Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur 2 bukan sahaja satu lagi mercu tanda negara. Ia juga identiti
negara. Ia yang lebih dikenali dengan nama bahasa Inggeris dalam bentuk
singkatan, tidak boleh sesekali ditulis mengikut cara ala bahasa media sosial
sebagai klia2.
Sebagai kata nama khas, iaitu
nama kepada orang tertentu, negeri dan negara, hari dan bulan dalam takwim serta
tempat khusus, lapangan terbang negara yang kedua ini bukan sahaja perlu,
tetapi wajib ditulis dengan menggunakan huruf besar pada mula setiap patah
kata.
Inilah kelazimannya, lebih-lebih
lagi dalam sistem Rumi yang telah dijadikan peraturan. Oleh itu, bentuk klia2
tidak dapat diterima sebagai betul.
Lapangan terbang negara kedua ini
bersama-sama dengan yang pertama adalah ikon negara. Ia memberi citra awam
kepada Malaysia. Selain itu, ia agensi kerajaan di bawah Kementerian
Pengangkutan. Ia entiti rasmi negara.
Dengan taraf rasmi yang ada
padanya, namanya tidak patut mengambil bentuk yang ditulis salah. Walau apa
sekali alasannya, sama ada untuk mengikuti gaya dan kecenderungan semasa,
bentuk klia2 tetap salah dari segi penggunaan bahasa yang baik dan betul.
Justeru, ia harus diperbetul dan
digantikan dengan bentuk KLIA 2. Langkah begini bukan sahaja penting untuk
menjaga citra linguistik negara, malah kita mengetahui peraturan bahasa amnya
dan selok-belok penulisan khasnya.
Lebih penting ialah bentuk klia2
yang salah itu boleh disalahertikan sebagai betul oleh masyarakat. Ia digunakan
secara rasmi, sama ada di lapangan terbang itu sendiri sebagai tanda tempat
atau dalam media massa.
Impak kepada pelajar
Impaknya yang lebih besar ialah
pelajar yang sudah pun mencemarkan bentuk bahasa tulisan mereka dengan pelbagai
singkatan, akan meneruskan gejala kebahasaan ini. Bentuk bahasa begini mungkin
digunakan dan diamalkan pula dalam ranah rasmi.
Masih tidak terlambat untuk pihak
berkenaan menukarkan bentuk klia2 yang salah kepada yang betul, iaitu KLIA 2.
Kita harus berjiwa besar dan berani untuk mengakui kesalahan yang berlaku,
untuk memperbetulkannya.
Jangan diteruskan penggunaan
bentuk yang salah ini atas apa-apa jua alasan. Natijahnya ialah sebagai nama
tempat khusus, ia kata nama khas. Untuk ini, cara tulisan kata nama khas dalam
sistem Rumi mana-mana bahasa pun, termasuk bahasa Inggeris, sudah ditetapkan.
Oleh itu, peraturan ini harus
dipatuhi untuk memperlihat kita di Malaysia juga memahaminya. Dengan ini, setiap
patah kata pada nama lapangan terbang itu, perlu ditulis dengan huruf besar dan
angka perlu dijarakkan daripada kumpulan huruf sebelumnya. Justeru, bentuknya
ialah KLIA 2.
Bahasa biar betul
Sebenarnya, penggunaan bahasa
yang baik dan betul dari sebarang dimensi, bukan sahaja memberi wibawa kepada
pihak yang menggunakannya. Ia turut memberi wibawa kepada wacana yang ingin
disampaikan. Dengan ini, bentuk KLIA 2 adalah bentuk yang dimaksudkan.
Sebaliknya, bentuk klia2 bukan
sahaja bersifat bersahaja untuk ranah rasmi dan formal, ia tidak sewajarnya
digunakan untuk entiti yang memerlukan sifat dan status kebesaran negara yang
perlu dipenuhi penghormatan untuk melambangkan perwatakan kebangsaan.
Bentuk klia2 ini mungkin ditiru
daripada tulisan yang digunakan sesetengah syarikat perniagaan yang gemar
menggunakan bentuk yang penuh dengan segala macam kekreatifan. Antaranya,
tulisan yang menggunakan semua huruf kecil walaupun untuk kata nama khas dan
dicantumkan pula.
Ia sengaja dilakukan untuk
mendatang kesan tertentu dalam perniagaan walaupun menyalahi peraturan.
Walaupun tidak betul, ia yang selalu dianggap sebagai gimik, tidak pula
dianggap bentuk jelik yang dikecam.
Ini berlainan dengan perbadanan
kerajaan yang harus senantiasa bersifat birokratik. Ini bermakna ia hendaklah
sesuai dengan sifatnya sebagai agensi kerajaan yang perlu mempertahan unsur
kerasmian pada setiap masa melalui pelbagai cara.
Dalam kes ini, caranya ialah
melalui bentuk namanya yang dipersembah kepada khalayak.
Ia perlu berupa jata, yakni wujud
sebagai lambang kebesaran jabatan kerajaan dan bukan logo, iaitu tanda
pengenalan sesuatu entiti. Oleh itu, ia hendaklah berbentuk KLIA 2.
Penulis ialah
Profesor Linguistik Universiti Kebangsaan Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/