KUALA LUMPUR : Masyarakat
awam di Malaysia paling percayakan maklumat yang diperoleh daripada enjin
carian dalam talian, diikuti oleh media tradisional dan sosial, demikian
menurut hasil 'Tinjauan Pengukur Kepercayaan 2013' Edelman Malaysia.
"Apa yang ternyata di sini
ialah ruang dalam talian yang merangkumi media digital dan sosial, tidak boleh
dipandang remeh sebagai sumber maklumat yang dipercayai.
"Skor kepercayaan yang
tinggi terhadap "media dimiliki" ini menunjukkan keperluan mendesak
bagi semua pertubuhan mengemas kini dan menggunakan sepenuhnya aset korporat
mereka seperti portal sesawang, surat berita, YouTube, malah juga Twitter untuk
menyebarkan maklumat," kata Pengarah Urusan Edelman Asia Tenggara, Bob
Grove.
Walaupun skor kepercayaan pada
umumnya lebih tinggi dalam kaji selidik ini, namun perlu dimaklumi bahawa
jurang kepercayaan antara institusi penting dan pucuk pimpinan, yang
membayangkan krisis yang mungkin berlaku dalam kepimpinan.
Hasil kaji selidik ini juga
menunjukkan bahawa meskipun responden umum mempercayai perniagaan, hanya 26
peratus mempercayai pemimpin perniagaan bercakap benar, dan hanya 21 peratus
mempercayai pemimpin kerajaan bercakap benar.
Pengarah Urusan Edelman Malaysia,
Raymond Siva, berkata hasil kaji selidik Pengukur Kepercayaan Edelman 2013 di
Malaysia, jelas menunjukkan bahawa warga Malaysia mengharapkan
pertubuhan-pertubuhan lebih memperlihatkan sifat-sifat kemasyarakatan
berbanding kebolehan mengendali, untuk mendapatkan kepercayaan mereka.
"Jelaslah bahawa pengaruh
dan kuasa beralih daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pemimpin kerajaan
kepada pakar dan rakan sebaya," katanya.
Ketika membentangkan hasil kaji
selidik itu pada satu sidang akhbar di sini, Selasa, beliau berkata, pemimpin
kerajaan dan perniagaan mestilah mengubah pendekatan pengurusan mereka untuk
meningkatkan penglibatan mereka dengan mendapatkan input pekerja, pengguna,
penggiat dan pakar-pakar seperti ahli akademik, dan menyesuaikan diri mengikut
maklum balas mereka.
Beliau berkata dinamik kepercayaan
telah berevolusi daripada Piramid Pengaruh tradisi, yang menonjolkan maklumat
dalam bentuk monolog, serta dikawal dan diarahkan oleh hanya segelintir, kepada
Diamond Pengaruh, yang menampilkan maklumat dalam bentuk dialog.
"Dalam persekitaran di mana
kepercayaan masih amat rapuh, ini adalah peluang yang ketara bagi perniagaan
dan kerajaan mendapatkan semula 'lesen' untuk memimpin," tegasnya.
Tinjauan itu juga menunjukkan
bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus menjadi institusi paling dipercayai
di Malaysia, dengan kadar yang meningkat daripada 68 peratus kepada 76 peratus
tahun ini.
Edelman ialah firma perhubungan
awam bebas terbesar di dunia, yang mempunyai 66 pejabat dan lebih 4,500 pekerja
di seluruh dunia, serta ahli gabungan di lebih 30 bandar.
Antara hasil lain yang diperoleh
daripada orang awam di Malaysia menunjukkan sektor industri yang paling
dipercayai ialah teknologi (85 peratus), bank (82 peratus) dan industri tenaga
(81 peratus).
Sektor yang paling kurang
dipercayai ialah arak dan spirit (56 peratus) dan media (66 peratus), meskipun
kedua-duanya menyaksikan peningkatan dua angka.
Di peringkat global, tinjauan itu
mendapati bahawa rasuah dan insentif salah yang memacu perniagaan serta
keputusan dasar disebut sebagai sebab-sebab utama bagi rasa tidak percaya
terhadap perniagaan dan kerajaan.
Katanya prestasi lemah dan ketidakcekapan
juga merupakan faktor utama bagi kurangnya kepercayaan terhadap kerajaan.
Dari segi syarikat multinasional,
warga Malaysia meletakkan kepercayaan yang lebih tinggi terhadap
syarikat-syarikat yang beribu pejabat di Jerman, Kanada dan Sweden berbanding
syarikat yang berpangkalan di Brazil, China dan India.
Sama seperti trend di seluruh
Asia Pasifik, warga Malaysia juga lebih mempercayai perniagaan besar berbanding
perniagaan kecil.
Pengukur Kepercayaan Edelman 2013
di Malaysia dihasilkan oleh firma penyelidikan Edelman Berland dan melibatkan
temu bual dalam talian selama 20 minit yang dikendalikan dari 16 Oktober hingga
29 November, 2012. BERNAMA