Isnin, 8 Julai 2013
ISU PENDIDIKAN : Syarat Minimum SPM 7A Untuk Mohon Jadi Guru
KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan menetapkan syarat baru minimum 7A bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari semenanjung untuk memohon menceburi profesion perguruan bermula tahun ini.
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk
Seri Idris Jusoh berkata, kelonggaran
minima 5A diberikan kepada mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak.
Langkah itu bagi memartabatkan
profesion perguruan di negara ini dan sejajar dengan hasrat kementerian mahukan
30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai profesion itu, katanya ketika
menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di
Dewan Rakyat di sini.
Ketika ini, syarat asas ialah mendapat kecemerlangan sekurang-kurangnya dalam tiga mata pelajaran dan kepujian dalam tiga
mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan satu mata pelajaran lain serta
lulus Bahasa Inggeris selain kelayakan khusus bagi bidang pengajian yang
dipohon.
Sementara itu, Idris berkata,
kementerian juga sedang mengkaji bagaimana untuk meringankan beban guru dalam
pelaksanaan sistem pengurusan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) selain
daripada menambah bilangan pembantu guru seperti yang telah dilaksanakan di
Kedah dan Sabah.
Katanya, antara perkara yang
diambil kira ialah penyediaan laporan yang tidak perlu terlalu banyak perincian
dalam membuat penilaian mereka. - BERNAMA
Umat Islam mula berpuasa Rabu ini
KUALA LUMPUR - Umat Islam di
Malaysia akan mula berpuasa Rabu ini.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja
Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad ketika mengumumkan demikian berkata tarikh
permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada
Rabu, 10 Julai 2013, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah
diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Pengumuman itu disiar secara
langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Majlis Raja-Raja mempersetujui
bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
- Bernama
ISU AGAMA : Persiapan menyambut Ramadan
BULAN Syaaban kini sudah hampir
melabuhkan tirainya. Ini bermakna fajar Ramadan kembali menyingsing lagi dan
umat Islam di serata pelosok dunia mula bersiap sedia untuk berpuasa di bulan
Ramadan.
Justeru segala persiapan bagi
menemuinya patut dimulakan bagi merealisasikan nilai puasa tingkatan tinggi
seperti yang diharap-harapkan. Adalah tidak molek jika bertahun-tahun
dikurniakan nikmat bertemu Ramadan sedangkan kualiti puasanya tetap tidak
berbeza. Akhirnya setelah Ramadan sekali lagi berlalu pergi, tiada nilai takwa
mahupun ganjaran setimpal berjaya diraih setelah bersusah payah berpuasa selama
sebulan.
Justeru , umat Islam diseru
melakukan yang terbaik bagi menghargai kesempatan terpilih bertemu Ramadan
sekali lagi dengan secukupnya. Mukminin yang merindukan ketibaan bulan
al-mubarak ini pasti sangat bersyukur dan bergembira atas nikmat terpilih untuk
meraih sebesar-besar anugerah yang hanya diberikan oleh Allah SWT.
Malah setiap individu Muslim
perlu merasakan Ramadan kali ini adalah yang terakhir dalam hidup mereka
sehingga membangkitkan motivasi untuk beramal dengan seikhlas jiwa dan raga.
Sementara itu bagi golongan yang lalai, kedatangan Ramadan pasti meresahkan dan
akan disambut dengan pelbagai alasan untuk tidak berpuasa. Mereka ini
diingatkan supaya bertaubat dan berusaha untuk melaksanakan kewajipan ini
kerana ia akan dipersoalkan pada hari kemudian.
Setiap Muslim juga disarankan
agar menyucikan diri daripada kekotoran zahir dan batin. Ini dapat dilakukan
dengan mula berazam untuk menghindari diri daripada terlibat melakukan perkara
keji dan mungkar selain bertekad dengan untuk mengimarahkan Ramadan dengan
segala bentuk amalan kebajikan.
Begitu pula segala penyakit
mazmumah yang boleh merosakkan nilai ibadah di sisi Allah SWT hendaklah segera
dijauhi. Sifat negatif seperti riak, sombong, takbur dan hasad dengki termasuk
dalam kategori penyakit hati yang perlu dijauhi. Selain itu pekerjaan buruk
berupa perbuatan dosa dan maksiat juga hendaklah dihindari sebagai persediaan
mendidik jiwa dan rohani dengan sifat takwa kepada Allah SWT. Ia juga
bertepatan dengan pendidikan Ramadan yang terfokus kepada melawan runtunan hawa
nafsu yang sentiasa mengintai peluang untuk merosakkan manusia dengan perlakuan
negatif.
Setiap Muslim perlu mengikhlaskan
niat semata-mata melaksanakan ibadah puasa kerana Allah SWT. Ini kerana setiap
amalan akan dinilai berdasarkan niat melakukannya. Sementara itu niat yang
betul kerana Allah SWT berupaya mendorong seseorang berusaha bersungguh-sungguh
untuk memperoleh pelbagai ganjaran di bulan Ramadan.
Adalah tidak molek jika matlamat
dan tujuan berpuasa yang tiba setahun sekali diarahkan semata-mata untuk
menyambut hari raya, sehingga segala persiabpan seperti pakaian, kuih muih,
mengecat rumah dan lain-lain semuanya untuk hari raya yang masih jauh sedangkan
Ramadan di depan mata terabai dan tidak dipedulikan. Malah kecenderungan
seperti itu elok diganti dengan membuat persiapan menyambut Ramadan dengan
berpakaian serba baharu, menghias rumah dengan langsir baharu dengan niat serta
tekad yang baharu. Ini selari dengan perintah Allah SWT supaya syurga dihias
dan dicantikkan bagi menyambut Ramadan al Mubarak.
Bagi meraih bonus berlipat kali
ganda dan yang tidak ternilai sewaktu Ramadan, persediaan dari sudut fizikal,
mental dan material juga perlu diusahakan. Individu Muslim disarankan menjaga
kesihatan tubuh badan, bersedia mental untuk melawan nafsu tidur, makan dengan
berlebih-lebihan serta keinginan lain yang boleh menjejaskan kesempurnaan
berpuasa. Begitu pula seseorang perlu bersedia daripada aspek kewangan dan
material untuk memperbanyak amalan bersedekah dan menyediakan juadah berbuka
puasa. Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan dalam sebuah hadisnya yang
bermaksud; "Sesiapa yang memberi ifttar (jamuan untuk berbuka puasa)
nescaya akan diampunkan dosanya dan dibebaskan daripada api neraka".
Seyogianya Ramadan dipenuhi
dengan segala kerja-kerja ibadah. Amalan biasa seperti berzikir, tadarus
al-Quran, solat tarawih dan qiamullail patut disemarakkan lagi. Umat Islam
diseru untuk mengimarahkan surau dan masjid secara berjemaah dan berterusan
sepanjang Ramadan agar semua beroleh ganjaran rahmat, pengampunan dosa dan
pembebasan daripada api neraka di sepanjang Ramadan. Di samping itu segala
kegiatan harian hendaklah dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik dan
bermanfaat. Elakkan daripada membazirkan masa dengan kerja-kerja yang kurang
berfaedah lagi berdosa.
Di sudut pandang yang berbeza, terdapat
segelintir umat Islam menyangka bahawa berpuasa terhasil dengan hanya menahan
diri daripada makan dan minum bermula daripada terbit fajar hingga terbenam
matahari serta tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Namun
sebenarnya pengertian puasa yang cukup luas dan menyeluruh itu kurang difahami.
Ini kerana selain makan dan minum seluruh anggota dan pancaindera juga
selayaknya berpuasa yakni berhenti daripada berbuat kemungkaran. Dalam masa
yang sama segala kewajipan lain seperti solat lima waktu dan perintah menutup
aurat tetap dikerjakan. Masyarakat Islam juga diseru untuk mengelak daripada
mengumpat, mengeji orang lain kerana dikhuatiri bakal mengurangkan pahala
berpuasa ketika berpuasa.
Ramadan yang tiba setahun sekali
turut menjanjikan kenikmatan bertemu malam lailatulqadar yang didambakan oleh
setiap hamba yang beriman. Kesempatan yang sangat berharga ini hendaklah dicari
dengan bersungguh-sungguh. Setiap individu Muslim perlu menanam azam dan tekad
untuk berjihad mencari malam kemuliaan tersebut seraya beroleh ganjaran yang
tidak ternilai harganya. Inilah masa paling sesuai untuk semua yang merasa
pernah berbuat dosa memohon keampunan dan bertaubat kepada-Nya.
Individu Muslim disaran untuk
meningkatkan kualiti puasa daripada sekadar tingkatan puasa awam kepada puasa
tingkatan khusus. Ia boleh dilakukan dengan tidak membatasi puasa hanya dengan
menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan
puasa. Sebaliknya ditingkatkan dengan menjaga seluruh pancaindera daripada
melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Di samping itu perkara-perkara
wajib yang lain seperti sembahyang fardu dan menutup aurat turut dilaksanakan.
Apalah ertinya seseorang berpuasa jika hanya tidak makan dan tidak minum tetapi
kewajipan agama yang lain diabaikan.
Akhirnya setiap Muslimin perlu
menaruh harapan tinggi kepada Allah SWT agar puasanya kali ini akan diterima
dengan sempurna. Ini kerana dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW menyatakan;
"Setiap amalan anak Adam
dilipatgandakan sebanyak 10 kali hingga 700 kali ganda. Allah SWT berfirman
kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk aku dan aku yang akan membalasnya,
kerana dia meninggalkan syahwat dan makanan keranaku". (Hadis riwayat Imam
Ahmad)
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Johor Bahru.
Langgan:
Catatan (Atom)