Jumaat, 4 Mei 2012
ISU KENEGARAAN : Bolehkah undi diraih berbekalkan rupa paras?
Berwajah menarik, sentiasa berpakaian kemas dan tampan sememangnya menjadi keutamaan bagi kebanyakan orang, terutamanya yang bergelar pemimpin.
Namun sejauh manakah semua itu diambil kira untuk meraih undi dalam pilihan raya? Sehingga kini, belum ada kajian yang dijalankan tentang perkara ini namun topik ini sesekali muncul tatkala pilihan raya umum semakin menghampiri.
Timbul perdebatan baru-baru ini ketika parti-parti politik sedang sibuk memperkatakan tentang pemilihan bakal calon bagi Pilihan Raya Umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan sedikit masa lagi. Patutkah rupa paras dijadikan antara kriteria dalam menentukan calon boleh
menang?
Baru-baru ini Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel berkata menjadi satu kelebihan bagi parti itu untuk menawarkan calon yang memiliki rupa paras dengan harapan mereka dapat menarik minat pengundi untuk memilih parti itu.
Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata selain itu, yang pastinya ahli politik mesti memiliki nilai penting yang lain misalnya kepimpinan yang baik, bebas daripada skandal dan sangat dihormati dalam lingkungan parti serta masyarakat India.
Dalam pada itu, seorang penganalisis politik di Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata dengan memiliki rupa paras yang elok, setidak-tidaknya akan menjadi ciri nilai tambah dalam meraih populariti, namun tarikan itu bukanlah menjadi keutamaan semata-mata.
Beliau berkata kriteria lain yang lebih relevan bagi pengundi dalam menentukan wakil rakyat pilihan mereka adalah kejujuran, bakat, kecerdasan, baik hati dan penyayang terhadap pengundi di kawasannya.
"Mungkin ahli politik yang kacak dan cantik lebih menarik perhatian berbanding pengundi di negara lain misalnya Amerika Syarikat, dengan Presiden Barack Obama yang tinggi, bergaya dan menarik orangnya. Satu lagi contoh ialah Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra yang cantik," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau percaya bagi Malaysia, pengundi lebih cenderung dan berharap untuk memberi sokongan kepada wakil atau parti politik yang bertanggungjawab yang dapat memberi khidmat terbaik berbanding dengan mereka yang hanya bersandarkan kepada rupa paras menarik sahaja.
“Apa gunanya jika kesudahannya nanti wakil-wakil rakyat yang berwajah menarik itu tidak dapat menunaikan janji dan memenuhi aspirasi rakyat? Tidak apa jika beliau memiliki rupa paras elok selain dapat pula menyentuh hati nurani rakyat," katanya.
Sementara itu, bekas Naib Presiden MIC, D.P Vijendran berkata rupa paras fizikal ahli-ahli politik hendaklah dilihat dari segi karisma dan kepimpinan mereka.
"Memang benar, pada peringkat tertentu rupa paras yang menarik memang sering dikagumi seperti Presiden Obama. Walhal, karisma memain peranan yang penting.
Seseorang ahli politik itu perlu merupakan gandingan sifat intelektual, integriti dan iltizam berkhidmat untuk rakyat," katanya.
Mengambil contoh Tan Sri Lee Lam Thye, seorang bekas pemimpin DAP yang meninggalkan partinya, Vijandran berkata Lee memiliki semua nilai yang diharapkan oleh rakyat.
“Beliau cekap mengusahakan perdamaian, sentiasa mendekati rakyat dan menjadi pemimpin yang ternama. Beliau malah terus memberi khidmat sosial kepada semua orang. Inilah sepatutnya ada pada seseorang pemimpin. Semuanya bergantung pada gambaran yang kita tunjukkan," katanya.
Bagi pemandu bas sekolah Mohd Kamarul Ishak, 50, dari Tapah, Perak, rupa paras yang menarik pastinya memberi tanggapan awal yang baik dan rakyat mudah tertarik untuk lebih mengenali seseorang itu, tetapi penilaian rakyat akan berdasarkan lebih kepada khidmat penyampaiannya.
“Sekiranya beliau tidak dapat memenuhi keperluan kami di sini, saya pasti seorangpun tidak akan mengundinya dalam pilihan raya umum yang akan datang. Beliau mestilah baik hati dan penyayang," katanya.
Bagi suri rumah Fatimah Yahya, dari Klang, rupa paras yang baik dapat membantu dalam memberi tanggapan pertama namun hanya bagi tempoh yang singkat memandangkan tanggapan sebenar akan terbentuk hasil daripada usaha, masa dan sumbangan khidmat melebihi kepentingan diri yang ditunjukkan oleh wakil rakyat tersebut.
“Bagaimanapun, ini tidak bermakna pemimpin yang kacak dan cantik tidak dapat memenangi hati rakyat, jika pada masa sama mereka juga ikhlas, bekerja keras dan dapat memahami kawasan pilihan rayanya dengan baik," katanya.
Ahli psikologi, Prof Madya Dr Arifin Zainal menyetujui kebanyakan pendapat yang disuarakan, sambil berkata rupa paras memainkan peranan tertentu terutamanya dalam membentuk persepsi dan kesediaan masyarakat untuk member ruang supaya berasa lebih selesa bersama pemimpin mereka.
“Faktor rupa paras sentiasa menarik perhatian rakyat dan mereka akan berasakan bahawa seseorang wakil rakyat itu dari satu segi akan lebih mudah untuk didekati," kata beliau yang bertugas sebagai Dekan Fakulti Sains Gunaan Sosial di Universiti Terbuka Malaysia.
Bagaimanapun, Arifin berkata ini tidak bermakna mempunyai rupa paras menarik boleh mengatasi kualiti dalaman yang perlu ada pada seseorang pemimpin apabila yang lebih mustahak adalah untuk mewujudkan tanggapan baik bagi jangka panjang di kalangan rakyat.
“Mereka juga seharusnya memberi tanggapan yang baik di hati orang ramai dengan menjaga kebajikan mereka terus menerus dan yang pastinya dapat memuaskan hati rakyat pada setiap masa. Wakil rakyat yang dipilih seharusnya menjadi satu penghormatan dan kegembiraan rakyat," kata Arifin. – Bernama
ISU PENDIDIKAN : Ibu bapa, penjaga jangan ambil mudah keselamatan anak
BELUM pun reda ingatan kita pada kes tragis Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang dilaporkan hilang dan kemudian dibunuh dengan kejam pada 1 Mac lalu, heboh pula kisah penculikan seorang pelajar keturunan Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, minggu lalu. Namun, nasib menyebelahi Nayati yang dibebaskan pagi kelmarin, 19 jam selepas ibu bapanya membayar sejumlah wang tebusan kepada penculiknya. Kita turut digemparkan dengan kes penculikan dan pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin pada 20 Ogos 2007 ketika berjalan bersendirian di pasar malam berdekatan rumahnya. Dirang juga diculik ketika berjalan kaki seorang diri untuk ke kedai. Dalam kes terbaru ini, Nayati diculik dalam perjalanannya ke sekolah di Mont Kiara, kira-kira 700 meter saja dari rumahnya. Berikutan kejadian itu, Kementerian Pelajaran dilaporkan akan mengeluarkan garis panduan baru bagi meningkatkan jaminan keselamatan pelajar di dalam dan luar waktu persekolahan.
Ketika mengumumkan langkah kementerian itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penculikan Nayati ketika dalam perjalanan ke sekolah menyedarkan beliau dan kementeriannya mengenai aspek keselamatan pelajar bukan saja perlu dititikberatkan dalam kawasan sekolah tetapi juga di luar sekolah. Kes penculikan kanak-kanak tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat memandangkan ia sudah kerap berlaku. Cara kejadian itu berlaku juga sepatutnya menyedarkan ibu bapa bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan anak seharusnya diutamakan mereka tidak kira di mana saja mereka berada.
Oleh sebab kita tidak boleh menjangka di mana penjenayah tidak berhati perut ini akan muncul, semua pihak patut mengambil langkah berhati-hati dalam penjagaan anak mereka, terutama yang masih kecil. Kita bersetuju dengan tindakan pantas Kementerian Pelajaran untuk mengeluarkan garis panduan baru bagi meningkatkan langkah keselamatan pelajar di dalam dan luar sekolah, namun tanggungjawab lebih besar terletak di tangan ibu bapa dan penjaga. Sudah tentunya juga dalam keadaan itu, kita mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat.
Kerjasama anggota masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak berkuasa tempatan amat diperlukan bagi membantu polis menangani gejala penculikan kanak-kanak yang tidak berdosa ini. Berita mengenai kes kehilangan kanak-kanak itu seharusnya menjadi pengajaran kepada ibu bapa supaya tidak mengambil mudah soal keselamatan anak mereka.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU PENDIDIKAN : PPD dapat autonomi tentu kecemerlangan
Oleh Junita Mat Rasid dan Mohd Iskandar Ibrahim
MUAR: Kementerian Pelajaran bercadang memberi kuasa autonomi kepada pengurusan sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bagi menentukan usaha lebih bersesuaian mengikut tempat masing-masing dalam usaha mencapai kecemerlangan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, tujuan utama langkah itu bukan bermakna kementerian mahu melepaskan tanggungjawab, sebaliknya sedar situasi dan keadaan antara satu daerah agak berbeza, bukan saja dari segi keluasan, malah masalah yang dihadapi juga tidak sama.
“Oleh kerana sekolah berada dalam ekosistem tidak serupa, justeru ia memerlukan satu pendekatan dan cara untuk menangani serta menentukan sekolah di kawasan itu dapat mencapai satu tahap kecemerlangan yang kita kehendaki.
“Ini (kuasa autonomi) adalah satu pemikiran baru, berfikir di luar kotak untuk menentukan hala tuju pendidikan supaya menjadi mantap dan mutu yang setanding dengan negara maju lain,” katanya ketika berucap di Majlis Jalinan Mesra Warga Pendidik dan Perasmian Bangunan PPD Muar, di sini, semalam.
Sementara itu, pada majlis berasingan di Pagoh, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerjasama berterusan antara ibu bapa dan guru penting bagi meningkatkan kualiti pembelajaran serta pencapaian pendidikan anak di sekolah, di sebalik kemudahan yang setanding negara maju disediakan kerajaan.
Katanya, kerajaan sentiasa memberi tumpuan terhadap kualiti pendidikan menerusi penyediaan prasarana yang cukup supaya pelajar dapat belajar dalam suasana selesa, manakala guru dapat mengajar dengan baik.
Beliau berkata, pelajar di Malaysia cukup bertuah kerana menikmati suasana pembelajaran yang kondusif setanding dengan negara maju serta lebih baik berbanding negara lain termasuk sesetengah negara jiran yang kurang mendapat akses pendidikan sempurna.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU PENDIDIKAN : Guru Prasekolah Wajib Miliki Diploma Di Bawah RMK10
PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi pada Jumaat menekankan keperluan bagi guru prasekolah menyambung pengajian sekurang-kurangnya ke peringkat diploma bagi mengubah sistem pendidikan negara di bawah Rancangan Malaysia ke-10.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini kira-kira 93 peratus guru terbabit tidak memiliki kelayakan Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE).
"Bagi mencapai sasaran ini, ada keperluan untuk meningkatkan kemahiran guru sedia ada dan menyediakan latihan praperkhidmatan. Kami berharap untuk melihat lebih banyak penyertaan sektor swasta dalam membangunkan pusat latihan ECCE bagi meningkatkan kualiti guru," katanya kepada pemberita di sini.
Seiring dengan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) berkaitan pendidikan, Mohamed Khaled berkata, pembangunan pusat ECCE swasta akan menjana pendapatan kasar negara sebanyak RM338 juta pada 2020 dan menawarkan 370 pekerjaan.
Pada 2010, di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), 6,580 guru prasekolah swasta dilatih oleh pusat ECCE swasta selama tiga minggu.
Pada 2011, 6,421 guru prasekolah mendapat manfaat dan pada 2012, seramai 6,999 dijangka menerima latihan baik di pusat milik kerajaan mahupun swasta, kata Mohamed Khaled.
"Inisiatif ini mensasarkan pengeluaran 218,500 guru pendidikan awal kanak-kanak bagi menampung keperluan," katanya.
Bagi merealisasikan visi itu, Mohamed Khaled berkata Kumpulan SEGi telah menyatakan ikrar untuk menyumbang RM398 juta bagi menubuhkan hab ECCE di Kota Damansara dan pusat ECCE satelit di seluruh negara.
Setakat ini terdapat 6,767 pusat asuhan kanak-kanak swasta di seluruh negara.
Beliau berkata, objektif utama inisiatif ECCE ialah meningkatkan pendaftaran prasekolah kepada 87 peratus tahun ini dan 92 peratus pada 2015 serta meningkat kepada 97 peratus pada 2020 di bawah GTP.
"Bagi memenuhi sasaran itu, kementerian akan memainkan peranan utama mengawal selia pusat terbabit sama ada daripada segi standard, kualiti dan akses kepada pendidikan di pusat ECCE swasta," katanya. - BERNAMA
ISU PENDIDIKAN : 2,214 murid miskin, luar bandar diterima ke SBP
BATU PAHAT, 2 Mei - Seramai 2,214 murid daripada keluarga miskin yang mendapat 3A, 2B dan murid luar bandar memperoleh keputusan 4A, 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dipilih memasuki sekolah berasrama penuh (SBP) tahun ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, peluang yang diberikan itu bertujuan membolehkan mereka bersaing dengan lebih adil dalam merebut tempat untuk belajar di sekolah berkenaan.
"Berbanding murid-murid lain, golongan ini tiada kemudahan tuisyen, capaian Internet malah guru-guru cemerlang juga sukar untuk sampai ke pedalaman. Saya difahamkan ada guru agama yang terpaksa mengajar bahasa Inggeris kerana kekurangan guru.
"Bagaimanapun, kita akan pastikan mereka dapat bersaing dengan rakan yang mendapat 5A.
"Kita akan berikan motivasi dan bimbingan tambahan supaya mereka dapat bersaing," katanya selepas merasmikan majlis pendaftaran 170 pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Sains Batu Pahat yang mula beroperasi hari ini.
Sekolah berasrama penuh dengan kos melebihi RM40 juta itu mula dibina pada 2007, namun dikategorikan sebagai projek 'sakit' ekoran gagal disiapkan mengikut jadual asal iaitu pada September 2009 tetapi berjaya disiapkan oleh kontraktor baru yang dilantik.
Sekolah tersebut mampu menampung 900 pelajar dan mempunyai pelbagai kemudahan seperti blok asrama putera serta puteri, stadium mini, kediaman guru dan surau selain sistem persidangan video bernilai RM23,000 yang disumbangkan menerusi peruntukan Parlimen Batu Pahat.
Mohd. Puad berkata, terdapat lebih 50,000 murid mendapat 5A dalam UPSR 2011, sedangkan SBP hanya mampu mengambil kira-kira 7,000 pelajar.
"Peluang yang diberikan kepada pelajar miskin khususnya miskin tegar dan pelajar di luar bandar ini merupakan satu lagi inisiatif 'titik sentuhan' kerajaan selain pemberian bantuan persekolahan sebanyak RM100.
"Kita tidak mahu ada golongan yang dipinggirkan daripada menikmati kemudahan pendidikan terbaik kerana halangan kemiskinan," katanya.
Ditanya mengenai cadangan menghantar guru bahasa Inggeris mengikuti program latihan di luar negara, beliau berpendapat, ia bukan satu pembaziran, sebaliknya adalah pelaburan untuk meningkatkan lagi kualiti pendidikan di negara ini.
"Cadangan program latihan luar negara itu adalah sebahagian daripada kepelbagaian program latihan termasuk di dalam negara dan pengambilan guru penutur jati bahasa Inggeris.
"Ia bukan pembaziran tetapi satu pelaburan untuk kemajuan pelajar," katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU SOSIAL : Jagalah batasan aurat anda
NOOR AINULYAKIN MOHAMAD ISHAK
Dalam kehidupan seorang Muslim mahupun Muslimah pasti rutin hariannya tidak terlepas daripada pergaulan dengan mereka yang mahram atau sebaliknya, mahupun beragama Islam dan bukan Islam. Bagi yang tahu hal menjaga adab pergaulan pasti rutin hariannya tiada masalah.
Namun bagi yang kurang faham batasan pergaulan, maklumat dan kefahaman perlu diberikan agar mereka tahu menjaganya. Batasan tersebut termasuklah daripada segi penjagaan aurat.
Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, jika membincangkan mengenai aurat, batasan ke atas lelaki dan perempuan berbeza.
Menurutnya, aurat lelaki dengan lelaki dan wanita yang mahram dengannya adalah antara atas pusat hinggalah melebihi paras lutut, begitu juga dengan lelaki bukan Muslim batasan auratnya adalah sama.
“Adapun aurat lelaki dengan perempuan sama ada Muslimah ataupun bukan, seluruh badannya itu aurat bagi mereka.”
“Walaupun had aurat lelaki adalah dari pusat hingga lutut, namun Islam menyarankan untuk menjaga kesopanan dengan menutup aurat daripada dilihat orang lain,” katanya kepada penulis.
Kata Mohd Tamyes, wanita adalah golongan yang amat perlu menjaga batas auratnya daripada dilihat orang lain.
“Aurat wanita dengan wanita Muslimah adalah antara atas pusat hingga melebihi paras lutut. Tetapi sifat malu dan sopan masih perlu dijaga terutama mengaitkan tubuh badannya.
“Jangan menganggap hanya perlu menjaga batas aurat yang disyariatkan. Justeru perlu tahu adab kesopanannya,” katanya.
Rakan sebilik
Mohd Tamyes menambah, bagi aurat Muslimah dengan wanita bukan Islam sama keadaannya aurat wanita dengan lelaki bukan mahram. Hal ini yang sering menjadi kekeliruan Muslimah apabila berhadapan dengan wanita bukan Islam. Mereka beranggapan batasan aurat adalah sama seperti Muslimah lain, padahal aurat mereka perlu ditutup .
“Ini dikhuatiri wanita bukan Islam boleh mendedahkan perihal tubuh badan dan aurat wanita Muslimah kepada rakan lelakinya yang bukan Islam mahupun yang beragama Islam.
“Muslimah perlu menutup seluruh tubuh badannya selain muka dan tapak tangan di hadapan wanita bukan Islam. Namun sekiranya muka dan tapak tangannya juga boleh menimbulkan fitnah atau menaikkan nafsu syahwat, maka perlu ditutup keseluruhan tubuhnya,” katanya.
Menurutnya, jika bersentuhan kulit dengan sengaja antara lelaki dan wanita bukan mahram adalah haram. Sementara antara Muslim dan bukan Muslim, terdapat beberapa keadaannya perlu diterangkan.
“Jika lelaki dengan lelaki bukan Islam adalah harus untuk mereka bersentuhan kulit seperti bersalaman. Walaupun dalam keadaan berwuduk, jika bersentuhan tidak akan terbatal wuduknya.
“Sama juga keadaannya jika melihat sendiri lelaki bukan Muslim memegang daging babi atau najis mughallazah yang lain dan bersentuh dengan Muslim yang tangannya yang basah, maka perlulah samak tempat terkena sentuhan tersebut sama ada pada baju atau kulit badan” katanya.
Begitu juga situasinya bagi Muslimah apabila bersentuhan dengan wanita bukan Muslim dalam keadaan yang seperti di atas.Tambah Mohd Tamyes, sesukar mana pun keadaan Muslim tersebut sedang hadapi, aurat tetap perlu dijaga. Termasuklah jika seseorang Muslim itu tinggal satu bilik bersama bukan Muslim.
“Keadaan seperti ini sering dihadapi pelajar yang tinggal di asrama atau ditempatkan sebilik bersama rakannya yang bukan Muslim.
“Hal ini menuntut kefahaman yang mendalam di mana batas aurat dan hukumnya tetap sama walaupun sebilik. Maka sama ada lelaki ataupun wanita Muslim perlu menjaga aurat mereka daripada dilihat oleh bukan Muslim,” katanya.
Elak bersalaman
Bagi wanita, kata Mohd Tamyes, keadaan di bilik air yang berkongsi ruang dengan bukan Muslim, sama ada perlu berstoking ataupun tidak, ini termasuk dalam keadaan darurat dan boleh untuk tidak memakainya. Namun sebolehnya jika boleh dielak situasi tersebut eloklah dielakkan.
“Pihak sekolah dan IPT terutamanya juga perlu faham hukum agama ini agar tidak menyusahkan pelajar dan mengelakkan mereka duduk di bilik sama dengan bukan Muslim dan berlaku serba salah dalam menjaga aurat,” katanya.
Ditanya mengenai situasi bersalaman dengan bukan mahram pula, kata Mohd Tamyes, adalah haram bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan bukan mahram walaupun hanya bersalaman.
“Memang tidak dinafikan dalam sesuatu keadaan yang terpaksa untuk bersalaman dengan bukan mahram, namun sebagai Muslim, sewajarnya kita mengelak daripada situasi itu.
“Ada juga pandangan yang mengharuskan bersalaman dengan bukan mahram jika orang di hadapan menyuakan tangannya untuk bersalaman dengan tujuan mengelak daripada jatuh air mukanya khalayak ramai,” katanya.
Namun sekiranya dapat dielak kata Mohd Tamyes, maka elakkanlah dengan menjelaskan batasan hukum yang perlu dipatuhi agar tiada pihak tersinggung dengan langkah berkenaan.
Justeru, menjaga batasan aurat ini akan menjadi mudah sekiranya tahu batasan hukum yang perlu dipatuhi dan mengikut segala syariat ALLAH SWT. Sekiranya diikuti, pelbagai ganjaran dan pahala akan diperoleh. Namun jika batasan itu dilanggar, maka
seolah-olah individu menempah kemurkaan ALLAH SWT.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my./
Langgan:
Catatan (Atom)