Abdullah Munsyi |
Oleh : Dr Anwar Ridhwan
Abdullah Munsyi lantang persoal amalan karut halang kemajuan
Tahun ini genaplah 160 tahun
Abdullah Munsyi meninggal dunia. Beliau dilahirkan di Melaka pada 1796 dan
meninggal dunia di Jeddah pada Oktober 1854 ketika usia 58 tahun. Pada masa itu
Jeddah di bawah pemerintahan kerajaan Uthmaniah. Jasadnya sudah tiada, tetapi
karya yang diulang cetak membolehkan kita terus membaca tulisan tokoh berjasa
dan kontroversi ini.
Kalaulah Abdullah masih hidup di
tengah kemelut penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama Kristian di
Malaysia sekarang, tidak syak lagi beliau akan berada dalam kedudukan paling
panas. Ini kerana pada 1815 beliau menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu.
Beliau juga menterjemahkan beberapa teks bagi pihak London Missionary Society,
dan bertugas dengan American Board of Missions.
Pada zamannya Abdullah dianggap
sebagai orang Melayu paling berbudaya dan berpengetahuan pernah menghasilkan
karya, yang mengangkat persuratan Melayu ke takah lebih tinggi, dan dianggap
sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden”
Jadi penterjemah, guru
Abdullah berdarah Arab Hadhrami,
Tamil dan Melayu. Antara gurunya adalah ayah sendiri yang terdidik, membolehkan
ayahnya menjadi penterjemah dan guru. Peranan berkenaan disambung oleh Abdullah
kepada pihak Belanda dan Inggeris, termasuk mubaligh dan saudagar Inggeris dan
Amerika Syarikat (AS) di kepulauan Melayu, terutama di Melaka dan Singapura.
Pada zamannya Abdullah dianggap
sebagai orang Melayu paling berbudaya dan berpengetahuan pernah menghasilkan
karya, yang mengangkat persuratan Melayu ke takah lebih tinggi serta dianggap
sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden.
Beliau dianggap bapa
kesusasteraan Melayu moden kerana pertama kali secara realistik mengangkat
kisah manusia seharian dalam bentuk autobiografi, menggunakan bahasa Melayu
yang meninggalkan gaya berbahasa hikayat, serta karyanya tersebar luas atas
bantuan teknologi percetakan pada zaman itu. Ismail Hussein adalah sarjana
tempatan yang percaya label ini, berbeza pendapat Syed Naquib Al-Attas bahawa
tokoh persuratan Melayu moden yang awal ialah Hamzah Fansuri kerana puisi
sufisme vertikal ketuhanannya, melalui bahasa Melayu tinggi yang luar biasa
diksi serta maknanya.
Bakatnya mengarang dikesan oleh
seorang mubaligh Kristian bernama Alfred North. Beliaulah yang memberi galakan
kepada Abdullah, sehingga Abdullah dapat menulis dan menyelesaikan beberapa
karya. Ini termasuk Syair Singapura Terbakar, Hikayat Abdullah, Kisah Pelayaran
Abdullah ke Kelantan, terjemahan Hikayat Panca Tenderan, Hikayat Kalilah dan
Daminah, serta penerbitan semula Sejarah Melayu.
Kritikan sosial
Dalam Hikayat Abdullah yang
menonjolkan autobiografinya, ia turut menyampaikan beberapa kritikan sosial
terhadap orang Melayu. Ada beberapa amalan budaya, pendidikan, serta
kepercayaan karut orang Melayu dikupasnya. Di samping itu, Abdullah mengkritik
Raja Melayu dan pentadbirannya dengan lantang, suatu sampel daripada
pelayarannya ke Kelantan. Inilah satu lagi sisi kontroversi Abdullah.
Raja Melayu pada masa itu dilihat
saling bercakaran dengan pesaingnya, mementingkan diri, tidak mengutamakan
pendidikan, tidak menghiraukan kebajikan rakyat, malah tidak melayan rakyat
menurut cara yang beradab. Ini, ujar Abdullah, berbeza dengan tradisi
kepemimpinan dan kerajaan Inggeris.
Sudah tentu kritikannya terasa
pedas, terutama mereka yang ‘termakan cili’. Tetapi, tiada sesiapa dari istana
Melayu pada masa itu yang mengambil tindakan ke atasnya. Bagaimana mungkin Raja
Melayu yang tidak berpendidikan akan melakukan wacana balas terhadap Abdullah?
Lebih-lebih lagi Abdullah dilihat sebagai pujangga dan intelektual Melayu pada
zamannya yang mendapat naungan serta perlindungan pihak Inggeris.
Di balik tokoh yang kontroversi
ini, Abdullah amat menyanjung bahasa Melayu yang menjadi medium pengucapan
kreatifnya. Ia menyeru bangsa Melayu mencintai dan memajukan bahasa Ibunda ini.
Di samping itu Abdullah menyeru, lebih 160 tahun lalu, agar orang Melayu
berlumba-lumba mencari ilmu pengetahuan. Dengan ilmu pengetahuan sesuatu bangsa
itu menjadi maju dan memberi erti kepada kehidupan di dunia ini.
Penulis ialah Sasterawan Negara dan pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif
ASWARA
Sumber : http : //www.bharian.com.my/