Sabtu, 1 Disember 2012

Izyan Juara MasterChef Malaysia Musim Kedua





Oleh : MOHD AL QAYUM AZIZI


SHAH ALAM: Pegawai Geologi, Izyan Hani dinobatkan sebagai juara MasterChef Malaysia musim kedua pada pertandingan akhir program itu yang berlangsung pada malam Sabtu.

Kemenangan Izyan melayakkan dirinya untuk membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro serta hadiah peralatan memasak tajaan Panasonic.

Mengulas kemenangannya, Izyan berkata, tunjuk ajar daripada chef dan ilmu yang dkutip sepanjang berada dalam program tersebut telah digunakan sebaiknya dalam pertandingan akhir itu dan bersyukur semua usaha kerasnya telah membawa hasil.

“Dinobatkan sebagai MasterChef Malaysia musim kedua merupakan perasaan yang paling menakjubkan dan sesuatu tidak pernah disangka akan terjadi dalam hidup saya.

"Terlalu banyak yang saya pelajari sepanjang pertandingan ini terutamanya ilmu-ilmu kulinari daripada chef-chef terkemuka, pendedahan dunia kulinari, pengalaman memasak dalam pelbagai situasi.

"Semua pengalaman itu saya curahkan dalam pertandingan akhir dan Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya," katanya.


Pada episod terakhir yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Mustika HD (134) itu, Izyan berentap dengan dua peserta lelaki iaitu Ng Yeong Hong (Ah Hong) dan Muhd Fazrul Nizam Anas Anizan (Along).

Dalam pada itu, Izyan berkata, persaingan antara mereka cukup sengit kerana Ah Hong dan Along mempunyai kelebihan masing-masing.

Bagaimanapun kata Izyan dia berasa bangga dapat berentap dengan mereka pada peringkat akhir program itu.

"Bersaing dengan mereka pada peringkat akhir merupakan satu penghormatan yang amat besar kerana mereka merupakan tukang masak yang hebat," katanya.

Pada pertandingan akhir itu, kesemua peserta dikehendaki menyediakan dua jenis hidangan yang mempunyai elemen dan suntikan citarasa Malaysia.

Tiga jam diberikan bagi menyiapkan kesemua hidangan untuk dinilai oleh 15 juri profesional termasuk juri tetap MasterChef Malaysia Musim Kedua iaitu Chef Joe, Chef Adu dan Chef Zubir.

Antara juri profesional yang dijemput adalah Datuk Chef Ismail, Chef Florence Tan, Chef Zaishahrizal Zamani dan Perunding Makanan, Prof Madya Dr Shahrim Karimady.

Izyan menyediakan menu yang diberi nama Suria Kasih iaitu daging tenderlion, kekapis bersama pucuk paku bersos kari hijau serta sari buah delima dan salad segar.

Manakala pencuci mulut Bulan Merindu iaitu kek kukus coklat bersama crumble, strawberi serai dihidang bersama gramita tembikai berpudina.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, MasterChef Malaysia telah mencipta fenomena di negara ini dan menjadi satu lagi program terbaik dan menjadi pilihan utama penonton sepanjang 70 episod yang telah ditayangkan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PANASONIC ‘Cooking Magic’ selaku penaja utama MasterChef Malaysia dan MyChef sebagai penaja bersama.

"Sokongan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak sepanjang penerbitan MasterChef Malaysia amat kami hargai dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa depan" ujarnya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Guru perlu beri gambaran baik manfaat SPPBS kepada pelajar


MARAN 29 Nov. - Golongan pendidik di negeri ini dinasihatkan agar tidak membahaskan Sistem Pengurusan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bagi mengelakkan masyarakat pesimis terhadap transformasi pendidikan negara.

Ketua Unit Pra-U/Muet Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Yaakob Md. Salleh berkata, sistem pentaksiran yang dibuat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bagi memudahkan kemas kini serta memasukkan data prestasi murid secara dalam talian dan boleh dicapai di mana-mana sahaja lokasi yang mempunyai talian internet.

Tambahnya, walaupun terdapat rungutan khususnya para guru berhubung pelaksanaan sistem dalam talian kemasukan markah, tetapi sejak kebelakangan ini langkah itu semakin baik dan tidak menimbulkan masalah.

''Guru sebagai pelaksana dasar harus menunjukkan gambaran baik kepada masyarakat bagi mengelakkan ibu bapa sangsi dan curiga akan masa depan anak-anak mereka.

''Sistem SPPBS adalah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi," katanya.

Beliau berucap demikian dalam majlis penutup kursus penyebaran SPPBS Tingkatan dua di Pejabat Pelajaran Daerah Maran di sini baru-baru ini. Yang turut hadir Pegawai Peperiksaan Awam Pejabat Pelajaran Daerah Maran, Mahathir Ahmad.

Yaakob berkata, matlamat itu seperti yang terkandung pada capaian Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan Pelan Integriti Nasional (PIN) seperti dihasratkan dalam Misi Nasional.

Tambah beliau, sistem itu mula dilaksanakan di sekolah rendah pada tahun lalu dan dijadualkan menjelang 2016, para murid sekolah rendah akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah ditambah baik.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : BUDAYA HEDONISME


PENDAHULUAN 

Kemunculan aliran pemikiran dalam Islam berkembang pesat dengan kemasukan falsafah Greek pada zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah. Kemasukan aliran ini bukan sahaja meresap masuk dalam pemikiran tokoh-tokoh Islam malah turut mewujudkan beberapa disiplin ilmu khususnya dengan kelahiran ilmu kalam. Kesan daripada kelahiran ilmu ini, maka terbentuklah dua aliran aqidah yang bertentangan antara satu sama lain. Aliran tersebut merangkumi aliran al-Muta’zilah dan al-Asyairah.

Walaupun pengaruh falsafah Greek atau lebih tepat lagi pemikiran barat dapat dimurnikan tokoh-tokoh Islam seperti Imam al-Ghazali, namun aliran pemikiran ini kemudiannya menular masuk dalam pelbagai bentuk selepas jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniah. Aliran pemikiran barat ini bukan sahaja menjadikan akal sebagai tunjang utama malah cuba memisahkan agama daripada kehidupan manusia. Hal ini dapat dilihat dengan rosaknya agama Yahudi dan Nasrani apabila diresapi fahaman falsafah yang pelbagai sehingga menolak peranan wahyu.

Kini, kemunculan aliran sekularisme yang secara jelas bersifat antiagama dan berasaskan budaya hawa nafsu sedikit sebanyak telah menghancurkan pemikiran umat Islam. Menurut Muhammad Naquib al-Attas, Sekularisme bermaksud pembebasan manusia daripada aspek agama dan metafizik. Ia juga dapat didefinisikaan sebagai satu ideologi atau ajaran yang membina seluruh pengarahan hidup manusia dalam setiap aspeknya selain daripada ibadah keagamaan di atas asas kepentingan, keperluan, ukuran, dan nilaian duniawi semata-mata. Dalam erti kata lain ajaran ini menolak ukuran agama sebagai asas bermasyarakat dan bernegara di samping menjadikan pemenuhan tuntutan duniawi sebagai matlamat tertinggi dan sebenar manusia. Akibat daripada menjadikan akal sebagai tunjang utama kehidupan, timbul pelbagai aliran pemikiran dalam masyarakat mengikut acuan yang tersendiri seperti Komunisme, Kapitalisme, Liberalisme, Pluralisme dan Hedonisme.

PENGENALAN HEDONISME

Hedonisme menurut pengertian kamus dewan ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Manakala Drs Sudarsono dalam bukunya ‘Etika Islam Tentang Kenakalan Remaja’ terbitan Bina Aksara pula mengatakan Hedonisme merupakan sebagai doktrin yang memandang kesenangan sebagai kebaikan yang paling utama dan kewajipan seseorang untuk mencari kesenangan bagi tujuan kehidupan. Ia beranggapan bahawa sesuatu perbuatan yang baik adalah mendatangkan kelazatan atau nikmat. Dalam Erti kata lain mereka beranggapan bahawa kesenangan dan kenikmatan adalah merupakan tujuan akhir hidup.

Menyoroti sejarah, fahaman Hedonisme didokong oleh Aristipus (433-355 B.C), salah seorang murid ahli falsafah Yunani yang terkenal iaitu Socrates. Hal ini merujuk kepada pertanyaan Socrates kepada beliau tentang tujuan terakhir bagi kehidupan manusia atau apa yang terbaik untuk manusia. Aristipus kemudiannya mengatakan bahawa yang terbaik untuk manusia adalah kesenangan, hal ini terbukti kerana sejak kecil manusia berasa tertarik akan kesenangan dan apabila telah menikmatinya, ia tidak mencari sesuatu yang lain dan menjauhkan diri daripada ketidaksenangan.

Idea ini kemudiannya dikembangkan oleh Epicurus dengan mengatakan tujuan hidup untuk kesenangan dan kedamaian. Dalam fahaman ini, Epicurus menekankan bahawa kebaikan tidak mungkin akan difahami seandainya kita menolak unsur kelazatan dalam hidup kita termasuk kelazatan indera rasa, cinta,  serta kelazatan lain yang dapat dilihat dan didengar oleh penglihatan dan pendengaran. Bahkan asas kepada segala kebaikan adalah kelazatan yang dirasai perut sehinggakan ilmu, kebijaksanaan, budaya, dan tamadun umat manusia mesti merujuk kepadanya. Manakala kelazatan minda pula dikatakan sinonim dengan proses berfikir tentang kelazatan-kelazatan yang dicapai oleh unsur fizikal tersebut.

Dalam pemikiran terkini berkaitan Hedonisme, G.E Moore dilihat sebagai tokoh kontemporari hedonisme. Beliau dilihat masih berpegang kepada konsep baik yang bertitik tolak kepada keseronokan dan menegaskan tidak ada yang baik kecuali keseronokan dan keseronokan sahaja yang menjadikan kebaikan sebagai satu matlamat. Sekiranya diteliti hedonisme merupakan salah satu cabang fahaman Sekularisme. Ajaran Sekularisme telah meletakkan lima prinsip utama sebagai neraca dalam alirannya. Prinsip Vetalisme menekankan apa-apa yang berbentuk kuat dan menguntungkan daripada segi kebenaran akan dianggap baik. Prinsip Kreativiti meletakkan sesuatu yang boleh mencetuskan daya kreativiti dan menghasilkan ciptaan baharu akan dianggap sabagai baik dan bermutu.

Prinsip Relatif pula menekankan tidak ada sesuatu konsep dan pemahaman terhadap sesuatu fakta atau teori yang bersifat mutlak dan kekal. Sebaliknya semuanya boleh berubah mengikut perubahan zaman dan perkembagan ilmu pengetahuan. Prinsip Hedonisme pula menggariskan apa- apa sahaja yang boleh memuaskan hawa nafsu manusia akan dianggap baik , manakala apa-apa sahaja yang boleh membawa penderitaan nafsu akan dianggap buruk. Prinsip terakhir pula menganggap majoriti masyarakat sebagai pemutus. Aliran ini menganggap pilihan majoriti adalah baik.

Kesimpulannya, Hedonisme menggariskan keseronokan sebagai tunjang utama kehidupan. Keseronokan ini diputuskan sendiri oleh akal manusia. Hal ini sedikit sebanyak bertepatan dengan matlamat sekularisme yang mahu memastikan manusia bebas daripada segala unsur ketuhanan. Selain itu, keseronokan yang diputuskan oleh individu boleh menyebabkan berlakunya perselisihan antara satu-sama lain. Sebagai contohnya seseorang individu menganggap membunuh adalah perkara yang menyeronokkan manakala seseorang individu lain pula menganggap ia sesuatu perkara yang menakutkan. Oleh itu, secara jelas konsep pemikiran hedonisme tidak relevan digunakan dalam hal ini kerana boleh mewujudkan perbezaan pemikiran. Walau bagaimanapun,  malang sekali kerana remaja-remaja di Malaysia sekarang kebanyakan telah terdedah dengan pemikiran ini sama ada secara sedar atau tidak. Sekiranya tidak dibendung, pemikiran ini akan menghancurkan masyarakat Malaysia suatu hari nanti.

ISLAM DAN HEDONISME

Islam sangat memandang berat pemikiran-pemikiran yang cuba mengganggu umat Islam. Hal ini kerana sekiranya pemikiran-pemikiran ini tidak dikawal, ia mampu merosakkan aqidah umat Islam. Sedangkan aqidah berfungsi sebagai tonggak kepada seluruh perancangan hidup manusia khususnya yang menyentuh aspek perancangan ummah. Lazimnya, perbincangan mengenai akidah akan turut melibatkan persoalan Iman. Konsep keimanan adalah mengenai individu yang mempunyai akidah yang benar dan mempunyai tiga elemen penting merangkumi pegangan kuat berasaskan keyakinan, wujudnya unsur ketundukkan yang ikhlas dalam sanubari manusia terhadap apa yang diimaninya dan yang terakhir adanya unsur cetusan atau ransangan dalaman dalam diri individu tersebut untuk menterjemahkan seluruh prinsip keimanannya di dalam diri individu tersebut dan dalam kenyataan dengan berusaha untuk menyelaraskan seluruh aktiviti hidup sehariannya berasaskan kepada nilai-nilai keimanan tersebut. Hal ini kerana individu tersebut tidak boleh bersabar melihat segala aktiviti hidup dilangsungkan berasaskan bentuk dan kaedah yang bertentangan dengan asas-asas keimanan yang terpendam jauh dan kental dalam hati sanubarinya.

Merujuk kepada definisi diatas, jelas sekali bahawa budaya hedonisme adalah bertentangan dengan akidah umat Islam. Hal ini kerana budaya hedonisme mementingkan kebebasan fikiran sedangkan aqidah Islam meletakkan al-Qur’an dan Hadith sebagai paksi pemikiran sejagat. Selain itu, dalam pengertian kebaikan terhadap individu, pandangan Islam adalah bertentangan dengan konsep kebaikan dalam pembawaan Hedonisme. Islam melihat konsep kebaikan adalah melibatkan pembangunan ummah yang memberi fokus kepada aspek pembangunan berteraskan ketuhanan atau kerohanian berbanding dengan kemajuan yang berbentuk kebendaan agar manusia bukan sahaja mendapat kebaikan di dunia tetapi juga mendapat kebaikan di akhirat. Manakala konsep kebaikan yang dibawa oleh Hedonisme adalah apa-apa yang berbentuk keseronokan.

PRINSIP HEDONISME

Individu yang berpegang kepada falsafah hedonisme adalah bersifat materialistik atau kebendaan. Golongan ini beranggapan bahawa kesenangan atau kenikmatan adalah merupakan tujuan akhir hidup. Oleh itu, mereka memilih kebahagiaan sebagai langkah untuk mencapai kesenangan. Mereka juga berpendapat bahawa tindakan yang baik adalah untuk kenikmatan dan kepuasan diri.

John David Garcia dalam bukunya “The Moral Society” menjelaskan bahawa dalam budaya hedonisme pleasure dan happiness atau dalam erti kata lain iaitu kesenangan dan keseronokan diberi nilai yang paling tinggi. Oleh yang demikian, golongan hedonisme akan berusaha sedaya upaya mereka untuk memaksimumkan prinsip kesenangan dan keseronokan itu bagi mengatasi segala yang lain.

Golongan hedonisme mengambil kira bagaimana tindakannya boleh memberi kesan terhadap keseronokan dan kegembiraan dalam kehidupan sama ada pada masa ini atau akan datang. Oleh itu, tugas mereka yang utama adalah meningkatkan kadar pengalaman yang menyeronokkan dan mengurangkan kadar ketidakselesaan seperti kesakitan, kesedihan dan kekecewaan.

Sumber : http : //ciptaan-mulia.blogspot.com/

Piala AFF: Malaysia mara ke separuh akhir



NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH

MALAYSIA layak ke separuh akhir dengan mengatasi Indonesia 2-0 pada perlawanan akhir peringkat Kumpulan B kejohanan Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Skuad kebangsaan mendahului Indonesia 2-0 pada separuh masa pertama. Gol Malaysia dijaringkan oleh Azamuddin Akil pada minit ke-27, sebelum Mahali Jasuli menggegarkan stadium dengan gol kedua pada minit ke-30.

Meskipun Malaysia mendapat sorokan gemuruh daripada penyokong yang membanjiri stadium malam ini, Harimau Malaya tidak mempamerkan aksi garang pada babak awal perlawanan apabila Indonesia terlebih dahulu menguji gawang tuan rumah menerusi Vendry.

Pun begitu, rembatan kencang Rendry berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Malaysia, Farizal Marlias.

Selang satu minit kemudian, sekali lagi peluang Indonesia untuk menjaringkan gol diperoleh  menerusi Samsul,  namun percubaan Samsul tersasar.

Susulan asakan pasukan pelawat, Malaysia mula mengatur gerakan menarik. Safee Sali tidak berjaya menanduk masuk hantaran daripada  sepakan sudut pada minit ke-23.

Selepas itu, penantian gol Malaysia akhirnya tertunai apabila tendangan Azamuddin berjaya menewaskan penjaga gol Indonesia, Wahyu Tri Nugroho untuk meletakkan Malayia di depan pada minit ke-27.

Selang tiga minit kemudiaan, kealpaan benteng pertahanan Indonesia  mengundang padah apabila Malaysia berjaya meledak gol kedua menerusi Mahali pada minit ke-30, sekali gus menggegarkan stadium dengan nyanyian kata-kata semangat.

Bersambung babak kedua, Indonesia mula beraksi garang apabila pergerakan cantik Andik nyaris membolosi gawang.

Percubaannya ditangkap kemas oleh Farizal.

Selepas itu, giliran Malaysia melakukan asakan, tetapi tandukan Safee hasil hantaran Zubir sekali lagi tidak menepati sasaran pada minit ke-51.

Indonesia tidak berputus asa dan terus membuat percubaan bagi mendapatkan gol, pun begitu gagal membolosi gawang  Malaysia  dan akhirnya terpaksa akur apabila misi mereka untuk menempah tiket ke separuh akhir musnah.

Senarai pemain:

MALAYSIA: Mohd Farizal Marlias, Mahalli Jasuli, Muhammad Zubir Mohd Azmi, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Safiq Rahim (Kapten), Mohd Shakir Shaari (Gary Steven Robbat), Wan Zack Haikal Wan Nor, Azamuddin Mohd Akil (Ahmad Fakri Saarani), Norshahrul Idlan Talaha (Amar Rohidan), Mohd Safee Mohd Sali.
   
INDONESIA: Wahyu Tri Nugroho, Vendry Ronaldo Mofu, Raphael Guillerm Eduardo Maitimo, Novan Setya Sasongko, Nopendi, Fachruddin Wahyudi Aryanto, Taufiq, Elie Aiboy (Kapten)(Andik Vermansyah), Samsul Arif Munip (Jhonny Rudolf Van Beukering), Oktovianus Maniani (Tonnie Harry Cusell), Irfan Haarys Bachdim. 

Pengadil: Kovalenko Valentin (Uzbekistan)

Sumber :  http : //www.sinarharian.com.my/

NOTA HUJUNG : 
  • Kemenangan ini meletakkan skuad Harimau Malaya di tempat kedua dalam Kumpulan B dengan enam mata di belakang Singapura, yang turut mengutip enam mata tetapi dibezakan oleh jumlah jaringan, selepas pasukan tersebut mengalahkan Laos 4-3 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam. 
  • Sebagai naib juara kumpulan B, anak buah Datuk K. Rajagobal bakal berdepan Thailand yang muncul juara Kumpulan A di separuh akhir yang akan berlangsung di sini pada 9 Disember dan di Bangkok pada 13 Disember. 
  • Satu lagi separuh akhir adalah antara Singapura menentang naib juara Kumpulan A, Filipina pada 8 dan 12 Disember.