Jumaat, 15 Oktober 2010

Bajet 2011 : Sistem pendidikan dirombak dengan penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah diri

KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara akan dirombak dengan memberi penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi dan daya saing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata, untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 bilion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.

Di samping itu, sejumlah RM213 juta diperuntukkan sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada pengetua atau guru besar dan guru cemerlang, katanya.

"Bagi memperkasa pendidikan awal, kerajaan akan memperuntukkan RM111 juta untuk program Permata, antaranya bagi pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang sudah siap serta meneruskan program Permata Pintar, Seni, Insan dan Remaja.

"Kerajaan akan meningkatkan kadar enrolmen prasekolah dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir tahun 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan ijazah," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi memantapkan pendidikan sekolah rendah dan menengah, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM250 juta untuk sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.

"Sebagai mengiktiraf pendidikan Islam, kerajaan bersetuju untuk membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan sebanyak RM95 juta.

"Bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, kerajaan menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran.

"Sejumlah RM213 juta pula diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan bahasa Malaysia, mempersadakan bahasa Inggeris dan memperkemaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah.

"Sehubungan ini, kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati, antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris," katanya.

Perdana Menteri berkata 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menyediakan multi-vitamin untuk pelajar sekolah rendah yang diharapkan akan dapat meningkatkan pembangunan mental dan mengukuhkan sistem imunisasi pelajar sekolah. Katanya kerajaan akan menubuhkan Talent Corporation (Perbadanan Bakat) di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal tahun depan yang akan menggubal Rangka Tindakan Bakat Nasional dan membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia. -Bernama.

Henti guna bahasa Melayu 'rojak'

BEBERAPA pihak menulis baru-baru ini mengenai pentingnya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2010.


Adalah wajar Bulan Bahasa Kebangsaan dianjurkan setiap tahun sebagai suatu peringatan kepada semua warga Malaysia untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita, selain daripada usaha membolehkan kita menguasai bahasa Melayu dengan tepat.


Tidak dapat dinafikan bahawa sejak kemerdekaan sehingga kini, bahasa Melayu sudah memainkan peranannya sebagai bahasa komunikasi antara kaum dan dapat menyumbangkan kepada integrasi kaum.


Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan, saya ingin mengemukakan mengenai isu pencemaran bahasa Melayu yang berleluasa seperti pada dialog filem dan dalam perbualan seharian sama ada dalam program televisyen atau percakapan seharian yang mencerminkan fenomena bahasa rojak.

Saya dan ramai yang lain khuatir dengan aliran pertuturan bahasa rojak iaitu campuran bahasa Melayu dan Inggeris yang mencerminkan tidak yakinnya terhadap bahasa Melayu dan penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul.

Bukan saya menentang penggunaan bahasa Inggeris tetapi apa yang saya bangkitkan ialah mengapa kita tidak bertutur bahasa Melayu sepenuhnya jika ingin menggunakan bahasa itu.

Begitu juga jika ingin menggunakan bahasa Inggeris, gunakan sepenuhnya tanpa perlu dicampurkan dengan bahasa Melayu.


Sungguhpun saya bukan pakar linguistik atau pejuang bahasa Melayu, saya berpendapat masa sudah tiba bagi semua pihak untuk memperbetulkan fenomena bahasa rojak ini dan jangan menjadikannya satu budaya atau cara hidup di negara kita.

Mesej yang saya ingin sampaikan ialah kita tidak dapat memartabatkan bahasa Melayu kalau kita cenderung mencampur-adukkan percakapan dalam bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris atau kita tidak dapat memperkukuhkan bahasa Inggeris dengan mencampur-adukkan percakapan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu.


TAN SRI LEE LAM THYE, Kuala Lumpur.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/