusia.

Satelit dengan capaian komunikasi serantau diperkenalkan pada 1960 dengan memantulkan transmisi sehala melalui ECHO 1 sementara pelopor generasi satelit baru dimulakan pada 1962 apabila TelStar yang mempunyai pemancar penerima serta penghantar isyarat diperkenalkan.

Bercakap soal penerimaan isyarat, satelit mampu menghantar isyarat pada gelombang rendah membolehkan penerimaannya di bumi melalui perkakasan penerima menjangkau liputan meluas ke pelusuk dunia.

Jadi, tidak hairanlah kalau dikatakan satelit sebagai jawapan kepada persoalan sambungan liputan di kawasan pedalaman terutama membabitkan perkampungan yang sukar dijangkau sistem komunikasi lain.

Menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa), satelit buatan manusia yang pertama mengorbit bumi ialah Sputnik 1, dibina oleh Soviet Union dan dilancarkan pada 4 Oktober 1957.

Sputnik mempunyai orbit yang berbentuk bujur dan bergerak pada altitud di antara 225 hingga 950 kilometer (km).

Sepanjang berada di orbit, ia menyiarkan isyarat bip selama 21 hari sebelum terbakar di atmosfera bumi pada 4 Januari 1958.

Satelit memerlukan teknologi yang unik dan tahan lasak bagi membolehkannya bertahan semasa proses pelancaran dan menghadapi persekitaran angkasa yang ekstrim.

Satelit juga perlu membawa sumber tenaganya sendiri kerana ia tidak dapat menerimanya dari bumi.

Ia harus mengekalkan orientasinya atau menghadap pada arah yang tertentu bagi menjayakan misinya selain perlu mengekalkan suhu bersesuaian ketika berada dalam keadaan panas matahari dan cuaca sejuk ruang angkasa.

Malah, satelit perlu berupaya bertahan dengan tahap radiasi yang tinggi dan pelanggaran dengan mikrometeoroid.

Kebanyakan satelit dilengkapi dengan perkomputeran dipasang siap bagi mengawal operasi dan misinya.

Terdapat pelbagai jenis satelit yang dihantar ke angkasa seperti satelit komunikasi, satelit navigasi, satelit cuaca dan satelit pencerapan bumi.

Satelit yang mengorbit bumi boleh memberikan data untuk pemetaan bumi, menentukan bentuk dan saiz bumi serta mengkaji dinamik lautan dan atmosfera.

Saintis juga menggunakan satelit untuk mencerap matahari, bulan, planet dan bulan, komet, bintang dan galaksi seperti dilakukan Hubble Space Telescope yang dijadikana pencerap am dilancarkan pada 1990.

Bukan itu saja, sesetengah satelit saintifik turut mengorbit objek lain seperti dilakukan Mars Global Surveyor yang mengorbit planet Marikh.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah mendapatkan bantuan satelit milik Amerika Syarikat iaitu MODIS (Moderate Resolution Emerging Spectro Radiometer) dan National Oceanomic Atmosphere Administrator (NOAA) bagi mendapatkan maklumat mengenai keadaan cuaca di negara ini

Kelebihan itu digunakan apabila ia mempunyai keupayaan sederhana mendapatkan imej jelas keluasan kawasan yang terbakar dan pergerakan udara yang mengandungi jerebu bergerak dari pulau Sumatera terus ke Semenanjung.

Melalui Pusat Pencerapan Bumi (EOC), UKM menjalankan pemantauan dan penyelidikan berkaitan perubahan guna tanah di Asia Tenggara meliputi alam sekitar, geologi, kajian impak sesuatu kejadian dan kajian sumber air.

Kita juga mampu meningkat kekuatan tentera sekiranya memanfaatkan satelit pengintip seperti dilakukan India yang melancarkan satelit pengintip buatan ke ruang orbit bertujuan meningkatkan keupayaan pemantauan selepas serangan pengganas di Mumbai.

Satelit pengintip Risat-2 akan memantau terutama kawasan sempadan India bagi membantu operasi anti pengganas dan anti penyusupan.

Kemajuan teknologi satelit terbabit dijangka berada di ruang orbit selama tiga tahun yang boleh melihat menembusi awan dan memantau keadaan banjir, taufan dan pengurusan bencana.

Sektor pertanian pun mampu mendapat tempias manfaat apabila pemetaan menerusi satelit yang lebih jitu berupaya menetapkan sumber tanah secara bersepadu apabila ia diselaraskan dengan teknologi penderiaan jauh (RS) menggunakan teknik optik dan radar.

RS didefinisikan sebagai sains mendapatkan maklumat permukaan bumi tanpa menyentuh dengan menggunakan imej pemantulan objek di permukaan bumi melalui satelit.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) adalah contoh organisasi yang menggunakan gabungan RS dan satelit Landsat 7 ETM bagi menyediakan peta guna tanah tanaman sawit di Malaysia.

Adanya informasi keluasan dan penyebaran tanaman sawit terkini dapat meningkatkan keberkesanan pengurusan sumber sawit berkekalan.

Seterusnya, tidak dilupakan fungsi satelit sebagai sumber hiburan seperti heboh dengan frasa kata TV Satelit sejak dekad ini yang mampu memberikan ratusan saluran seperti dilihat melalui Astro.

Selasa depan, kita akan dapat menyaksikan satelit RazakSAT seberat 180kg dilancarkan ke angkasa bersama kenderaan pelancarnya, Falcon 1 yang menjadi satelit penderiaan jauh pertama mengorbit khatulistiwa

Bersempena nama Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein, satelit itu akan mengorbit Near Equator Orbit (NEqO) pada altitud nominal 685km.

Lokasi orbit akan membolehkan peningkatan kekerapan pemerhatian imej permukaan bumi dan alam sekitar dengan membawa kamera resolusi tinggi yang akan merakam imej dari angkasa untuk pelbagai aplikasi seperti pertanian tepat, memeta landskap, pencegahan bencana, rancangan rangkaian jalan dan Bandar.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/

Tiga segmen satelit Malaysia merencah ruang angkasa

Malaysia juga mempunyai satelit tersendiri ke angkasa iaitu TiungSAT, MeaSAT dan RazakSATTM

1. TiungSAT

Dilancarkan pada 26 September 2000 dengan jolokan satelit mikro pertama negara berlepas ke ruang angkasa lepas dari Baikanor, Kazakhstan.

Pembangunan satelit mikro pertama ini diperkemas agensi tempatan, Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd.

Sejurus TiungSAT-1 berada pada orbit yang ditetapkan, sistem kawalan di Stesen Kawalan Bumi ATSB terletak di Universiti Kebangsaan Malaysia akan terus menghantar dan menerima isyarat komunikasi untuk berhubung dengan TiungSAT-1.

TiungSAT-1 itu mempunyai berat 50kg dan dimensi 690 x 366 x 366 mm yang beroperasi pada Orbit Bumi Rendah pada ketinggian 650km dari aras bumi dengan kecondongan sebanyak 65 darjah.

Tiga misi utama menjadi tanggungjawab TiungSAT-1 iaitu pencerapan bumi, ujikaji saintifik ‘Cosmic-Ray Energy Disposition Experiment’ (CEDEX) dan juga aplikasi komunikasi.

Ia dilengkapi sistem kamera ‘Multi Spectral Earth Imaging’ yang mempunyai resolusi 72m dan sistem kamera ‘Meteorological Earth Imaging’ dengan resolusi 1.2km bagi menjalankan aktiviti pencerapan bumi.

2. MeaSAT

Malaysia East Asia Satellite atau singkatannya MeaSAT adalah satelit swasta pertama di Malaysia yang dikendalikan oleh Measat Satellite Systems Sdn Bhd yang dahulunya dikenali sebagai Binariang Sdn. Bhd.

Sistem MeaSAT ini menyediakan khidmat langsung-ke-rumah (DTH-Direct-to-home) yang pertama di Malaysia dan perkhidmatan komunikasi asas yang menjangkau dari India ke Hawaii serta dari Jepun ke Australia Timur.

Antara perkhidmatan DTH adalah pemancaran program televisyen dan pendidikan ke rumah pengguna menggunakan antena kecil.

Perkhidmatan komunikasi asas pula termasuk perkhidmatan telefoni, televisyen, penyebaran data dan rangkaian perniagaan.

Kedua-dua satelit MeaSAT di bina di El Segundo, California, oleh Hughes Space and Communications Company (HSC) yang mana sekarang menjadi sebuah Pusat Pembangunan Satelit.

Satelit pertama dilancarkan menggunakan roket Ariane pada 12 Januari 1996, dari Kourou, French Guiana sementara pelancaran satelit kedua pula dilakukan pada 13 November 1996.

HSC bertanggungjawab membekalkan kelengkapan untuk stesen pengawasan satelit di Pulau Langkawi, Malaysia serta melatih jurutera Malaysia untuk mengawal dan mengoperasikan satelit.

3. RazakSATTM

Pada masa sekarang, agensi di Malaysia memerlukan banyak imej satelit yang bergantung pada data, imej dan maklumat diperoleh dari satelit luar negara.

RazakSATTM adalah satelit kecil kedua Malaysia yang berupaya membekalkan imej data lebih spesifik dan kerap kepada pengguna di Malaysia serta negara di lingkungan khatulistiwa.

Satelit ini membawa muatan elektro-optik dan Kamera Bukaan Saiz Sederhana (Medium-sized Aperture) atau lebih dikenali sebagai MAC.

Ia sejenis kamera ‘pushbroom’ yang terdiri daripada lima pengesan berjenis linear (satu pengesan berjenis pankromatik dan empat pengesan berjenis multi-spektra).

Satelit itu dikendalikan melalui segmen buminya yang berada di Malaysia terdiri daripada Stesen Kawalan Misi (MCS) dan Stesen Penerimaan Dan Pemprosesan Imej (IRPS).

MCS akan digunakan untuk mengawal dan melaksanakan misi RazakSATTM, termasuk penghasilan arahan dan penerimaan maklumat satelit manakala IRPS pula digunakan untuk menerima dan menganalisa imej RazakSATTM sebelum diedarkan kepada pengguna.

RazakSATTM dihasilkan menerusi kerjasama antara Malaysia Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB) dan Satrec Initiative Co. Ltd, Republic of Korea.


Sumber: Angkasa

ISU ALAM SEKITAR

Kesedaran pelestarian jana minda, gaya hidup

Oleh Prof Datuk Dr Zaini Ujang

SABAN hari kita mendengar dan menonton pelbagai laporan media mengenai isu berkaitan pelestarian seperti jerebu, pencemaran alam sekitar, peningkatan suhu bumi atau pelancaran produk mesra alam. Secara keseluruhannya, pada hemat saya, kesedaran mengenai pelestarian semakin meluas, termasuk di Malaysia, khususnya aspek berkaitan kepentingan dan kesihatan awam.

Sebagai contoh, sudah semakin ramai warga prihatin terhadap kesan penggunaan racun serangga dalam pertanian dan kesannya kepada pencemaran sumber air dan kesihatan awam. Sehubungan itu, kesedaran untuk menggunakan hasil pertanian organik semakin meningkat daripada daging organik, ayam organik, sayur organik sehingga burger organik.

Kesedaran itu dapat dinilai menerusi peningkatan pasaran barang dan perkhidmatan mesra alam. Pada 1992, saya mengetuai satu kajian pendapat umum mengenai barang dan perkhidmatan mesra alam. Dapatan ketika itu menunjukkan hanya 20 peratus faham konsep produk mesra alam.

Kurang 10 peratus saja sanggup membeli hasil pertanian organik. Dapatan ini pasti jauh berbeza jika kajian sama dilakukan sekarang. Selain itu, rating liputan media mengenai alam sekitar, khusus jika dikendalikan ikon media, juga semakin mendapat sambutan menggalakkan.

Namun, banyak lagi inisiatif diperlukan. Pada hemat saya, inisiatif paling kritikal perlu diberi keutamaan segera ialah anjakan paradigma kepada minda lestari kepada seluruh lapisan masyarakat.

Secara ringkas, minda lestari bermaksud pemikiran, gaya fikir dan disiplin akliah yang menjadikan kesejahteraan masyarakat sebagai matlamat pembangunan menerusi alam sekitar yang bersih dan selamat, sistem dan pengurusan cekap, dan dasar serta amalan gaya hidup selari dengan fitrah insaniah.

Dalam konteks pembangunan fizikal misalnya, minda lestari memberi penekanan kepada keseimbangan ekosistem dalam seluruh aspek seperti perancangan, utiliti mesra alam, kaedah pembinaan dan teknologi mesra alam.

Jika anjakan minda lestari itu berjaya, maka barulah pelbagai dasar, inisiatif, tindakan, amalan, gaya hidup lestari dapat dilaksanakan dengan lebih mudah, murah dan berkesan. Pada asasnya, gaya hidup lestari mempunyai tiga tindakan utama, iaitu amalan bersederhana dalam kehidupan harian, kepenggunaan lestari dan pelestarian alam sekitar.

Amalan hidup sederhana bermakna tidak keterlaluan dan berlebihan daripada segala segi, khususnya membabitkan perbelanjaan dan gaya hidup. Sederhana juga bererti mengkaji buruk baik sebelum melakukan setiap tindakan agar mencapai matlamat dengan efisien dan efektif dengan biaya optimum.

Sebagai contoh, sederhana dari segi pemakanan. Matlamat asas pemakanan ialah untuk kesejahteraan tubuh badan supaya proses metabolisme menghasilkan tenaga diperlukan untuk melakukan pelbagai kerja dan amalan selari dengan tuntutan hidup. Bersederhana bermakna tidak makan secara berlebihan, tidak mengambil makanan tidak baik untuk kesihatan seperti yang memabukkan, tidak halal, lebihan kolestrol atau tidak bersih.

Bersederhana dalam pemakanan bermakna tidak membazir dengan hidangan yang tidak dimakan khususnya ketika keraian acara rasmi. Hal ini selari dengan tuntutan agama. Selain bersederhana, kepenggunaan lestari juga penting sebagai pemangkin pelestarian alam sekitar.

Ketika ini banyak barang dan perkhidmatan mesra alam selari piawaian alam sekitar yang memudahkan pengguna memilih supaya dapat membantu melestarikan alam sekitar. Dari segi kuantum, pengguna barang dan perkhidmatan mesra alam di Amerika Syarikat dan United Kingdom saja membelanjakan AS$500 bilion setahun.

Trend ini dijangka akan terus meningkat dan melangkaui sempadan negara maju. Paling ketara ialah kereta hibrid dengan pertumbuhan 2,296 peratus sejak mula diperkenalkan pada 2000.

Dengan kata lain, pengguna lestari perlu memastikan setiap barang dan perkhidmatan yang dibeli mematuhi konsep mesra alam dari pelbagai sudut, khususnya dari segi pelepasan karbon.

Minda lestari menyediakan prinsip asas kepada gaya hidup, kepenggunaan dan pengurusan lestari alam sekitar selari dengan keperluan dan tidak berlebihan atau membazir. Ini penting kerana penghasilan semua barang atau perkhidmatan memerlukan sumber asli yang semakin sedikit iaitu bahan mentah, galian, air, bahan api fosil, pokok dan sebagainya.

Selain itu, semua proses kitar hayat sesuatu barang menghasilkan karbon yang tidak sedikit daripada penjanaan sumber asli, pemprosesan, pengangkutan, penggunaan dan pelupusan. Minda lestari juga mengajar kita untuk lebih prihatin, saintifik dan cuba memahami falsafah dan menghayati cara hidup hakiki.

Kita juga perlu lebih banyak berfikir dan tidak terikut-ikut trend semasa apatah lagi digambarkan menerusi fatamorgana iklan yang hanya berasaskan trend dan gaya hidup mewah. Pengamal minda dan gaya hidup lestari arif dan bestari. Bagi mereka matlamat mengatasi bentuk dan perupaan. Sebagai contoh, makanan bernilai bukan kerana jenama restoran, keenakan dan penyedia resepinya, tetapi khasiatnya kepada kesihatan.

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia dan Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekitar Malaysia

Sumber : http://www.bharian.com.my/

ISU PEMANSUHAN PPSMI 2012

Mansuh PPSMI muktamad – TPM

PUTRAJAYA 16 Julai – Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diputuskan Kabinet minggu lalu adalah muktamad.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun ada gesaan supaya dasar itu dikekalkan di peringkat sekolah menengah, namun pendirian kerajaan adalah konsisten dengan tidak mengekalkan status quonya.

Cuma, tegas beliau, yang penting selepas ini adalah mencari kaedah memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

Ini termasuk memanggil pakar-pakar bahasa Inggeris dalam masa terdekat untuk memberi input membentuk kurikulumnya yang baru.

‘‘Setiap keputusan (Kabinet) mestilah konsisten, mungkin ada rasionalnya (sesuatu pandangan atau gesaan) kerana ia berdasarkan pengalaman.

‘‘Dan saya tidak kata ia (cadangan itu) tidak bagus tetapi dalam konteks ini, kita mestilah konsisten selepas membuat sesuatu keputusan yang cukup besar (memansuhkan PPSMI),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 Kementerian Pelajaran kepada 396 kakitangan dan pegawai kumpulan pengurusan, profesional dan sokongan di sini hari ini.

Kabinet pada mesyuaratnya 8 Julai lalu memutuskan bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Serentak itu, diumumkan juga strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.

MCA baru-baru ini menggesa supaya PPSMI dikekalkan di peringkat sekolah menengah walaupun bersetuju status quonya ditarik balik di sekolah rendah.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, sebagai pengurus pendidikan, warga Kementerian Pelajaran perlu sentiasa proaktif, responsif dan bersedia untuk menangani perubahan dengan merangka dasar dan strategi sesuai dengan keperluan semasa.

Tegas beliau, mereka tidak boleh lagi berpuas hati dengan pendekatan dan strategi sedia ada.

‘‘Ini termasuklah kurikulum bahasa Inggeris yang perlu dimantapkan selaras dengan strategi pemantapan bahasa Inggeris yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran bermula 2012.

‘‘Murid di negara ini, baik di bandar mahupun di luar bandar, perlu dipastikan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/