TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP
Masyarakat Malaysia kini menikmati hidup yang serba moden,
canggih dan selesa dalam arus kesibukan kota. Walau bagaimanapun, agak menarik
untuk diamati bahawa ramai dalam kalangan masyarakat kini mula bergerak
mengikut arus peredaran masa dari cara kehidupan serba ringkas di kampung ke
kehidupan generasi moden.
Senario ini dengan sendirinya, menceritakan sebahagian
daripada kisah kejayaan masyarakat Malaysia hari ini. Seperti apa yang selalu
digambarkan oleh Datuk Lat, suatu ketika dulu kualiti kehidupan di kampung agak
berbeza.
Secara amnya, rata-rata masyarakat di kampung berpuas hati
dengan kehidupan yang ringkas, umpamanya, walaupun terpaksa berjalan kaki ke
sekolah di bawah terik mentari dan deraian hujan, namun mereka akur dengan
keadaan seadanya. Sungguhpun tidak kaya, namun makanan sentiasa ada. Walaupun hanya
mempunyai alat mainan yang tidak secanggih mana dan ada kalanya mainan buatan
sendiri, mereka tetap gembira.
Mungkin ketika itu, kualiti kehidupan di kampung berasaskan
sumber pertanian adalah mencukupi, harapan masyarakat pada masa itu rendah,
ruang lingkup pula terhad, namun sekiranya masyarakat masih kekal berpuas hati
dengan kehidupan sebegini, Malaysia tidak akan maju sebagai entiti ekonomi yang
berjaya pada hari ini, justeru kualiti hidup masyarakat tidak akan sebaik
sekarang.
Kini, masyarakat berpeluang membaca Laporan Indeks Kualiti
Hidup yang menyatakan bahawa Malaysia mencatatkan perkembangan yang kukuh
secara berterusan. Satu kemajuan yang semestinya dirasai oleh semua rakyat
negara ini. Hakikatnya di sebalik laporan ini adalah kejayaan pelaksanaan dasar
yang mantap dan berani yang mempertingkatkan kehidupan masyarakat ke tahap ini.
Dasar ini juga yang memajukan masyarakat menjadi lebih progresif.
Pada 1970, kerajaan menetapkan hala tuju baru bagi kemajuan
ekonomi menerusi pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB merupakan tindak
balas segera bagi menangani keperluan mendesak pada ketika itu, namun
pelaksanaannya tepat pada masanya dan berpandangan jauh. Pada 1991, Wawasan
2020 diperkenalkan. Bagi majoriti rakyat Malaysia, ia adalah satu fantasi,
tetapi kepada pemimpin negara, ia adalah satu agenda ke arah mencapai impian
negara.
Pada 2010, kerajaan membuat satu lagi inovasi penting ke
arah mencapai negara maju berpendapatan tinggi menerusi Model Ekonomi Baru
(MEB). Susulan daripada itu, agensi khusus diwujudkan untuk merancang dan
melaksanakan pelbagai perubahan sebagai sebahagian daripada program
transformasi negara. Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program
Transformasi Ekonomi (ETP) merupakan strategi bersepadu untuk memacu pertumbuhan
negara ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020.
Persoalannya di sini, apakah kaitan semua ini dengan kualiti
kehidupan masyarakat? Dalam tempoh pasca kemerdekaan sebelum 1970, kadar
kemiskinan dan pengangguran menunjukkan angka yang tinggi dalam kalangan
penduduk yang semakin bertambah.
Walaupun terdapat pelaburan besar dalam bidang pendidikan,
kesihatan dan infrastruktur asas, namun tumpuan kepada satu dimensi ini
terbukti masih belum mencukupi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Kerajaan
sedar bahawa parameter lain yang bukan bersifat ekonomi perlu diambil kira
dalam proses membina sebuah negara, jika negara inginkan pembangunan yang
mampan.
Sejak 1970, kerajaan melaksanakan pelbagai program mega dan
berimpak tinggi untuk mengubah status sosial dan ekonomi rakyat.
Ini bertujuan mengimbangi penyertaan pelbagai kumpulan dalam
ekonomi dan menggalakkan pertumbuhan ekuiti dalam konteks pembangunan ekonomi
serta dasar yang menyokong perniagaan.
Hasilnya, sub-indeks Pendapatan dan Pengagihan Kualiti Hidup
Malaysia bertambah baik dengan ketara. Kadar kemiskinan berkurangan daripada
75.0 peratus pada 1957 kepada 49.3 peratus pada 1970 dan hanya 3.6 peratus pada
2010 manakala kadar kemiskinan tegar hampir dapat dibasmi sepenuhnya.
Kini, Malaysia merupakan negara perindustrian. Berdasarkan
Laporan Tahunan IMD World Competitiveness Yearbook, 2012 Malaysia menduduki
tangga ke-14 daripada 58 negara, manakala Laporan World Bank Ease of Doing
Business, 2012 menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-18 daripada 183
negara.
Dari aspek pendidikan pula, World Economic Forum melaporkan
Kualiti Pendidikan Sekolah Rendah Malaysia berada di kedudukan ke-21 daripada
142 negara. Ini merupakan pencapaian memberangsangkan dan di luar jangkaan.
Mulai pertengahan 1990-an, kerajaan memperuntukkan
sekurang-kurangnya satu per lima daripada perbelanjaan pembangunan negara
kepada sektor pendidikan dan latihan kerana Kerajaan yakin bahawa ilmu
merupakan kunci kepada pendapatan rakyat yang lebih baik.
Ini terbukti benar kerana kadar celik huruf di Malaysia yang
meningkat melebihi 93 peratus telah membolehkan tenaga kerja lebih mudah
dilatih dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi. Walau bagaimanapun, tidak
dinafikan kualiti pendidikan masih perlu ditambah baik dan ini adalah fokus
kerajaan ketika ini.
Bagi tujuan ini, kerajaan sentiasa memastikan pelajar yang
memperoleh keputusan cemerlang berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat
tinggi.
Antaranya, Program Peneraju Tunas Potensi diperkenalkan
untuk menyediakan lebih banyak peluang kepada pelajar berpotensi daripada
golongan berpendapatan rendah serta hidup dalam persekitaran mencabar, yang
memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi
Persekolahan Malaysia (STPM) cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat
ijazah.
Pada tahun ini, 225 orang pelajar bumiputera ditawarkan
untuk melanjutkan pelajaran mereka di peringkat pra-universiti, A-level,
International Baccalaureate dan ijazah di bawah program ini.
Pembangunan modal insan adalah elemen penting ke arah
menjadi sebuah negara yang maju. Menyedari kepentingan menguasai ilmu
pengetahuan untuk merubah negara menjadi maju dan progresif, Malaysia
menyediakan pendidikan universal kepada semua rakyat di peringkat rendah dan
menengah.
Pelaburan dalam modal insan membantu mengurangkan kadar
kemiskinan dan ketaksamarataan, yang seterusnya membolehkan mobiliti sosial
yang lebih luas dan kualiti hidup lebih baik kepada rakyat.
Jadi, tidak hairanlah sub-indeks pendidikan mencatatkan
pertumbuhan tertinggi berbanding semua komponen dalam kualiti hidup.
Dalam pada itu, kerajaan menubuhkan Talent Corp. yang
berperanan sebagai focal point bagi isu-isu berkaitan bakat. Ia juga merupakan
pengantara bagi sektor swasta dan agensi kerajaan untuk menambah baik dasar
berkenaan di samping memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan jalinan kerjasama
dengan majikan untuk mengambil dan membangunkan bakat terbaik.
Kerajaan juga sentiasa menyokong pembangunan dan kemajuan
serta penglibatan wanita dalam aktiviti sosial dan ekonomi, bukan sahaja di
peringkat nasional malah antarabangsa.
Hari ini, terdapat lebih ramai wanita tampil sebagai ahli
politik, pentadbir dan pengurus yang mahir dalam semua bidang utama
sosio-ekonomi, termasuk pendidikan, kesihatan, dan dalam sektor korporat dan
awam. Bilangan wanita yang berpendidikan sehingga peringkat universiti telah
melebihi lelaki.
Ini tidak menghairankan kerana dasar pendidikan Malaysia
adalah neutral tanpa mengira jantina. Di samping itu, peratusan bilangan wanita
sebagai eksekutif perniagaan di Malaysia adalah lebih besar berbanding dengan
beberapa negara di Eropah atau Asia Barat.
Peluang wanita di Malaysia adalah lebih banyak berbanding
kebanyakan negara yang mendakwa golongan wanita di negara mereka lebih diberi
kebebasan hak dan pengiktirafan yang sama rata.
Penulis ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri / Unit
Perancangan Ekonomi
Sumber : http : //www.utusan.com.my/