Oleh NURUL ANUAR KARI
ISU penderaan pembantu rumah dan
terbaru dakwaan penyeksaan sekumpulan warga asing sebagai pekerja bukannya
perkara baru mahupun boleh diperkecilkan mana-mana pihak.
Bagi individu, ia satu penganiayaan
yang melampau terhadap manusia lain, melanggar norma masyarakat dan paling
utama memburukkan nama Malaysia di mata dunia.
Sejak kebelakangan ini, banyak
pendedahan dibuat melibatkan penderaan malahan pembunuhan pembantu rumah warga
asing khususnya di kalangan agensi dan majikan bukan Melayu.
Baru-baru ini pula, sebuah daripada
agensi tersebut disiasat kerana dipercayai melakukan kesalahan pemerdagangan
manusia melibatkan 105 wanita warga asing, Indonesia, Kemboja dan Filipina di Klang.
Antara punca masalah, penderaan dan
penganiayaan dalam kalangan agensi dan majikan terbabit mungkin akibat
perbezaan budaya, agama dan juga bahasa.
Pekerja Indonesia contohnya, mungkin
tidak memahami bahasa Inggeris sementara majikan pula tidak memahami bahasa
ibunda pekerja, umpama itik bercakap dengan ayam.
Pihak agensi pula cuma sekadar 'tangkap
muat' sahaja bagi memenuhi permintaan dan mengambil bayaran tanpa mempedulikan
aspek kualiti dan kemampuan pekerja mahupun apa jua masalah yang dihadapi
majikan selepas pembantu rumah diserahkan.
Belum lagi mengambil kira kumpulan
warga asing yang dibawa masuk menggunakan pas lawatan sosial bagi memenuhi
permintaan dengan segera.
Ada antara mereka ditipu dengan
bermacam-macam janji tetapi akhirnya menjadi pelayan pelanggan (GRO), pelacur
dan segala macam 'pe' lagi yang bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi
lebih utama lagi, memusnahkan hidup warga asing terbabit.
Tidak kurang juga yang memang menjadi
pembantu rumah seperti dijanjikan tetapi tidak pula dibayar, namun tidak boleh
'bising' kerana mereka masuk dan bekerja secara haram.
Ada pula di kalangan pekerja asing yang
dibawa masuk secara haram ini tidak diperiksa sehabisnya pihak agensi sehingga
membawa masalah kepada majikan seperti lari, mencuri, menculik anak mahupun
berkomplot bersama rakan senegara untuk merompak atau melakukan jenayah lain.
Tidak kira bagaimana situasi yang
dihadapi, sama ada ejen di negara asal menipu, ejen di negara ini menipu,
pekerja menipu majikan dan bermacam lagi masalah, akhirnya nama Malaysia juga
yang menjadi busuk.
Maka, tidak hairanlah bila semakin
ramai rakyat di negara asal mereka membenci negara ini dan membuat bermacam
bantahan dan demonstrasi seperti yang sering berlaku di Jakarta, Indonesia
setiap kali kes baru didedahkan media.
Pada ketika persatuan agensi-agensi
tersebut mula menuding jari antara satu sama lain, timbul cadangan agar semua
urusan kemasukan warga asing diuruskan antara kerajaan dengan kerajaan (GTG)
sahaja.
Bukan sekadar memantau kos sebenar
untuk setiap pekerja yang dibawa masuk tetapi lebih utama menjamin keselamatan
serta pemantauan hubungan majikan dan pekerja asing agar kedua-duanya tidak
teraniaya.
Lebih penting lagi, urusan terus GTG
akan membolehkan pemantauan rapi secara telus dan berkala oleh agensi kerajaan
kedua-dua negara bagi memastikan majikan menjaga pekerjanya dan pekerja pula
menjalankan tanggungjawab setimpal dengan upahnya.
Walaupun mungkin terlalu awal untuk
mengambil alih keseluruhan fungsi agensi pekerja asing, kerajaan Malaysia dan
juga negara-negara terbabit perlu menimbangkan memulakan inisiatif GTG khusus
untuk sektor pembantu rumah yang dilihat paling banyak berlaku kes
penganiayaan.
Bagi Pensyarah Kolej Undang-Undang,
Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad
Faisol Keling, senario yang semakin teruk itu sebenarnya sudah ada penyelesaian
tersendiri di peringkat ASEAN.
"Antara negara-negara ASEAN, kita
mempunyai kaedah dikenali sebagai Confidence Building Measure (CBM) bagi
membolehkan kerjasama antara dua atau lebih kerajaan menyelesaikan masalah atau
isu-isu berbangkit antara mereka.
"CBM mempunyai lima 'trek' yang
mana trek pertama untuk urusan rasmi antara pemimpin dan kerajaan negara-negara
dalam ASEAN sementara trek dua hingga lima adalah untuk urusan tidak
rasmi," jelasnya.
Menurut beliau, mengikut prosedur,
peringkat pertama trek satu CBM melibatkan ketua-ketua negara, peringkat kedua
antara kementerian-kementerian terbabit dan peringkat ketiga pula antara
pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam isu tersebut.
Tegasnya, trek satu CBM amat sesuai
dijadikan sebuah platform untuk GTG dalam menyelesaikan masalah pembantu rumah
warga asing di Malaysia di samping menyekat aktiviti pemerdagangan orang.
"Langkah ini lebih baik daripada
diberikan 100 peratus kepada pihak ketiga (agensi) kerana akan menimbulkan
permasalahan lain yang sukar diselesaikan kelak.
"Elok jika ada campur tangan
secara terus GTG kerana kerajaan negara-negara terlibat tiada matlamat
keuntungan seperti pihak ketiga tetapi lebih kepada tanggungjawab sosial ke
atas rakyat mereka," ujarnya.
Tambahnya, akibat fokus kepada
keuntungan di kalangan pihak ketiga itu juga akhirnya pekerja asing dan majikan
mereka yang menjadi mangsa.
Oleh itu, Mohamad Faisol berharap
pemimpin Malaysia dan negara ASEAN lain mengaplikasikan kaedah CBM dalam isu
pekerja asing dan mungkin boleh meluaskannya untuk menyelesaikan isu-isu lain
melibatkan kehendak sosial rakyat mereka.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/