Selasa, 31 Ogos 2010

Anugerah kemerdekaan perlu dihayati, dihargai


Oleh Muhamad Razak Idris


KEMERDEKAAN ialah sebuah anugerah terbesar daripada Tuhan kepada manusia. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus insaf dan bersyukur dengan anugerah kemerdekaan ini. Dengan takdir Tuhan, negara kita telah memperoleh kemerdekaan sejak 53 tahun lalu.

Kita harus mensyukuri sepenuhnya kurniaan ini kerana di dalam sejarah kehidupan hari ini, masih kedapatan banyak lagi kelompok manusia sedang bertarung memperoleh anugerah kemerdekaan.

Memandangkan negara kita sudah memperoleh anugerah kemerdekaan, maka seharusnya kita mengambil peluang dan kesempatan untuk menikmati nikmat ini. Persoalan penting di dalam hal ini ialah, bagaimanakah caranya untuk menikmati anugerah kemerdekaan ini?

Bagi saya, cara terbaik menikmati anugerah kemerdekaan ialah dengan mengamalkannya. Ada beberapa cara untuk kita mengamalkan kemerdekaan.

Cara pertama ialah dengan meningkatkan daya usaha bagi memajukan diri. Anugerah kemerdekaan memberi peluang luas kepada kita sebagai rakyat untuk mengambil peluang meningkatkan kemajuan di dalam pelbagai aspek kehidupan. Dalam hal ini, aspek paling utama tentu sekali di bidang ilmu dan pendidikan.

Kita harus menggunakan ruang kemerdekaan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan di dalam pelbagai bidang menerusi pendidikan secara formal atau tidak formal. Peluang meningkatkan kesedaran dan keterampilan diri di pelbagai bidang ilmu adalah satu peluang keemasan yang tidak mungkin diperoleh bagi rakyat yang berada di negara terjajah.

Cara kedua dengan berusaha meningkatkan rasa bangga terhadap jati diri, sejarah dan warisan negara kita. Kemerdekaan ialah satu peluang untuk kita menunjukkan jati diri kita sebagai satu kelompok masyarakat yang unik dan tersendiri di pentas ketamadunan dunia yang rencam. Jati diri umat Melayu dan kaum serta etnik yang pelbagai tergabung sebagai satu keluarga besar berteraskan peradaban timur dan peranan Islam sebagai agama teras harus diketengahkan secara meluas dan berterusan kepada masyarakat dunia. Penonjolan peradaban ini boleh kita jelmakan menerusi tulisan, ucapan dan perwatakan peribadi kita apabila saling berhubung antara satu dengan lain di dalam atau luar negara.

Cara ketiga menerusi usaha memanfaatkan ruang kebebasan yang dimiliki bagi membina ketahanan negara mendepani cabaran hari kini dan masa depan. Seperti yang kita sedia tahu, cabaran yang sedang dihadapi negara kita amat pelbagai terutama di era baru yang dikenal sebagai globalisasi dan masyarakat terbuka. Bagi mendepani cabaran ini, negara kita harus membina daya tahan yang utuh dari pelbagai aspek terutama dalam bidang persaingan ekonomi dan sistem sosial dan politik.

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita harus mengambil kesempatan dari ruang kemerdekaan ini dengan menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negara menerusi meningkatkan produktiviti kerja serta membangunkan inovasi dan kreativiti di dalam perusahaan yang diceburi. Seluruh rakyat harus saling berkongsi sumber bagi memastikan pembangunan dan pengagihan ekonomi dapat dinikmati oleh seluruh rakyat jelata.

Keupayaan ketahanan negara banyak bergantung juga kepada kesejahteraan sosial. Semangat persefahaman sesama rakyat harus ditingkatkan secara berterusan. Ruang kemerdekaan harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh warga masyarakat bagi tujuan membangunkan kesatuan negara. Ini boleh dijayakan dengan kita memperluaskan dan mengamalkan budaya berdialog sesama warga. Pendekatan dialog adalah saluran paling berkesan bagi meleraikan perseteruan dan salah faham antara individu atau kumpulan masyarakat.

Bagi tujuan ini, kita harus mengelakkan diri dari terjebak dengan perbuatan yang boleh menimbulkan salah faham atau meningkatkan sikap bersangka buruk antara satu dengan lain. Selamat Menyambut Hari Merdeka.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 28 Ogos 2010

BUDAYAKAN BM TANDA PATRIOTIK

Oleh AZMY MOHAMED
pendidikan@utusan.com.my

MEMARTABATKAN bahasa Melayu (BM) bukan setakat dalam sistem pendidikan, kata pensyarah bahasa, Dr. Mashudi Bahari kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, penggunaan Bahasa Kebangsaan itu perlu diperluaskan di luar lingkungan pendidikan mencakupi semua urusan sama ada rasmi dan tidak rasmi tanpa kompromi.

"Dasar Memartabatkan BM dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) merupakan bukti kesungguhan kerajaan menjulang bahasa itu ke tahap yang tertinggi," katanya.

Malangnya masih terdapat urusan yang menggunakan bahasa Inggeris seperti dalam bidang pengiklanan, perundangan khususnya yang melibatkan perjanjian sewa beli dan juga dalam komunikasi awam.

"Senario ini membayangkan seolah-olah tiada kesinambungan antara ilmu yang dipelajari di sekolah dengan penggunaannya dalam kehidupan seharian,"jelasnya.

Malah dalam perbualan sesama orang Melayu pun, mereka 'selesa' berbahasa Inggeris atau berbahasa rojak. Apatah lagi jika ada kaum lain dalam kumpulan perbualan itu.

Lebih mendukacitakan, terdapat juga agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengagungkan bahasa asing itu terutamanya dalam pembentangan kertas kerja, mesyuarat atau penyediaan cadangan perniagaan. Urusan surat menyurat dan dokumentasi juga kebanyakannya dalam bahasa Inggeris.

Selalunya, tiada terma yang tepat dalam bahasa Melayu dijadikan alasan untuk menghalalkan tindakan tersebut. Ia menjurus kepada bidang baru yang berkaitan sains dan teknologi.

Hakikatnya, menurut Mashudi, negara kita mempunyai ramai pakar rujuk untuk menterjemah dan mencari istilah yang sesuai.

"Selain Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), setiap institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan juga mempunyai pakar bahasa masing-masing untuk dijadikan rujukan," ujar beliau.

Dalam banyak keadaan, bukan istilah atau perkataan yang tiada tetapi jati diri telah meluntur dari sanubari rakyat negara ini. Malah, perkataan yang digunakan bukan canggih pun!

Sekadar kosa kata biasa sahaja. Untuk kepastian, sila amati dialog dalam drama dan rancangan bual bicara di televisyen atau teliti perbualan pemanggil dengan penyampai di stesen radio.

Penggunaan bahasa penjajah itu lebih kepada pernyataan status atau untuk menunjukkan tahap pendidikan penuturnya.

Natijahnya, apabila golongan ini memegang jawatan penting dalam sesebuah organisasi, mereka cenderung mengutamakan bahasa Inggeris.

Misalnya dalam pengangkutan awam, pengumuman dibuat dalam bahasa Inggeris walaupun majoriti penumpangnya adalah rakyat tempatan. Memadai dan munasabah jika ia dibuat untuk kenderaan awam yang melibatkan laluan dari dan ke lapangan terbang.

Bukan menidakkan kepentingan bahasa Inggeris tetapi hubungan komuniti masyarakat Malaysia harus mengutamakan bahasa Melayu. Rakyat Jepun boleh, kita pun boleh.

Ayuh, kita mulakan sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 dengan memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 24 Ogos 2010

Tragedi, kecelakaan akibat mercun perlu dihentikan

APAKAH tragedi yang menimpa seorang kanak-kanak berusia 6 tahun yang mayatnya tercampak dan tersangkut pada sebatang pokok, manakala otaknya bersepai akibat letupan mercun boleh memberi keinsafan kepada semua pemain mercun dan bunga api di Malaysia?

Tragedi menyayat hati itu berlaku di sebuah rumah di Kampung Seberang Baruh Cabang Tiga, Kuala Terengganu diharap menjadi titik mula untuk masyarakat mengubah sikap terhadap bahan terlarang itu.

Tetapi ternyata, adalah sukar untuk masyakat kita berubah sekelip mata. Biarpun tragedi seumpama ini berlaku pada bulan Ramadan saban tahun, tetapi ia masih berulang lagi.

Sepatutnya untuk sekian kalinya, perlu ada kempen besar-besaran untuk memisahkan mercun dengan Ramadan. Ini kerana kedua-dua unsur ini seolah-olah sudah tidak dapat dipisahkan.

Kita berasa sedih dan pilu apabila melihat setiap hari terpapar di dada akhbar kes-kes kecederaan akibat bermain mercun. Apakah kejadian ini bagaikan tidak ada noktah dan tiada jalan penyelesaian?

Mulai sekarang, masyarakat kena belajar daripada bencana akibat bermain mercun. Kecederaan kekal seperti putus jari tangan dan buta pada usia masih muda, patut membina semangat semua pihak untuk memberhentikan aktiviti yang berbahaya ini.

Pun begitu cabaran untuk menghentikan kegiatan bermain mercun dan bunga api mestilah didahului dengan menyekat kemasukan dan penjualan bahan terlarang itu.

Janganlah seperti sekarang, di mana ia mudah diperoleh di merata-rata tempat seperti di bazar Ramadan dan pasar malam.

Kita percaya, pihak polis, kastam dan Unit Pencegahan Penyeludupan telah pun memainkan tanggungjawab masing-masing.

Tetapi kita menyeru usaha itu dilipat gandakan dengan memantau penjualan mercun dan bunga api di mana-mana bagi mengelak bahan terlarang itu terus dijual secara berleluasa.

Setakat memberi amaran keras akan mengenakan tindakan kepada mana-mana individu yang mengedar, menyimpan atau bermain mercun termasuk buatan sendiri di dalam media, tidak akan berkesan.

Rakyat tertanya-tanya bagaimana rampasan besar terhadap penyeludupan mercun dan bunga api dilakukan oleh pihak berkuasa tetapi bahan itu masih mudah diperoleh. Siapa yang membekal dan menjualnya.

Selagi pihak berkuasa memejamkan sebelah mata terhadap penjualan mercun di bazar Ramadan atau pasar malam, sampai bila-bila pun masalah ini tidak akan selesai. Kita perlu cari jalan mengatasi isu ini secara menyeluruh. Hentikanlah musibah yang kita sendiri cari.

Sampai bila kita harus berpura-pura dan terus bersimpati apabila mengira jumlah kanak-kanak yang cedera dan maut akibat mercun.

Ada juga yang persoalkan, kenapa susah sangat pihak berkuasa untuk bertindak tegas ke atas penjual mercun yang berniaga secara terbuka?

Pun begitu, pihak berkuasa tidak patut dipersalahkan, kerana ia juga adalah tanggungjawab utama ibu bapa. Terserah kepada ibu bapa sama ada tergamak melihat jari tangan anak-anak mereka menjadi putus dan kaki kudung serta mata buta.

Elok ikut pesanan ini, kalau sayangkan anak, jangan beli dan membakar mercun serta bunga api di sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Haramkan semua jenis mercun, bunga api untuk elak musibah

MUSIBAH yang mengorbankan kanak-kanak malang selepas kepalanya hancur akibat letupan stor bunga api dan mercun di Kampung Seberang Baroh, Chabang Tiga, Kuala Terengganu, kelmarin memberi isyarat jelas kepada pihak berkuasa agar bertindak lebih tegas untuk membanteras pengedaran, penjualan dan pembakaran bahan itu. Mangsa, Khairul Arif Ayub, 6, mati dengan mayatnya tersangkut di atas pokok setinggi 15 meter selepas terpelanting akibat letupan kuat yang boleh didengar pada jarak empat kilometer. Selepas lebih 20 tahun import mercun dan bunga api diharamkan di negara ini berkuat kuasa 1991, berikutan kebakaran kilang mercun Bright Sparklers di Sungai Buluh, mengorbankan 22 nyawa dan mencederakan 103 yang lain, ternyata pengharaman itu tidak memberi kesan ketara. Dalam perbahasan di Dewan Rakyat pernah dinyatakan, sejumlah 353 kes tangkapan dilakukan pada 2005 kerana melanggar Seksyen 42 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika disabitkan kesalahan kerana mengilang, memiliki atau mengimport kedua-dua bahan itu boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Walaupun hukuman itu berat dan dianggap setimpal, namun pembakaran mercun dan bunga api masih terus berlaku, malah makin berleluasa sama ada ketika sambutan Tahun Baru Cina, Chap Goh Meh, Hari Raya Puasa, Deepavali, Krismas mahupun sambutan tahun baru. Lebih memeranjatkan, bunga api dan mercun kini dijual secara terbuka, bukan saja di kedai, malahan di kebanyakan bazar Ramadan. Apakah ini petanda undang-undang kita perlu diperketat dan penguatkuasaan serta pemantauan harus dipertingkat? Korban dan kecederaan akibat letupan stor di Kuala Terengganu kelmarin juga wajar mendorong pihak berkuasa mengharamkan terus penjualan dan pembakaran semua jenis bunga api dan mercun di negara ini.

Pembakaran mercun dan bunga api di segenap ceruk seluruh negara setiap kali tiba musim perayaan membuktikan bahan yang dirampas pihak berkuasa cuma dalam kuantiti yang kecil. Sebaliknya, sebahagian besar lagi bahan letupan itu memasuki pasaran gelap dan masih sampai ke tangan pengguna. Akibatnya, pada setiap Ramadan sebelum menjelang perayaan, pasti ramai kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa termasuk melecur muka, badan, buta, putus jari atau tangan kudung, gara-gara letupan bahan yang diubah suai atau berpunca daripada kecuaian. Kejadian ini turut membuktikan pihak berkuasa kekurangan maklumat yang disalurkan orang ramai mengenai kegiatan penjualan mercun dan bunga api. Namun tanggungjawab membanteras pembakaran mercun dan bunga api harus dipikul bersama masyarakat setempat, ibu bapa dan keluarga. Dengan memastikan anak tidak membeli dan bermain mercun, sebahagian risiko kecederaan sudah dapat diatasi. Lagi pun membakar mercun bukanlah budaya Melayu, malah Islam turut melarang umatnya melakukan perbuatan sia-sia, membazir, membahayakan diri serta harta benda. Malangnya masih ramai termasuk mereka yang berjawatan tinggi apabila balik ke kampung pada musim perayaan, mereka turut membawa mercun dan bunga api sebagai ole-ole, kononnya untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri, walaupun mereka tahu risikonya. Justeru, sudah sampai masanya pihak berkuasa bertindak tegas menguatkuasakan undang-undang dan meningkatkan kempen kesedaran agar orang ramai tidak terus menjual atau membeli bunga api dan mercun, yang tidak mendatangkan sebarang faedah.


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 22 Ogos 2010

MERUNGKAI MASALAH SOSIAL


HARI demi hari, laporan tentang kes pembuangan bayi semakin menghiasi dada akhbar di negara ini. Statistik menunjukkan sehingga Mac 2010 sahaja, lebih daripada 400 kes pembuangan bayi telah direkodkan dalam tempoh beberapa tahun lalu. Ini bermakna isu sosial yang dikategorikan sebagai mudah terancam (vulnerable) yang berlaku dilihat tidak akan berkesudahan dan terus berpanjangan terutamanya di bandar- bandar utama di negara ini.

Kes-kes pembuangan bayi ini dikaitkan dengan proses pembandaran yang berlaku terutamanya di awal tahun 1970-an dan 1980-an apabila ramai penghijrah dari desa menuju ke bandar untuk mencari pekerjaan yang dijanjikan tetapi sesetengahnya terpesona dengan janji yang ditabur sehingga terperangkap dalam jebak yang dipasang dan akhirnya menerima nasib malang.

Namun begitu, situasi yang berlaku kini adalah berlainan dimensi dan rentaknya. Malah pemacu yang menjadi penyebab kepada berlakunya isu sosial adalah begitu kompleks. Kalau dahulu, tumpuan hanya kepada pekerja-pekerja yang bertugas di sektor perkilangan sahaja, tetapi kini tumpuannya telah beralih arah dan lebih pelbagai - dari sektor perkilangan, pelajar sekolah, pelajar institut pengajian tinggi sehinggalah kepada pendatang asing sama ada yang berpermit mahupun yang menyeludup secara haram. Sedang gendang dan irama kelestarian bandar dipalu, isu-isu ketidaklestariannya semakin membuak-buak menonjolkan dirinya.

Proses pembandaran yang berlangsung dengan begitu pesat bermula dari awal tahun 1970-an sehinggalah sekarang dengan tujuan utamanya adalah untuk membawa kepada pemodenan dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat yang lebih baik dan sempurna. Namun kemodenan yang diharapkan untuk meningkatkan asas kesepaduan dan kerukunan kehidupan, sebaliknya telah membawa kepada sikap individualisme yang semakin menebal di kalangan warga bandar dan seterusnya melunturnya semangat kejiranan walaupun sesetengah jaraknya hanya dipisahkan oleh batu-bata jarak setebal satu inci sahaja.

Atas landasan individualisme yang semakin pula meneguh dalam diri seseorang itu, hal-hal yang berkaitan dengan fardu kifayah jarang lagi diambil peduli dan difikirkan untuk kepentingan komuniti, masyarakat apatah lagi negara keseluruhannya.

Jika di kampung dahulu, ikatan yang wujud terbina atas dasar kekeluargaan. Lantaran saling mengenali di antara satu sama lain dan boleh menegur sapa atau menasihati anak- anak jiran sekampung kerana perkaitan darah yang mengalir datangnya dari keluarga yang sama. Anak orang anak kita juga. Oleh itu, tiada rasa curiga untuk menegur perkara yang dirasakan tidak baik yang dilakukan oleh anak jiran tetangga. Ikatan yang terbentuk di atas dasar kekeluargaan itu menimbulkan rasa saling menghormati yang tinggi kerana hirarki kekeluargaan tadi.

Sebaliknya berlaku dalam kehidupan di bandar, ikatan yang terbina adalah atas dasar profesionalisme pekerjaan dan membawa kepada sikap individualisme yang begitu menebal di kalangan warganya. Jiran sebelah menyebelah saling tidak mengenali di antara satu sama lain. Sementelah pula kepelbagaian etnik yang wujud turut menebalkan suasana individualisme tersebut.

Daya ketahanan masyarakat yang terbina melalui nilai-nilai budaya yang baik juga semakin berkurangan dan hampir lenyap dalam usaha mempertahankan kemodenan tadi. Situasi inilah yang membawa kepada kemunculan isu-isu sosial yang kerap dipaparkan di dada-dada akhbar.

Isu yang pastinya meruntun jiwa kita ini menuntut satu perspektif yang lebih berkesan untuk merungkai permasalahan yang berlaku. Pendekatan kompleksiti iaitu pendekatan yang menyediakan ruang untuk pemikiran dan ruang untuk memahami perkara yang sebenar-benarnya berlaku wajar difikirkan. Bukan sekadar hanya di ruang luar permukaan isu tersebut sahaja yang diteliti tetapi memahami sedalam-dalamnya sistem dan aturan sosial yang berlaku menurut kaca mata budaya, agama dan pengetahuan setempat.

Peningkatan isu-isu yang bersifat kompleks ini menuntut pemahaman yang lebih tuntas tentang proses yang berlangsung walau di peringkat mana sekalipun isu tersebut berlaku. Isu yang saling berkait di antara satu sama lain ini perlu diteliti, difahami dan dirungkaikan menurut pelbagai teras disiplin ilmu (multi-disiplin dan inter-disiplin). Ahli peneliti sains sosial dan agamawan misalnya boleh digandingkan dalam memahami isu sosial yang dibincangkan agar tindakan yang diambil tidak bersifat sementara, ad hoc dan kadangkala tersasar jauh daripada membetulkan aturan sosial tersebut.

Sememangnya, jangkamasa yang diambil untuk menyelesaikan isu-isu yang berkait dengan sistem sosial yang telah tercalar ini akan menjadi lebih lama berbanding dengan tindakan secara ad hoc atau bersifat sementara. Tetapi jika aturan dan susunan sosial yang telah tercalar itu tidak dibetulkan, permasalahan yang sama akan terus berulang mengikut keadaan dan di tempat yang lain pula.

Isu-isu yang bersifat mudahterancam ini - penagihan dadah, jenayah, pelacuran, keruntuhan rumah tangga, pembuangan bayi dan sebagainya adalah saling berkait dan perlu diteliti dengan sedalam-dalamnya ikatan-ikatan yang terbentuk akibat kecelaruan sistem sosial tadi. Kemudiannya, barulah dapat dikenal pasti pemacu-pemacu yang menjadi punca kepada permasalahan tersebut. Sebarang tindakan yang bakal diambil juga akan terkelola dalam aturan sistem sosial tadi.

Governans kompleksiti (complexity governance) perlu difikirkan dengan lebih mendalam agar isu pembuangan bayi yang berangkaian pula dengan isu-isu sosial yang lainnya tidak semakin parah natijahnya kepada bangsa kita umumnya. Kita tidak boleh mengharapkan hanya segelintir kementerian dan jabatan serta orang perseorangan membendung gejala yang tidak sihat ini daripada terus menjadi bahan santapan minda setiap hari. Kita juga tidak boleh mengharapkan embun untuk menghilangkan dahaga kelestarian setelah sumber air dicemarkan atas nama pembangunan dan pemodenan.

PENULIS ialah Felo Penyelidik dan Pensyarah Kanan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 21 Ogos 2010

KEMALANGAN SIFAR CARA ISLAM



Oleh DR. JASRI JAMAL

Ramadan kembali untuk memberikan kerahmatan kepada umat Islam selama sebulan dan akan disusuli dengan kemenangan pada 1 Syawal nanti. Seperti kebiasaan umat Islam di seluruh negara, kita akan berpusu-pusu pulang ke kampung masing-masing untuk meraikan hari lebaran dengan keluarga tercinta.

Ada yang akan menaiki kenderaan persendirian, bas, motosikal dan kenderaan awam dengan satu matlamat iaitu pulang ke destinasi dengan selamat. Malangnya setiap kali cuti umum atau hari perayaan, maka pokok perbincangan kita adalah kematian disebabkan kemalangan jalan raya.

Masalah ini seolah-olah tiada noktah akhirnya di Malaysia. Setiap hari, media massa menyiarkan dan memaparkan kemalangan ngeri yang menyebabkan kecederaan dan kematian kepada individu tertentu termasuklah orang yang kita kenali dan sayangi.

Paparan oleh pihak media seolah-olah tidak lagi menjadi perhatian masyarakat Malaysia, malahan mereka menerimanya sebagai takdir daripada Allah.

Adakah kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecederaan dan kematian adalah takdir daripada Allah? Bagaimanakah Islam melihat kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecederaan dan kematian ini dari sudut undang-undang jenayah Islam?

Bagaimanakah Islam sebagai agama yang syumul ini dapat mengurangkan kadar kemalangan maut sekali gus 'kemalangan sifar' di Malaysia? Bagaimanakah Islam melihat kemalangan jalan raya dari sudut maqasid al-syariah iaitu dalam hal menjaga nyawa sama ada nyawa sendiri atau nyawa orang lain?

Statistik menunjukkan bahawa kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian dan kecederaan berlaku hampir setiap hari. Perangkaan oleh Polis Trafik Bukit Aman mengesahkan bahawa kadar kematian rakyat Malaysia di jalan raya meningkat setiap tahun dan konsisten iaitu 6,745 orang pada 2009 dan 6,527 pada tahun sebelumnya.

Sehingga Jun 2010, kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian adalah seramai 3,379 dan angka ini dijangka meningkat pada hari-hari perayaan.

Jika dilihat daripada statistik tersebut, secara purata kadar kemalangan maut yang berlaku di Malaysia adalah di antara dua hingga tiga orang dalam sehari. Cuba kita bayangkan, angka kematian dalam seminggu, sebulan, atau setahun hanya disebabkan oleh kecuaian manusia di jalan raya.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Malaysian Institute of Road Safety Reseach (MIROS), bangsa Melayu yang beragama Islam adalah bangsa yang paling ramai maut disebabkan kemalangan jalan raya.

Pada tahun 2008, 62 peratus daripada 10,753 kematian yang dikenal pasti sebagai bangsa Melayu adalah sebanyak 6,703, diikuti bangsa Cina sebanyak 2,190 dan bangsa India sebanyak 1,137.

Jika menurut peringkat umur pula, mangsa yang berumur 18 hingga 30 tahun adalah penyumbang terbesar kematian diikuti peringkat umur 31 hingga 50 tahun. Ini menunjukkan bahawa peringkat umur yang masih muda dan boleh menyumbang kepada pendapatan keluarga, masyarakat dan negara terbunuh di atas jalan raya.

Menurut DSP Zainal Abdul Abdul Hamid dari Cawangan Bukit Aman, faktor utama yang menyumbangkan kemalangan jalan raya adalah sikap manusia sendiri ketika memandu di jalan raya.

Antara kesalahan yang dikenal pasti menyebabkan kematian antaranya pemandu kenderaan yang cuba/sedang memotong/tukar lorong, cuai ketika keluar masuk simpang jalan susur, makan jalan, membuat pusingan U/patah balik/menyeberang, berhenti mengejut, memandu laju, mengekori rapat kenderaan lain, memotong kenderaan lain secara berbahaya atau tiba-tiba, tidak menggunakan isyarat memotong, membelok secara merbahaya, memandu secara cuai, tidak mengikuti peraturan lampu isyarat, melawan arah trafik, tidak menggunakan lampu isyarat ketika hendak mengubah laluan, terbabas, memandu dalam keadaan mengantuk, letih dan pelbagai lagi kesalahan lain yang kesemuanya menjurus kepada kecuaian pemandu itu sendiri.

Umat Islam di Malaysia yang telah diterapkan sikap yang mahmudah sejak dari kecil seperti sabar, bekerjasama, berhati-hati, mendahulukan orang lain, menghormati perasaan orang lain, saling bantu membantu sesama Islam dan hendaklah mempraktikkan amalan mulia yang amat dituntut oleh Islam ketika berada di jalan raya.

Mungkin hubungan kita dengan Allah, hablum min Allah adalah baik terutamanya di bulan Ramadan seperti berpuasa, bertadarus, bersedekah, mengerjakan amalan wajib dan sunat dan amalan-amalan yang baik. Tetapi kita sering terlupa bahawa hubungan kita sesama manusia, hablum min al-nas ketika berada di jalan raya perlu juga dijaga.

Ini kerana jika kita melakukan dosa terhadap Allah dengan melakukan kemungkaran, kita boleh terus memohon keampunan daripada Allah secara terus. Tetapi jika kita menyakiti hati pengguna jalan raya yang lain, seperti memandu laju, cuai, mengekori rapat kenderaan lain, meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa mengira perasaan orang lain, tidak memberikan isyarat ketika ingin menukar haluan, berlumba dan tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya, maka dosa itu tidak akan diampunkan oleh Allah kecuali kita memohon maaf daripada individu tersebut.

Oleh itu, hilangkanlah perasaan riak, takbur, ingin menunjuk-nunjuk, tidak bertimbang rasa, pemarah dan tidak sabar ketika berada di jalan raya. Marilah kita budayakan budaya Islam ketika memandu bagi mengelakkan menyakiti hati sesama manusia sekali gus dapat menghindari kemalangan maut yang saban tahun semakin bertambah.

Jika ditinjau dari sudut undang-undang jenayah Islam, kematian disebabkan kemalangan jalan raya dikategorikan sebagai pembunuhan yang tersilap kerana kecuaian. Ini disebabkan pelaku tidak mempunyai niat untuk menyebabkan kematian tetapi kematian tetap berlaku disebabkan kecuaian pelaku di jalan raya.

Ia dikenali sebagai al-qatl bi khata', pembunuhan disebabkan oleh kesilapan. Hukuman bagi mereka yang menyebabkan kematian disebabkan kecuaian ketika memandu boleh dikenakan diyah yang ringan iaitu membayar kepada ahli waris si mati sebanyak 100 ekor unta atau yang senilai dengannya.

Malahan pesalah juga dikehendaki membayar kafarah iaitu memerdekakan seorang hamba, jika dia tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Begitu beratnya hukuman bagi mereka yang melakukan jenayah pembunuhan tidak sengaja menurut undang-undang jenayah Islam.

Hukuman ini dianggap adil, setiap pemandu sepatutnya mempunyai sikap berhati-hati di jalan raya dan jika dia menyebabkan kemalangan dan kematian kepada mangsa, pemandu terbabit perlu membayar diyah kepada ahli waris si mati.

Kemungkinan besar, mangsa yang terbunuh adalah ketua keluarga yang menyara anak isteri atau ahli keluarganya dan dengan adanya pampasan bernilai 100 ekor unta atau nilaiannya sama, maka ia dapat meringankan bebanan ahli waris yang masih hidup.

Jika ditinjau undang-undang jenayah di negara lain seperti di Pakistan, pemandu yang memandu dengan melulu dan cuai dan menyebabkan kematian kepada mangsa boleh dikenakan hukuman diyah dan ditambah dengan hukuman takzir yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Hal ini jelas dinyatakan di dalam Seksyen 25, Ordinan Berkaitan Dengan Nyawa ( Perlaksanaan Qisas dan Diyah) 1984. Diyah yang dikenakan bernilai 10,000 dirham atau bersamaan dengan 30.63 kilogram perak atau senilai dengan wang semasa. Mungkin sudah tiba masanya pihak kerajaan menilai dan mengetatkan undang-undang jalan raya dengan memasukkan peruntukan berkaitan pampasan kepada ahli waris si mati yang terbunuh di jalan raya disebabkan kecuaian pemandu lain atau sebab-sebab lain.

Sehingga kini, Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (Akta 333) hanya memperuntukkan hukuman bagi pemandu cuai atau merbahaya jika disabitkan hanya akan dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 hingga tidak lebih daripada RM20,000.

Tiada langsung konsep diyah diberikan kepada waris mangsa yang mana ahli keluarganya terbunuh disebabkan kesalahan pemandu lain atau agensi-agensi lain seperti mengorek lubang di jalan raya tetapi tidak menyediakan papan tanda secukupnya sehingga pemandu jatuh dan mati.

Oleh itu, kutiplah pahala di bulan Ramadan ini sebanyak-banyaknya ketika kita berada di jalan raya. Ia sesuai dengan hadis Rasulullah yang bermaksud: "Mengelakkan bahaya daripada jalan raya adalah satu kebaikan."

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 19 Ogos 2010

MELAYU JANGAN CEMAR BANGSA, CITRA ISLAM

Bersama Salbiah Ani

TIRAI Ramadan tahun ini dipenuhi dengan kisah yang mengaibkan bangsa Melayu Malaysia dan memaparkan betapa nipisnya iman mahupun ketakwaan dalam diri, meskipun hakikatnya mereka beragama Islam dan seolah-olah rasa kemanusiaan sudah ditalkinkan terus daripada hadir dalam diri.

Dengan sejumlah 65 kes buang bayi sepanjang tahun ini, memang wajar Kabinet memutuskan kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.


Dengan 181 kes buang bayi bagi tempoh 2008 hingga 2009 dan perangkaan 257,411 sijil pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf yang dicatat dalam tempoh 2000 sehingga Julai 2008 dengan sebahagian besarnya membabitkan bangsa Melayu adalah suatu yang amat membimbangkan.


Tidak cukup dengan kes buang bayi, bangsa Melayu Malaysia turut terpalit dengan kes penderaan terhadap wanita oleh suami, hatta menendang dan memijak isteri yang hamil, membunuh isteri serta anak di samping menyimbah asid yang berkesudahan dengan kecacatan kekal.

Penulis beristighfar setiap kali membaca berita seumpama itu meskipun bukan ahli keluarga sendiri yang terbabit dalam salah laku berkenaan kerana bimbang dengan segala macam peristiwa yang membabitkan bangsa Melayu kerana ia turut mencemarkan citra Islam sebagai agama yang syumul di mata kaum lain di negara ini!

Segala macam peristiwa buruk yang memalukan itu, seolah-olah menunjukkan bangsa Melayu tidak pernah sedar diri dan kufur segala nikmat daripada Allah SWT terhadap mereka di negara ini berbanding bangsa lain yang lebih malang seperti Palestin di Gaza umpamanya.

Khamis lalu, penulis berkesempatan menyaksikan video yang memaparkan situasi keperitan dan kegetiran hidup rakyat Palestin yang hidup melarat ekoran dasar kepungan Israel dan Mesir terhadap Gaza pada kunjungan Pengerusi Masyarakat Islam (TIS) Palestin-Bandar Jabalia, Abdalrahim M Shehab ke Berita Harian.


Kehidupan serba daif 80 peratus penduduk Palestin yang menganggur selepas segala ladang tanaman dan kilang di Gaza dibedil tentera Israel serta sumber air diracuni sehingga mereka terpaksa mendapatkan ihsan masyarakat antarabangsa walau untuk mendapatkan sesuap makanan cukup menikam kalbu.

Video yang menayangkan betapa bersyukurnya masyarakat Islam Palestin dengan bantuan yang diuruskan TIS, lebih-lebih lagi ketika menyambut Ramadan al-Mubarak dengan seisi keluarga dalam khemah bantuan kerana kediaman masing-masing musnah dibedil Israel, begitu mendera emosi.

Dada terasa sebak dan air mata mengalir laju sepanjang menyaksikan video yang turut memaparkan betapa bedilan laknat tentera Israel yang turut mengenai sekolah, masjid, hospital dan universiti sehingga menyebabkan kematian orang awam termasuk bayi, wanita mahupun orang tua tidak berdosa.

Jika penulis melihat segala macam peri laku buruk masyarakat Melayu Islam Malaysia dengan penuh kekesalan kerana ia mempamerkan betapa rapuhnya iman mereka sebagai penganut Islam, berbeza pula dengan seorang teman diskusi yang menyifatkan sebagai perkara biasa kerana pernah menyaksikan perkara seumpama itu pada zaman remajanya.

Teman ini melihat isu terbabit sebagai paparan rapuhnya rangkaian sosial masyarakat Melayu Islam berbanding dulu ketika imam, orang tua, ketua kampung dan penduduk setempat, begitu muafakat antara satu sama lain sehingga keharmonian kehidupan sekampung terpelihara.

Kes sedemikian lazimnya membabitkan individu yang panas baran dan tidak dapat mengawal amarah ketika kejadian sehingga terjadi peristiwa yang tidak mungkin dilakukan manusia dalam keadaan normal. Mereka tidak minta dilahirkan panas baran. Selalunya juga membabitkan individu yang dipandang hina oleh masyarakat dan terbiar.

Kita dapat membuat kesimpulan tentang betapa rendahnya taraf keimanan individu terbabit. Keimanan sememangnya tiada dalam diri ekoran taraf pendidikan rendah atau lebih malang tidak bersekolah sama sekali sehingga tahap pemikiran terlalu cetek dan terbatas, jawab teman ini selamba ketika penulis berhujah binatang pun tahu sayangkan anak.

Bagi teman ini, jika rangkaian hubungan sosial masih kuat dalam masyarakat Melayu Islam seperti suatu ketika dulu yang menyaksikan imam, orang tua dan ketua kampung berada pada kedudukan disegani masyarakat dan berfungsi sebagai individu yang memberi panduan, teladan dan nasihat, salah laku seumpama itu dapat dibendung.

Ketua kampung pada 1970-an dilantik oleh orang kampung dalam kalangan yang disegani masyarakat dan begitu mengambil berat mengenai kebajikan anak buah mereka sehingga jika ada yang sakit, bersalin atau kematian, akan diuruskan keperluan menurut yang diperlukan.

Hujah teman ini wajar direnung dan diberi perhatian kerana segala macam salah laku bangsa Melayu Malaysia hari ini mencerminkan masyarakatnya yang sakit dan Islam nampaknya tidak lagi menjadi benteng kukuh yang mampu menghalang perbuatan tidak bertanggungjawab mahupun bertamadun.

Lalu ia bukan saja perlu diatasi dengan melihat kes seumpama itu secara terpisah, tetapi juga menyeluruh kerana masyarakat Melayu yang sakit tidak menguntungkan sesiapa juga, malah memberi peluang kepada pihak yang suka menangguk di air keruh untuk menjalankan jarum mereka.

Alangkah malu dan daifnya bangsa Melayu membiarkan peristiwa tidak berperi kemanusiaan mahupun bertamadun itu terus menjadi paparan media untuk dibaca seluruh negara oleh pembaca pelbagai bangsa, seolah-olah kemunafikan suatu kebanggaan dan citra hakiki Islam!


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 10 Ogos 2010

DOA MOHON KESEJAHTERAAN KELUARGA


ربنا هب لنا من أزواجنا وذرياتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين اماما


"Wahai Tuhan kami, anugerahkan kepada kami pasangan-pasangan
dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya,
dan jadikanlah kami imam / ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa.
Ya Allah....
Jadikanlah pasangan kami...
Pembantu kami dalam melakukan ketaatan kepada-Mu...
Kekalkanlah kasih sayang kami hingga ke syurga-Mu...
Tunjukilah kami jalan keluar ....
Terhadap masalah-masalah yang kami hadapi ....
Hanya kepadaMu tempat kami mengadu ...
Engkau Maha Berkuasa membuka hati-hati manusia...
Jadikanlah anak-anak kami zuriat yang soleh...
Lembutkanlah hati-hati mereka ...
Masukkanlah Nuur HidayahMu ke dalam hati mereka...
Ya Allah ,
Ampunilah dosa kami di atas kelalaian kami dalam mendidik mereka mengenali-Mu...
Jauhkanlah mereka daripada pengaruh-pengaruh...
Yang merosakkan akhlak dan aqidah mereka...
Jauhkanlah mereka daripada kawan-kawan yang jahat ...
Kurniakanlah kami kekuatan untuk terus menasihati dan mendoakan mereka ...
Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa menunaikan solat ...
Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa ringan melakukan ketaatan kepada-Mu ...
Jadikanlah mereka zuriat yang sentiasa mendoakan kami ketika kami berada di dalam kubur...."


Sumber : http://ustazsyed.blogspot.com/