Oleh : Rejal Arbee
Pertingkat kesedaran jaga
kebersihan
Kita memasuki tahun baru ini
dengan harapan alam sekitar kita secara keseluruhannya dapat dipelihara dengan
lebih baik yang mana pencemaran berada pada tahap paling minimum. Persoalannya,
bolehkah rakyat secara keseluruhannya mengharapkan keadaan sedemikian ini?
Tentunya kita mahukan alam semula
jadi anugerah Allah tidak berterusan terjejas hanya kerana kerakusan kita
mahukan pembangunan tanpa menghiraukan kesannya ke atas alam dan persekitaran.
Pembangunan sememangnya perlu
dilaksanakan demi pertumbuhan ekonomi untuk mendatangkan kesejahteraan kepada
rakyat. Tetapi, tentunya ia harus dilaksanakan secara lebih prihatin dan
teratur supaya alam persekitaran yang terpaksa dijejaskan berlaku pada tahap
paling rendah. Malangnya, beberapa kejadian yang berlaku menjelang akhir tahun
lalu menunjukkan sekali lagi bagaimana pembangunan yang tidak menepati kehendak
persekitaran dan peraturan boleh membawa padah.
Pembangunan di lereng bukit
Kejadian tanah runtuh di beberapa
kawasan perumahan berterusan dan setiap kali ia berlaku, pihak berwajib akan
menubuhkan jawatankuasa atau pasukan petugas untuk mengkaji apa yang berlaku
dan mahu memastikan ia tidak akan berulang.
Sudah banyak kejadian tanah runtuh
berlaku dalam negara ini dan sudah banyak pasukan petugas ditubuhkan.
Malangnya, pembangunan di lereng bukit dan di atas bukit berterusan
dilaksanakan tanpa mengendahkan pelbagai peraturan ditetapkan.
Pihak berwajib juga berterusan
memberikan permit membenarkan pembangunan demikian. Nampaknya, kita masih tidak
mahu belajar atau mengambil iktibar daripada pelbagai kejadian tanah runtuh
demikian.
Tentunya tanah runtuh di Bukit
Setiawangsa di Kuala Lumpur minggu lalu bukan yang terakhir berlaku jika dilihat
dari pembangunan di lereng bukit dan di atas bukit yang berterusan di
mana-mana, termasuk di Pulau Pinang dan di Taman Templer. Apa agaknya yang
mendorong kita mahukan rumah di lereng bukit atau di puncak bukit?
Demikian juga sikap kita terhadap
sungai yang berterusan dilanda pencemaran. Sudah berapa banyak sungai kita yang
mati dan tidak lagi berfungsi seperti ditetapkan alam.
Kempen ratusan juta ringgit
Pelbagai usaha dan kempen yang
membabitkan perbelanjaan ratusan juta ringgit untuk membersihkan sungai kita di
seluruh negara yang sudah pun dilaksanakan. Tetapi hasilnya tetap tidak boleh
dibanggakan kerana lebih 1,000 sungai dalam negara ini berterusan menghadapi
ancaman pencemaran gara-gara tindakan dan sikap kita.
Walaupun sudah ramai rakyat sedar
pentingnya persekitaran, khususnya sungai kita dapat dipelihara baik, sikap
kita terhadap sungai tetap tidak berubah. Majoriti rakyat berterusan
menganggapnya sebagai tempat membuang sampah.
Ramai juga tidak mengambil kisah
bahawa segala macam benda buangan dan cucian dari dapur akhirnya mengalir
melalui parit dan pelbagai saluran lain ke dalam sungai.
Hal ini berlaku bukan saja di
rumah tetapi pelbagai macam sisa buangan, termasuk sisa kimia dan toksik dari
pelbagai kilang serta premis perniagaan dan perdagangan, termasuk bengkel baiki
kereta semuanya akan berakhir memasuki sungai kita.
Bahkan bangkai babi pun pernah
dibuang penternak yang tidak bertanggungjawab ke dalam sungai seperti berlaku
dekat Batang Berjuntai dan di Sungai Sepang ketika penternakan haiwan itu
berleluasa di Bukit Pelandok, Tanah Merah Estate, Batu Dua Sepang dan Sungai
Pelek.
Punca utama pencemaran
Tiga punca utama pencemaran
sungai ialah sampah sarap, sisa biologi aktiviti penternakan serta buangan
domestik dan bahan kimia daripada sisa industri.
Faktor lain yang menambah buruk
lagi pencemaran sumber air itu ialah kepesatan pembangunan, pertambahan
penduduk dan sikap masyarakat yang tidak mengambil berat aktiviti mereka yang boleh
mengganggu keseimbangan alam sekitar.
Oleh itu, tidak menghairankan
kenapa keadaan sungai kita berterusan bertambah buruk dan banyak sungai yang
mati yang mana airnya sudah tidak lagi boleh mengalir dan menjadi busuk.
Dua kempen besar-besaran sudah
pun dilaksanakan sejak 1993 dengan kempen ‘Cintai Sungai Kita’ dan dikuatkan
lagi dengan satu lagi kempen ‘Satu Sungai Satu Negeri’ untuk membersihkan
sebuah sungai dalam sebuah negeri pada 1997.
Tingkatkan kesedaran
masyarakat
Malangnya, selepas berlangsung
selama dua dasawarsa dan berjuta-juta ringgit dibelanjakan, apakah hasilnya?
Kini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang merancang untuk mengadakan satu
lagi kempen dalam usaha berterusannya untuk memelihara sistem sungai dalam
negara.
Sebenarnya yang penting ialah
meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya kebersihan sistem saliran
dipelihara. Malangnya, ramai tidak sedar kebanyakan sungai di negara ini
berdepan pencemaran teruk dengan kebanyakan punca daripada sikap dan aktiviti
harian manusia yang tanpa segan silu menjadikan sungai sebagai ‘lebuh raya’
sampah hingga mengganggu keseluruhan sistem ekologi.
Penulis ialah Felo Kanan di
UKM
Sumber : http : //www.bharian.com.my/