HATI mana tidak menjadi panas
apabila diarah membawa anak pulang dari Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) yang
merupakan pusat tertutup disebabkan masalah jerebu. Hajat hati hendak marah
sahaja pihak yang bertanggungjawab ke atas taska tersebut, namun itu semua
bukan kehendak mereka.
Soalnya sampai bila kegiatan
pembakaran terbuka di negara jiran memberi implikasi kepada kehidupan seharian
masyarakat negara ini. Bukan mudah untuk mengatur kembali jadual antara suami
dan isteri apabila masalah sebegini terjadi.
Negara Indonesia, Malaysia dan
Singapura sebagai anggota ASEAN yang paling terkesan dengan masalah ini perlu
menyelesaikan masalah ini dengan semangat serantau dan ibarat cubit paha kiri
paha kanan terasa. Terang sekali semuanya berpunca dari kegiatan pembakaran
terbuka hutan secara besar-besaran hutan di Indonesia.
Kebakaran hutan di Wilayah Riau,
Sumatera Tengah merupakan kes terbaru melibatkan jerebu teruk sehingga Indeks
Pencemaran Udara (IPU) di beberapa negeri mencapai bacaan 507 di Muar, Johor dan
Bukit Rambai, Melaka mencatat bacaan 443.
Beberapa tahun lalu kes yang sama
berlaku hingga menyebabkan sekolah ditutup. Keadaan ini merugikan
pelajar-pelajar yang terpaksa bercuti akibat masalah yang dilihat seakan sudah
menjadi bahana bermusim.
Kaedah pembenihan awan untuk
mencipta hujan hanya suatu mekanisme untuk mengurangkan jerebu dan memadam
kebakaran. Namun ia suatu tindakan jangka pendek semata-mata, kerana apabila
kebakaran terpadam, jerebu akan kembali bertebaran di udara sehingga merentasi sempadan
negara asal.
Dalam keadaan yang membawa
pengisytiharan darurat di Muar, Johor akibat jerebu, sesuatu perlu dilakukan di
antara kerajaan dan kerajaan. Semua pihak perlu mencari penyelesaian mengatasi
masalah jerebu dengan berkongsi pendekatan bagaimana sesebuah kerajaan
mengatasi masalah jerebu akibat kebakaran.
Menuding jari dengan mengatakan
ia berpunca dari syarikat dari negara lain yang membuat kebakaran hanya
tindakan pelarian (escapism) yang menonjolkan sifat lepas tangan.
Pokoknya jerebu menyebabkan
pesakit asthma menjadi lebih kronik, dan mungkin akan menyebabkan katil di
hospital penuh dengan pesakit sedemikian.
Sepatutnya undang-undang alam
sekitar di negara Indonesia diperkasakan sebagaimana yang dilakukan di
Malaysia. Jabatan Alam Sekitar (JAS) baru-baru ini mengisytiharkan seluruh
negeri Selangor, Melaka dan Johor sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka
berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Pengarah Jabatan Alam
Sekitar, Datuk Halimah Hassan berkata, larangan mengikut Seksyen 29AA(2) Akta
Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001 itu, berkuat kuasa sehingga ke satu
tarikh yang akan diberitahu kelak.
Bagaimanapun, katanya, larangan
berkenaan tidak melibatkan pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan,
barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar. Pihak yang disabit kesalahan
melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau
penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mungkin tindakan sebegini boleh
dikenakan oleh Kerajaan Republik Indonesia terhadap kaki bakar hutan secara
terbuka tidak kira ia syarikat dari Malaysia atau dari negara mana sekalipun.
Jika boleh sistem pembersihan
hutan secara sistematik yang diterima pakai oleh anggota ASEAN perlu dijadikan
rujukan.
Kita tidak mahu apabila jerebu
semakin tebal menyebabkan kapal terbang dan kapal di laut bertembung di udara
dan di laut hingga ratusan nyawa terkorban baru ada pihak diplomat mula menuding
jari dan saling bertukar komen negatif yang menyebabkan hubungan antara negara
menjadi dingin di sebalik kebakaran hutan yang menggila.
Justeru, selesaikan masalah
jerebu dengan semangat ASEAN yang sejati kerana tiada gunanya mempunyai wadah
tetapi tidak berfungsi dengan sewajarnya.
Jangan dibiar masalah yang boleh
menyebabkan kerosakan, kerugian dan kematian ini dibiar berlarutan. Sikap
salah-menyalahkan, bertukar pandangan yang bersifat tidak membina perlu
dielakkan oleh negara-negara terlibat.
Mungkin hari ini, Indonesia
dilanda kebakaran hutan di wilayahnya dan esok lusa mungkin kita mengalami
masalah sama.
Bersikap empati dengan masalah
yang melanda negara lain. Yang penting peliharalah semangat ASEAN. Jangan
marahkan nyamuk kelambu dibakar, cari jalan untuk menghapuskan nyamuk. Itulah
caranya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/