Khamis, 29 Mac 2012

ISU SOSIAL : Bina keyakinan diri remaja


Oleh : NURUL IZZAH SIDEK

PARA remaja dalam hidupnya sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Cabaran ini tidak sahaja sifatnya budaya dan pemikiran, tetapi juga gaya hidup. Asas yang sangat penting menjadi benteng kekuatan remaja ialah masalah keyakinan diri.

Keyakinan diri ini akan dimiliki oleh remaja sekiranya golongan itu tahu dengan jelas siapa diri mereka sebenarnya dan merasakan dia ada bakat serta potensi untuk berhadapan dengan sesuatu. Ia tidak hanya bergantung kepada orang lain atau menciplak terhadap apa yang terjadi.

Keyakinan diri menjadi sempadan, sama ada kita remaja mempunyai daya mandiri yang tinggi supaya sesuatu yang dihadapi dapat difikirkan dengan bijaksana.

Selain, memilih jalan keluar yang baik supaya kebuntuan dan cabaran yang dihadapi tidak menjadikan remaja orang yang sentiasa dalam keadaan tertekan dan putus asa.

Keyakinan membolehkan remaja melakukan sesuatu dan menghadapi apa jua dengan yakin. Keyakinan bahawa akal yang Allah berikan mampu menjadikan remaja untuk berfikir dengan baik.

Kalbu yang Allah kurniakan membolehkan remaja mengawal perimbangan emosi dengan baik dan daya yang Allah anugerahi boleh menjadikan remaja sentiasa ingin melakukan amal yang bermanfaat.

Bayangkan kalau keyakinan diri tidak ada pada remaja, ia mudah menjadi pak turut terhadap pandangan orang lain. Sentiasa bergantung kepada pertimbangan orang lain dalam membuat keputusan.

Selalu mengambil sikap serba salah dan tidak menentu. Merasa diri serba tidak kena dan akhirnya mudah menerima pendapat orang lain tanpa ada soal jawab dan kritik untuk menilai. Keadaan remaja seperti ini boleh meletakkan dirinya dalam keadaan yang tidak menyumbang.

Keyakinan diri kepada remaja perlu dibina dengan ilmu dan latihan. Ia tidak boleh datang dengan sendiri. Asas ilmu menjadi sangat penting supaya ilmu mempedoman remaja berfikir dan mampu membuat keputusan bijaksana.

Apabila remaja tidak memiliki pemikiran yang kritis dan analitis, ia mudah dipengaruhi oleh emosi. Remaja sebegini akan bersikap reaktif yang didorong oleh persepsi yang selalunya salah dan ia sangat bahaya apabila ia menjadi dewasa nanti.

Keyakinan diri ini amat perlu bagi remaja supaya remaja belajar menghargai bakat yang ada padanya. Kalau orang lain boleh melakukannya, para remaja harus yakin bahawa dia juga boleh melakukan perkara yang sama.

Dengan syarat para remaja harus ada ilmu, bersikap terbuka terhadap idea-idea yang baik daripada orang lain, ada kemampuan membezakan yang baik dengan yang buruk dan cuba menjadi contoh yang terbaik kepada orang lain.

Ini boleh dilakukan sekiranya para remaja suka berbincang, bertukar-tukar pandangan, sedia dikritik dan mampu mengkritik secara membina, tahu di mana kekuatan dan kelemahan diri dan melakukan sesuatu mengikut upaya dan kebolehan yang ada dan bersedia untuk menyumbang ke arah kebaikan di mana yang perlu.

Keyakinan diri remaja ini perlu dibina sejak dari awal umur lagi supaya zaman remaja dan dewasanya nanti sudah mempunyai asas yang kukuh dan bakal membentuk jati diri contoh terhadap orang lain.

Bayangkan apabila dewasa nanti remaja ingin berumahtangga, keyakinan diri boleh menjadikannya pasangan yang matang dan dewasa dan bakal membina rumah tangga yang terhindar daripada krisis dan konflik.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Resolusi Konvensyen Pendidikan Ke-19


INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS BAHASA MELAYU
KONVENSYEN PENDIDIKAN BAHASA MELAYU KALI KE-19
Tarikh : 20 hingga 22 MAC 2012

RESOLUSI KONPEN 2012

Sebanyak 22 tajuk pembentangan kertas kerja dan tiga pameran poster yang dipaparkan dalam KONPEN 2012.

Dengan berdasarkan tajuk-tajuk kertas kerja itu, pihak penganjur telah dapat membuat resolusi.

A. KURIKULUM

(I) PENUKARAN NAMA MATA PELAJARAN BAHASA MALAYSIA KEPADA BAHASA MELAYU
Penggunaan nama mata pelajaran bahasa Malaysia mesti diubah kepada Bahasa Melayu seperti yang tercatat dalam Akta 152 Perlembagaan Negara.

(II) TINGKATKAN PERANAN BAHASA MELAYU DAN KESUSASTERAAN MELAYU
Pengajaran bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu hendaklah diwajibkan kepada semua pelajar dari peringkat rendah hingga peringkat tinggi dalam persekolahan dan peringkat pengajian tinggi. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu menjadi jati diri bangsa Melayu dan asas kepada pembentukan bangsa Malaysia. Pengajaran Kesusateraan Melayu mestilah diwajibkan kepada semua pelajar. Kesusasteraan dapat membentuk manusia mempunyai peribadi mulia dengan nilai-nilai murni dan sebagai kesannya mereka akan menjadi manusia yang dapat menjalankan tugas dengan jiwa yang murni, berhemah, bertanggungjawab atas sebab pendidikan yang dihayati melalui keusasteraan Melayu

(iii) PEMANSUHAN PPSMI

Pemansuhan PPSMI hendaklah dilaksanakan dalam kadar yang segera dan tidak berperingkat-peringkat seperti yang dilaksanakan sekarang.

B. PEDAGOGI

(i) PEDAGOGI BAHASA MELAYU PERLU DIINOVATIFKAN

Pedagogi bahasa Melayu hendaklah dijalankan dengan cara yang inovatif, menarik dan berkesan serta menghiburkan melalui pengaplikasian pelbagai strategi, kaedah dan teknik pengajaran. Hal ini ada ditemukan dan dicadangkan dalam kertas kerja tertentu dalam konvensyen ini.

(ii) PENGAPLIKASIAN ILMU TATABAHASA BAHASA MELAYU SECARA MELUAS UNTUK SEMUA GURU

Pengaplikasian ilmu tatabahasa bahasa Melayu mesti dilaksanakan secara terancang dan menarik di samping sumber ilmunya dipastikan dapat difahami oleh murid atau pengguna bahasa dengan jelasnya. Sebarang isu tatabahasa yang memeningkan semua pihak mesti diatasi dan sumber rujukan kukuh serta tepat amat diperlukan. Hal tersebut akan membantu tenaga pengajar dan pengguna bahasa Melayu ke arah penggunaan bahasa Melayu yang betul.

(iii) PENGGUNAAN BAHASA MELAYU YANG BERMARTABAT OLEH SEMUA GURU

Penggunaan bahasa Melayu yang bermartabat dalam semua pengajaran mata pelajaran perlu diamalkan oleh semua pendidik pada setiap masa.

(iv) PELAKSANAAN KURSUS BAHASA MELAYU DAN KOMUNIKASI

Kursus tatabahasa dan komunikasi bahasa Melayu perlu dilaksanakan secara terancang dan sepenuhnya kepada semua guru khususnya guru matematik dan sains pada semua peringkat

C. KANDUNGAN

(i) PEMERKASAAN EJAAN JAWI

Penggunaan ejaan jawi perlu diketengahkan semula kerana tulisan ini adalah khazanah bangsa Melayu. Kita mesti sedar bahawa ejaan dan tulisan jawi itu sebenarnya jati diri bangsa Melayu dan kita sudah pasti menangisi keistimewaannya itu sekiranya dibiarkan hilang di buminya sendiri.

(ii) PELESTARIAN TATABAHASA BAHASA MELAYU

Kandungan tatabahasa bahasa Melayu dalam kurikulum pendidikan bahasa Melayu mesti diperinci semula. Hal ini demikian kerana sukatan tatabahasa yang ada pada masa kini masih terlalu umum.

(iii) PENGGARAPAN BAHASA MELAYU DAN DIDIK HIBUR

Pengaplikasian bahasa Melayu dalam didik hibur mestilah mengikut ilmu bahasa Melayu yang tepat. Hal ini penting agar pengguna bahasa Melayu dibiasakan dengan cara berbahasa yang betul.

Dikemukakan oleh:
(Dr SUPIAN BIN MOHAMAD NOOR)
Penyelaras KONPEN 2012

Disahkan oleh :
(Dr HAJI ALI B MAHMOOD)
Timbalan Pengarah IPGKBM

Sumber : http://kembarabahasa.blogspot.com/

ISU KENEGARAAN : Tuanku Abdul Halim ditabalkan di istana baharu


KUALA LUMPUR - Buat julung kalinya dalam sejarah Malaysia, istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan di sebuah istana baharu yang tersergam indah di atas bukit.

Terletak di Jalan Duta, bangunan putih yang bercirikan 22 kubah kuning itu akan menyaksikan pertabalan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam satu majlis penuh istiadat dan gilang-gemilang pada 11 April ini.

Istiadat pertabalan tujuh daripada 13 Yang di-Pertuan Agong sebelum ini telah diadakan di Istana Negara lama di Jalan Istana yang merupakan Istana yang diubahsuai daripada sebuah banglo milik jutawan dari China, Chan Wing.


Istana Negara baharu di Jalan Duta bersandarkan kepada senibina berprestij, Raja berpelembagaan, dan berdiri megah sebagai antara lambang pemerintahan raja berperlembagaan di Malaysia.

Penuh istiadat

Istiadat pertabalan yang hanya dapat disaksikan sekali dalam tempoh lima tahun akan diadakan di Balairong Seri Istana Negara yang bukan sahaja bakal menjadi tumpuan rakyat jelata malah dunia.

Mengulas mengenai Balairong Seri, AR. Datuk (Dr) Nik Mohamed Mahmood Pengarah Urusan Kumpulan Senireka Sdn Bhd (KSSB) iaitu syarikat yang merekabentuk pelan Istana Negara berkata Balairong Seri bersama Dewan Santapan dan Surau yang terletak di Sayap Rasmi mampu menampung seramai 1,000 hadirin.

Selain itu, di luar Balairong Seri dan Dewan Santapan pula terletak bilik Menunggu Diraja di lobi utama dan ruang legar tetamu yang besar akan turut digunakan bagi majlis pertabalan itu.

Turut tidak terkecuali, bilik Mesyuarat Majlis Raja-Raja, bilik Singgahsana.

Senibina

Menurut Nik Mohamed, rekaan Istana Negara menyaksikan penggabungan antara konsep tradisional Melayu dan senibina Islam.

Dibina atas tapak berkeluasan 106 hektar (241.3 ekar), keseluruhan pelan bangunan utama Istana Negara menghadap ke arah Kiblat dan dibahagikan mengikut aras dan sayap mengikut fungsi.

"Aras utama dibahagikan kepada Sayap Rasmi dan Sayap Diraja. Aras di bawah terletaknya pula pejabat pentadbiran, dapur, stor dan ruang sokongan lain.

Berbanding istana sebelum ini yang hanya mempunyai dua kubah, istana baru mempunyai 22 buah kubah dengan kubah utama mencapai ketinggian 60m seiring dengan kedudukan dan darjat Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong.

Mengenai rekaan Pintu Gerbang Utama yang terletak pada jalan masuk dari Jalan Duta, ia direka bentuk khusus supaya mengukuhkan lagi simbol keagungan tempat bersemayam Ketua Negara Malaysia.

Ia mempunyai ciri-ciri ukiran flora yang melambangkan bunga kebangsaan, Bunga Raya serta ukiran Islam.

Tiga laluan utama

Terdapat tiga laluan utama untuk memasuki Istana Negara Jalan Duta iaitu Pintu Gerbang Masuk Utama yang menggunakan jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta bagi kegunaan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Permaisuri-Permaisuri Baginda, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Ketua-Ketua Negara dan Ketua-Ketua Kerajaan.

Pintu Gerbang Masuk Utama ini turut menempatkan Pengawal Istana dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja serta pengawal berkuda yang menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Bagi pintu kedua yang terletak di Jalan Changkat Semantan adalah pintu masuk bagi kegunaan Tetamu Diraja serta tetamu jemputan bagi menghadiri sesuatu majlis di Istana Negara.

Manakala pintu ketiga yang terletak di Jalan Sri Hartamas, Mont Kiara adalah pintu masuk bagi rakyat yang ingin berurusan dengan Seri Paduka serta Pentadbiran Istana Negara serta tetamu jemputan bagi menghadiri sesuatu majlis di Istana Negara.

Sukar

Sememangnya, tugasan melaksanakan rekaan itu bukanlah satu kerja yang mudah.

Nik Mohamed berkata, bagi melaksanakan perancangan Istana Negara yang baharu ini, pihak KSSB telah menerima banyak panduan dan nasihat daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang pada masa itu adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-12.

Biarpun pernah berpengalaman dalam merekabentuk Istana Selangor di Kuala Lumpur, Istana Darul Ehsan di Putrajaya, namun akui Nik Mohamed tugasan kali ini adalah paling mencabar. - Bernama

NOTA HUJUNG :

Kompleks Istana Negara, Jalan Duta ialah sebuah kompleks istana Malaysia yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur, Malaysia. Secara rasminya, istana ini digunakan pada 15 November 2011 bagi menggantikan Istana Negara di Jalan Istana sebagai tempat bersemayam kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Malaysia. Istana ini telah diserahkan kepada pentadbiran Istana Negara pada 18 Oktober 2011 dan beroperasi sepenuhnya pada 11 November 2011.

Tuanku Mizan Zainal Abidin adalah Yang di-Pertuan Agong yang pertama bersemayam istana ini pada 15 November 2011 manakala istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang ke-14 juga bakal menjadi istiadat pertabalan yang pertama diadakan di istana ini.

CIRI-CIRI

Istana Negara, Jalan Duta ini dibina merangkumi tiga komponen utama iaitu Komponen Rasmi, Komponen Diraja dan Komponen Pentadbiran.

Istana Negara ini juga mempunyai 3 laluan masuk utama iatu Pintu Gerbang Masuk Utama yang menggunakan jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta adalah bagi kegunaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Permaisuri-Permaisuri Baginda, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Ketua-Ketua Negara dan Ketua-Ketua Kerajaan. Pintu 2 yang terletak di Jalan Semantan-Dungun adalah pintu masuk bagi Tetamu-Tetamu Diraja.

Pintu 3 pula yang terletak di Jalan Seri Hartamas, Mont Kiara adalah untuk kegunaan Rakyat yang ingin berurusan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta Pentadbiran Istana Negara.

PEMBINAAN

Kerajaan Malaysia telah mencadangkan pembinaan Istana Negara yang baru yang terletak di Jalan Duta. Istana baru ini bertujuan untuk menggantikan Istana Negara yang lama yang telah digunakan sejak 1928. Ini adalah kali pertama kerajaan Malaysia membina sendiri istana Yang di-Pertuan Agong memandangkan istana yang terdahulu adalah dibeli dari seorang jutawan China.

Kompleks Istana Negara Baru ini dibangunkan di atas tanah seluas 241.3 ekar yang dibahagikan kepada empat sayap dan termasuk kawasan meletakkan kenderaan. Ia merangkumi pembinaan Bangunan Utama Istana Negara serta bangunan-bangunan dan kemudahan sokongan yang lain dengan keluasan lantai kasar keseluruhan sebanyak 90,082 meter persegi.

Turut dilaksanakan bagi melengkapkan keperluan Kompleks ini ialah pembinaan jalan masuk bertingkat Jalan Duta ke Pintu 1 Istana Negara dan naiktaraf Jalan Changkat Semantan ke Pintu 2 Istana Negara yang diuruskan oleh Cawangan Jalan, Ibu Pejabat JKR. Projek ini telah mula dibina pada akhir November 2007 dan siap sepenuhnya pada akhir September 2011. Kompleks ini juga merangkumi bangunan istana, perumahan untuk pekerja istana, pejabat polis dan sekuriti, kem tentera mini dan gerbang masuk dua tingkat dari Jalan Duta.

Istana ini menelan belanja sebanyak RM812 juta dengan Maya Maju Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama yang dilantik dengan kontrak bernilai RM650 juta, manakala pembinaan lebuh raya bertingkat menuju ke gerbang masuk istana pula dilakukan oleh Ahmad Zaki Sdn. Bhd. pada nilai RM130 juta.

Dengan senibina yang melambangkan Islam dan Melayu, tatarias lampu, pemalapan dan pencahayaan luar dan dalam istana adalah berbeza. Rekaan ini bertujuan untuk mencipta suasana yang tersendiri di samping menjimatkan tenaga. Sistem ini akan dipusatkan dan dikawal oleh 10 butang kawalan di lokasi yang berbeza.


Sumber artikel : Wikipedia

ISU SOSIAL : Caruman PERKESO langkah positif lindungi individu bekerja sendiri


BANCI Penduduk dan Perumahan Malaysia (Banci) 2010 menunjukkan jumlah penduduk negara ini seramai 28.3 juta orang berbanding 23.3 juta pada 2000. Daripada jumlah itu, sebanyak 14.6 juta adalah lelaki, manakala 13.7 juta perempuan. Bilangan itu mungkin berubah pada tahun ini, namun daripada statistik itu menunjukkan bilangan wanita di negara ini tidak jauh berbeza dengan lelaki. Menurut Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, ketika ini hanya 46 peratus golongan wanita di negara ini yang berkerjaya, manakala bakinya sekadar menjadi tenaga kerja terpendam seperti menjadi suri rumah, pelajar dan warga emas. Namun begitu, ada dalam kalangan suri rumah ini yang menjadi usahawan kecil-kecilan, terbabit dalam perniagaan jualan langsung atau dalam talian, sekali gus memiliki pendapatan sendiri untuk menampung kehidupan seharian sama ada untuk diri sendiri atau keluarga. Bagaimanapun, mereka yang bekerja sendiri ini memang diketahui tidak menerima tanggungan insurans atau keselamatan yang sewajarnya seperti orang yang bekerja makan gaji kerana tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Bagi yang makan gaji, caruman KWSP setiap bulan adalah untuk simpanan hari tua bagi menjamin masa depan lebih baik selepas bersara. Potongan PERKESO pula adalah jaminan insurans untuk diri dan waris jika berlaku kemalangan kepada diri mereka sama ada ketika di tempat kerja atau dalam perjalanan pergi dan pulang tempat kerja. Justeru, cadangan Kementerian Sumber Manusia untuk membolehkan suri rumah dan mereka yang bekerja sendiri membuat caruman PERKESO adalah satu langkah yang positif. Walaupun modul dan mekanisme caruman itu belum diperincikan, sekurang-kurangnya cadangan itu dapat menggalakkan rakyat, terutama yang bekerja sendiri memikirkan satu bentuk perlindungan kewangan untuk diri mereka sendiri jika berlaku perkara luar jangka atau musibah yang menimpa mereka. Isu yang mungkin timbul susulan daripada cadangan ini ialah adakah golongan ini rela membuat caruman PERKESO kerana ia membabitkan pendapatan mereka. Mungkin isu seperti ini yang perlu diambil kira pihak kementerian kerana pada prinsipnya, kita tidak mahu cadangan ini dianggap sebagai paksaan kepada rakyat untuk menyerahkan sebahagian pendapatan mereka kepada kerajaan kerana pada masa sama, ramai rakyat yang bekerja sendiri mengelak daripada membayar cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU GLOBAL : Keselamatan nuklear : Malaysia lebih jauh di hadapan


Oleh Azmi Hassan

AMAT mengecewakan. Begitulah agaknya harapan masyarakat global terhadap hasil Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear yang telah diadakan di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.

Kecewa bukan kerana Pyongyang tetap bertegas dengan rancangan untuk melancarkan satelit walaupun telah diberi amaran supaya membatalkan hasrat tersebut kerana ia boleh memburukkan lagi kestabilan di Asia Timur.

Tokyo umpamanya telah memberi amaran akan memintas pergerakan roket tersebut jika melalui ruang udara Jepun dan ugutan tersebut bukan omong kosong kerana Jepun mempunyai sistem pertahanan peluru berpandu yang agak kental.

Masyarakat antarabangsa juga kecewa bukan kerana Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mempergunakan isu pemilihan presiden pada November sebagai kekangan perbincangan lanjut mengenai pengurangan senjata strategik dengan Presiden Rusia, Dmitry Medvedev.

Walaupun kenyataan bersama dikeluarkan pada akhir sidang kemuncak tersebut yang antara lain memutuskan keganasan nuklear adalah satu ancaman global dan setiap negara perlu memastikan keberkesanan undang-undang dan peraturan dalam memastikan bahan nuklear tidak jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggung jawab, kesemua persetujuan tersebut bergantung kepada penerimaan oleh setiap negara.

Tiada kuasa perundangan diberi kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memaksa negara berkenaan menerima pakai perjanjian sedia ada seperti Konvensyen Perlindungan Fizikal Bahan Nuklear dan Konvensyen Mengekang Keganasan Nuklear yang bertujuan mengetatkan kawalan keselamatan nuklear supaya tidak jatuh ke tangan pengganas.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili negara ke sidang kemuncak tersebut menegaskan semua negara perlu telus dan berterus terang dalam pelaksanaan program nuklear masing-masing dan dunia tidak perlu berteka-teki mengenai niat sebenar penggunaan kuasa nuklear sesebuah negara.

Korea Utara atau Israel umpamanya yang dikatakan mempunyai kemampuan senjata nuklear tetapi dunia masih sangsi dengan kedua-dua negara tersebut kerana pemantauan oleh IAEA tidak dapat dilaksanakan. Begitu juga dengan India dan Pakistan walaupun tidak menyembunyikan niat membangunkan senjata nuklear, pemantauan secara berkala dan efektif tidak dapat dilakukan oleh IAEA.

Dalam hal ini Korea Selatan menjadi contoh yang baik kerana pada satu ketika dahulu negara tersebut pernah secara rahsia melaksanakan program pemprosesan uranium gred senjata sekitar tahun 2000 tetapi telah akur dengan kesilapan tersebut. Pada hari ini, Korea Selatan dianggap sebagai antara negara yang begitu telus dan bertanggung jawab melaksanakan program pembangunan nuklear.

Malaysia walaupun tidak mempunyai kemampuan nuklear tetapi mampu memberi contoh sebagai negara bertanggungjawab bukan sahaja kepada rakyatnya tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa. Isu kilang nadir bumi di Gebeng, Kuantan adalah contoh ikutan terbaik walaupun tidak ada kena-mengena dengan pembangunan nuklear.

Bukan sahaja Malaysia mempunyai peraturan mengenai radiasi yang agak ketat dan dipantau oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) untuk memastikan operasi kilang mengikut ketetapan yang telah disediakan, tetapi telah menjemput kumpulan pakar dari IAEA untuk menentukan operasi mengikut piawaian antarabangsa.

Malah tidak cukup dengan kumpulan pakar antarabangsa, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) untuk secara khusus menangani kesangsian rakyat terhadap tahap keselamatan kilang nadir bumi tersebut.

Satu perkara yang begitu rumit mengenai nuklear adalah kerana teknologinya dianggap sebagai ‘dwi-penggunaan’ iaitu nuklear boleh digunakan untuk aplikasi seperti menjana tenaga elektrik atau penyelidikan perubatan tetapi juga untuk membangunkan senjata nuklear.

Perlu diungkitkan kembali kerana pada 2004 Malaysia telah dituduh sebagai salah sebuah negara rangkaian pasaran gelap nuklear Abdul Qader Khan dari Pakistan. Kesemua kes tersebut berlaku kerana akta kawalan eksport sedia ada tidak mampu menangani isu nuklear yang agak kompleks terutama sekali yang melibatkan teknologi dwi-penggunaan.

Daripada pengajaran tersebut Parlimen Malaysia telah meluluskan Undang-Undang Perdagangan Strategik pada April 2010 khas untuk menangani isu dwi-penggunaan nuklear supaya Malaysia tidak dijadikan negara transit mengeksport bahan terlarang tersebut.

Walaupun terdapat beberapa inisiatif antarabangsa yang serupa seperti Inisiatif Keselamatan Pengawalan Senjata (PSI) dan Rejim Kawalan Teknologi Peluru Berpandu (MTCR), tetapi kesemuanya dilaksanakan di luar struktur PBB yang membuatkan sukar bagi Malaysia untuk turut serta.

Walaupun Washington mahu Kuala Lumpur menyertai kedua-dua inisiatif tersebut, tetapi Malaysia tetap dengan pendirian bahawa semua peraturan sepatutnya dilaksanakan dalam kerangka PBB dan bukannya dalam kumpulan negara yang berasingan.

Kepentingan rang undang-undang perdagangan strategik itu tidak dapat dinafikan kerana ia berperanan melindungi pengeksport Malaysia daripada diperalat dan dijadikan saluran haram untuk pembekalan barang strategik nuklear.

Begitu juga dengan Akta Perlesenan Tenaga Atom (AELA) Malaysia sudah berada dalam proses penilaian terakhir sebelum dibentangkan di Parlimen yang akan menjadikan AELA sebagai akta komprehensif mengawal pembangunan nuklear mengikut peraturan yang telah disediakan oleh IAEA.

Tidak dapat dinafikan walaupun Malaysia adalah sebuah negara kecil dan walaupun tidak mempunyai kemampuan nuklear, langkah yang telah diambil jelas menunjukkan rasa tanggungjawab yang tinggi apabila berhadapan dengan isu keselamatan nuklear.

Bukan sahaja masyarakat antarabangsa perlu mengambil iktibar dengan langkah yang telah dilaksanakan oleh Malaysia, malah rakyat tempatan juga perlu memberi kepercayaan bahawa negara kita jauh berada di hadapan mengenai isu keselamatan nuklear.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis
Profesor Negara


Sumber : http : //www.utusan.com.my/