Jumaat, 7 September 2012

ISU BAHASA : Matlob, munsyi bahasa terakhir


Oleh : Johan Jaaffar
 
Bagi kami yang belajar di Peserian Primary English School, Semerah, Batu Pahat, Johor pada tahun-tahun 60-an, tidak mudah untuk menguasai Bahasa Melayu (BM). BM diajar sebagai sampingan dan tidak diwajibkan.

Sejak Darjah Satu kami hanya didendangkan dengan kisah menawan dari Aesop Fables, cerita kanak-kanak Inggeris yang memukau dan nursery rhymes yang memikat. Kami dimaklumkan tentang kisah kehebatan seorang pengarang drama Inggeris bernama William Shakespeare. Pada waktu sama, banyak novelis dan penyair Inggeris yang kami kenal. Sehinggalah muncul Cikgu Mokhtar bin Talib atau lebih dikenali dengan nama samaran ‘Matlob’ dalam hidup kami. Apabila kami berpindah ke Sekolah Menengah Semerah (SMS) dalam aliran Inggeris (sekolah itu mempunyai dua aliran ketika itu) pada tahun 1966 beliau mengajar di Sekolah Convent Batu Pahat. Beliau mula mengajar BM di SMS pada tahun 1967.

Beliau membuka cakerawala baru bahasa dan sastera Melayu. Kami diperkenalkan dengan cerita rakyat dari Pak Pandir hingga Si Luncai, cerita teladan seperti Batu Belah Batu Bertangkup dan Si Tenggang, fantasi Malim Dewa dan Malim Deman, juga khazanah puisi Melayu seperti pantun, syair, gurindam dan seloka.

Beliau sendiri seorang penulis terkenal pada masa itu - menulis cerita kanak-kanak, cerpen, sajak, drama dan rencana. Beliau juga aktif dengan Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Persatuan Peminat Bahasa dan Sastera Muar (PPBSM). Beliau juga mengendalikan pelbagai ruangan di akhbar sejak awal tahun 60-an lagi, antaranya ‘Mari Berfikir’ di Utusan Kanak-Kanak, Singapura, ‘Ruangan Pelajar’ di Mingguan Malaysia, ‘Taman Sains’ di Utusan Pelajar, ‘Sudut Pencari Ilmu’ di Berita Harian, Singapura dan lain-lain.

Beliau juga dianggap ‘pandai Jawi’ (istilah untuk munsyi atau pakar tulisan Jawi) yang bukan saja menjadi sumber rujukan pelbagai pihak termasuk menjadi pakar rujuk ejaan Jawi baru Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kemudiannya. Pada ketika itu, beliau juga penasihat pada percetakan Pustaka Nasional, Singapura. Pendeknya Matlob yang mengajar kami di SMS itu bukan sebarangan guru.

Matlob juga telah mengasaskan Persatuan Penulis Sekolah Menengah Semerah pada tahun 1967 bersama-sama Cikgu Ismail Adnan. Saya percaya itu merupakan persatuan penulis pertama diwujudkan di mana-mana sekolah di Malaysia. Saya salah seorang ahli persatuan itu. Beberapa orang ahlinya telah mencipta nama dalam bidang penulisan walaupun tidak bertahan lama, di antaranya M Hanafiah A Samad, Saerah Atan, Noraini Md Lassim dan Rahimah Md Yassin. Matlob pernah membawa kami menyaksikan ‘Malam Memperingati Jymy Asmara’ salah seorang tokoh Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) di DBP pada bulan Mac 1970.

Apa yang unik mengenai Matlob ialah beliau tidak pernah menggunakan buku teks yang ditetapkan oleh kementerian. Beliau menggunakan buku sendiri, yang disikostil dan diedarkan secara percuma pada pelajar. Buku-buku itu unik kerana kandungannya disesuaikan untuk keperluan kami. Saya masih ingat beliau memperkenalkan pada kami istilah ‘lokarindam’ (gandingan ‘seloka’ dan ‘gurindam’ bagi membawa maksud ‘runs’ atau rangkap puisi dalam teks sastera lama.

Saya harus mengakui bahawa Matlob banyak mempengaruhi pembentukan BM saya. Beliau banyak menegur saya tentang kecenderungan saya ‘menterjemah’ konsep atau idea dari BI. Menurut beliau, saya harus berfikir dalam BM dan ‘menjadi orang Melayu’ apabila menulis dalam BM, begitulah sebaliknya.

Beliau menekankan peri pentingnya membuat karangan dan meringkaskan karangan kerana bahasa yang baik bermula dari kepandaian tersebut. Saya mendapat asas yang kukuh dalam BM melalui tunjuk ajar beliau. Saya terhutang budi kerana beliau memperkenalkan pada saya makna penguasaan bahasa sebenar. Dan tentang menulis sebagai satu seni dan kemahiran. Beliau sendiri banyak membantu saya untuk menerbitkan karya saya di ruangan-ruangan yang beliau kelolakan.

Malah dalam usia yang sangat muda, dua buah novel kanak-kanak saya, Api Di Tanah Perkuburan dan Misteri Pulau Batu telah diterbitkan oleh Pustaka Nasional, hasil suntingan Matlob. Sewaktu saya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (1992 hingga 1998) saya telah melantik beliau menjadi Ketua Unit Pendidikan Jawi syarikat berkenaan.

Dalam karier penulisan saya kemudiannya saya mungkin tidak bersetuju dengan disiplin ilmu bahasa Matlob. Hal ini tidaklah menghairankan. Bahasa sifatnya dinamis. Matlob mewakili era yang lain. Saya tidak rigid seperti beliau dalam kaedah berbahasa. Tetapi saya bangga bahawa beliau memberikan asas BM yang kukuh, seperti juga Master Ismail, guru bahasa Inggeris dan guru besar Peserian Primary English School mencorakkan BI saya.

Cara dan kaedah pengajaran bahasa dan sastera sudah jauh berubah. Tetapi ‘Kaedah Matlob’ sesuatu yang unik dan istimewa. Munsyi bahasa seperti beliau semakin berakhir, tetapi bagi kami yang pernah mengikuti sistem itu, kesannya hebat dan berkekalan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Politik kita memang caca merba?

Ada yang tunjuk kemaluan pada gambar pemimpin, kencing ke atas gambar pemimpin yang lain, ada pula baling kasut ke dalam masjid, tarian punggung dan pelbagai lagi.-Gambar hiasan

 Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Nampak kebelakangan ini, perbezaan politik bukan lagi membawa kepada pertarungan minda dan tawaran khidmat pengurusan pentadbiran yang lebih baik, tetapi pertarungan siasah di negara ini telah menyuburkan akhlak yang buruk dan kehilangan adab sopan. Ada yang tunjuk kemaluan, ada yang memijak gambar pemimpin tertentu, ada yang kencing ke atas gambar pemimpin yang lain, ada pula yang baling kasut ke dalam masjid, menarikan tarian punggung dan pelbagai lagi. Para pemimpin politik kita ini mungkin terlalu sibuk berkempen sehingga lupa untuk mengajar adab sopan sebagai insan kepada para pengikut mereka.

Disiplin

Kehidupan ini bukan segala-galanya politik untuk kita menggadaikan segala adab dan kesopanan hanya kerana politik. Insan itu walau apa pun kelemahan peribadinya, tetapi dia sepatutnya memiliki ketertiban dan kesopanan pergaulan yang diwarisi sama ada daripada agama ataupun budaya. Bahkan dalam Islam, dalam medan perang yang saling bunuh membunuh itu pun, adab dan akhlak yang baik dipertahankan. Disiplin mesti dipatuhi. Dalam hadis, apabila Rasulullah SAW mengirimkan pasukan tentera maka Baginda bersabda: “Keluarlah kamu ( ke medan jihad) dengan nama ALLAH SWT, perangilah di jalan ALLAH SWT sesiapa yang kufur dengan ALLAH SWT. Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat”. (Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir: “Sanad hadis ini hasan”).

Nilai pejuang rakyat itu apabila dia dapat mendisiplinkan dirinya dan menghiasi diri dengan budi dan sopan yang menyebabkan rakyat menjadikan ikutan. Justeru, kawalan diri sekalipun di hadapan musuh yang hendak membunuh antara nilai peradaban yang diajar oleh Islam.

Lihatlah apa yang ALLAH SWT tegaskan kepada orang Islam yang berperang dengan musuh-musuh yang menyerang dan ingin membunuh mereka: (maksudnya): “Dan perangilah di jalan ALLAH SWT orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya ALLAH SWT tidak menyukai mereka yang melampaui batas”. (Surah al-Baqarah: 190).

Apakah politik ini lebih buruk dari medan perang darah sehingga kita hendak berlebih-lebih dalam perangai dan budi. Kita jangan lupa apa yang Nabi bersabda: “Manusia yang paling ALLAH SWT benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Orang politik lupa, pengikut yang ‘kurang ajar’ dan tidak beradab itu hari ini mereka biadab dengan musuh politik mereka, besok kebiadaban itu akan dihalakan pula kepada orang yang disokong pada hari ini.
  
Piawaian

Paling masalah apabila setiap pihak cuba bertindak membalas keburukan dengan keburukan. Jika kita berikan nasihat ‘mengapa awak londeh seluar dan tunjuk kemaluan kepada gambar pemimpin tertentu’, maka akan ada yang menjawab ‘mereka lagi teruk, ada macam-macam lagi yang mereka pun buat’. Demikianlah puak-puak politik itu saling menghalalkan tindakan masing-masing atas nama keburukan lawan mereka. Apa yang pelik dalam masa yang sama masing-masing mendakwa mereka lebih baik daripada lawan mereka. Malangnya, apabila tiba masalah budi perangai, masing-masing memakai piawai yang setaraf dengan pihak lawan ataupun lebih teruk. Itu belum lagi datang ‘geng agama’ parti masing-masing yang akan mengeluarkan dalil untuk menghalalkan perangai buruk anggota dan penyokong masing-masing. Dalil agama dibaca bukan mengikuti kehendak Tuhan, tetapi kehendak parti!

Ustaz muda

Apatah lagi jika ada pula ulama atau ustaz muda mana-mana parti yang baru kenal politik sehari dua, dan mungkin ghairah hendak menjadi calon maka segala dalil dibawa, segala sirah salafussoleh dibaca seakan-akan yang dipertahankan itu Abu Bakar al-Siddiq dan ‘Umar bin al-Khattab. Dalil-dalil agama dipermainkan untuk kepentingan politik masing-masing. Apa yang terkena pada orang lain dibaca secara terang, yang terkena diri sendiri ditakwilkan dengan sejuta pentafsiran. Jika parti lawan berkumpul untuk bantahan maka mereka namakan tunjuk perasaan dan dihukum haram. Kononnya, bukan amalan salafussoleh. Jika geng parti sendiri berkumpul dinamakan menyuarakan pendirian, hukumnya halal. Dimasukkan dalam amar makruf dan nahi mungkar. Maka perhimpunan di Kuala Lumpur oleh parti lawan sibuk diharamkan dengan segala fatwa, tetapi di Jeli dan Gua Musang oleh parti sendiri didiamkan. Jika pemimpin kerajaan parti lain yang buat silap, ditegur dalam media dan ditulis surat terbuka. Namun jika pemimpin kerajaan parti sendiri buat salah, difatwakan haram bercakap kesalahan pemimpin di khalayak ramai, kena berbisik di telinga mereka. 

Dalil-dalil agama dan nama salafussoleh dikhianati atas kedangkalan pengetahuan, ataupun kepentingan politik ‘orang muda agama’. Maka tidak pelik jika ALLAH SWT menyifatkan golongan ulama yang menjual agamanya seperti anjing. Firman ALLAH SWT: “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia daripada kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).

Fatwa artis

Di celahan itu yang menarik hari ini, artis-artis yang baru masuk politik sehari dua pun seakan-akan sudah menjadi ‘sarjana Islam’. Mula mengeluarkan hukum ke atas orang lain. Sambutannya hebat. Modalnya bukan ilmu, tapi ‘wajah dan penampilan’ yang memikat penganjur. Jika ‘ustaz’ dibayar seratus dua, tetapi artis yang bercakap Islam dibayar beberapa ribu ringgit satu ceramah. Namun jika artis lelaki, ataupun artis wanita yang ‘kurang comel’, tidaklah seberapa sambutan dan bayarannya. Kita hendaklah tahu seperti yang disebut oleh para sarjana Islam, bab politik Islam bukan mudah untuk dihuraikan. Politik memerlukan kefahaman tentang maslahat dan maqasid syarak. Suatu ilmu yang memerlukan banyak latar pengetahuan yang baik. Namun, jika artis masuk parti politik, segala kesarjanaan itu seakan diberikan kepadanya. Ini memang tanda-tanda akhir zaman.

“Sesungguhnya sebelum kedatangan dajal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta,  dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim  menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi.

Bukan salah artis berceramah dan berkongsi pengalaman. Mereka yang berubah memang dialu-alukan. Namun setiap orang kena tahu kadar pengetahuannya mengenai apa yang dia perkatakan. Jangan cepat simpulkan hukum sedangkan anda bukan ahlinya.

Apa pun, politik kita memang ajaib. ‘Macam-macam ada’ dan semua boleh. Dulu ada orang cakap, asal barang jadi duit, kita ambil. Hari ini, asal barang jadi politik, kita angkut!

Sumber : http://drmaza.com/ 

ISU PENDIDIKAN : Meneutralkan agenda pendidikan


Oleh : Khairuddin Mohd Zain

PERBUALAN penulis dengan seorang rakan lama berbangsa Tiong Hua baru-baru ini banyak berbincang mengenai masa depan pendidikan anak perempuannya yang masih kecil. Dia ada beberapa pilihan. Membiarkan anaknya yang berumur 7 tahun bersekolah di sebuah pekan kecil di Muar, dan terus tinggal bersama datuk dan neneknya. Ataupun membawa anaknya datang ke Kuala Lumpur.

Di Kuala Lumpur, dia juga mempunyai pilihan. Menghantar anaknya ke sebuah sekolah kebangsaan di pinggir bandar - ataupun menghantarnya ke sebuah sekolah jenis kebangsaan berhampiran tempat kerja.

Setakat kelmarin, dia masih belum membuat keputusan. Namun dia bertanyakan penulis mengenai kualiti pendidikan di sekolah kebangsaan. Secara kebetulan, anak penulis berada di salah sebuah sekolah kebangsaan yang juga punya sedikit reputasi dan nama sebagai sebuah sekolah yang baik dan cemerlang.

Syukur, dengan komitmen pentadbiran yang baik, para pendidik yang bersemangat tinggi, kelompok ibu bapa yang sanggup membantu; secara keseluruhannya prestasi sekolah tersebut berada pada tahap yang boleh dianggap baik.

Namun, rakan tersebut menzahirkan kerisauan bahawa wujudnya trend yang sangat nyata di dalam media cetak (berbahasa Cina) yang membicarakan isu dan agenda pendidikan melalui kaca mata politik. Trend ini tidak begitu disenangi oleh rakan penulis. Dia khuatir, dengan agenda pendidikan yang terlalu direncahkan dengan ‘matlamat dan keinginan politik’, banyak isu yang fundamental dan asas akan menjadi cacamarba.

Kewujudan kumpulan-kumpulan pendesak yang mentafsirkan masa hadapan pendidikan melalui perspektif yang ada kalanya kedengaran sangat politikal ini boleh menjemput masalah jangka panjang.

Trend ini menjadi semakin hebat menjelang musim dan tempoh pilihan raya. Kumpulan-kumpulan tertentu mengambil peluang menyatakan pandangan dengan semangat yang tidak lagi neutral, sebaliknya dipenuhi dengan niat politik.

Kecenderungan untuk menyampaikan hasrat, kemahuan dan kehendak dengan cara yang terlalu mendesak, tanpa memikirkan gambaran besar kepada sesuatu isu mungkin sahaja menyebabkan situasi yang emosional.

Sememangnya, masyarakat Malaysia perlu mengambil peluang untuk menilai, mengkaji dan menyatakan pandangan mengenai isu pendidikan melalui perspektif yang sangat neutral dan tidak memihak. Benar, kita mungkin mewakili wajah dan aspirasi persatuan dan kumpulan masing-masing, namun ia perlu dimurnikan dengan visi dan cita-cita besar kita sebagai bangsa Malaysia. Mungkin mudah untuk kita menggunakan asas emosi dan sentimen - namun apakah kita sebenarnya sudah menjadi seorang dan kalangan warga yang rasional dan berpandangan jauh?

Apa yang sering bermain di minda dan pemikiran ibu bapa adalah keperluan anak mereka mendapat ruang dan peluang menikmati pendidikan berkualiti di mana sahaja di Malaysia. Seharusnya, tiada jurang yang terlalu menjarak antara sebuah sekolah di pedalaman Sarawak, dengan sebuah sekolah lain yang berada di pinggir kawasan Gombak, misalannya.

Peluang dan kemudahan seharusnya tidak terlalu jauh berbeza. Ini satu perkara yang paling asas. Usaha bersungguh-sungguh mestilah dilaksanakan untuk merealisasikan matlamat pendemokrasian pendidikan berkualiti menjelang tahun 2020 nanti.

Sewajarnyalah, dalam hal berkaitan penambahbaikan sistem pendidikan, ia memerlukan satu mekanisme penilaian yang neutral dan berpandangan jauh. Isu pendidikan ini melibatkan pembangunan generasi. Justeru, kita tidak punya banyak pilihan kecuali memikirkannya dengan sebaik-baik dan selengkap mungkin.

Masyarakat Malaysia, secara umumnya, perlu menzahirkan rasa bertuah kerana isu pendidikan ini tidak lagi menjadi dasar yang ‘tertutup dan menjadi hak mutlak’ sebilangan kecil mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan semata-mata.

Langkah yang dilakukan Kementerian Pelajaran (KPM) membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk memberikan pandangan melalui siri Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN 2012) adalah satu contoh yang sangat relevan. Isu pendidikan tidak lagi terkongkong di kalangan penjawat awam semata-mata, malahan melibatkan kelompok yang lebih besar.

Dialog ini diadakan secara terbuka dan tanpa sekatan. Ibu bapa, guru mahupun siapa sahaja boleh mengemukakan pandangan, yang akhirnya akan dinilai secara objektif dan komprehensif. Kali ini, agenda pendidikan benar-benar mengalami proses pendemokrasian maklum balas hampir di seluruh negara. Sudah barang tentu, ia membuka ruang secukupnya, untuk semua pemegang taruh (cagaran) mengemukakan apa sahaja pandangan yang dirasakan perlu untuk menambah baik sistem pendidikan negara.

Masyarakat perlu realistik, bahawa tidak mungkin semua pandangan akan diterima dan diangkat sebagai asas penambahbaikan pendidikan negara. Ia perlu disesuaikan dengan gambaran besar visi nasional menjelang tarikh penting 2020 nanti. Pejam celik, perjalanannya hanya tinggal lapan tahun yang akan datang. Apa yang diperlukan pada ketika ini adalah perubahan yang lebih holistik dan menyeluruh.

Menurut sumber umum KPM, melalui apa yang dipanggil sebagai Pelan Strategik Interim KPM 2010-2020, banyak perkara yang akan diberikan fokus dan perhatian. Ini termasuklah perkara seperti pengukuhan struktur persekolahan, transformasi kurikulum dan kokurikulum, peneguhan inovasi dan kreativiti, pendidikan vokasional, pendidikan pra-sekolah dan banyak lagi. Demikianlah luasnya perimeter pertanggungjawaban agenda pendidikan di negara bertuah kita ini.

Segala komitmen dan kesungguhan KPM dan kerajaan untuk membuka ruang maklum balas mengenai isu pendidikan ini wajar dihargai. Mungkin seiring dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa zaman kerajaan tahu semua sudah berlalu, segalanya kini diletakkan dalam arena diskusi yang lebih terbuka.

Kesediaan kerajaan membuka ruang sedemikian luas, diharapkan dapat menzahirkan cadangan-cadangan tuntas untuk masa hadapan pendidikan yang lebih baik.

Kesemua pemegang taruh yang terkait dengan isu pendidikan perlu membuka minda, meneutralkan hala pandangan agar tidak menilai dapatan Dialog Nasional Pendidikan Negara dan cadangan pembaharuan pendidikan dengan seobjektif mungkin. Ini bukan masanya untuk kita bersikap sinikal dengan segala cadangan yang bakal dikemukakan. Mungkin soalan yang lebih layak ditanya - bagaimana kita sebagai masyarakat boleh membantu usaha penambahbaikan yang bakal dicadangkan nanti?

Tidak ada satu sistem pendidikan yang sempurna secara keseluruhannya. Di kalangan negara maju juga, sentiasa mencari rentak untuk memperbaiki sistem sedia ada. Sesuai dengan status dan kedudukan ‘pendidikan’ sebagai sesuatu yang dinamik dan sentiasa berubah, kesediaan kerajaan untuk melihat semula jajaran pendidikan sedia ada perlu disokong dengan sebaik-baiknya.

Kita juga mengharapkan, buat kali ini, tidak ada perspektif politik yang boleh memberatkan pandangan kepada apa sahaja cadangan yang bakal dikemukakan. Elemen neutraliti, keterbukaan minda, kesediaan menerima perubahan akan menjadikan agenda pendidikan lebih mudah dihadam dan dihayati oleh keseluruhan rakyat. Masa depan negara akan banyak bergantung kepada kesediaan kita menerima keperluan perubahan yang dirasakan wajar.

Suara kita, suara rakyat, sudah diberikan ruang secukupnya oleh kerajaan dalam merencana agenda pendidikan. Memang mudah untuk kita menggunakan sentimen, mempamerkan lesen besar untuk membangkang dan membantah - namun ia menjadi sesuatu yang sangat tidak bertanggungjawab sekiranya tidak dituruti dengan idea dan pandangan bernas.

Pandangan yang neutral, tidak terbias dengan kepentingan politik dan undi pilihan raya, akan memberikan ruang yang lebih baik untuk agenda pendidikan dibicarakan secara holistik dan sepadu. Barang diingat, kita bakal merencana jalan hadapan untuk anak-anak dan generasi baru Malaysia. Molek agaknya, kita tinggalkan sentimen politik, perjuangan ras yang terlalu ekstrim dalam perencanaan agenda pendidikan sepenting ini.

PENULIS ialah penganalisis sosial.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Inisiatif agama pulihara alam


Oleh Azrina Sobian
 
Lihat di sekeliling kita, satu persatu masalah alam sekitar boleh dikenal pasti. Daripada masalah bersifat tempatan seperti banjir, tanah runtuh serta peningkatan jumlah sampah hinggalah kepada masalah merentasi sempadan seperti jerebu dan hujan asid.

Tidak ketinggalan masalah alam sekitar yang bersifat global seperti masalah penipisan ozon dan pemanasan global. Semua masalah ini pastinya menjanjikan kehidupan tidak enak bagi keseluruhan umat manusia. Oleh sebab kehidupan moden manusia dan masalah alam sekitar tidak mungkin dipisahkan, maka jalan penyelesaian kepada masalah ini amat diperlukan. Penyelesaian holistik termasuk aspek sosial, ekonomi, politik, sains dan teknologi adalah gabungan terbaik menyelesaikan masalah persekitaran.

Adab manusia terhadap alam

Usaha menggabungkan agama dalam pemuliharaan alam sekitar juga wajar diteroka. Harapan kita cuma satu, supaya saluran agama dapat membantu menyentuh hati dan menjadikan manusia beradab terhadap alam ini.

Walaupun ia agak asing di Malaysia, namun usaha ini sudah menjadi kebiasaan pada peringkat antarabangsa.

Contohnya, usaha Jawatankuasa Bantuan Kebuluran Oxford (Oxfam) bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan Muslim Aid yang membantu umat Islam di beberapa negara seperti Bangladesh, Bosnia, Kemboja, Gambia, Indonesia, India, Iraq, Jordan, Kenya, Lebanon, Pakistan, Somalia, Sri Lanka dan Sudan.

Begitu juga usaha Aga Khan Development Network, kumpulan Muslim yang membantu masyarakat di negara membangun. Persekutuan Hidupan Liar Sedunia (WWF) yang telah sekian lama bekerjasama dengan pelbagai kumpulan agama dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

Malah, Bank Dunia turut bekerjasama dengan komuniti agama untuk mengurangkan kemiskinan dan mempromosikan pemuliharaan alam sekitar di negara membangun.

Merujuk khusus kepada agama Islam, usaha menggabungkan agama dalam program pemuliharaan alam sekitar wajar dilakukan kerana, agama, komuniti serta negara Islam tidak terkecuali berhadapan pelbagai masalah alam sekitar.

Sebahagian besar masyarakat Islam kini hidup di negara dikategorikan sebagai negara membangun dan miskin. Bagi negara Islam membangun, tekanan untuk membentuk kekayaan atau menjadi negara maju menyebabkan pembangunan menjadi keutamaan berbanding pemuliharaan alam sekitar.

Bagi negara miskin pula, kemiskinan dan hutang negara menyebabkan berlakunya penghakisan sumber alam secara intensif demi untuk melunaskan hutang negara mahupun sekadar untuk memastikan kelangsungan hidup rakyatnya.

Pada masa sama, kehidupan dan keyakinan beragama yang masih menjadi pegangan masyarakat Islam di seluruh dunia, mahupun Malaysia seharusnya menjadi satu motivasi yang kuat untuk menggabungkan agama dalam pemuliharaan alam sekitar.

Ketua agama sertai program kesedaran

Rasa yakin dan hormat kepada ketua agama pula memungkinkan individu ini menjadi ‘watak utama’ dalam usaha pemuliharaan alam sekitar. Di seluruh dunia, usaha membabitkan ketua agama dalam pelbagai program kesedaran bukanlah satu perkara baru.

Di Pakistan dan beberapa negara Afrika, pembabitan ketua agama dalam program kesedaran HIV/AIDS dan kesihatan reproduktif menunjukkan tahap kejayaan membanggakan. Oleh itu, jika usaha ini boleh dilakukan kenapa tidak ia dilaksanakan dalam program pemuliharaan alam sekitar?

Di Malaysia, sudah ada usaha menggabungkan agama dalam pemuliharaan alam sekitar seperti dapat dilihat daripada usaha WWF Malaysia mengajak imam dalam rancangan pemuliharaan Penyu di Terengganu dan pemuliharaan harimau di Perak.

Contoh lain, beberapa surau dan masjid di sekitar Selangor terbabit program kitar semula minyak masak untuk biodiesel. Namun usaha ini belum begitu menyeluruh. Oleh itu, perlu ada usaha meningkatkan kerjasama agama, ketua agama dan komuniti agama dalam program pemuliharaan alam sekitar.

Pertubuhan bukan kerajaan Islam serta program dialog antara agama masa kini terlalu memberikan perhatian terhadap isu mempertahankan kepercayaan dan kedudukan agama. Isu alam sekitar kurang diberikan perhatian.

Oleh itu, mungkin sudah tiba masanya hal ini diubah dan alam sekitar menjadi satu agenda penting dalam manifesto serta kegiatan pelbagai pertubuhan berasaskan Islam di negara ini. Lagipun, di Malaysia terdapat begitu banyak surau, masjid serta sekolah agama.

Cuba bayangkan jika setiap satu institusi ini menjalankan aktiviti pemuliharaan alam sekitar, sudah pasti ini akan memberi kesan yang baik terhadap usaha pemuliharaan, pendidikan dan kesedaran alam sekitar.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/