Isnin, 20 Jun 2011

ISU BAHASA : Pentingnya budaya merujuk pakar

Oleh : Ridhuan Tee Abdullah

Saya berasa pelik kenapa kerajaan masih mahu melayan tuntutan kumpulan yang terlal minoriti seperti The Parent Action Group for Education Malaysia (PAGE) yang mahu kembali semula kepada Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Jika itu kemahuan mereka, biarlah mereka yang buat, kita lihat sejauh mana hebatnya mereka mahu mengubah sistem pelajaran, bukan memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris mengikut pandangan pakar.

Pertubuhan ini nampaknya begitu agresif bersama pertubuhan bukan Melayu yang lain, mahukan PPSMI dikembalikan semula. Pertubuhan ini tidaklah terlalu berpengaruh. Saya yakin ahli-ahlinya hanya ada sekelumit, tetapi mungkin kabel mereka agak besar. Mereka berhujah menggunakan pendapat segelintir ibu bapa dan bukan Melayu yang memang mahu melihat bahasa Melayu terkubur serta respons yang diperoleh melalui perbahasan dalam talian internet.

Ingin saya bertanya pimpinan mereka ini mengkhusus dalam bidang apa? Jika berada di luar bidang kepakaran, lebih baik senyap dahulu. Jangan ikut pandai sendiri sahaja, sedangkan kelulusan tidak seberapa. Jika sakit pergilah berjumpa doktor perubatan, jangan jumpa doktor falsafah atau jurutera. Begitulah pentingnya budaya merujuk pakar, supaya mendapat input yang betul.

Tidak ada seorang pun yang menolak akan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia. Persoalan pokok adalah, janganlah sampai merubah sistem. Jika bahasa itu yang lemah, maka perbaikilah bahasa tersebut seperti cuba dilakukan Kementerian Pelajaran hari ini, bukan dengan mengorbankan identiti dan jati diri.

Kementerian Pelajaran sedang bertungkus lumus untuk memperhebatkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai aspek. Biarlah pakar-pakar yang menentukan dan menanganinya. Siapakah kita jika dibandingkan dengan pakar-pakar bahasa?

Hormatilah budaya merujuk pakar. Sama juga dengan isu novel Interlok. Majoriti pakar bahasa dan sasterawan mengatakan bahawa isi kandungan novel tersebut sebenarnya tiada masalah langsung. Kenapa kita seperti cacing kepanasan kalau bukan kerana ada udang di sebalik batu?

Namun, setelah dipinda pun, masih ramai yang tidak berpuas hati. Kenapa? Jawapannya mudah, kumpulan ultra kiasu ini ada agenda lain. Komuniti besar kepala ini merasakan diri mereka telah kuat melalui keputusan pilihan raya umum 2008. Kerjanya tidak ada lain, ugut, desak dan tuntut. Saya yakin mereka tidak akan berani angkat kepala sedikit pun jika umat Islam bersatu atau keputusan pilihan raya 2008 tidak ‘menyebelahi’ mereka.

Kalau tidak percaya, bacalah laman-laman web ultra kiasu. Bacalah komen-komen negatif mereka. Saya syorkan Kementerian Dalam Negeri mengambil inisiatif menterjemahkan akhbar, majalah dan buku-buku karangan pengarang bukan Melayu terpilih, kita lihat berapa banyak pujian dilontarkan kepada bangsa Melayu, negara Malaysia dan 1Malaysia. Kita lihat siapakah yang paling banyak menabur racun. Sekurang-kurang novel Interlok berani berterus terang menceritakan realiti sebenar masyarakat berbilang kaum di negara ini, daripada lempar batu sembunyi tangan.

Sebenarnya, kita amat memerlukan ramai rakyat Malaysia seperti ini. Bukannya, mereka yang akan mencari seribu satu alasan untuk mematahkan apa jua idea baik yang dikemukakan. Hari ini, mereka menggunakan gagasan 1Malaysia sebagai hujah utama jika tidak berpuas hati. Misalnya, terbaru, pertubuhan Kristian terus mencabar Kementerian Dalam Negeri, berkaitan isu-isu sensitif seperti alkitab dalam bahasa Melayu, kalimah Allah dan sebagainya.

Kenapa perkara ini perlu diperbesarkan sedangkan populasi mereka hanya di sekitar di bawah 10 peratus? Jawapannya juga mudah, mereka ada agenda lain. Kita yang terlalu bersangka baik dan terlalu menjaga hati mereka untuk mendapatkan undi. Sedangkan belum tentu mereka mengundi kita. Tidak cukupkah lagi kebebasan beragama yang diamalkan di negara kita?

Gagasan 1Malaysia bukan bermakna memadamkan semua unsur Melayu dan Islam sehingga menjadikan ia sama rata dan sama rasa. Bayangkan jika tidak diperkenalkan gagasan 1Malaysia, apakah kita yakin mereka tidak akan mencari apa jua hujah untuk mematahkan hujah-hujah kita. Kadangkala terfikir juga saya apakah gagasan ini satu kesilapan kerana ramai sangat orang yang memperalatkannya?

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU BAHASA : Di mana letaknya kedudukan bahasa Melayu?


Oleh ROHAMI SHAFIE

MESKIPUN isu bahasa Melayu sudah lama diperkatakan, namun setakat ini tiada perubahan drastik yang boleh dilihat bagi memartabatkan bahasa rasmi Malaysia di buminya sendiri.

Bahasa Melayu layu di tanah air sendiri. Layu umpama menanti rebah ke bumi. Pengalaman penulis ketika berada di Kuala Lumpur baru-baru ini, menggambarkan bahawa Bahasa Melayu dipinggirkan oleh rakyat Malaysia sendiri.

Ketika penulis tercari-cari jalan menuju ke sebuah kilang di Petaling Jaya, penulis berhenti sejenak untuk bertanya laluan ke kilang tersebut di salah sebuah kilang automatif.

Penulis menemui tiga orang pekerja rakyat Malaysia di kilang tersebut dan bertanyakan soalan dalam bahasa Melayu. Setiap kali penulis bertanya dalam bahasa Melayu, dibalas oleh mereka dalam bahasa Inggeris.

Sebanyak tiga kali penulis bertanya kepada mereka sehinggakan penulis beranggapan betapa rendahnya martabat bahasa Melayu di hati pekerja-pekerja kilang tersebut. Walhal, mereka sememangnya memahami soalan penulis. Jika tidak mana mungkin mereka mampu menjawab dengan baik apa yang ditanya oleh penulis.

Itu kejadian pertama. Kejadian kedua berlaku kepada bekas-bekas pelajar penulis. Ramai antara mereka bercita-cita untuk bekerja di syarikat multinasional antarabangsa. Ada antara mereka dipanggil temu duga.

Sungguh memeranjatkan, terdapat syarikat minyak antarabangsa yang mengenakan syarat mahir berbahasa Mandarin untuk diambil bekerja. Sudahlah hanya segelintir orang Melayu dipanggil temu duga berbanding bukan Melayu, syarat berbahasa Mandarin pula disebut ketika ditemu duga.

Kalau begitu, lebih baik tidak dipanggil temu duga langsung. Buang masa sahaja! Adakah memanggil orang Melayu untuk ditemu duga hanya untuk memenuhi syarat kononnya tiada berlaku diskriminasi kaum? Syarat sebegini wajib dihapuskan.

Pernahkah kita mendengar syarikat-syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia mengenakan syarat bahasa Jepun untuk mengambil pekerja Malaysia bekerja dengan mereka?

Mohon pihak berkuasa dan barisan kabinet buatlah sesuatu agar lebih ramai orang Melayu dan bumiputera bekerja di syarikat-syarikat multinasional tanpa adanya syarat mahir berbahasa Mandarin.

Kalau tidak, orang Melayu dan bumiputera hanya bekerja di jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Bagi penulis perkara ini amat memalukan.

Kita cuba lihat di negara-negara lain seperti Perancis dan Jepun, hatta jiran kita Indonesia dan Thailand, rata-rata keseluruhan rakyat mereka menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan peribadi dan rasmi.

Penulis ingin memberi dua contoh bagaimana rakyat mereka berbangga dengan bahasa mereka sendiri. Cuba kita bercakap dalam bahasa Inggeris ketika mula-mula menjejaki bumi Perancis.

Percayalah, mereka tidak akan layan kita. Mereka akan layan sehinggalah kita bercakap dalam bahasa Melayu atau bahasa selain bahasa Inggeris, barulah mereka mula bercakap dalam bahasa Ingeris. Sebenarnya mereka mengharapkan kita bercakap dalam Bahasa Perancis.

Itu kes pertama, kes kedua berlaku sendiri pada rakan penulis ketika belajar di United Kingdom. Wajah rakan penulis ini ada iras-iras orang Jepun, maka, selalu sahaja berlaku kejadian orang Jepun memarahi beliau.

Puncanya kerana menyangkakan beliau merupakan orang Jepun, maka soalan-soalan yang diajukan kepada beliau dalam bahasa Jepun. Apabila setiap kali beliau menjawab dalam bahasa Inggeris dengan menyatakan bahawa beliau tidak memahami bahasa Jepun, orang Jepun ini memarahinya dalam bahasa Inggeris bahawa beliau sudah lupa daratan kerana tidak mahu bercakap dalam bahasa Jepun!

Perancis dan Jepun adalah dua bangsa yang jauh maju ke hadapan berbanding Malaysia tetapi di hati mereka hanyalah bahasa kebangsaan mereka. Kita pula masih tercari-cari rentak untuk bergelar negara maju, tetapi sudah mula lupa diri.

Apakah akan terjadi pada tahun 2020 nanti? Adakah ketika itu bahasa Melayu hanya sesuai menjadi tatapan generasi 2020 sebagai salah satu lipatan sejarah di Muzium Negara?

Malaysia tidak akan menjadi negara maju dan mapan jika rakyatnya sendiri tidak mempunyai jati diri mempertahankan kekuatan yang ada. Bahasa Melayu adalah salah satu kekuatan yang wajib dipertahankan. Paling penting bahasa Melayu wajib dimartabatkan sehingga seluruh Malaysia menggunakannya tanpa rasa segan dan silu.

Mengambil iktibar seorang profesor rakyat Malaysia yang bukan berbangsa Melayu, bekerja di luar negara berpuluh-puluh tahun lamanya tetapi masih berbicara dalam bahasa Melayu dengan fasihnya apabila berada di sini.

Kita yang menetap di Malaysia janganlah sesekali merendahkan bahasa kebangsaan kita sendiri. Tiada gunanya bahasa Melayu dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan tetapi pengisiannya tidak langsung menggambarkan ia sebagai bahasa teras rakyat Malaysia.

Pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan. Sebagai permulaan, penulis mencadangkan agar bahasa Melayu diamalkan dan dimartabatkan dalam segala program transformasi kerajaan (Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi) dan selepas itu diperluaskan dalam segala urusan kehidupan rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/