Rabu, 12 Oktober 2011

ISU BAHASA : Bahasa Melayu kian 'menggelupur'

Oleh : Salbiah Ani

HARI ini berlangsung pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2011 di Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) kerana tahun ini Melaka menjadi tuan rumah pada program tahunan yang diraikan dengan penuh gilang-gemilang pada setiap Oktober.

Khabarnya tahun ini, Kementerian Pelajaran memberi peruntukan RM3 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat yang bertanggungjawab kepada pelaksanaan program yang dihidupkan pada 2009 bagi menggantikan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).

Sudah nampak usaha DBP selaku Sekretariat BBK untuk membabitkan sama masyarakat bukan Melayu dan bukan orang sastera pada program kali ini apabila ada antara program yang diatur turut membabitkan masyarakat Baba dan Nyonya, Portugis serta Chetti untuk program di Melaka.

Selain itu, meskipun Melaka menjadi tuan rumah, DBP juga mengatur beberapa program di seluruh negara dalam memastikan setiap negeri di seluruh negara turut dilibatkan sama dengan program BBK dan sememangnya pendekatan ini perlu bagi memastikan setiap anggota masyarakat turut sama bertanggungjawab dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Dalam kesibukan DBP meraikan BBK 2011, penulis mendapat khabar bekas Timbalan Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan, meletakkan jawatan sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China di Beijing Foreign Studies Universiti (BFSU), China, dan akan kembali ke badan berkanun terbabit.

Khabarnya surat tawaran untuk Dr Awang kembali ke DBP kini sedang dalam proses penilaian di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendapat restu daripada Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Dr Salleh Yappar.

Jika benar Dr Awang kembali ke DBP bererti, tokoh bahasa itu adalah orang pertama yang sudah melepasi usia persaraan, tetapi ditawarkan untuk berkhidmat semula di badan berkanun terbabit kerana sebelum ini hanya jawatan Ketua Pengarah DBP yang pernah ‘melanggar’ peraturan ini.

Penulis sempat bersembang dengan rakan diskusi mengenai perkara itu dan teman ini nampaknya berharap dengan kembalinya Dr Awang ke DBP, nasib bahasa Melayu di Malaysia yang seperti hidup segan mati tak mahu, baik dalam sektor awam apalagi swasta, dapat dipulihkan.

“Jika benar Dr Awang akan kembali ke DBP, hendaknya beliau dapat membantu Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, mengatur program lebih mantap lagi berkesan bagi memastikan maruah bahasa mahupun sastera Melayu kembali ke tempatnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.”

Ada benarnya pandangan rakan diskusi ini kerana terlalu banyak perkara menyakitkan mata, membocorkan telinga dan menusuk hati, melanda bahasa Melayu mutakhir ini oleh tindak-tanduk anak Malaysia baik Melayu yang tidak sedar diri, begitu juga di kalangan orang politik, korporat, cendekiawan mahupun biasa, sehingga maruahnya tercalar lagi tercela.

Gerakan menghidupkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan sekolah aliran Inggeris di sekolah kebangsaan oleh kelompok yang mendewa-dewakan bahasa penjajah itu semakin menjadi-jadi serta seperti sengaja diatur-atur bagi meraih simpati dan perhatian, selain sengaja diulang tayang berkali-kali bagi membangkitkan kemarahan!

Penjelasan berulang kali baik daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran; Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi dan Kementerian Pelajaran, seperti jatuh di telinga orang yang tuli, ibarat mencurah air di daun keladi.

Tindak-tanduk menafikan wibawa bahasa Melayu nampaknya bukan saja melanda pada peringkat sekolah rendah dan menengah, tetapi juga universiti dengan langkah penarafan yang kini menjadi kegilaan sesetengah universiti awam negara ini, sehingga seolah-olah sudah menjadi wabak pula.

“Sedih aku, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, hatta pada peringkat sarjana muda juga sudah terganggu-gugat dengan kegilaan pada penarafan universiti yang sememangnya terang-terang menjadi pilihan Universiti Malaya sekalipun dibantah sesetengah sarjananya dengan tindakan berhenti meskipun memegang jawatan kanan.

“Pengumuman Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Ir Zaini Ujang, kelmarin, bahawa universiti itu akan mengurangkan pengambilan pelajar peringkat Ijazah Sarjana Mudanya daripada 20,000 kepada 15,000 menjelang 2012 sesuai dengan kedudukannya sebagai universiti penyelidikan.

“Langkah ini sama seperti penarafan universiti dan memberi kesan kepada perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negara ini. Semuanya dilakukan demi kepentingan mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dengan memberi ruang kepada pelajar antarabangsa dan mengorbankan peluang anak tempatan?”

Dapat penulis fahami kebimbangan teman ini melalui langkah yang sememangnya akan memberi kesan kepada kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lebih-lebih lagi peluang anak tempatan mendapatkan peluang pendidikan di universiti awam yang ternama di negara ini.

Tidak pula dapat dipastikan apakah langkah ini bertujuan membantu universiti awam kurang terbilang mendapatkan pelajar kerana permohonan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), matrikulasi dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), banyak bertumpu kepada universiti awam terbilang sehingga ada yang tercicir peluang pendidikan universiti.

Jika benar Dr Awang akan ‘dikembalikan’ di DBP, hendaknya beliau bukan saja memberi perhatian kepada beberapa perkara yang dibangkitkan itu, tetapi juga menegur dan mengambil tindakan kecenderungan sektor swasta memperlekehkan bahasa Melayu mengikut sesedap rasa mahupun waktu.

Janganlah hendaknya tindak-tanduk memperkotak-katikkan bahasa Melayu seperti penamaan Beautiful Places sedangkan pengisian program dalam bahasa Melayu dan Kerinchi menjadi Bangsar South dibiarkan berleluasa seperti virus yang tiada ubatnya!

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 6 Oktober 2011

ISU BAHASA : Dasar bahasa dan sikap bangsa

BULAN ini, kita sekali lagi menggerakkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Suatu gerakan yang mula dilaksanakan pada 2009 menggantikan gerakan sebelum ini seperti Gerakan Cintai Bahasa Kita dan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN). Kesemuanya diurusetiakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Segala kegiatannya akan mengingatkan rakyat bahawa Malaysia memiliki satu Dasar Bahasa Kebangsaan.

Seorang anak Malaysia yang dilahirkan pada 1957, kini sudah mencapai usianya yang ke-54. Sepanjang lima dekad lebih, itulah juga usia kedaulatan Malaysia setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Bagi seorang anak Malaysia yang dilahirkan pada 1963, kini pula sudah menjangkau usia 48 tahun, sekiranya tanggal pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 diambil kira. Soalnya kenapa selama beberapa dekad itu, isu dan persoalan bahasa tidak putus-putus diperkatakan.

Fungsi bahasa Melayu dan bahasa lain dengan jelas dan tegas disebut dalam Perlembagaan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Disemak 1971). Malahan daripada kedua-dua sumber tersebut telah diperluas tafsiran terhadap kedudukan dan fungsi bahasa Melayu dalam beberapa undang-undang yang lain, serta dalam peraturan-peraturan jabatan dan surat pekeliling Kerajaan.

Apakah rakyat Malaysia tidak peduli atau mereka benar-benar tahu bahawa Malaysia mempunyai satu dasar bahasa yang sangat molek? Apakah semua agensi baik di peringkat pusat, negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) atau mana-mana rangkaian institusi kerajaan cekal mendukung dan bertindak dalam usaha-usaha pelaksanaan dasar bahasa?

Sungguh aneh seandainya kepemimpinan di pelbagai peringkat tadi bersikap 'acuh tidak acuh', bersikap 'tidak apa' atau 'sambil lewa' atau lebih banyak mendiamkan diri, berpuas hati setakat kemajuan pencapaian rutin yang ada.

Dalam mana-mana peradaban dunia sekalipun, bahasa itu adalah asas pembinaan tamadun bangsa. Memang Malaysia itu sebuah negara berbilang kaum, lalu tercitralah berbilang budaya, bahasa, agama, kepercayaan, warisan seni dan sebagainya, tetapi kepelbagaian itu bukan penghalang kepada kesatuan.

Jika keluhuran Perlembagaan dijunjung dan kedaulatan undang-undang dihormati, maka Malaysia sedang berada di jalan cerah disuluhi pedoman aspirasi Perlembagaannya. Tonggak-tonggak kenegaraan sudah kejap dikanunkan secara persetujuan bersama melalui 'kontrak sosial' yang asal.

Di Malaysia jelas ada tanda-tanda bahawa perjuangan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang unggul, bahkan sehingga mencapai taraf salah satu bahasa komunikasi dunia dihambat oleh sikap dan tabiat bangsa Malaysia sendiri.

Bangsa Melayu pemilik asal bahasa ini pun tidak memiliki suatu keyakinan penuh. Senario mutakhir sedikit goyah, ditambah pula dengan sikap rakyat yang terlalu bermain politik dalam gelanggang semua perkara. Sebahagiannya terheret di sebalik perjuangan perkauman sempit bukannya wawasan kenegaraan.

Dasar bahasa kian terganggu apabila sikap terhadap bahasa Inggeris yang terus 'didewa-dewakan' dan tidak diletakkan dalam perspektif yang benar. Kita bukannya tidak tahu pengimportan budaya yang berorientasikan bahasa Inggeris banyak mendorongkan nilai-nilai budaya negatif 'hedonisme', 'vandalisme' dan 'kriminalisme'.

Selain dari rakyat bukan Melayu yang belum menyeluruh menjiwai bahasa Melayu sebagai milik bersama, penekanan terhadap sains dan teknologi serta perindustrian telah mencetuskan tanggapan baharu.

Kemajuan kononnya hanya boleh dicapai melalui bahasa Inggeris yang dianggap sangat luar biasa itu. Sikap kita ini sangat berbeza dengan sikap negara-negara lain di Asia seperti Jepun, Korea, Taiwan dan China atau Jerman, Perancis di Eropah.

Sesungguhnya rakyat bukan sukar memahami bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa negara adalah milik bangsa Malaysia. Bahasa Melayu itulah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal. Slogan 1Bahasa 1Bangsa 1Negara tetap mendukung konsep 1Malaysia kerana kita ada satu bahasa bersama untuk satu bangsa Malaysia di negara Malaysia yang cuma satu.

Pengaruh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu telah merentasi sempadan kaum, etnik dan sukuan, komuniti dan wilayah. Sayangnya kemajuan dan pengembangannya semakin kehilangan penegasan disebabkan sikap bangsanya.

Di Malaysia, ada tendensi dalam pengurusan dan pentadbiran, BM mula digunakan secara bercampur dengan BI. Situasi rasmi dan tidak rasmi mulai kabur. Kewibawaan BM turun naik. Apakah kemungkinan kesan penggunaan bahasa dalam perspektif yang tidak betul?

Jika suasananya berterusan maka akan terjadi masalah dan implikasi besar pada masa hadapan. Apakah kita tidak terfikir bahawa suatu waktu bahasa Melayu sebagai bahasa negara akan pupus? Tabiat dan sikap negatif yang berterusan boleh membawa kepada kemusnahan.

Penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan hendaklah diinsafi semua pihak. Usaha pemertabatannya mungkin tidak menjadi isu lagi kerana statusnya sudah berada di tahap tinggi sebagai bahasa negara. Apa yang perlu dilihat ialah dari segi penyusunan rancangan strategik pelaksanaannya.

Pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggerakkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu/Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Apakah matlamatnya telah disejajarkan semua agensi, institusi, organisasi dan sektor berkaitan?.

Penegasan semula pelaksanaan dasar bahasa memang perlu dilakukan. Tetapi kita kena melihatnya dari banyak sudut. Cuba teliti tahap kesedaran terhadap Dasar Bahasa Negara, fungsi sebenar bahasa Melayu, pencapaian pelaksanaannya, masalah utama pelaksanaan, peranan agensi perancangan bahasa yakni DBP, peranan agensi pengembangan bahasa yang lain yakni pelbagai pihak berkuasa kerajaan dan perancangan strategik bagi pembangunan, pengembangan dan kemajuannya menjelang tahun 2020.

Di pentas dunia global kini, sikap yang harus diambil adalah bagaimana bahasa negara sendiri diperkukuh martabatnya, di samping kita tidak memisahkan diri menguasai bahasa-bahasa utama yang lain. Bahasa Melayu salah satu bahasa yang besar. Jumlah 300 juta penuturnya itu bukan suatu angka yang kecil.

Bahasa Melayu juga salah satu bahasa antarabangsa, bahasa serantau dan bahasa nasional di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Kita boleh kecundang sekiranya bahasa asing dijunjung tinggi sehingga kita kehilangan bahasa dan jati diri negara bangsa.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 4 Oktober 2011

ISU PENGAJIAN TINGGI : Pesanan buat siswazah - lakarkan kehidupan yang lebih berkualiti

PROF. TAN SRI DZULKIFLI ABDUL RAZAK

BULAN ini musim universiti mengijazahkan pelajar yang bakal melangkah ke alam baru - baik alam pekerjaan ataupun selainnya. Apa pun, alam baru itu akan diharungi berbekalkan ilmu pengetahuan yang diperoleh daripada bidang kepakaran masing-masing.

Bagi Universiti Sains Malaysia (USM), metafora "Universiti Dalam Taman" yang dipupuk selama ini sekali gus menafikan bahawa siswazah USM adalah bahan produk perkilangan yang hanya mengejar pekerja dan harta benda sebagai sebahagian modal insan berjenama USM.

Sebaliknya USM meyakini bahawa siswazah mempunyai banyak kemampuan dan bakat lain. Malah sebagai individu berilmu, mereka berupaya melakarkan kehidupan yang lebih berkualiti bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi untuk manusia teramai yang melata hidupnya, berteraskan kebijaksanaan dan nilai sejagat.

Dengan kata lain, siswazah boleh merentasi konsep model insan semata-mata, dan boleh kesudahannya menggarap makam yang lebih tinggi sebagai insanul-kamil.

Ini bermakna pendidikan kita tidak sepatutnya dilihat sebagai perhiasan luaran dengan jubah dan gelaran ijazah yang pelbagai rupa, sedangkan hatinya buta diselaputi hasad dan dengki. Jika inilah yang berlaku, maka hati kita belum lagi terdidik dan ijazah tidak bermakna sama sekali.

Oleh sebab itulah universiti seperti USM gigih berusaha meletakkan ilmu pengetahuan dan pengajian tinggi secara jelas untuk menolong golongan yang terkebawah dan yang tercicir sebagai mengisi kekosongan yang ada, tidak kira melalui hasil penyelidikan dan pengajaran, apa lagi kerja-kerja kemasyarakatan yang boleh mencelikkan hati kepada derita masyarakat sekitar kita.

Yang jelas era dunia berlandaskan ekonomi sudah mula meleset kerana keadaan semasa tidak lagi menggambarkan yang ekonomi mampu membawa manfaat kepada manusia sejagat; tetapi sebaliknya manusialah yang membawa manfaat kepada ekonomi bagaikan hamba abdi.

Hatta ilmu dijadikan modal begitu juga insan untuk dijual beli bagi menggerakkan ekonomi. Pendek kata kita adalah hamba kepada ekonomi dan bukan lagi sebaliknya seperti diramalkan. Sama juga dengan kita menjadi hamba kepada teknologi dan bukan lagi sebaliknya.

Akibatnya kini berbagai soal dan isu moral dan sosial timbul yang seolah-olah tidak ada penyelesaiannya selagi soal "perhambaan" - selain daripada kepada Ilahi - tidak dapat dirungkai dengan sempurna.

Kehidupan menjadi tidak sejahtera, dan kalaupun sejahtera hanya pada dimensi luarannya sahaja. Jiwanya tidak tenteram dan menderita kerana fitrahnya terus terbelenggu.

Saya tidak tahu sama ada transformasi yang sedang ditaja mengambil kira soal-soal seumpama ini, dan melewati agenda perkiraan untung-rugi semata-mata. Jika begitu halnya, apa pula perkiraan untung-rugi yang dikenakan untuk mententeramkan hati dan jiwa seseorang yang daif itu.

Walhal bak kata-kata hikmat berikut: Life is not measured by the number of breaths we take; but by the moments that take our breath away. (Kehidupan tidak diukur daripada bilangan nafas yang dihela, tetapi oleh suatu detik yang menghela nafas kita) Malangnya kita masih berkira-kira sedang yang dikira itu tidak mutlak sifatnya.

Oleh yang demikian dalam menerokai alam baru, masing-masing para siswazah penting melihat jauh ke hadapan kewajaran dan keikhlasan mereka sesama manusia dan alam seluruhnya. Kita harus membuktikan kesanggupan mengungkap keprihatinan tentang isu-isu global yang dini hari terumbang-ambing kerana belenggu fitrah tadi.

Pembuktian akan hanya berlaku apabila para siswazah sebagai golongan cendekiawan mula menghayati peranannya yang lebih besar dan luas dari tumpuan alam pekerjaan mereka. Bak kata pepatah: "Jika tidak dipecahkan ruyung, mana akan dapat sagunya" - yang dengan jelas berkehendakkan kita memecahkan batasan paradigma yang ada, serta mencabar status quo.

Maka buktikanlah siswazah lebih terkehadapan dari segi pemikiran, amalan dan tingkah laku, apatah lagi dalam soal kepemimpinan.

Namun ingat juga pepatah: "Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya" ; dan "Ikut resmi padi, lagi berisi lagi tunduk".

Tunjukkan betapa para siswazah amat mementingkan nilai sejagat lagi universal dan mempunyai jiwa kemanusiaan yang tinggi dalam apa jua yang dilakukan.

Bertindaklah di atas landasan ilmu pengetahuan dalam membangunkan keluarga, masyarakat dan negara dalam acuan yang kita ingini tanpa menggadaikan bahasa, budaya dan agama.

Ia menekankan bahawa para siswazah adalah contoh ikutan untuk kesejahteraan bersama, walaupun ini kadang-kadang dilihat sebagai suatu "keangkuhan" yang disalahtafsirkan oleh desakan hati yang resah dan gelisah. Umpama pohon yang lebat buahnya; lebih sering pula ia dilempar batu! Begitu juga dengan setiap kejayaan yang sarat dengan ilmu pengetahuan.

Ini bermakna menempa kejayaan demi kejayaan bukannya mudah selagi soal hati tadi tidak disesuaikan dengan fitrahnya. Ramai yang mudah beralah asalkan sahaja kejayaan luaran kekal malah diagung-agungkan.

Dengan kata lain, pendidikan tidak akan berakhir sebagai seorang siswazah saja! Sebaliknya ia satu permulaan kerana alam baru yang bakal diterokai akan menuntut banyak lagi kebijaksanaan yang berpunca dari hati sanubari yang peka dan suci.

Namun kita percaya bahawa setiap seorang mempunyai peluang untuk terus berjaya sekiranya ilmu pengetahuan dijadikan obor untuk menerangi liku-liku hidup.

Jadilah seorang ilmuwan yang disegani melalui keluhuran jiwa dan hati yang benar-benar memahami: "Orang berbudi kita berbahasa. Kita memberi, orang merasa!"

Penulis ialah bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/